Sabtu, 28 September 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pemilik kedai perabot maut ditikam

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Oleh Siti Airunnisa Alaui
pengarang@utusan.com.my

Anggota polis mengusung mayat mangsa yang ditemui mati dibunuh di Kampung Padang Nenas, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 28 Sept. - Seorang pemilik sebuah kedai perabot yang berasal dari Pakistan mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan dan kepala di Kampung Padang Nenas dekat sini tengah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mayat Hadi Khan (gambar), 55, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran di belakang kedainya.

Menurut seorang saksi, Ahmad Syafandi Mohd, 34, yang menjalankan perniagaan bersebelahan kedai mangsa berkata, dia menyedari kejadian itu setelah seorang pemandu lori yang ingin menghantar perabot memaklumkan menemui mangsa di atas kepingan kayu pelapik tilam.

"Ketika itu, pemandu lori tersebut mencari mangsa di dalam kedai dan menemui mangsa terbaring di bawah tilam manakala keadaan almari dan beberapa lain turut bersepah.

''Saya tidak dengar apa-apa bunyi bising walaupun kedai saya berdekatan dengan kedainya malah ada yang beritahu melihat mangsa membaca surat khabar di depan kedainya kira-kira pukul 8.30 pagi tadi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, mangsa difahamkan menetap di sini bersama seorang isteri dan anaknya sejak 20 tahun lalu.

Tambah beliau, bagaimanapun ketika kejadian, isteri dan anak mangsa tiada ekoran baharu sahaja pulang ke Pakistan.

Jelasnya, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan mengenal pasti punca kejadian itu berlaku dan tidak menolak kemungkinan melibatkan beberapa orang suspek.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dekat sini untuk bedah siasat.

Lagi wang ATM dirompak

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
pengarang@utusan.com.my

JEMPOL 28 Sept. - Seorang pengawal keselamatan dipukul dalam kejadian rompakan mesin pengeluar wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Bahau, dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi, sekumpulan penjenayah bertopeng dipercayai berusia lingkungan 30-an, memecah masuk dalam sebuah pasar raya itu sebelum bertindak memukul pengawal keselamatan berusia 60 tahun ketika mangsa sedang melakukan rondaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Supritendan Tukiman Seriman berkata, penjenayah terbabit telah memotong dan memecahkan mesin ATM berkenaan serta melarikan wang tunai RM276,900 daripada RM360,000 yang telah dimasukkan oleh pihak bank di pasar raya berkenaan, semalam.

"Hasil siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya itu, kita dapati suspek telah memukul pengawal keselamatan di bahagian kepala dengan menggunakan senjata tajam di luar bangunan berkenaan.

"Selepas itu penjenayah telah menutup mata mangsa dan mulut dengan menggunakan pita pelekat, manakala tangannya diikat dengan pita pelekat manakala kakinya pula diikat dengan dawai," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, penjenayah telah menggunakan alatan memotong besi untuk memecahkan mesin ATM tersebut sebelum mengambil wang di dalamnya.

"Kita dimaklumkan, pihak bank baru memasukkan sejumlah wang tunai yang dianggarkan RM360,000 dalam mesin berkenaan pada pukul 12 tengah hari semalam.

"Hasil siasatan dan rekod pengeluaran, kita dapati sejumlah RM276,900 telah didapati hilang di mana di dalamnya mengandungi wang kertas nilaian RM50. Baki wang kertas dengan nilaian RM10 tidak dilarikan suspek dipercayai kesuntukan masa," ujarnya.

Menurut beliau, pengawal keselamatan itu baru sahaja berkhidmat kurang daripada seminggu dan dia telah dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan akibat dipukul.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Mat Yo bantu julang JDT

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my

Penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha meraikan jaringannya ketika menentang Kelantan pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Norshahrul Idlan Talaha nyata tidak terganggu dengan kontroversi yang sedang melanda dirinya, apabila meledak gol untuk membantu Johor Darul Takzim (Johor DT) menundukkan Kelantan 4-2 pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Hanya Johor DT dilihat membawa bekalan selesa untuk beraksi di suku akhir kedua pada ketika semua perlawanan lain berlangsung sengit.

Di Stadium Jalan Besar, LionsXII menang 1-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala Sime Darby dan Sarawak seri tanpa sebarang jaringan.

Skuad Harimau Selatan yang beraksi di hadapan lebih 30,000 penyokong setia tampil dengan aksi yang cukup memukau.

Mereka tidak menunggu lama mendapatkan gol iaitu seawal minit keempat menerusi sepakan percuma Jasazrin Jamaluddin, yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Tuan rumah semakin selesa apabila mendapat gol kedua pada minit ke-20 menerusi Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo.

Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya merapatkan jurang melalui Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-22.

Kelebihan dua jaringan kembali memihak Johor DT apabila ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim meledak gol ketiga Harimau Selatan pada minit ke-38.

Masuk babak kedua, Kelantan tidak membuang masa mencari gol kedua apabila kurang lima minit beraksi, sepakan pemain import pasukan lawan, Obinna Nwaneri membocori gawang Johor DT buat kali kedua.

Percaturan jurulatih Johor DT, Azmi Mohamed memasukkan Leonel Nunez menggantikan pemain muda, Muhd Haidin Azman nyata berbaloi apabila dia menyumbat gol keempat pada minit ke-81.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby dan Sarawak masing-masing buntu mendapatkan jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam perlawanan yang seimbang dan menghiburkan kira-kira 10,000 penonton yang hadir.

Skuad Bujang Senang mempunyai beberapa peluang terhidang terutama menerusi Muamer Salibasic pada minit ke-33 yang menyaksikan percubaannya sedikit melepasi palang gol.

Kemudian, giliran bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Fadzli Shaari menunjukkan belang tersendiri pada minit ke-44 apabila melakukan sepakan akrobatik yang mujur dapat ditepis keluar oleh Sani Anuar Kamsani.

LionsXII membawa bekalan tipis tetapi masih cukup berharga kerana tidak memberikan sebarang gol di tempat lawan kepada ATM melalui kemenangan 1-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Seperti kebiasaan, jaringan LionsXII terhasil melalui situasi bola mati pada minit ke-39 selepas sepakan penjuru yang diambil Shahfiq Ghani hadir tepat di atas kepala Madhu Mohana dan mudah menanduk masuk bagi jaringan tunggal tuan rumah.

Pilihan Selangor pertahan kejuaraan

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

ZAINAL Abidin Hassan melepasi halangan pemain Singapura, Dalis Supait pada perlawanan di antara Veteran Selangor menentang Veteran Singapura dalam Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi. - MINGGUAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI

SHAH ALAM - Pilihan Selangor berjaya muncul juara Piala Sultan Selangor buat kali keenam apabila menumpaskan Pilihan Singapura 3-2 bagi saingan edisi ke-12 di Stadium Shah Alam semalam.

Sebelum ini Pilihan Selangor telah berjaya meraih kejuaraan pada 2001, 2003, 2005, 2008 dan 2012, kemenangan semalam juga menyasikan mereka mengatasi Pilihan Singapura yang pernah muncul juara sebanyak lima kali pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011. Kedua-dua pasukan pernah meraih kejuaraan bersama pada 2004.

Dalam aksi yang disaksikan kira-kira 60,000 penyokong itu, Pilihan Selangor tersentak dengan jaringan Pilihan Singapura apabila penyerang veteran, Aleksander Duric pada minit kelima tatkala mereka masih lagi mencari rentak untuk mempamerkan permainan mantap.

Usaha keras Selangor untuk mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila pemain import, Adam Griffith mudah menanduk masuk hantaran lambung Mahali dari sebelah kanan pada minit ke-40.

Pada minit ke-54 Selangor berjaya berada di depan apabila Forkey Doe merembat kencang bola dari dalam petak penalti selepas mendapat hantaran pendek Amri Yahyah.

Pilihan Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 melalui sepakan penalti Kamel Ramdani. Ramdani sebelum itu dikasari Fitri di dalam petak penalti.

Kegembiraan Pilihan Singapura tidak lama, apabila Forkey Doe berjaya menjaringkan gol keduanya hasil rembatan lencong dari luar petak penalti menewaskan Hassan yang dilihat sedikit ke depan dari posisinya.

Sementara itu Veteran Singapura berjaya mengekalkan kemenangan yang dicatatkan tahun lalu, apabila mereka menang tipis 1-0 menewaskan Vetaran Selangor hasil jaringan Rafi Ali pada minit ke-17.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Hentikan pembakaran terbuka

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Sebahagian peneroka membuat bantahan aman mengenai pembakaran terbuka di Felda Tekam Utara, Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 28 Sept. - Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka tandan kelapa sawit di Felda Tekam Utara sejak tiga bulan lalu kerana ia menjejaskan kesihatan kepada penduduk.

Gesaan dibuat oleh masyarakat peneroka tanah rancangan itu kerana ada dalam kalangan mereka mengalami masalah kesihatan berikutan tindakan tersebut.

Seorang peneroka, Ramli Jemail, 59, berkata, pembakaran tersebut dilakukan kira-kira 2.5 kilometer dari perkampungan tanah rancangan menyebabkan asap tebal memasuki rumah mereka.

LONGGOKKAN tandan sawit yang dibakar secara terbuka di sebuah kawasan berdekatan Felda Tekam Utara, Jerantut.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan kesihatan penduduk terjejas khususnya bagi mereka yang menghidap penyakit seperti jantung, asma dan pernafasan kanak-kanak.

"Asap pembakaran itu akan membantutkan proses pendebungaan kelapa sawit di kebun sekali gus menjejaskan pendapatan kami bagi tempoh jangka panjang," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bendahari Pertubuhan Peneroka Felda Tekam Utara, Wan Mohamad Wan Bakar, 56 berharap, JAS akan bertindak menghentikan pembakaran tersebut.

Katanya, beberapa penduduk telah membuat laporan aduan kepada JAS negeri tetapi sehingga kini tiada lagi tindakan diambil.

Rakannya, Mohd. Rashid Saad, 64, memberitahu, kebanyakan peneroka di situ sudah berusia dan kesihatan mereka sering terjejas akibat masalah berkenaan.

Katanya, para penduduk kerap ke klinik kesihatan di tanah rancangan itu berikutan masalah kesihatan yang dikatakan berpunca daripada asap pembakaran tersebut.

Abu Azam terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Kimia

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Abu Azam Md. Yassin

KUANTAN 28 Sept. - Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md. Yassin akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Kimia sempena Majlis Konvokesyen Ke-8 Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berlangsung selama dua hari bermula 5 Oktober ini di kampus Gambang universiti itu di sini.

Beliau yang merupakan Rektor pertama Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (Kuktem) yang kini dikenali sebagai UMP akan menerima anugerah itu yang akan disampaikan oleh Canselor universiti itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, penganugerahan itu sebagai mengiktiraf sumbangan beliau yang tidak pernah terhenti terhadap pembangunan ekonomi terutama bumiputera, pendidikan dan industri petroleum.

"Pengurniaan tersebut juga sebagai menghargai dedikasi dan khidmat cemerlang beliau sebagai Rektor pertama Kuktem yang kini dikenali sebagai UMP. Beliau telah menyediakan asas dan landasan kukuh terhadap universiti ini untuk bergerak maju ke hadapan dalam memacu pengajian tinggi di negara ini.

"Beliau kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah bagi Kolej Darul Naim dan aktif dalam aktiviti sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Haluan Malaysia khususnya dalam memberi bantuan pendidikan serta kebajikan kepada umat slam sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Daing Nasir, sebanyak 2,095 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis tersebut yang kali kedua akhbar Utusan Malaysia dilantik sebagai media rasmi.

"Majlis konvokesyen itu akan berlangsung dalam tiga sesi ini melibatkan sebanyak 20 graduan doktor falsafah (PhD), 63 graduan sarjana, 1,483 graduan sarjana muda dan 529 graduan diploma membabitkan lapan fakulti serta tiga pusat pengajian," ujarnya.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 83 graduan melibatkan Institut Pengajian Siswazah diikuti Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (119), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (106), Fakulti Teknologi (139) dan Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (203) berlangsung pada sesi pertama.

Tambahnya, Tengku Abdullah akan mencemar duli mengurniakan ijazah kepada graduan pada sesi pertama.

"Konvokesyen kali ini juga mencatat sejarah apabila sebanyak 18 graduan antarabangsa yang mengikuti pengajian prasiswazah turut sama pada kali ini," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 13 graduan bakal menerima anugerah dan hadiah akademik melibatkan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor, Anugerah Emas Universiti dan Anugerah Yayasan Pahang.

"Bagi hadiah akademik adalah Hadiah Industri Kecemerlangan HeiTech, HadiahKecemerlangan Ir. Kee Book Hee, Hadiah Kecemerlangan Sapura Industrial Berhad, Hadiah Srikandi Matahari, Hadiah Industri Telekom Malaysia Berhad dan Hadiah Kecemerlangan Perodua," katanya.

PIBG perlu diperkasakan selari PPPM

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

KUALA KRAU 28 Sept. - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini perlu diperkemas dan diperkasakan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 (PPPM) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, peranan pertubuhan itu sebagai rakan kongsi kepada pengurusan sekolah amat penting dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan pelbagai isu pendidikan yang semakin mencabar.

Menurutnya, tanggungjawab PIBG bukan lagi sebuah organisasi konservatif, tetapi lebih kepada memenuhi tuntutan dalam meningkatkan keberkesanan, komprehensif dan berwibawa kepada seolah.

"Barisan kepimpinan mereka perlu bersedia memikul tanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta amanah dan bukan sekadar hanya memenuhi lantikan jawatan dalam mesyuarat agung sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peruntukan Khas Menteri Pendidikan berjumlah lebih RM350,000 kepada PIBG sekolah sekitar Parlimen Kuala Krau di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau di sini hari ini.

Menurutnya, Majlis Permuafakatan PIBG sama ada di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan perlu diperkasa bagi menggalakkan kerjasama setempa dalam menangani pelbagai isu pendidikan.

Katanya, pertubuhan tersebut yang bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesti berkarisme dan sentiasa bersama kerajaan memajukan pendidikan negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Pengebom berani mati serang kem tentera Mali

Posted: 28 Sep 2013 11:06 AM PDT

MALI 29 Sept. - Sebuah kem tentera di bandar Timbuktu di sini hari ini diserang oleh dua orang pengebom berani mati sehingga mengakibatkan dua orang awam terbunuh.

Pengebom berani mati meletupkan kereta yang mereka naiki berhampiran kem tentera.

Dua orang awam mati di tempat kejadian dan tentera kini berada dalam situasi berjaga-jaga, kata jurucakap tentera Mali. - AFP

Parti pemerintah Tunisia setuju undur, bincang

Posted: 28 Sep 2013 11:04 AM PDT

TUNIS 29 Sept. - Parti pemerintah Tunisia, Parti Ennahda bersetuju untuk berundur dan melepaskan kuasa bagi mengadakan perbincangan dengan pembangkang minggu depan.

Jurucakap kesatuan buruh berkata, persetujuan itu dicapai selepas berbulan-bulan berunding dengan kerajaan pimpinan pergerakan Islam itu.

Persetujuan tersebut akan memberi laluan kepada pembentukan kerajaan sementara sebelum pilihan raya baharu diadakan. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bisik-bisik Awang Selamat - 29/9/2013

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Mesej jelas - GELOMBANG penolakan terhadap pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng makin ketara sepanjang minggu ini.

Banyak pihak terus membuat laporan polis dan mengadakan demonstrasi membantah usaha membawa abu mayat mendiang untuk disemadikan di negara ini.

Beberapa mufti dan ulama turut bersuara sambil menegaskan Chin Peng tidak layak diiktiraf.

Semasa dia hidup kita tidak pernah membelanya, apatah lagi untuk menghargainya. Jadi kita perlu teruskan apa yang kita perjuangkan, tegas Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad.

Nada yang lebih tegas muncul daripada peringatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini bahawa Chin Peng dan pengganas komunis adalah petualang negara.

Titah baginda, perjuangan Chin Peng yang mahu mewujudkan negara komunis telah menyebabkan banyak nyawa tentera, polis dan orang awam terkorban selain mengalami kesengsaraan.

Baginda turut meminta rakyat Malaysia agar memahami sejarah negara dengan sebaik-baiknya. Jangan kerana ingin mendapatkan sokongan dan populariti sanggup menggadai maruah bangsa dan tanah air sendiri, yang disifatkan Sultan Selangor sebagai tindakan durjana.

Awang bersyukur baginda tampil dengan peringatan tersebut yang cukup tegas. Baginda boleh berdiam tetapi memilih untuk memberikan peringatan itu demi kepentingan negara.Ia adalah mesej jelas kepada semua terutama mereka yang masih ghairah mahu menulis semula sejarah dengan mengherokan Chin Peng.

Beberapa hari lalu, polis menahan dua lelaki yang membawa bahan-bahan mempromosi Chin Peng yang cuba diseludup ke negara ini. Awang difahamkan, pihak-pihak yang menyokong mendiang tidak akan berputus asa.

Cabarannya, apa lagi yang kita tidak tahu terhadap gerakan untuk mengangkat Chin Peng sebagai tokoh peringatan? Dan siapa lagi durjana termasuk mereka yang bermuka-muka di sekeliling kita?

Menghargai Azizan - TERASA tidak lengkap ruangan ini, jika tidak merekodkan penghargaan buat pemimpin yang istimewa, bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Azizan Abdul Razak.

Allahyarham yang dikenali ramai sebagai Ustaz Azizan kembali ke rahmatullah Khamis lalu, selepas hampir empat bulan bertarung nyawa akibat komplikasi diabetis.

Awang ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham. Bukan setakat takziah, Azizan sebenarnya layak mendapat penghargaan lebih besar daripada itu.

Pada Awang, Allahyarham bukan sebarangan politikus. Sikap budiman dan keterbukaannya menjadikan Azizan seorang pemimpin yang ada kelas. Perspektif politiknya bijaksana dan berhemah. Allahyarham adalah di antara segelintir pemimpin Pas yang berani menongkah arus dalam banyak isu demi mengutamakan kepentingan Islam.

Banyak pendirian politiknya dipuji. Daripada tidak bersetuju dengan tindakan ramai pemimpin utama pembangkang untuk memboikot media arus perdana, Azizan komited kepada perpaduan Islam dan tidak tunduk kepada tekanan sekutu Pas yang cuba mencatur parti itu untuk agenda serong.

Meskipun berdepan dengan banyak tekanan daripada sebahagian pemimpin pakatan pembangkang termasuk dalam kalangan Pas sendiri, Allahyarham tidak goyah. Pernah ditegaskannya, Islam bukan untuk digadai dan dimudaratkan. Jati diri Islam dan Melayunya kukuh.

Banyak kualiti ada pada tokoh ulama Pas ini. Mesra rakyat, kuat bekerja, tidak mudah melatah, suka menolong dan menghormati orang lain walaup un berbeza ideologi politik - menjadikan Allahyarham disayangi ramai.

Sememangnya Azizan politikus unggul, bersikap sederhana dan ikhlas dalam perjuangannya. Allahyarham akan dikenang oleh kawan dan lawan sebagai insan berhati mulia. Pemergiannya satu kehilangan bukan sahaja kepada Pas malah kepada umat Islam di seluruh negara. Sejarah akan mengabadikan Azizan sebagai pemimpin yang matang, berjiwa besar dan berorientasikan perpaduan Islam. Semoga Allah SWT memberikan kedudukan ahli jannah ke atasnya. - AL FATIHAH.

Wajah Anwar - ANTARA perkara yang menjadi bahan perbualan ramai kini adalah perubahan wajah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.Semua orang tertanya-tanya kerana perubahan wajahnya itu begitu ketara.

Beliau yang dikenali dengan raut cengkung sejak bertahun-tahun lalu, kini tampil dengan wajah berisi, tegang dan tiada lagi kedut.Malah pipinya kelihatan seperti sedikit membengkak atau boleh juga dianggap tembam.Berdasarkan respons dalam laman sosial dan blog, ramai yang percaya Anwar melakukan pembedahan wajah atau suntikan botox.

Seorang pembantu pemimpin PKR itu menafikan perkara tersebut dan mendakwa ia kesan daripada alahan pada ubat. Bagaimanapun penafian itu diragui ramai yang rata-rata memberikan reaksi sinikal. Macamlah rakyat Malaysia bodoh sangat, demikian antara komen menerusi laman blog.

Awang hanya mampu senyum kerana sebelum ini pernah mengulas tentang wajah beliau yang entah kenapa begitu cengkung dan keruh.

Berbanding kebanyakan pemimpin lain, air muka Anwar kelihatan kusam serta hilang seri.Jika benar Anwar, 67, melakukan pembedahan atau suntikan botox supaya nampak lawa dan bergaya, apa salahnya. Beliau juga ada naluri untuk kelihatan muda, cuma Awang tertanya-tanya, sekali lagi jika benar Anwar merubah raut wajah, mana yang lebih utama - wajah atau parti?

Selepas PRU-13, yang menyaksikan Anwar gagal membawa pakatan pembangkang memerintah negara seperti yang dijanjikan, sepatutnya beliau lebih dituntut melakukan pembaharuan dalam parti untuk memulihkan keyakinan rakyat. Tetapi beliau memilih untuk responsif kepada hal lain dengan menampilkan perubahan pada wajahnya terlebih dahulu. Biarkanlah.

Menyedihkan... - TERDAPAT satu kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang merentap perasaan Awang.

Menurut kajian itu, kira-kira 26 peratus atau 63,000 warga emas di negara ini tidak pernah diberi bantuan kewangan oleh anak mereka. Manakala 27 peratus lagi menerima sesekali dalam tempoh beberapa bulan sementara 36 peratus menerima bantuan setiap bulan.

Awang kasihan kepada warga emas kategori golongan 26 peratus dan 27 peratus itu.

Apa sudah jadi dengan anak-anak mereka? Isu ini amat serius dan menuntut perhatian menyeluruh masyarakat. Awang percaya kebanyakan anak-anak sebenarnya masih mampu memberikan wang kepada ibu bapa mereka yang biarpun sedikit. Masalahnya, sebahagian anak-anak termasuk dalam kalangan orang Islam meletakkan prioriti yang salah. Perbelanjaan untuk riadah, membeli aksesori kereta dan perbelanjaan lain untuk gaya hidup, lebih diutamakan berbanding untuk ibu bapa.

Keperluan membantu kewangan ibu bapa seharusnya diletakkan dalam bajet anak-anak apabila sudah bekerja. Jadikan ia ketetapan.

Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang tinggi. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan kedua-dua ibu bapa.

Renungkan.

Nasib polis... - GAMBAR muka depan Utusan Malaysia pada Rabu lalu, menyentuh perasaan ramai.

Mohamad Habibullah, 4, anak sulung Allahyarham Koperal Zal-Azri Abdul Samad meratap sambil enggan melepaskan batu nisan ayahnya itu ketika acara pengebumian.

Suasana pilu menyelubungi mereka yang berada di pusara ketika itu. Mohamad bagai tidak berdaya melalui detik-detik kehilangan ayahnya.

Allahyarham Zal-Azri adalah anggota polis yang mati akibat diserang dengan objek keras oleh penjenayah yang cuba melarikan diri semasa serbuan Ops Lejang di Melaka, Selasa lepas.

Awang sedih kerana masyarakat tidak cukup memberikan penghargaan kepada Allahyarham dan keluarganya. Apatah lagi daripada golongan yang selalu mentohmah dan menghina pihak polis. Ini termasuk pemimpin pembangkang tertentu dan puak-puak rasis yang menjadikan polis bagai musuh mereka.Jika penjenayah mati lebih-lebih lagi kalau bukan Melayu maka gegak gempita jadinya bumi Malaysia ini. Si penjenayah menjadi wira sekelip mata.

Anehnya apabila ada anggota polis terkorban angkara penjenayah, tiada sama sekali pembelaan daripada kelompok tersebut. Penghargaan dan simpati kecil pun tidak mahu diberikan. Ke mana nilai kemanusiaan terutama kepada golongan yang sangat berjasa kepada negara dan warga negara jenis apakah mereka?

Tetapi itulah nasib polis di negara ini.

Jawatan bukan penentu kemenangan

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

MINGGUAN: Apa yang Datuk Seri lihat mengenai pemilihan yang buat pertama kali melibatkan 146,500 perwakilan?

MOHD. SHAFIE: Pemilihan kali ini cukup bersejarah kerana ia satu permulaan untuk kita mengguna pakai peraturan baru dalam menentukan pucuk pimpinan parti daripada atas sampai ke akar umbi. Keduanya, 148,000 perwakilan akan terbabit dalam menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin negara kita.

Saya penuh yakin ini merupakan salah satu proses transformasi yang perlu dilakukan oleh UMNO dalam memastikan parti ini dapat kita suburkan dengan cara dan kaedah membabitkan seramai mungkin perwakilan dalam penentuan pucuk pimpinan negara kita.

Dengan kaedah ini, mereka juga boleh menentukan siapa menjadi Presiden; Timbalan Presiden; Naib-Naib Presiden; Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (MT); Ketua Bahagian dan Ahli Jawatankuasa Bahagian. Ini kerana pembabitan mereka kali ini cukup ramai sekali.

Datuk Seri yakin 146,500 perwakilan itu mempunyai kebijaksanaan untuk memilih pemimpin?

MOHD. SHAFIE: Mereka matang menilai siapa yang layak dan mampu. Semua mereka ada pilihan tersendiri dan semua pemimpin yang bertanding juga kelebihan ada sumbangan. Saya dalam keahlian. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam bidang promosi dan latihan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam soal transformasi. Kita harus melihat bagaimana sumbangan ini telah membantu parti.

Apa yang Datuk Seri mahukan daripada perwakilan?

MOHD. SHAFIE: Nilailah saya dari segi keupayaan memberi sumbangan. Selaku 'menteri kampung' adakah kampung-kampung itu telah memberi kekuatan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO? Begitu juga dengan sumbangan saya kepada masyarakat Orang Asli yang sebelum ini tidak pernah belajar hingga keluar negara.

Sekarang kita menghantar mereka melanjutkan pelajaran sehingga ke Australia dan New Zealand. Apakah sumbangan saya selama dua tahun setengah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah walaupun mungkin sekitar satu atau lima peratus sehingga Kedah berjaya dirampas balik?

Saya berharap penilaian itu akan menjadi faktor-faktor kepada perwakilan dalam menentukan kejayaan saya mempertahankan jawatan ini.

Bagaimana peluang Datuk Seri mengekalkan kedudukan Naib Presiden?

MOHD. SHAFIE: Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa mereka akan menilai setiap calon yang bertanding dari segi prestasi, cara kita memberi sumbangan kepada parti dan juga kerajaan. Itu sebenarnya boleh menentukan peluang kita dalam pemilihan kali ini.

Benar, jika sumbangan itu kelihatan baik, para perwakilan akan memberi sokongan kepada calon-calon yang menawarkan diri. Insya-Allah kita berdoa kepada Tuhan, kemudian saya serahkan kepada perwakilan untuk menentukan.

Datuk Seri optimis dengan peluang untuk mempertahankan kedudukan Naib Presiden?

MOHD. SHAFIE: Tak boleh kata yakin 100 peratus. Kena kerja kuat. Dalam politik kita tidak boleh terlalu yakin sehinggalah hari pengundian itu tiba dan kita akan akan rasa puas kerana sudah buat yang terbaik untuk memastikan sasaran sudah dicapai.

Dalam politik bukan soal kita termakan orang itu dan orang ini cakap awak kena bertanding, tapi persoalan apa yang kita telah lakukan dan sumbang kepada parti serta rakyat yang akan dinilai.

Saya percaya Datuk Seri telah lama bergerak. Bagaimana bahasa tubuh para perwakilan terutama mereka yang ada di luar bandar?

MOHD. SHAFIE: Saya yakin ahli-ahli UMNO tidak akan membuat pendekatan menolak untuk bersalam dengan mana-mana calon pun termasuk saya sendiri. Setakat ini tiada nampaknya berlaku penolakan walaupun saya sedar dalam bidang politik ini tidak ada 100 peratus jaminan kita sebagai calon akan menang mutlak.

Apa kelebihan yang Datuk Seri ada pada pemilihan kali ini?

MOHD. SHAFIE: Pertama, saya merupakan penyandang namun itu bukanlah satu bentuk jaminan 100 peratus kerana ia juga berkait dengan prestasi saya selama ini. Saya sebenarnya yakin, sekiranya kita melakukan sesuatu yang baik untuk mengukuhkan parti, mengukuhkan kerajaan, perwakilan akan melihatnya sebagai satu kelebihan yang ada pada kita.

Begitu juga dengan pendatang baharu, tidak semestinya mereka tiada kelebihan. Bagi saya perwakilan akan memilih kita berdasarkan siapa kita dan apa yang telah kita lakukan untuk kebaikan parti serta kerajaan selama kita diberi tanggungjawab melaksanakan amanah yang diberikan.

Menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi banyak peluang untuk berdampingan dengan perwakilan. Apakah ia satu kelebihan kepada Datuk Seri?

MOHD. SHAFIE: Saya tidak beranggapan ia satu kelebihan untuk membolehkan saya menang. Dahulu Tan Sri Muhammad Mohd. Taib pernah bertanding dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam merebut jawatan Timbalan Presiden.

Jawatan sebagai menteri di kementerian saya ini tidak menjamin kemenangan. Dalam pertandingan itu, Tan Sri Muhyiddin menang sedangkan jawatannya menyebabkan beliau sering ke luar negara. Walaupun sedikit sebanyak ada tetapi saya yakin ia bukan menjadi penentu kepada keseluruhannya.

Jawatan dan kementerian itu merupakan satu landasan tetapi ia tidak akan menjadi penentu jika kita tiada keupayaan kita untuk menguruskan dengan sebaik-baiknya.

Sebagai penyandang, Datuk Seri berhadapan cabaran apabila dikatakan gagal meraih sokongan padu perwakilan Sabah. Bagaimana menangani senario ini?

MOHD. SHAFIE: Alhamdulillah, saya lihat perwakilan Sabah memberi sokongan kepada saya. Selama ini pun mereka memberi sokongan iaitu sejak saya menjadi wakil di peringkat Pergerakan Pemuda, Exco Pemuda dan selepas itu menjadi MT.

Saya menduduki jawatan di MT tujuh penggal dan Naib Presiden baru kali kedua. Tidak mungkin saya berada pada kedudukan ini tanpa sokongan kuat mereka. Kalau ada pertandingan, saya yakin perwakilan memilih bukan atas faktor negeri tetapi menilai keupayaan serta kebolehan kita.

Dahulu ada pernah dua orang calon Naib Presiden dari Terengganu iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Tan Sri Dr. Yusof Noor. Pulau Pinang juga sama membabitkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sama-sama menduduki jawatan Naib Presiden.

Saya penuh yakin, ukuran datang daripada negeri memang ada pertimbangannya tetapi secara keseluruhannya para perwakilan dari Perlis hingga ke Sabah akan membuat pilihan berdasarkan atas keupayaan dan kebolehan kita.

Saya juga melihat bila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tidak menawarkan diri, ini satu tanda yang baik. Saya ucapkan terima kasih. Ini bukan sekadar calon dari Sabah tetapi sebenarnya menampakkan lagi konsep kekitaan dalam berhadapan pertandingan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein wakil Johor mendapat sokongan padu perwakilan negeri. Datuk Seri yakin dapat meraih semula sokongan Sabah selepas Musa umum tidak bertanding?

MOHD. SHAFIE: Persoalannya walaupun saya dari Sabah dan mendapat sokongan padu perwakilan Sabah pun, itu tidak bermakna saya boleh kata yang saya boleh menang. Sabah hanya mewakili 25 bahagian sahaja, sedangkan saya perlu juga sokongan daripada perwakilan negeri-negeri lain.

Di seluruh negara UMNO mempunyai 191 bahagian. Calon-calon yang bertanding perlu mendapatkan sokongan lebih 100 bahagian untuk menang dalam mana-mana jawatan yang dipertandingkan baik Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden mahu pun MT.

Dalam kemeriahan pemilihan ramai yang jadi tukang cucuk sehingga merosakkan parti. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

MOHD. SHAFIE: Biasalah dalam dunia politik inilah ramuan yang selalu dirasa dan dilihat. Itulah yang dikatakan politik. Mereka selalu berkata, awak bertandinglah kerana ada potensi menang tetapi esok dia yang pukul habis. Saya dah lama dalam politik ini, Kita tahu kaedah dan cara dia, kita boleh baca. Itu yang kita kata, kita tak dengar cucukan daripada mana-mana pihak.

Kalau kita rasa boleh menyumbang kepada kekuatan Melayu dan bumiputera di negara ini dengan mempertahankan jawatan ini, maka saya akan berpegang kepada itu. Membantu masyarakat miskin. Perkara ini yang memotivasikan saya mempertahan jawatan berbanding orang cucuk. Kita tidak terangkat dengan apa yang orang cucuk.

Pentingnya kita menilai apa kesudahannya kalau kita menawarkan diri. Saya pun layak nak bertanding apa-apa jawatan tetapi itu bukan perkiraan walaupun ada kelayakan selaku ahli. Kita sepatutnya lihat adakah dengan pertandingan itu akan menganggu-gugat kestabilan, perpaduan dan kekuatan parti kita atau tidak.

Apa yang kita bimbang ada pemimpin yang menawarkan diri ini termakan cucukan?

MOHD. SHAFIE: Kita tahu akibatnya kalau seseorang pemimpin tidak tahu menilai. Banyak pengajaran orang tidak berupaya menilai kerana terlalu mengikut perasaan dan emosi, akan ada akibatnya. Banyak pengalaman dalam dunia politik ini.

Itu yang saya cakap, rukunnya dalam ibadat ada peringkat-peringkat dia. Sebelum solat kena wuduk, niat dan takbir. Dalam kehidupan pun begitu, ada sekatan-sekatannya. Itu adalah rukun kehidupan kita. Kita kena sedar dan tahu, orang yang sedar dan menyelaminya insya-Allah akan selamat.

Apa pandangan Datuk Seri terhadap kemasukan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir bertanding jawatan Naib Presiden?

MOHD. SHAFIE: Itu hak dia. Kalau dia hendak bertanding menawarkan diri tiada sekatan tetapi seperti yang saya katakan terdapat proses-proses yang harus dilalui. Syarat-syaratnya ada. Sebab itu sebelum menawarkan diri perlu menepati syarat-syaratnya iaitu menjadi ahli selama tiga tahun atau satu penggal.

Kemudian baru boleh menawarkan diri untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian dan kemudian menawarkan diri menjadi calon di peringkat MT dan begitu juga di peringkat Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Ada langkah-langkahnya.

Dalam dunia politik ini bila kita menurut langkah-langkah yang ada prosesnya ia akan mematangkan kita. Itu jauh lebih baik. Bayangkanlah seorang ahli biasa terus menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden yang mana dia tidak tahu menahu tentang perjalanan parti.

Kita tidak mahu apabila kita dipilih sebagai MT atau Ketua Bahagian ketika itu parti kita sebagai pembangkang. Mempertahankan kerajaan sedia ada juga amat penting bagi kita.

Banyak persepsi mengatakan apabila berlaku pertandingan enam penjuru, salah seorang penyandang akan kalah dan ramai sudah berteka-teki siapa bakal menjadi korban.

MOHD. SHAFIE: Sebenarnya pertandingan ini seperti yang saya sebut iaitu kita hendak memberi sumbangan kepada parti dan memperkuatkan kerajaan kita. Mana-mana pertandingan biasa dan jumlah penjuru bukan penentu. Kita serahkan kepada perwakilan untuk tentukan kestabilan parti bukan kepentingan individu.

Bagaimana kita hendak memperkukuhkan parti untuk memastikan kita bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 PRU. Itu yang lebih penting kerana 28 juta rakyat Malaysia sedang memerhati dan 13 juta pengundi bakal menjadi penentu sama ada UMNO ada kekuatan tidak.

Apa saranan Datuk Seri kepada pemimpin yang kalah dalam pertandingan nanti agar jangan merajuk sebaliknya terus berkhidmat kepada parti dan rakyat?

MOHD. SHAFIE: Ia bermula daripada niat. Itu yang saya katakan ia umpama bagaimana kita beramal ibadah, apa tujuan dia? Kalau niat dia nak rebut jawatan, dia akan kecewa apabila tidak dapat. Kalau niat menawarkan diri untuk menyumbang bagi memperkuatkan parti bagi membantu dan membela rakyat dia tidak akan merajuk.

Landasan ini (membantu dan membela rakyat) tidak semestinya ada jawatan. Memang ada kelebihan bila ada tempat contohnya untuk memberi sumbangan dalam menggubal dasar, membincangkan perlembagaan parti dan sebagainya. Jadi berbalik kepada niat.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Jangan 'kotorkan' wanita - Sharifah Amani

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

JIWANYA resah, hatinya gelisah melihat persekitaran industri yang semakin tidak menentu. Ketidaktentuan industri hiburan tempatan secara amnya dilihat sebagai satu perkara yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.

Tidak hanya melihatkan jumlah kutipan tiket wayang yang tidak memberangsangkan tetapi yang lebih dikesalkan oleh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid adalah isu watak wanita tidak mengangkat martabat wanita.

"Apa yang kita ada? Banyak drama atau pun filem hanya meletakkan wanita watak sebagai isteri teraniaya, hidup bermadu, kena rogol atau watak-watak pelacur yang hidup terumbang ambing.

"Kebanyakan karya meletakkan wanita yang pada tahap paling rendah. Sampai bila wanita harus diletak sebagai 'penyedap' dalam sesebuah karya?

"Padahal peranan wanita lebih daripada itu. Saya pasti kebanyakan wanita di luar sana pun tak ingin melihat kaum mereka digambarkan sebagai manusia yang lemah," katanya.

Cukup mesra disapa dengan panggilan Nani, dia sedar isu ini sedikit sensitif memandangkan melibatkan beberapa pihak lain yang punya alasan tersendiri mengapa wanita harus digambarkan sedemikian.

"Alasan mereka penonton mahu menonton dan karya begitu mendapat rating tinggi," tambahnya kesal.

Menganggap wanita tidak semestinya digambarkan sebagai wanita yang lemah, Nani masih teringat karya-karya lalu saat dia terlibat dengan produksi Yasmin Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 2009 yang lalu.

"Cuba lihat beberapa tahun kebelakangan ini mana karya yang mengangkat kaum wanita? Boleh dikatakan wanita tetap digambarkan sebaliknya sampai hari ini.

"Sampai bila kita nak terus mengajar penonton yang wanita hanya tempat melepas nafsu? Mungkin suara saya sedikit lantang tapi apa yang saya katakan adalah kebenaran.

"Kalau saya tak perjuangkan nasib wanita siapa lagi? Dan isu yang paling besar adalah sampai bila?" soalnya.

Rentetan daripada isu berkenaan, wanita yang menginjak usia 27 tahun itu enggan lagi terlibat dalam naskhah-naskhah yang merendahkan wanita.

"Saya dengan rela hati menolak untuk terlibat dalam naskah sebegini. Tak ada masalah besar pun untuk menolak asalkan saya tidak menjatuhkan kami, kaum wanita. Kalau orang nak kata saya memilih pun saya tak ada masalah dengan gelaran itu," ujarnya.

Filem tak laku, di mana silapnya?

Menyorot kembali apa yang telah berlaku kepada industri sejak akhir-akhir ini jumlah kutipan filem tempatan di panggung sedikit menakutkan.

Meskipun membariskan nama-nama besar dengan jalan cerita yang baik tetapi penonton enggan ke panggung dan ini tentunya merencatkan sedikit pertumbuhan industri perfileman,

Paling dekat sudah pasti melihatkan filem Psiko Pencuri Hati yang meletakkan Nani sebagai tunjang utama karya arahan Namron itu.

"Orang kita enggan ke panggung dan menonton filem tempatan. Mereka lebih gemar pada filem-filem antarabangsa dan langsung tidak memberikan ruang kepada karya sendiri.

"Sejujurnya saya sangat takut dengan keadaan ini. Ini isu yang semakin meruncing tetapi sampai sekarang belum menunjukkan jalan penyelesaian.

"Golongan urban bagi alasan tak mahu tengok filem tempatan tapi orang biasa pun tak mahu juga ke panggung? Habis macam mana?" katanya.

Tidak mahu meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pihak, Nani menegaskan semua ini perlu berbalik kepada asas pendidikan di sekolah yang kurang menerapkan semangat untuk mencintai karya tempatan.

Jika keseluruhan rakyat Malaysia mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi sudah pasti tidak akan menimbulkan isu yang lebih rumit seperti yang berlaku hari ini.

"Lihat sahaja hasil seni kita seperti makyung, wayang kulit, menora, main puteri dan macam-macam lagi sudah semakin dilupakan oleh generasi hari ini.

"Kalau kita tak ada semangat untuk mengambil tahu akar budaya dan seni sendiri tak mustahil pada masa akan datang tak ada apa yang boleh kita ceritakan pada anak cucu.

"Sebab itu kita perlu usaha yang menyeluruh untuk mengatasi isu ini. Masalah depan mata kita buat tak nampak tapi kita sibuk dengan hal lain yang tak penting," katanya penuh sinis.

Disayangi

Pernah dilabel lantang dan panas baran satu ketika dahulu, Nani menganggap dia berjaya mengawal sikap tersebut sedikit demi sedikit seiring dengan peningkatan usia.

"Saya dah kurangkan banyak sikap tersebut sejak beberapa tahun lalu. Dulu mungkin saya tak boleh dikutuk dan akan mempertahan diri saya. Tapi sekarang saya lebih rileks.

"Tak ada guna nak melatah dengan isu yang sengaja digembar-gembur orang yang tak puas hati dengan kita. Selagi kita menjawab selagi itu sesuatu isu itu tak akan habis.

"Saya ini jenis yang berterus terang dan jujur. Kalau tak elok pada mata saya pasti saya cakap yang benar. Tak guna nak jadi hipokrit, cakap pusing-pusing.

"Cuma saya bersyukur kerana dikelilingi oleh mereka yang menyayangi saya seperti keluarga, teman-teman dan rakan-rakan artis yang menjadi guru terbaik buat saya.

"Bila mereka ada sudah cukup untuk membuat saya selesa. Mereka bukan sahaja bagi semangat tetapi bagi inspirasi dan kekuatan pada saya menempuh hari-hari mendatang," katanya.

Namun yang dirisaukan oleh Nani adalah apabila melihat keghairahan peminat menegur di laman sosial seperti Instagram sejak akhir-akhir ini.

"Ada yang terlalu mahukan perhatian sehingga mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan. Ini bukan caranya untuk mereka bergaduh sesama sendiri atau tulis bukan-bukan.

"Banyak lagi perkara lain yang lebih penting untuk diterokai daripada terus taksub kepada media sosial seperti itu," tegas Nani.

Jadi pilihan

Larut dalam emosi, Nani sebenarnya masih boleh tersenyum lebar apabila dia terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar jelas Akademi Fantasia 2013 (AF2013) bersama Roslan Aziz dan Edry Abdul Halim .

Menganggap dirinya berupaya, dia sebenarnya mewakili golongan muda yang tahu apa 'ramuan dan rencah' untuk mencari bintang baru melalui AF2013.

"Saya tidak boleh menilai diri sendiri tapi apa yang boleh saya katakan mungkin mereka melihat saya generasi muda yang cukup dekat dengan peserta AF2013 kali ini.

"Jarak umur yang tak jauh ditambah dengan pengalaman saya sebagai anak seni membuatkan saya tahu peserta mana yang berbakat dan boleh dilahirkan sebagai bintang pada masa hadapan.

"Saya mungkin tak tahu mendalam mengenai muzik tapi saya boleh mencari dan menilai orang lain dengan cara lain. Melihat mereka berjalan, bercakap dan aspek-aspek lain.

"Kalau betul dengan caranya tak mustahil AF2013 melahirkan superstar seperti yang diharapkan semua," jelas pengkritik tetap AF2013 itu.

Pun begitu, Nani cukup gembira dengan maklum balas yang diterima daripada peminat yang teruja dengan kemunculannya bersama rancangan tersebut.

"Ramai yang tweet dan hantar mesej menyatakan kegembiraan mereka melihat saya di kaca TV (televisyen). Saya pun tak selalu keluar TV sebab itu saya tahu ramai yang ternanti-nanti.

"Setidak-tidaknya saya tahu masih ada peminat yang sayang dan rindu dengan saya," katanya tertawa.

Bagi Nani, dia tidak pernah meletakkan perspektif buruk mengenai rancangan realiti TV meskipun ramai yang menganggap rancangan seperti itu sudah tidak relevan buat masa ini.

Ujarnya, masih banyak program realiti yang bagus terutama membabitkan program antarabangsa yang boleh dikutip sebagai pelajaran.

Dan kongsi Nani sebelum beredar, selepas hampir sedekad meninggalkan pentas teater, dia akan kembali, kali ini bermonolog untuk karya Namron berjudul Aku Nak Jadi Bintang.

Bermula 29 Oktober hingga 3 November ini, antara artis yang terlibat sama adalah Sofia Jane, Vanidah Imran dan Aqasha. Teater itu bakal dipentaskan di Damansara Performing Art Centre (DPAC), Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.

Gabungan Awie-Erra, Isteri tak cemburu

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

PASTI ramai yang menanti-nantikan kemunculan Awie dan Erra Fazira di satu pentas dan rencana untuk menggabungkan mereka bakal terlaksana pada satu konsert tahun hadapan.

Tentu sahaja ini satu berita yang mengujakan bagi peminat mereka apatah lagi gabungan itu turut melibatkan Ziana Zain.

Apatah lagi tiga nama ini masih kekal berpengaruh sehingga kini selepas menggegarkan industri seni dengan kemunculan masing-masing sekitar tahun 1990-an dulu.

Malah filem Sembilu lakonan mereka pernah menjadi antara filem pecah panggung ketika ditayangkan.

"Kehebatan gabungan kami bertiga masih diingati sampai hari ini. Saya percaya peminat kami satu ketika dahulu masih ternanti-nanti kesinambungan apakah yang akan kami buat pada masa hadapan.

"Rentetan daripada permintaan-permintaan tersebut akhirnya membuatkan saya terfikir kenapa tak gabungkan sahaja kami bertiga. Ini idea yang baik dan perlu diteruskan.

"Sebab itu saya bercadang untuk buat satu persembahan yang melibatkan kami bertiga. Konsepnya, persembahan nyanyian dan lakonan yang akan diadakan di Istana Budaya," jelas Awie baru-baru ini.

Sejak insiden putus cinta satu ketika dahulu, Awie dan Erra Fazira cukup jarang sekali digandingkan sama ada di dalam persembahan pentas atau mana-mana filem.

Meskipun begitu, tidak ada isu yang harus dibangkitkan sementelah masing-masing sudah bahagia dengan kehidupan berkeluarga dan melupakan kisah yang terjadi antara mereka.

Saat ditanya apakah isterinya, Rozana Misbun tidak cemburu melihat dirinya yang akan bergabung dengan Erra Fazira nanti, Awie tidak merasakan itu satu isu yang harus diperbesarkan.

"Setiap kali ada majlis atau apa-apa persembahan yang melibatkan saya dan Erra pastinya dia akan saya beritahu dahulu. Masing-masing sudah ada keluarga dan tak ada apa yang harus dirisaukan.

"Cuma saya berterima kasih kepadanya kerana selalu memahami saya. Tidak cemburu dan tak kisah memandangkan pertemuan saya dan Erra atas dasar kerja dan profesionalisme semata-mata.

"Bila melibatkan hal-hal yang sensitif ini sudah pasti banyak hati yang perlu dijaga. Apa-apa pun setakat ini isteri tidak ada masalah untuk membenarkan saya bekerjasama dengan Erra," jelasnya.

SuperMokhSelain sibuk merencanakan konsert tersebut, Awie juga bakal terlibat di dalam teater SuperMokh The Musical yang bakal dipentaskan di Istana Budaya bulan November ini.

Teater muzikal yang diinspirasikan daripada kisah legenda bola sepak tanah air, Datuk Mokhtar Dahari yang digelar SuperMokh itu bakal digalas oleh Awie selaku tunjang utama.

Meskipun begitu, vokalis kumpulan Wings ini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menghidupkan watak Mohktar Dahari di atas pentas teater.

"Sebenarnya saya pernah berjanji untuk tidak terlibat dengan mana-mana teater muzikal. Tapi bila Hans Isaac menawarkan watak SuperMokh ini kepada saya, saya rasa tidak ada sebab untuk menolak.

"Ini watak legenda dan sudah tentu cerita tentang Supermokh ini menjadi inspirasi kepada ramai peminatnya. Saya anggap pemilihan saya sebagai penghormatan saya kepada Supermokh yang dikenali di seluruh Asia.

"Ini kisah yang menarik untuk ditonton. Walaupun wajah Supermokh nampak garang tetapi hatinya lembut dan dia memang lelaki yang baik. Banyak lagi kisah yang tidak diketahui umum bakal diceritakan melalui SuperMokh The Musical nanti," kata Awie.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Dilema wanita

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

SAYA tak pernah terfikir untuk berkahwin dengan suami orang, malah setiap kali selepas solat saya berdoa agar dijauhkan daripada berkongsi kasih dengan wanita lain. Sebab saya dah dengar banyak cerita dan masalah yang timbul daripada bermadu.

''Tetapi sekuat mana doa saya maka sekuat itu juga malah lebih besar godaan yang saya hadapi untuk mengelak daripada berkahwin dengan suami orang. Sebabnya setiap kali saya berkenalan dengan lelaki, mereka suami orang.'' Itu cerita Norelainey dalam emelnya.

''Jika anda kata saya nak kahwin suami orang kerana dah lanjut usia, sebenarnya tidak. Sejak remaja lagi dan ketika menuntut saya hanya tersangkut dengan suami orang. Kenapa dan mengapa ia terjadi saya tak dapat nak jawab.

''Benar umur saya sekarang sudah lewat 30-an, tetapi sejak saya mula bekerja sambilan lagi hati saya sudah ditawan suami orang. Bila saya dapat tahu dia suami orang, dengan perlahan saya jauhkan diri, saya lakukan pelbagai alasan supaya hubungan kami putus.

''Tetapi lelaki ini amat licik dalam baik dia pujuk dan mengugut saya kerana dia berkuasa di tempat kerja saya itu, katanya jika saya hendak terus kekal bekerja di tempatnya, maka saya mestilah berkawan dengannya. Katanya, dia ada jalan boleh ambil saya sebagai pekerja tetap, kerana dia ada kawan. Semua tanggung beres asalkan saya terus berkawan kerana dia ingin menjadikan saya isterinya.

''Walaupun tawarannya memang terbaik dan saya idamkan dalam jadi pekerja tetap bukan sambilan, tetapi setelah saya fikirkan masalah yang bakal saya tempoh, maka saya tolak permintaannya. Biarlah tak bekerja asalkan saya terlepas dari ikatannya. Kerana saya percaya rezeki datang daripada Allah bukan ada dalam tangannya.

''Begitu juga apabila saya berjaya ditawarkan sebagai pekerja tetap selepas bergelar siswazah. Di tempat kerja baru saya itu juga saya dipikat oleh suami orang. Pendek kata di mana saya pergi hanya suami orang yang berkenankan saya dan ingin menjadikan saya isterinya. Sedangkan ramai lelaki bujang mereka lebih suka menyendiri ataupun sudah bertunang. Maka peluang saya berkenalan dengan mereka terbantut.

''Jadi untuk tidak mengecilkan hati beliau, kerana saya orang baru di jabatan tersebut, saya berbaik dengan isterinya, kebetulan saya dapat tahu isterinya bekerja di jabatan berdekatan. Tujuan saya berbaik dengan isterinya supaya dia rasa serba salah untuk terus berkawan dengan saya. Lama kelamaan hubungan kami putus. Syukur.

''Kali ketiga saya temui seorang lelaki muda ketika hendak pulang berhari raya, kami berjumpa dalam bas. Dia memang muda siapa sangka dia juga suami orang.

''Kerana berjauhan sukar saya siasat latar belakangnya. Tapi kata orang tua-tua 'sepandai pandai tupai melampat sesekali jatuh juga ke tanah' kisahnya terbongkar bila saya ternampak dia membeli-belah di Kuala Lumpur dengan seorang wanita sambil mendukung anak kecil.

''Terkejut beruk mula-mulanya saya terpandang dia, saya cuba larikan diri. Mungkin juga ketika itu saya rasa terlalu marah sebab ditipu. Tetapi setelah saya kembali waras saya terfikir lebih baik saya tanya dia berdepan, kerana jika saya tanya dia kemudian melalui telefon tentu dia menafikan atau membuat pelbagai cerita bohongnya. Jadi sambil mengawal perasaan marah saya berpura-pura baik menegur lelaki ini sambil kenalkan diri konon dulu pernah bekerja satu pejabat.

''Sambil melakunkan gaya pelakon 'sinetron' saya tanya Mamat ni di mana dia bekerja sekarang adakah isterinya kerja satu pejabat. Belum sempat si Mamat menjawab isterinya beritahu, dia bekerja di Melaka, dia turun Kuala Lumpur sebab nak bersama suaminya dan ingin membeli-belah. Jadi terbongkarlah rahsia Mamat si pembohong ni.

''Lepas peristiwa tersebut si Mamat ini beberapa kali cuba menghubungi saya nak minta maaf dan ingin menceritakan masalahnya. Tapi saya tak percaya apa juga 'lakonan sinetron' yang cuba dilakonkannya.

''Lepas peristiwa itu saya buat keputusan tidak mahu berkawan lagi, dan saya serahkan kepada Allah menentukan. Tetapi emak pula kata, jodoh mesti dicari, dia tak datang sendiri. Emak kata jodohnya pun diusahakan oleh saudara mara.

''Kemudian emak carikan jodoh saya melalui pertolongan saudara kami. Tetapi Mamat tu memang saya tak berkenan sudahlah muda tujuh tahun dari saya kerja pula ikut kapal, nak buat apa. Pada saya itu memang bermasalah. Saya tolak.

''Akhirnya saya kenal seorang duda Ezami namanya. Ada dua anak mereka sudah empat tahun bercerai. Pada pandangan saya memang sesuai, dan saya tak kisah jaga anak tiri, kerana saya memang sukakan anak-anak. Perkenalan kami berjalan lancar dan kami sudahpun merancang untuk berkahwin. Anak-anaknya tak membantah, sebab dijaga oleh ibunya.

''Malangnya sedang kami merancang buat persediaan berkahwin, janda Ezami buat hal, dia jadi macam orang gila talak. Dia pujuk Ezani untuk bernikah semula tetapi Ezami tolak. Kemudian dia gunakan pujukan dua orang anaknya.

''Ketika itu Ezami saya lihat sudah lemah, kerana dia sayangkan anaknya. Kalau dulu dia susah dapat jumpa anak-anaknya kerana ditegah oleh jandanya. Tetapi setelah jandanya dapat tahu kami hendak berkahwin, jandanya jalankan taktik terbaru dia lepaskan anak-anak untuk memikat Ezami supaya berkahwin dengannya.

''Saya sedar saya seolah jadi penghalang hasratnya untuk berkumpul dengan anak-anaknya. Tetapi dia tidak mahu bernikah semula dengan jandanya. Kerana perceraian mereka dahulu amat memedihkan hatinya. Terutama apabila ibu bapa mertua, dan adik-beradik ipar ikut campur apabila dia enggan ceraikan jandanya dahulu.

''Lagi pun Ezami marah kerana jandanya minta cerai kerana sudah tidak menyayanginya lagi, sebab jandanya sudah jumpa lelaki lain yang lebih menyayanginya dan lebih memahami hatinya, bukan seperti Ezami yang mereka tuduh tidak pandai menyelami jiwa nurani hati isteri. Ezami beritahu dia dituduh lebih mementingkan diri sendiri.

''Kini sudah tiga tahun berlalu Ezami masih belum buat keputusan sama ada bernikah dengan saya atau nikah semula dengan jandanya kerana dia sudah dipaut oleh dua orang anaknya.

''Ezami pernah sekali lahirkan hasrat hatinya untuk menikahi kami berdua, saya dan jandanya. Bermakna saya terpaksa bermadu. Hingga kini saya belum beri jawapan kerana saya tetap tidak mahu bermadu. Itu Ezami faham.

'' Dipendekkan cerita kata emak kalau sudah disuratkan saya bermadu macam mana elak sekali pun saya akan bermadu juga. Dalam kes Ezami saya tidak rampas suami orang. Dia duda. Isterinya yang mahu bernikah semula. Namun inilah dilema yang terpaksa saya hadapi.''Itu cerita Norelainye hingga kini sudah tiga tahun berlalu dia masih belum berkahwin lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL perluas KPI kebersihan

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

DR. LOGA Bala Mohan (tengah) beramah mesra dengan wakil persatuan penduduk setiap zon yang menerima sumbangan modal selepas merasmikan Program KPI Kebersihan Kawasan Perumahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2013 di ibu negara, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperluaskan Program Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kebersihan Kawasan Perumahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, program tersebut akan diperluaskan kepada perumahan kos rendah swasta mulai tahun ini selepas memberikan hasil positif.

"Sebelum ini program yang memfokuskan pembudayaan kebersihan di kawasan perumahan itu hanya dibuka penyertaannya kepada perumahan awam kendalian DBKL.

"Bagaimanapun untuk tahun ini, kementerian dengan kerjasama DBKL bersetuju memperluaskan penyertaan kepada perumahan kos rendah swasta.

"Dengan inisiatif baharu itu, kita menerima penyertaan daripada 55 perumahan swasta pada tahun ini dan 30 daripada perumahan DBKL menjadikan keseluruhan penyertaan berjumlah 85," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran program berkenaan bagi tahun 2013 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Mohd. Ikhsan dan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan kementerian, Datuk Hasim Ismail.

Menurut Bala Mohan, jumlah penyertaan itu menunjukkan sambutan positif daripada masyarakat untuk terus membudayakan amalan kebersihan, keindahan dan keceriaan persekitaran perumahan.

Tambahnya, kerajaan juga telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM170,000 sebagai modal permulaan kepada 85 kawasan perumahan terlibat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti pembersihan.

"Setiap 85 perumahan itu masing-masing menerima RM2,000 untuk membantu mereka menampung keperluan aktiviti sebelum penilaian bagi tujuan pemarkahan dilakukan panel penilai.

"Kementerian turut menawarkan imbuhan sebanyak RM20,000 masing-masing kepada 30 persatuan penduduk yang berjaya mencapai kriteria KPI yang ditetapkan," katanya.

Ujar beliau, keputusan pemenang dijangka akan diumumkan semasa sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari tahun depan.

PPR Muhibbah dibaik pulih hujung tahun

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membaik pulih 316 unit rumah kosong di Blok F, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, Bukit Jalil bagi proses pemindahan semula penduduk dari beberapa kawasan setinggan.

Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr. Ismail Stapa berkata, unit kosong tersebut dirizabkan kepada mereka yang terlibat dengan proses pemindahan setinggan antaranya dari Kampung Medan, Kampung Wira Batu Muda, Kampung Puah Seberang, Ladang Bukit Jalil, Kampung Indian Settlement dan Kampung Baru Salak Selatan.

Mengenai kelewatan pemindahan setinggan, menurutnya, ini disebabkan penduduk di setinggan berkenaan enggan berpindah masuk walaupun beberapa siri notis telah dikeluarkan oleh DBKL.

"Contohnya setinggan Kampung Indian Settlement yang telah membawa kes ke mahkamah menyebabkan urusan pemindahan tertangguh.

"Namun begitu, DBKL telah merancang untuk mengadakan beberapa sesi perjumpaan dengan penduduk setinggan terbabit bagi menyelesaikan perkara itu," katanya dalam kenyataan akhbar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan yang dikeluarkan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai lebih 400 unit rumah di PPR Muhibbah yang dibiarkan kosong sejak tujuh tahun lalu sehingga menjadi sarang penagih dadah dan lokasi pasangan remaja memadu kasih.

Dalam laporan tersebut, penduduk turut meminta DBKL supaya mengkaji semula sistem merit yang melibatkan permohonan untuk menyewa unit PPR di ibu kota.

Ismail berkata, sistem merit digunakan memandangkan peruntukan unit rumah kediaman adalah terhad sedangkan permohonan banyak.

"Namun begitu, DBKL sedang mengkaji dalam melaksanakan penambahbaikan permohonan dengan kaedah undian.

"Sebelum kaedah ini dilaksanakan, DBKL sedang melaksanakan proses mengemas kini data terhadap permohonan yang telah mendaftar sejak tahun 1998," katanya.

Tambahnya, proses tersebut dijalankan bagi mengetahui status pemohon sama ada masih berminat atau tidak.

"Data permohonan ini telah dimulakan sejak 1 September dan akan berakhir pada 1 Oktober ini. Bagaimana pun kaedah merit tidak diguna pakai terhadap pemindahan setinggan," katanya.

Syabas selesai cuci 8,000km sistem paip

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

KAKITANGAN Syabas melepaskan air berkarat dalam demonstrasi mencuci paip di Taman Cheras Hartamas, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) telah mencuci kira-kira 8,000 kilometer sistem paip air di seluruh Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk memastikan bekalan air terawat yang diterima pelanggannya adalah berkualiti.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, sistem paip yang telah dicuci pihaknya setakat ini melibatkan sebanyak 6,922 zon menggunakan kaedah cucian angin (ASP).

Katanya, jumlah keseluruhan zon di tiga kawasan itu adalah lebih daripada 10,000 zon manakala jumlah keseluruhan sistem ialah sepanjang kira-kira 12,000 kilometer.

"Jumlah keseluruhan zon di tiga kawasan adalah lebih daripada 10,000 zon iaitu kepanjangan paip kira-kira 12,000 kilometer.

"Setakat ini kami telah mencapai 64 peratus (kerja mencuci) daripada jumlah keseluruhan yang sepatutnya kita laksanakan. Kami akan melaksanakan kaedah tersebut setelah modal dana mencukupi," katanya selepas Syabas mengadakan demonstrasi ASP di Taman Cheras Hartamas, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Kanan Seksyen Pemantauan dan Pengawasan Kualiti Air Syabas, Roskhambi Kamaluddin berkata, kaedah tersebut dibuat bagi membuang mendapan yang terdapat dalam paip akibat perubahan pada had laju pengaliran air di dalam paip.

"Mendapan yang terkumpul akan menyebabkan air yang diterima pengguna berwarna agak kekuningan dan berkarat, oleh itu kaedah ini penting bagi memastikan air yang diterima adalah bersih.

"Bagaimana pun kaedah ini hanya dapat dilakukan kepada paip bersaiz 100 milimeter (mm) hingga 200mm sahaja," ujarnya.

Menurutnya, kaedah yang menggunakan suntikan angin itu tidak menggunakan kuantiti air yang banyak iaitu 40 peratus air manakala angin 60 peratus.

"Sebelum ini kami menggunakan kaedah manual flushing melalui pili bomba yang menggunakan 100 peratus air," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lahirkan ramai pakar bio-perubatan

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

HAMIM Samuri (dua kiri) melawat makmal baharu selepas majlis pertukaran MoU antara Mara dengan Radibems dan National Instruments Southeast Asia di KKTM, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 27 Sept. - Penuntut Instrumentasi Bio-Perubatan, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang di sini, diminta menggunakan sepenuhnya kemudahan moden dan terkini di kolej itu dalam usaha melahirkan lebih ramai jurutera bioperubatan terbaik di negara ini.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, produk dikeluarkan KKTM Ledang seharusnya menjadi antara yang terbaik ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara maju menjelang 2020 dan memerlukan ramai pakar dalam bidang berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sesebuah negara maju akan beralih daripada sebuah industri kepada industri yang lain termasuk Malaysia yang menuju kepada negara berorientasikan perkhidmatan.

"Negara maju menjadikan industri perkhidmatan sebagai teras dan bidang perubatan seperti ini adalah satu daripada fokus utama," katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat (Mara), Radibems Sdn. Bhd. dan National Instruments Southeast Asia Sdn. Bhd. di KKTM Ledang di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Radibems, Mohamed Nasir Talib; Pengarah Urusan National Instruments Southeast Asia, Chandran Nair dan Pengarah KKTM Ledang, Ahmad Jalaludin Mohd. Wahi.

Hamim berkata, Malaysia perlu menyediakan perkhidmatan perubatan sebaik mungkin bagi menepati status negara maju dan bukan saja membabitkan peralatan tetapi juga teknologi, aplikasi serta pengalaman dan kemahiran.

"Saya mahu lihat pelajar yang dihasilkan di sini mampu bersaing dan benar-benar menguasai kecanggihan teknologi bio-perubatan yang semakin berkembang ketika ini. Kalau boleh kita ingin menjadi sebuah negara tumpuan bagi negara lain dalam bidang ini," katanya.

Menurutnya, negara ini dengan segala kepakaran yang ada perlu mengenal pasti penyakit-penyakit rumit masa kini dan menjadi perintis untuk kaedah merawat serta menyembuhkannya.

Pada masa sama katanya, pesakit dalam negara tidak seharusnya dilupakan dan mereka perlu diberi rawatan terbaik melalui kelengkapan paling moden serta mampu membiayainya tanpa dibebankan dengan kos perkhidmatannya.

Dua miliki senapang angin ditahan

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

HARUN Idris (kanan) menunjukkan senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada dua lelaki di Ledang, Johor, kelmarin.

LEDANG 27 Sept. - Polis menahan dua lelaki kerana memiliki senapang angin buatan sendiri dalam dua serbuan berasingan di Bukit Gambir dan Sagil pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan suspek berusia 35 tahun di sebuah bengkel motosikal di Bukit Gambir dekat sini pukul 1.20 pagi, Ahad lalu.

"Hasil risikan, pemeriksaan dilakukan dan menjumpai selaras senapang angin. Polis turut merampas sebuah enjin motosikal setelah suspek gagal memberi maklumat tepat berkaitannya.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu tetapi dia tidak mempunyai rekod lampau," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini semalam.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 2001 dan Seksyen 3 Akta Senjata 1960.

Harun memberitahu, tangkapan kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 55 tahun di Kampung Melapang dekat Sagil pada pukul 5.30 petang keesokannya, juga hasil risikan pihaknya.

"Siasatan awal percaya senjata itu digunakan untuk menjaga kebun atau berburu. Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan bebas daripada dadah.

"Kedua-dua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Harun menasihati orang ramai supaya tidak membuat atau memiliki senjata api kerana menyalahi undang-undang.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved