Khamis, 24 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Tembak pegawai AmBank : 3 suspek ditahan

Posted: 24 Oct 2013 11:50 PM PDT

SHAH ALAM 25 Okt. - Polis menahan dua pengawal keselamatan dan seorang wanita yang dipercayai bersubahat dan mempunyai kaitan dengan suspek yang menembak mati seorang pegawai operasi AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini kelmarin.

Dua pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara suspek sementara wanita itu pula dipercayai isterinya berusia 20-an hingga 30-an.

Kesemua suspek yang merupakan rakyat negara jiran tetapi dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang pada malam kejadian.

Susulan penahanan ketiga-tiga mereka, polis turut menemukan wang tunai RM20,000 yang dipercayai sebahagian daripada RM450,000 hasil rompakan suspek dari peti besi bank berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal percaya selepas melarikan diri dari Ambank, suspek telah mengagih-agihkan sebahagian kecil hasil rompakan termasuk kepada tiga yang ditahan.

Beliau berkata, wang tunai RM20,000 itu disembunyikan mereka di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya yang merupakan tempat kerja dua pengawal keselamatan yang ditahan. - UTUSAN ONLINE

Tembak pegawai Ambank: Tiga suspek ditahan

Posted: 24 Oct 2013 11:41 PM PDT

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM 25 Okt. - Polis menahan dua pengawal keselamatan dan seorang wanita yang dipercayai bersubahat dan mempunyai kaitan dengan suspek yang menembak mati seorang pegawai operasi Ambank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini kelmarin.

Dua pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara suspek sementara wanita itu pula dipercayai isterinya berusia 20-an hingga 30-an.

Kesemua suspek yang merupakan rakyat negara jiran tetapi dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kemuning, Klang pada malam hari kejadian.

Susulan penahanan ketiga-tiga mereka, polis turut menemui wang tunai RM20,000 yang dipercayai sebahagian daripada RM450,000 hasil rompakan suspek dari peti besi Ambank cawangan berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal percaya selepas melarikan diri dari Ambank, suspek telah mengagih-agihkan sebahagian kecil hasil rompakan termasuk kepada tiga yang ditahan.

Beliau berkata, wang tunai RM20,000 itu disembunyikan mereka di sebuah pusat membeli-belah di Subang Jaya dekat sini yang merupakan tempat kerja dua pengawal keselamatan yang ditahan.

"Kita masih memburu suspek yang dipercayai masih berada di negara ini bersama hasil rompakan dan selaras pump gun yang digunakan untuk menembak mati mangsa.

"Siasatan kita juga percaya suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, bukan berasal dari Sabah tetapi dari negara jiran dan dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu.

"Kini kita sedang menyiasat bagaimana suspek memperolehi kad pengenalan, serta dibenarkan menggunakan senjata api," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.

Difahamkan, suspek yang diburu berasal dari Sulawesi, Indonesia. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Chong Wei ketuai kemaraan di Terbuka Perancis

Posted: 24 Oct 2013 12:33 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengetuai kemaraan ke pusingan suku akhir Siri Super Terbuka Perancis 2013, selepas menang pusingan kedua semalam dengan menewaskan pemain India, Ajay Jayaram 21-18, 21-18 di Stadium Pierre de Coubertin, Paris.

Chong Wei yang merupakan pemain pilihan pertama kejohanan hanya memerlukan 45 minit untuk menunjukkan jalan keluar kepada pemain India tersebut sekali gus menempah slot ke suku akhir dan akan bertemu pemain Thailand, Boonsak Ponsana.

Sementara itu, turut cemerlang ialah beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang mengenepikan cabaran beregu Jerman, Michael Fuchs-Johannes Schoettler 21-19, 21-19 dan mereka akan bertemu pasangan, England, Chris Adcock-Andrew Ellis.

Turut mara ke suku akhir ialah satu lagi pasangan beregu lelaki, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang mengalahkan gandingan Hong Kong, Chan Yun Lung-Lee Chun Hei 21-18 21-18. Mereka akan bertemu pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong esok di peringkat suku akhir.

Beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang juga pilihan kelima kejohanan juga mudah mengenepikan pasangan England, Chris Langridge-Olver Heather, 21-18, 21-17 seterusnya akan menentang pilihan pertama dari China, Zhang Nan-Zhao Yunlei hari ini. - UTUSAN ONLINE

Serang Gladiators habis-habisan

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Bojan Hodak

KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Bojan Hodak tidak akan terpengaruh dengan perang saraf Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang positif mampu bangkit pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Hodak sebaliknya mahu pemainnya memberi tumpuan penuh bagi memastikan Kelantan mara ke pentas akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Justeru, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik bagi menyekat kebangkitan ATM.

Di sini bukan lagi kedudukan 50-50 (untuk menang) kerana kami mempunyai sokongan yang kuat dan segala-galanya disebabkan Kota Bharu adalah gelanggang kami, tetapi saya ingin tegaskan sebaik sahaja wisel dibunyikan, kami akan menyerang habis-habisan.

Semua pemain kini berada pada tahap terbaik dan bebas daripada kecederaan. Keadaan tersebut memudahkan tugas saya membuat perancangan terbaik bagi menghadapi tentangan ATM," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Hodak berkata, meskipun mempunyai kelebihan dua gol, pasukannya tetap turun dengan misi memburu gol awal.

Katanya, jaringan awal amat penting buat Red Warriors untuk menyekat sebarang kebangkitan ATM.

Selain memburu tiket akhir, kami mahu melunaskan hutang selepas Kelantan dimalukan dengan kekalahan kepada ATM pada aksi liga April lalu. Saya tidak mahu peristiwa 13 April itu berulang malam esok (ini).

Sudah pasti perlawanan ini akan berbeza, terutama apabila kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan untuk ke final," ujarnya.

Hodak bagaimanapun tetap menghormati ATM dan mahu pemainnya berwaspada dengan taktikal yang bakal digunakan pihak lawan pada perlawanan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Banjir kilat resahkan penduduk

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

MADAM LIM,
Taman Desa Indah, Jerantut.

Sebahagian kawasan perumahan di Taman Desa Indah, Jerantut dilanda banjir kilat, baru-baru ini.

SAYA merupakan penghuni Taman Desa Indah, Jerantut mengakui senario projek perumahan di merata tempat di bandar ini yang semakin pesat menandakan peningkatan pembangunan di daerah ini.

Selaku penduduk yang lama bermastautin di bandar ini bermula dengan mendiami rumah kayu beratap zink, kini saya memiliki sebuah rumah teres yang dihuni 20 tahun lalu sehingga cukup selesa untuk membesarkan anak dan persiapan hari tua.

Namun hasrat menikmati kehidupan selesa kini tergugat apabila sejak akhir-akhir ini kawasan perumahan kami dan kawasan perumahan lain kerap berlaku banjir kilat.

Boleh dikatakan setiap kali hujan lebat penduduk mendapat padah apabila kediaman dilimpahi air yang mengalir dari kawasan projek perumahan berdekatan sehingga turut mengganggu tugas harian penduduk yang rata-ratanya merupakan golongan peniaga.

Minggu lepas, sekali lagi kami ditimpa malang apabila banjir kilat melanda beberapa kali sehingga air melimpah ke dalam rumah dan merosakkan harta benda.

Saya ingin bertanya kepada pihak berwajib iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk agensi lain apakah pelan projek perumahan dirangka dengan teliti termasuk dari aspek sistem saliran.

Untuk makluman pembaca Rakan Pahang, saya bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi keraguan kami timbul terhadap kredibiliti beberapa jabatan yang terlibat apabila pemaju perumahan sendiri seperti mengabaikan sistem saliran sehingga boleh menyebabkan banjir kilat.

Ancaman banjir kilat kian menjadi-jadi sejak 10 tahun lalu selaras pembangunan projek perumahan di bandar ini sehingga dalam kalangan pemilik rumah teres di kawasan rendah menjadi mangsa apabila sistem saliran gagal berfungsi dengan baik.

Menerusi Rakan Pahang ini, saya berharap jabatan kerajaan terlibat mencari penyelesaian sepenuhnya dan pada masa sama wajar bersikap tegas terhadap pemaju hartanah di sini.

Semua projek pembangunan wajar memenuhi aspek keselesaan hidup penduduk, sekali gus mewujudkan persekitaran bersih dan ceria bagi menjamin entiti sebuah bandar bertaraf 'Bandar Jerantut, Bandar Taman Negara' di negeri ini.

Bersama doakan kejayaan Tok Gajah

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

PENYOKONG SETIA
Gambang.

Pasukan bola sepak Pahang bersama jurulatih dan pengurusan ceria dan bersemangat selepas menjalani latihan di padang bola sepak Taman Gelora, Kuantan, kelmarin.

PADA 2012 ramai penyokong Tok Gajah angkat kaki apabila skuad bola sepak Pahang terjerumus ke Liga Perdana apabila menduduki dua tangga terbawah Liga Super 2011.

Menyedari kemerosotan bola sepak Pahang, Dollah menanam azam untuk kembalikan Tok Gajah ke saingan Liga Super 2013 dan perkara ini telah menjadi kenyataan.

Kemenangan 3-2 yang dicatat pada perlawanan pertama Liga Super musim ini menentang pasukan yang dibarisi dengan ramai pemain bintang, Johor Darul Takzim (DT) sememangnya satu permulaan yang penuh menyakinkan.

Kemenangan demi kemenangan yang dikecapi oleh skuad Tok Gajah berjaya mengembalikan keyakinan penyokong untuk memenuhi stadium apabila Pahang menerima kunjungan lawan.

Walaupun impian melihat Pahang muncul juara Liga Super dan Piala FA musim ini tidak tercapai namun Tok Gajah kini mempunyai satu misi penting mengulangi sejarah 1997 untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Kejayaan membenam Sarawak 3-1 pada pusingan pertama saingan separuh akhir Sabtu lepas sudah pasti satu berita gembira dan hanya memerlukan keputusan seri di Kuching, esok untuk beraksi di final.

Saya yakin semua pemain telah bersiap sedia untuk menentang Sarawak dengan misi penting iaitu mengelak amukan Bujang Senang di laman sendiri.

Difahamkan, ratusan penyokong setia Tok Gajah sudah menempah tiket kapal terbang untuk ke Kuching bagi memberi sokongan serta meraikan kejayaan bersama pemain sekiranya Pahang layak ke final nanti.

Maka sebagai penyokong, bersamalah kita berdoa agar skuad Tok Gajah mampu membawa berita penuh kegembiraan kepada rakyat Pahang yang amat dahagakan bahang aksi final piala berprestij negara sekali gus mengulangi kejayaan skuad 1992.

Bendung gejala vandalisme

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

PENGHUNI TUA,
Bandar Lama Jerantut.

Antara papan tanda di taman permainan kanak-kanak berdekatan De'Kilau Court di Bandar Lama Jerantut yang menjadi sasaran kegiatan vandalisme.

SAYA antara penduduk Bandar Jerantut, Bandar Taman Negara cakna untuk menyingkap masalah perbuatan merosakkan harta benda awam dengan niat atau dikenali sebagai 'vandalisme' hari ini semakin berleluasa dan seakan-akan tidak boleh dibendung lagi di bandar ini.

Saya terpanggil untuk berbicara hal ini kerana dalam usaha pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) melaksanakan projek kebersihan dan keceriaan masih lagi wujud mereka yang anti pembangunan malahan dengan niat buruk merosakkan harta awam dan mencemarkan tempat berkenaan.

Untuk makluman pembaca Rakan Pahang, sudah mula kelihatan perbuatan vandalisme di kawasan taman pesiaran, taman kanak-kanak, menconteng dinding dan papan tanda, merosakkan tandas awam, tong sampah, membuang sampah merata-rata, mencuri penutup longkang dan beberapa gejala lain.

Sejak akhir-akhir ini, saya juga kerap terpandang segelintir penduduk yang kerjanya mengumpul tin minuman, botol dan bekas plastik di tong sampah di kawasan perumahan dan sekitar taman di bandar ini kerap tidak menghargai usaha MDJ dan Alam Flora menjaga kebersihan.

Mereka menyelongkar tong sampah dan ada yang sanggup menelangkup atau mengangkat tong dan menuang semula sampah semata-mata untuk mendapatkan bahan berkenaan, kemudian membiarkan keadaan bersepah dan menjadi kotor.

Saya beranggapan sikap negatif dan tidak berakhlak apabila tidak mengendahkan kebersihan dan merosakkan harta awam tidak sepatutnya berlaku dalam negara ini yang penduduknya mengamalkan budaya ketimuran.

Sikap vandalisme itu juga merupakan pemikiran yang mundur malahan memaparkan karektor seseorang yang berada di zaman prasejarah.

Untuk makluman pembaca, kegiatan vandalisme juga boleh membenih jenayah di kawasan bandar yang pesat membangun kerana pada mulanya si pelaku hanya merosakkan kemudahan awam, tetapi lama kelamaan berani bertindak melampaui undang-undang.

Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya berharap masyarakat kita khususnya di bandar perlu lebih mesra dan menegur secara berhemah jika ternampak individu tertentu melakukan vandalisme.

Malahan pemantauan di tempat awam di bandar ini oleh pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) juga wajar diperhebat untuk menangani kes vandalisme.

Mereka yang terbabit jika ditahan wajar dikenakan hukuman tertentu berasaskan peraturan pihak berkuasa tempatan dan diiringi dengan program kaunselor agar wujud kesedaran pelaku sekali gus perbuatan itu dapat dikurangkan.

Saya yakin dengan kepekaan pihak berwajib dan kerjasama semua pihak berasaskan amalan kejiranan, kes vandalisme dapat diatasi sekali gus Bandar Jerantut kekal bersih dan ceria selaku pemacu pembangunan sektor pelancongan di negeri ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


CEO didakwa rasuah projek RM2.7j

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamad Hanafiah

JOHOR BAHRU 24 Okt. - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat Johor Port, Mohamad Hanafiah Abu Mansor hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan rasuah membabitkan projek bernilai RM2.7 juta, empat tahun lalu.

Mohamad Hanafiah, 47, yang bertugas di JP Logistics Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Danga Bay di sini pada pertengahan Jun 2009 ketika masih memegang jawatan Naib Presiden Iskandar Investment Bhd. (IIB) dan CEO Medini Iskandar (M) Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa meminta suapan 10 peratus daripada harga projek 'Cadangan Pembinaan dan Penyiapan Jalan Logistik Alternatif Penduduk Kampung Sungai Pendas Untuk Pembangunan Medini Iskandar Malaysia' daripada seorang individu bernama Mohd. Zulkifli Arif.

Suapan itu kononnya untuk Mohd. Amin Suhaimi sebagai dorongan kerana membantu syarikat Segi Mulia Sdn. Bhd. mendapatkan kontrak pembinaan dan menyiapkan jalan alternatif di Kampung Pendas Laut yang bernilai RM2.7 juta daripada Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Hanafiah didakwa menerima rasuah RM25,000 daripada Mohd. Zulkifli bagi tujuan sama di kawasan letak kereta belakang pejabat Iskandar Investment Bhd., Danga Bay di sini antara pukul 3 dan 4 petang pada awal Januari 2010.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abdul Latiff menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohamad Hanafiah pula memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan ini kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah selain telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM semasa siasatan dijalankan.

Mohamad Haidar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 November ini.

Pemain bola sepak dituduh beri keterangan palsu

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Tertuduh menutup mukanya dengan kain dibawa oleh anggota SPRM atas tuduhan membuat kenyataan palsu berhubung kes bookie di Mahkamah Sesyen Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 24 Okt. - Seorang bekas pemain skuad Piala Presiden T-Team hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi dalam perbicaraan berhubung kes mengatur perlawanan bola sepak pada hujung tahun lalu.

Mohd. Azuan Hussein, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di Mahkamah Sesyen 1 di sini antara pukul 10 pagi dan 1 petang, 3 Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi keterangan palsu semasa perbicaraan kes terhadap ahli perniagaan, R.K. Rajendran dan bekas jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team, Sufian Ngah di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen tersebut.

Dalam perbicaraan berkenaan, tertuduh didakwa telah memberi keterangan seperti berikut:

"Sebelum perlawanan dengan Negeri Pahang, Sufian Ngah tiada berjanji atau suruh buat apa-apa dalam perlawanan ini".

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak selaras dengan kenyataan yang diberikannya kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Penguasa Ahmad Syukri @ Senek di pejabat SPRM negeri pada 4 Jun 2011 yang seperti berikut:

"Game seterusnya adalah T-Team menentang Pahang bertempat di Kuantan juga pada Februari 2010. Sebelum game bermula, Sufian telah beri arahan kepada saya, Shaqudin, Azwan Ali, Nizam dan Nazmir supaya T-Team menang.

"Saya telah terlupa berapa golkah mesti menang. Menurut Sufian, jika arahan itu dipatuhi, saya berlima akan diberikan duit oleh bookie".

Mohd. Azuan didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan diperintah melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan sebagai syarat jaminan.

Sebutan kes ditetapkan pada 26 November ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


FTC saman Samsung

Posted: 24 Oct 2013 12:34 PM PDT

TAIPEI 25 Okt. - Suruhanjaya Perdagangan Adil (FTC) Taiwan, semalam menyaman unit tempatan Samsung Electronics Co. kerana memfitnah reputasi syarikat pembuat telefon bimbit negara ini, HTC Corp.

Dalam satu notis di laman web suruhanjaya itu, FTC berkata, Samsung telah melancarkan kempen di Internet yang melanggar peraturan perdagangan secara adil untuk memuji telefon pintar Samsung sambil mengkritik produk HTC.

FTC mengemukakan saman sebanyak New Taiwan dolar 10 juta (RM1 juta), selain turut mengemukakan saman berjumlah kecil kepada dia syarikat perdagangan Taiwan yang bertanggungjawab membina kempen Internet itu. - AGENSI

AS cuba redakan Arab Saudi

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

WASHINGTON 24 Okt. - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam cuba untuk memulihkan hubungan dengan Arab Saudi berhubung perselisihan tentang dasar AS di Syria dan Asia Barat.

Jurucakap White House, Jay Carney mengakui terdapat percanggahan pendapat dengan Arab Saudi, tetapi menyifatkannya hanya sebagai 'perselisihan keluarga'.

"Perselisihan ini bukanlah satu pertelagahan dasar kerana kedua-dua negara terlalu banyak bergantung antara satu sama lain.

"Kami akan menyelesaikannya dengan cara terbuka sambil mengekalkan asas perhubungan yang sangat penting ini.

"Kami akan terus bekerjasama dengan Arab Saudi kerana hubungan ini sangat penting dari segi ekonomi dan keselamatan kebangsaan," katanya kepada wartawan.

Ketua Perisikan Arab Saudi, Putera Bandar Sultan sebelum ini menegaskan bahawa negara itu akan membuat 'perubahan besar' dalam hubungannya dengan AS, sebagai membantah tindakan tidak bersungguh-sungguh Washington berhubung perang saudara di Syria, konflik Israel-Palestin dan usaha negara itu untuk berbaik-baik dengan Iran.

Namun, beberapa pegawai dan bekas pegawai AS secara peribadi menyatakan, kemarahan Arab Sudi itu hanya akan memberi kesan kecil kepada hubungan kedua-dua negara yang telah lama terjalin.

Menurut satu sumber dari keselamatan kebangsaan AS, tanda-tanda bahawa Arab Saudi akan menarik balik atau menutup pangkalan tentera AS di negara itu juga masih tidak kelihatan.

Washington dan Riyadh merupakan rakan sekutu rapat dalam memerangi al-Qaeda dan hubungan itu turut memberi kelebihan kepada kedua-dua negara, terutamanya menjamin keselamatan di rantau tersebut bagi membolehkan bekalan minyak dunia berkekalan. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Comango 'patuk' umat Melayu

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

MALAM tadi sekitar pukul 8.30 malam (2.30 petang waktu Geneva, Switzerland), tuntutan-tuntutan melampau daripada Gabungan NGO Hak Asasi Manusia Malaysia (Comango) pada proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) telah didengar.

Comango yang dianggotai 54 pertubuhan termasuk Suaram dan Sisters in Islam adalah kumpulan yang mempunyai ideologi hak asasi tertentu. Rata-ratanya cenderung ke arah Barat dan sekular.

Di Geneva, kerajaan perlu menempuh proses UPR di mana Malaysia perlu menjawab beberapa tuntutan yang dikemukakan Comango berhubung kepatuhan terhadap undang-undang hak asasi manusia.

Ini termasuk kebebasan perlu diberikan kepada orang Islam untuk murtad. Juga, ruang untuk mereka yang bernafsu sejenis dibenarkan melampiaskan nafsu mengikut pilihan mereka sendiri tanpa melalui sekatan undang-undang.

Dalam 'insiden' ini, jangan dipandang remeh pengaruh UPR kerana impaknya memang besar.

Ingatkah lagi rakyat Malaysia apa yang terjadi dalam pusingan pertama UPR di Geneva pada 11 Februari 2009. Syor-syor pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan Akta Ordinan Darurat (EO) 1969 yang diutarakan dan ditandatangani dalam pusingan itu akhirnya telah menuntut komitmen kita.

Untuk mengelakkan perkara yang lebih teruk lagi berulang, Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) terpaksa bergegas ke Geneva. Di Geneva, Comango dan MuslimUPro merupakan pelobi. Kalau hanya mendengar suara Comango, ia sedikit sebanyak boleh mempengaruhi keputusan delegasi antarabangsa. Sesetengah wakil negara luar pula tentu akan turut melobi apa yang dituntut oleh Comango.

Pihak yang membawakan isu tuntutan ini realitinya memang mereka penuh 'bermasalah'. Ada hitam putih dalam laporan Comango. Ada perenggan tertentu yang mahu menuntut hak-hak bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Dan menggugat Islam dalam budaya masyarakat majmuk yang telah semua pihak terima. Ini yang orang Melayu tidak boleh terima sehinggakan dalam jenayah syariah pun, mereka (Comango) anggap pelanggaran hak asasi.

Bagi Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, tuntutan-tuntutan melampau Comango seharusnya 'mencelikkan mata' umat Melayu Islam betapa perlunya mereka bersatu.

Comango, kata beliau, sebenarnya telah lama mengutip 'butiran-butiran serong' untuk dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan masyarakat antarabangsa. Ini antaranya bertujuan memperkecilkan Malaysia menerusi peruntukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan.

Malahan, kata beliau, beberapa kes melibatkan hak-hak agama Islam menerusi keputusan Mahkamah Syariah dan tindakan majlis agama Islam negeri-negeri juga dikemukakan oleh gabungan 54 pertubuhan itu secara berasingan ke UPR sebagai kononnya pentadbiran Malaysia terlalu ekstrem dalam melaksanakan lunas-lunas Islam.

"Sejak saya menjadi Menteri Luar lagi, mereka dah cuba. Ini semua akan dilaporkan mereka (Comango) sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia.

"Sebenarnya sekarang ini ada gerakan antarabangsa yang dicetuskan oleh pihak- pihak yang suka hendak menjejaskan Malaysia khasnya dan umat Islam amnya di Asia Tenggara.

"Ini melibatkan Malaysia dan Indonesia. Indonesia merupakan negara Islam yang jumlah umat Islamnya terbesar di dunia sementara Malaysia negara Islam paling progresif.

"Jadi, ini contoh (tuntutan Comango) kalau kita umat Melayu Islam tidak bersatu, orang akan pertikaikan," kata bekas Menteri Luar itu kepada penulis kelmarin.

Rais berkata, beberapa kes misalnya melibatkan seorang wanita Islam murtad, 'Lina Joy' juga dijadikan kes lampiran oleh Comango untuk menunjukkan sistem hukuman negara membelakangi hak asasi manusia.

"Selain itu, pembangunan masjid dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga dijadikan bahan kritikan sebagai kononnya Malaysia keterlaluan dalam memajukan Islam sehingga menyebabkan kaum- kaum lain tidak sampai ke tahap progresif.

"Dan kononnya kemajuan bukan Islam juga terpinggir. Ini semua bidaah yang digaul dengan politik antarabangsa," kata beliau yang juga Presiden UIAM.

Serentak itu, Rais menggesa seluruh NGO yang memegang dan memperjuangkan prinsip-prinsip Islam dan Melayu supaya tampil menangkis tohmahan-tohmahan daripada Comango.

"Kita mesti tunjukkan komitmen Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) selama ini kepada rakyat dan NGO bukan Islam yang juga amat besar, sumbangan kepada Sabah dan Sarawak menerusi badan-badan yang berkait rapat dengan Kristian harus dinyatakan.

"Yang paling utama, kita mesti tunjukkan Malaysia menerusi Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3) sama sekali tidak mengetepikan kepentingan bukan Islam termasuk membenarkan kebebasan beragama secara aman.

"Jika (tuntutan Comango) ini tidak ditangkis, rating Malaysia dalam harakat hak asasi manusia di peringkat antarabangsa akan terjejas teruk," katanya.

Di sebalik kemarahan umat Islam negara ini terhadap Comango, kita mengharapkan wakil kerajaan di Geneva malam tadi yang berpegang teguh pada asas Perlembagaan negara menjadi pelobi yang berwibawa.

Banyak contoh Perdana Menteri berdamping rapat dengan masyarakat bukan Islam. Di Batu Caves, Selangor; Sabah dan Sarawak serta dalam perayaan-perayaan Deepavali, Gong Xi Fa Chai dan Hari Natal, kemesraan pemimpin dan rakyat jelas amat ketara.

Malam tadi, delegasi rasmi kerajaan membentangkan laporan prestasi empat tahun lepas sejak proses terakhir 2009. Dan ini membuka ruang kepada orang lain mengemukakan laporan dan komentar mereka.

Proses UPR berlangsung dalam bentuk perundingan dan sesi khusus itu berlangsung selama tiga jam bagi slot Kuala Lumpur.

Dan beberapa hari lagi iaitu pada 29 atau 30 Oktober ini, delegasi dan kerajaan akan mengisytiharkan syor yang akan diterima, syor ditolak atau tiada komen.

Kita iringkan doa semoga kebenaran berpihak kepada kerajaan.

Bajet 2014, transformasi zakat

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Oleh Ram Al Jaffri Saad

Sesi Pembentangan Bajet di Parlimen setiap tahun sering menarik perhatian rakyat daripada pelbagai peringkat untuk mengikutinya.

HARI ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2014 di Parlimen. Masyarakat di semua peringkat pasti ternanti-nanti isi kandungan bajet berkenaan. Tentunya akan ada pelbagai elemen kejutan dan tawaran menarik untuk rakyat yang akan diumumkan untuk dilaksanakan pada 2014.

Bagi penulis, adalah menjadi harapan agar dalam bajet yang akan dibentangkan nanti agenda transformasi zakat di negara kita akan mendapat perhatian serius oleh pihak kerajaan. Usaha dan strategi baru perlu disuntik bagi melestarikan lagi peranan zakat dan institusi zakat dalam usaha memperkasakan pembangunan ummah.

Pada dasarnya, terdapat dua isu zakat yang boleh direkayasakan dalam bajet 2014 nanti. Dua isu tersebut ialah zakat korporat dan penubuhan Lembaga Zakat Negara (LZN).

Isu zakat korporat telah diperdebatkan sejak sekian lama dan masih tiada penyelesaian mutlak diputuskan oleh mana-mana pihak. Keadaan ini telah menyukarkan syarikat-syarikat korporat untuk melaksanakan tanggungjawab berzakat. Ini kerana menurut perlembagaan persekutuan, syarikat korporat bukanlah individu Islam, maka tanggungjawab zakat tidak diwajibkan ke atas syarikat kepunyaan orang-orang Islam.

Keadaan ini telah menimbulkan masalah kepada syarikat-syarikat ini kerana secara tidak langsung mereka terpaksa membayar dua kali 'cukai', iaitu cukai perniagaan dan zakat korporat. Kedudukan ini bukan sahaja dibimbangi membebankan mereka malah akan merencatkan niat dan gelagat mereka untuk membayar zakat.

Walaupun kerajaan telah memberikan potongan sebanyak 2.5% ke atas pendapatan agregat syarikat bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan, namun jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan jumlah zakat yang perlu dikeluarkan oleh syarikat.

Natijahnya, syarikat Muslim membuat keputusan untuk tidak membayar zakat kerana ia akan memberi kesan kepada kos operasi perniagaan.

Pernyataan ini disokong oleh data statistik kutipan zakat dengan jumlah peniaga yang berdaftar dan aktif menjalankan perniagaan. Laporan zakat menunjukkan kurang daripada 10% syarikat Muslim di seluruh negara membayar zakat perniagaan.

Keadaan ini amat mendukacitakan sekali. Hal ini sudah pasti menjejaskan usaha pembangunan ummah. Hanya dengan peningkatan kutipan zakat secara berterusan mampu memastikan pelaksanaan zakat dapat dilakukan dengan lebih baik.

Justeru, Bajet 2014 disaran agar lebih mesra zakat korporat melalui dua strategi. Pertama, pelarasan tafsiran individu dan syarikat antara Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Perlembagaan Persekutuan.

Pada amalan sekarang, Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan bahawa cukai pendapatan syarikat dikenakan ke atas keuntungan daripada perniagaan. Sedangkan di dalam Senarai 2, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa undang-undang Islam hanyalah diterimapakai ke atas individu Islam.

Ini menunjukkan kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang mewajibkan syarikat korporat membayar zakat perniagaan. Oleh yang demikian, bajet 2014 perlu menyediakan inisiatif bagi meminda undang-undang sedia ada untuk mewajibkan zakat dikenakan ke atas syarikat korporat Muslim.

Kedua, zakat korporat harus menerima layanan rebat cukai sepertimana zakat pendapatan individu. Bagi zakat pendapatan, rebat cukai 100% telah diberikan kepada mana-mana individu yang membayar zakat kepada institusi agama yang sah. Perkara ini termaktub di dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Justeru, bagi menggalakkan syarikat korporat membayar zakat perniagaan, maka rebat cukai harus diperluaskan kepada zakat korporat. Rebat cukai ini perlu diberikan kepada keseluruhan jumlah zakat korporat yang telah dibayar dan bukan hanya potongan 2.5% daripada pendapatan agregat syarikat seperti yang diamalkan sekarang. Pengumuman insentif ini di dalam bajet nanti pasti menggembirakan syarikat-syarikat korporat Muslim.

Isu kedua yang wajar diberikan perhatian dalam bajet 2014 ialah penubuhan segera Lembaga Zakat Negara (LZN). Penubuhan LZN diyakini akan memberikan banyak manfaat kepada pengurusan zakat amnya dan kemajuan ummah khususnya.

Meskipun negara telah mempunyai Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di peringkat persekutuan, namun peranannya dilihat terbatas dan diselubungi oleh undang-undang sedia ada yang menyukarkan pengurusan yang lebih komprehensif di peringkat nasional sepertimana Tabung Haji.

Dengan adanya LZN, masalah ketidakseragaman pentadbiran dan pengurusan zakat pada masa sekarang dapat diatasi. Isu-isu seperti perbezaan taksiran zakat, ketidakcekapan pengurusan kutipan dan agihan zakat dan pembayar yang tidak mengikut sempadan negeri dapat dikurangkan. Dana zakat juga dapat dikembangkan dengan lebih baik di bawah LZN.

Menurut sejarah perkembangan zakat di negara kita, idea penubuhan LZN pernah diutarakan sekitar 2003 dan 2004 lagi. Namun kegagalan menjadikannya satu realiti ditunjangi oleh beberapa faktor seperti bertentangan dengan perlembagaan dan kebimbangan terhapusnya bidang kuasa negeri berkaitan zakat.

Dalam soal ini, LZN harus dilihat dalam konteks yang berbeza dan merentasi ruang lingkup definasi undang-undang sedia ada. Ini bermaksud konsep LZN dijadikan sebagai sebuah badan korporat yang diurus tadbir oleh profesional. Ahli-ahli LZN hendaklah terdiri daripada gabungan wakil-wakil institusi zakat negeri yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja.

Kuasa autonomi pengurusan dan pentadbiran zakat hendaklah diberikan kepada LZN dan diiktiraf oleh kerajaan persekutuan. Sebarang usaha dan strategi pelaksanaan pelan perancangan zakat negara diserahkan sepenuhnya kepada LZN. Ini termasuklah hal pentadbiran dan pengurusan kutipan dan agihan zakat di semua negeri. Sebagai permulaan, lebihan wang zakat di negeri-negeri dikumpulkan dan diuruskan oleh LZN.

Bagi penulis, pentadbiran dan pengurusan zakat wajar melalui satu transformasi melalui bajet 2014. Sejak kali terakhir mendapat perhatian di dalam bajet 2007, hampir enam tahun zakat seperti 'dipinggirkan'.

Sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mentransformasikan negara, maka sudah tiba masanya zakat ditransformasikan kepada satu tahap yang lebih tinggi daripada apa yang ada pada masa sekarang.

PENULIS ialah Ram Al Jaffri Saad, Pensyarah Kanan Perakaunan dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Orang dewasa 'pembunuh' kanak-kanak

Posted: 24 Oct 2013 12:24 AM PDT

Gwei Tze-Co (kanan) dan Jenny Kwan menunjukkan sebahagian daripada peralatan untuk bayi yang diedarkan oleh Kinderdijk Sdn. Bhd. pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagaimana ungkapan 'kemalangan tidak berbau', insiden yang tidak diingini ini boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di luar mahupun dalam rumah.

Namun kebanyakan kemalangan yang menyebabkan kecederaan mahupun kematian sebenarnya boleh dielak sekiranya langkah berhati-hati dan selamat diambil oleh penjaga anak-anak.

Jika kedua-dua perkara ini menjadi amalan maka tidaklah kita dikejutkan dengan kejadian-kejadian seperti anak cedera atau terbunuh disebabkan terlanggar kenderaan dipandu bapa atau ibu sendiri.

Hakikatnya kemalangan kereta yang melibatkan bayi dan kanak-kanak setiap tahun merupakan satu realiti yang dahsyat sehingga membawa kepada penekanan isu keselamatan anak.

Analisis ujian kemalangan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) pada tahun 2010 mendedahkan, penumpang dewasa tidak akan mempunyai kekuatan untuk mengelakkan bayi atau kanak-kanak daripada terhumban atau tercampak ke depan semasa pelanggaran pada tahap kelajuan tertentu.

Lebih menakutkan, kenderaan yang dipandu pada kelajuan 50 kilometer per jam boleh menyebabkan seorang bayi seberat tujuh kilogram (kg) tercampak ke depan di bawah tekanan 240 kg/sq2.

Ia menyerupai impak yang sama dengan seorang dewasa yang jatuh daripada tingkat lima sebuah bangunan.

Pendedahan ini menunjukkan bahawa bayi adalah penumpang yang paling lemah dan mencatat peratusan yang tinggi dalam statistik kanak-kanak di Malaysia yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya.

Prihatin terhadap perkembangan ini, Kinderdijk Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengedar peralatan bercirikan keselamatan untuk kanak-kanak dan bayi, melancarkan Kempen Jelajah Keselamatan Kanak-Kanak.

Kempen bertujuan memberi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga supaya berhati-hati serta mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu bagi memastikan keselamatan anak-anak mereka.

Pengarah Urusan, Kinderdijk Sdn. Bhd., Gwei Tze-Co berkata, berdasarkan statistik, ramai ibu bapa seolah-olah menganggap bahawa anak-anak mereka yang dibiarkan duduk di atas riba cukup untuk melindungi mereka daripada kemalangan.

"Ia menjadi satu budaya yang membimbangkan apabila penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan sistem perjalanan tidak di ambil serius oleh kebanyakan ibu bapa di Malaysia.

"Ibu bapa perlu faham bahawa anak-anak adalah berharga seperti kargo on board, justeru nilai keselamatan tidak boleh diabaikan dan tidak boleh dipandang mudah kerana ia memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang," katanya pada majlis pelancaran kempen dan memperkenalkan produk jenama Aprica dan Graco di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Tze-Co lagi, produk untuk kanak-kanak daripada Aprica dan Graco yang diedarkan oleh Kinderdijk diatur secara inovatif dan direka secara berhati-hati bagi tujuan penyediaan keselesaan dan keselamatan untuk ibu bapa, terutamanya mereka yang menjalani gaya hidup moden.

Sementara itu Pengurus Kanan Jualan bagi Hong Kong dan Asean Newell Rubbermaid Asia Pasific, Jenny Kwan berkata, menurut kajian yang dijalankan oleh MIROS, bayi akan tercampak ke depan pada kelajuan yang tinggi walaupun dipegang orang dewasa semasa perlanggaran kenderaan walaupun dengan hanya 30 kilometer per jam dan kebanyakannya akan terbunuh sebagai kesan langsung daripada impak tersebut.

"Oleh sebab itu, bayi yang dilengkapi dengan peralatan perjalanan yang betul dan selesa membantu memberikan ketenangan fikiran kepada ibu bapa.

"Ibu bapa juga perlu mengamalkan pemasangan tali pinggang dan anak-anak muda perlu diajar untuk menggunakannya. Keselamatan adalah penting bagi perkembangan anak-anak dan ia juga penting untuk memupuk tabiat berhemah ini bermula dari kecil lagi," ujarnya. - SITI AISHAH YUSOFF

Awasi lelehan susu

Posted: 24 Oct 2013 12:24 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar RASHID MAHFOF

PERNAHKAH anda melihat bayi yang baru lahir sehingga berusia enam bulan mengalami lelehan seperti air susu berwarna putih dimulut terutama selepas meminum susu ibu mahupun susu formula?

Semestinya jika keadaan berlaku akan merisaukan ibu tambahan bayi yang masih kecil perlu dipantau selalu bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka.

Selalunya lelehan tersebut terjadi selepas bayi selesai diberikan susu mahupun berlaku ketika mereka sedang tidur. Lelehan tersebut kebiasaannya menyebabkan susu terkeluar dalam kuantiti yang sedikit dan adakalanya banyak sehingga membasahi baju.

Bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman tersebut, kerisauan pasti bermain di minda sehingga mengeluarkan pelbagai andaian terhadap tahap kesihatan bayi mereka.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Parkcity Medical Centre, Dr. Salehuddin Samsudin berkata, keadaan bayi yang mengalami susu keluar dari mulut selepas meminum susu atau ketika sedang tidur adalah perkara biasa yang berlaku kepada bayi.

"Majoriti bayi berumur sebulan sehingga enam bulan akan mengalami situasi ini di mana cecair berwarna putih seakan baki susu akan meleleh keluar dari mulut mereka sama ada dalam kuantiti yang sedikit mahupun banyak.

"Keadaan ini tidak membahayakan kesihatan bayi tersebut jika kuantiti susu yang keluar dalam mulut masih terkawal.

"Keadaan ini terjadi apabila perut dipenuhi asid. Jika bayi tersebut minum dalam kuantiti yang banyak juga menyebabkan perut tidak dapat menampung jumlah susu yang tersimpan lantas menyebabkan susu tersebut keluar dari dalam mulut," katanya.

Dr.Salehuddin berkata, seorang ibu perlu peka dengan perubahan yang berlaku pada bayi mereka.

Jika bayi meminum terlalu banyak juga akan menyebabkan ketidakselesaan pada bahagian penghadaman dan pencernaan.

"Apabila bayi berasa tidak selesa mereka akan menangis. Menangis adalah bahasa yang digunakan untuk menjelaskan keadaan mereka kepada kita. Sebagai orang dewasa kita perlu mempelajari bahasa tersebut.

"Terdapat beberapa petanda yang berkaitan dengan ketidakselesaan akibat penghadaman dan pencernaan perut iaitu mereka akan mengalami muntah-muntah dan menangis tanpa henti.

"Jika keadaan tersebut berlarutan akan mengganggu proses tumbesaran bayi kerana bayi tidak mendapat zat yang secukupnya." katanya.

Ujarnya lagi, terdapat sebahagian ibu bapa yang mengandaikan anak mereka menangis kerana lapar, lantas dengan memberi bayi tersebut susu akan melegakan tangisan mereka namun keadaan bayi tersebut tetap sama.

"Dalam keadaan lain, jika bayi masih kenyang, tetapi akan berterusan meminum kadang-kadang itu bukan petanda mereka lapar, sebaliknya perilaku tersebut sebagai satu cara untuk menenangkan diri.

"Jika bayi tersebut meminum susu formula, ibu perlu mengehadkan jumlah pengambilan susu tersebut setiap hari. Kebiasaannya bayi meminum susu dalam 100 hingga 250 mililiter perkilogram dalam sehari.

"Kuantiti yang sesuai untuk bayi baru lahir pula dalam satu atau tiga auns. Jumlah tersebut perlu ditambah seterusnya mengikut peningkatan usia mereka," katanya.

Ujar beliau lagi, terdapat beberapa kaedah sesuai digunakan untuk mengelakkan bayi dari tersedak susu dan mengurangkan masalah ketidakselesaan akibat pencernaan.

"Baringkan bayi dalam posisi melentang dengan bantal ditinggikan sedikit pada bahagian kepala selepas mereka selesai minum. Jika mereka masih menangis kerana keadaan perut yang tidak selesa, ibu bapa juga boleh menggunakan ubatan khusus untuk mengurangkan asid dalam perut.

"Selain itu, digalakkan untuk menukar susu kepada jenis susu yang lebih pekat . Susu yang lebih pekat akan membantu mengurangkan lelehan susu tidak hadam keluar dari mulut kerana kandungannya yang lebih padat," jelasnya.

Tambah Dr.Salehuddin , sekiranya bayi menghidapi salah satu daripada simptom yang berkaitan, ibu bapa perlu berjumpa dengan pakar pediatrik untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Antara simptom tersebut adalah kuantiti muntah yang berlebihan, muntah kuat atau jarak jauh, bayi tidak membesar atau berat badan tidak bertambah mengikut kadar yang berpatutan. Selain itu bayi selalu menangis seperti kesakitan dan tidak berhenti menangis walaupun diberi susu atau didukung," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Ikon Tasik Kesuma tercemar

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Jabatan Bomba dan Penyelamat turut memberikan kerjasama dengan menyediakan bot untuk membersihkan tasik dalam program Gotong-royong Perdana di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Semenyih, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

SEMENYIH 23 Okt. - Bandar Tasik Kesuma, Beranang dekat sini bukan saja menerima namanya sempena sebuah tasik yang terdapat di situ, malah menjadi ikon kawasan perumahan itu.

Malangnya, tasik yang agak menarik pada pandangan mata kasar itu kini tercemar kerana tiada pihak yang menjaganya. Tasik itu terbiar dan dikatakan dijadikan tempat pembuangan sampah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Tasik yang terdapat sebuah pulau di tengah-tengahnya itu juga didakwa telah menelan korban apabila terdapat pengunjung yang mati lemas di situ.

Menurut penduduk sekitar, tasik itu terbiar begitu sahaja sejak hampir sepuluh tahun lalu. Tiada pihak yang menjaganya, termasuk pihak pemaju perumahan, Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS), apatah lagi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Penduduk kesal kerana pihak berkenaan tidak prihatin terhadap pemuliharaan dan kelestarian tasik tersebut yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dan meminta pihak berkaitan berbuat sesuatu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tasik tersebut yang mempunyai kemudahan trek joging, taman permainan kanak-kanak dan beberapa buah pondok wakaf, namun semuanya tidak disenggara sehingga menyebabkan persekitaran yang sepatutnya menarik menjadi sebaliknya.

Ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menjadikan tasik itu tempat pembuangan sampah, dan sekiranya tiada usaha merawatnya dilakukan, pencemaran air tasik itu akan semakin teruk.

Sekeliling tasik itu pula dipagari oleh semak dan belukar yang didakwa dijadikan tempat perlakuan maksiat.

Bukan masalah berhubung tasik itu sahaja yang membelenggu penduduk. Mereka mendakwa sejak kawasan perumahan itu dibuka dan didiami sejak tahun 1998, masih banyak kemudahan dan infrastruktur masih tidak disediakan oleh pihak pemaju di Bandar Tasik Kesuma, termasuk sebuah masjid, balai atau pondok polis dan dewan orang ramai.

200 penduduk gotong-royong bersihkan tasik

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Sesi dialog antara penduduk Bandar Tasik Kesuma dengan wakil agensi kerajaan yang turut menyertai program gotong-royong membersihkan alam sekitar di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor, baru-baru ini.

SEMENYIH 23 Okt. - Penduduk mendakwa sejak syarikat pemaju Bandar Tasik Kesuma, Beranang diisytiharkan bankrap, penduduk terpaksa menanggung pelbagai masalah termasuk persekitaran yang semak dan kotor.

Malah, penduduk terpaksa menyediakan sendiri kemudahan awam termasuk Surau Al Khauthar yang kini tidak dapat menampung jemaah yang ramai.

Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Tasik Kesuma, Abu Mansor Mohammad berkata, selain itu tasik yang terdapat di situ juga tidak disenggara oleh mana-mana pihak, kecuali penduduk yang bergotong-royong membersihkan persekitarannya.

"Tasik itu asalnya di bawah seliaan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sebagai tasik semula jadi dan tadahan air.

"Tasik itu kemudiannya disenggarakan oleh pihak pemaju, tetapi sehingga kini masih tidak dibuat penyerahan kepada mana-mana pihak bagi tujuan penyenggaraan dan pembangunan sebagai taman tasik rekreasi," katanya.

Prihatin dengan keadaan persekitaran tasik itu, penduduk telah mengadakan gotong-royong membersihkan tasik itu baru-baru ini, yang dihadiri kira-kira 200 penduduk.

Program itu turut mendapat kerjasama JPS serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Selain membersihkan persekitaran tasik itu, penduduk turut menanam pokok dan menjalankan aktiviti komuniti.

"Hari ini penduduk sendiri mengambil inisiatif untuk membersihkan tasik ini secara gotong-royong.

"Kami bukan sahaja membersihkan persekitarannya, tetapi juga permukaan tasik dengan mengaut segala sampah sarap yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab ke dalamnya," katanya.

Usaha itu, kata Abu Mansor, bukan sahaja untuk menanamkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar tetapi bagi menunjukkan bahawa penduduk bersedia memberikan apa juga kerjasama kepada mana-mana pihak yang boleh membangunkan tasik itu.

Selain itu, penduduk turut mengadakan majlis dialog dengan pihak berkaitan sempena program gotong-royong itu, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

Salah guna lesen proses ayam

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

SELAYANG 23 Okt. - Enam buah premis pemprosesan ayam di Pasar Borong Selayang diserbu oleh pihak berkuasa kerana didapati menyalahgunakan lesen setelah menjalankan kegiatan penyembelihan ayam.

Selain itu, proses dan penyembelihan ayam yang dilakukan di premis-premis itu diragui serta tidak mematuhi aspek kebersihan.

Mengikut syarat lesen, premis-premis itu hanya dibenarkan menjalankan proses pembungkusan makanan.

Pengarah Penguat Kuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Azmi Ismail berkata, sebanyak sepuluh sitaan lesen dikenakan dan empat notis kompaun bernilai RM1,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk masalah kebersihan.

"Premis-premis itu mempunyai lesen tetapi mereka menyalahgunakan lesen. Kami akan rujuk ke bahagian Jabatan Perlesenan MPS bagi tindakan selanjutnya. Kami tidak mahu pengguna tertipu dengan cara penyembelihan ayam di situ.

"Operasi ini dibuat atas maklumat daripada orang awam kerana terdapat unsur-unsur penyembelihan ayam yang diragui. Premis itu juga menggunakan khidmat warga asing.

"Difahamkan, operasi penyembelihan ayam dilakukan bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi," katanya selepas mengetuai Operasi Bersepadu Pusat Penyembelihan Ayam di Pasar Borong Selayang awal pagi tadi.

Serbuan pada pukul 4 pagi itu dilakukan oleh 56 anggota termasuk dari Jabatan Penguat Kuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jabatan Kesihatan MPS.

Turut menyertai operasi adalah Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Alam Sekitar MPS, Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.

Menurut Azmi, tindakan dijalankan mengikut Undang-undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007 dan Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-sarap (MPS) 2007.

Selain itu, katanya, lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdiri daripada dua orang warga Bangladesh, dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia ditahan.

"Mereka bekerja di situ dan telah ditahan oleh Jabatan Imigresen atas kesalahan menyalahgunakan permit dan lain-lain," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID), Afida Zainudin pula berkata, pihaknya mendapati cara penyembelihan ayam di situ tidak menetapi syarat.

"Apa yang kita dapat lihat status proses dan penyembelihan ayam diragui kerana dicelup ke dalam air yang bercampur darah ayam. Kami juga telah mengambil dua kad tauliah daripada premis warga tempatan untuk tindakan dan pemantauan berterusan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kreativiti mencorak peti surat

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@yahoo.com

Noraini Tohbeean bersama isteri dan anak ketika muncul juara dalam pertandingan peti surat kreatif, baru-baru ini.

BATU PAHAT 23 Okt. - Suatu ketika dahulu peti surat merupakan medium perantara komunikasi yang penting bagi penduduk di seluruh dunia.

Bagaimanapun dalam zaman yang serba canggih dan moden kini, penggunaan peti surat dipandang enteng dan bukan lagi terlalu istimewa.

Masakan tidak, masyarakat hari ini juga lebih mudah mengutus pesanan atau pemberitahuan melalui e-mel atau khidmat pesanan ringkas.

Bagi 'menghidupkan' semula suasana dan mengingati peranan peti surat yang merupakan sebahagian daripada landskap di depan rumah, Pemuda UMNO Cawangan Belahan Tampok dengan kerjasama Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat telah menganjurkan pertandingan menghasilkan peti surat kreatif baru-baru ini.

Walaupun pada peringkat awal idea itu dikhuatiri kurang mendapat perhatian, namun penyertaan lebih 300 buah rumah memaksa penganjur membuat saringan.

Daripada jumlah itu, hanya 30 peti surat paling kreatif diketengahkan untuk diadili oleh kumpulan posmen selain rakan laman Facebook dan Kumpulan Penduduk Kampung Belahan Tampok.

Juara pertandingan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM150 serta hamper manakala RM100 serta hamper untuk naib juara.

Berkongsi kisah menyiapkan peti surat itu, Noraini Tohbeean, 50, yang muncul juara berkata, peti surat yang dinamakan Spongebob itu direka hasil idea anak kembarnya.

Menurutnya, dengan menggunakan tong pengepam air tandas terbuang, dia dan dua anaknya mengambil watak kartun Spongebob sebagai bentuk peti surat mereka.

"Dengan mengikut kehendak anak kembar saya iaitu Mohd. Azim dan Mohd. Azman yang berusia 12 tahun, saya menyiapkan peti surat berbentuk Spongebob untuk diletakkan di hadapan rumah bagi dinilai oleh penganjur.

"Setelah siap, saya tidak pula menyasarkan untuk menjadi juara kerana rekaan itu lebih kepada idea anak saya selain ingin menyiapkan sesuatu yang kreatif di depan rumah.

"Tetapi mungkin memang rezeki anak kembar ini, saya diumumkan sebagai juara kerana diberi markah tinggi oleh posmen yang mengisi surat selain undian melalui Facebook," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Naib juara pertandingan itu, Julkarnain Jori, 49, pula memberitahu, peti surat berbentuk robot disiapkan oleh anaknya selepas mereka berdua berkongsi idea.

Katanya, selepas mendapat surat mengenai pertandingan itu, dia berbincang dengan anaknya, Mohd. Nadrin, 20, untuk menghasilkan sebuah peti surat yang unik dan kreatif menggunakan barangan terpakai di sekeliling rumah.

"Setiap hari selepas anak saya pulang dari kerja, dia akan mencari barang terpakai di keliling rumah dan membentuk menjadi sebuah robot peti surat dalam tempoh seminggu.

"Hasil gabungan, telefon terbuang, barangan motosikal dan tong cat, akhirnya Mohd. Nadrin berjaya menyiapkan peti surat itu untuk diletakkan di depan rumah, sekali gus turut dinilai dalam pertandingan berkenaan," katanya yang gembira diumumkan sebagai pemenang tempat kedua.

Pertandingan erat hubungan kekeluargaan

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Mohd. Azrai Ahmad (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan peti surat kreatif di Kampung Belahan Tampok, Batu Bahat, baru-baru ini.

BATU PAHAT 23 Okt. - Penganjuran pertandingan peti surat kreatif oleh Pemuda UMNO Cawangan Belahan Tampok dan Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat bukan sahaja berjaya mempamerkan kreativiti penduduk, malah mampu mengukuhkan ikatan institusi kekeluargaan.

Ketua Pemuda UMNO Cawangan Belahan Tampok, Mohd. Azrai Ahmad berkata, usaha menganjurkan pertandingan itu adalah bertujuan mencantik dan menceriakan landskap kampung tersebut selain membudayakan kreativiti dan inovasi warga kampung berkenaan.

Bagaimanapun, hasil rekaan yang kreatif itu berjaya memikat penduduk dari kampung lain untuk menempah peti surat yang dilihat kreatif bagi menghiasi kawasan di depan rumah.

"Sebagai contoh, seorang peserta yang hanya memenangi peringkat saguhati dengan mencipta peti surat berbentuk sarang tebuan telah memikat orang luar untuk membuat tempahan.

"Bermakna menerusi pertandingan tersebut, peti surat ciptaan penduduk berjaya dikomersialkan pula dan secara tidak langsung memberi sumber pendapatan baharu kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, UMNO Cawangan Belahan Tampok turut berterima kasih kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat, Azizul Kamar Abdul Rahman yang menyumbang hadiah selain memberi kerjasama padu menjayakan pertandingan berkenaan.

"Hasil pertandingan ini, kita secara tidak langsung berjaya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan penduduk apabila setiap keluarga bekerjasama menyiapkan peti surat mereka.

"Bagi Pemuda UMNO, pertandingan ini merupakan kejayaan walaupun hanya setakat peringkat Kampung Belahan Tampok," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pusat Pemantapan Akidah Jakim

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh NURUL HUSNA HAMDAN
utusanN9@utusan.com.my

Pelbagai aktiviti dilaksanakan di Pusat Pemantapan Akidah di Jelebu, Negeri Sembilan termasuk interaktif dan amali berkumpulan.

JELEBU 23 Okt. - Ramai yang tidak tahu ada 'rahsia' yang tersimpan di Jalan Kongkoi di sini.

Bagi mereka yang menggunakan Jalan Genting Press dari Kuala Lumpur ke Jelebu, laluan yang disebut Jalan Kongkoi ini sudah tidak asing lagi.

Sepanjang laluannya dihiasi keindahan flora dan fauna, selain udara nyaman serta hembusan angin sejuk dari kawasan berbukit berdekatan.

Di sinilah 'rahsia' itu mula dibongkar oleh penulis apabila terpandang satu papan kenyataan bertulis Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Siapakah penghuninya?

Menurut Penguasa Pusat Pemantapan Akidah Jakim, Jamal Abdul Halim, pusat itu sebenarnya menyajikan kursus berkaitan pemantapan akidah dan antara modul yang dibawa adalah aspek kefahaman akidah, pemantapan akidah, seminar, forum bicara, kuliah, seramah dan wawancara.

''Semuanya adalah berkaitan akidah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, mereka yang menyertai program di pusat tersebut perlu terlibat dalam kursus penjanaan ilmu iaitu yang ada hubung kait dengan muhasabah diri, tazkirah selain peningkatan iman dan amal melalui solat berjemaah, qiamullail, bacaan kitab al-mathurat, zikir munajat, solat dhuha serta amalan sunat yang lain.

''Kita turut tampilkan aspek ketahanan diri dalam program riadah di mana kesemuanya berteraskan akidah dengan membawa peserta mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dalam apa yang dilihat di persekitaran," ujarnya.

Kata beliau, Pusat Pemantapan Akidah Jakim juga menyediakan program peningkatan kualiti pembacaan al-Quran serta halaqah dan tadarus, amali berkumpulan serta latihan interaktif.

''Di sini terdapat kompleks pentadbiran, surau, dewan besar yang boleh memuatkan seramai 300 orang serta bangunan asrama yang boleh memuatkan 100 peserta.

''Terdapat juga satu bangunan asrama satu bilik untuk dua orang, dewan kuliah, dewan makan, bilik kaunseling, perpustakaan, rumah tetamu, rumah kakitangan serta tetamu, taman permainan, kawasan refleksologi dan dataran untuk beriadah," ujarnya.

Lebih menarik, pusat tersebut turut menyediakan Medan Badar, trek kembara, lima wakaf rehat, kemudahan sukan bagi permainan futsal, ping pong, sepak takraw, badminton, serta kemudahan WiFi di seluruh kawasannya.

''Setakat ini, kami menerima banyak program kursus sepanjang tahun daripada pelbagai agensi, pelajar sekolah dan universiti yang ingin melakukan aktiviti bersama pihak kami," tambahnya lagi.

Usaha membina keyakinan diri - Peserta

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Jelebu, Negeri Sembilan.

JELEBU 23 Okt. - Apabila dikaitkan dengan soal akidah, pelbagai persepsi diberikan apatah lagi jika perlu menyertai kursus di Pusat Pemantapan Akidah Jakim di Jalan Kongkoi di sini.

Bagi sesetengah masyarakat, menyertai kursus yang ditawarkan tersebut bermakna 'hilang harga diri' kerana seolah-olah terpaksa membina semula akidah yang telah terpesong dan bercelaru.

Hakikatnya, kewujudan Pusat Pemantapan Akidah Jakim adalah bagi memberikan bimbingan, khususnya kepada umat Islam dalam soal kemantapan akidah dan tidak langsung bersifat merendahkan diri mereka yang menyertainya.

Ini diakui oleh pelajar Sekolah Menengah Warisan Puteri, Seremban yang mengikuti Kursus Perkampungan Ilmu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di pusat tersebut baru-baru ini.

Seorang pelajar, Mohd. Rofzaim Dinie Roslan, 17, berkata, sepanjang menjalani kursus tersebut, banyak kesan positif diperoleh kerana aktiviti dijalankan mendekatkan dia dengan agama.

''Saya menerima ajaran itu dengan baik. Benarlah, kita harus mensyukuri nikmat yang telah Allah SWT kurniakan.

''Sebagai pelajar, kita harus mendengar didikan yang diberikan oleh guru, ustaz dan ibu bapa supaya penerimaan pelajaran itu menjadi lebih berkat dan mudah," katanya di sini baru-baru ini.

Nur Izzati Syazwani Idris, 17, pula berkata, banyak input yang diperoleh sepanjang mengikuti kursus yang diadakan tersebut.

''Apabila sebut soal akidah, saya menjadi risau. Apa yang tidak kena pada diri saya. Tetapi apabila saya datang ke sini, diberikan pengetahuan yang cukup, saya akui pusat ini banyak mendidik dalam soal pemantapan akidah.

''Bagi saya, seeloknya pusat ini lebih terbuka kepada masyarakat dan menjadi pilihan dalam mendidik generasi pada masa hadapan, terutama yang ada hubungkait dalam soal keagamaan.

''Saya akan kembali ke sini jika diberi peluang lagi. Rasanya tidak cukup ilmu yang saya peroleh untuk waktu yang singkat sebegini. Kenapa perlu risau apabila disuruh ke pusat ini," katanya.

Sementara itu, guru penyelaras, Junainah Harun memberitahu, di samping memberi fokus kepada kemantapan diri, kekuatan ilmu dan sahsiah, pelajar turut diberikan didikan keagamaan serta masa hadapan cemerlang sebagai umat Islam.

''Memang ia adalah salah satu faktor untuk menyediakan pelajar sekolah ini menghadapi SPM akan datang. Kita mengundang penceramah untuk beberapa slot supaya pelajar tidak bosan.

''Elemen keagamaan memang kita titik beratkan. Ini adalah latihan menguatkan jati diri pelajar. Mereka harus menerima apa juga cabaran dengan persediaan rapi. Kita tidak mahu mereka 'rebah' sebelum berjuang," katanya.

Menurutnya, ini merupakan kali pertama pelajar sekolah itu dihantar ke pusat terbabit dan ternyata memberi banyak manfaat kepada mereka.

''Semua kelengkapan ada di sini. Yang penting, pelajar bersedia menerima apa juga aktiviti yang dijalankan," jelas beliau.

Kolam terbiar jadi sarang aedes

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

Yap Ah Hoi (depan) bersama Muthu Ramasamy menunjukkan kawasan kolam kumbahan terbiar yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di Taman Makmur, Lobak, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI

SEREMBAN 23 Okt. - Penduduk di Taman Makmur, Lobak dekat sini meminta agensi berkaitan segera bertindak menyelesaikan masalah yang dialami berhubung isu kolam kumbahan terbiar yang kini menjadi sarang bagi pembiakan nyamuk aedes.

Mereka mendakwa masalah yang menghantui lebih 100 penduduk di taman berkenaan sebelum ini telah diajukan kepada agensi berkaitan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan bagi menangani masalah yang berlarutan lebih 10 tahun lalu itu.

Seorang penduduk, Muthu Ramasamy, 70, berkata, kolam kumbahan tersebut pernah beroperasi malangnya selepas itu tidak diselenggara sehingga menjadi kawasan hutan.

''Dahulu kolam ini berbau sangat busuk sehingga penduduk membuat aduan dan tindakan pihak berkaitan adalah dengan mengosongkan air di dalam kolam kumbahan dan terbiar sehingga sekarang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jirannya, Palanaippan Velasamy, 57, memberitahu, kawasan itu bukan sahaja menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes tetapi dikhuatiri tumpuan hidupan liar seperti ular sawa.

''Sejak ditinggalkan penduduk di sini pernah menemui ular sawa selain biawak yang sering berkeliaran di kawasan perumahan ini. Ini menimbulkan rasa kurang senang terhadap penduduk apabila haiwan berkenaan menyelinap masuk di kawasan rumah," katanya.

Sementara itu, Yap Ah Hoi, 51, mendakwa anak saudaranya yang datang dari Kuala Lumpur turut mendapat demam denggi setelah bertandang ke rumahnya.

''Kami di taman ini sudah membersihkan kawasan perumahan yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk tetapi jika punca sebenar adalah dari hutan itu, maka tiada gunanya kami bergotong-royong membersihkannya," tegasnya.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, V. Parvati, 30, berkata, pihak berwajib harus memandang serius isu tersebut bagi menggelakkan masalah lebih besar menimpa.

''Penduduk di sini mengharapkan pihak yang bertanggungjawab membersihkan dan menimbus kolam itu dengan tanah. Tidak ada masalah rasanya jika agensi berkaitan menjadikan kawasan itu taman permainan ataupun tempat rekreasi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved