Khamis, 23 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Nurul Izzah fail tuntutan fasakh

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

MAJLIS perkahwinan Nurul Izzah Anwar dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim yang diadakan di kediaman Anwar Ibrahim di Damansara pada pada 9 Mei 2003. - AFP

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sah memfailkan permohonan tuntutan fasakh terhadap suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Perkara itu disahkan oleh seorang kakitangan mahkamah yang enggan dikenali dan tidak mahu mendedahkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut.

Menurut sumber, Nurul Izzah, 34, yang juga anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan mengikut Seksyen 52 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1984 itu, awal bulan ini.

Kes itu telah disebut kali pertama di hadapan Hakim Syarie, Ab. Malek Awang dua hari lalu yang menetapkan sebutan semula kes pada 18 Februari ini.

Nurul Izzah dalam reaksi pantasnya kepada isu tersebut berkata: Kami amat sedih dengan cubaan gangguan yang menyentuh perkara peribadi apabila kami gigih berusaha untuk memastikan kelangsungan perkahwinan ini.

Keluarga kami menjadi keutamaan dan kami ucapkan terima kasih kepada semua yang melahirkan keprihatinan serta memohon semua pihak agar diberikan ruang peribadi pada waktu-waktu ini.

Khabar angin mengenai Nurul Izzah memfailkan tuntutan fasakh heboh diperkatakan apabila pihak media menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan permohonan itu difailkan olehnya dua minggu lalu.

Menerusi SMS berkenaan juga, Raja Ahmad Shahrir, 35, dikatakan telah menerima notis saman itu pada 16 Januari lalu.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman Anwar di Damansara dan dikurniakan dua anak berusia empat dan tujuh tahun.

Kepada soalan seorang pengikut Twitternya berhubung kesahihan khabar angin berkenaan, Nurul Izzah dalam jawapannya di laman sosial sama pada 1.58 petang, hanya membalas Wassalam...Nope.

Bagaimanapun, lewat petang ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, menurut sumber ahli keluarga terdekat pasangan itu, Nurul Izzah mungkin menarik balik permohonan itu Jumaat ini setelah dipercayai dipujuk oleh keluarga untuk berbaik semula dengan suaminya itu.

Langgar arahan: Tian Chua dipenjara sebulan, denda RM1,000

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Tian Chua (tengah) diiringi pegawai polis keluar dari Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman atas pertuduhan melanggar arahan di bawah Perintah Kawasan-kawasan Larangan 1975 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan melanggar arahan di bawah Perintah Kawasan-kawasan Larangan 1975, dua tahun lalu.

Mahkamah juga memerintahkan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, menjalani hukuman penjara satu bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Hakim Mahmud Abdullah dalam keputusannya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam bela, Eric Paulsen yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM500 kepada RM1,000.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Batu itu didakwa tidak mematuhi arahan Deputi Supritendan (DSP) A. Rajakopal, untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

Tian Chua dituduh melakukan kesalahan itu di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), Jalan Semarak, di sini pada pukul 2.30 pagi, 29 April 2012, iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohamed Yusoff, memohon hukuman setimpal dalam bentuk pemenjaraan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Menurut Amirah, jawatan Ahli Parlimen tidak seharusnya dijadikan sebagai tiket untuk mendapatkan hukuman ringan.

Walaupun tiada kecederaan berlaku semasa tertuduh berada di Pulapol, namun hakikatnya kesalahan itu adalah serius.

''Sebagai Yang Berhormat, tertuduh perlu memberi contoh yang baik kepada masyarakat, tetapi dia telah melanggar perintah polis,'' katanya.

Eric memohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja kepada anak guamnya atas alasan, kejadian yang berlaku melibatkan satu kesalahan teknikal dan tidak membawa apa-apa keuntungan kepada orang ramai mahupun tertuduh.

Sepanjang perbicaraan itu, pihak pendakwaan mengemukakan sembilan saksi sementara dua saksi pembelaan dipanggil.

Tian Chua dilihat keluar diiringi pegawai polis dari mahkamah tanpa digari turun ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di aras bawah kompleks mahkamah tersebut untuk mengeluarkan wang bagi membayar denda dan jaminan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved