Rabu, 1 Januari 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


3 impian '2014' Safee

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Selepas mengharungi banyak detik tidak menggembirakan sepanjang 2013, bintang penyerang kebangsaan, Safee Sali (gambar) memasang tiga impian yang diharap dapat dipenuhi pada tahun baharu 2014.

Menurut penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 itu, dia mahu melupakan episod pahit menghambat dirinya sepanjang 2013 dan membuka lembaran baharu.

Impian pertama Safee tahun ini, adalah mencari kebahagiaan dalam rumah tangga selepas melangsungkan perkahwinan kali kedua pada 28 Disember lalu.

Perkara kedua yang diimpikan pemain yang genap 30 tahun pada 28 Januari ini adalah memastikan, kariernya yang suram ketika bersama Johor Darul Tazim (JDT) tahun lalu mampu kembali bersinar.

Melengkapkan tiga impian Safee tahun ini, dia berharap kedudukannya dalam skuad kebangsaan tidak tergugat walaupun Harimau Malaya bakal bertukar teraju dengan Datuk Ong Kim Swee bertindak sebagai jurulatih sementara menggantikan Datuk K. Rajagobal.

Apa yang terjadi biarlah terjadi, saya akan jadikan ia sebagai satu coretan perjalanan hidup saya.

Bagi azam tahun baharu ini saya pasang tiga impian, yang pertama saya mahu membuat yang terbaik bersama pasukan yang saya wakili sekarang.

Kedua, ingin melihat karier bola sepak saya semakin berkembang. Saya akan beri komitmen baik terhadap pembangunan bola sepak negara.

Ketiga pula, saya harap perjalanan peribadi saya menjadi lebih tenang," katanya semalam.

Penyerang sensasi negara itu mengakhiri zaman dudanya tahun lalu adengan memilih wanita yang dikenali sebagai Sasha, berasal dari negara seberang, Indonesia.

Safee pernah mewakili Pelita Jaya dan Arema Cronous dalam Liga Super Indonesia pada 2011 hingga 2012, dan kini dia menyambung kontrak bersama pasukan (JDT) untuk bersaing dalam Liga Super Malaysia musim ini.

Meskipun mewakili JDT pada musim lalu, namun dia seringkali diletakkan di bangku simpanan ekoran beberapa kecederaan yang dialaminya.

Dalam pada itu, Sefee turut bertekad merebut tempat bersama barisan Harimau Malaya memandangkan skuad negara kini dipacu oleh Kim Swee.

Ketika pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Rajagobal, Safee sering dilabel sebagai anak emas kerana sering menjadi pilihan ketua jurulatih kebangsaan itu biarpun melalui karier yang suram bersama pasukan negeri.

2014 tahun paling mencabar

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my

SKUASY antara sukan paling menyerlah pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou apabila menyumbangkan tiga pingat emas menerusi acara individu lelaki dan wanita serta berpasukan wanita.

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Zolkples Embong mengharungi Sukan Asia dan Komanwel pertamanya sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) pada 2010 dengan cukup berjaya.

Kontinjen Malaysia memenuhi sasaran pada kedua-dua temasya apabila membawa pulang sembilan dan 12 pingat emas.

Selepas empat tahun berlalu dan tujuh tahun bergelar Ketua Pengarah MSN, sudah tentu Zolkples tidak mahu Sukan Asia dan Komanwel kali ini menemui kegagalan, justeru beliau menganggap 2014 sebagai tahun yang paling mencabar.

Katanya lagi, jarak di antara Sukan Asia dan Sukan Komanwel kali ini yang begitu pendek menambah lagi cabaran MSN.

Sukan Asia di Incheon, Korea berlangsung dari 9 September hingga 4 Oktober, hanya sebulan selepas Sukan Komanwel diadakan di Glasgow dari 23 Julai hingga 3 Ogos.

Namun begitu jelasnya, pihak MSN telah merangka persiapan awal untuk jangka masa panjang bagi menghadapi kedua-dua temasya penting itu.

"Program 2011 hingga 2014 akan masuki fasa akhir. Tahun ini juga lebih mencabar kerana jarak antara kedua temasya ini sebulan sahaja berbanding dulu, kita ada jarak beberapa bulan.

"Ada atlet seperti badminton, terjun, berbasikal dan skuasy (yang berpeluang memenangi pingat) terpaksa dipilih dua kali dalam tempoh yang singkat. Ini bukan satu yang mudah.

"Walaupun ramai atlet kita cemerlang di Myanmar, cabaran di Sukan Asia dan Komanwel berbeza. Banyak sukan bertaraf dunia di kedua temasya ini.

"Contohnya sukan terjun, di mana China merupakan pengeluar produk terbaik dunia, begitu juga dengan badminton. Jadi, memang saingan amat sukar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sepanjang berada di bawah tapuk pimpinan Zolkples sejak 2007, pencapaian kontinjen negara dilihat semakin berkembang dengan meraih pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam badminton di Sukan Olimpik Beijing 2008.

Malah pencapaian negara diperbaiki lagi di Olimpik London 2012 apabila Chong Wei sekali lagi meraih perak, manakala gangsa pula diraih Pandelela Rinong dalam terjun.

Dalam masa sama, Zolkples melihat Malaysia gah melangkah maju setelah mencatat sejarah terbaik dalam Sukan Asia 2010 Guangzhou, China dengan membawa pulang sembilan emas, sementara Sukan Komanwel New Delhi, India (12 emas).

Tambahnya, ekoran beberapa atlet kini bersara, beliau mengharapkan agar prestasi pengganti mereka dapat dipertingkatkan untuk meneruskan kecemerlangan 2010 dalam kedua-dua temasya.

"Di Guangzhou, saya merupakan Chief de Mission (CDM). Ramai atlet berada di kemuncak prestasi pada masa itu seperti Azlan Iskandar, Ku Jin Keat, Puvaneswaran, Chai Fong Ying, Arrico Jumitih dan Amirul Hamizan, tetapi kini ramai sudah bersara," ujarnya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Sesi persekolahan tidak terjejas

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Murid tahun satu mengangkat tangan sambil menunjukkan simbol satu sempena sesi persekolahan 2014 di SK Haji Hassan Itam, Simpang Empat Kangkong, Alor Setar, Kedah, semalam. - Utusan/Ismail Kamadin

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Banjir di Terengganu awal bulan lalu tidak menjejaskan sesi persekolahan apabila semua 19 sekolah yang terlibat banjir memulakan sesi persekolahan seperti biasa hari ini.

Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Husin berkata, sekolah yang terlibat dengan banjir telah dibersihkan, sebelum sesi persekolahan bermula.

"Kesemua sekolah tersebut sudah dibersihkan dan kesemua perabot di sekolah yang terjejas sudah diganti. Begitu juga dengan buku teks dan keperluan alat pembelajaran yang lain," katanya selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Terengganu, Ghazali Taib melawat seorang murid istimewa di SK Kuala Telemong, di sini hari ini.

Zakaria menambah, untuk tahun ini, seramai 17,481 murid memasuki tahun satu di 350 sekolah rendah manakala seramai 21,923 pelajar tingkatan satu memulakan sesi persekolahan di 143 sekolah menengah.

"Daripada jumlah itu, seramai 426 pelajar merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) yang cacat fizikal mengikuti persekolahan aliran kelas perdana pada tahun ini," katanya.

Murid pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan dan keperluan khas pula seramai 2,293 (sekolah rendah) dan 1,304 (sekolah menengah).

Zakaria juga memaklumkan bahawa terdapat sebuah sekolah baharu mula beroperasi pada tahun ini iaitu Sekolah Kebangsaan Tengir dekat Manir di sini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa semua sesi persekolahan termasuk di negeri yang dilanda banjir bermula seperti dijadualkan, iaitu hari ini di Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala esok untuk negeri-negeri lain.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menambah sesi persekolahan di Sarawak yang bermula Khamis, boleh ditangguhkan sementara waktu jika keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk.

Di ALOR SETAR, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat memberitahu, seramai 33,467 pelajar memasuki tahun satu di 543 sekolah rendah di negeri ini iaitu meningkat sebanyak 2,222 pelajar berbanding tahun lepas.

Katanya, seramai 27,969 pelajar mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK), 3,842 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan 1,656 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau berkata, pelajar tingkatan satu pula seramai 36,328 pelajar mendaftar di 185 sekolah iaitu meningkat 4,272 pelajar berbanding tahun lepas.

Mansor berkata, untuk tahun ini sebuah sekolah rendah dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Laguna, Merbok dalam daerah Kuala Muda, manakala dua sekolah menengah baharu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun dalam daerah Kubang Pasu dan SMK Taman Ria di Kuala Muda.

"Tiga sekolah tersebut mula beroperasi hari ini," katanya ketika mengiringi Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan melawat SJKT Barathy di sini hari ini.

Di KOTA BHARU, seramai 25,672 pelajar tahun satu dan 32,910 pelajar tingkatan satu memulakan sesi persekolahan di 418 sekolah rendah dan 173 sekolah menengah.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar memandangkan proses pendaftaran telah diadakan sebelum hari persekolahan dibuka.

"Proses pendaftaran dan pengagihan buku teks telah dibuat dua hari sebelum hari persekolahan dan ia dapat menjimatkan masa serta tidak mengganggu P&P," katanya.

Seramai 15,525 murid prasekolah turut memulakan sesi persekolahan hari ini yang melibatkan 655 bilik darjah.

"Murid prasekolah ini merupakan program kerajaan bagi anak-anak berumur enam tahun yang ibu bapa mereka berpendapatan rendah. Setiap sekolah mempunyai dua atau tiga bilik darjah bagi murid prasekolah ini," katanya. - BERNAMA

Kak Nik curi perhatian murid, guru di SK Telemong

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Guru kelas 1 Syafie, Nuzaimah Lokman membantu Nur Damia Irsalina untuk menulis sambil berbaring semasa sesi pembelajaran di SK Kuala Telemong, Hulu Terengganu, semalam. - Bernama

HULU TERENGGANU 1 Jan. - Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 7, bangkit awal pagi hari ini dan terus meminta pakaian seragam yang dibelikan ibunya, seakan tidak sabar untuk ke sekolah.

Ditemani ibu dan ayah, kemunculannya berkerusi roda di Sekolah Kebangsaan (SK) Telemong menjadi perhatian umum, namun hari pertama alam baharu dilalui dengan perasaan cukup teruja dan gembira ketika kanak-kanak sebayanya ada yang menangis dan menunjukkan rasa bosan.

Anak istimewa yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan itu seolah-olah langsung tidak merasakan perbezaan dengan rakan-rakan di kelas 1 Syafie dan perhatian mereka terhadapnya tidak menganggu tumpuan penerangan dan pengajaran gurunya, Nur Zaimah Lokman.

"Saya gembira ke sekolah, belajar dan boleh dapat ramai kawan. Bila besar nanti saya ingin menjadi doktor seperti ayah," katanya ketika ditemui di sekolahnya dekat sini hari ini.

Dia yang membahasakan diri sebagai 'Kak Nik' tidak kekok menulis dan begitu petah bercakap, selain tidak teragak-agak menjawab soalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat yang melawat sekolah tersebut.

Anak ketiga daripada empat beradik itu ditempatkan di sekolah harian biasa dan ramai yang membayangkan dia akan berdepan dengan kesukaran melalui hari-hari persekolahannya dengan keadaan fizikal sebegitu.

Namun bagi ibunya, Rosnaini Mohamad, 36, seorang jururawat dan ayahnya Dr. Daeng Malis Ab. Kahar, 43, yang merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah universiti di sini tidak bimbang kerana telah melakukan pelbagai persediaan.

Kisah Nur Damia Irsalina menjadi perhatian media apabila berkesempatan menemui pakar motivasi terkenal dari Australia, Nick Vijicic yang mengalami kecacatan sepertinya, ketika selebriti istimewa itu ke Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Sementara itu, Daeng Malis bersyukur kerana hari pertama persekolahan anaknya itu berjalan lancar terutama dengan penyediaan laluan khas oleh pihak sekolah bagi memudahkan pergerakan menggunakan kerusi roda bermotor yang ditempah khas berharga RM10,000 daripada pengasas Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron.

"Kak Nik sudah mahir menggunakan alat itu walaupun baru semalam kerusi roda bermotor ini diperolehi. Saya berterima kasih kerana pihak sekolah berusaha memudahkan pergerakan Kak Nik.

"Isteri saya akan menemani Kak Nik bagi memastikan proses persekolahan berjalan lancar termasuk mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan agar dapat menemani Kak Nik belajar di sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah di Kampung Lubuk Batu," katanya.

Walau bagaimanapun, Daeng Malis berkata, dia dan isteri akan mencari pembantu untuk menguruskan pembelajaran Nur Damia Irsalina di dalam kelas terutama bagi mengambil buku dan alat tulis serta ke kantin dan tandas.

Sementara itu, menurut Ghazali, pihaknya akan memanggil ahli akademik dari Kolej Universiti TATi untuk membantu Nur Damia Irsalina terutama dalam menambah baik kerusi roda untuk kegunaan murid tersebut serta kemudahan lain.

"Insya-Allah kerajaan negeri akan memikirkan sesuatu untuk membantu Nur Damia Irsalina, malah bantuan seperti ini tidak hanya terhad kepadanya seorang tetapi kanak-kanak lain yang memerlukan,'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Himpunan haram ganas - Polis

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

Anggota polis terpaksa mendukung kanak-kanak yang terkepung akibat rempuhan peserta Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam semalam.

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Perhimpunan haram yang kononnya bagi membantah kenaikan harga barang serta didakwa aman oleh penganjurnya disifatkan polis sebagai ganas setelah berlaku elemen provokasi dan rempuhan terhadap pasukan keselamatan di Dataran Merdeka malam tadi.

Ekoran insiden yang mencemarkan sambutan tahun baharu itu, pihak polis menerima lapan laporan polis antaranya mengenai kecederaan dua anggota polis, penemuan senjata tajam, rempuhan terhadap kawalan polis dan perbuatan naik ke pentas utama persembahan pada malam itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh (gambar) berkata, sehubungan itu, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut sekali gus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

"Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur atau mana-mana ahli politik yang terlibat.

"Kami memberi keutamaan dalam siasatan kes ini dan mungkin dalam tempoh seminggu kita akan serah kertas siasatan kepada Peguam Negara," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mohmad berkata, pihaknya mempunyai bukti-bukti bergambar berhubung keganasan perusuh-perusuh perhimpunan itu dan turut menyiasat dakwaan arahan melakukan rempuhan itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata, perbuatan perusuh-perusuh perhimpunan haram berkenaan jelas melanggar undang- undang seperti yang tertakluk dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak meminta kebenaran dari pemilik premis (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

"Polis amat kesal dengan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini kerana telah mengganggu gugat keselamatan serta kemeriahan pengunjung yang ingin menyambut ambang tahun baru," ujarnya.

Kata beliau, antara kes yang dilaporkan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Seksyen, 4 (2)(c) Akta perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan mendatangkan marah yang boleh menyebabkan rusuhan serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata.

Anggota PGA cedera dibaling peserta himpunan dengan tin

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Anggota polis yang cedera selepas dibaling dengan tin semburan buih ketika menjalankan tugas dalam perhimpunan haram guling kerajaan malam tadi menganggap kejadian yang menimpanya itu sebagai cabaran dalam menjalankan tugas.

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Faizul Ali, 42, berkata, kejadian itu tidak langsung mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat dalam pasukan polis malah menjadikannya lebih berani.

Menceritakan kejadian yang menimpanya, Faizul berkata, ketika itu kira-kira 100 peserta perhimpunan haram terbabit bergerak dari Jalan Bukit Bintang ke Dataran Merdeka.

Beliau yang ditugaskan sebagai penyelia pasukan PGA di kawasan terbabit sedang bersiap sedia memakai beret untuk membantu pasukan polis yang mengawal keadaan.

"Saya baru menyarungkan beret dan keluar dari khemah yang menempatkan pasukan polis untuk membantu mengawal keadaan yang sudah mula kecoh dengan tindakan provokasi peserta perhimpunan.

"Tiba-tiba terasa objek keras dan padu dibaling dan terkena sebelah kiri kepala saya sebelum terasa sakit dan pedih yang teramat sangat. Saya kemudian mendapati kepala berdarah tanpa henti.

"Dalam kekalutan itu, saya yang hampir pitam telah dibantu oleh anggota polis pelancong yang membawa ke pondok kawalan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau telah menerima rawatan pesakit luar akibat kecederaan tersebut.

Dalam pada itu, Faizul yang telah 26 tahun berkhidmat bersama PGA memberitahu, insiden malam tadi bukan pengalaman pertamanya memandangkan terlalu kerap pihak tidak bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan yang mengkucar-kacirkan ketenteraman negara.

"Pengalaman pertama saya ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari tuduhan liwat dan peristiwa kedua adalah ketika perhimpunan Bersih 3.0.

"Dalam kedua-dua insiden tersebut, saya telah dipukul oleh penyokong pembangkang yang tidak berpuas hati terhadap polis yang menghalang mereka daripada mencetuskan keadaan huru hara," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Mohon ketepi perintah cerai mahkamah

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Dari kanan; Tunku Muna Sultan Iskandar, Tunku Noraini Sultan Iskandar dan Tunku Masera Sultan Iskandar berbincang dengan peguamnya, Kamar Ainiah Kamaruzaman (dua dari kiri) serta Afshah Arifin (kiri) mengenai permohonan mengetepikan perintah Mahkamah Syariah yang mengeluarkan penghakiman bahawa Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail telah menceraikan Tunku Zanariah di Mahkamah Syariah, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 1 Jan. - Bekas Sultanah Johor, Tunku Zanariah Tunku Ahmad hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk mengetepikan perintah Mahkamah Syariah yang mengeluarkan penghakiman bahawa Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail telah menceraikannya.

Permohonan yang difailkan melalui Tetuan Kamar Ainiah, Raziff dan Zashidi dan menamakan Sultan Iskandar sebagai responden itu difailkan pada pukul 10 pagi di Pejabat Pendaftar mahkamah berkenaan.

Peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Tunku Zanariah ketika ditemui berkata, permohonan tersebut adalah untuk mengetepikan dan membatalkan perintah Mahkamah Rendah Syariah menerusi saman bernombor 01001-054- 2025-2010 yang mengeluarkan penghakiman bahawa Almarhum Sultan Johor telah menceraikan Tunku Zanariah pada 23 Januari 2009 dan rujuk yang dilafazkan pada minggu berikutnya adalah tidak sah.

Jelasnya, permohonan tersebut dibuat dengan alasan bahawa penghakiman Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru bertarikh 30 September 2010 dalam kes saman berkenaan adalah menyalahi hukum syarak dan undang-undang serta menyalahi tatacara Mahkamah Syariah.

"Perintah tersebut telah menamakan Almarhum sebagai plaintif walaupun semasa hayat baginda, Sultan Iskandar tidak pernah membuat apa-apa permohonan untuk mengesahkan dakwaan cerai tersebut. Almarhum dan Tunku Zanariah telah hidup bersama sebagai suami isteri yang sah dengan aman sehingga kemangkatan baginda pada 22 Januari 2010," katanya.

"Walaupun Tunku Zanariah dinamakan sebagai defendan dalam kes saman tersebut, Tunku Zanariah tidak pernah dimaklumkan atau menerima apa jua kertas klausa kes tersebut dan hanya mengetahui penghakiman mahkamah serta dakwaan cerai tersebut pada 22 Ogos lepas menerusi surat yang dihantar Mufti Johor," katanya.

Dakwa Kamar Ainiah, daripada surat mufti tersebut, adalah jelas bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah menyalah guna kuasa apabila membuat fatwa pada 6 Ogos 2010 iaitu lapan bulan selepas kemangkatan Almarhum bahawa Almarhum dan Tunku Zanariah telah sah bercerai talak tiga pada 23 Januari 2009 dan rujuk Almarhum adalah tidak sah.

Beliau berkata, berikutan itu Menteri Besar Johor ketika itu telah mengutuskan surat pada 9 Disember 2010 kepada Tunku Zanariah bahawa gelaran 'Yang Maha Mulia Sultanah' dibatalkan dan Tunku Zanariah langsung tidak mengetahui mengenai keputusan Menteri Besar tersebut sehingga dimaklumkan menerusi surat mufti lebih tiga tahun berikutnya.

Mahkamah, katanya, menetapkan 20 Januari ini untuk sebutan permohonan bantahan itu.

Tunku Zanariah mahu ketepi perintah cerai mahkamah

Posted: 01 Jan 2014 12:11 AM PST

JOHOR BAHRU 1 Jan. - Bekas Sultanah Johor, Tunku Zanariah Tunku Ahmad hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini untuk mengetepikan perintah Mahkamah Syariah yang mengeluarkan penghakiman bahawa Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail telah menceraikannya.

Permohonan yang difailkan melalui Tetuan Kamar Ainiah, Raziff dan Zashidi dan menamakan Sultan Iskandar sebagai responden itu difailkan pada pukul 10 pagi di Pejabat Pendaftar mahkamah berkenaan.

Kamar Ainiah ketika ditemui berkata, permohonan tersebut adalah untuk mengetepikan dan membatalkan perintah Mahkamah Rendah Syariah menerusi saman bernombor 01001-054-2025-2010 yang mengeluarkan penghakiman bahawa Almarhum Sultan Johor telah menceraikan Tunku Zanariah pada 23 Januari 2009 dan rujuk yang dilafazkan pada minggu berikutnya adalah tidak sah.

Katanya, permohonan tersebut dibuat dengan alasan bahawa penghakiman Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru bertarikh 30 September 2010 dalam kes saman berkenaan adalah menyalahi hukum syarak dan undang-undang serta menyalahi tatacara Mahkamah Syariah.

"Perintah tersebut telah menamakan Almarhum sebagai plaintif walaupun semasa hayat baginda, Sultan Iskandar tidak pernah membuat apa-apa permohonan untuk mengesahkan dakwaan cerai tersebut. Almarhum dan Tunku Zanariah telah hidup bersama sebagai suami isteri yang sah dengan aman sehingga kemangkatan baginda pada 22 Januari 2010," katanya.

"Walaupun Tunku Zanariah dinamakan sebagai defendan di dalam kes saman tersebut, Tunku Zanariah tidak pernah dimaklumkan atau menerima apa jua kertas klausa kes tersebut dan hanya mengetahui penghakiman mahkamah serta dakwaan cerai tersebut pada 22 Ogos lepas menerusi surat yang dihantar Mufti Johor," katanya. - UTUSAN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


TMM: Pelancong pertama tiba

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Shahaniza Shamsuddin (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada pelancong yang tiba sempena TMM 2014 di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, semalam.

KUANTAN 1 Jan. - Pejabat Tourism Malaysia Pahang menganjurkan sambutan mengalu-alukan kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini.

Majlis sambutan turut diadakan di Lapangan Terbang Tioman, dekat sini.

Acara tersebut mendapat kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser dan penggiat industri pelancongan Pahang.

Pada majlis berkenaan, para pelancong disambut dengan persembahan tarian dan muzikal tradisional Pahang serta diberikan bunga telur.

Selain itu, pelbagai cenderamata lain bersama risalah pelancongan sempena TMM 2014 turut diedarkan kepada para pelancong.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Ishak Mokhtar; Pengarah Pejabat Pelancongan Pahang, Idros Yahya dan Pengarah Tourisme Pahang, Mohd. Faharuddin Hatmin.

Seorang pelancong yang ditemui, Robert Atkinson, 51, dari New Zealand berkata, dia dan isteri pertama kali berkunjung ke negeri ini.

"Apabila tiba hari ini, kami disambut dengan persembahan muzik termasuk diberikan risalah pelancongan di negeri ini, saya gembira dengan sambutan diberikan.

"Saya dan isteri akan bercuti di negeri ini selama empat hari," katanya.

Seorang lagi pelancong, Monica Sun, 34, dari Beijing, China berkata, dia dan ahli keluarganya memilih Club Med untuk destinasi percutian.

"Terima kasih kerana menyambut kehadiran kami, saya dan keluarga amat gembira dengan sambutan diberikan. Kami akan menghabiskan masa selama enam hari di negeri ini," katanya.

MPIBG1M mampu majukan bidang pendidikan

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Sebahagian daripada 416 pelajar cemerlang sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Kuala Krau menerima sumbangan Yayasan Pahang yang disampaikan oleh Ismail Mohamed Said (belakang, tengah, baju batik) dan Rosdi Ismail (belakang, berkot) di Dewan SMK Kuala Krau di Kuala Krau, semalam.

KUALA KRAU 1 Jan. - Cadangan penubuhan Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru 1Malaysia (MPIBG1M) di Parlimen Kuala Krau mampu mewujudkan kumpulan pemikir dalam memajukan bidang pendidikan secara lebih menyeluruh.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, penubuhannya di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan ibu bapa dan pemimpin masyarakat memberikan idea bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Menurutnya, majlis itu perlu dianggotai ibu bapa, ketua kampung, polis, pegawai Felda, ketua belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

"Aktiviti atau program yang dirangka bersama mampu meningkatkan bidang pendidikan pelajar supaya dapat bersaing dengan para pelajar di kawasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam kawasan Parlimen Kuala Krau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Pelajaran Pahang, Mohd. Rosdi Ismail.

Sebanyak 416 murid cemerlang UPSR dan pelajar PMR menerima sumbangan wang tunai daripada Yayasan Pahang dan UMNO Bahagian Kuala Krau.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, kewujudan majlis itu penting bagi menjalinkan kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat.

Tambahnya, langkah tersebut akan membantu menghasilkan lebih banyak keuntungan dalam bidang pendidikan yang merupakan teras kepada kemajuan negara.

"Sudah tiba masanya majlis tersebut diwujudkan memandangkan sehingga kini belum ada mana-mana institusi pendidikan bertaraf kolej atau universiti mempunyai pertubuhan sedemikian.

"Penubuhan itu membolehkan ibu bapa saling berinteraksi dengan guru dan pemimpin setempat demi kepentingan pelajar," katanya.

NGO Lipis anjur gunting rambut percuma kepada pelajar

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Ahmad Daniar Ismail (berdiri belakang, lima dari kanan) bersama-sama sebahagian pelajar yang mendapatkan khidmat gunting rambut sempena Program Jom Kembali ke Sekolah di Kuala Medang, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 1 Jan. - Sebanyak 75 pelajar sekolah menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma sempena Program Jom Kembali ke Sekolah yang diadakan di Kampung Kuala Medang Hulu Jelai di sini hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) Lipis, Pemuda UMNO cawangan Kuala Medang, Gerakan Belia 4B (GB4B) dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Medang.

Perasmian program itu disempurnakan Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Daniar Ismail dan turut dihadiri Ketua Kampung Kuala Medang, Ismail Mat Sam.

Menggunakan dua tukang gunting rambut, kebanyakan pelajar sekolah yang menyertainya dari Kampung Kuala Medang, Kampung Kuala Serau dan Perkampungan Orang Asli Pos Pantos.

Menurut Ahmad Daniar, program berkenaan disifatkan tepat pada masanya sebagai persiapan pelajar sebelum sesi persekolahan esok.

"Program ini mampu membentuk sikap dan disiplin pelajar di samping mengetahui peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerja sukarela dalam kalangan masyarakat setempat," katanya kepada pemberita.

Ahmad Daniar berkata, komitmen NGO menerusi program berkenaan antara alternatif mengurangkan beban ibu bapa.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerjasama NGO terhadap kerja amal amat dialu-alukan dalam memajukan masyarakat setempat selari dengan aspirasi transformasi bidang sosial.

"Program ini sekali gus menzahirkan usaha NGO melaksanakan kewajipan sosial untuk membantu pelajar dari keluarga miskin dan sederhana menikmati kemudahan menggunting rambut secara percuma," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Duta Palestin terbunuh

Posted: 01 Jan 2014 11:13 AM PST

PRAGUE 2 Jan. - Duta Palestin ke Prague, Jamal Al Jamal terbunuh selepas berlakunya letupan di kediamannya di sini semalam.

Menteri Luar Palestin berkata, Jamal cuba untuk membuka peti keselamatan yang baru dipindahkan ke rumahnya dan menurut sumber kerajaan letupan itu mungkin berlaku disebabkan oleh peledak keselamatan yang terdapat dalam peti tersebut.

``Perkara itu masih lagi belum dipastikan, sesetengah peti keselamatan mempunyai mekanisme yang dicipta khas untuk memusnah dokumen penting apabila kuncinya diganggu, lapor sumber itu. - REUTERS

Gaji pekerja Kemboja naik

Posted: 01 Jan 2014 09:42 AM PST

PHNOM PENH 2 Jan. - Kerajaan Kemboja bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum bulanan pekerja di negara ini dari AS$80 (RM363.21) kepada AS$100 (RM454.01) bermula Februari depan.

Dalam satu kenyataan, Menteri Buruh dan Latihan Vokasional memberitahu, para pekerja pakaian dan kasut akan menikmati kenaikan gaji minimum bulan sebanyak AS$100 (RM454.01) bermula 1 Februari 2014.

Kenaikan sebanyak AS$20 (RM90.80) itu dibuat, selepas beribu-ribu orang pekerja melakukan tunjuk perasaan terhadap Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP), menuntut supaya gaji minimum ditingkatkan kepada AS$160 (RM726.42) sebulan. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tingkah laku memalukan

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh Azmi Hassan

Sambutan Tahun Baharu 2014 di Dataran Merdeka dihentikan apabila peserta Himpunan Guling Kerajaan mula membuat kacau. - Utusan/Nasirruddin Yazid

TONGA sebuah negara pulau yang terletak paling hampir dengan garis sempadan waktu antarabangsa yang membezakan di antara hemisfera timur dan barat adalah antara tempat paling awal menyambut tahun baharu 2014.

Seperti negara lain, ketibaan tahun 2014 disambut dengan penuh meriah dan paling menarik sambutan dimulakan dengan upacara penuh tradisi seperti letupan meriam buluh.

Begitu juga dengan kawasan kutub selatan Antartika adalah antara tempat yang menerima kunjungan tahun 2014 lebih awal daripada negara lain, mendapat perhatian istimewa kerana 74 orang yang terkandas dalam kapal penyelidikan MV Akademik Shokalskiy juga meraikan ketibaan 2014 dengan cara mereka tersendiri walaupun langkah menyelamatkan mereka terbantut buat seketika.

Hakikatnya adalah bermula dari Tonga hinggalah ke negara yang paling lewat menerima kunjungan tahun baharu 2014 iaitu di American Samoa, upacara mengikut kelaziman dan kemampuan masing-masing diadakan bagi meraikan peristiwa tersebut saban tahun.

Malah sambutan di Red Square Moscow juga tetap diteruskan walaupun Rusia sedang berhadapan dengan keadaan keselamatan yang genting apabila berlaku dua letupan yang meragut banyak nyawa di bandar Volgograd.

Begitu menakjubkan juga, dua bandar besar yang dikatakan sedang bergolak iaitu Bangkok dan Kiev juga meraikan kehadiran tahun 2014 tanpa berlaku peristiwa yang mencacatkan sambutan tersebut.

Bangkok menjelang tahun baharu dikatakan agak tenang setelah sejak beberapa minggu mengalami suasana tidak menentu akibat demonstrasi dan protes terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Tidak timbul keadaan kumpulan yang terlibat dalam protes tersebut mengambil peluang untuk mengkucar-kacirkan lagi keadaan dalam suasana penduduk Bangkok meraikan tahun baharu 2014.

Suthep Thaugsuban yang dianggap sebagai ketua dan dalang protes di Bangkok mengambil keputusan menghentikan buat seketika aktiviti protes untuk memberi laluan supaya sambutan tahun baharu tidak terganggu.

Tetapi beliau menyeru rakyat Thailand untuk menyertai perhimpunan apa yang digelar sebagai Bangkok Blitz sebaik-baik sahaja berada di tahun 2014 dengan tujuan untuk melumpuhkan Bangkok sekali lagi.

Begitu juga dengan penunjuk perasaan yang berhimpun sejak sebulan lepas di Dataran Kemerdekaan Kiev, Ukraine sebagai membantah keputusan Presiden Viktor Yanukovych membatalkan perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU). Mereka tidak mengambil langkah untuk sabotaj sambutan tahun baharu yang diadakan di tempat berhampiran dataran tersebut.

Tetapi lain pula cerita dengan kumpulan yang menjadi tulang belakang Himpunan Guling Kerajaan telah menggunakan kesempatan acara sambutan tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka sebagai pemangkin untuk mengkucar-kacirkan keadaan di ibu kota Kuala Lumpur.

Dataran Merdeka cukup sinonim dengan sambutan tahun baharu kerana ia menjadi ikon dan tradisi, bukan sahaja untuk sambutan tahun baharu tetapi juga bentuk sambutan yang lain.

Tidak keterlaluan jika New York Times Square di Amerika Syarikat, Marina Bay di Singapura dan Sydney Harbour di Australia ialah tempat yang begitu dikenali sebagai pusat sambutan tahun baharu, begitu juga dengan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Tetapi sambutan tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka tercemar apabila dianggarkan 5,000 peserta Himpunan Guling Kerajaan telah bertindak ganas dengan merempuh penghadang polis untuk merampas pentas utama dan paling mengaibkan sekali memaksa penganjur membatalkan sambutan kira-kira 30 minit menjelang detik 12 tengah malam.

Rasa hormat dan adat orang Timur bagaikan sudah hilang apabila kumpulan tersebut menyerbu masuk ke pentas dari segenap sudut dengan jeritan ungkapan reformasi dan turun.

Dan paling memalukan sekali mengerumuni dan mengambil alih pentas utama. Acara konsert dan pertunjukkan bunga api juga terpaksa dibatalkan setelah peserta perhimpunan haram itu membaling objek ke arah pentas utama ketika pancaragam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat persembahan.

Adalah agak memalukan juga gelagat kumpulan Himpunan Guling Kerajaan yang menjerit pekik serta memaki hamun Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib yang pada ketika itu sedang cuba menenangkan keadaan dengan berucap di atas pentas utama.

Tidak sukar untuk membaca strategi dalang himpunan tersebut kerana tetap berkeras memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi utama mereka kerana begitu jelas mereka ini mempunyai maksud untuk mengkucar-kacirkan sambutan tahun baharu.

Tetapi harapan kumpulan ini untuk mengajak pengunjung yang berada di Dataran Merdeka turut serta dalam himpunan tersebut ternyata sekali gagal, malah menongkah arus objektif asal kerana ramai yang hadir bergegas meninggalkan dataran kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Peristiwa yang telah melanda Dataran Merdeka adalah secara mikronya begitu jelas huru-hara boleh melanda negara jika pendekatan protes jalanan digunakan sebagai modus operandi untuk mencapai satu-satu tujuan.

Begitu sahih sekali dalang Himpunan Guling Kerajaan ini akan melakukan apa sahaja hanya untuk mencapai cita-cita politik mereka kerana sebarang gangguan di Dataran Merdeka menjelang tahun baharu sudah pasti boleh mencetuskan huru-hara.

Keadaan menjadi terkawal hanya kerana pihak keselamatan mengambil pendekatan berhemah yang mengelak keadaan menjadi bertambah buruk.

Begitu berbeza sekali prinsip dan disiplin yang dipamerkan oleh kumpulan protes di Bangkok dan Kiev kerana mereka sanggup mengetepikan buat seketika aktiviti protes menjelang tahun baharu, sedangkan pula dalang Himpunan Guling Kerajaan telah mengambil kesempatan sambutan untuk menghuru-harakan lagi keadaan.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM

Bendung kenaikan harga barangan

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh NG LUM YONG
PENULIS ialah Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia

Masyarakat pengguna perlu berjimat dan berhemat di pasar dalam musim kenaikan harga barangan. - Gambar hiasan

Kenaikan harga barang kembali melanda Malaysia. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti pekerja biasa dan golongan bawah, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka khususnya yang berpendapatan rendah.

Hal ini menyebabkan kesan-kesan kenaikan harga barang keperluan berlaku. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil kerajaan untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, "ingat sebelum kena, jimat sebelum habis."

Kenaikan harga barangan telah memberikan kesan kepada semua orang. Antaranya masalah ini akan menyebabkan kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit.

Hal ini berlaku demikian kerana kuasa beli mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi semakin berkurangan. Contohnya, barang-barang keperluan dapur semakin meningkat dan dianggarkan meningkat dalam lingkungan 30 hingga 50 peratus daripada harga sebelumnya.

Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini hanya cukup-cukup makan. Oleh itu, masyarakat perlu berbelanja dengan bijak dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.

Kesan sosioekonomi sememangnya teruk seperti yang pernah kita saksikan dan alami sebelum ini. Kegiatan mengambil untung berleluasa dan pengguna menjadi mangsa eksploitasi peniaga.

Peniaga dan badan korporat menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Pihak yang tidak mahu memikul beban kenaikan akan memindahkan lebihan kos kepada pihak lain, sama ada pembekal atau peruncit dan mangsanya ialah pengguna.

Selain itu, terdapat juga peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang dengan sesuka hati. Sikap tidak bertanggungjawab ini membawa kesan negatif kepada sosioekonomi dan menyekat kemajuan ekonomi negara.

Peranan penting orang tengah dalam rangkaian makanan yang mana mereka menentukan harga dan bekalan barang makanan yang dijual di pasaran. Orang tengah berada dalam kedudukan selesa kerana mereka menjana keuntungan besar daripada pihak pengeluar dan pihak pengguna.

Rantaian kenaikan berkenaan menjadikan harga barang-barang keperluan turut naik yang mana menjadi bahan tunjang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi.

Hal ini melibatkan kos pembuatan dan pemprosesan. Keadaan yang meruncing dan mendadak akan menyebabkan rakyat yang kurang bersedia untuk menghadapinya terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah seperti petani, buruh dan pengusaha kecil. Fenomena ini akan dianggap suatu yang amat membebankan.

Selain kenaikan harga bahan keperluan yang membebankan masyarakat, terdapat kesan kenaikan harga lain kerana melibatkan sumber bahan bakar ini.

Antaranya ialah industri perumahan yang mana mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak. Kos perkhidmatan yang membebankan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi kerana keperluan terhadap bahan bakar ini.

Pengusaha khususnya golongan yang kurang mampu terpaksa menanggung bebanan kos yang tinggi seperti kenaikan kadar sewa dan cukai yang melampau bagi sesebuah premis perniagaan sehingga ada pemilik restoran yang terpaksa menutup restorannya ekoran daripada kenaikan kadar sewa tapak premis berkenaan.

Bagi mengurangkan bebanan ini, peniaga terpaksa menaikkan harga barang yang dijual. Kesannya, tekanan harga yang tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pengguna. Dalam keadaan sekarang, masyarakat perlu mengambil pendekatan berhemah untuk menguruskan kewangan mereka.

Peningkatan harga minyak 10% tersebut akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang, terutama harga barang makanan. Bahan makanan, sama ada dalam bentuk mentah, separa proses atau siap diproses perlu diangkut dari tempat pengeluaran atau pemprosesan kepada tempat pemasaran.

Kenaikan kos pengangkutan dan kos pemprosesan sudah tentu akan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang akhir yang diangkut. Kerajaan boleh campur tangan dengan mengumumkan Dasar Kawalan Harga barangan tetapi dari segi ekonomi, dasar campur tangan tersebut akan membawa kepada herotan ekonomi dan memberi lebih banyak keburukan.

Orang ramai masih gemar memandu kenderaan sendiri daripada menggunakan pengangkutan awam. Hal ini menyebabkan penggunaan minyak terus meningkat. Bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan pengguna atas pilihan tersebut.

Jika mutu perkhidmatan awam baik bas, teksi dan kemudahan LRT dan komuter masih kurang memenuhi kehendak dan permintaan rakyat. Kita tidak boleh membandingkan dengan negara lain sekiranya ingin menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam.

Contohnya, sistem pengangkutan awam di Singapura adalah cekap dan lengkap. Oleh itu, kenaikan harga barang memberikan impak yang sangat besar kepada kuasa beli masyarakat.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani masalah ini. Langkah tersebut ialah pihak kerajaan perlu menjalankan kempen jimat cermat dalam kalangan pengguna.

Hal ini berlaku demikian kerana melalui kempen atau mesej awam, kerajaan boleh menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat bagi mendatangkan hasil.

Kempen tersebut boleh dijalankan melalui media massa arus perdana seperti televisyen, radio dan juga media cetak. Di samping itu, kempen tersebut juga sekurang-kurangnya diharap dapat memberikan kesedaran kepada para pengguna. Dengan cara itu, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan pengguna.

Masyarakat yang juga merupakan pengguna digalakkan untuk menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Sebenarnya, cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970-an dengan rancangan Buku Hijau.

Dengan cara ini, para pengguna tidak perlu membeli sayur-sayuran di pasar setiap hari. Contohnya, masyarakat boleh menanam sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya. Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan kepada jiran-jiran yang berhampiran.

Sudah tentu tindakan ini akan menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.

Selain itu, cara ini juga boleh menjimatkan masa untuk membeli sayur-sayuran di pasar.

Pihak kerajaan hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan.

Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat.

Contohnya, mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kenaikan harga barang.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan harga barang yang tidak terkawal akan menyebabkan kekacauan dan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan politik yang mengancam keharmonian negara.

Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan membendung masalah kenaikan harga barangan keperluan dan mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini supaya masalah kenaikan harga barang dapat dikurangkan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Syukur dengan kurniaan isteri

Posted: 01 Jan 2014 06:35 AM PST

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

ZAHIRIL Adzim banyak belajar cara-cara penjagaan anak daripada Shera.

DALAM setiap perkahwinan, kehadiran insan ketiga yang bergelar anak sentiasa dinantikan oleh setiap pasangan apatah lagi ia adalah satu kurniaan dan rezeki daripada yang Maha Esa.

Begitu juga dengan pelakon Zahiril Adzim, 29, yang dikurniakan seorang anak lelaki hasil perkahwinannya bersama dengan pelakon, Shera Aiyob.

Malah, ketika berada di Macau untuk mengikuti delegasi tempatan menghadiri Festival Filem Asia Pasifik ke-56, jelas terlihat wajah kerinduan seorang bapa terhadap anaknya.

Ketika di sana juga, Zahiril sempat berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan media yang turut serta dengan memperlihatkan gambar-gambar terbaharu anaknya, Nadi Anaqi yang kini sudah memasuki usia enam bulan.

Dalam kerinduan itu, Zahiril mengakui, anaknya itu banyak mengubah kehidupan dan dirinya menjadi seorang yang lebih matang untuk memegang peranan sebagai seorang bapa.

Menurut Zahiril, semenjak bergelar seorang bapa, dia lebih selesa untuk meluangkan masanya bersama dengan keluarga berbanding berada di luar.

"Sebelum ini, masa belum bergelar bapa, jika isteri saya ada kerja, saya banyak menghabiskan masa bersama dengan rakan-rakan untuk melepak dan sebagainya.

"Tapi, sekarang memang sudah berbeza, kalau hendak kata saya kurang melepak kerana sibuk dengan kerja, memang betul tetapi ia bukan faktor utama.

"Faktor utama yang buat saya kurang meluangkan masa bersama dengan rakan-rakan ialah kerana saya mahu meluangkan masa bersama dengan anak saya," jelasnya tersenyum.

Tambah Zahiril, kematangan itu bukan sahaja membentuk sisi baharu dirinya dalam memainkan peranan seorang bapa, tetapi juga menjadikan dirinya semakin terurus.

"Kalau dulu, saya sendiri tidak tahu ke mana wang saya pergi. Bila ada wang sahaja, saya akan belanja dan beli apa yang saya mahukan. Kalau bab menyimpan dulu memang kurang.

"Tetapi kini, kewangan saya lebih teratur. Kini saya lebih banyak menyimpan hasil titik peluh saya untuk kegunaan masa depan terutamanya melibatkan kegunaan anak saya," ujar pelakon yang membintangi drama Aku Ada Wali itu.

Suka duka dan azam artis

Posted: 01 Jan 2014 06:35 AM PST

Oleh Mohamad Ariff Mohd Yusof

AZNIL ingin tumpu lebih perhatian kepada kerja-kerja kebajikan.

HARI ini bermulalah satu episod baharu dalam kehidupan kita dan di waktu yang sama usia pun semakin berganjak seiring dengan kemunculan tahun baharu.

Setiap kali menjelang tahun baharu pasti akan diikuti dengan semangat ataupun azam baharu untuk memajukan diri masing-masing. Namun, setiap azam baharu tersebut mestilah ada terselit kisah-kisah pahit dan manis sepanjang tahun 2013.

Buat para artis tempatan, sudah semestinya azam baharu mereka ingin mengembangkan lagi perjalanan karier seni masing-masing. Tidak kurang juga ada yang ingin menceburi bidang baharu seperti perniagaan dan sebagainya.

Bagi penyanyi Marsha Milan Londoh, 2013 menyimpan seribu satu kenangan indah bergelar sebagai anak seni. Tambahnya, dia sangat teruja ketika terlibat dalam projek filem animasi Walt Disney, Frozen.

" Untuk filem tersebut, suara saya digunakan untuk watak Elsa, menyanyikan lagu runut bunyi filem itu yang bertajuk Bebaskan (nyanyian Demi Lovato - Let It Go) dan menghasilkan klip video sekali gus bekerjasama dengan tenaga kerja produksi antarabangsa Walt Disney.

"Namun, dalam setiap manis akan ada pahitnya. Bagi Marsha, untuk tampil cantik adalah satu cabaran buat semua wanita di seluruh dunia. Berat badan naik mendadak sehingga membuatkan saya mengambil keputusan untuk berdiet dan bersukan bagi mendapatkan semula berat badan idea," katanya berseloroh.

Sebagai seorang artis, azamnya untuk tahun ini adalah terus memperbaiki diri dalam bidang nyanyian, lakonan, modeling dan pengacaraan pada tahap lebih tinggi. Tidak dilupakan, dia juga ingin membuka bisnes atas talian untuk menjual pakaian di bawah label sendiri.

Bagi pengarah muda, Syamsul Yusof yang popular dengan filem aksi seperti KL Gangster yang diterbitkan pada 2011, tahun lalu bakal ditinggalkan dengan perasaan yang bercampur baur.

"Seperti yang kita tahu, tahun lalu ada kejadian yang kurang elok berlaku pada filem KL Gangster 2, dan lebih selesa untuk saya simpan untuk diri sendiri. Ada hikmah di sebalik kejadian ini. Pada mulanya memang satu kenangan yang pahit, tapi lama-kelamaan menjadikan saya lebih matang dan saya rasa walaupun perit untuk dilalui, tapi ada manisnya di sebalik kejadian tersebut.

"Tahun 2014, saya akan berehat sebentar daripada industri seni, jangan salah sangka, bukan ingin terus berhenti, cuma saya perlukan rehat. Apa yang boleh katakan, saya akan betulkan setiap kesilapan yang pernah saya lakukan sepanjang bergelar pengarah dan anak seni dalam industri tempatan," katanya.

Bakal berehat daripada dunia seni

Stacy mahu simpan rambut panjang

Bagi penyanyi dan juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy kelihatan lebih bahagia dengan kehadiran anak angkatnya, Bella.

"Tiada ada apa yang lebih manis apabila bersama anak saya. Selepas dianugerahkan Bella baharu saya menyedari bagaimana hebatnya kasih dan pengorbanan seorang ibu. Kami memang tak boleh berenggang. Kalau saya ada undangan di luar Kuala Lumpur, Bella tetap saya bawa kerana tak sanggup berpisah dengannya.

"Ikatan itu menyebabkan saya enggan membayangkan bagaimana saya mahu berdepan dengannya menjelaskan situasi sebenar. Sekarang, walaupun dia belum tahu apa-apa, saya sendiri akan naik darah jika orang memanggilnya anak angkat.

Ditanya mengenai kenangan pahit sepanjang 2013, Stacy sempat berjenaka dengan menyatakan masalah berat badan yang semakin meningkat merupakan kenangan terburuk yang sering dialami menjelang setiap tahun baharu.

" Azam 2014 saya lebih kepada perjalanan seni . Pertama saya hendak panjangkan rambut semula, kemudian saya ingin berusaha lebih lagi untuk menghasilkan lagu-lagu buat para peminat. Harap album saya boleh diterima oleh para pendengar. Buat masa ini, saya agak sibuk dengan persembahan bersama kumpulan SM*SH.

" Tiada pengalaman yang lebih pahit apabila berat badan semakin bertambah, dan sudah pasti azam setiap tahun adalah untuk menurunkan berat badan berlebihan," katanya dalam nada sinis.

Manakala, bagi ikon pengacara terkemuka Datuk Aznil Nawawi, kenangan manis sepanjang 2013 adalah ketika dia dianugerahkan pangkat Datuk oleh Kerajaan Persekutuan.

"Pada bulan Februari tahun lepas, pihak Kerajaan Persekutuan telah menganugerahkan gelaran Datuk sebagai tanda penghormatan dan saya rasa sungguh terharu, pihak kerajaan nampak sumbangan saya yang telah berkecimpung selama 24 tahun dalam industri hiburan tempatan.

"Tahun 2013 juga antara tahun yang akan kekal dalam ingatan saya terutama ketika musim pilihan raya yang lepas. Ketika itu, saya turut terlibat dalam mempromosikan kempen kerajaan (Peace, Progress, Stability). Namun ada pihak yang salah anggap saya sebagai musuh mereka. Sedih, kerana fahaman politik yang berbeza, kita boleh bergaduh sesama sendiri. Malah, ada pihak yang menggunakan perkataan kasar terhadap saya," katanya.

Tambahnya lagi, azam 2014 akan didahului dengan kerja-kerja amal untuk membantu pihak yang memerlukan.

" Lagipun, saya telah lama dalam industri ini, usia juga sudah meningkat 50 tahun. Jadi sudah sampai masanya saya menumpukan lebih kepada amal ibadat yang berkekalan. Tambahan, jika kita lihat di sekitar Kuala Lumpur ini ada sahaja pihak-pihak kurang bernasib baik yang perlu diberi prihatin.

"Dengan apa yang telah saya capai, apa salahnya jika beramal ibadat seperti kepada orang yang lebih memerlukan," katanya yang turut popular dalam bidang lakonan membawa watak Profesor Klon dalam Cicakman.

Zizan terima banyak anugerah

Bagi pelakon dan juga penyanyi yang kian popular, Zizan Razak menyatakan rasa terharu dan gembiranya apabila diberi peluang menjejakkan kaki ke pentas teater.

"Ini bidang baharu yang saya ceburi dan saya bersyukur ke hadrat Illahi diberi peluang bergandingan dengan para pelakon tersohor seperti Nora Danish dan ramai lagi. Malah, sambutan yang diterima agaka mengejutkan buat seorang pelakon yang pertama kali berlakon teater. Tidak lupa juga kepada peminat yang banyak menyokong dan semua anugerah yang diterima pada tahun lalu amat bermakna buat saya.

" Kenangan pahit sepanjang tahun 2013 adalah tragedi banjir yang berlaku pada hujung tahun lalu di mana saya tidak berpeluang turut serta bersama rakan-rakan artis yang lain untuk turun meringankan beban mangsa banjir kerana jadual harian yang begitu padat. Harapan saya untuk 2014, supaya syarikat saya (Wirefame Entertainment) berkembang dengan lebih bagus dan semoga peminat Zizan bertambah," katanya.

Terkenal dengan watak Wawa yang dibawa dalam filem Adnan Sempit, pelakon dan juga pengarah filem Yana Samsudin juga mempunyai kisah tersendiri sepanjang tahun ini.

" Sebelum ini, saya terlalu sibuk dengan jadual harian, tetapi untuk tahun 2013, perjalanan karier saya sebagai seorang pelakon dan pengarah filem agak perlahan kerana ingin mengambil masa untuk diri sendiri. Bagi saya, sebagai seorang yang begitu sibuk, mempunyai masa untuk diri sendiri dan juga keluarga adalah satu kenangan manis kerana tanggungjawab sebagai anak seni tidak pernah berhenti.

" Bersyukur apabila dinobat sebagai Pelakon Filem Wanita Popular 2012, anjuran sebuah akhbar pada bulan April tahun lalu. Tambahan pula, kebanyakan filem arahan dan lakonan saya telah ditayang dan reaksi yang diterima juga amat memuaskan," katanya.

Tambah Yana lagi, semuanya elok-elok sahaja, cuma kecederaan yang dialami ketika sesi penggambaran Fear Factor di Cape Town.

"Alhamdulillah, tahun 2013 berjalan dengan baik, dan azam saya untuk 2014 adalah untuk meluaskan lagi perniagaan biskut yang semakin mendapat permintaan ramai.

"Pada tahun hadapan, filem lakonan saya berjudul Adnan Sempit Sawadikap dan drama Suamiku Jururawat yang turut menampilkan Tomok akan menemui penonton tidak lama lagi," ulasnya.

Anugerah Datuk paling bermakna

Berbeza pula dengan salah seorang lagi pelakon, pengacara radio dan juga salah seorang anggota kumpulan Jozan iaitu Johan, 2013 banyak meninggalkan kenangan manis berbanding kenangan pahit.

"Tahun 2013 menyaksikan saya menang pertandingan Maharaja Lawak Mega 2013 di samping Zizan, kemudian slot Johara turut menerima anugerah di Shout Awards baru-baru ini. Namun, apa yang paling manis adalah ketika saya dan isteri menimang cahaya mata.

" Bagi saya, ketika pembedahan lutut kiri akibat kecederaan ketika bermain bola juga merupakan satu kenangan manis di mana saya bertegang urat dengan para doktor yang tidak membenarkan saya membuat persembahan ketika peringkat akhir Maharaja Lawak Mega 2013 dan tambah manis, Jozan dinobatkan sebagai juara," ujarnya.

Ditanya mengenai kenangan pahit, Johan menjelaskan bahawa dia agak terkejut dengan desas-desus mengatakan dia dan Zizan bergaduh.

" Ada yang membawa berita yang kurang enak didengar seperti saya dan Zizan bergaduh, perkara tersebut tidak pernah berlaku. Saya harap cerita tersebut berhenti setakat itu. Bagi tahun ini, azam saya adalah untuk memberikan yang lebih baik. Walaupun tahun lalu hanya menang sekadar tempat kedua rancangan Super Spontan, saya tidak akan berputus asa kerana peluang masih terbuka.

"Insya-Allah, jika diberi kesihatan yang elok, saya ingin mengembangkan lagi perjalanan syarikat produksi saya dan yang pasti, saya akan memberikan yang terbaik untuk karier saya bersama radio Era Fm, dan akhir sekali saya bercita-cita untuk mengadakan Jozan The Muzikal khas buat para peminat yang menyokong kami selama ini, " katanya dalam nada sinis.

Kecederaan membawa tuah pada Johan

Yana bakal luaskan perniagaan biskut

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Isteri panas baran

Posted: 01 Jan 2014 06:35 AM PST

BUKAN mudah bagi Hafiz, 26, meluahkan masalah yang membelenggu dirinya. Bagi saya, Hafiz seorang lelaki yang terlalu merendah diri, katanya, apa yang dilaluinya mungkin biasa-biasa sahaja berbanding dugaan yang dilalui individu lain.

Namun saya tahu apa yang dialami Hafiz sebenarnya satu ujian untuk hamba-Nya yang terpilih, malah yang lebih membuatkan saya teruja berkongsi kisah Hafiz ialah kekuatan dirinya dalam mengharungi ujian hidupnya.

"Terima kasih kepada kakak kerana sudi mendengar kisah saya, benar, rasa terangkat lebih separuh beban tekanan dalam badan.

"Sebelum ini saya betul-betul rasa keseorangan, sebagai anak sulung saya memang tidak suka menunjukkan masalah saya mahupun berkongsi masalah dengan orang lain," ujar Hafiz membuka bicara.

Perbualan diteruskan, Hafiz banyak bercerita tentang sifatnya, dia seorang yang amat jarang hendak menunjukkan rasa tak puas hati, marah atau buat apa saja yang memburukkan keadaan secara sengaja.

Bagi Hafiz itu semua tidak berbaloi malah keadaan akan jadi bertambah sukar dan akhirnya dia perlu ambil masa yang lebih panjang untuk membetulkan keadaan.

"Sebab tu saya rasa sangat keseorangan dalam masalah saya. Sebenarnya dari kecil saya sudah biasa kena marah. Waktu saya kecil, emak selalu marah kalau tak dengar cakapnya. Abah pun sama. Kadang-kadang kena marah dengan kawan bila bergaduh, tapi itu biasalah.

"Adakala kena marah dengan cikgu pasal tidak siap kerja rumah. Bila sudah kerja kadang-kadang kena marah dengan bos. Lagi sakit hati bila kena marah tentang perkara yang bukan salah kita.

"Tapi dalam semua itu, tiada satu pun yang lebih teruk daripada saya kena marah dan kena maki dengan isteri saya sendiri. Ia begitu menyedih dan memalukan," luah Hafiz.

Sangat penyabar

Sebagai suami, Hafiz memang cukup penyabar, dia tidak pernah memarahi isterinya walaupun isterinya bersikap amat panas baran.

"Patut ke saya marah balik, lawan gaduh? Sampai sudah takkan ada yang boleh menegakkan siapa yang betul, siapa salah. Apa yang saya boleh buat hanya bersabar sahaja. Walaupun Allah saja yang tahu macam mana remuk, hancur, pedih, luluh dan cariknya hati bila kena maki macam tu daripada orang yang sangat kita sayang.

"Sakitnya tak dapat nak cerita, tak dapat nak hilang dengan tangis air mata, tak dapat nak luput dek masa, ianya sentiasa tersimpan di dalam hati yang saya tak pernah buka untuk diingat semula.

"Tapi setiap kali saya kena marah lagi, setiap kali itulah luka baru akan membuka semula luka lama. Tiada tempat untuk saya luahkan. Saya benar-benar rasa keseorangan dalam masalah ini," cerita Hafiz panjang lebar.

Hafiz sedar setiap pasangan suami isteri ada kekurangan dan kelemahan. Ada kekurangan yang memang boleh diubah dan ada juga Allah berikan ruang untuk perbaiki diri. Kalau dari segi keadaan fizikal, baik atau buruk memang tidak boleh dipersoalkan.

"Tapi, adapun tentang sikap panas baran dan cepat marah, ini adalah sesuatu yang boleh diperbaiki dan diubah, jika ada kemahuan. Walaupun bukan secara mendadak, sedikit pun tidak mengapa.

"Dia selalu minta saya ubah perangai, jangan banyak tidur, rajin buat kerja, jangan selalu lupa, jadilah lelaki yang lebih romantik dan macam-macam lagi.

"Tapi, apa usaha dia untuk jadi isteri yang baik? Panas baran macam dulu, nasihat macam mana pun macam itu juga, makin teruk lagi ada," katanya.

Hafiz berkata, dia selalu berusaha untuk menjadikan rumah tangganya lebih baik. Dia ada membaca buku dan artikel-artikel bagaimana untuk memikat hati isteri, antaranya sesekali kemaskanlah katil apabila bangun pagi sebelum isteri anda sempat mengemaskannya.

"Saya pun buatlah, tapi langsung tiada makna bagi dirinya, sebab selama ni sayalah juga yang kemas katil. Tiada penghargaan langsung yang diterima daripada isteri," luah Hafiz.

Terasa selalu dibandingkan

Hafiz sedih kerana selalu dibanding dengan kawan-kawannya yang berjaya oleh isterinya juga diherdik macam dirinya tiada perasaan.

"Setiap kali dia suka hendak banding-bandingkan saya dengan orang lain, saya rasa macam hendak menjawab, tapi tak boleh. Satu sebab saya memang penakut, bukan takut kepada isteri, tapi saya takut akan terjadi gaduh yang berhari-hari.

"Saya dah penat bergaduh. Hidup ini terlalu singkat untuk diisi dengan pergaduhan rumah tangga. Saya cuma nak wujudkan kegembiraan, tapi saya tak tahu macam mana nak puaskan hati dia," katanya.

Hafiz berkata, dia tidak pernah mahukan isterinya menjadi seperti isteri orang lain.

Katanya, adalah tidak adil untuk dirinya membandingkan seorang isteri dengan isteri yang lain, sama juga membandingkan seorang suami dengan seorang suami yang lain, kerana mereka berada dalam situasi yang berbeza.

Namun apa yang boleh dilakukan oleh Hafiz kini hanya berdoa agar satu hari nanti isterinya menyedari kesilapan sikapnya itu dan semoga Allah membimbing dirinya dan isteri ke arah kebaikan.

Azam, semangat iringi Tahun Baharu

Posted: 01 Jan 2014 06:35 AM PST

0leh Siti Aishah Yusoff

Idayu Daud (kanan) sentiasa mahukan kelainan dalam gubahan bunga.

KETIBAAN Tahun Baharu 2014 pasti disambut oleh setiap individu dengan pelbagai azam dan perancangan di minda.

Tidak kira sama ada azam yang ingin dilaksanakan itu dari aspek individual, kerjaya, keluarga mahupun untuk kepentingan dalam masyarakat dan negara.

Dalam usaha merangka dan merancang perkara-perkara yang seiring dengan kehendak dan matlamat, usaha, doa berserta tawakal adalah perkara yang perlu dinilai dan disemat dalam diri supaya matlamat tersebut dapat dicapai dengan jayanya.

Berbicara tentang azam ini, bagi individu muda yang berjaya dalam bidang yang diceburi masing-masing, Pengasas The Telekung Projek, Nurazila Abdul Aziz, 33, turut berkongsi azam dan perancangan mereka untuk terus menjadi wanita berjaya dalam bidang yang diceburi masing-masing.

Bagi Nurazila, tiada istilah sambutan tahun baharu untuknya kerana setiap hari yang dilaluinya adalah hari baharu yang dipenuhi juga dengan azam dan semangat baharu. Beliau juga percaya bahawa setiap insan mempunyai rezeki masing-masing dalam kehidupan.

"Sebagai seorang ibu, isteri dan individu yang berperanan kepada masyarakat, saya ingin mencuba peluang yang ada sebanyak mungkin melakukan yang terbaik dalam kehidupan seharian.

"Saya akan berusaha menjadi lebih efektif dari aspek pembahagian masa yang lebih seimbang dan pengurusan kehidupan yang lebih baik," katanya.

Mengulas lanjut tentang The Telekung Projek yang diusahakannya secara sukarelawan sejak tiga tahun lepas, beliau berharap projek tersebut menjadi platform terbaik untuk beliau dan rakan -rakan lain yang terlibat dalam projek ini sentiasa berhubung dan mengekalkan ukhwah dengan bersatu dalam satu matlamat untuk mendidik masyarakat.

"Pada tahun akan datang setelah melihat perkembangan positif dan respon baik daripada pelbagai pihak, saya berazam untuk melibatkan kanak-kanak dalam satu lagi usaha melalui projek Mummy we love Solat yang bakal diadakan pada tahun hadapan. Projek sukarelawan yang melibatkan kanak-kanak ini adalah usaha untuk mendidik mereka membuat kerja sukarelawan dari usia kecil supaya nilai-nilai baik dari program dapat dipupuk dalam diri mereka.

"Projek yang bakal dilaksanakan ini asalnya adalah dari projek wakaf yang diilhamkan apabila melihat ramai kanak-kanak yang mengikuti ibu mereka tidak diajak solat sekali ketika ibu sedang menunaikan solat. Mereka lebih suka menghabiskan masa dengan bermain dengan gajet seperti ipad dan tablet.

"Melalui program ini, kami akan mulakan projek terbaru ini dengan menyediakan satu almari berwarna merah jambu berserta telekung bersaiz kanak-kanak di setiap surau yang terpilih. Diharap cara ini terbaik untuk mendidik kanak-kanak tersebut turut menunaikan solat bersama-sama ibu mereka," jelasnya.

Kesedaran masyarakat

Beliau menambah, melalui projek terbaharu yang akan turut diuruskan oleh anaknya itu, beliau ingin melihat sejauh mana kesedaran masyarakat terhadap keperluan orang di sekeliling selain mendidik mereka untuk menjadi lebih kreatif dan peka dengan keadaan yang berlaku di sekeliling.

"Projek terbaharu ini juga akan melihat sejauh mana keberkesanannya dalam mendidik kanak-kanak menjadi lebih bertangung gjawab. Kita juga ingin melihat adakah kanak-kanak mempunyai sikap yang lebih prihatin terhadap nilai menjaga kebersihan telekung wakaf yang digunakan mereka berbanding orang dewasa yang lebih berilmu," katanya.

Ditanya mengenai cabaran, beliau akui dirinya juga tidak terlepas melalui cabaran-cabaran yang sentiasa menjadikannya seorang wanita dan sukarelawan yang lebih tekun berusaha mendidik masyarakat ke arah menjadi lebih baik terutama menjaga kebersihan terutama apabila ingin mengadap 'Allah'.

"Cabaran sebagai seorang sukarelawan saya berdepan untuk terus istiqamah dalam projek yang dilaksanakan.

"Tidak dinafikan pembahagian masa dan tanggung jawab sebagai seorang ibu dan anak juga menjadi cabaran, namun saya cuba berusaha menjadi ibu dan isteri yang terbaik untuk mereka. Jika ada sebarang kritikan dan asakan negatif yang mendatang, saya akan cuba tangani dengan kental dan kuat," jelasnya.

Lebih berjaya

Bagi pemenang Gubahan Bunga di Pertandingan Orkid Antarabangsa ketujuh di Sanya, China, 2013, Idayu Daud, 33, mengakui beliau berharap menjadi lebih berjaya dalam bidang gubahan bunga.

"Saya sedang mengusahakan modul untuk jabatan pembangunan kemahiran bagi menjadi tenaga pakar negara yang diiktiraf dalam bidang ini. Jika usaha saya berjaya diharap akan lahir lebih ramai penggubah bunga dalam kalangan bumiputera yang ingin mencebur dalam bidang ini.

"Dalam masa yang sama, saya juga telah menubuhkan kelab pereka gubahan Malaysia dan berharap supaya lebih ramai individu akan menyertai kelas-kelas gubahan yang akan dianjurkan nanti," kata pemilik Ratwo Bunga Enterprise ini.

Tambahnya, dari segi cabaran beliau turut tidak terlepas menghadapi kesukaran mendapatkan modal dan dana bagi menyertai kursus-kursus profesional gubahan bunga dalam dan luar negara, tetapi dengan usaha yang gigih dan semangat yang kental beliau yakin dapat mengatasi masalah itu.

Beliau juga menasihatkan kepada mereka yang meminati bidang ini untuk terus menimba ilmu dan berani untuk mengubah bunga dengan cara terbaharu dan kreatif mengikut gaya terkini.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved