Rabu, 7 Mei 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


PBNP belum bercadang sekat penyokong JDT

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Anggota polis mengarahkan penyokong JDT bersurai setelah mereka berkumpul di luar stadium dan mendesak agar penyokong dan pemain Pahang keluar selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Johor Bahru pada Isnin lalu. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Sekali pun sedar perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 30 Mei ini berisiko untuk 'panas', pihak Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tidak memikirkan untuk menghalang penyokong lawan hadir ke Stadium Darul Makmur.

Walaupun tidak menolak idea melarang penyokong lawan hadir bagi mengelak ketegangan antara penyokong tercetus, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim berkata, tindakan itu akan dibincangkan dengan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Namun, Fuzzeimi mengakui buat masa ini mereka masih mengikut idea asal dengan memberikan hak kepada penyokong JDT untuk hadir tanpa sebarang masalah.

"Tidak, masih belum ada (melarang penyokong JDT untuk hadir) cadangan sebegitu kerana buat masa ini perlawanan antara Pahang dan JDT masih akan diuruskan seperti mana perlawanan-perlawanan lain.

"Jika ada, segalanya akan diputuskan oleh Presiden sendiri dan mesti mendapatkan kebenaran daripada FAM jika kami hendak membuat langkah sedemikian rupa.

"Apa yang kami boleh lakukan adalah mempertingkatkan langkah keselamatan sambil mengharapkan kerjasama daripada penyokong yang hadir supaya tidak melakukan sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan melarang peminat JDT hadir ke Stadium Darul Makmur kelak kerana dibimbangi akan tercetus pergaduhan antara penyokong.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengutarakan cadangan itu berkata, langkah itu akan dipertimbangkan memandangkan perseteruan antara penyokong JDT dan Pahang semakin menebal kebelakangan ini.

Melalui langkah itu, penyokong lawan yang hadir secara berkumpulan terutama yang dikenali sebagai Inter Johor Firm (IJF) tidak boleh ke stadium bagi mengelakkan pergaduhan dengan penyokong tuan rumah seperti yang berlaku ketika perlawanan Liga Super pada 7 Februari lalu.

Sekatan itu perlu dilakukan di hadapan pintu masuk stadium selain pengecaman penyokong lawan boleh dilakukan melalui pemakaian atau pengangkutan yang sama kerana kebanyakan daripada mereka akan hadir menggunakan bas atau berkonvoi menggunakan kereta.

Pada Isnin lalu, kira-kira 1,000 penyokong JDT berkumpul di perkarangan stadium dan mendesak pemain dan penyokong Pahang keluar. Seorang jurukamera sambilan RTM pula mendakwa disepak penyokong JDT.

Mengulas perkara yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Seri Afandi Hamzah, masih menaruh harapan kepada kemampuan PBNP untuk mengawal keselamatan pada hari perlawanan.

"Saya masih meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak tuan rumah untuk mempertingkatkan langkah keselamatan menjelang perlawanan separuh akhir kedua walaupun saya tahu aksi kedua-dua pasukan ini pasti akan 'panas'.

"Berdasarkan pengalaman yang ada pada tuan rumah pada perlawanan-perlawanan sebelum ini, saya yakin Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tahu mengendalikan situasi sebegini.

"Langkah tidak membenarkan penyokong itu memang ada dibincangkan, tetapi JKPT masih mahu memberi peluang kepada penyokong lawan untuk hadir dan keselamatan dipertingkatkan," katanya ketika dihubungi.

Penyokong Harimau Selatan marah

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

JOHOR BAHRU - Kesediaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mempertimbangkan kemungkinan tidak membenarkan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) hadir pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara pasukan itu dan Pahang di Stadium Darul Makmur 30 Mei ini nyata tidak disambut baik oleh penyokong skuad Harimau Selatan.

Akaun Facebook tidak rasmi yang diwujudkan penyokong JDT menjadi medan mereka meluahkan rasa tidak puas hati, malah ada yang menganggap langkah yang kemungkinan diambil oleh FAM itu sebagai berat sebelah.

Mereka juga mendakwa apa sahaja tindak tanduk penyokong skuad Harimau Selatan itu ada sahaja yang tidak kena di mata FAM.

Tidak kurang juga yang menuding jari kepada pihak media yang didakwa hampir kesemuanya adalah boneka kepada FAM apabila menulis berita yang mereka dakwa berniat melaga-lagakan penyokong serta mempunyai unsur dengki untuk menjatuhkan mereka berbanding media asing yang galak memuji usaha dilakukan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Antaranya, admin Facebook dengan akaun Johor Darul Takzim FC, laman page penyokong setia pasukan bola sepak negeri Johor memuat naik status berbunyi "Kami dilempar batu di Pahang FAM besarkan cerita ini tak? Kami dilempar batu di Perak FAM besarkan cerita ini tak? Penyokong Pahang terperangkap dua jam sudah mahu denda JDT main tanpa penyokong selama empat perlawanan berturut-turut. Jangan sampai orang benci anda wahai FAM. Kenapa perlu berbuat demikian terhadap JDT."

Facebook Johor Darul Takzim Cyber Fan Club, laman Kelab Peminat Bola Sepak Johor Bahru pula memuat naik gambar keratan akhbar tempatan yang melaporkan mengenai langkah yang akan diambil FAM dengan status "Terima Kasih FAMB" yang kemudiannya mengundang pelbagai komen yang nyata tidak menggembirakan selain kata-kata sinis dan kurang manis kepada FAM.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, FAM bersedia untuk memikirkan langkah tidak membenarkan penyokong JDT hadir pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara pasukan itu dan Pahang di Stadium Darul Makmur pada 30 Mei ini berikutan ketegangan antara penyokong sewaktu perlawanan pertama pada Isnin lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, mereka sedang mengkaji pelaksanaan idea berkenaan memandangkan pelbagai langkah sudah diambil sebelum ini, termasuk meningkatkan soal keselamatan ke tahap maksimum.

Aksi hebat JDT dan Pahang yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Isnin lalu dirosakkan oleh sikap kira-kira 1,000 penyokong pasukan tuan rumah yang berkumpul di luar perkarangan stadium selepas tamat perlawanan dan mendesak penyokong pelawat serta pemain Pahang keluar dari stadium.

Namun, tindakan pantas polis yang sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan berjaya mengawal keadaan dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved