Khamis, 24 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Ikon Tasik Kesuma tercemar

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Jabatan Bomba dan Penyelamat turut memberikan kerjasama dengan menyediakan bot untuk membersihkan tasik dalam program Gotong-royong Perdana di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Semenyih, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

SEMENYIH 23 Okt. - Bandar Tasik Kesuma, Beranang dekat sini bukan saja menerima namanya sempena sebuah tasik yang terdapat di situ, malah menjadi ikon kawasan perumahan itu.

Malangnya, tasik yang agak menarik pada pandangan mata kasar itu kini tercemar kerana tiada pihak yang menjaganya. Tasik itu terbiar dan dikatakan dijadikan tempat pembuangan sampah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Tasik yang terdapat sebuah pulau di tengah-tengahnya itu juga didakwa telah menelan korban apabila terdapat pengunjung yang mati lemas di situ.

Menurut penduduk sekitar, tasik itu terbiar begitu sahaja sejak hampir sepuluh tahun lalu. Tiada pihak yang menjaganya, termasuk pihak pemaju perumahan, Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS), apatah lagi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Penduduk kesal kerana pihak berkenaan tidak prihatin terhadap pemuliharaan dan kelestarian tasik tersebut yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dan meminta pihak berkaitan berbuat sesuatu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tasik tersebut yang mempunyai kemudahan trek joging, taman permainan kanak-kanak dan beberapa buah pondok wakaf, namun semuanya tidak disenggara sehingga menyebabkan persekitaran yang sepatutnya menarik menjadi sebaliknya.

Ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menjadikan tasik itu tempat pembuangan sampah, dan sekiranya tiada usaha merawatnya dilakukan, pencemaran air tasik itu akan semakin teruk.

Sekeliling tasik itu pula dipagari oleh semak dan belukar yang didakwa dijadikan tempat perlakuan maksiat.

Bukan masalah berhubung tasik itu sahaja yang membelenggu penduduk. Mereka mendakwa sejak kawasan perumahan itu dibuka dan didiami sejak tahun 1998, masih banyak kemudahan dan infrastruktur masih tidak disediakan oleh pihak pemaju di Bandar Tasik Kesuma, termasuk sebuah masjid, balai atau pondok polis dan dewan orang ramai.

200 penduduk gotong-royong bersihkan tasik

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Sesi dialog antara penduduk Bandar Tasik Kesuma dengan wakil agensi kerajaan yang turut menyertai program gotong-royong membersihkan alam sekitar di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor, baru-baru ini.

SEMENYIH 23 Okt. - Penduduk mendakwa sejak syarikat pemaju Bandar Tasik Kesuma, Beranang diisytiharkan bankrap, penduduk terpaksa menanggung pelbagai masalah termasuk persekitaran yang semak dan kotor.

Malah, penduduk terpaksa menyediakan sendiri kemudahan awam termasuk Surau Al Khauthar yang kini tidak dapat menampung jemaah yang ramai.

Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Tasik Kesuma, Abu Mansor Mohammad berkata, selain itu tasik yang terdapat di situ juga tidak disenggara oleh mana-mana pihak, kecuali penduduk yang bergotong-royong membersihkan persekitarannya.

"Tasik itu asalnya di bawah seliaan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sebagai tasik semula jadi dan tadahan air.

"Tasik itu kemudiannya disenggarakan oleh pihak pemaju, tetapi sehingga kini masih tidak dibuat penyerahan kepada mana-mana pihak bagi tujuan penyenggaraan dan pembangunan sebagai taman tasik rekreasi," katanya.

Prihatin dengan keadaan persekitaran tasik itu, penduduk telah mengadakan gotong-royong membersihkan tasik itu baru-baru ini, yang dihadiri kira-kira 200 penduduk.

Program itu turut mendapat kerjasama JPS serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Selain membersihkan persekitaran tasik itu, penduduk turut menanam pokok dan menjalankan aktiviti komuniti.

"Hari ini penduduk sendiri mengambil inisiatif untuk membersihkan tasik ini secara gotong-royong.

"Kami bukan sahaja membersihkan persekitarannya, tetapi juga permukaan tasik dengan mengaut segala sampah sarap yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab ke dalamnya," katanya.

Usaha itu, kata Abu Mansor, bukan sahaja untuk menanamkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar tetapi bagi menunjukkan bahawa penduduk bersedia memberikan apa juga kerjasama kepada mana-mana pihak yang boleh membangunkan tasik itu.

Selain itu, penduduk turut mengadakan majlis dialog dengan pihak berkaitan sempena program gotong-royong itu, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

Salah guna lesen proses ayam

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

SELAYANG 23 Okt. - Enam buah premis pemprosesan ayam di Pasar Borong Selayang diserbu oleh pihak berkuasa kerana didapati menyalahgunakan lesen setelah menjalankan kegiatan penyembelihan ayam.

Selain itu, proses dan penyembelihan ayam yang dilakukan di premis-premis itu diragui serta tidak mematuhi aspek kebersihan.

Mengikut syarat lesen, premis-premis itu hanya dibenarkan menjalankan proses pembungkusan makanan.

Pengarah Penguat Kuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Azmi Ismail berkata, sebanyak sepuluh sitaan lesen dikenakan dan empat notis kompaun bernilai RM1,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk masalah kebersihan.

"Premis-premis itu mempunyai lesen tetapi mereka menyalahgunakan lesen. Kami akan rujuk ke bahagian Jabatan Perlesenan MPS bagi tindakan selanjutnya. Kami tidak mahu pengguna tertipu dengan cara penyembelihan ayam di situ.

"Operasi ini dibuat atas maklumat daripada orang awam kerana terdapat unsur-unsur penyembelihan ayam yang diragui. Premis itu juga menggunakan khidmat warga asing.

"Difahamkan, operasi penyembelihan ayam dilakukan bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi," katanya selepas mengetuai Operasi Bersepadu Pusat Penyembelihan Ayam di Pasar Borong Selayang awal pagi tadi.

Serbuan pada pukul 4 pagi itu dilakukan oleh 56 anggota termasuk dari Jabatan Penguat Kuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jabatan Kesihatan MPS.

Turut menyertai operasi adalah Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Alam Sekitar MPS, Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.

Menurut Azmi, tindakan dijalankan mengikut Undang-undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007 dan Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-sarap (MPS) 2007.

Selain itu, katanya, lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdiri daripada dua orang warga Bangladesh, dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia ditahan.

"Mereka bekerja di situ dan telah ditahan oleh Jabatan Imigresen atas kesalahan menyalahgunakan permit dan lain-lain," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID), Afida Zainudin pula berkata, pihaknya mendapati cara penyembelihan ayam di situ tidak menetapi syarat.

"Apa yang kita dapat lihat status proses dan penyembelihan ayam diragui kerana dicelup ke dalam air yang bercampur darah ayam. Kami juga telah mengambil dua kad tauliah daripada premis warga tempatan untuk tindakan dan pemantauan berterusan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved