Khamis, 23 Januari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pembangkang amalkan politik alih isu

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Orang ramai mendengar penerangan tentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Nasional peringkat negeri di Pulau Pinang, baru-baru ini. - Gambar hiasan

SALAH satu kepakaran politik yang ada pada pakatan pembangkang ialah mengalihkan sesuatu isu yang melumuri mereka. Sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP mahupun Pas, masing-masing mempunyai seni politik tersebut dalam usaha menutupi segala kepincangan yang berlaku.

Oleh itu, kita tidak perlu terkejut apabila tahun 2014 dianggap tahun untuk mereka mengatur pelbagai demonstrasi bagi memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam masa yang sama berusaha menutupi pekung politik mereka yang semakin terdedah dan 'menanah'.

Difahamkan, pada Ahad ini, 'ayam sabung' PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan turun ke Bukit Mertajam untuk mengetuai 'perbuatan melolong' di tepi jalan kononnya bagi membantah harga barangan naik, menolak GST dan menuduh UMNO rasis.

Sememangnya, inilah taktik politik alih isu yang cuba dilakukan oleh Rafizi yang dijulang oleh penyokong-penyokong pembangkang sebagai pakar strategik politik pakatan tersebut bagi menutupi kebiadapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok daripada PKR, Lee Khai Loon yang menyumbat kangkung ke mulut patung wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perbuatan itu dikatakan bukan sahaja dikecam oleh orang ramai malah dalam kalangan pemimpin sekutu PKR pun tidak bersetuju dengan demonstrasi biadab itu.

Menyedari keadaan itulah, Rafizi cuba menunjukkan 'jaguhnya' dengan turun ke Bukit Mertajam. Mungkin impian beliau ialah mengalihkan isu Khai Loon.

Tetapi Rafizi terlupa dalam masa yang sama, PKR bukan sahaja berhadapan dengan isu kebiadapan wakil rakyat tersebut, malah parti itu juga sedang berada 'di ambang perang saudara' berikutan isu pengguguran Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Walaupun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah menegaskan pengguguran itu bukan keputusan kerajaan negeri yang diterajui oleh beliau tetapi ini tidak bermakna perbalahan politik antara beliau dan Azmin sudah berakhir.

'Pertembungan' antara kedua-dua pemimpin kanan PKR ini di Selangor bukan lagi rahsia, malah pengguguran Azmin dikaitkan pula dengan mainan politik berikutan pemilihan PKR yang bakal diadakan pada Mei nanti. Sekali lagi Abdul Khalid menafikan dakwaan itu tetapi dalam masa yang sama semakin tertekan apabila desakan semakin kuat di dalam PKR agar beliau dipecat.

Perkara ini diakui oleh Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution semalam yang mengesahkan terdapat 'desakan keras bukan usul' daripada empat hingga lima anggota Majlis Pimpinan Parti (MPP) parti itu supaya Abdul Khalid dipecat.

Walaupun menegaskan desakan itu tidak menjadi keputusan mesyuarat tetapi Saifudin mengakui ini kali pertama berlaku 'satu cadangan keras' dikemukakan. Apa pun seperti biasa PKR tidak akan mengaku wujudnya masalah dalaman sebaliknya akan cuba mencari jalan bagi menutupi kepincangan tersebut bagi menggambarkan seolah-olah merekalah parti terbaik di muka bumi Allah ini.

Tindakan yang dilakukan oleh PKR untuk mengadakan demonstrasi bagi mengalih isu ini juga sekali gus akan membantu DAP yang masih lagi terpalit dengan isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

Sehingga hari ini DAP masih belum meminta Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menjawab desakan supaya beliau mendedahkan 'surat guaman' yang kononnya telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 23 Disember lalu.

Politik alih isu ini kemudiannya diikuti pula oleh Pas yang difahamkan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan ia 'pak turut' setia dalam pakatan pembangkang apabila merancang menggerakkan ahli-ahli turun ke jalanan pada 1 Mei ini.

Difahamkan, seorang pemimpin kanan parti itu sudah mengarahkan setiap Pas negeri melaksanakan dua strategi bagi membangkitkan momentum untuk memastikan sokongan rakyat pada perhimpunan tersebut.

Dua strategi itu adalah mengadakan majlis ceramah isu kenaikan harga barang, sara hidup dan GST, manakala strategi kedua pula mengadakan flash mob atau perhimpunan kecil setiap minggu sehingga perhimpunan 1 Mei berlangsung.

Pas terpaksa berbuat demikian ketika imej politik mereka semakin merudum apabila dilihat tidak tegas sebagai parti yang kononnya memperjuangkan Islam dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di Selangor.

Walaupun Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib bersuara mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mempunyai kalimah Allah di premis Persatuan Bible Malaysia tetapi secara organisasi, Pas terus membisu demi menjaga hati sekutunya, PKR dan DAP.

Pemimpin-pemimpin Pas amat memahami isu kalimah Allah ini ibarat meletakkan parti itu 'ditelan mati emak diluah mati bapa', kalau mereka bertegas senada dengan Harun atau organisasi Islam lain, Pas bimbang PKR dan DAP akan 'berkecil hati'. Bagi Pas, menjaga hubungan politik dengan kedua-dua parti itu lebih penting bagi memastikan mereka tidak 'dicicirkan' dalam usaha memburu impian menawan Putrajaya.

Demikianlah amalan politik alih isu dalam pembangkang. Mereka bersedia melakukan apa sahaja bagi menutupi kepincangan sendiri kerana dari semasa ke semasa tembelang mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan BN semakin menemui jalan buntu atau dalam istilah lebih tepat semakin tidak dipedulikan oleh rakyat.

Ia memandangkan dalam isu kenaikan harga barang contohnya, rakyat bukannya pekak atau buta untuk menilai bagaimana kesungguhan kerajaan dalam menangani perkara tersebut. Hanya penyokong-penyokong tegar mereka sahaja yang sengaja membuta mata dan hati bagi menolak kesungguhan kerajaan dalam soal itu.

Sememangnya politik pembangkang terus tidak menampakkan kematangan dalam usaha bersama-sama membangunkan negara, sebaliknya mereka kekal dengan politik memburu kekuasaan melalui cara memainkan sentimen rakyat supaya membenci kerajaan yang memerintah.

Atas sebab itulah, pelawaan pembangkang kononnya, mereka ingin berbincang dengan kerajaan BN berhubung isu perkauman tidak perlu dilayan dan hanya membuang masa kerana kerajaan mempunyai banyak lagi isu rakyat yang perlu ditangani.

Tambahan pula selama ini, apa juga usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dan mensejahterakan negara tidak pernah mendapat sokongan apatah lagi pujian pembangkang, sebaliknya kerja pembangkang hanya membangkang sepanjang masa.

Apa pun percayalah politik alih isu pembangkang ini tidak perlu diharapkan dan tidak akan mungkin berubah kerana itu sahaja caranya untuk mereka terus bertahan dalam arena politik negara.

Sebab itulah sebelum ini biarpun pelbagai isu melumuri pemimpin mereka termasuk dari segi moral, pakatan pembangkang tetap dilihat 'ampuh'. Bukan kerana kewibawaan sebuah pakatan yang mantap dari segi semua segi tetapi gara-gara kebijaksanaan mereka mengalih isu dan memanipulasikan fakta sehingga ada rakyat terpedaya.

Kemelut dua kelompok dalam kepemimpinan PKR

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

PENGGUGURAN Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan tindakan pentadbiran terhadap Pengurus Besar PKNS dan pegawainya adalah lanjutan daripada pertarungan dua kelompok kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, Nurul Izzah dan Faekah Husin dengan Anwar Ibrahim dan Azmin.

Episod baru menjadikan pegawai kanan PKNS iaitu Pengurus Besar, Othman Omar dan Setiausaha anak syarikat kerajaan negeri itu, Norita Mohd. Sidek pula ditukarkan serta-merta ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai mangsa memberikan justifikasi politik bahawa kemelut Khalid-Anwar-Azmin sedang memasuki fasa baru yang jauh lebih serius.

Logiknya perkara ini sepatutnya sudah lama selesai kerana Anwar ada pengaruh terhadap isterinya Dr. Wan Azizah dan juga Azmin.

Bila perkara ini berlarutan, khalayak mempunyai tanggapan ada sesuatu yang tidak kena dalam kalangan kepimpinan utama PKR ini sehingga ia menjadi semakin kusut dan tidak terlerai.

Isu lain yang berbangkit adalah mengapa Wan Azizah dan Nurul Izzah berada di pihak Khalid dan Anwar dikatakan berada di pihak Azmin sedangkan mereka dalam suatu keluarga. Keluarga anak-beranak dan keluarga kepimpinan dalam politik.

Anwar sepatutnya sudah dapat menyelesaikan isu Khalid-Azmin ini lama dulu sejak pemilihan kepimpinan PKR yang terdahulu kerana pemilihan pucuk pimpinan PKR yang baru akan berlangsung beberapa bulan lagi.

Kedudukan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dalam politik PKR Selangor adalah kuat. Kepimpinan kerajaan negeri di bawah Khalid sudah tentu menghadapi cabaran.

Tidak mudah mentadbirkan sebuah kerajaan negeri apabila pentadbiran parti di tangan orang lain sedangkan sebagai sebuah kerajaan, keputusan parti dan kerajaan harus seiring.

Bila Anwar mengarahkan Khalid melantik semula Azmin dalam Lembaga Pengurusan PKNS, Khalid tidak segera respons. Sebaliknya sikap saling menyalah terjadi dan akhirnya pegawai kanan PKNS juga menjadi taruhan.

Apa yang berlaku di Selangor adalah gambaran kredibiliti PKR dalam mengendalikan sebuah negeri yang amat strategik di Malaysia. Sepatutnya isu kepimpinan tidak berbangkit di Selangor kerana PKR dan sekutunya ingin memerintah Malaysia.

Apa yang sedang berlaku dalam kepimpinan PKR Sabah sehingga kini belum dapat diatasi. Sekiranya kemelut Khalid-Azmin ini menjadi semakin parah, bukan mustahil kredibiliti Khalid akan tercalar dan keupayaan Anwar menyelesaikan masalah kepimpinan parti menjadi persoalan besar.

Ada desakan dalam pemilihan kepimpinan akan datang agar Anwar mengambil tempat sebagai Presiden. Kedudukan Wan Azizah sudah pasti tergugat. Bayangkan Wan Azizah akan tetap bertahan sebagai Presiden dan Azmin menjadi lebih ghairah untuk menentang Wan Azizah, apakah Anwar harus membiarkan ia terjadi?

Oleh kerana hubungan Khalid-Azmin dalam keadaan tidak mesra, apakah kemungkinan Khalid akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan dukungan Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah?

Jika ini terjadi, Anwar menjadi lebih sukar kerana kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar dalam cabaran dan cerita Azmin terhadap jawatan Menteri Besar dikatakan belum padam lagi.

Khalid dikatakan mendapat dukungan DAP Selangor dan Malaysia. Apakah usaha menolak Khalid dari kedudukan itu dan menggantikannya dengan orang lain boleh menimbulkan pergolakan baru dalam Pakatan Rakyat?

Kemelut yang berlaku ini banyak bergantung kepada keupayaan Anwar meleraikannya kerana isu Khalid ada kaitannya dengan dukungan Wan Azizah dan kedudukan Azmin ada kaitannya dengan Anwar.

Anwar menjadi faktor utama menyelesaikan kemelut ini ibarat kata pepatah - ular dibunuh biar mati, tanah tempat memukul tidak lembah dan kayu pemukul tidak patah. Kalau itu tidak terjadi, politik dan pentadbiran Selangor akan terus bergolak dan apa-apa kemungkinan boleh terjadi.

Khalid mempunyai caranya tersendiri untuk menguruskan pentadbiran negeri Selangor. Azmin sering mengkritik pentadbiran ini terutama apabila kerajaan negeri menaikkan kadar gaji dan elaun wakil rakyat, Menteri Besar dan Speaker yang banyak menimbulkan keresahan rakyat.

Isu kalimah Allah yang berbangkit di Selangor, isu rampasan Bible yang belum selesai, isu titah tuanku terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah antara cabaran yang tidak mudah untuk dileraikan oleh Khalid.

Kredibiliti Khalid sedang teruji sama ada akan terus bertahan atau berlaku sesuatu sebaliknya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved