Khamis, 23 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Harga di kantin sekolah kekal

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Shamsudin Abu Hassan (dua dari kiri) bersama para guru dan pelajar melihat senarai harga pada menu makanan di kantin SMK Raja Chulan ketika melawat sekolah berkenaan di Ipoh, kelmarin.

IPOH 22 Jan. - Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha kantin yang cuba menaikkan harga makanan di sekolah, lebih-lebih lagi ketika rakyat berdepan dengan kenaikan harga barang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, pihaknya yakin tidak berlaku kenaikan di kantin sekolah di negeri ini kerana tiada sebarang aduan diterima.

Hari ini saya turun padang meninjau harga makanan di kantin sekolah-sekolah. Saya melihat perkara ini tidaklah berlaku secara meluas seperti yang dilaporkan di akhbar baru-baru ini. Cuma mungkin ada insiden kecil yang digembar-gemburkan bahawa harga makanan di kantin sekolah begitu mahal.

Jadi, saya berharap agar perkara ini tidak digunakan oleh pihak tertentu untuk dijadikan sebagai satu isu. Di kantin sekolah ini misalnya, harga secawan teh o panas dijual pada harga 60 sen berbanding RM1 sekiranya dibeli di luar. Jadi, harga yang ditawarkan kepada pelajar secara keseluruhannya amat rendah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengikuti operasi pemeriksaan harga makanan di kantin-kantin sekolah anjuran Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menggesa Persatuan Pengguna yang ditubuhkan di sekolah-sekolah supaya lebih aktif menerapkan ilmu kepenggunaan dalam kalangan para pelajar sekali gus dapat melahirkan lebih ramai pengguna bijak pada masa hadapan.

Selain itu katanya, rakyat juga harus turut sama membantu serta tidak menyalahkan kerajaan semata-mata dalam menangani isu kenaikan harga barang.

Rakyat sebenarnya dapat membantu kerajaan dengan menstabilkan harga di pasaran. Misalnya, tak salah kalau kita boikot jika harga ikan naik. Tak makan ikan seminggu dan beralih kepada telur, tujuannya memberi pendidikan kepada peniaga-peniaga," katanya.

Islam benteng gejala keruntuhan akhlak - Raja Muda

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

KANGAR 22 Jan. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, umat Islam tidak boleh memandang ringan gejala keruntuhan akhlak khususnya dalam kalangan remaja seperti penyalahgunaan dadah, kegiatan buli dan gangsterisme yang kian menular di negara ini.

Sehubungan itu, titah baginda, agama Islam seharusnya menjadi benteng yang boleh menyelamatkan anak-anak muda daripada terjerumus dalam aktiviti tersebut.

Marilah kita (umat Islam) sama-sama mempertingkatkan program-program berbentuk keagamaan dan seumpamanya.

Ini bagi menggalakkan remaja pewaris bangsa berminat mencari ilmu serta mendekatkan diri dengan program-program bercorak keagamaan dan akhlak," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menutup program Daurah Tasawwur Islam 2014 anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Kedutaan Arab Saudi yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.

Program selama tiga hari itu antara lain bertujuan mengeratkan lagi ukhuwah silaturrahim dengan Kedutaan Arab Saudi dalam merangka satu program penghayatan terhadap Islam.

Yang turut hadir Menteri Besar, Azlan Man dan Penasihat Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abd. Rahman Al-Bulaihi.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, program seumpama itu seharusnya dijalankan secara berterusan dengan menerap, menyemai dan memantapkan lagi pengisian Islam kepada seluruh rakyat.

Ia termasuklah penggubalan dasar-dasar tertentu dalam jurusan pentadbiran awam dan negara," saran baginda.

Titah baginda, dalam membentuk pendidikan ummah berteraskan nilai-nilai agama, umat Islam perlu mengimbangi semula peranan dalam menerapkan nilai tersebut yang merupakan komponen penting pembentukan sahsiah ummah, identiti bangsa dan negara Islam yang progresif.

Oleh yang demikian, peranan kita perlu diperluaskan manakala minda kita semestinya dimerdekakan daripada takuk lama dengan berfikiran secara kritis untuk menghasilkan idea-idea bernas bagi memastikan masyarakat mampu menghayati nilai-nilai Islam sebenar," titah baginda.

Hina PM: Polis ambil keterangan

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

Abdul Rahim Hanafi

PULAU PINANG 22 Jan. - Polis sudah mengambil keterangan daripada pihak yang terbabit dalam tunjuk perasaan menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu kangkung yang didakwa turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, keterangan pihak terbabit direkod di bawah Seksyen 9, Akta Perhimpunan Aman.

Menurut beliau, pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada pihak yang dipercayai terlibat dalam membawa banting '13 Mei' semasa tunjuk perasaan membantah Khai Loon di Seberang Jaya, dekat sini 18 Januari lalu di bawah Akta Hasutan.

Walau bagaimanapun, Abdul Rahim tidak mendedahkan jumlah individu yang diambil keterangan dalam kedua-dua kejadian tersebut.

"Siasatan kedua-dua kes masih dijalankan dan ini menunjukkan polis tidak berat sebelah atau mengamalkan dwi standard dalam menjalankan siasatan.

"Kita menjalankan siasatan tanpa mengira mana-mana kumpulan (parti politik) dan sekiranya seseorang itu didapati terbukti terlibat dalam kejadian tersebut, kita akan menahannya untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian di Pasar Malam Alma, Bukit Mertajam dekat sini 15 Januari lalu, sekumpulan penyokong pembangkang dipercayai diketuai Khai Loon dengan biadap menyumbat kangkung ke dalam mulut replika Perdana Menteri dan mempersenda kenyataan Najib berhubung penurunan harga sayuran berkenaan baru-baru ini.

Ekoran tindakan kurang ajar itu, kira-kira 3,000 penduduk diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengadakan bantahan di Seberang Jaya dan mendesak Khai Loon memohon maaf.

Reezal Merican sebelum ini menafikan pihaknya terbabit dalam membawa banting '13 Mei' semasa perhimpunan itu serta dalam masa sama menyifatkan tindakan tersebut adalah manifestasi kemarahan orang Melayu terhadap tindakan tidak bertanggungjawab Khai Loon menghina Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved