Rabu, 7 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Perkasa usahawan bumiputera

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Shahiruddin Ab. Moin (tiga dari kanan) melancarkan Jelajah Informasi Usahawan Pahang peringkat daerah di Bentong, baru-baru ini.

BENTONG 7 Mei - Kerajaan negeri mencetak sebanyak 35,000 naskhah buku kecil dikenali Passport to Success mengenai perkhidmatan yang disediakan kerajaan dalam agenda pemerkasaan usahawan bumiputera di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, secara purata sebanyak 3,000 naskhah akan diedarkan kepada orang ramai di 11 daerah sempena program Jelajah Informasi Usahawan Pahang.

Menurutnya, terdapat 30 agensi kerajaan dan badan berkanun terkandung dalam buku berwarna kuning itu mengandungi pelbagai maklumat aktiviti ekonomi yang boleh disertai usahawan di negeri ini.

"Mereka yang berminat dalam bidang keusahawanan boleh merujuk buku kecil tersebut dengan mengandungi antaranya skim pembiayaan pinjaman, khidmat nasihat, sokongan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Informasi Usahawan Pahang peringkat daerah dengan yang dianjurkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Padang Awam Bentong, di sini kelmarin.

Katanya, matlamat kerajaan negeri adalah mahu lebih ramai usahawan bumiputera terbabit secara langsung dalam bidang pembuatan, pembinaan, pengurusan dan pentadbiran.

Tambahnya, sudah ada beberapa usahawan bumiputera dalam bidang terbabit mampu bersaing di dalam dan luar negara.

"Kerajaan tetap menyalurkan pelbagai bantuan kepada masyarakat yang berminat menceburkan diri dalam sektor keusahawanan kerana mempunyai masa depan lebih baik," katanya.

Menurutnya, melalui program itu akan dapat memberi kefahaman, maklumat terperinci berkaitan pelaksanaan Program Jelajah Informasi Usahawan Pahang kepada seluruh masyarakat terutama mereka yang ingin menceburi dalam bidang berkenaan.

Pemimpin lama perlu terus berjuang

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

TEMERLOH 7 Mei - Tiada noktah dalam kamus perjuangan bekas pemimpin UMNO kerana mereka perlu terus berjuang bersama-sama kepimpinan baharu bagi memperkasakan lagi parti keramat itu.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, semua bekas pemimpin UMNO perlu terus memainkan peranan penting dalam memastikan parti keramat itu terus relevan dan mendapat sokongan padu rakyat khususnya dalam pilihan raya umum akan datang.

"Pengalaman yang ada dalam diri pemimpin-pemimpin ini khususnya Wanita UMNO yang ada amat penting dan boleh digunakan bagi membantu meningkatkan lagi sokongan masyarakat akar umbi.

"Saya berharap selepas ini, kita bersama-sama pemimpin lama dan baharu dapat bergerak seiring bagi mengukuhkan lagi parti UMNO," katanya ketika berucap dalam Majlis Malam Srikandi Wanita Nadi Rakyat Bersama Kepimpinan Masyarakat di Dewan Sri Mentakab, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Temerloh, Juhanis Abdul Aziz dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Suhaya Elly Rosli.

Seramai 150 bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan dan Bahagian hadir pada majlis tersebut.

Menurut Sharkar, cabaran besar dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang adalah memerlukan persediaan rapi dan menyeluruh parti itu bermula dari sekarang.

Justeru, katanya, kerjasama dan perkongsian idea semua pihak termasuk pemimpin lama perlu digembleng bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, katanya, UMNO tidak pernah melupakan jasa pemimpin-pemimpin lama yang telah memberi sumbangan begitu besar dalam memperkasakan parti tersebut.

"Jasa dan bakti pejuang-pejuang ini yang telah merintis jalan, sentiasa diingati walaupun jarang berjumpa dan sumbangan mereka amat besar ertinya kepada perjuangan agama dan bangsa," katanya.

Wujudkan suasana persekolahan baiti madrasati di rumah

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

MUSTAPA Long (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang dalam Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMA Padang Tengku, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 7 Mei - Ibu bapa diminta mewujudkan suasana persekolahan berasaskan baiti madrasati di rumah masing-masing untuk membantu menjana kecemerlangan anak-anak mereka dalam bidang akademik dan pembinaan sahsiah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, pendekatan itu perlu memandangkan pendidikan hari ini bukan sahaja tanggungjawab para guru, tetapi peranan tersebut sewajarnya disandang oleh ibu bapa sesuai dengan pembinaan keluarga bahagia.

Menurutnya, ibu bapa perlu membantu guru menjana pendidikan terhadap anak-anak mereka supaya selari dengan agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Mereka perlu mewujudkan suasana persekitaran pembelajaran yang kondusif di rumah dengan mengambil berat hal ehwal anak, penjadualan harian waktu belajar termasuk membaca al-Quran dan fardu ain.

"Pendekatan baiti madrasati bukan sahaja memenuhi kebajikan iaitu makan minum, rawatan ketika sakit dan menyediakan pakaian tetapi mengutamakan pelajaran serta pembinaan sahsiah untuk kehidupan anak-anak mereka pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku, di sini baru-baru ini.

Sempena majlis berkenaan, Mustapa menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada 27 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (19), Sijil Menengah Agama (28) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (enam).

Menurut Mustapa, usaha transformasi pembangunan modal insan perlu diwujudkan kerjasama antara ibu bapa dan guru bagi merancang pelbagai kegiatan sosial, akademik, kokurikulum dan pembinaan sahsiah sebagai acuan melahirkan pelajar cemerlang dalam semua bidang.

"Pendekatan pendidikan baiti madrasati membolehkan ibu bapa menggantikan guru di rumah supaya dapat membimbing kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh bagi memenuhi hasrat keluarga dan sekolah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved