Rabu, 1 Januari 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Disenangi anak-anak kecil

Posted: 01 Jan 2014 06:35 AM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ZAKARIA IDRIS

SITI Mastura mempunyai petua sendiri untuk menjaga kesihatannya.

JARANG ada model yang hendak membawa bersama anak saudara yang masih kanak-kanak tatkala datang ke studio untuk fotografi. Namun Siti Mastura Saleh, 27, sanggup membawa bersama anak saudara sebelah suaminya bernama Anis untuk menemaninya.

Nampak hubungan keduanya begitu akrab dan Siti Mastura atau ringkas dengan panggilan Mastura pandai melayani kerenah kanak-kanak dan Anis pula bijak membawa diri dan tidak membuat hal.

Kata Mastura, Anis yang tinggal bersama neneknya di Kedah datang ke Kuala Lumpur semasa cuti sekolah ini dan dapat juga dia membawa Anis berjalan-jalan dengan membawanya bersama ke studio Utusan.

Walaupun masih belum dikurniakan anak setelah sembilan bulan mendirikan rumah tangga namun ternyata Mastura tidak kekok dengan kanak-kanak. Tutur katanya yang lemah-lembut dan bercakap perlahan sambil sesekali diselangi tawa jelas menceritakan bahawa Mastura disenangi walaupun oleh kanak-kanak.

Menurut anak keempat daripada lima beradik ini anak-anak saudara baik anak-anak saudara sendiri atau anak-anak saudara sebelah suami memang rapat dengannya. Apabila cuti sekolah, rumahnya akan dikunjungi dan jika berpeluang, beliau akan membawa mereka berjalan-jalan.

Walaupun sibuk dengan bisnes fesyen atas talian miliknya yang dinamakan Mas Hijjab Couture dan juga bidang peragaan namun Mastura tetap memperuntukkan masa dengan keluarga jika mereka datang ke rumahnya.

Bercerita mengenai bisnes fesyen yang baru dua tahun dimulakan di rumah, kata Mastura, bisnes fesyen muslimah dan tudung sudah lama menjadi idamannya. Justeru itu, beliau tidak begitu berminat untuk mencari pekerjaan dengan mendapat gaji bulanan.

Mempunyai asas ilmu dan pengalaman dalam bidang fesyen, Mastura berasa rugi jika beliau tidak mempraktikkan ilmu yang dipelajari.

Memiliki Diploma dalam bidang Rekaan Fesyen dan Ijazah Sarjana Muda Peruncitan Fesyen daripada Universiti Limkokwing, Mastura tidak mahu mempersiakan-siakan ilmu yang dipelajari.

"Saya merupakan salah seorang pelajar generasi baru anak Felda yang terpilih dan menjadi pelajar contoh untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Limkokwing,'' kata Mastura yang berasal dari Felda Lepar Hilir 1, Pahang.

Dipilih ke London

"Semasa dalam projek akhir di peringkat ijazah, saya telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke London di bawah biasiswa Felda dengan projek saya bertajuk Scarves. Scarves telah menarik hati pihak universiti dan memberi peluang kepada saya mengembangkan projek saya itu di luar negara.

"Di antara lima orang pelajar bidang fesyen yang terpilih ke London cuma saya seorang sahaja yang bertudung. Jadi saya harus membuktikan bahawa dengan berhijab juga seseorang itu boleh berfesyen.

"Antara cabaran yang saya hadapi ketika berada di negara orang ialah bagaimana hendak menjadikan skaf menarik untuk digayakan. Bukan sahaja untuk menutupi kepala tetapi juga saya jadikan aksesori fesyen yang boleh dililit di leher, diikat di pinggang, dijadikan baju, skirt dan sebagainya.

"Mungkin juga ramai yang tidak tahu bahawa dengan sehelai skaf, kita boleh mempelbagaikan gaya. Apabila digayakan dengan gaya ternyata ramai yang menyukai.

"Pelbagai gaya skaf bercorak dan polos saya tunjukkan dan respon yang diperoleh begitu baik. Saya juga berpeluang belajar di beberapa butik ternama dan salah satunya ialah butik Jimmy Choo milik rakyat Malaysia yang menempa nama di negara orang.

"Ini merupakan salah satu kenangan manis saya di sana. Orang di sana sangat fokus apabila bekerja. Mereka tidak main-main dan begitu tekun,'' ujar Mastura.

Jelas Mastura lagi, setelah menamatkan pengajian, gambar-gambarnya terpilih menjadi penghias buku dan video di Universiti Limkokwing bagi memberi contoh dan menjadi motivasi kepada anak-anak Felda lain supaya berusaha lebih gigih.

2014 keluarkan Pura by Mas Hijjab

Menurut Mastura, beliau pernah merancang untuk mengeluarkan koleksi fesyen sendiri dan Tahun Baharu 2014 ini impian beliau itu telah menjadi kenyataan apabila koleksi fesyen dres Pura by Mas Hijjab kini boleh diperoleh oleh peminat-peminat fesyen muslimah.

Berkolaborasi dengan seorang kawan, Siti Safuraa Hamzah, Mastura berkata, koleksi dres ini berpotongan puteri (princess cut), terdiri daripada warna-warna gelap namun cantik dan dibuat daripada fabrik lycra, satin serta fabrik yang boleh disuai padan.

Koleksi fesyen Pura by Mas Hijjab ini katanya, boleh digayakan ke banyak tempat seperti ke majlis, kasual atau ke pejabat. Dengan kata lain ujar Mastura, koleksi ini merupakan multi purpose dres dan tidak rugi membelinya.

Berharga di antara RM50 hingga RM200, Mastura turut mempunyai perancangan untuk memiliki butik sendiri apabila bisnes yang dimulakan ini sudah mula berkembang dan menampakkan kejayaan.

Jelas Mastura, kebolehannya menjahit sendiri pakaian yang hendak dihasilkan merupakan satu bonus kepadanya kerana beliau tidak perlu menempah kepada orang lain. Untuk itu, beliau berterima kasih kepada pensyarah-pensyarahnya semasa sedang menuntut dahulu dan sehingga kini beliau masih merujuk kepada mereka jika ada sebarang masalah.

"Bila-bila masa sahaja jika saya ada masa lapang, saya akan memotong kain dan terus menjahit. Sehari saya boleh siapkan dua pasang dres. Kalau kita tempah, paling cepat siap ialah dua minggu. Harga tempahan pula mahal. Kalau kita jual baju kita mahal atas talian, nanti tiada orang hendak beli.

"Selain itu, apabila ada idea, saya akan lakar sendiri dan jahit fesyen yang saya rasakan akan mendapat sambutan. Saya juga membantu menjahit baju kawan-kawan yang mempunyai bisnes butik. Setakat ini saya telah menyiapkan lebih daripada 200 pasang baju.

"Sebenarnya saya sudah menjahit baju sejak saya belajar di university lagi bagi menambah duit poket,'' ujar Mastura yang kini sedang menyiapkan buku mengenai fesyen dan akan diterbitkan tidak lama lagi.

Menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan generasi muda supaya berniaga, Mastura sering mengambil bahagian dalam aktiviti berniaga di bazar.

Di antara bazar yang sering disertainya ialah Propaganda Fest di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan bazar di Dataran Merdeka.

"Seronok berniaga di bazar kerana ramai golongan muda dan remaja yang dating. Mereka mencari barang-barang murah tetapi cantik dan jarang ditemui. Saya pula menjual pelbagai jenis selendang kain kapas dengan bermacam corak dan warna pada harga di antara RM5 hingga RM20.

"Sambutan memang bagus kerana beratus helai selendang dapat dijual. Biasanya seorang pelanggan akan membeli sehingga lima helai. Biasanya pelanggan yang sama ini akan datang lagi pada minggu hadapannya,'' kata Mas yang turut dibantu oleh suaminya, Mohd Tazrul Hisham Mohd Tab.

Menurut Mastura lagi, beliau juga turut menerima tempahan membuat baju pengantin dan memberikan konsultasi kepada pasangan bakal pengantin mengenai fesyen, warna dan potongan bagaimana yang sesuai dengan mereka.

Pengalaman ditipu

Sebagai orang baru dalam bisnes, Mastura berkata, beliau tidak terkecuali daripada menjadi mangsa penipuan. Bagaimanapun beliau menganggap semua itu sebagai pelajaran dan tidak mahu berputus asa.

"Saya pernah menerima tempahan untuk membuat banyak baju. Saya buat paten dan lakaran dan sudah pun menyiapkan banyak pasang. Namun tiba-tiba pihak yang menempah tersebut kata saya tak pandai buat dan mengambil semua tempahan dengan paten saya sekali tanpa membayar apa-apa kepada saya.

"Memang saya kecewa kerana kalau saya tak pandai kenapa dia ambil paten saya sekali. Untuk meredakan kekecewaan, saya reda dan menganggap itu bukan rezeki saya. Saya anggap cabaran sebagai sesuatu yang normal dalam kehidupan,'' katanya yang menjadikan sokongan suami dan keluarga sebagai pembakar semangat kepadanya.

Beliau juga berazam untuk mempunyai rakan niaga di bawah Mas Hijjab di setiap negeri di Malaysia tidak lama lagi.

Pencapaian Siti Mastura Mohamad Saleh

Pelajar contoh anak Felda yang menuntut di Universiti Limkokwing.

Juara dan Gadis Favourite pencarian Cover Girl Dara.com tahun 2009.

Finalis Program Realiti Gadis Melayu 3 TV 9 pada tahun 2010.

Pelajar cemerlang kursus fesyen dan dianugerahkan Young Achiever daripada Tan Sri Lim Kok Wing.

Mengikuti kursus fesyen di PUNB dan menjadikan Salikin Sidek sebagai mentornya.

Amalan menjaga kecantikan dan kesihatan Siti Mastura

Mengamalkan minum air sirih setiap pagi untuk awet muda. Tujuh helai sirih direbus setiap hari dan diminum satu cawan air sirih tersebut. Lakukan selama tujuh hari.

Selepas itu, rebus sembilan helai pula setiap hari dan minum satu cawan selama sembilan hari. Kemudian 11 hari dengan cara yang sama. Jangan minum semasa datang haid.

Amalan ini bagus untuk mengubati luka dalaman dan menjaga kulit.

Untuk masker pula, Mastura menggunakan putih telur yang dicampur susu. Ini menjadikan kulit nampak bersih dan cerah.

Makan kurma sebiji setiap hari.

Tidak langsung mengambil pil bila sakit.

Pakaian MAS HIJJAB COUTURE, FB: SITI MASTURA, INSTAGRAM: MASHIJJAB (QASEHMAS)

Solekan SHERRY (013-3688543)

Labuh, longgar pilihan 2014

Posted: 01 Jan 2014 06:35 AM PST

Baju rekaan dahulu akan kembali diminati.

BERTANYA pendapat pereka fesyen tradisional dan busana pengantin tersohor tanah air, Salikin Sidek, beliau berkata, fesyen 2014 akan lebih kepada rekaan yang moden dan kontemporari.

Tambah Salikin yang bercakap mengenai busana pengantin, ramai pelanggan yang datang ke butiknya mahukan fesyen pengantin seperti dres yang dibuat daripada songket atau songket yang digabungkan bersama fabrik renda.

"Kebaya pendek kini menjadi pilihan kerana mahu nampak moden dan kontemporari. Begitu juga dengan potongan baju kurung moden yang ketat menjadi fesyen utama untuk bersanding.

"Fesyen seperti ini saya dah buat 10 tahun lalu namun kini orang sudah mulai suka fesyen sedemikian.

"Dari segi warna pula, pengantin sekarang berani mencuba kelainan dengan memilih warna-warna yang gelap seperti kelabu, hitam, coklat tua, ungu gelap dan hijau lumut. Warna-warna ini kemudian dikontrakan pula dengan pemakaian aksesori warna perak dan emas yang menaikkan keserian pengantin,'' kata Salikin yang telah 30 tahun terlibat dengan industri fesyen pengantin.

Lari daripada fesyen pengantin, ujar Salikin lagi, wanita sekarang menyukai potongan baju pendek seperti baju Kedah pendek dan juga dres yang dibuat daripada batik.

Menurut beliau, jubah panjang atau dres labuh atau maksi masih menjadi pilihan utama wanita yang bertudung kerana mudah dan selesa dipakai. Walaupun jubah namun nampak seperti dres dan mengikut potongan badan dan cantik apabila digayakan bersama sedikit aksesori atau tudung.

Biasanya golongan wanita yang berusia 30- an ke atas menyukai fesyen dres atau jubah labuh ini kerana longgar dan boleh dipakai sama ada ke pejabat, majlis atau berjalan-jalan.

"Warna-warna gelap atau warna musim luruh akan menjadi pilihan pemilik butik atau pereka fesyen kerana warna-warna seperti ini dapat menyembunyikan susuk tubuh si pemakai apa lagi mereka yang berbadan gempal,'' ujar Salikin yang telah menghasilkan dua buah buku mengenai fesyen dan sedang dalam proses menerbitkan buku ketiga beliau yang bertajuk Busana Kontemporari Seniwati Melayu.

Beliau juga merupakan ikon bagi Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka dan menjadi hakim untuk Pertandingan Kemahiran Malaysia serta pajar negara dalam bidang teknologi fesyen di World Skill Competition yang diadakan di Jerman pada tahun 2012.

Salikin juga kerap dijemput untuk memberikan ceramah fesyen kepada guru-guru kemas dan Institut Kemahiran Belia bagi memantapkan kemahiran seni jahitan dan fesyen.

Sementara itu, Ezuwan Ismail pula berpendapat fesyen ala 90- an dijangka akan muncul semula memeriahkan dunia fesyen 2014.

Ezuwan yang memiliki Diploma Seni dan Reka daripada International Fashion and Training Centre (IFTC) berkata, potongan seluar yang besar dan longgar seperti baggy akan diminati semula dan blaus yang berbutang daripada atas ke bawah menjadi pilihan ramai wanita.

Memiliki butik sendiri, Ezuwan Ismail yang terletak di Dagang Avenue, Taman Dagang, Ampang, Ezuwan berkata, jika 2013 menyaksikan orang menggemari kepada corak-corak haiwan, kereta, kupu-kupu, corak seperti ini masih disukai pada 2014 ditambah dengan corak grafik dan bohemian.

"Bagi fesyen yang moden, jaket dan baju panas akan dijahit dengan banyak perincian seperti sulaman dan manik. Baju daripada fabrik renda atau fabrik nipis dan jarang tetap disukai oleh golongan remaja.

"Warna-warna blok atau warna terang mulai kurang digemari sebaliknya orang lebih menyukai warna-warna seperti baby blue, kelabu, warna pasir, ungu, jingga dan warna lemak ketam.

"Tempoh lewat 2013 yang lalu, ramai wanita yang menyukai fesyen suai dan padan, dres longgar, seluar dan skirt labuh yang dipakai bersama baju panas. Namun 2014 ini dres lebih digemari oleh muslimah kerana potongannya yang longgar dan paling penting, senang dipakai dan selesa,'' kata Ezuwan yang kini melebarkan sayap fesyennya ke Brunei, Sabah dan Sarawak kerana permintaan yang menggalakkan.

Ezuwan juga akan mengeluarkan koleksi sedia dipakai (ready to wear) seperti blaus shift yang sesuai dipakai ke tempat kerja, kasual atau untuk majlis juga jaket dan dres yang sesuai untuk yang bertudung dan tidak. Koleksi ini katanya boleh diperoleh pada harga RM150 ke atas dan di bawah RM500. – MERAN ABU BAKAR

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved