Khamis, 23 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Barangan RM55,000 dirampas

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

SAIFULBAHRI Abdul Kadir (kanan) bersama anggotanya memeriksa harga barangan keperluan ketika mengadakan operasi di sekitar pekan Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID

TAMPIN 22 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri telah melakukan rampasan barangan bernilai RM55,000 sejak semalam dan hari ini di dua daerah menerusi Ops Harga 2014 yang dilancarkan Isnin lalu.

Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Saifulbahri Abdul Kadir memberitahu, sejumlah RM50,000 nilai barangan telah dirampas oleh pihaknya melibatkan kesalahan di bawah Kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

Jelasnya, yang juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa PDNKK, rampasan berkenaan dibuat hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan oleh pihaknya di Nilai melibatkan dua lokasi di Nilai 3 dan sekitar Bandar Baru Nilai.

"Dalam operasi yang kita lakukan di beberapa buah premis kita mendapati sebanyak 14 kes melibatkan kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan serta satu kes melibatkan Akta Timbang dan Sukat," katanya ketika ditemui dalam Ops Harga di Gemencheh, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, dalam serbuan yang sama di sekitar kawasan Gemencheh hari ini, Saifulbahri turut memberitahu, pihaknya mengesan beberapa peniaga yang didapati melanggar peraturan dengan tidak meletakkan harga barangan di kedai mereka.

Saifulbahri mengingatkan kepada para peniaga di negeri ini bahawa mereka seharusnya memaparkan tanda harga pada setiap barangan jualan selain menggunakan alat timbang yang ditentu sah oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan penipuan terutamanya dalam aspek sukatan.

"Kita melihat pada ketika ini terdapat kecenderungan peniaga mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan dengan menaikkan harga barangan sesuka hati dan kita tidak akan lagi berkompromi dengan mengambil tindakan kepada mereka yang cuba mencabar undang-undang," katanya.

Justeru Saifulbahri meminta kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat yang tepat dan jelas kepada pihaknya bagi membolehkan tindakan diambil terhadap peniaga yang sengaja melakukan kesalahan bagi mengaut keuntungan berlebihan.

PBT tidak dibenar naikkan cukai pintu - MB

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

SEREMBAN 22 Jan. - Kerajaan negeri tidak akan membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menaikkan kadar cukai terutamanya cukai pintu pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan mengurangkan beban rakyat.

Beliau berkata, walaupun ia bermakna PBT terpaksa menanggung beban akibat kos operasi yang meningkat, kerajaan negeri membuat keputusan itu demi kesejahteraan hidup rakyat.

"Serentak dengan itu juga, kerajaan berharap para peniaga menerima keputusan ini dengan tidak menaikkan harga barang secara keterlaluan memandangkan mereka hanya membayar cukai pada kadar lama.

"Ini penting kerana usaha kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada semua pihak dan dalam hal ini para peniaga juga perlu memainkan peranan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga melakukan pengorbanan dengan mengarahkan semua PBT melonggarkan syarat bagi penjaja dan peniaga kecil mendapatkan lesen perniagaan.

Katanya, para penjaja juga menikmati pengecualian bayaran permit niaga selama tiga tahun yang mengakibatkan PBT mengalami kekurangan pendapatan mencecah jutaan ringgit sepanjang tempoh tersebut.

"Semua ini dilakukan kerana kerajaan mahu terus membantu menggalakkan aktiviti perniagaan di negeri ini dengan memudahkan peraturan yang selama ini dianggap terlalu ketat," ujarnya.

Mohamad memberitahu, mesyuarat Exco juga telah memutuskan takrifan penjaja sebagai mereka yang berniaga di premis yang tidak kekal seperti pasar malam, pasar tani, berniaga di bawah payung dan secara bergerak.

Jelasnya, walaupun syarat bagi penjaja telah dilonggarkan, mereka hanya dibenarkan berniaga di lokasi yang munasabah dan bukannya di tempat seperti persimpangan jalan atau berdekatan lampu isyarat.

"Mereka juga tidak boleh menyewakan perniagaan itu kepada pihak lain kerana kelonggaran syarat ini bertujuan membuka peluang kepada orang ramai menjalankan perniagaan sendiri," tegasnya.

Generasi muda perlu rebut peluang jadi usahawan

Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST

MELAKA 22 Jan. - Generasi muda diseru untuk tidak mensia-siakan segala peluang yang dihidangkan kerajaan bagi melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, peluang itu perlu direbut terutamanya oleh belia bumiputera dalam usaha memajukan ekonomi diri, keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, belia yang bijak mengambil peluang serta kreatif dalam membuat keputusan akan membantu mengangkat negara ke satu tahap yang lebih membanggakan di mata dunia.

"Sebaliknya, belia yang bersikap pasif akan terus terkongkong dalam zon selesa dan tidak akan berusaha keluar dan memajukan diri sendiri," katanya ketika merasmikan program Ramah Mesra Usahawan Belia Melaka 2014, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Datuk Hafsah Hashim dan Presiden Gabungan Muda Berjaya (GMB) Malaysia, Agil Faizal Ahmad.

Majlis tersebut sempena Siri Jelajah Kongres Muda ke Melaka bagi mengadakan forum serta mendengar usul dan pendapat dari usahawan yang seterusnya akan dibawa ke Kongres Muda di Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 Mac ini.

Jelas Idris, beliau yakin program yang diadakan itu memberi banyak manfaat kepada para usahawan muda bagi menggalakkan penglibatan mereka.

"Program ini bertujuan untuk memberikan gambaran betapa seriusnya kerajaan dalam meletakkan orang muda di satu kedudukan bagi memperbaiki diri dan maju ke hadapan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved