Rabu, 7 Mei 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pelajar ditahan kes penemuan mayat bayi dalam pam tandas

Posted: 07 May 2014 09:14 PM PDT

PERMATANG PAUH 8 Mei - Seorang pelajar tingkatan empat ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki dalam pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, pelajar berkenaan ditahan di rumahnya di Butterworth petang semalam iaitu beberapa jam selepas mayat bayi berkenaan ditemui.

Katanya, polis sedang mengesan teman lelaki pelajar berkenaan yang berusia 18 tahun yang dipercayai tinggal di daerah ini. - UTUSAN ONLINE

Ibu, 2 anak rentung rumah terbakar

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.my

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran di Tabuan Hulu yang meragut tiga nyawa di Kuching, semalam.

KUCHING 7 Mei - Seorang suri rumah bersama dua anak perempuannya yang berusia tiga dan lima tahun maut dalam kebakaran membabitkan sembilan buah rumah di Kampung Tabuan Hulu di sini hari ini.

Mayat Anisa Ramblee, 26, serta dua anaknya Siti Nordiana Mohd. Hazmi, 3, dan Siti Norhaza Mohd. Hazmi, 5, ditemui rentung dalam kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.20 pagi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mayat tiga beranak itu ditemui oleh anggota bomba yang berjaya memadam kebakaran tersebut.

"Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dalam sebuah bilik tidur dan siasatan awal pihak bomba percaya rumah keluarga itu merupakan punca kebakaran bermula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Roslan berkata, mayat tiga beranak itu sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii ketika ditemui di lokasi kejadian memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.29 pagi.

Katanya, seramai 40 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Padungan dan Batu Lintang termasuk Unit Bermotor Bomba segera dihantar ke tempat kerja untuk operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran.

"Pihak bomba yang tiba dalam tempoh lima minit selepas mendapat panggilan berjaya mengawal api daripada terus merebak pada pukul 11.09 pagi.

"Operasi memadam api menghadapi masalah akibat tekanan air rendah dan hanya ada satu pili bomba terdapat di situ," katanya.

Ling Hi memberitahu, selain tiga mangsa yang ditemui rentung, terdapat dua lagi kanak-kanak perempuan dan seorang anggota bomba cedera dalam kejadian itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


PBNP belum bercadang sekat penyokong JDT

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Anggota polis mengarahkan penyokong JDT bersurai setelah mereka berkumpul di luar stadium dan mendesak agar penyokong dan pemain Pahang keluar selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Johor Bahru pada Isnin lalu. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Sekali pun sedar perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 30 Mei ini berisiko untuk 'panas', pihak Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tidak memikirkan untuk menghalang penyokong lawan hadir ke Stadium Darul Makmur.

Walaupun tidak menolak idea melarang penyokong lawan hadir bagi mengelak ketegangan antara penyokong tercetus, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim berkata, tindakan itu akan dibincangkan dengan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Namun, Fuzzeimi mengakui buat masa ini mereka masih mengikut idea asal dengan memberikan hak kepada penyokong JDT untuk hadir tanpa sebarang masalah.

"Tidak, masih belum ada (melarang penyokong JDT untuk hadir) cadangan sebegitu kerana buat masa ini perlawanan antara Pahang dan JDT masih akan diuruskan seperti mana perlawanan-perlawanan lain.

"Jika ada, segalanya akan diputuskan oleh Presiden sendiri dan mesti mendapatkan kebenaran daripada FAM jika kami hendak membuat langkah sedemikian rupa.

"Apa yang kami boleh lakukan adalah mempertingkatkan langkah keselamatan sambil mengharapkan kerjasama daripada penyokong yang hadir supaya tidak melakukan sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan melarang peminat JDT hadir ke Stadium Darul Makmur kelak kerana dibimbangi akan tercetus pergaduhan antara penyokong.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengutarakan cadangan itu berkata, langkah itu akan dipertimbangkan memandangkan perseteruan antara penyokong JDT dan Pahang semakin menebal kebelakangan ini.

Melalui langkah itu, penyokong lawan yang hadir secara berkumpulan terutama yang dikenali sebagai Inter Johor Firm (IJF) tidak boleh ke stadium bagi mengelakkan pergaduhan dengan penyokong tuan rumah seperti yang berlaku ketika perlawanan Liga Super pada 7 Februari lalu.

Sekatan itu perlu dilakukan di hadapan pintu masuk stadium selain pengecaman penyokong lawan boleh dilakukan melalui pemakaian atau pengangkutan yang sama kerana kebanyakan daripada mereka akan hadir menggunakan bas atau berkonvoi menggunakan kereta.

Pada Isnin lalu, kira-kira 1,000 penyokong JDT berkumpul di perkarangan stadium dan mendesak pemain dan penyokong Pahang keluar. Seorang jurukamera sambilan RTM pula mendakwa disepak penyokong JDT.

Mengulas perkara yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Seri Afandi Hamzah, masih menaruh harapan kepada kemampuan PBNP untuk mengawal keselamatan pada hari perlawanan.

"Saya masih meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak tuan rumah untuk mempertingkatkan langkah keselamatan menjelang perlawanan separuh akhir kedua walaupun saya tahu aksi kedua-dua pasukan ini pasti akan 'panas'.

"Berdasarkan pengalaman yang ada pada tuan rumah pada perlawanan-perlawanan sebelum ini, saya yakin Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tahu mengendalikan situasi sebegini.

"Langkah tidak membenarkan penyokong itu memang ada dibincangkan, tetapi JKPT masih mahu memberi peluang kepada penyokong lawan untuk hadir dan keselamatan dipertingkatkan," katanya ketika dihubungi.

Penyokong Harimau Selatan marah

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

JOHOR BAHRU - Kesediaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mempertimbangkan kemungkinan tidak membenarkan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) hadir pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara pasukan itu dan Pahang di Stadium Darul Makmur 30 Mei ini nyata tidak disambut baik oleh penyokong skuad Harimau Selatan.

Akaun Facebook tidak rasmi yang diwujudkan penyokong JDT menjadi medan mereka meluahkan rasa tidak puas hati, malah ada yang menganggap langkah yang kemungkinan diambil oleh FAM itu sebagai berat sebelah.

Mereka juga mendakwa apa sahaja tindak tanduk penyokong skuad Harimau Selatan itu ada sahaja yang tidak kena di mata FAM.

Tidak kurang juga yang menuding jari kepada pihak media yang didakwa hampir kesemuanya adalah boneka kepada FAM apabila menulis berita yang mereka dakwa berniat melaga-lagakan penyokong serta mempunyai unsur dengki untuk menjatuhkan mereka berbanding media asing yang galak memuji usaha dilakukan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Antaranya, admin Facebook dengan akaun Johor Darul Takzim FC, laman page penyokong setia pasukan bola sepak negeri Johor memuat naik status berbunyi "Kami dilempar batu di Pahang FAM besarkan cerita ini tak? Kami dilempar batu di Perak FAM besarkan cerita ini tak? Penyokong Pahang terperangkap dua jam sudah mahu denda JDT main tanpa penyokong selama empat perlawanan berturut-turut. Jangan sampai orang benci anda wahai FAM. Kenapa perlu berbuat demikian terhadap JDT."

Facebook Johor Darul Takzim Cyber Fan Club, laman Kelab Peminat Bola Sepak Johor Bahru pula memuat naik gambar keratan akhbar tempatan yang melaporkan mengenai langkah yang akan diambil FAM dengan status "Terima Kasih FAMB" yang kemudiannya mengundang pelbagai komen yang nyata tidak menggembirakan selain kata-kata sinis dan kurang manis kepada FAM.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, FAM bersedia untuk memikirkan langkah tidak membenarkan penyokong JDT hadir pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara pasukan itu dan Pahang di Stadium Darul Makmur pada 30 Mei ini berikutan ketegangan antara penyokong sewaktu perlawanan pertama pada Isnin lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, mereka sedang mengkaji pelaksanaan idea berkenaan memandangkan pelbagai langkah sudah diambil sebelum ini, termasuk meningkatkan soal keselamatan ke tahap maksimum.

Aksi hebat JDT dan Pahang yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Isnin lalu dirosakkan oleh sikap kira-kira 1,000 penyokong pasukan tuan rumah yang berkumpul di luar perkarangan stadium selepas tamat perlawanan dan mendesak penyokong pelawat serta pemain Pahang keluar dari stadium.

Namun, tindakan pantas polis yang sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan berjaya mengawal keadaan dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Perkasa usahawan bumiputera

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Shahiruddin Ab. Moin (tiga dari kanan) melancarkan Jelajah Informasi Usahawan Pahang peringkat daerah di Bentong, baru-baru ini.

BENTONG 7 Mei - Kerajaan negeri mencetak sebanyak 35,000 naskhah buku kecil dikenali Passport to Success mengenai perkhidmatan yang disediakan kerajaan dalam agenda pemerkasaan usahawan bumiputera di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, secara purata sebanyak 3,000 naskhah akan diedarkan kepada orang ramai di 11 daerah sempena program Jelajah Informasi Usahawan Pahang.

Menurutnya, terdapat 30 agensi kerajaan dan badan berkanun terkandung dalam buku berwarna kuning itu mengandungi pelbagai maklumat aktiviti ekonomi yang boleh disertai usahawan di negeri ini.

"Mereka yang berminat dalam bidang keusahawanan boleh merujuk buku kecil tersebut dengan mengandungi antaranya skim pembiayaan pinjaman, khidmat nasihat, sokongan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Informasi Usahawan Pahang peringkat daerah dengan yang dianjurkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Padang Awam Bentong, di sini kelmarin.

Katanya, matlamat kerajaan negeri adalah mahu lebih ramai usahawan bumiputera terbabit secara langsung dalam bidang pembuatan, pembinaan, pengurusan dan pentadbiran.

Tambahnya, sudah ada beberapa usahawan bumiputera dalam bidang terbabit mampu bersaing di dalam dan luar negara.

"Kerajaan tetap menyalurkan pelbagai bantuan kepada masyarakat yang berminat menceburkan diri dalam sektor keusahawanan kerana mempunyai masa depan lebih baik," katanya.

Menurutnya, melalui program itu akan dapat memberi kefahaman, maklumat terperinci berkaitan pelaksanaan Program Jelajah Informasi Usahawan Pahang kepada seluruh masyarakat terutama mereka yang ingin menceburi dalam bidang berkenaan.

Pemimpin lama perlu terus berjuang

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

TEMERLOH 7 Mei - Tiada noktah dalam kamus perjuangan bekas pemimpin UMNO kerana mereka perlu terus berjuang bersama-sama kepimpinan baharu bagi memperkasakan lagi parti keramat itu.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, semua bekas pemimpin UMNO perlu terus memainkan peranan penting dalam memastikan parti keramat itu terus relevan dan mendapat sokongan padu rakyat khususnya dalam pilihan raya umum akan datang.

"Pengalaman yang ada dalam diri pemimpin-pemimpin ini khususnya Wanita UMNO yang ada amat penting dan boleh digunakan bagi membantu meningkatkan lagi sokongan masyarakat akar umbi.

"Saya berharap selepas ini, kita bersama-sama pemimpin lama dan baharu dapat bergerak seiring bagi mengukuhkan lagi parti UMNO," katanya ketika berucap dalam Majlis Malam Srikandi Wanita Nadi Rakyat Bersama Kepimpinan Masyarakat di Dewan Sri Mentakab, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Temerloh, Juhanis Abdul Aziz dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Suhaya Elly Rosli.

Seramai 150 bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan dan Bahagian hadir pada majlis tersebut.

Menurut Sharkar, cabaran besar dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang adalah memerlukan persediaan rapi dan menyeluruh parti itu bermula dari sekarang.

Justeru, katanya, kerjasama dan perkongsian idea semua pihak termasuk pemimpin lama perlu digembleng bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, katanya, UMNO tidak pernah melupakan jasa pemimpin-pemimpin lama yang telah memberi sumbangan begitu besar dalam memperkasakan parti tersebut.

"Jasa dan bakti pejuang-pejuang ini yang telah merintis jalan, sentiasa diingati walaupun jarang berjumpa dan sumbangan mereka amat besar ertinya kepada perjuangan agama dan bangsa," katanya.

Wujudkan suasana persekolahan baiti madrasati di rumah

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

MUSTAPA Long (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang dalam Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMA Padang Tengku, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 7 Mei - Ibu bapa diminta mewujudkan suasana persekolahan berasaskan baiti madrasati di rumah masing-masing untuk membantu menjana kecemerlangan anak-anak mereka dalam bidang akademik dan pembinaan sahsiah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, pendekatan itu perlu memandangkan pendidikan hari ini bukan sahaja tanggungjawab para guru, tetapi peranan tersebut sewajarnya disandang oleh ibu bapa sesuai dengan pembinaan keluarga bahagia.

Menurutnya, ibu bapa perlu membantu guru menjana pendidikan terhadap anak-anak mereka supaya selari dengan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Mereka perlu mewujudkan suasana persekitaran pembelajaran yang kondusif di rumah dengan mengambil berat hal ehwal anak, penjadualan harian waktu belajar termasuk membaca al-Quran dan fardu ain.

"Pendekatan baiti madrasati bukan sahaja memenuhi kebajikan iaitu makan minum, rawatan ketika sakit dan menyediakan pakaian tetapi mengutamakan pelajaran serta pembinaan sahsiah untuk kehidupan anak-anak mereka pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku, di sini baru-baru ini.

Sempena majlis berkenaan, Mustapa menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada 27 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (19), Sijil Menengah Agama (28) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (enam).

Menurut Mustapa, usaha transformasi pembangunan modal insan perlu diwujudkan kerjasama antara ibu bapa dan guru bagi merancang pelbagai kegiatan sosial, akademik, kokurikulum dan pembinaan sahsiah sebagai acuan melahirkan pelajar cemerlang dalam semua bidang.

"Pendekatan pendidikan baiti madrasati membolehkan ibu bapa menggantikan guru di rumah supaya dapat membimbing kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh bagi memenuhi hasrat keluarga dan sekolah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Saman AirAsia: Suami isteri dapat ganti rugi RM45,000

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

PUTRAJAYA 7 Mei - Sepasang suami isteri berjaya mendapat ganti rugi mencecah RM45,000 selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan terhadap AirAsia Berhad yang disaman kerana cuai dan mengakibatkan mereka mengalami kesusahan serta kerugian sewaktu menggunakan khidmat penerbangan tambang murah itu, tiga tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara membenarkan relif yang dimohon oleh perayu pertama, Patricia Karen Chew Mei Yik dan suaminya, Michael Januarius (perayu kedua) iaitu ganti rugi khas sebanyak RM18,999 dan ganti rugi am RM25,000.

Beliau yang turut bersidang bersama Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memerintahkan agar faedah sebanyak lima peratus dibayar dari tarikh pemfailan tuntutan saman pada 2011.

Kuorum berkenaan membenarkan rayuan mereka dengan kos RM10,000 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan saman kedua-duanya pada 29 Ogos tahun lalu.

Pasangan suami isteri itu diwakili oleh peguam M. Manoharan manakala AirAsia oleh Mohamed Zaini Mazlan.

Patricia yang ketika itu sedang mengandung 28 minggu dan suaminya menyaman AirAsia kerana kecuaian sehingga menyebabkan mereka mengalami kesusahan dan intimidasi sewaktu pulang daripada bercuti di Denpasar, Bali, Indonesia.

Pasangan tersebut bersama anak perempuan mereka yang ketika itu berusia empat tahun menaiki pesawat berkenaan pada 20 Februari 2011 dan sepatutnya bertolak balik ke ibu negara pada 26 Februari 2011 selepas menghabiskan percutian mereka.

Dalam tuntutan saman itu, mereka mendakwa, AirAsia telah menghalang mereka bertiga menaiki penerbangan balik atas alasan Patricia gagal mengemukakan surat pengesahan doktor.

Patricia mendakwa, sebelum bercuti, dia telah memperoleh surat pengesahan aripada seorang doktor pakar sakit puan dan menyerahkannya kepada pramugari bertugas ketika berlepas ke Denpasar pada 20 Februari 2011.

Perayu-perayu menyatakan, pramugari bertugas dalam penerbangan balik itu enggan bertolak ansur dan mengarahkan agar Patricia mengemukakan surat pengesahan doktor yang baharu jika dia dan keluarga ingin meneruskan penerbangan.

Bagaimanapun, Patricia gagal berbuat demikian menyebabkan suaminya bercadang pulang sendirian menaiki pesawat tersebut kerana terlibat sebagai pemuzik dalam satu jamuan korporat di sebuah hotel terkemuka pada petang hari yang sama.

Namun begitu, mereka bertiga gagal menaiki pesawat berkenaan dan terpaksa menaiki penerbangan lain sehingga menyebabkan suaminya kehilangan beg angkutan tangan yang mengandungi kamera dan komputer riba yang di dalamnya berisi maklumat peribadi berkaitan perniagaan.

Sementara itu, AirAsia menyatakan, pramugari bertugas menjalankan tugasnya berdasarkan prosedur operasi yang menghendaki wanita hamil melebihi 28 minggu mengemukakan surat bagi mengesahkan tempoh kehamilan dan dia sihat untuk membuat penerbangan.

AirAsia menyatakan, surat akuan doktor itu perlu dikemukakan untuk semakan bagi setiap penerbangan.

Gadis mengaku buang bayi dalam tandas

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

KUALA LUMPUR 7 Mei - Seorang pembantu kedai sebuah farmasi mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan bayi yang baru dilahirkannya ke dalam mangkuk tandas, minggu lalu.

Gadis yang berusia 18 tahun itu didakwa membuang mayat bayi itu secara sulit di tandas Guardian Retail Vision GCH (M) Sdn. Bhd., Taman Melawati, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 4 petang, 2 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya,

S. Purnima mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menetapkan sebutan semula kes pada 16 Julai ini sementara menunggu laporan akhlak tertuduh.

"Mahkamah perlu mendengar laporan daripada pegawai akhlak, Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengetahui latar belakang kamu dan keluarga," kata beliau.

Tertuduh juga dilihat menitiskan air mata ketika mahkamah mengemukakan beberapa keping gambar mayat bayi itu kepada tertuduh sebagai bahan bukti.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahnya melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.

Mengikut fakta kes, rakan sekerja tertuduh yang mengesyaki sesuatu selepas tertuduh tidak keluar dari tandas untuk satu tempoh masa yang lama, bertindak masuk ke dalam bilik tandas itu.

Rakannya itu terkejut melihat tertuduh sedang memasukkan bayi ke dalam mangkuk tandas dan ketika itu bayi itu sudah tidak bergerak lagi.

Bertindak atas laporan, polis menahan tertuduh di wad bersalin Hospital Ampang, dekat sini pada keesokannya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Penentang Syria keluar dari Homs

Posted: 07 May 2014 11:42 AM PDT

HOMS 8 Mei - Penentang kerajaan mula meninggalkan bandar Homs semalam berikutan satu perjanjian yang di dengan kerajaan beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Presiden Syria diadakan.

Perjanjian tersebut membolehkan kerajaan mengawal semula bandar Homs yang dikuasai penentang hampir dua tahun.

Sehingga lewat tengahari, Pemerhati Hak Asasi Syria melaporkan, kira-kira 400 orang penduduk dipercayai telah meninggalkan bandar itu.

Gabenor Homs, Talal al-Barazi berkata, konvoi ketiga dan keempat dijangka akan meninggalkan Homs sebelum lewat malam dan pemindahan akan bersambung hari ini. - AFP

Mahkamah singkir Yingluck

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Yingluck Shinawatra melambai ke arah penyokongnya ketika beliau meninggalkan bangunan Kementerian Pertahanan di Bangkok, semalam. - AFP

BANGKOK 7 Mei - Mahkamah Perlembagaan Thailand, hari ini mendapati Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra bersalah menyalahgunakan kuasa dan diarahkan berundur daripada jawatan itu, keputusan yang dilihat akan memburukkan lagi konflik politik di negara ini.

Barisan hakim sebulat suara mendapati Yingluck menyalahgunakan kedudukannya dengan menukar Ketua Majlis Keselamatan Nasional, Thawil Pliensri pada 2011 untuk membolehkan seorang saudaranya menjawat jawatan tersebut.

"Justeru, status beliau sebagai Perdana Menteri telah ditamatkan. Yingluck tidak boleh mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri sementara," kata ketua hakim, Charoon Intachan ketika membaca keputusan mahkamah yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

Sebanyak sembilan menteri Kabinet yang menyokong keputusan penukaran Thawil tersebut iaitu Chalerm Yubamrung, Kittiratt Na-Ranong, Santi Prompat, Anudith Nakornthap, Siriwat Kachornprasart, Pracha Promnok, Yutthasak Sasriprapa dan Plodprasop Suraswadi juga diarahkan berundur.

Thailand mengalami krisis politik paling buruk ekoran negara ini tidak lagi mempunyai seorang Perdana Menteri, Kabinet dan Parlimen yang dibubarkan bagi mengadakan Pilihan Raya Umum pada Februari lalu, namun keputusan pilihan raya itu telah dibatalkan.

Keputusan mahkamah itu memburukkan lagi krisis politik di Thailand dengan penunjuk perasaan antikerajaan masih melakukan demonstrasi jalanan di Bangkok dan penyokong Yingluck, kumpulan Baju Merah, pula berikrar untuk mempertahankannya, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlakunya pertempuran berdarah. - AP/Reuters/AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bahana jika UMNO lemah

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

PADA Ahad ini, 11 Mei 2014 genap tahun ke-68 UMNO ditubuhkan.

Dari segi pencapaian, kewibawaan UMNO memang tidak boleh disangkal di sebalik kegagalan Barisan Nasional (BN) buat kali kedua untuk mendominasi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum.

Jika diambil daripada kekuatan solo, UMNO masih kekal mendominasi di peringkat Parlimen dengan meraih 3,416,310 undi daripada 120 kerusi yang ditandingi dan parti keramat orang Melayu ini berjaya memenangi 88 daripadanya. BN yang ditunjanginya terus diberi mandat memerintah negara ini apabila memperoleh majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada PRU-13 lalu sementara pakatan pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Pas hanya meraih 89 kerusi.

Sememangnya besar sungguh cabaran UMNO untuk mengekalkan penguasaannya dan lebih utama lagi mengembalikan semula maruah parti-parti komponennya daripada MCA, MIC dan Gerakan yang sudah tercalar teruk.

Bagi UMNO khususnya, parti itu jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.5 juta ahli parti untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 yang dijadual pada 2017 atau 2018. Jangan lupa, ahli DAP, Pas dan PKR tak pun lebih 600,000 secara purata tetapi mereka memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya berturut-turut.

Bilangan sukarelawan parti dan para profesional mereka lebih daripada UMNO dan BN. Walaupun ahli mereka sedikit, leadership core mereka serba-serbi layak dan berkemampuan. Mereka hormat kepada apa kata akar umbi atau bahagian masing-masing, justeru tak lari daripada dasar winnable candidate atau calon yang boleh menang. BN, lantaran telah melupakan dasar ini terpaksa menerima rekod lebih rendah dari 2003-2009 sekali pun UMNO sendiri menunjukkan kekuatan yang boleh dibanggakan.

Kita boleh melihat kembali sejarah lain. Napoleon Bonaparte hanya dibantu oleh lima orang penasihat strategik. Riwayatnya menampilkan kejayaan menjadi pemimpin yang masih dihormati pada hari ini sekali pun membawa unsur-unsur diktator. Khalid ibnu Walid hanya merancang melalui syura tujuh orang untuk menjadi strategis dan penakluk yang dikagumi.

Meskipun UMNO boleh memanjatkan rasa syukur kerana parti komponen kedua terbesar BN, MCA kini bersedia untuk kembali ke dalam Kabinet atau sebenarnya menyertai kerajaan semula, ahli UMNO jangan lupa andai parti lemah, UMNO tidak dipandang sesiapa pun. Apabila MCA enggan bersama kerajaan (menerima jawatan Kabinet) tempoh hari, ia menampilkan satu-satunya dasar politik parti komponen yang meleset dan tidak menghiraukan sikap setiakawan perjuangan BN.

Beberapa portfolio tradisi seperti kesihatan, pengangkutan, kerajaan tempatan dan lain-lain terpaksa disandang oleh UMNO dan MIC. Pilihan MCA ini merosakkan reputasi MCA di samping keutuhan BN sendiri, sekali gus menampakkan keangkuhan pimpinannya yang tidak kisah terhadap negara, tetapi lebih mementingkan ego politik sendiri.

Tindakan MCA memulaukan Kabinet ini juga tidak menghiraukan nasib masyarakat Cina amnya. Dan secara tidak langsung menggalakkan NGO seperti Dong Zao Dong dan lain-lain pencerca cauvinis melemparkan pelbagai ugutan dan tuduhan.

Tindakannya tak akan akur kepada dasar pelajaran adalah satu-satunya langkah khianat.

Sebab itu UMNO mesti kuat. Kuat dalam erti kata mesti meningkatkan prestasinya selepas pemilihan kepemimpinannya tahun lalu. Memastikan supaya Melayu berani ke depan bersuara dan bertindak demi keutuhan negara.

Setiap ahli yang hendak masuk menjadi anggota mesti ditauliahkan dengan pengertian dan fahaman apa itu UMNO. Perlu diulangi - UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendokong cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa agama dan negara. Apa sejarahnya? Apa yang dicapainya? Apa sumbangan pemimpinnya? Kenapa UMNO boleh survive dan memenangi pilihan raya demi pilihan raya?

Jentera penerangan UMNO Pusat jangan pula syok sendiri sehingga penerangan tentang UMNO itu tidak disejagatkan pengertiannya demi ummah dan masyarakat bangsa atau orang Melayu yang dipimpinnya.

Program Juara Rakyat tahun 2012, latihan Janda Baik, himpunan di Port Dickson - semuanya baik tetapi jika anggota tidak memahami perjuangan UMNO sebenarnya, mereka hanya akan menjadi pemimpin mengejar pangkat dan kedudukan.

Perubahan menyeluruh UMNO sedang berlaku. Pemimpin pengasas UMNO sudah mula menghilang akibat ditelan zaman dan usia. Peringkat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pak Lah, Tengku Razaleigh dan Tan Sri Dr. Rais Yatim sudah amat terhad kepada beberapa orang. Itupun jika mereka masih berkebolehan mengambil bahagian dalam arus perdana politik tanah air.

Saudara-saudari ahli-ahli UMNO lah yang kini perlu menoleh ke belakang dan membentuk pimpinan yang kenal sejarah dan amalan luhur. Bangkitkan perjuangan demi Fasal 3 perlembagaan parti. Pertahankan Perlembagaan Persekutuan, sekurang-kurangnya peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan institusi-institusi asas kenegaraan, kesultanan, bahasa, hak-hak istimewa, Islam, kejuaraan bangsa dan agama.

Jangan lupa pada suatu hari nanti akan ada pihak yang akan meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang memberi definisi siapa itu Melayu.

UMNO mesti kuat dan teguh dengan prinsip perjuangannya. Pemimpinnya perlu terus bervisi dengan misi yang utuh.

Kenapa Melayu tidak bersatu dalam perjuangan bangsa-agama dan negara supaya kuasa politik mereka tetap kukuh dan berkuasa? Setiap yang bernama Melayu atau bumiputera - sama ada kita dalam UMNO, Pas atau PKR - harus memikirkan hal ini dan bertindak. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah kendur berdenting-berdenting, tegang berjela-jela.

Generasi baharu tidak harus idealis tak tentu keruan. Mereka perlu diperingatkan - ke mana perjuangan orang Melayu hendak dibawa selepas ini?

Pemikiran sempit pihak tertentu terutama pembangkang yang menghasut sebilangan rakyat supaya bencikan UMNO termasuk mengkafirkan sesama Islam mesti diadili oleh suara bangsa dan suara agama.

Perjuangan melandaskan hidup enau dalam belukar perlu diketepikan. Kita Melayu sama Melayu. Kita sunni dan sunni. Bukan sunni dan syiah.

Perjelas budaya Melayu adat bersandarkan syarak dan syarak bersandarkan Kitabullah. Adat bersandarkan yang benar, yang benar tegak dengan sendirinya.

Perjelas Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Perjelas perjuangan tentang berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah.

Sebelum menganggotai UMNO, belajar dahulu apa perjuangan UMNO.

Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-68.

Menjadi radikal di Syria memudaratkan Malaysia

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh Azmi Hassan

BUKAN sesuatu yang memeranjatkan berita mengenai pembabitan rakyat Malaysia dalam kancah peperangan di Syria kerana kumpulan pemberontak yang menentang kerajaan Bashar Assad bukan sahaja terdiri daripada rakyat tempatan Syria malah turut disertai oleh rakyat asing dari Asia, Eropah dan juga Amerika Utara.

Fenomena rakyat asing yang turut terlibat dalam konflik peperangan jauh dari tanah air mereka bagaikan berulang kembali setelah mencapai kemuncaknya ketika bumi Afghanistan dijajah oleh tentera Soviet Union pada tahun 80an dan 90an.

Tidak kira sama ada di Afghanistan atau Syria, pegangan pejuang militan yang dalam kalangan rakyat asing ini adalah selari kerana kumpulan ini beranggapan berjuang dan berjihad menegakkan syiar agama Islam.

Walaupun kemelut Afghanistan dan Syria mempunyai sifat geopolitik yang agak berbeza, tetapi kesan terhadap sifat militan rakyat asing ini adalah serupa, iaitu mereka akan menjadi lebih radikal dalam setiap perkara yang membabitkan kehidupan seharian mereka.

Kesan paling ketara akibat daripada proses menjadi lebih radikal adalah peristiwa serangan pengganas terhadap bandar raya New York dan Washington D.C. pada 11 September 2001 yang dipercayai didalangi oleh kumpulan al-Qaeda.

Pada ketika itu kumpulan ini dipimpin oleh Osama Laden yang menjadi radikal ketika berjuang bersama-sama dengan kumpulan Mujahidin Afghanistan menentang tentera Soviet Union.

Begitu juga dengan rantau Asia Tenggara turut menerima tempias apabila mereka yang terlibat dalam perang di Afghanistan pulang ke negara asal masing-masing. Bukan sahaja Filipina dan Indonesia yang terpaksa berhadapan dengan kumpulan militan yang lebih radikal, Malaysia juga terheret dalam fenomena tersebut.

Tidak keterlaluan jika diandaikan pada era pra-80an, rakyat Malaysia tidak berhadapan dengan ancaman kumpulan militan yang berpaksikan agama kecuali Parti Komunis Malaya (PKM) yang mana perjuangan mereka adalah berlandaskan ideologi politik.

Kemunculan kumpulan militan seperti Al-Maunah pada tahun 2000 dan diikuti pula oleh Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) adalah sedikit-sebanyak disebabkan kewujudan sifat radikal yang terbit daripada pengalaman berjuang dengan kumpulan Mujahidin di Afghanistan.

Kini Syria telah mengambil tempat Afghanistan dalam membentuk sifat dan jiwa seseorang yang pada asalnya mempunyai niat yang murni untuk membantu tetapi akhirnya berubah kepada perwatakan yang lebih radikal.

Tangkapan seramai 11 ahli kumpulan militan di Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur beberapa hari lepas telah memungkinkan kesahihan andaian bahawa terdapat lebih ramai lagi yang terlibat dalam aktiviti militan tersebut.

Begitu bahayanya senario ketika ini adalah penglibatan individu yang terbabit di kancah peperangan di Syria pada asalnya adalah untuk menyempurnakan misi bantuan kemanusiaan tetapi lama-kelamaan akan bertukar kepada kegiatan militan.

Sebab itu, tidak menghairankan jika terdapat golongan profesional yang mempunyai kelayakan akademik tinggi terjebak seperti mana menimpa kepada ahli kumpulan KMM dan JI sebelum ini.

Terdapat ratusan kumpulan militan yang sedang berjuang di Syria ketika ini bermula dengan kumpulan yang hanya mempunyai puluhan ahli sehinggalah kepada kumpulan yang lebih besar dan teratur dengan ribuan pengikut.

Ada kumpulan yang menyokong kerajaan Assad dan ada juga yang berpaksikan kepada Majlis Kebangsaan Syria (SNC) iaitu kumpulan pemberontak yang terbesar.

Tetapi lebih membimbangkan lagi terdapat kumpulan pemberontak yang bersekongkol dengan al-Qaeda seperti kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) dan Barisan Al-Nusra (ANF).

Daripada anggaran 100,000 jumlah ahli pemberontak yang menentang kerajaan Assad, dipercayai 10 peratus daripadanya mempunyai kaitan dengan kumpulan yang berpaksikan kepada al-Qaeda iaitu sama ada ISIS atau ANF.

Sumber perisikan dari Britain menganggarkan terdapat lebih 400 rakyat British terlibat secara langsung dengan kumpulan militan di Syria yang sedang berada dalam medan peperangan. Begitu juga dengan penglibatan rakyat Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa negara Eropah lain adalah begitu nyata dengan membawa kesan buruk apabila mereka kembali ke negara masing-masing.

Sebab itu, penahanan 11 anggota militan dikatakan boleh dijadikan sebagai iktibar dan pengajaran kepada mereka yang mempunyai perancangan yang serupa supaya lebih berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Agak melegakan apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan bahawa terdapat beberapa kumpulan lagi yang sedang dipantau aktiviti mereka dan tindakan susulan bakal diambil tidak lama lagi.

Tetapi apa yang lebih kritikal adalah pemantauan terhadap rakyat Malaysia yang sudah terjebak dengan kegiatan militan di medan perang Syria perlu berada pada tahap risikan yang paling tinggi.

Ia membawa maksud bahawa kepulangan individu tertentu ke tanah air perlu disusuli dengan maklumat risikan yang terkini supaya kehadiran kumpulan yang mempunyai pemikiran radikal tidak akan memudaratkan keselamatan negara.

Jika pencegahan perlu dilakukan maka sudah pasti penggunaan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan yang baharu dipinda dan juga Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sudah mencukupi untuk pihak berkuasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Ini adalah kerana apabila berhadapan dengan isu militan yang berkait rapat dengan aktiviti keganasan, usaha pencegahan perlu diutamakan.

* PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL diminta tunai janji

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KETIADAAN pengunjung ke kompleks Keramat Mall, Kuala Lumpur menyebabkan suasana hambar dan sunyi.

KUALA LUMPUR 6 Mei - Walaupun sudah lama dibuka, keadaan kompleks perniagaan Keramat Mall di sini tetap sunyi berikutan ketiadaan pelanggan mengunjungi lokasi itu.

Bukan tiada usaha atau pendekatan diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memeriahkan pasar moden itu, namun sehingga ke hari ini keadaannya tetap sama.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati rata-rata peniaga melahirkan kebimbangan mengenai masa depan mereka .

Sambil mempersoalkan sampai bila mereka mampu bertahan kerana kerugian yang ditanggung selama ini cukup memberi tekanan dan kesukaran kepada mereka.

Berdasarkan pemerhatian, hanya lot-lot kedai makan di tingkat bawah sahaja dipenuhi pengunjung.

Berbeza suasana di lot-lot kedai yang menjual barangan kering di tingkat satu, suasananya hambar dan sepi.

Difahamkan, ada antara peniaga terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri semata-mata mahu meneruskan perniagaan mereka.

Peniaga mendakwa masih mempertahankan perniagaan mereka sehingga ke hari ini kerana yakin suatu hari nanti kompleks berkenaan menjadi tumpuan.

Lebih-lebih lagi selepas lawatan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Jun 2013 lalu, turut menjanjikan bangunan itu akan dijadikan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Mini.

Namun apa yang mengecewakan sehingga ke hari ini tiada tanda-tanda ia bakal direalisasikan.

Sehubungan itu peniaga merayu DBKL mencari jalan penyelesaian segera bagi mengatasi masalah yang dialami.

Ini termasuk menyegerakan usaha pembinaan UTC seperti dijanjikan bagi manfaat orang ramai, selain peniaga yang sudah dan bakal beroperasi di situ.

Dakwa peniaga, sudahlah terpaksa menanggung kerugian, dalam masa sama terpaksa menanggung beban sewa kedai sebanyak RM400 sebulan kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Utusan Malaysia turut difahamkan ada antara peniaga terpaksa menutup sementara gerai mereka kerana kekurangan modal pusingan, tetapi diberi pula notis pengosongan oleh DBKL atas alasan tidak minat berniaga.

Kedai mereka kerana tidak mempunyai pusingan modal mencukupi, notis pengosongan kedai akan dihantar atas alasan peniaga tidak berminat menjalankan perniagaan.

Kami mahu DBKL turun padang - Peniaga

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR 6 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diingatkan supaya lebih kerap turun padang bertemu dengan peniaga-peniaga di kompleks Keramat Mall, di sini.

Pengerusi Persatuan Peniaga kompleks berkenaan, Zulkifly Mohd. Saat berkata, usaha turun padang itu adalah langkah terbaik untuk melihatkan sendiri secara langsung dan memahami 1001 masalah yang dihadapi peniaga di situ.

Menurutnya, keadaan peniaga Melayu di kompleks berkenaan tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

DBKL seharusnya membantu peniaga Melayu yang memerlukan sokongan pihak berkuasa tempatan (PBT) bukannya bina satu tempat baharu yang tidak mampu menarik pelanggan kemudian membiarkan peniaga menanggung beban.

Jika DBKL boleh menaikkan Little India di Brickfields dan Petaling Street, mengapa tidak usaha sama dilakukan di sini," katanya.

Zulkifly berkata, pelbagai usaha telah dilakukan pihaknya untuk bertemu dengan pihak atasan DBKL, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang maklum balas diterima.

Peniaga di Keramat Mall seolah-olah dianaktirikan. Isu ini bukanlah isu baharu, sebaliknya berlarutan sejak 2011 lagi.

Jika benar DBKL mahu membantu peniaga, langkah lebih proaktif perlu diambil sebelum lebih ramai lagi peniaga gulung tikar," katanya.

Tambahnya, beban hutang antara RM5,000 hingga RM7,000 sejak berpindah ke kompleks berkenaan berikutan tidak mendapat pulangan modal secukupnya.

Seorang peniaga capal, Wahab Kamarudin, 47, berkata, jika DBKL tidak mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan masalah itu kemungkinan peniaga akan bertindak lebih agresif.

Katanya, ini termasuk mengadakan bantahan aman bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap DBKL.

Kalau boleh peniaga tidak mahu menimbulkan kekecohan, tapi kita akan tengok sampai bila DBKL terus mengambil sikap berdiam diri," katanya.

Perasaan sama turut dikongsi niaga kedai makan, Hussin Mat Dali, 58 .

Katanya, dia terpaksa menutup perniagaan yang diusahakan selepas menanggung kerugian yang banyak.

Hasil yang diterima tidak setimpal dengan modal yang dikeluarkan. Bayangkan sehari saya hanya memperoleh RM15 berbanding modal membeli barangan mentah sebanyak RM100.

DBKL bukan tidak tahu masalah yang dihadapi peniaga di sini. Namun sampai sekarang tiada sebarang usaha bagi membantu kami," katanya.

Bagi peniaga gerai makan, Maizatulafizah Zakaria, 27, pula melihat tindakan DBKL menyewakan tempat letak kereta di kompleks berkenaan kepada syarikat luar turut menjadi punca kurangnya kunjungan orang ramai ke situ.

Katanya, caj yang dikenakan sebanyak RM3 sangat membebankan.

Pasar basah, UTC dijangka siap hujung tahun ini - DBKL

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

KUALA LUMPUR 6 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjangkakan kerja-kerja pengubahsuaian kompleks Keramat Mall sebagai Mini Pusat Tranformasi Bandar (UTC) siap sepenuhnya penghujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihaknya kini dalam proses membuka tender bagi kemudahan tersebut.

Setelah selesai kita akan melantik kontraktor bagi mulakan kerja-kerja pengubahsuaian lot-lot kedai bagi UTC," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kekecewaan peniaga di Keramat Mall yang mendakwa DBKL gagal membantu mereka sejak berpindah ke kompleks berkenaan kira-kira dua tahun lalu.

Peniaga mendakwa mengalami kerugian sepanjang tempoh itu berikutan tiada usaha-usaha promosi dilakukan pihak berkuasa tempatan itu.

Tambah Mhd. Amin, usaha-usaha promosi perlu dilakukan peniaga sendiri dan bukan bergantung sepenuhnya kepada DBKL.

Kita membantu dari segi apa yang kita mampu sebagai contoh kemudahan asas, selain pengubahsuaian pasar basah dan UTC yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Mengulas mengenai tempat letak kenderaan yang disewa kepada syarikat swasta, beliau berkata, ia sebenarnya dilakukan bagi memudahkan peniaga dan pengunjung kompleks berkenaan menggunakan perkhidmatan tersebut.

Bagi mengelakkan ia digunakan oleh pengunjung luar, caj perlu dikenakan. Perlu diingat ia juga atas permintaan peniaga sendiri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, DBKL juga memberi diskaun setengah harga kepada mereka yang tidak mampu membayar sewa kedai.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Ledang pengeluar beras wangi

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

ABDULLAH Rashidi (kiri) dan Othman Omar (kanan) melihat benih padi semasa Majlis Tabur Biji Benih Padi Wangi MRQ76 di kawasan sawah berkelompok Kesang Tasik, Sungai Mati, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 6 Mei - Kawasan sawah padi seluas kira-kira 80 hektar di sini ditanam benih padi baharu MRQ76 mulai awal bulan ini bagi meningkatkan hasil beras wangi di Semenanjung selepas usaha sama dilakukan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, keluasan kawasan yang menjadi model pertama penggunaan varieti itu di negeri ini melibatkan sawah padi di Kesang Tasik, Pulau Penarek, Telok Rimba dan Sawah Ring.

Sebanyak 700 kilogram benih padi jenis itu ditanam bagi projek perintis ini dengan melibatkan 48 pesawah. Daripada jumlah itu, 500 kilogram ditanam di Kesang Tasik dan selebihnya di kawasan lain dengan kos benih RM20,000.

Ledang terutama Kesang Tasik dipilih sebagai pengeluar pertama beras wangi di negeri ini selepas percubaan tiga petani sebelum ini menunjukkan hasil yang amat positif," katanya selepas menyempurnakan majlis Tabur Biji Benih Padi Wangi MRQ76 di kawasan sawah berkelompok di Kesang Tasik, Sungai Mati hari ini.

Beliau berkata, varieti itu mempunyai banyak keistimewaan antaranya pokok tegak serta tegap dengan daun pengasuh yang panjang dan tegak, matang pada 117 hari selepas ditanam benihnya, selain tahan penyakit karah, serangan kulat, serangan ulat, serangga, hawar daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus.

Abdullah berkata, varieti baharu itu mampu meningkatkan produktiviti lima hingga enam tan metrik bagi setiap hektar sawah berbanding benih MR220CL1 atau MR220CL2 yang diguna sebelum ini dengan hasil hanya dua hingga tiga tan metrik.

Katanya, varieti itu amat sesuai dengan tanah di daerah ini kerana kajian di Kesang Tasik sebelum ini menunjukkan hasil sehingga lapan tan metrik sehektar berjaya diperoleh iaitu tertinggi berbanding negeri lain.

Jelas beliau, penggunaan benih itu bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti tetapi juga pendapatan petani daripada RM1,200 sehektar sebelum ini kepada RM1,500 sehektar untuk tempoh semusim.

Menurutnya, hasil pertama projek perintis yang menggunakan benih dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu akan dinilai apabila dituai hasilnya Ogos ini dan jika tidak mempunyai masalah diteruskan penggunaannya untuk musim akan datang.

Sekiranya mempunyai masalah seperti berlakunya serangan padi angin, kita akan cadangkan kepada petani supaya menanam semula benih yang digunakan sebelum ini iaitu MR220CL1 dan MR220CL2," katanya.

Mengenai kemarau yang dijangka melanda pertengahan tahun ini sekali gus merencatkan proses tumbesaran pokok padi jenis itu, Abdullah berkata, pihaknya merancang menggali punca air dan membina telaga untuk mendapatkan sumber air.

Kita mempunyai tiga mesin penyedut air dalam tanah yang mampu menyedut air sedalam kira-kira 21 meter. Disebabkan kemarau sebelum ini 11 petani di Pulau Penarek awal tahun ini kerugian akibat kemarau," katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik MARDI, Datuk Dr. Othman Omar berkata, hasil beras wangi di daerah ini akan membantu pengeluaran makanan negara.

Ketika ini katanya, kerajaan mengimport 220,000 tan metrik beras iaitu 80 peratus beras wangi dari Thailand, Vietnam dan sedikit dari Myanmar manakala selebihnya adalah beras basmati dari India dan Pakistan.

Penduduk lega lampu isyarat dipasang di ‘jalan maut’

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

PEMASANGAN lampu isyarat memberi keselesaan pengguna yang melalui persimpangan Jalan Kampung Tengah dan Jalan Sungai Terap dekat Muar, Johor, semalam.

MUAR 6 Mei - Lebih 1,000 penduduk berdekatan persimpangan empat di Kampung Tengah, Sungai Terap, di sini kini mampu menarik nafas lega selepas lampu isyarat sudah dipasang kerana sebelum ini kerap berlaku kemalangan.

Penantian lima tahun oleh penduduk ternyata tidak sia-sia kerana laluan berkenaan lebih teratur dan selamat kerana mampu menghalang pengguna jalan raya daripada masuk dan keluar simpang sesuka hati.

Ketua Kampung berkenaan, Rashid Elias berkata, keperluan memasang kemudahan itu amat mendesak kerana laluan tersebut sibuk sepanjang masa dengan pelbagai jenis kenderaan sekali gus terdedah dengan risiko kemalangan.

Jalan ini yang menghubungkan Kampung Jeram Masjid, Sungai Terap, Bukit Pasir, Pagoh, Simpang Jeram dan ke bandar ini menjadi tumpuan kenderaan berat sebagai laluan pintas ke Kawasan Perindustrian Parit Lanjut.

Penduduk di sini panggil simpang empat ini jalan maut kerana kerap berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut. Contohnya tahun lalu ada lima kemalangan maut berlaku membabitkan motosikal dengan kereta," katanya ketika ditemui hari ini.

Jelas beliau, sejak pihak berkuasa memasang lampu isyarat, aliran trafik di kawasan tersebut menjadi lebih teratur dan setakat ini belum berlaku kemalangan yang serius.

Dalam pada itu, peniaga runcit, Halimah Abd Rahim, 60, berkata, hampir setiap hari dia melihat kemalangan sejak mengusahakan kedai runcit berdekatan kawasan tersebut tiga tahun lalu.

Kejadian itu katanya, sedikit sebanyak memberikan rasa trauma setiap kali melalui simpang berkenaan kerana banyak kenderaan dipandu laju.

Saya lihat masing-masing pemandu dan penunggang seperti berebut-rebut mahu masuk dan keluar simpang tanpa memikirkan keselamatan diri serta pengguna lain," katanya.

Katanya, perbuatan itu dilihat menyumbang berlakunya kemalangan selain tindakan pengguna yang tidak memasang lampu isyarat ketika masuk dan keluar simpang.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar, Ramli Othman berkata, lampu isyarat dengan kos RM151,000 itu dipasang November lalu dan mula berfungsi awal tahun ini.

Pemasangan kemudahan itu untuk mengurangkan kemalangan dan pengguna diharapkan lebih berdisiplin semasa menggunakan jalan tersebut agar kejadian tidak diingini tidak menimpa diri mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Penyelidik UTeM cipta alat keselamatan

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Anuar Mohamed Kassim (kiri) sewaktu mengadakan demonstrasi penggunaan alat VeSS pada kenderaan di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini. UTUSAN/ NURSURAYA ZULKIFLI - Stringer

MELAKA 6 Mei - Seorang penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya mencipta alat keselamatan pada kenderaan yang berfungsi memberi amaran apabila ia dikesan bergerak tanpa pengetahuan pemiliknya.

Alat tersebut dinamakan Vehicle Smart Security (VeSS) dapat membantu mengurangkan kes kecurian kenderaan yang semakin meningkat.

Anuar Mohamed Kassim berkata, alat itu menggabungkan kesemua konsep teknologi terkini seperti pengesanan pergerakan kenderaan menggunakan sensor, teknologi sistem pesanan ringkas (SMS) dan teknologi sistem penentu kedudukan global (GPS) .

Menurutnya, gabungan alat itu dimuatkan di dalam satu kotak kecil dan dipasang dalam sesebuah kenderaan.

Alat ini akan mematikan sistem enjin kenderaan setelah mengesan pergerakan yang tidak diingini pemilik secara automatik dengan teknologi sensor yang digunakan.

Satu pesanan amaran melalui SMS akan dihantar kepada pemilik dengan memberikan koordinat kenderaan tersebut yang boleh diakses secara terus melalui Google Map bagi pengguna telefon pintar dan juga melalui komputer," katanya.

Anuar Mohamed berkata, melalui sistem itu, pemilik dapat mengesan kedudukan kenderaan dengan segera dan secara langsung dapat memastikan kenderaan mereka dalam keadaan selamat.

Katanya, VeSS juga telah didaftarkan sebagai harta intelek dan telah memenangi pelbagai anugerah pada pameran inovasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

VeSS mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang diperlukan pengguna berbanding dengan produk sedia ada di pasaran agak mahal dan mempunyai pemasangan rumit disebabkan banyak sensor perlu dipasang di seluruh kenderaan.

Dengan adanya sistem ini, kes kecurian kenderaan dapat dikurangkan seterusnya dapat meningkatkan keselamatan kenderaan pengguna," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempelawa mana-mana pihak yang berminat, boleh menghubungi beliau melalui emel: anuar@utem.edu.my.

USIM, Mas Awana meterai memorandum persefahaman

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

ASMA Ismail (enam dari kiri) bersama Mohammad Shafian Kamal Ghazali (tujuh dari kiri) bersama pegawai USIM dan Mas Awana selepas majlis menandatangani MoU di Bandar Baru Salak Tinggi Business Park, Nilai dekat Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 6 Mei - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meningkatkan hubungan strategik dalam kalangan industri melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama Mas Awana Services Sdn. Bhd. di Bandar Baru Salak Tinggi Business Park, Nilai dekat sini semalam.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, hubungan baik yang dihasilkan menerusi MoU itu antara lain untuk melihat aspek industri makanan halal dan pasaran bagi produk halal, yang ketika ini semakin berkembang pesat.

Kita lihat kemampuannya menjana pulangan mencecah bilion ringgit selari dengan keprihatinan dan kepekaan masyarakat berkaitan halal yang semakin tinggi.

Kerjasama ini dikembangkan lagi melalui penglibatan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (Ihram), yang merupakan pusat kecemerlangan penyelidikan yang ditubuhkan khas oleh USIM.

Pusat ini diwujudkan untuk meningkatkan strategi, pembangunan profesional, penyelidikan dan perkhidmatan terutamanya dalam aspek halal," katanya dalam ucapan pada majlis itu yang berlangsung semalam.

Menurut Asma, industri halal ini tidak boleh hanya diterajui oleh organisasi tertentu sahaja dan USIM amat serius untuk bersama-sama membangunkan perkara ini.

Baru-baru ini juga kita telah mengadakan MoU bersama pihak yang berkaitan dengan industri halal seperti Halal Developement Corporation (HDC) dan TPM Biotech Sdh. Bhd.," kata beliau.

Sementara itu, Pengurus Besar Mas Awana Services Sdn. Bhd., Mohammad Shafi'an Kamal Ghazali berkata, syarikat ini telah ditubuhkan pada 1996 merupakan salah sebuah anak syarikat di bawah Malaysia Airlines yang pakar dalam penyediaan dan pengendalian makanan dan minuman untuk pelbagai jenis majlis.

Selain kepakaran dalam bidang servis kulinari katanya lagi, syarikat ini juga telah mendapat piawaian halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan HDC serta mematuhi standard keselamatan dan kesihatan makanan antarabangsa iaitu Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP).

Antara bidang dan skop kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui MoU ini adalah program latihan bersama melibatkan kakitangan dan pelajar, penerokaan projek penyelidikan dan pembangunan khususnya berkaitan makanan dan perkongsian kepakaran akademik," katanya.

Memorandum persefahamam itu ditandangani oleh Asma yang mewakili USIM dan Mohammad Shafi'an mewakili Mas Awana Services Sdn. Bhd.

Penuntut UiTM Seremban ikuti program kepemimpinan

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

SEBAHAGIAN pelajar menjalankan aktiviti pada Program Jelajah Kampus 3R di Dewan Kuliah Sungai Ujong 1, UiTM Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

SEREMBAN 6 Mei - Sebanyak 78 penuntut Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Seremban didedahkan dengan program kepemimpinan dan keyakinan diri siswa yang berlangsung di Dewan Kuliah Sungai Ujong 1, kampus berkenaan di sini baru-baru ini.

Kordinator Unit Komunikasi UiTM Seremban, Suhaimi Abdul Samad berkata, program tersebut juga dikenali sebagai Jelajah Kampus 3R iaitu respek, relaks dan respon sebagai pemangkin untuk mendedahkan mahasiswa dalam suasana pembelajaran yang tenang, sekali gus berupaya menangani tekanan.

Katanya, program ini turut disertai pengacara rancangan 3R terbitan TV3, Nurhidayah Abu Bakar atau Dayah dan Amirah Azmi, di mana menjadikan ia lebih menyeronokkan.

Program ini dimulakan dengan memberi fokus kepada isu sterotaip gender dan dunia realiti masa kini, menangani isu ketidakseimbangan gender dan inspirasi wanita berjaya.

Ia telah memberikan banyak pengetahuan kepada penuntut apabila bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang disusun atur oleh pengacara program 3R ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, antara aktiviti itu adalah bercorak kumpulan, melakukan sketsa drama serta pembentangan di mana memerlukan penuntut bersikap proaktif dengan memberikan idea bernas serta membuktikan keupayaan menyelesaikan situasi yang diberikan, seolah-olah berhadapan asakan dunia realiti.

Apa yang menyeronokkan, semua tugasan yang diberikan ini telah berjaya diselesaikan oleh penuntut dengan baik. Nyata mereka cukup teruja dan mahu aktiviti sebegini diteruskan pada masa hadapan," jelasnya.

Beliau berkata, hasil maklum balas yang diterima daripada penuntut mereka optimis program ini telah meningkatkan kesedaran serta pengalaman terutama dalam mengupas isu streotaip gender yang pernah dilalui sebelum ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Semua lapan Exco Perlis dilantik semula

Posted: 07 May 2014 01:22 AM PDT

ARAU 7 Mei - Semua lapan Pengerusi Jawatankuasa Tetap (Exco) Kerajaan Perlis hari ini dilantik semula untuk tempoh setahun dan turut dikekalkan portfolio masing-masing.

Menteri Besar Azlan Man mengekalkan portfolio Pentadbiran dan Kewangan, Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa, Perancangan Ekonomi, Industri, Tanah, Teknoloji Maklumat, Pelajaran, Keselamatan, Hubungan Antarabangsa dan Penerangan.

Yang lain ialah Sabry Ahmad (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunanaan, Pengangkutan, dan Pembangunan Wilayah); Ahmad Bakri Datuk Ali (Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknoloji dan Teknoloji Hijau, dan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana).

Abdul Jamil Saad (Belia, Sukan, Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian); Datuk Mat Rawi Kassim (Sumber Asli dan Alam Sekitar, Hal Ehwal Komunikasi Korporat dan Aduan Awam, Tadbir Urus Kerajaan, dan Tugas-tugas Khas).

Jafperi Othman (Kemudahan dan Prasarana Awam, Kemajuan Luar Bandar dan Kesihatan); Khairi Hasan (Agama, Pembangunan Sumber Manusia).

Mat Hassan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil) dan Rela Ahmad (Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan dan Perpaduan).

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan diadakan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau yang turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Ramli Dai, Penasihat Undang-Undang Negeri, Wan Jeffry Kassim , Mufti Negeri, Datuk Dr Juanda Jaya serta wakil-wakil rakyat yang lain.

Azlan yang ditemui selepas itu berkata para exco dilantik semula kerana prestasi mereka yang memuaskan, mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dan menunjukkan sikap bekerjasama sebagai satu pasukan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Naib Pengerusi MCA Perlis, Khaw Hock Kong lantik sebagai timbalan exco dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang diluluskan persidangan dewan Disember tahun lepas.

Pelantikan itu ialah untuk mengisi kuota MCA setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya. -BERNAMA

Aktiviti dagang, pelaburan, tumpuan perjumpaan Muhyiddin dengan usahawan Uzbekistan

Posted: 07 May 2014 01:12 AM PDT

TASHKENT 7 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang seperti minyak dan gas, logistik dan prasarana.

Beliau berkata, bahagian-bahagian lain yang boleh menarik minat komuniti perniagaan kedua-dua Malaysia dan Uzbekistan ialah pembinaan, perancangan bandar dan pendidikan.

Dalam ucapannya di mesyuarat meja bulat perniagaan bersama ketua-ketua industri dari Uzbekistan dan Malaysia di sini, pada Rabu, beliau berkata Malaysia juga berminat meningkatkan eksport terus ke republik Asia Tengah itu.

``Ini akan menjadikan produk lebih kompetitif dari segi harga dalam pasaran anda,'' kata Muhyiddin sambil menambah bahawa beberapa produk seperti barangan elektrik dan elektronik pengguna yang diimport ke Uzbekistan menerusi pihak ketiga ialah barangan buatan Malaysia.

Beliau menekankan bahawa Malaysia, negara keenam paling kompetitif dalam kalangan 189 ekonomi di dunia merupakan rakan dagangan yang boleh diharapkan bagi Uzbekistan. - BERNAMA

Kes HIV babitkan golongan muda amat membimbangkan - Dr. Hilmi

Posted: 07 May 2014 12:37 AM PDT

GEORGETOWN 7 Mei - Kes HIV/AIDS dalam kalangan remaja dan golongan muda amat membimbangkan apabila 78.8 peratus daripada jumlah kes yang dilapor melibatkan golongan berumur antara 20 hingga 30 tahun.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan kempen kesedaran dan pencegahan untuk mengubah cara hidup golongan muda supaya tidak terlibat dalam seks rambang dan pengambilan dadah.

``Seks rambang merupakan penyumbang utama dalam kes HIV diikuti penyalahgunaan dadah,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran HIV/AIDS anjuran Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia, di sini hari ini.

Dr. Hilmi berkata, pelbagai program dijalankan di peringkat kementerian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti memberi jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Beliau berkata walaupun usaha itu menjadi kontroversi, ia bukan untuk menggalakkan perlakuan seks rambang tetapi lebih kepada mencegah jangkitan HIV kepada orang lain.

Dr. Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan membelanjakan RM185 juta setahun untuk rawatan AIDS termasuk ubat-ubatan dan RM26 juta daripada jumlah itu adalah untuk kempen pencegahan.

Mengenai wabak `middle east respiratory syndrome coronavirus' (MERS-CoV) yang meragut nyawa seorang lelaki berumur 54 tahun dari Batu Pahat, Johor selepas pulang dari Mekah 29 Mac lepas, Hilmi berkata Kementerian Kesihatan terus memantau wabak itu.

Beliau berkata kes itu adalah yang pertama dan tiada lagi kes dilaporkan sehingga hari ini.

Dr. Hilmi menasihati orang ramai yang bakal ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan haji supaya memakai topeng muka dan tidak melawat ladang unta. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved