Sabtu, 28 September 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bisik-bisik Awang Selamat - 29/9/2013

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Mesej jelas - GELOMBANG penolakan terhadap pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng makin ketara sepanjang minggu ini.

Banyak pihak terus membuat laporan polis dan mengadakan demonstrasi membantah usaha membawa abu mayat mendiang untuk disemadikan di negara ini.

Beberapa mufti dan ulama turut bersuara sambil menegaskan Chin Peng tidak layak diiktiraf.

Semasa dia hidup kita tidak pernah membelanya, apatah lagi untuk menghargainya. Jadi kita perlu teruskan apa yang kita perjuangkan, tegas Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad.

Nada yang lebih tegas muncul daripada peringatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini bahawa Chin Peng dan pengganas komunis adalah petualang negara.

Titah baginda, perjuangan Chin Peng yang mahu mewujudkan negara komunis telah menyebabkan banyak nyawa tentera, polis dan orang awam terkorban selain mengalami kesengsaraan.

Baginda turut meminta rakyat Malaysia agar memahami sejarah negara dengan sebaik-baiknya. Jangan kerana ingin mendapatkan sokongan dan populariti sanggup menggadai maruah bangsa dan tanah air sendiri, yang disifatkan Sultan Selangor sebagai tindakan durjana.

Awang bersyukur baginda tampil dengan peringatan tersebut yang cukup tegas. Baginda boleh berdiam tetapi memilih untuk memberikan peringatan itu demi kepentingan negara.Ia adalah mesej jelas kepada semua terutama mereka yang masih ghairah mahu menulis semula sejarah dengan mengherokan Chin Peng.

Beberapa hari lalu, polis menahan dua lelaki yang membawa bahan-bahan mempromosi Chin Peng yang cuba diseludup ke negara ini. Awang difahamkan, pihak-pihak yang menyokong mendiang tidak akan berputus asa.

Cabarannya, apa lagi yang kita tidak tahu terhadap gerakan untuk mengangkat Chin Peng sebagai tokoh peringatan? Dan siapa lagi durjana termasuk mereka yang bermuka-muka di sekeliling kita?

Menghargai Azizan - TERASA tidak lengkap ruangan ini, jika tidak merekodkan penghargaan buat pemimpin yang istimewa, bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Azizan Abdul Razak.

Allahyarham yang dikenali ramai sebagai Ustaz Azizan kembali ke rahmatullah Khamis lalu, selepas hampir empat bulan bertarung nyawa akibat komplikasi diabetis.

Awang ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham. Bukan setakat takziah, Azizan sebenarnya layak mendapat penghargaan lebih besar daripada itu.

Pada Awang, Allahyarham bukan sebarangan politikus. Sikap budiman dan keterbukaannya menjadikan Azizan seorang pemimpin yang ada kelas. Perspektif politiknya bijaksana dan berhemah. Allahyarham adalah di antara segelintir pemimpin Pas yang berani menongkah arus dalam banyak isu demi mengutamakan kepentingan Islam.

Banyak pendirian politiknya dipuji. Daripada tidak bersetuju dengan tindakan ramai pemimpin utama pembangkang untuk memboikot media arus perdana, Azizan komited kepada perpaduan Islam dan tidak tunduk kepada tekanan sekutu Pas yang cuba mencatur parti itu untuk agenda serong.

Meskipun berdepan dengan banyak tekanan daripada sebahagian pemimpin pakatan pembangkang termasuk dalam kalangan Pas sendiri, Allahyarham tidak goyah. Pernah ditegaskannya, Islam bukan untuk digadai dan dimudaratkan. Jati diri Islam dan Melayunya kukuh.

Banyak kualiti ada pada tokoh ulama Pas ini. Mesra rakyat, kuat bekerja, tidak mudah melatah, suka menolong dan menghormati orang lain walaup un berbeza ideologi politik - menjadikan Allahyarham disayangi ramai.

Sememangnya Azizan politikus unggul, bersikap sederhana dan ikhlas dalam perjuangannya. Allahyarham akan dikenang oleh kawan dan lawan sebagai insan berhati mulia. Pemergiannya satu kehilangan bukan sahaja kepada Pas malah kepada umat Islam di seluruh negara. Sejarah akan mengabadikan Azizan sebagai pemimpin yang matang, berjiwa besar dan berorientasikan perpaduan Islam. Semoga Allah SWT memberikan kedudukan ahli jannah ke atasnya. - AL FATIHAH.

Wajah Anwar - ANTARA perkara yang menjadi bahan perbualan ramai kini adalah perubahan wajah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.Semua orang tertanya-tanya kerana perubahan wajahnya itu begitu ketara.

Beliau yang dikenali dengan raut cengkung sejak bertahun-tahun lalu, kini tampil dengan wajah berisi, tegang dan tiada lagi kedut.Malah pipinya kelihatan seperti sedikit membengkak atau boleh juga dianggap tembam.Berdasarkan respons dalam laman sosial dan blog, ramai yang percaya Anwar melakukan pembedahan wajah atau suntikan botox.

Seorang pembantu pemimpin PKR itu menafikan perkara tersebut dan mendakwa ia kesan daripada alahan pada ubat. Bagaimanapun penafian itu diragui ramai yang rata-rata memberikan reaksi sinikal. Macamlah rakyat Malaysia bodoh sangat, demikian antara komen menerusi laman blog.

Awang hanya mampu senyum kerana sebelum ini pernah mengulas tentang wajah beliau yang entah kenapa begitu cengkung dan keruh.

Berbanding kebanyakan pemimpin lain, air muka Anwar kelihatan kusam serta hilang seri.Jika benar Anwar, 67, melakukan pembedahan atau suntikan botox supaya nampak lawa dan bergaya, apa salahnya. Beliau juga ada naluri untuk kelihatan muda, cuma Awang tertanya-tanya, sekali lagi jika benar Anwar merubah raut wajah, mana yang lebih utama - wajah atau parti?

Selepas PRU-13, yang menyaksikan Anwar gagal membawa pakatan pembangkang memerintah negara seperti yang dijanjikan, sepatutnya beliau lebih dituntut melakukan pembaharuan dalam parti untuk memulihkan keyakinan rakyat. Tetapi beliau memilih untuk responsif kepada hal lain dengan menampilkan perubahan pada wajahnya terlebih dahulu. Biarkanlah.

Menyedihkan... - TERDAPAT satu kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang merentap perasaan Awang.

Menurut kajian itu, kira-kira 26 peratus atau 63,000 warga emas di negara ini tidak pernah diberi bantuan kewangan oleh anak mereka. Manakala 27 peratus lagi menerima sesekali dalam tempoh beberapa bulan sementara 36 peratus menerima bantuan setiap bulan.

Awang kasihan kepada warga emas kategori golongan 26 peratus dan 27 peratus itu.

Apa sudah jadi dengan anak-anak mereka? Isu ini amat serius dan menuntut perhatian menyeluruh masyarakat. Awang percaya kebanyakan anak-anak sebenarnya masih mampu memberikan wang kepada ibu bapa mereka yang biarpun sedikit. Masalahnya, sebahagian anak-anak termasuk dalam kalangan orang Islam meletakkan prioriti yang salah. Perbelanjaan untuk riadah, membeli aksesori kereta dan perbelanjaan lain untuk gaya hidup, lebih diutamakan berbanding untuk ibu bapa.

Keperluan membantu kewangan ibu bapa seharusnya diletakkan dalam bajet anak-anak apabila sudah bekerja. Jadikan ia ketetapan.

Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang tinggi. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan kedua-dua ibu bapa.

Renungkan.

Nasib polis... - GAMBAR muka depan Utusan Malaysia pada Rabu lalu, menyentuh perasaan ramai.

Mohamad Habibullah, 4, anak sulung Allahyarham Koperal Zal-Azri Abdul Samad meratap sambil enggan melepaskan batu nisan ayahnya itu ketika acara pengebumian.

Suasana pilu menyelubungi mereka yang berada di pusara ketika itu. Mohamad bagai tidak berdaya melalui detik-detik kehilangan ayahnya.

Allahyarham Zal-Azri adalah anggota polis yang mati akibat diserang dengan objek keras oleh penjenayah yang cuba melarikan diri semasa serbuan Ops Lejang di Melaka, Selasa lepas.

Awang sedih kerana masyarakat tidak cukup memberikan penghargaan kepada Allahyarham dan keluarganya. Apatah lagi daripada golongan yang selalu mentohmah dan menghina pihak polis. Ini termasuk pemimpin pembangkang tertentu dan puak-puak rasis yang menjadikan polis bagai musuh mereka.Jika penjenayah mati lebih-lebih lagi kalau bukan Melayu maka gegak gempita jadinya bumi Malaysia ini. Si penjenayah menjadi wira sekelip mata.

Anehnya apabila ada anggota polis terkorban angkara penjenayah, tiada sama sekali pembelaan daripada kelompok tersebut. Penghargaan dan simpati kecil pun tidak mahu diberikan. Ke mana nilai kemanusiaan terutama kepada golongan yang sangat berjasa kepada negara dan warga negara jenis apakah mereka?

Tetapi itulah nasib polis di negara ini.

Jawatan bukan penentu kemenangan

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

MINGGUAN: Apa yang Datuk Seri lihat mengenai pemilihan yang buat pertama kali melibatkan 146,500 perwakilan?

MOHD. SHAFIE: Pemilihan kali ini cukup bersejarah kerana ia satu permulaan untuk kita mengguna pakai peraturan baru dalam menentukan pucuk pimpinan parti daripada atas sampai ke akar umbi. Keduanya, 148,000 perwakilan akan terbabit dalam menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin negara kita.

Saya penuh yakin ini merupakan salah satu proses transformasi yang perlu dilakukan oleh UMNO dalam memastikan parti ini dapat kita suburkan dengan cara dan kaedah membabitkan seramai mungkin perwakilan dalam penentuan pucuk pimpinan negara kita.

Dengan kaedah ini, mereka juga boleh menentukan siapa menjadi Presiden; Timbalan Presiden; Naib-Naib Presiden; Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (MT); Ketua Bahagian dan Ahli Jawatankuasa Bahagian. Ini kerana pembabitan mereka kali ini cukup ramai sekali.

Datuk Seri yakin 146,500 perwakilan itu mempunyai kebijaksanaan untuk memilih pemimpin?

MOHD. SHAFIE: Mereka matang menilai siapa yang layak dan mampu. Semua mereka ada pilihan tersendiri dan semua pemimpin yang bertanding juga kelebihan ada sumbangan. Saya dalam keahlian. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam bidang promosi dan latihan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam soal transformasi. Kita harus melihat bagaimana sumbangan ini telah membantu parti.

Apa yang Datuk Seri mahukan daripada perwakilan?

MOHD. SHAFIE: Nilailah saya dari segi keupayaan memberi sumbangan. Selaku 'menteri kampung' adakah kampung-kampung itu telah memberi kekuatan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO? Begitu juga dengan sumbangan saya kepada masyarakat Orang Asli yang sebelum ini tidak pernah belajar hingga keluar negara.

Sekarang kita menghantar mereka melanjutkan pelajaran sehingga ke Australia dan New Zealand. Apakah sumbangan saya selama dua tahun setengah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah walaupun mungkin sekitar satu atau lima peratus sehingga Kedah berjaya dirampas balik?

Saya berharap penilaian itu akan menjadi faktor-faktor kepada perwakilan dalam menentukan kejayaan saya mempertahankan jawatan ini.

Bagaimana peluang Datuk Seri mengekalkan kedudukan Naib Presiden?

MOHD. SHAFIE: Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa mereka akan menilai setiap calon yang bertanding dari segi prestasi, cara kita memberi sumbangan kepada parti dan juga kerajaan. Itu sebenarnya boleh menentukan peluang kita dalam pemilihan kali ini.

Benar, jika sumbangan itu kelihatan baik, para perwakilan akan memberi sokongan kepada calon-calon yang menawarkan diri. Insya-Allah kita berdoa kepada Tuhan, kemudian saya serahkan kepada perwakilan untuk menentukan.

Datuk Seri optimis dengan peluang untuk mempertahankan kedudukan Naib Presiden?

MOHD. SHAFIE: Tak boleh kata yakin 100 peratus. Kena kerja kuat. Dalam politik kita tidak boleh terlalu yakin sehinggalah hari pengundian itu tiba dan kita akan akan rasa puas kerana sudah buat yang terbaik untuk memastikan sasaran sudah dicapai.

Dalam politik bukan soal kita termakan orang itu dan orang ini cakap awak kena bertanding, tapi persoalan apa yang kita telah lakukan dan sumbang kepada parti serta rakyat yang akan dinilai.

Saya percaya Datuk Seri telah lama bergerak. Bagaimana bahasa tubuh para perwakilan terutama mereka yang ada di luar bandar?

MOHD. SHAFIE: Saya yakin ahli-ahli UMNO tidak akan membuat pendekatan menolak untuk bersalam dengan mana-mana calon pun termasuk saya sendiri. Setakat ini tiada nampaknya berlaku penolakan walaupun saya sedar dalam bidang politik ini tidak ada 100 peratus jaminan kita sebagai calon akan menang mutlak.

Apa kelebihan yang Datuk Seri ada pada pemilihan kali ini?

MOHD. SHAFIE: Pertama, saya merupakan penyandang namun itu bukanlah satu bentuk jaminan 100 peratus kerana ia juga berkait dengan prestasi saya selama ini. Saya sebenarnya yakin, sekiranya kita melakukan sesuatu yang baik untuk mengukuhkan parti, mengukuhkan kerajaan, perwakilan akan melihatnya sebagai satu kelebihan yang ada pada kita.

Begitu juga dengan pendatang baharu, tidak semestinya mereka tiada kelebihan. Bagi saya perwakilan akan memilih kita berdasarkan siapa kita dan apa yang telah kita lakukan untuk kebaikan parti serta kerajaan selama kita diberi tanggungjawab melaksanakan amanah yang diberikan.

Menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi banyak peluang untuk berdampingan dengan perwakilan. Apakah ia satu kelebihan kepada Datuk Seri?

MOHD. SHAFIE: Saya tidak beranggapan ia satu kelebihan untuk membolehkan saya menang. Dahulu Tan Sri Muhammad Mohd. Taib pernah bertanding dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam merebut jawatan Timbalan Presiden.

Jawatan sebagai menteri di kementerian saya ini tidak menjamin kemenangan. Dalam pertandingan itu, Tan Sri Muhyiddin menang sedangkan jawatannya menyebabkan beliau sering ke luar negara. Walaupun sedikit sebanyak ada tetapi saya yakin ia bukan menjadi penentu kepada keseluruhannya.

Jawatan dan kementerian itu merupakan satu landasan tetapi ia tidak akan menjadi penentu jika kita tiada keupayaan kita untuk menguruskan dengan sebaik-baiknya.

Sebagai penyandang, Datuk Seri berhadapan cabaran apabila dikatakan gagal meraih sokongan padu perwakilan Sabah. Bagaimana menangani senario ini?

MOHD. SHAFIE: Alhamdulillah, saya lihat perwakilan Sabah memberi sokongan kepada saya. Selama ini pun mereka memberi sokongan iaitu sejak saya menjadi wakil di peringkat Pergerakan Pemuda, Exco Pemuda dan selepas itu menjadi MT.

Saya menduduki jawatan di MT tujuh penggal dan Naib Presiden baru kali kedua. Tidak mungkin saya berada pada kedudukan ini tanpa sokongan kuat mereka. Kalau ada pertandingan, saya yakin perwakilan memilih bukan atas faktor negeri tetapi menilai keupayaan serta kebolehan kita.

Dahulu ada pernah dua orang calon Naib Presiden dari Terengganu iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Tan Sri Dr. Yusof Noor. Pulau Pinang juga sama membabitkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sama-sama menduduki jawatan Naib Presiden.

Saya penuh yakin, ukuran datang daripada negeri memang ada pertimbangannya tetapi secara keseluruhannya para perwakilan dari Perlis hingga ke Sabah akan membuat pilihan berdasarkan atas keupayaan dan kebolehan kita.

Saya juga melihat bila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman tidak menawarkan diri, ini satu tanda yang baik. Saya ucapkan terima kasih. Ini bukan sekadar calon dari Sabah tetapi sebenarnya menampakkan lagi konsep kekitaan dalam berhadapan pertandingan.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein wakil Johor mendapat sokongan padu perwakilan negeri. Datuk Seri yakin dapat meraih semula sokongan Sabah selepas Musa umum tidak bertanding?

MOHD. SHAFIE: Persoalannya walaupun saya dari Sabah dan mendapat sokongan padu perwakilan Sabah pun, itu tidak bermakna saya boleh kata yang saya boleh menang. Sabah hanya mewakili 25 bahagian sahaja, sedangkan saya perlu juga sokongan daripada perwakilan negeri-negeri lain.

Di seluruh negara UMNO mempunyai 191 bahagian. Calon-calon yang bertanding perlu mendapatkan sokongan lebih 100 bahagian untuk menang dalam mana-mana jawatan yang dipertandingkan baik Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden mahu pun MT.

Dalam kemeriahan pemilihan ramai yang jadi tukang cucuk sehingga merosakkan parti. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

MOHD. SHAFIE: Biasalah dalam dunia politik inilah ramuan yang selalu dirasa dan dilihat. Itulah yang dikatakan politik. Mereka selalu berkata, awak bertandinglah kerana ada potensi menang tetapi esok dia yang pukul habis. Saya dah lama dalam politik ini, Kita tahu kaedah dan cara dia, kita boleh baca. Itu yang kita kata, kita tak dengar cucukan daripada mana-mana pihak.

Kalau kita rasa boleh menyumbang kepada kekuatan Melayu dan bumiputera di negara ini dengan mempertahankan jawatan ini, maka saya akan berpegang kepada itu. Membantu masyarakat miskin. Perkara ini yang memotivasikan saya mempertahan jawatan berbanding orang cucuk. Kita tidak terangkat dengan apa yang orang cucuk.

Pentingnya kita menilai apa kesudahannya kalau kita menawarkan diri. Saya pun layak nak bertanding apa-apa jawatan tetapi itu bukan perkiraan walaupun ada kelayakan selaku ahli. Kita sepatutnya lihat adakah dengan pertandingan itu akan menganggu-gugat kestabilan, perpaduan dan kekuatan parti kita atau tidak.

Apa yang kita bimbang ada pemimpin yang menawarkan diri ini termakan cucukan?

MOHD. SHAFIE: Kita tahu akibatnya kalau seseorang pemimpin tidak tahu menilai. Banyak pengajaran orang tidak berupaya menilai kerana terlalu mengikut perasaan dan emosi, akan ada akibatnya. Banyak pengalaman dalam dunia politik ini.

Itu yang saya cakap, rukunnya dalam ibadat ada peringkat-peringkat dia. Sebelum solat kena wuduk, niat dan takbir. Dalam kehidupan pun begitu, ada sekatan-sekatannya. Itu adalah rukun kehidupan kita. Kita kena sedar dan tahu, orang yang sedar dan menyelaminya insya-Allah akan selamat.

Apa pandangan Datuk Seri terhadap kemasukan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir bertanding jawatan Naib Presiden?

MOHD. SHAFIE: Itu hak dia. Kalau dia hendak bertanding menawarkan diri tiada sekatan tetapi seperti yang saya katakan terdapat proses-proses yang harus dilalui. Syarat-syaratnya ada. Sebab itu sebelum menawarkan diri perlu menepati syarat-syaratnya iaitu menjadi ahli selama tiga tahun atau satu penggal.

Kemudian baru boleh menawarkan diri untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian dan kemudian menawarkan diri menjadi calon di peringkat MT dan begitu juga di peringkat Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Ada langkah-langkahnya.

Dalam dunia politik ini bila kita menurut langkah-langkah yang ada prosesnya ia akan mematangkan kita. Itu jauh lebih baik. Bayangkanlah seorang ahli biasa terus menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden yang mana dia tidak tahu menahu tentang perjalanan parti.

Kita tidak mahu apabila kita dipilih sebagai MT atau Ketua Bahagian ketika itu parti kita sebagai pembangkang. Mempertahankan kerajaan sedia ada juga amat penting bagi kita.

Banyak persepsi mengatakan apabila berlaku pertandingan enam penjuru, salah seorang penyandang akan kalah dan ramai sudah berteka-teki siapa bakal menjadi korban.

MOHD. SHAFIE: Sebenarnya pertandingan ini seperti yang saya sebut iaitu kita hendak memberi sumbangan kepada parti dan memperkuatkan kerajaan kita. Mana-mana pertandingan biasa dan jumlah penjuru bukan penentu. Kita serahkan kepada perwakilan untuk tentukan kestabilan parti bukan kepentingan individu.

Bagaimana kita hendak memperkukuhkan parti untuk memastikan kita bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 PRU. Itu yang lebih penting kerana 28 juta rakyat Malaysia sedang memerhati dan 13 juta pengundi bakal menjadi penentu sama ada UMNO ada kekuatan tidak.

Apa saranan Datuk Seri kepada pemimpin yang kalah dalam pertandingan nanti agar jangan merajuk sebaliknya terus berkhidmat kepada parti dan rakyat?

MOHD. SHAFIE: Ia bermula daripada niat. Itu yang saya katakan ia umpama bagaimana kita beramal ibadah, apa tujuan dia? Kalau niat dia nak rebut jawatan, dia akan kecewa apabila tidak dapat. Kalau niat menawarkan diri untuk menyumbang bagi memperkuatkan parti bagi membantu dan membela rakyat dia tidak akan merajuk.

Landasan ini (membantu dan membela rakyat) tidak semestinya ada jawatan. Memang ada kelebihan bila ada tempat contohnya untuk memberi sumbangan dalam menggubal dasar, membincangkan perlembagaan parti dan sebagainya. Jadi berbalik kepada niat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved