Khamis, 23 Januari 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Laluan getir head hunter

Posted: 22 Jan 2014 09:50 PM PST

Oleh AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my

JAMBATAN gantung menjadi tarikan kepada pelancong di laluan head hunter dan Camp 5, Mulu, Sarawak.

MIRI - Lebih 300 tahun lalu, dikhabarkan suku kaum Kayan yang memang terkenal dengan kemahiran berperang, bertindak meluaskan kawasan-kawasan penguasaan mereka.

Ini menyebabkan mereka merampas penempatan suku kaum lain. Suku kaum Kayan akan menjelajah ke kawasan pedalaman untuk menggempur dan memenggal kepada lain-lain suku kaum bagi mencapai hasrat tersebut.

Berdasarkan kisah itu, antara laluan diguna oleh suku kaum Kayan berkenaan ialah antara Kuala Terikan berhampiran Kuala Medalam di Limbang hinggalah ke Camp 5 dekat Mulu, Miri,

Bermula dari situ, laluan berkenaan kemudian dikenali sebagai 'Head Hunter Trail dan kini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Penulis dan dua wartawan Utusan Malaysia, Nor Sedek Ismail dan Md. Azrin Rosly, berkesempatan melalui pengalaman menarik menggunakan laluan Head Hunter tersebut dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Bermula dari Limbang, seseorang perlu melalui jalan darat sebelum sampai ke rumah panjang Kuala Medalam yang mengambil masa satu jam.

Di rumah panjang suku kaum Tabun ini, banyak pengalaman menarik termasuk mengenali budaya dan cara kehidupan mereka. Malah penulis serta rakan-rakan juga berkesempatan mempelajari jenis tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran yang diguna mereka untuk perubatan dan sebagai bahan makanan.

Penghulu Daerah Limbang, Siga Weng, 70, yang menghuni rumah panjang tersebut memberitahu, penduduk di situ kerap memakan sayur-sayuran hutan dan tanaman yang ditanam sendiri termasuk padi.

"Ini amalan kami sejak dulu dan saya yakin keadaan ini menyebabkan ada penduduk umurnya panjang, katanya.

Di rumah panjang itu juga, ibu kepada Siga, Aja Lalang, 90, kelihatan masih kuat dan sihat. Kehidupan hariannya menganyam tikar untuk dijual.

Yang menarik, Aja akan menganyam tikar dari pukul 10 atau 11 pagi hinggalah larut malam.

Ketika di rumah panjang, kami berkesempatan mempelajari beberapa perkataan suku kaum Tabun. Antaranya, 'rudap membawa maksud tidur; 'kuman (makan); 'domacing (selamat datang); 'sakai (tetamu) dan 'domalam (selamat malam)

Setelah bermalam di rumah panjang, kami kemudian menaiki bot panjang yang mengambil masa tiga hingga empat jam untuk ke Kuala Terikan bagi memulakan perjalanan merentasi laluan Head Hunter.

Dalam perjalanan menggunakan bot itu, kami berpeluang singgah di Taman Negara Mentawai untuk makan tengah hari. Memang jarang pelancong menginap di Taman Negara Mentawai mungkin kedudukannya yang jauh namun kawasan berkenaan tenang dan memiliki pemandangan yang cantik.

Sebaik sahaja tiba di Kuala Terikan, perjalanan melalui laluan Head Hunter bermula iaitu sejauh 11.3 kilometer untuk sampai ke Camp 5. Kami diiringi penunjuk arah, Addy Agong, 52, yang mahir selok-belok laluan berkenaan. Turut serta ialah seorang rakan kami Devanantahan Nathan.

Sebaik sahaja memulakan perjalanan, hujan lebat menyebabkan kami perlu lebih berhati-hati disebabkan kawasan hutan berkenaan dipenuhi laluan berakar dan berbatu licin.

Dalam keadaan hujan itu, Addy sempat menceritakan sejarah laluan Head Hunter selain menunjukkan jenis tumbuh-tumbuhan dan serangga yang ditemui.

Sepanjang perjalanan, seseorang perlu melalui dua jambatan gantung yang diperbuat daripada tali dan akhir kami selamat tiba di Camp 5 dalam keadaan basah kuyup.

Camp 5 memang terkenal dengan suasana tenang, udara nyaman dan sejuk.

Dikelilingi gunung-ganang dengan kabus dan sungai yang airnya sejuk sepanjang masa.

Kebanyakan pelancong yang datang ke Camp 5 menggunakan laluan dari Mulu dan jarang sekali melalui Head Hunter.

Di Camp 5, pelancong berpeluang melakukan aktiviti masing-masing seperti bersantai, mandi sungai, mengambil gambar pemandangan dan banyak lagi.

Kehadiran kami di Camp 5 turut berpeluang merasai keenakan rambutan dan durian di situ kerana secara kebetulan ia adalah musim buah-buahan.

Setelah tidur semalam di Camp 5, keesokannya bermula 6.30 pagi, perjalanan ke puncak Pinnacles bermula.

Pinnacles terkenal sebagai pendakian puncak paling mencabar, getir, sukar dan berisiko tinggi di Asia Tenggara walaupun jaraknya hanya sekitar 2.4 kilometer.

Dengan pendakian menegak dan laluan berbatu tajam serta licin selain dipenuhi akar-akar pokok, ia dianggap begitu sukar. Keadaan itu juga menyebabkan hampir separuh daripada jumlah pelancong yang datang ke Camp 5 gagal sampai ke puncak Pinnacles. Sepanjang pendakian, pelancong juga dinasihatkan meninggalkan botol bekalan air di tengah perjalanan dan apabila perjalanan menurun nanti, pelancong

boleh mendapatkan semula bekalan air tadi. Malah, setiap pendaki juga sering diingatkan bahawa perjalanan menurun selepas pendakian adalah lebih sukar kerana memerlukan kekuatan dua kali ganda melibatkan lutut.

Di samping itu, setiap tahun terdapat kes-kes pendaki tiba di Camp 5 pada waktu malam dan pihak pengurusan terpaksa menghantar pasukan bantuan disebabkan ada pendaki yang tercedera.

Selain itu, antara peraturan ditetapkan ketika pendakian ialah jika hujan semua pendakian terpaksa dibatalkan dan pelancong perlu berpatah balik ke Campa 5.

Keadaan ini bagi mengelak berlaku sebarang kemalangan.

Setelah pendakian ke Camp 5, pelancong akan tidur semula di Camp 5 dan keesokan harinya perlu berjalan sejauh 8 kilometer untuk ke Kuala Litut dan seterusnya ke Taman Negara Mulu.

Perjalanan dari Camp 5 ke Kuala Litut mengambil masa tiga hingga empat jam. Dari Kuala Litut, kami menaiki bot panjang selama 30 minit untuk sampai ke Taman Negara Mulu.

Di Taman Negara Mulu antara daya tarikan ialah Gua Angin, Gua Rusa dan beberapa buah gua lagi. Di Gua Rusa, jutaan kelawar dapat dilihat keluar mencari makan pada sebelah petang.

Bagi pelancong yang mahu mencuba laluan Head Hunter dan seterusnya mendaki puncak Pinnacles diikuti aktiviti menjelajah ke gua-gua di Taman Negara Mula, boleh menghubungi agensi-agensi pelancongan terutama pihak Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved