Rabu, 1 Januari 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Sesi persekolahan tidak terjejas

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Murid tahun satu mengangkat tangan sambil menunjukkan simbol satu sempena sesi persekolahan 2014 di SK Haji Hassan Itam, Simpang Empat Kangkong, Alor Setar, Kedah, semalam. - Utusan/Ismail Kamadin

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Banjir di Terengganu awal bulan lalu tidak menjejaskan sesi persekolahan apabila semua 19 sekolah yang terlibat banjir memulakan sesi persekolahan seperti biasa hari ini.

Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Husin berkata, sekolah yang terlibat dengan banjir telah dibersihkan, sebelum sesi persekolahan bermula.

"Kesemua sekolah tersebut sudah dibersihkan dan kesemua perabot di sekolah yang terjejas sudah diganti. Begitu juga dengan buku teks dan keperluan alat pembelajaran yang lain," katanya selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Terengganu, Ghazali Taib melawat seorang murid istimewa di SK Kuala Telemong, di sini hari ini.

Zakaria menambah, untuk tahun ini, seramai 17,481 murid memasuki tahun satu di 350 sekolah rendah manakala seramai 21,923 pelajar tingkatan satu memulakan sesi persekolahan di 143 sekolah menengah.

"Daripada jumlah itu, seramai 426 pelajar merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) yang cacat fizikal mengikuti persekolahan aliran kelas perdana pada tahun ini," katanya.

Murid pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan dan keperluan khas pula seramai 2,293 (sekolah rendah) dan 1,304 (sekolah menengah).

Zakaria juga memaklumkan bahawa terdapat sebuah sekolah baharu mula beroperasi pada tahun ini iaitu Sekolah Kebangsaan Tengir dekat Manir di sini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa semua sesi persekolahan termasuk di negeri yang dilanda banjir bermula seperti dijadualkan, iaitu hari ini di Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala esok untuk negeri-negeri lain.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menambah sesi persekolahan di Sarawak yang bermula Khamis, boleh ditangguhkan sementara waktu jika keadaan banjir di negeri itu bertambah buruk.

Di ALOR SETAR, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat memberitahu, seramai 33,467 pelajar memasuki tahun satu di 543 sekolah rendah di negeri ini iaitu meningkat sebanyak 2,222 pelajar berbanding tahun lepas.

Katanya, seramai 27,969 pelajar mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK), 3,842 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan 1,656 pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau berkata, pelajar tingkatan satu pula seramai 36,328 pelajar mendaftar di 185 sekolah iaitu meningkat 4,272 pelajar berbanding tahun lepas.

Mansor berkata, untuk tahun ini sebuah sekolah rendah dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Laguna, Merbok dalam daerah Kuala Muda, manakala dua sekolah menengah baharu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun dalam daerah Kubang Pasu dan SMK Taman Ria di Kuala Muda.

"Tiga sekolah tersebut mula beroperasi hari ini," katanya ketika mengiringi Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan melawat SJKT Barathy di sini hari ini.

Di KOTA BHARU, seramai 25,672 pelajar tahun satu dan 32,910 pelajar tingkatan satu memulakan sesi persekolahan di 418 sekolah rendah dan 173 sekolah menengah.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar memandangkan proses pendaftaran telah diadakan sebelum hari persekolahan dibuka.

"Proses pendaftaran dan pengagihan buku teks telah dibuat dua hari sebelum hari persekolahan dan ia dapat menjimatkan masa serta tidak mengganggu P&P," katanya.

Seramai 15,525 murid prasekolah turut memulakan sesi persekolahan hari ini yang melibatkan 655 bilik darjah.

"Murid prasekolah ini merupakan program kerajaan bagi anak-anak berumur enam tahun yang ibu bapa mereka berpendapatan rendah. Setiap sekolah mempunyai dua atau tiga bilik darjah bagi murid prasekolah ini," katanya. - BERNAMA

Kak Nik curi perhatian murid, guru di SK Telemong

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Guru kelas 1 Syafie, Nuzaimah Lokman membantu Nur Damia Irsalina untuk menulis sambil berbaring semasa sesi pembelajaran di SK Kuala Telemong, Hulu Terengganu, semalam. - Bernama

HULU TERENGGANU 1 Jan. - Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 7, bangkit awal pagi hari ini dan terus meminta pakaian seragam yang dibelikan ibunya, seakan tidak sabar untuk ke sekolah.

Ditemani ibu dan ayah, kemunculannya berkerusi roda di Sekolah Kebangsaan (SK) Telemong menjadi perhatian umum, namun hari pertama alam baharu dilalui dengan perasaan cukup teruja dan gembira ketika kanak-kanak sebayanya ada yang menangis dan menunjukkan rasa bosan.

Anak istimewa yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan itu seolah-olah langsung tidak merasakan perbezaan dengan rakan-rakan di kelas 1 Syafie dan perhatian mereka terhadapnya tidak menganggu tumpuan penerangan dan pengajaran gurunya, Nur Zaimah Lokman.

"Saya gembira ke sekolah, belajar dan boleh dapat ramai kawan. Bila besar nanti saya ingin menjadi doktor seperti ayah," katanya ketika ditemui di sekolahnya dekat sini hari ini.

Dia yang membahasakan diri sebagai 'Kak Nik' tidak kekok menulis dan begitu petah bercakap, selain tidak teragak-agak menjawab soalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat yang melawat sekolah tersebut.

Anak ketiga daripada empat beradik itu ditempatkan di sekolah harian biasa dan ramai yang membayangkan dia akan berdepan dengan kesukaran melalui hari-hari persekolahannya dengan keadaan fizikal sebegitu.

Namun bagi ibunya, Rosnaini Mohamad, 36, seorang jururawat dan ayahnya Dr. Daeng Malis Ab. Kahar, 43, yang merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah universiti di sini tidak bimbang kerana telah melakukan pelbagai persediaan.

Kisah Nur Damia Irsalina menjadi perhatian media apabila berkesempatan menemui pakar motivasi terkenal dari Australia, Nick Vijicic yang mengalami kecacatan sepertinya, ketika selebriti istimewa itu ke Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Sementara itu, Daeng Malis bersyukur kerana hari pertama persekolahan anaknya itu berjalan lancar terutama dengan penyediaan laluan khas oleh pihak sekolah bagi memudahkan pergerakan menggunakan kerusi roda bermotor yang ditempah khas berharga RM10,000 daripada pengasas Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron.

"Kak Nik sudah mahir menggunakan alat itu walaupun baru semalam kerusi roda bermotor ini diperolehi. Saya berterima kasih kerana pihak sekolah berusaha memudahkan pergerakan Kak Nik.

"Isteri saya akan menemani Kak Nik bagi memastikan proses persekolahan berjalan lancar termasuk mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan agar dapat menemani Kak Nik belajar di sekolah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah di Kampung Lubuk Batu," katanya.

Walau bagaimanapun, Daeng Malis berkata, dia dan isteri akan mencari pembantu untuk menguruskan pembelajaran Nur Damia Irsalina di dalam kelas terutama bagi mengambil buku dan alat tulis serta ke kantin dan tandas.

Sementara itu, menurut Ghazali, pihaknya akan memanggil ahli akademik dari Kolej Universiti TATi untuk membantu Nur Damia Irsalina terutama dalam menambah baik kerusi roda untuk kegunaan murid tersebut serta kemudahan lain.

"Insya-Allah kerajaan negeri akan memikirkan sesuatu untuk membantu Nur Damia Irsalina, malah bantuan seperti ini tidak hanya terhad kepadanya seorang tetapi kanak-kanak lain yang memerlukan,'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved