Rabu, 7 Mei 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Semua lapan Exco Perlis dilantik semula

Posted: 07 May 2014 01:22 AM PDT

ARAU 7 Mei - Semua lapan Pengerusi Jawatankuasa Tetap (Exco) Kerajaan Perlis hari ini dilantik semula untuk tempoh setahun dan turut dikekalkan portfolio masing-masing.

Menteri Besar Azlan Man mengekalkan portfolio Pentadbiran dan Kewangan, Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa, Perancangan Ekonomi, Industri, Tanah, Teknoloji Maklumat, Pelajaran, Keselamatan, Hubungan Antarabangsa dan Penerangan.

Yang lain ialah Sabry Ahmad (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunanaan, Pengangkutan, dan Pembangunan Wilayah); Ahmad Bakri Datuk Ali (Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknoloji dan Teknoloji Hijau, dan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana).

Abdul Jamil Saad (Belia, Sukan, Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian); Datuk Mat Rawi Kassim (Sumber Asli dan Alam Sekitar, Hal Ehwal Komunikasi Korporat dan Aduan Awam, Tadbir Urus Kerajaan, dan Tugas-tugas Khas).

Jafperi Othman (Kemudahan dan Prasarana Awam, Kemajuan Luar Bandar dan Kesihatan); Khairi Hasan (Agama, Pembangunan Sumber Manusia).

Mat Hassan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil) dan Rela Ahmad (Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan dan Perpaduan).

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan diadakan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau yang turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Ramli Dai, Penasihat Undang-Undang Negeri, Wan Jeffry Kassim , Mufti Negeri, Datuk Dr Juanda Jaya serta wakil-wakil rakyat yang lain.

Azlan yang ditemui selepas itu berkata para exco dilantik semula kerana prestasi mereka yang memuaskan, mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dan menunjukkan sikap bekerjasama sebagai satu pasukan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Naib Pengerusi MCA Perlis, Khaw Hock Kong lantik sebagai timbalan exco dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang diluluskan persidangan dewan Disember tahun lepas.

Pelantikan itu ialah untuk mengisi kuota MCA setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya. -BERNAMA

Aktiviti dagang, pelaburan, tumpuan perjumpaan Muhyiddin dengan usahawan Uzbekistan

Posted: 07 May 2014 01:12 AM PDT

TASHKENT 7 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang seperti minyak dan gas, logistik dan prasarana.

Beliau berkata, bahagian-bahagian lain yang boleh menarik minat komuniti perniagaan kedua-dua Malaysia dan Uzbekistan ialah pembinaan, perancangan bandar dan pendidikan.

Dalam ucapannya di mesyuarat meja bulat perniagaan bersama ketua-ketua industri dari Uzbekistan dan Malaysia di sini, pada Rabu, beliau berkata Malaysia juga berminat meningkatkan eksport terus ke republik Asia Tengah itu.

``Ini akan menjadikan produk lebih kompetitif dari segi harga dalam pasaran anda,'' kata Muhyiddin sambil menambah bahawa beberapa produk seperti barangan elektrik dan elektronik pengguna yang diimport ke Uzbekistan menerusi pihak ketiga ialah barangan buatan Malaysia.

Beliau menekankan bahawa Malaysia, negara keenam paling kompetitif dalam kalangan 189 ekonomi di dunia merupakan rakan dagangan yang boleh diharapkan bagi Uzbekistan. - BERNAMA

Kes HIV babitkan golongan muda amat membimbangkan - Dr. Hilmi

Posted: 07 May 2014 12:37 AM PDT

GEORGETOWN 7 Mei - Kes HIV/AIDS dalam kalangan remaja dan golongan muda amat membimbangkan apabila 78.8 peratus daripada jumlah kes yang dilapor melibatkan golongan berumur antara 20 hingga 30 tahun.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan kempen kesedaran dan pencegahan untuk mengubah cara hidup golongan muda supaya tidak terlibat dalam seks rambang dan pengambilan dadah.

``Seks rambang merupakan penyumbang utama dalam kes HIV diikuti penyalahgunaan dadah,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran HIV/AIDS anjuran Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia, di sini hari ini.

Dr. Hilmi berkata, pelbagai program dijalankan di peringkat kementerian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti memberi jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Beliau berkata walaupun usaha itu menjadi kontroversi, ia bukan untuk menggalakkan perlakuan seks rambang tetapi lebih kepada mencegah jangkitan HIV kepada orang lain.

Dr. Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan membelanjakan RM185 juta setahun untuk rawatan AIDS termasuk ubat-ubatan dan RM26 juta daripada jumlah itu adalah untuk kempen pencegahan.

Mengenai wabak `middle east respiratory syndrome coronavirus' (MERS-CoV) yang meragut nyawa seorang lelaki berumur 54 tahun dari Batu Pahat, Johor selepas pulang dari Mekah 29 Mac lepas, Hilmi berkata Kementerian Kesihatan terus memantau wabak itu.

Beliau berkata kes itu adalah yang pertama dan tiada lagi kes dilaporkan sehingga hari ini.

Dr. Hilmi menasihati orang ramai yang bakal ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan haji supaya memakai topeng muka dan tidak melawat ladang unta. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved