Ahad, 2 Jun 2013

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Martabatkan sastera kanak-kanak

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
pendidikan@utusan.com.my

Raja Zarith Sofiah (tiga dari kiri) berkenan menyampaikan cenderamata buku penghargaan kepada wakil Singapura dan Malaysia dalam AFCC di Perpustakaan Negara Singapura baru-baru ini.

Mengantarabangsakan karya kanak-kanak Malaysia merupakan suatu cabaran besar. Justeru Perbadanan Kota Buku (PKB) menggunakan Festival Kandungan Buku Kanak-kanak Asia (AFCC) di Singapura baru-baru ini sebagai platform untuk membantu mengangkat genre sastera itu ke persada antarabangsa supaya setanding dengan karya yang diiktiraf dunia.

Pengerusi PKB, Tan Sri Dr. Asiah Abu Samah berkata, penglibatan utama negara adalah untuk memberi peluang kepada penggiat buku kanak-kanak yang terdiri daripada penerbit, penulis serta ilustrator supaya mampu melonjakkan karya sastera kanak-kanak tempatan ke persada antarabangsa.

Katanya, penglibatan Malaysia di AFCC dapat mengetengahkan himpunan penerbit buku kanak-kanak dari Malaysia, Asia serta negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Sebagai negara tumpuan, Malaysia telah diberi penghormatan membentangkan karya sastera kanak-kanak Malaysia kepada khalayak antarabangsa .

"Dalam masa sama, kita menghantar tujuh wakil terdiri daripada penulis, penerbit dan ilustrator terbaik Malaysia untuk menggunakan peluang memperkenalkan diri dan hasil nukilan mereka dalam seminar yang dianjurkan," katanya ketika ditemui di AFCC di Perpustakaan Negara Singapura baru-baru ini.

Festival itu direalisasikan menerusi kerjasama antara PKB Malaysia dengan Lembaga Pembangunan Buku Kebangsaan Singapura (NBDCS).

Malah, festival itu turut diserikan dengan kehadiran Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang berkenan menghadiri Majlis Malam Malaysia sempena AFCC.

Keberangkatan baginda diiringi Pengerusi Jawatankuasa Ahli Lembaga Pengarah AFCC, Claire Chang dan Pengarah Eksekutif Perbadanan Pembangunan Buku Kebangsaan Singapura, P. Ramachandran.

Yang turut hadir, Pengurus Kanan PKB, Razin Abd. Rahman dan Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku PKB, Norhayati Razali.

Dalam majlis tersebut, Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan cenderamata penghargaan kepada wakil-wakil Malaysia yang terlibat dalam AFCC.

Asiah berkata, penglibatan Malaysia di AFCC memberi pendedahan kepada penggiat sastera kanak-kanak tempatan mengenai aplikasi terbaharu dunia buku termasuk bentuk digital.

"Usaha ini dapat mengangkat lagi karya sastera kanak-kanak dari Malaysia memandangkan pasaran dunia sarat dipenuhi karya sastera Barat.

"Malaysia juga memberi tumpuan khusus kepada aspek kandungan berkualiti memandangkan karya buku kanak-kanak boleh diperluas dalam pelbagai medium termasuk buku digital, animasi dan filem di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Asiah berkata, Perbadanan Kota Buku akan terus menjadi pusat perkembangan sastera kanak-kanak supaya bidang tersebut akan lebih tersusun dari segi penulisan, pengkaryaan dan penerbitan.

"Saya menaruh harapan tinggi untuk melihat Malaysia maju di persada dunia dengan penghasilan karya kanak-kanak yang bermutu, baik dari segi kandungan mahupun ilustrasi melalui usaha yang dijalankan Perbadanan Kota Buku," katanya.

Khidmat eKelas Maxis galak pembelajaran kreatif

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Program perkhidmatan pembelajaran dalam talian eKelas yang disediakan oleh Maxis Berhad terbukti memberi impak positif dalam meningkatkan pemahaman murid melalui pembelajaran kreatif menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah.

Pengerusi Maxis, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, setelah melihat impak program ini di 30 sekolah rintis terpilih, kami percaya bahawa eKelas Maxis akan dapat menambah pemahaman setiap murid dengan kaedah pembelajaran secara pengalaman dan penerokaan yang menggalakkan gaya pembelajaran yang berbeza.

"eKelas Maxis mempunyai potensi yang amat besar dan akan membawa Malaysia maju setapak lagi dalam bidang pembelajaran secara interaktif dan penyelesaian secara dalam talian,'' kata beliau dalam majlis Anugerah Kecemerlangan eKelas di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghaffar Mahmud itu diadakan untuk meraikan kejayaan juara Cabaran Kelas Dalam Talian Maxis yang melibatkan 30 sekolah menengah rintis, 900 murid dan 120 guru terpilih.

Cabaran itu diadakan sempena promosi memperluas perkhidmatan eKelas Maxis secara percuma kepada 2,300 buah sekolah menengah di seluruh negara bermula Jun ini.

Pertandingan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran yang diadakan pada tahun lalu itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu cabaran sekolah dan pelajar.

Bagi Cabaran Sekolah, guru terbabit diberikan masa tiga bulan untuk menggunakan eKelas Maxis sebagai alat tambahan di sekolah dan dikehendaki mengemukakan amalan terbaik untuk reka bentuk pengajaran semasa menggunakan perkhidmatan portal itu di sekolah.

Untuk Cabaran Pelajar, semua murid perlu menduduki peperiksaan secara dalam talian dan sekolah yang mendapat markah tertinggi diumumkan sebagai pemenang.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin, Negeri Sembilan muncul juara kategori Cabaran Sekolah manakala SMK Cyberjaya pula dinobatkan pemenang kategori Cabaran Pelajar.

Juara Cabaran Sekolah membawa pulang hadiah bernilai RM15,000 manakala Cabaran Pelajar pula menerima hadiah bernilai RM4,000.

Hadiah terdiri daripada alat-alat pembelajaran interaktif dan alat-alat digital yang membantu guru serta murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Perkhidmatan eKelas dibuka untuk langganan kepada pelanggan Maxis dan Hotlink dengan caj serendah RM25 sebulan untuk akaun pertama dan RM20 untuk akaun-akaun seterusnya.

Untuk langganan, layari laman rasmi di www.ekelas.com.my.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kenyataan saya ikhlas - Khairy

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanseremban@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin

REMBAU - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan yang dibuatnya terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) adalah pandangan ikhlas selaku menteri.

''Kenyataan yang dibuat merupakan pandangan ikhlas selaku menteri yang bertanggungjawab mengenai sukan di negara ini yang berdasarkan laporan dan pandangan daripada pelbagai pihak yang melihat insiden kekecohan di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu.

''Saya tidak mahu komen dengan lebih lanjut sebab saya tidak mahu panjangkan cerita ini. Cuma saya bagi pandangan yang ikhlas. Kalau mereka (FAM) terima ok, jika sebaliknya tidak apa.

''Saya cuma mewakili Kementerian Belia dan Sukan menyampaikan pandangan berdasarkan laporan pandangan orang awam tetapi kalau itu tidak dapat terima apa yang boleh saya buat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Haji di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abu Hasan Haji Sail Pedas dekat sini, semalam.

Kelmarin, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah menyuarakan rasa terkilan berhubung kenyataan Khairy yang menyoal ketelusan badan induk bola sepak itu.

Jelas baginda, keputusan mengadakan semula aksi separuh akhir kedua Piala FA, Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional, Bukit Jalil dibuat mengikut peraturan.

Khairy sebelum itu menegur FAM dan PBNP dengan menyalahkan kedua-dua persatuan itu.

FAM dikatakan tidak bertindak adil apabila memperuntukkan 60 ribu tiket kepada PBNP dan 20,000 tiket kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) untuk perlawanan separuh akhir kedua Piala FA yang diadakan semula di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas dibatalkan di Stadium Darul makmur, Kuantan gara-gara kekecohan penonton.

Mental kuat kunci kejayaan Johor DT

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

KUALA LUMPUR - Jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad mempertahankan tindakannya meletakkan dua pemain kebangsaan, Safiq Rahim dan Safee Sali di bangku simpanan pada separuh akhir kedua Piala FA menentang Pahang, kelmarin.

"Malam ini (kelmarin) pemain membuktikan kemampuan Johor DT biarpun ada cakap-cakap yang mempersoalkan ketiadaan pemain kebangsaan Malaysia dalam pasukan utama. Saya tetap turunkan Safiq dan Safee (dalam beberapa minit terakhir babak kedua).

Fandi memasukkan Safiq dan Safee untuk menggantikan Mohd. Nazri Ahmad dan Leonel Nunez tetapi menurunkan dua lagi pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak dalam kesebelasan utama sepanjang 90 minit permainan.

Kelmarin, kekuatan mental dan kematangan pasukan serta kata perangsang jurulatih Fandi membentuk resipi tepat yang menjana kemaraan Johor DT untuk berdepan juara bertahan Piala FA, Kelantan dalam perlawanan akhir, 29 Jun ini.

Tanpa terlalu tertekan biarpun ditinggalkan Pahang 2-0 dalam babak pertama, anak buahnya membuktikan kebangkitan semula mereka seperti mana ketika menewaskan Kedah dan Selangor dalam pusingan kedua dan suku akhir.

"Selalu kami ketinggalan (dalam kempen) Piala FA musim ini, namun dalam apa juga keadaan pun, kami masih mampu bangkit. Mental pasukan cukup kuat menanganinya dan permainan kami tidak terganggu.

"Inilah kejayaan paling bermakna bagi Johor Darul Takzim kerana sudah sekian lama pasukan bola sepaknya tidak ke perlawanan akhir," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Polis Terengganu tubuh unit khas pantau hasutan menerusi media sosial

Posted: 02 Jun 2013 10:36 PM PDT

KUALA TERENGGANU 3 Jun - Polis Terengganu menubuhkan pasukan khas bagi memantau penyebaran maklumat berbaur hasutan dan fitnah menerusi media sosial di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati berbuat demikian.

Setakat ini kegiatan itu tidak dikesan di negeri ini, namun pihak polis tetap melakukan pemantauan secara berterusan, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kegiatan sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka "Red Bean Army", yang menggunakan medium siber untuk menyebarkan mesej berbaur hasutan dan fitnah terutama terhadap kerajaan Barisan Nasional. - BERNAMA

22 PATI diberkas cuba menyusup secara haram

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Pendatang asing tanpa izin warga Indonesia yang dicekup oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi,Johor, kelmarin.

JOHOR BAHRU 2 Jun - Cubaan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk menyusup masuk ke negara ini secara haram gagal selepas diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi dekat sini semalam.

Turut ditahan dalam kejadian pukul 10.55 malam itu ialah seorang tekong dan dua pembantunya.

Menurut Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Mustapa Kamal Abas, kesemua mereka yang menaiki sebuah bot gentian kaca dikesan memasuki perairan negara oleh empat anggota Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan.

Katanya, sebaik sahaja dihampiri, bot itu memecut laju ke arah pantai Kampung Teluk Ramunia, Kota Tinggi tetapi berjaya dipintas.

"Hasil pemeriksaan, kita menemukan 24 lelaki termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, kesemua mereka yang dipercayai dari Batam ditahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

"Mereka dihantar ke Jeti Marina, Tanjung Pengelih sebelum dibawa ke Daerah Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan dan tindakan lanjut. Maritim Malaysia turut merampas sebuah bot gentian kaca serta sebuah enjin Yamaha 200 kuasa kuda," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Tentera Yemen gagalkan cubaan letupkan stesen gas

Posted: 02 Jun 2013 09:47 AM PDT

ADEN 3 Jun - Tentera Yemen semalam, menggagalkan cubaan meletupkan stesen mengepam gas di selatan negara ini selepas menembak seorang suspek pengebom berani mati al-Qaeda ketika dia cuba merempuh kenderaan yang sarat dengan bahan letupan yang dipandunya ke arah kompleks itu.

Menurut jurucakap pihak keselamatan yang tidak mahu dikenali, tentera yang mengawal kemudahan gas di bandar pelabuhan selatan Balhaf itu bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang sedang meluru ke arah mereka sekali gus mengakibatkan ia meletup di luar pintu masuk stesen berkenaan.

"Kenderaan itu meletup sebelum ia sempat sampai ke pelabuhan dan tidak mengakibatkan sebarang kematian di kalangan anggota tentera, katanya yang menambah, pengebom itu maut dalam letupan itu tanpa menjejaskan kemudahan tersebut. - REUTERS

1,700 penunjuk perasaan anti kerajaan Turki ditahan

Posted: 02 Jun 2013 09:46 AM PDT

ANKARA 3 Jun - Lebih 1,700 orang di Turki ditahan kerana menyertai bantahan anti-kerajaan sejak Selasa lalu yang merebak ke 67 bandar-bandar di seluruh negara dengan kebanyakannya telah dibebaskan, kata Menteri Dalam Negeri, Muammer Gler, semalam.

"Sebahagian besar daripada tahanan telah dibebaskan selepas disoal siasat dan dikenalpasti," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Anatolia.

Beliau menambah, sebanyak 235 demonstrasi telah diadakan di Turki sejak Selasa lalu. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Usahawan fail saman terhadap 5 pegawai polis, Kerajaan Malaysia

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

ALOR SETAR 2 Jun - Seorang bekas penyampai radio memfailkan tuntutan saman terhadap lima pegawai polis di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu kerana didakwa menahan dan menggarinya secara salah di lokap balai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, tahun lalu.

Plaintif, Saadon Awang, 47, menamakan dua inspektor polis dari IPD berkenaan dikenali sebagai Inspektor Aida dan Inspektor Amirul selain Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Ketua Polis Daerah Kota Setar dan Ketua Polis Kedah masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.

Turut dinamakan sebagai defendan adalah Kerajaan Malaysia.

Plaintif mendakwa kesemua defendan melanggar Artikel 5(4) Perlembagaan Persekutuan apabila didakwa melakukan kesalahan tersebut tanpa sebarang perintah reman oleh pihak mahkamah.

Mengikut penyata tuntutan saman itu, Saadon dipanggil memberi keterangan di balai polis IPD Kota Setar berhubung laporan polis dibuat isterinya, Rihaza Ramli, 41, pada September tahun lalu.

Rihaza yang kini adalah bekas isteri plaintif mendakwa plaintif telah mencuri sebuah kereta jenis Volkswagen Golf miliknya.

Plaintif yang tiba di balai polis kira-kira pukul 11.40 malam pada 18 September 2012 dibawa berjumpa Inspektor Aida dan Inspektor Amirul sebelum plaintif dimasukkan ke dalam lokap kira-kira pukul 2.50 pagi keesokannya.

Dakwa plaintif, defendan pertama dan kedua enggan serta gagal menyiasat lebih lanjut apabila dia memaklumkan laporan dibuat Rihaza adalah palsu dengan mengemukakan bukti bahawa plaintif merupakan penjamin kepada perjanjian sewa beli dan perjanjian jaminan kereta berkenaan.

Kira-kira pukul 9 pagi pada hari sama, plaintif dikeluarkan dari lokap dalam keadaan dua tangan bergari dan dibawa bersama-sama dengan tahanan lain ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Mahkamah kemudiannya menolak permohonan untuk perintah reman terhadap plaintif kira-kira pukul 10 pagi namun plaintif mendakwa defendan pertama dan kedua bertindak secara salah apabila gagal membebaskannya dengan serta-merta.

Plaintif mendakwa, dia terus ditahan dan digari tanpa perintah reman dan dimasukkan semula ke dalam lokap IPD Kota Setar sebelum dibebaskan di bawah surat perjanjian jaminan kira-kira pukul 5.45 petang, hari sama.

Akibat daripada penahanan salah itu, plaintif yang juga seorang usahawan mendakwa, reputasi dan maruahnya dalam kehidupan dan perniagaan terjejas teruk.

Sehubungan itu, dia menuntut ganti rugi am dan faedah sebanyak lima peratus daripada jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos serta lain-lain perintah yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Saman telah difailkan oleh peguam yang mewakili Saadon, Salina Shahabudin.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Lembah Harimau di Temerloh

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

Mohd. Sharkar

TEMERLOH 2 Jun - Daerah ini bakal menjadi daya tarikan pelancongan apabila cadangan membuka kawasan Lembah Harimau di Hutan Simpan Krau di sini akan dibuka tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, satu kawasan berdekatan Kampung Kuala Gandah, Lanchang di sini telah dikenal pasti bagi melaksanakan projek tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan awal itu di peringkat permulaan dan kajian akan dilakukan secara menyeluruh termasuk soal keselamatan.

Menurutnya, hutan simpan tersebut yang berkeluasan lebih 72,000 hektar dan bersempadan dengan Raub dan Jerantut merupakan kawasan habitat haiwan seperti harimau, gajah, tapir, rusa, pelanduk, kancil, gajah dan lain-lain selain ditumbuhi pelbagai tumbuhan herba untuk perubatan.

"Sekiranya menjadi kenyataan, kawasan tersebut akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancong negeri ini kerana pelancong berpeluang melihat harimau secara terbuka selain gajah yang dipelihara di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah," katanya di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang memberitahu, kerajaan negeri akan meningkatkan prasarana di pusat pelancongan dan riadah negeri ini selain mengadakan lebih banyak promosi keluar negara dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing ke Pahang.

Tambahnya, ia penting kerana pelancong hanya akan melawat jika terdapat daya tarikan istimewa di sesuatu destinasi tersebut kepada mereka.

"Sehubungan itu, saya berharap rakyat yang mahir dan berpengalaman dalam bidang pelancongan tampil memberi pandangan serta cadangan bagi membantu kerajaan Pahang meningkat industri pelancongan negeri ini," katanya.

Pesakit tibi di Pahang meningkat kepada 890 kes tahun lalu

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

TEMERLOH 2 Jun - Jumlah kes penyakit tibi di negeri ini pada tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 890 kes berbanding 788 kes yang dilaporkan pada 2011.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Norhizan Ismail berkata, sebanyak 112 penghidap penyakit tersebut meninggal dunia tahun lalu berpunca daripada batuk berpanjangan dan pelbagai faktor lain termasuk penularan jangkitan kuman HIV.

Menurut beliau, penghidap HIV berisiko mengaktifkan penyakit itu selain berpunca daripada kencing manis, masalah buah pinggang dan dipercayai turut dibawa oleh tenaga kerja asing.

"Penyakit ini perlu dikawal kerana boleh merebak kepada masyarakat melalui ahli keluarga dan orang sekeliling jika mereka yang menghidapnya tidak dikesan lebih awal.

"Kakitangan Jabatan Kesihatan juga antara orang berisiko dijangkiti tibi kerana berada paling hampir dengan mereka yang menghidap penyakit ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Tibi Sedunia peringkat negeri di tanah rancangan Felda Lakum di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 1.4 juta orang meninggal dunia sepanjang 2011 akibat penyakit tibi daripada 8.7 juta kes baharu yang dikesan pada tahun sama.

Jelasnya, sejak tahun 2000, negeri ini berjaya mencapai kadar pengesanan yang disarankan oleh WHO iaitu 70 peratus dan ia berjaya ditingkatkan kepada 85 peratus pada 2011 dan kini 95 peratus sepanjang tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau berharap kempen bertemakan 'Bergerak Bersama Membanteras Tibi: Hidup Tanpa Tibi' dapat memberi kesedaran kepada rakyat menghindari risiko jangkitan penyakit tersebut.

"Kementerian Kesihatan menyasarkan 2015 untuk mengawal penyakit tersebut melalui aktiviti pengesanan terutama di kalangan penduduk berisiko tinggi seperti penghidap HIV, kakitangan jabatan kesihatan, penghuni penjara, pusat serenti, pesakit diabetis, warga emas dan pesakit lain," ujarnya.

Padang Tengku, Merapoh bakal jadi hab perniagaan, destinasi pelancongan

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

KUALA LIPIS 2 Jun - Pekan Padang Tengku dan Merapoh di sini merupakan lokasi pertumbuhan baharu sekali gus menjadi hab perniagaan serta destinasi pelancongan yang memberi kelebihan kepada masyarakat tempatan di daerah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, potensi itu berasaskan pembangunan tanah yang diusahakan untuk produk makanan termasuk projek dusun buah-buahan komersial.

Menurut beliau, projek jajaran Jalan Lingkaran Tengah (CSR) antara Kuala Lipis ke Merapoh sejauh 60 kilometer bernilai RM175 juta yang sedang dalam pembinaan antara pemacu pertumbuhan pekan Padang Tengku dan Merapoh.

"Inilah antara usaha menerusi transformasi kerajaan negeri mengubah kawasan berstatus pedalaman kepada lokasi separuh bandar yang lengkap dengan semua kemudahan asas.

"Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan melaksanakan projek premis perniagaan iaitu pasar, pusat pengumpulan hasil pertanian, stesen bas, dewan dan gerai berdekatan dengan laluan utama Lipis ke Merapoh," katanya kepada pemberita di Merapoh, kelmarin.

Menurut beliau, pembangunan itu memberi peluang penduduk bergiat aktif dalam sektor pertanian dan dua kawasan tersebut menjadi hab berbelanja bagi kalangan penduduk Padang Tengku termasuk Orang Asli.

"Kemudahan jalan raya yang menghubungkan daerah ini dengan Gua Musang, Kelantan antara faktor kawasan ini berkembang maju serta berfungsi sebagai transit kepada semua jenis kenderaan", katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri merancang membangunkan lebih banyak premis di kawasan baharu iaitu Relong, Kechau, Pagar Sasak, Chegar Perah dan Merapoh.

Beliau berkata, projek premis membabitkan lokasi berdekatan jalan raya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku akan dibina bagi memberi peluang peniaga kecil memasarkan hasil kampung termasuk kraftangan dan makanan.

Katanya, pembangunan di kawasan tersebut membuktikan keazaman kerajaan Pahang menaik taraf kehidupan masyarakat desa sekali gus menjadi contoh pembangunan luar bandar berjaya dan berdaya saing di negeri ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Usaha Jamal kenang Tan Sri P. Ramlee tercapai

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Jun - Hasrat Jamal Abdillah mendedikasikan persembahannya untuk Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee tercapai apabila menamatkan malam terakhir Konsert Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan di Panggung Sari, Istana Budaya di sini malam ini.

"Saya bersyukur kerana konsert selama empat malam berturut-turut itu berjalan lancar," katanya kepada Utusan Malaysia.

Konsert itu mendapat sambutan hangat dan Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi.

Beliau lega kerana konsert yang mengenakan tiket berharga dari RM95 hingga RM455 itu mendapat kerjasama daripada semua pihak termasuk Istana Budaya, media massa serta tenaga kerja di belakang tabir yang membantu dari mula sehingga berakhirnya konsert terbitan Bintang Channel Sdn. Bhd. itu.

"Saya lega kerana dapat melalui pelbagai tekanan demi menghiburkan para penonton pada konsert ini. Antaranya soal kerjasama dengan seluruh tenaga kerja seperti pemuzik dari RTM dan UiTM serta penari yang kesemuanya seramai 55 orang," ujarnya.

Pada konsert yang turut dijayakan oleh penyanyi jemputan seperti Azlina Aziz, Isma Alif, Musly Ramlee dan Nas Adilla itu, Jamal menyanyikan kira-kira 30 lagu yang dicipta serta dinyanyikan oleh Allahyarham P. Ramlee termasuklah dalam bentuk medley yang mendapat tepukan gemuruh 1,200 penonton di panggung tersebut.

Malah, penyanyi bersuara lemak merdu berasal dari Teluk Intan, Perak itu membuat kejutan apabila beliau turut menyanyikan sebuah lagu popularnya berjudul Kehebatan Cinta yang pernah dinyanyikan duet bersama Franccisca Peter pada pertengahan 1980-an.

"Sebenarnya, pada setiap malam saya tidak menyanyikan lagu saya tetapi pada malam ini saya berbesar hati kerana konsert ini turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Lagu ini atas permintaan beliau sendiri," jelasnya.

Selain Muhyiddin antara tetamu kehormat yang turut menyaksikan Jamal menyanyikan lagu-lagu seperti Engkau Laksana Bulan, Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih, Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Air Mata Di Kuala Lumpur itu ialah penaung konsert itu Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Izzue Islam, Awin selamat bernikah

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

KUALA LUMPUR 2 Jun - Pelakon Izzue Islam memilih teman lamanya, Awin Nurin, 31, yang dikenali lima tahun lalu sebagai pasangan hidupnya dan mereka selamat dinikahkan pada pukul 9.45 pagi di Dewan Shah Alam, Selangor di sini, hari ini.

Majlis akad nikah Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzue Islam Mazlan disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Waharudin Jonit, 58, dengan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Negeri Selangor, Khairuddin Haiyon.

Pada majlis serba sederhana itu, Awin Nurin menerima mas kahwin 11 dinar serta wang hantaran sebanyak RM11,111.11 bersama tujuh dulang hantaran daripada Izzue dan dibalas sembilan dulang.

Menurut Izzue, dia memilih tarikh pernikahan hari ini bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-23 dan juga genap setahun pertunangannya dengan Awin Nurin atau nama sebenarnya Nurinafilah Waharudin.

"Saya mula berkenalan dengan Awin pada 11 November 2008. Ketika itu saya bekerja sebagai pembancuh air di sebuah restoran bersebelahan tempat salon rambut milik Awin di Petaling Jaya. Saya berkawan dengan Awin sebelum menjadi pelakon.

"Awin juga pembantu peribadi saya dan dia yang mula-mula mendapatkan peluang untuk saya berlakon sebagai pelakon pembantu dalam drama Kampung Jagung yang pernah disiarkan Astro Warna tidak lama dahulu," katanya yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan.

Selepas akad nikah, pasangan itu diraikan dalam majlis resepsi di dewan yang sama pada sebelah petang yang dihadiri kira-kira 500 jemputan daripada kedua-dua belah pihak.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perlukah menjadi secina-cinanya?

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

Masyarakat Cina sungguh beruntung tinggal di negara ini kerana dasar-dasar sederhana kerajaan Malaysia. - Gambar hiasan.

PANTANG saya menulis dalam akhbar Mingguan Malaysia minggu lalu, menyentuh sedikit isu mengenai orang Cina, dunia bagai nak kiamat. Diperbesar-besarkan oleh laman web ultra kiasu untuk dijadikan bahan makian dan cacian. Seperti biasa, bukan hujah yang dibahas, peribadi menjadi mangsa dan diserang.

Saya tidak percaya bila ultra kiasu selalu berkata, "I am Malaysian 1st." Jika Malaysia didahulukan, bermakna agenda nasional mesti diutamakan. Misalnya, bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, pakaian kebangsaan, upacara rasmi kebangsaan dan banyak lagi yang bersifat kebangsaan.

Adakah semua ini dihormati dan disambut oleh ultra kiasu dengan baik dan berlapang dada. Lihatlah sahaja majlis angkat sumpah pelantikan Exco di hadapan Sultan Selangor dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Itulah ragam ultra kiasu.

Paling sedih, sehinggakan ke peringkat mereka mahukan mensyaratkan menteri (timbalan) pendidikan mesti boleh berbahasa Cina untuk berurusan dengan Cina dan menjaga sekolah Cina. Mereka mempertikaikan pelantikan Datuk Mary Yap sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, kerana tidak memenuhi syarat tersebut. Banyak cantik muka. Nasihat saya, berhijrahlah ke tempat yang ada menteri sedemikian.

Ketika memberi respon, Mary Yap dengan bangga berkata, beliau tidak perlu malu kerana tidak boleh berbahasa Mandarin, yang penting kena buat kerja.

MP Tawau ini berpendapat, beliau tidak mewakili kaum Cina tetapi wakil kepada rakyat Malaysia. Beliau telah berkhidmat di bawah kementerian pendidikan hampir 36 tahun dan telah berjumpa dengan pelbagai kaum dan guru. "Saya tak lihat diri sebagai mewakili orang Cina tetapi sebagai orang Malaysia. Inilah 1Malaysia. Tapi bila cakap mengenai pendidikan Cina, ia merupakan sebahagian daripada tugas saya untuk menyelesaikannya".

Terus terang, untuk setakat ini, saya kagum dengan pandangan sebegini, bertepatan dengan amalan 1Malaysia. Inilah yang membezakan antara bukan Melayu (Cina) di Semenanjung dengan Cina Sabah dan Sarawak. Cina Sabah Sarawak lebih terbuka dan tidak ultra kiasu, semangat 1Malaysia amat tinggi, berbanding sebahagian mereka di sini. Kita perlu banyakkan menteri (timbalan) bukan Melayu seperti ini.

Kenapa Mary Yap agak berbeza dengan ultra kiasu yang lain? Hujahnya mudah, mereka lebih terdedah kepada pribumi dan bumiputera di sana. Berbanding di sini, setiap hari sosialisasi politik mereka dalam apa jua bidang amat bersifat ultra kiasu (perkauman).

Kita tentu masih ingat, sebelum ini ultra kiasu mensyaratkan, guru-guru bukan Cina yang mengajar Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) di SJKC mesti mendapat kredit bahasa Cina dalam SPM. Jika tidak, mereka tidak layak untuk mengajar di SJKC. Kerajaan terpaksa akur kerana mahukan undi mereka. Sebahagian besar guru BM dan BI bukan Cina telah dikeluarkan daripada SJKC. Begitu juga dengan kerani-kerani Melayu pun perlu menguasai bahasa Cina.

Saya tidak faham, sedangkan semua sekolah ini berada dalam sistem pendidikan negara berpaksikan Perlembagaan, menjunjung agenda negara. Semua gaji mereka dan prasarana disediakan oleh kerajaan. PRU-13 membuktikan, bahawa pemberian tidak dibalas. Apakah kita akan teruskan permainan ini?

Bandingkan, sekolah agama (kebangsaan) tidak pula mensyaratkan guru-guru bukan Melayu yang mengajar BI mesti boleh menguasai bahasa Arab. Jika itulah yang dilakukan, bayangkan berapa banyak bantahan akan dikemukakan kepada kerajaan kerana tidak berlaku adil.

Melalui sistem ini, bahasa Arab masih boleh dikuasai, walaupun tidak sepenuhnya. Melayu tidak perlu menjadi orang Arab untuk menguasai bahasa Arab. Sebab itu, sukar untuk saya terima idea untuk mencinakan sekolah Cina secina-cinanya, barulah bahasa Cina boleh dikuasai dengan baik dan menjadi Cina tulen. Itupun kerajaan membenarkan operasinya. Inilah toleransi orang Melayu yang tidak ada pada bangsa lain. Malangya tidak dihargai.

Ingatan saya kepada kerajaan, jangan terlalu mengemis untuk mendapat simpati mereka. Jika madu yang diberi, tuba yang dibalas, segerakan pelaksanaan BM sebagai pengantar. Gunakan akta pelajaran 1996 untuk kuat kuasakan BM di semua jenis sekolah, walaupun kuasa untuk menghapus sekolah vernakular sudah tidak ada lagi, kerana peruntukan akta tersebut telah dihapuskan dengan kewujudan Akta Pelajaran 1996.

Terbaharu, berlaku 'percanggahan' pendapat antara Ahli Lembaga Sekolah Chong Hwa dengan Dong Zong mengenai kedudukan Sekolah Persendirian Cina (SPC) di Kuantan. Ahli lembaga SPC Chung Hwa hanya mahukan satu sahaja di Kuantan. Jika Dong Zong mahukan SPC lain, cari tempat lain, tetapi bukan di Kuantan, takut berlaku persaingan.

Dong Zong tetap berkeras mahukan sebuah lagi SPC di Kuantan. Persoalan saya, tidak cukupkah lagi apa yang ada? Perlukan SPC menjadi secina-cinanya? Chong Hwa mahukan pelajarnya mengambil SPM dan UEC sebagai menyahut seruan kerajaan. Manakala Dong Zong tidak bersetuju dengan idea kerajaan (juga Chong Hwa) untuk menggunakan silibus kebangsaan dan medium bahasa Melayu. Chong Hwa dilarang menduduki UEC yang dikendalikan Dong Zong jika mahu mengikut syarat kerajaan.

Dong Zong hanya mahukan UEC yang tulen. Dong Zong tidak mahu pelajarnya cair kecinaan, jika berada di Chong Hwa yang mahu bertolak ansur dengan kerajaan dalam menjunjung agenda kebangsaan.

Saya harap Kementerian Pendidikan yang baharu dapat melihat perkara ini dengan serius. Apakah kita ingin terus lahirkan manusia yang menterbalikkan Jalur Gemilang seperti yang dilakukan oleh bekas pelajar UEC di Taiwan? Perkara ini tidak mustahil berlaku lagi kerana jiwa ultra kiasu mereka sudah lama bersarang dalam sanubari melalui pendidikan yang telah diperolehi.

Lebih ultra lagi, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) sebelum ini bersungut mengenai komposisi dalam senarai anggota Kabinet yang didakwa tidak banyak membariskan wakil daripada kaum Cina untuk menyelesaikan masalah mereka.

Persoalan saya, di manakah kita berada? Perlukah sangat menteri Cina untuk jaga orang Cina? Adakah selama ini menteri Melayu tidak menjaga orang Cina? Siapa yang perlu menjaga siapa? Siapa yang harus mengenang budi dan membalas jasa siapa?

Di China dan India, siapakah yang mewakili Cina (India) Muslim di sana untuk mendengar masalah mereka? Sedarkah kita betapa beruntungnya bukan Melayu di negara bertuah ini?

Dengan sebab itu, saya amat risau idea menjadikan BN satu parti. Kita mungkin bersangka baik. Orang lain bagaimana? Bahayanya, apabila undian dijalankan, sudah tentu undi UMNO (Melayu) hanya ada satu, berbanding 12 wakil parti komponen yang lain. Hanya UMNO sahaja yang akan bercakap soal kepentingan Melayu (Islam). Itupun jika semua faham. Ada segelintir dalam UMNO yang telah mati hati Melayunya kerana dikaburi oleh wang yang digula-gulakan oleh ultra kiasu.

Selain itu, apa yang tergambar dalam fikiran ultra kiasu ini? Bila idea ini dibangkitkan, ultra kiasu tanpa melihat kedudukan mereka, mengeluarkan kenyataan, Timbalan Perdana Menteri (TPM), paling kurang mesti ada tiga iaitu TPM mewakili Sabah Sarawak, Cina dan India. Yang peliknya, orang Sabah dan Sarawak tidak pula kedengaran membincangkannya dengan serius!

Kenapa ultra kiasu di Semenanjung begitu obsess dengan jawatan TPM? Kenapa tidak sebut sahaja perlu ada jawatan 3 jenis PM?

Dalam kepala otak mereka, tidak ada perkara lain, soal bangsa, bangsa, bangsa. Bagaimana dengan Orang Asli dan etnik minoriti yang lain? Berapa banyak jawatan TPM hendak diwujudkan untuk memuaskan hati semua pihak.

Pada saya, yang paling layak untuk jadi TPM adalah orang Melayu, Orang Asli dan wakil Sabah serta Sarawak. Titik. Kedudukan mereka begitu jelas. Mereka layak menjadi TPM untuk Malaysia, kerana mereka tahu dan faham sejarah Malaysia. Mereka menyahut agenda kebangsaan dan bahasa Malaysia mereka tip-top. Yang lain belum tentu.

Cuba intai-intai perbahasan ultra kiasu dalam Dewan Rakyat selepas ini. Kalau boleh, kita tidak mahu dengar lagi kata-kata; "Tuan Speaker, dengan izin". Hanya kerana mereka tidak terjumpa atau terlintas perkataan dalam BM.

Sebagai menghormati negara ini berasaskan kepada ketuanan Melayu dan Islam, tidak salah jika jawatan PM dan TPM hanya dikhususkan untuk orang Melayu (Islam). Jawatan lain, kongsilah dengan bangsa lain. Perkara ini adalah biasa dan lumrah. Apakah bukan Melayu tidak belajar daripada Singapura. Pernahkah jawatan menteri kanan (perkhidmatan awam) diserahkan kepada orang Melayu walaupun Singapura itu negara berasaskan ketuanan Melayu (Islam). Janganlah hipokrit.

Saya yakin selepas bosan jadi TPM, mereka menuntut untuk menjadi PM pula. Sekarang ini memanglah mereka berkata kononnya tidak berminat.

Agenda Melayu (Islam) mesti diteruskan. Jati diri mesti diperkasakan. Melayu tidak boleh hanyut dalam arus sekular. Hati Melayu tidak boleh mati. Ini kerana bangsa lain, tidak pernah cairkan identiti mereka atas semangat 1Malaysia. Misalnya, aktiviti belia dan sukan. Identiti atau jati diri apakah yang akan mengakari? Di manakah kedudukan kebudayaan kebangsaan, cara berpakaian dan sebagainya. Tidak cukup sekadar menyanyi lagu IM4U. Tidak ke mana, jika kita tidak bertegas dalam soal jati diri.

PROF. MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH

Ketua Program Pengajian Kenegaraan, Kepimpinan dan KetamadunanFakulti Pengajian Pengurusan dan PertahananUniversiti Pertahanan Nasional Malaysia

Hentikan segala provokasi kebencian

Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT

OLEH MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia

SEORANG mahasiswa pemimpin pelajar merasa amat tertekan apabila media sosial digunakan untuk menghentam dan memalukannya semata-mata kerana dia mempunyai pandangan yang berbeza dalam perjuangannya sebagai pemimpin mahasiswa.

Wajahnya di-super imposed menjadi rupa berwajah khinzir dan diletakkan di laman sosial malah juga menggunakan gambar anjing mengawan dan meletakkan wajah pelajar di situ dengan paparan begitu besar menjangkau hampir 5,000 like.

Walaupun perbuatan ini boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa, malangnya ia tidak akan dapat mengubah penghinaan dan tekanan yang dihadapi oleh mahasiswa itu. Perbuatan tidak wajar ini adalah sebahagian daripada perang siber yang menjatuhkan maruah dan air muka sesama anak muda yang masih belajar dan dimalukan dengan begitu sekali.

Anak muda ini hanya pemimpin pelajar biasa yang hanya ingin menjadi dirinya sendiri dengan pandangan politik yang menyokong kerajaan. Kesilapannya hanya kerana dia berada dalam satu demonstrasi yang diadakan di luar kampus dan melontarkan kata-kata yang tidak boleh diterima oleh satu kelompok yang mengadakan demonstrasi dan provokasi tersebut.

Dalam satu kejadian lain sekumpulan lagi pelajar membuat perhimpunan di luar kampus dengan disertai oleh orang politik, membuat provokasi yang menimbulkan kemarahan orang lain. Pelajar tersebut mendakwa dipukul dan menyalahkan orang lain termasuk universiti kerana dikatakan tidak menjaga keselamatannya.

Nampaknya anak-anak muda hari ini terdedah dengan didikan yang berbahaya, bermain dengan api, membuat provokasi dan akhirnya membuat tuduhan-tuduhan yang dilabelkan dengan pelbagai perkara. Mereka membaling batu dan sembunyi tangan, seolah-olah puncanya terletak di bahu orang lain.

Perlakuan-perlakuan yang dibuat menimbulkan masalah kepada pelbagai pihak apatah lagi mendorong kemarahan orang lain, menjatuhkan maruah dan memalukan sesiapa yang dianggap tidak sehaluan dengan dakwaan-dakwaan yang memalukan apatah lagi menggunakan media sosial sehingga memberikan tekanan perasaan dan kesan buruk kepada seseorang.

Jika inilah budaya yang yang dijadikan amalan hidup masyarakat kita dalam menangani krisis, perasaan tidak puas hati dan sebagainya , maka kita sebenarnya mengundang kepada masalah-masalah yang jauh membimbangkan pada masa hadapan. Inilah padahnya apabila anak-anak kita ditanam dengan api kebencian, kemarahan yang keterlaluan, menghasut dan menggunakan seluruh saluran komunikasi yang ada untuk membakar perasaan dan darah muda mereka sehingga tidak lagi rasional dalam menjaga kesejahteraan masyarakat.

Apabila anak-anak dididik dengan cara seumpama ini, mereka tidak segan silu untuk berdemonstrasi, bergerak di jalanan dan mengambil tindakan-tindakan agresif apabila tuntutan tidak dipenuhi. Hukum rimba mula mengambil alih perundingan, perbincangan dan diplomasi. Orang lain dianggap berbuat serong apabila pihaknya kalah atau gagal dalam sesuatu usaha dan hanya dia yang betul sepanjang masa.

Ramai yang makin lupa teras dan asas perjuangan menegakkan kedaulatan negara, adab dan kesantunan bangsa. Sebahagian daripada anak-anak kita ditanam dengan anggapan yang sejarah dan kisah masa lalu tidak perlu dilihat lagi, sebaliknya hanya lihat ke hadapan untuk mencapai kejayaan.

Segala kepayahan, kesusahan dan kesukaran yang dilalui oleh mereka yang berjuang untuk meletakkan negara ini sebagai rumah yang selesa didiami dan dikongsi bersama dalam kepelbagaian bahasa, budaya, amalan hidup malah bangsa dan etnik yang ada diperlekehkan dan dianggap dongeng.

Pada akhirnya dihalalkan segala perlakuan yang bertentangan dengan nilai dan norma yang ada, yang dianggap haram dan tidak wajar kepada sesuatu yang benar walaupun sedar harga yang dibayar adalah darah serta ancaman keruntuhan sebuah tamadun yang telah dibina teguh bersama sekian lama.

Kesenangan dan kemudahan hidup yang dinikmati dianggap mudah dan sering tidak disyukuri. Tidak ramai dalam kalangan generasi muda hari ini yang sedar betapa kejayaan mengekalkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial adalah hasil daripada sikap toleransi, kerjasama, persefahaman dan kerja keras secara berterusan yang menyebabkan begitu banyak pihak cemburu apatah lagi dengan keupayaan untuk Malaysia terus menjadi negara berdaulat dan bebas dalam menentukan jalannya sendiri.

Lihat sahaja kesan yang terjadi apabila ada sahaja yang mempertikaikan apa jua yang dilakukan kerajaan dengan membangunkan persepsi penyalahgunaan kuasa atau paling tidak meletakkan apa sahaja kesalahan dan kesilapan di bahu pemimpin yang dipilih dan diamanahkan berada dalam pelbagai kementerian yang bertanggungjawab dalam proses pembangunan negara yang sepatutnya lebih berfokus kepada hal-hal dasar.

Persepsi yang dengan sengaja dibina melalui pelbagai cara termasuk secara maya mendorong kepada perlakuan-perlakuan jelik tanpa rasa bersalah, walaupun kesannya ditanggung sahabat handai dan saudara mara sendiri, semata-mata kerana berbeza ideologi dan pegangan.

Papan cerita yang dibangunkan begitu meyakinkan sehingga orang tidak dapat membezakan antara cerita dengan khayalan malah ditanam sehingga seolah-olah tidak ada sekelumit pun kebenaran dan kejayaan yang dibuat. Siapa sahaja yang menyokong dianggap musuh dan ditekan, diasak malah dijadikan bahan untuk dipandang serong oleh orang lain.

Apatah lagi pada hari ini perlu diakui yang terdapat sebahagian anak muda yang menganggap perjuangan menegakkan bangsa itu tidak lagi penting, sebaliknya perlu melihat kepada isu-isu sejagat yang lebih bersifat universal, rasuah, keadilan sosial, pembahagian kek ekonomi dan sebagainya.

Mereka tidak peduli apa yang akan berlaku kepada anak bangsanya suatu hari nanti semata-mata kerana telah berjaya pada hari ini dan menganggap tidak perlu lagi dibantu oleh sesiapa. Sikap angkuh apabila berjaya, menidakkan sokongan dasar-dasar yang ada selama ini sehingga mengangkatnya kepada kedudukan sekarang dan merasai seakan-akan sudah mampu berdiri sama tinggi dengan orang lain menjadikan sebahagian lupa diri dan berkhayal tentang kehebatannya.

Setiap kali berhujah, kesalahan diletakkan kepada dasar sedia ada, pemimpin yang dianggap rasuah dan gila kuasa atau pun kronisme yang kononnya begitu berleluasa walaupun tidak dapat dibuktikan dengan jelas segala tuduhan, sekadar tuduhan liar, lebih berupa persepsi daripada kebenaran.

Berhentilah untuk menanamkan api kebencian dan mengambil mudah dalam membuat tuduhan. Berhentilah daripada terus mengheret anak-anak kita ke jalanan dan melakukan provokasi yang boleh memusnahkan keharmonian dan kedamaian masyarakat. Berhentilah daripada mendidik anak-anak kita melanggar segala peraturan dan undang-undang, bersikap kurang ajar dan tidak merasa bersalah apabila menimbulkan kesusahan kepada orang lain.

Usaha juga perlu dirancang dengan strategi yang tepat untuk memastikan perlakukan-perlakuan ini dapat dipatahkan segera jika kita benar-benar cintakan negara ini.

Pasukan yang kuat perlu dibangunkan untuk menghadapi serangan ini dengan serius dan segera kita lakukan tindakan-tindakan yang dapat membanteras daripada api kebencian terus bersarang dan digantikan dengan semangat cintakan negara, agama, bangsa dan kedamaian yang ada demi kelangsungan kita pada masa hadapan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Bola atau perang?

Posted: 02 Jun 2013 05:50 AM PDT

KEMUSNAHAN akibat rusuhan penonton Peru yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil membatalkan gol penyamaan pasukan mereka.

KEJADIAN yang berlaku pada 24 Mei 1964 ini dianggap sebagai tragedi terburuk melibatkan penyokong bolasepak fanatik.

Dalam kejadian yang berlaku di Stadium Estadio Nacional di Peru, dikatakan seramai 318 orang terbunuh dan lebih 500 orang cedera.

Perlawanan tersebut melibatkan pasukan Peru dan Argentina yang dalam cubaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo jika salah satu pasukan menang dalam perlawanan itu.

Dikatakan hampir 50,000 penonton menyaksikan perlawanan tersebut dan pasukan Peru hanya memerlukan seri untuk melayakkan diri.

Di peringkat awal, perlawanan masih tenang walaupun kedudukan menyebelahi Argentina yang mendahului 1-0 dan berlanjutan sehingga ke hampir wisel penamat.

Bagaimanapun pasukan Peru berjaya menjaringkan gol pada saat-saat akhir mengakibatkan stadium bergegar dengan sorakan penyokong yang menyorak kegembiraan.

Bagaimanapun kedudukan tersebut hanya untuk seketika apabila pengadil dari Uruguay, Angel Pazos membuat keputusan membatalkan jaringan tersebut.

Keadaan ini mengakibatkan penyokong berang dan salah seorang penyokong berlari ke tengah padang dan cuba membantah keputusan pengadil.

Namun kemunculan pemuda yang dikenali Negro Bomba itu telah ditahan anggota polis yang kemudian bertindak memukulnya.

Kejadian itu telah membangkitkan kemarahan penyokong tempatan yang mula bertindak ganas dan turun ke padang.

Pihak berkuasa pula telah bertindak melulu dengan melepaskan gas pemedih mata yang mengakibatkan para penonton mula panik.

Mereka yang cuba keluar pula telah dihalang apabila kebanyakan pintu ditutup mengakibatkan ramai yang terbunuh akibat dipijak ketika dalam cubaan menyelamatkan diri.

Apabila keadaan di dalam stadium kembali tenang kelihatan ratusan mayat bergelimpangan akibat dipijak oleh mereka yang mahu menyelamatkan diri.

Namun keadaan di luar stadium masih tegang apabila pihak penyokong dan pihak berkuasa bertempur antara satu sama lain.

Keadaan semakin buruk apabila ahli keluarga mereka yang terbunuh tidak boleh menerima kenyataan itu dan bertindak ganas mengamuk di luar stadium.

Keadaan hanya kembali tenang apabila pihak kerajaan melaksanakan perintah berkurung dan menguatkuasakan undang-undang tentera.

Pemain bola ke jururawat

Posted: 02 Jun 2013 05:50 AM PDT

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto WAHIDIN SALIM

HAFIZ dibantu seorang lagi jururawat merawat seorang pesakit yang menjalani hemodialisis.

MELIHAT layanan mesra yang diberikan Mohamad Hafiz Mustafaa, 27, kepada pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di Wad Hemodialisis, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) pasti membuatkan pesakit lebih tenang.

Wajah Hafiz yang sudah menjadi jururawat selama enam tahun di sana sentiasa tidak lekang dengan senyuman serta sentiasa menyapa pesakit dengan ramahnya.

Malah, tidak kurang juga ada pesakit yang begitu menyukai layanan baik yang diberikan jururawat lelaki ini sehingga menganggapnya seperti ahli keluarga sendiri.

Malah ada juga yang mahu menjodohkan Hafiz dengan anak mereka!

Di sebalik sifatnya yang mesra dengan pesakit, Hafiz tidak memulakan kariernya sebagai seorang jururawat atas cita-cita dari zaman sekolah.

Tidak pernah terfikir di benaknya untuk bergelar jururawat yang semestinya lebih sinonim sebagai pekerjaan wanita.

Hafiz pada asalnya adalah seorang pemain bola sepak, malah kehebatannya beraksi di padang membuatkan dia terpilih menyertai Pasukan Belia Bola Sepak Perak selepas menghabiskan persekolahannya di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh.

Ketika itu, dia sudah merangka perjalanan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak yang boleh dikatakan agak cerah di Malaysia dan ia kerjaya yang paling diidamkan Hafiz kerana dapat membina hidup atas hobi iaitu bermain bola sepak.

Namun, langit tidak sentiasa cerah. Baru saja rancak di dalam pasukannya, Hafiz mengalami kecederaan pada buku lali membuatkan dia tidak lagi boleh terlalu aktif, apa lagi bermain bola sepak.

Ketika itu, lelaki berasal dari Ipoh, Perak ini berasa amat sedih umpama dunianya telah berakhir.

Hafiz yang amat mementingkan masa depan yang elok terus merancang untuk mengatur kembali perjalanan hidupnya dan akhirnya memilih untuk menyambung pelajaran di Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Pantai atas nasihat pakciknya.

Pada mulanya, ibu (Sara Bee Abdul Rahman) agak terkejut dengan keputusan saya kerana kejururawatan dan bola sepak merupakan dua perkara yang jauh berbeza.

Tetapi dia dapat menerimanya malah bersifat terbuka atas pilihan saya," ujarnya ketika ditemui di Sambutan Hari Jururawat PHKL, baru-baru ini.

Lagipun, tambah Hafiz, dia sudah biasa menjaga ibunya yang merupakan ibu tunggal di hospital atau di rumah sewaktu ibunya terlantar sakit akibat masalah rahim.

Pengalaman menyertai pertubuhan amal ke beberapa buah rumah anak yatim ketika zaman persekolahan turut membuka hatinya untuk menyertai bidang kejururawatan.

Baran

Setelah tiga tahun berada di dalam kolej kejururawatan, Hafiz terus diserap menyertai tenaga kerja PHKL di Wad Hemodialisis.

Ceritanya, dia merasakan agak janggal sewaktu berada di dalam kolej kerana majoriti pelajar merupakan wanita.

Tetapi dia tidak lagi berasa keseorangan apabila mula bekerja kerana semakin ramai lelaki menceburi bidang kejururawatan dan ia bukan lagi perkara yang pelik berbanding dulu.

Mengakui ketika di zaman bermain bola sepak ada tersimpan sedikit sifat baran, ujar Hafiz, sifat buruk tersebut kini hilang sebaik saja mengenali dunia kejururawatan.

Masa bersukan dulu biasalah ada sifat baran ditambah dengan usia muda.

Namun, sifat negatif itu tidak ada apabila sudah mula melibatkan diri dengan dunia kejururawatan.

Malah, saya amat berpuas hati apabila melihat mereka (pesakit) semakin sihat," ujarnya yang merupakan anak tunggal.

Di tempat kerjanya, mereka mengadakan sistem anak angkat dan ia amat menyeronokkan memandangkan Hafiz berada jauh dari ibunya.

Sedih

Ceritanya, pernah sekali dia menitiskan air mata kerana seorang pesakit meninggal dunia.

Saya mendapat tahu daripada anak pesakit tersebut, sebelum dia (pesakit) menghembuskan nafas terakhir, dia menyebut nama-nama jururawat yang baik dengannya, bukan nama anak-anaknya.

Antara nama yang disebut ialah nama saya membuatkan saya berasa amat hiba.

Pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis sememangnya akan menghabiskan hampir setiap hari di wad membuatkan kami seperti sebuah keluarga," ujarnya.

Di sebalik kesedihan, Hafiz turut gembira terutama bila ada pesakit akhirnya dapat bantuan pemindahan buah pinggang membuatkan mereka tidak perlu lagi menjalani rawatan hemodialisis.

Walaupun sudah pulih kira-kira dua tahun lalu, pesakit tersebut sering datang menjenguk mereka dan keluar makan bersama-sama.

Kepuasan utama jururawat seperti kami apabila dapat melihat mereka semakin pulih," ujar Hafiz.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Padang jadi kawasan perindustrian?

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

seorang penduduk Azhar Nik Azlan (dua dari kanan) menunjukkan kawasan lapang yang dahulunya digunakan sebagai tempat beriadah dan taman permainan kanak-kanak yang telah disalah guna di Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Jun - Para penduduk di Taman Cheras Jaya Fasa 7, Balakong di sini kecewa kerana tiada kemudahan padang untuk beriadah.

Ia berikutan padang yang terdapat di kawasan perumahan tersebut telah disalahgunakan demi kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tinjauan Mingguan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati, padang tersebut telah dijadikan sebagai tempat pihak kontraktor meletakkan lori-lori mereka selain dijadikan tempat stor menyimpan barang dan kawasan penempatan.

Lebih mengecewakan, padang tersebut turut ditambak dengan simen konkrit sehingga tidak kelihatan sebuah padang dan seolah-olah kawasan perindustrian di dalam perumahan.

Mingguan Malaysia difahamkan, kanak-kanak di situ terpaksa bermain di kawasan surau berdekatan berikutan keadaan tersebut.

Para penduduk memaklumkan, mereka sedang memohon kemudahan gelanggang pelbagai guna disediakan di situ bagi tujuan beriadah khususnya untuk golongan belia.

Seorang penduduk yang enggan dikenali memaklumkan, ketika 2006 para penduduk pernah mengadakan aktiviti gotong-royong untuk menjadikan padang itu sebagai kawasan riadah.

"Ia merupakan tanah rizab kosong yang terbiar. Selepas itu, padang tersebut tidak lagi digunakan dan pihak kontraktor syarikat pemaju menjadikan padang itu sebagai 'port' mereka sejak 4 tahun lalu," katanya ketika ditemui.

Katanya, para penduduk telah membuat aduan kepada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan telah beberapa kali mengambil tindakan notis serta saman kepada pihak itu tetapi tiada perubahan.

"Mengenai permohonan penduduk untuk mendirikan gelanggang pelbagai guna di padang itu pada tahun lalu, pihak MPKJ meminta kami mendapatkan kebenaran Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dan Indah Water Konsortium Berhad (IWK) terlebih dahulu.

"Padang tersebut merupakan tapak 'Bio Soil' untuk kegunaan pusat rawatan kumbahan. MPKJ mengatakan mereka tiada halangan memandangkan tapak tersebut terbiar," jelasnya.

Dia menambah, pihak pejabat tanah akan meminta Bahagian Perancangan IWK dan Bahagian Pengurusan Tanah IWK untuk mengemukakan laporan lengkap mengenai status tanah serta perkara berkaitan.

Masalah parkir di Taman Botani selesai

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

TINJAUAN kerja-kerja naik taraf landskap dan kemudahan parkir Taman Botani Perdana Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Jun - Masalah kekurangan tempat letak kereta di Taman Botani Perdana dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan lagi berikutan projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Jalan Cenderasari dan Jalan Cenderawasih di sini siap pada Ogos depan.

Timbalan Pengarah Landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Puteri Khairul Fathiah Fahimuddin berkata, pembinaan di bawah projek naik taraf Taman Botani Perdana bagi fasa kedua B itu sekaligus mampu meningkatkan jumlah pengunjung tempatan mahupun luar negara ke taman berkenaan.

Menurutnya, bagi tujuan keselesaan pengunjung medan letak kereta yang menyediakan kira-kira 300 petak itu akan disambung ke pintu utama taman melalui pembinaan sebuah jejantas.

"Sebuah pusat pelawat sebagai rujukan atau panduan pengunjung akan turut dibina, kiosk jualan selain menjadikan Muzium JPA sebagai pusat pengumpulan koleksi pokok-pokok yang dikeringkan.

"Kemudahan ini sekaligus meletakkan Taman Botani Perdana setaraf dengan taman botani di seluruh negara," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat sebahagian kerja-kerja pembinaan dan naik taraf bagi Fasa 2 yang telah dimulakan pada tahun 2012 masih diperingkat perancangan dan pembinaan.

Menurutnya, bagi fasa kedua ini lebih melibatkan kerja-kerja pembangunan dan penambahanbaikan kemudahan infrastruktur bagi memperlengkapkan lagi usaha menjadikan taman berkenaan sebagai simbol dan lanskap penting negara,.

"Antara yang dirancang ialah

pembinaan rumah sampan dan pavillion di Plaza Utama, menaik taraf Taman Rusa dan Kancil dan pembinaan taman permainan kanak-kanak berdasarkan ikon kartunis Lat,"katanya.

Kesesakan di ibu kota sempena cuti umum

Posted: 01 Jun 2013 11:58 AM PDT

Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

Aliran trafik di Lebuh Raya MRR2 dari susur DUKE menghala ke susur Flamingo sesak berikutan sambutan cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Jun - Aliran trafik di jalan-jalan utama di pinggir ibu negara dilaporkan sesak berikutan sambutan cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Lingkaran Tengah (JLT) 2, Plaza Tol Sungai Besi menuju pusat bandar serta Sungai Penchala menghala ke Bandar Utama.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Polis Trafik Ampang Jaya dan Gombak, kenderaan mula bertambah sejak pukul 12 tengah hari hingga menyebabkan kesesakan di JLT 2 berhampiran susur masuk Pandan Indah serta dari Batu Caves menghala ke Ampang.

Sementara itu, berdasarkan maklumat Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada pukul 1.45 petang, kenderaan bergerak perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah di Lebuh Raya Karak.

Di Plaza Tol Sungai Besi pula, kenderaan bergerak perlahan menghala ke pusat bandar pada pukul 2.08 petang. Kesesakan juga berlaku di Sungai Penchala menghala ke Bandar Utama.

Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia kira-kira pukul 3 petang di JLT 2 mendapati keadaan sesak teruk dari susur keluar Lebuh Raya Duke menghala ke pusat bandar kira-kira 10 kilometer, manakala di laluan bertentangan pula, kenderaan bergerak perlahan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved