Rabu, 28 Ogos 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Model termurah 2014

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

Oleh Fadzil ZainoL
ekonomi@utusan.com.my

Adakah Daihatsu Mira (atas) atau Ayla merupakan model terbaharu yang akan dijual paling murah oleh Perodua?

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Model baharu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), bakal diperkenalkan pada suku ketiga tahun depan, setelah kilang baharu syarikat beroperasi pada waktu tersebut.

Pembinaan kilang itu yang membabitkan perbelanjaan hampir RM800 juta terutamanya bagi tujuan penerapan teknologi tinggi, membolehkan Perodua menghasilkan kereta berkualiti tinggi pada harga mampu milik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, kereta itu juga bakal menggunakan enjin baharu keluaran Daihatsu.

"Model ini mampu menawarkan penjimatan minyak yang lebih baik berbanding model sedia ada kami," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di majlis Sambutan Aidilfitri Perodua di sini hari ini.

Aminar juga menegaskan, harga model terbaharu itu juga adalah lebih rendah atau hampir menyamai dengan model termurah Perodua yang ditawarkan ketika ini.

Harga terendah kereta Perodua ketika ini ialah model Viva iaitu serendah RM24,924 sebuah.

Sementara itu, Aminar berkata, pihaknya masih mengkaji sama ada untuk menghentikan pengeluaran model Viva bagi digantikan dengan keluaran terbaharu itu.

Aminar juga menolak anggapan bahawa Perodua bakal memperkenalkan kereta versi sedan, kerana syarikat itu lebih dikenali sebagai pengeluar kereta kompak.

"Itulah (kereta kompak) merupakan kekuatan kami dengan rakan strategik (Daihatsu)," katanya lagi.

Proton hasilkan kereta selamat dan berkualiti

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd., akan terus mengeluarkan kereta yang selamat, berkualiti tinggi dan memberi nilai dari segi wang, kata Ketua Pegawai Eksekutif-Komersialnya, Hisham Othman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hisham berkata, Proton Suprima S amat dinanti-nantikan oleh pasaran tahun ini kerana bentuknya yang dinamik dan sporty, hiasan dalaman yang mewah serta prestasi enjin tinggi.

"Kereta itu mampu dimiliki dan menonjol dari segi gaya, prestasi, keselamatan dan peralatan," kata beliau.

Hisham berkata demikian selepas menyerahkan Suprima S kepada pembeli pertamanya, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar, di sini hari ini. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Lima maut selepas ziarah kematian

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

SEBUAH kenderaan MPV Toyota Avanza remuk selepas terbabas lalu merempuh sebuah treler di Batu 8 (Kilometer 12.8), Bukit Kangkar di Jalan Tangkak-Muar, awal pagi semalam.

LEDANG 28 Ogos - Lima termasuk sepasang suami isteri maut manakala tiga lagi cedera, beberapa jam selepas mereka menziarahi saudara yang meninggal dunia di Kuantan, Pahang, dalam nahas ngeri yang berlaku di Batu 8 (Kilometer 12.8), Bukit Kangkar di Jalan Tangkak-Muar di sini awal pagi ini.

Kemalangan pukul 5.30 pagi itu berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki lapan sekeluarga itu terbabas dan merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan.

Kesemua yang maut ialah Basiron Kasiran, 74, dan isteri, Rokiah Osman, 62; Ramlah Bakar, 66, dua adik Rokiah iaitu Mahani, 56, dan Jasilah, 42, yang memandu kenderaan tersebut untuk pulang ke Parit Bakar, Muar.

Tiga anak Mahani iaitu Siti Hajar Abdul Rahim, 30, kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar akibat patah tengkuk. Dua adiknya, Siti Nur Ain, 23, pula patah kaki manakala Siti Nur Shuhada, 20, cedera ringan dan keadaannya stabil. Mereka dirawat di hospital yang sama

Mayat Rokiah, Ramlah dan Jasilah yang maut di tempat kejadian dihantar ke Hospital Tangkak, manakala Mahani dan Basiron dibawa ke HPSF.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kenderaan dinaiki keluarga itu dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan setelah pemandunya dipercayai mengantuk lalu merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan.

"Bahagian depan Toyota Avanza itu remuk dan roda depan treler tersebut turut tercabut akibat rempuhan kuat. Pemandu lori berkenaan dan pengguna jalan raya turut membantu mengeluarkan mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian. Kesemua mangsa dapat dikeluarkan kira-kira pukul 6.30 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa berasal dari Parit Bakar kecuali Mahani dan tiga anaknya yang tinggal di Bandar Tenggara, Kota Tinggi.

Menurutnya, treler berkenaan yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur diletakkan di bahu jalan kerana pemandunya bersarapan di sebuah warung yang terletak kira-kira 30 meter dari kawasan nahas.

Harun memberitahu, lapan bersaudara itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas melawat seorang saudara mereka yang meninggal dan bertolak dari Kuantan kira-kira pukul 3 pagi.

Mahani dan tiga anaknya tiba dari Kota Tinggi pagi semalam sebelum ke Kuantan, katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah lima mangsa yang maut dalam nahas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Amat di Parit Bakar selepas solat asar hari ini.

Polis buru 40,000 anggota kongsi gelap

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

CYBERJAYA 28 Ogos - Polis menyenaraikan 40,000 anggota kongsi gelap di seluruh negara dalam Op Cantas kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah kekerasan.

Jenayah kekerasan adalah termasuk pembunuhan, pergaduhan, pecah rumah, samun, rogol dan merusuh.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis akan meneruskan operasi itu sehingga kadar jenayah kekerasan di seluruh negara menurun.

"Operasi itu akan diteruskan sehingga keyakinan rakyat terhadap keselamatan meningkat dan persepsi "rasa takut menjadi mangsa jenayah" berkurangan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti LimKokWing di sini, hari ini.

MoU ditandatangani Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan Naib Presiden Kanan universiti itu, Datuk Raja Aznil Raja Hashim.

MoU itu membolehkan universiti tersebut mendapat kontrak lima tahun untuk menyediakan bahan seperti poster, animasi dan klip video kepada PDRM untuk kempen pencegahan jenayah siber.

Op Cantas dilancarkan 23 Ogos lalu berikutan peningkatan laporan jenayah kekerasan termasuk kes tembak dan operasi itu merangkumi pemeriksaan di jalan raya, kelab malam serta kenderaan untuk memeriksa individu yang terbabit dalam penggunaan senjata api tanpa lesen, anggota kongsi gelap, penyalahgunaan dadah, memiliki senjata berbahaya dan mereka dalam senarai dikehendaki polis.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan mengumumkan senarai nama kumpulan kongsi gelap serta jenayah yang dilakukan kumpulan itu dalam tempoh terdekat kerana mereka merupakan pertubuhan haram serta mahu masyarakat faham bahawa polis bersungguh-sungguh dalam usaha menangani jenayah.

Mohd. Bakri berkata, sejak operasi itu dijalankan, 2,247 orang ditahan sehingga semalam di seluruh negara dengan tujuh senjata api, satu bom tangan dan 77 senjata tajam berbahaya dirampas.

Beliau berkata pihak polis juga telah memeriksa 37,305 kenderaan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Utusan Melayu tidak pernah niat jahat

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

PULAU PINANG 28 Ogos - Utusan Melayu (M) Bhd., tidak pernah berniat jahat ketika menyiarkan ucapan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menyifatkan Mat Indera sebagai pejuang negara dan bukannya komunis yang mengetuai serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak berkata, hal ini kerana perkara itu diucapkan sendiri oleh Mohamad di hadapan orang ramai ketika berceramah di Kampung Padang Menora, Tasek Gelugor, dua tahun lalu dan bukannya direka oleh media.

Menurutnya, ucapan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu mendapat maklum balas meluas daripada orang ramai yang terkejut dengan pendiriannya yang dilihat bercanggah dengan fakta sejarah sebenar.

Aziz berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mohamad selaku plaintif dalam perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Utusan Melayu.

Dalam kes itu, Utusan Melayu diwakili oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Mohamad memfailkan saman tersebut pada 21 Disember 2011 dengan menamakan Utusan Melayu dan Aziz sebagai defendan kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadapnya berhubung serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa pihak defendan dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel pada 27 Ogos 2011 dan dua bahan terbitan pada keesokannya yang berunsur fitnah.

Pernyataan pembelaan pihak defendan pula menyatakan bahawa penyiaran artikel-artikel tersebut adalah benar dan ulasan yang saksama serta diterbitkan berdasarkan perlindungan bersyarat.

Aziz berkata, walaupun Utusan terlebih dahulu menyiarkan berita tersebut, namun media lain kemudian turut melaporkannya secara meluas kerana isu tersebut melibatkan kepentingan awam.

Walaupun diasak berulang kali oleh Mohamed Hanipa, Aziz tetap menyatakan Mat Indera adalah pengganas komunis yang pernah memimpin Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM).

Dalam ceramah oleh Mat Sabu itu antara lain beliau menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah wira sebenar dan bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Seri Zakaria Sam bersambung 16 Disember ini.

Palanivel kekal Ahli Parlimen

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Barisan Nasional (BN) kekal memiliki kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Seri G. Palanivel dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Datuk Umi Khaltum Abdul Majid membuat keputusan tersebut ketika membatalkan petisyen yang difailkan calon DAP, M. Manogaran dan memerintahkan supaya beliau selaku pempetisyen membayar kos RM40,000 kepada Palanivel.

Presiden MIC itu, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan SPR mengemukakan bantahan awal terhadap petisyen yang dikemukakan oleh Manogaran untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Tiga pendaki ketuai bacaan ikrar

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

Oleh SYAH HAIRIZALKAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

Mohd. Nasuha, Hafizuddin, Myrza Fasha

KUANTAN 28 Ogos - Tiga pendaki dari negeri ini yang mencatat sejarah menawan Gunung Everest awal tahun ini akan mengetuai bacaan ikrar dalam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini, Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa sambutan, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pemilihan ketiga-tiga pendaki tersebut yang merupakan anak peneroka Felda dibuat bagi menghargai jasa mereka mengharumkan nama negara dan Pahang.

Pemilihan Mohd. Nasuha Shamsudin, Muhammad Hafizuddin Ibrahim dan Myrza Fasha Md. Hamyrudin dilakukan kerana sumbangan mereka mengharumkan nama negara menawan puncak gunung tertinggi di dunia.

Kejayaan ketiga-tiga anak muda itu dapat dikongsi bersama rakyat negeri ini, selain menjadi penyuntik semangat kepada generasi muda lain untuk berusaha gigih mencapai kejayaan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai perbarisan dan persembahan di sini hari ini.

Seramai 7,500 peserta menyertai sambutan itu dengan melibatkan 101 kontinjen dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan berangkat menghadiri sambutan tersebut.

Beliau berkata, perbarisan kali ini turut menampilkan kelainan apabila sebanyak 112 imam dari seluruh negeri turut menyertainya dan lintas hormat oleh pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menjadi daya penarik sambutan itu.

Shafik Fauzan berkata, dua skrin gergasi disediakan bagi memudahkan pengunjung menyaksikan semua aktiviti sama ada perbarisan atau persembahan yang diadakan pada hari tersebut.

Satu persembahan pantomin turut diadakan yang pasti meninggalkan kesan kepada pengunjung tentang pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan tanah air sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku," katanya.

154 penuntut Yayasan Pahang di Mesir pulang minggu ini

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

KUANTAN 28 Ogos - Sebanyak 154 penuntut tajaan Yayasan Pahang (YP) yang menuntut di Mesir akan pulang ke tanah air minggu ini secara berperingkat berikutan pergolakan yang berlaku di negara tersebut.

Pengurus Besarnya, Datuk Sa'ariah Saad berkata, 10 penuntut pula akan pulang minggu depan selepas selesai urusan pensijilan mereka yang akan memudahkan golongan itu untuk meneruskan pengajian di sini.

Katanya, penuntut Pahang yang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar boleh mengambil ujian tersebut di tanah air pada 3 hingga 5 September ini hasil rundingan Kementerian Pendidikan dengan pihak universiti di sana.

"Penuntut di sana berada dalam keadaan baik, malah segala aktiviti yang dilakukan berjalan seperti biasa.

"Keputusan kerajaan membawa pulang penuntut terbabit adalah tepat kerana melibatkan soal keselamatan dan kebajikan yang nyata membawa kelegaan kepada ibu bapa terbabit," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 763 penuntut Pahang melanjutkan pengajian di Mesir melibatkan penuntut tajaan YP, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan persendirian.

Wujudkan modal insan seimbang

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

Oleh M. RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

Mohd. Hafizal Teng Abdullah (bertopi) bersama murid memasak roti pintal ketika menjalani aktiviti ikhtiar hidup di sebuah ladang sawit berhampiran sekolah dalam program Perkhemahan Pengakap Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 28 Ogos - Aktiviti luar bilik darjah seperti perkhemahan pasukan beruniform merupakan salah satu aktiviti yang digalakkan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Program tersebut bukan sahaja mampu membuka minda pelajar sekolah, malah turut dijadikan medium menangani stres ketika sesi pembelajaran di dalam bilik darjah.

Dalam masa sama, cara itu merupakan salah satu aktiviti menyokong saranan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan kegiatan kokurikulum melibatkan program luar bilik darjah diperluaskan.

Sehubungan itu, seramai 67 pelajar dan murid menyertai Perkhemahan Pengakap Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) Peringkat Daerah di Sekolah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi 2 di sini baru-baru ini.

Perkhemahan yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 16 pelajar sekolah menengah dan 51 murid sekolah rendah bersama 25 guru pengiring.

Kem Komander perkhemahan, Mohd. Hafizal Teng Abdullah berkata, perkhemahan tersebut diadakan bertujuan menyahut seruan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani melalui penyertaan dalam bidang kokurikulum.

"Kita juga ingin memberi pendedahan dan pengalaman kepada ahli pengakap PPKIBP yang belum pernah terlibat dengan perkhemahan, di samping memupuk semangat kerjasama di dalam kumpulan.

"Selain itu, kita mahu mereka berdikari dan mempunyai keyakinan diri seperti pelajar di arus perdana melalui aktiviti yang diadakan sepanjang perkemahan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, semua peserta dipilih oleh guru sekolah masing-masing dengan memberi keutamaan kepada mereka yang boleh menguruskan diri bagi mengelak kesukaran untuk mengawal tingkah laku di luar jangkaan.

Jelas beliau, antara aktiviti dijalankan seperti kawad kaki, menanam pokok, menjahit, kembara dan ikhtiar hidup.

Tambahnya, setelah selesai pendaftaran, semua peserta diberi taklimat untuk mendirikan khemah sebelum mereka melakukannya sendiri bersama guru pengiring.

"Peserta dikumpulkan dalam beberapa kumpulan besar untuk melakukan aktiviti menjahit lencana keahlian pada baju uniform masing-masing," ujarnya.

Tambahnya, aktiviti paling mencuri tumpuan ialah kembara dan ikhtiar hidup pada hari kedua yang dijalankan di ladang sawit berhampiran sekolah.

Mohd. Hafizal memberitahu, peserta perlu melalui beberapa halangan ketika aktiviti kembara hutan seperti berjalan di atas titian kecil merentasi anak sungai dan menuruni kawasan berbukit dengan menggunakan tali.

Dalam aktiviti ikhtiar hidup pula katanya, setiap kumpulan hanya dibekalkan dengan mancis, tepung, telur, ubi kentang serta air dan mereka perlu menyediakan makanan sendiri.

"Biarpun mereka kurang upaya, namun semangat kerjasama dalam kumpulan yang ditonjolkan sangat baik, malah mereka turut membantu kumpulan lain," jelasnya.

Katanya, peserta mampu menjalankan setiap aktiviti dengan baik dan majlis penutup perkhemahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Iran pasang 1,000 lagi emparan nuklear

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

VIENNA 29 Ogos - Iran memasang kira-kira 1,000 emparan pengayaan uranium dan dijangka melakukan ujian pemasangan tersebut dalam tempoh terdekat, menurut laporan nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) turut melaporkan bahawa negara itu mula mengumpul bahan api untuk reaktor nuklear, sekali gus menimbulkan kebimbangan Barat jika Iran menghasilkan senjata nuklear.

Iran, bagaimanapun menafikan laporan tersebut. - REUTERS

Adik Assad dalang senjata kimia - Israel

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

Kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle milik Perancis yang dikuasakan tenaga nuklear, dilihat di Pelabuhan Toulon, di Laut Mediterranean, semalam. Presiden Perancis, Francois Hollande berkata, pihaknya bersedia 'menghukum' dalang serangan gas saraf di Syria. - REUTERS

LONDON 28 Ogos - Sebuah saluran televisyen Israel mendakwa, adik kepada Presiden Bashar al-Assad menjadi dalang dalam serangan senjata kimia yang mengorbankan lebih 1,300 rakyat Syria termasuk kanak-kanak, baru-baru ini.

Maher al-Assad, komander kepada 10,000 tentera Pengawal Republikan dan Divisyen Armor Keempat Syria merupakan tokoh utama dalam perang saudara di negara itu sejak dua setengah tahun lalu.

Beliau juga merupakan seorang pemimpin yang ditakuti dalam kerajaan Syria dan tidak muncul di khalayak umum sejak lebih setahun lalu.

Malah, Maher pernah dilaporkan menembak penunjuk perasaan tanpa senjata semasa kebangkitan rakyat yang bermula pada 2011.

Laporan berita The Channel 2 mendakwa, serangan itu telah dilancarkan dari pangkalan Divisyen Armor Keempat Syria di selatan Damsyik.

Bagaimanapun, Syria dengan tegas menafikan penggunaan gas saraf dalam serangan itu.

Dalam perkembangan berasingan, Presiden Perancis, Francois Hollande semalam berikrar untuk menghukum kerajaan Syria yang menjadi suspek utama serangan kimia di Damsyik dan meningkatkan sokongan ketenteraan kepada kumpulan penentang kerajaan.

Perancis telah bersedia untuk menghukum mereka yang membuat keputusan dengan menggunakan senjata kimia terhadap mangsa yang tidak bersalah, katanya dalam satu ucapan yang disiarkan televisyen negara ini sambil menuding jari kepada Assad.

Hollande pada Khamis ini dijadualkan mengadakan pertemuan dengan ketua kumpulan utama penentang kerajaan yang menyalahkan kerajaan Syria dalam serangan tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, sebarang tindakan ke atas Damsyik akan dirancang bagi menghalang penggunaan senjata kimia bukan sahaja di Syria, tetapi di seluruh dunia.

Selepas mengumumkan Parlimen Britain akan dipanggil semula esok bagi membincangkan tentang sebarang tindakan kemungkinan, Cameron menyifatkan penggunaan senjata kimia sebagai tidak dapat dimaafkan dari segi moral.

- AFP/AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sokongan rakyat nadi perangi rasuah

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

KETIKA negara mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu, Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama, pernah menekankan betapa pentingnya kita perlu menghapuskan sama sekali tiga elemen tidak sihat dalam memastikan pembangunan yang mapan. Tiga elemen dimaksudkan ialah rasuah, komunis dan komunalisme (corruption, communist and communalism).

Dalam tempoh lima dekad yang lalu, negara berjaya mengatasi masalah komunis dan komunalisme dengan berkesan. Bagaimanapun masalah rasuah tidak menemui kejayaan signifikan diharapkan.

Masalah rasuah masih menghantui rakyat negara ini.

Saya telah menekankan perkara ini dalam satu sesi dialog sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia Ketujuh di Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Tema sidang kemuncak kali ini menarik. Menyusuri Hari Esok Menerusi Perjalanan Lalu.

Saya berkongsi dengan peserta Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia bagaimana kita telah berjaya keluar daripada masalah komunis dan komunalisme, sedangkan tidak dalam soal memerangi jenayah rasuah.

Tiga dekad yang lalu, apabila saya berada pada persidangan yang sama sebagai seorang peserta, saya pernah membangkitkan pentingnya kita melibatgandakan usaha mengatasi rasuah.

Hari ini, selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya juga memberitahu peserta kalangan generasi muda itu bahawa kita berjaya mengatasi masalah komunis bukan hanya kerana peranan anggota polis dan tentera semata-mata, tetapi disebabkan sokongan padu rakyat.

Kerajaan telah menyediakan undang-undang, dasar sosioekonomi dan program yang bersesuaian untuk membebaskan rakyat daripada ancaman komunis dan komunalisme. Bukan sahaja rakyat, semua parti politik bersatu suara dalam merealisasikan misi menghapuskan elemen komunis dan komunalisme. Bukan hanya undang-undang dan pembaharuan fizikal menghapuskan komunis, tetapi kemahuan dan sokongan setiap anggota masyarakat.

Justeru, saya masih mencari jawapan mengapa kita belum mendapat sokongan padu dan menyeluruh daripada setiap rakyat dalam soal memerangi rasuah. Kita juga mengadakan undang-undang yang sewajarnya dari semasa ke semasa. Tetapi perpaduan bagi menangani gejala rasuah tidak sekuat mengatasi isu komunis dan komunalisme.

SPRM, yang sebelum Januari 2009 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), memerlukan sokongan padu rakyat segenap lapisan masyarakat untuk memerangi rasuah. Saya mengakui kita tidak dapat menghapuskan rasuah seratus peratus. Malah setiap daripada kita juga akan menerima hakikat ini.

Tetapi jika kita bersatu dan berganding tenaga tanpa mengira status dan kedudukan serta ideologi politik, saya amat yakin kita boleh mengurangkan kes rasuah atau mengawalnya sehingga ke paras minimum.

Beri kami sokongan anda. Kami amat memerlukan sokongan setiap rakyat. Hanya dengan sokongan yang kuat daripada rakyat, pihak yang 'dibuai' rasuah akan takut. Jika tidak, mereka tidak akan menjauhi rasuah.

Visi SPRM ialah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah dan menjadikan SPRM agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia.

Dalam mengejar visi itu, salah satu cabaran dilalui SPRM ialah kekurangan dalam undang-undang termasuk dalam Akta SPRM 2009. Saya juga perlu mengakui Akta SPRM 2009 lebih baik berbanding Akta Pencegahan Rasuah 1997 di mana ia lebih baik jika dibandingkan dengan Akta BPR.

Peredaran masa dan kerumitan persekitaran memerlukan sistem perundangan yang lebih kemas lagi berkesan.

SPRM berhasrat untuk menjadi suruhanjaya anti rasuah yang profesional dalam menguatkuasakan undang-undang dan mendidik orang ramai terhadap rasuah dalam usaha ke arah pencegahan yang lebih besar untuk membasmi rasuah di Malaysia melalui prinsip bebas, telus dan profesional.

Kewujudan entiti pencegahan rasuah di Malaysia bermula dengan sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti pencegahan rasuah. Ketika itu, siasatan kes rasuah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia manakala pendakwaan pula dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara. Kerajaan kemudiannya telah menggabungkan usaha pencegahan rasuah oleh ketiga-tiga agensi itu dengan mewujudkan BPR pada 1 Oktober 1967.

Pada 29 Ogos 1973, entiti pencegahan rasuah negara diwujudkan secara undang-undang apabila Akta Biro Siasatan Negara diperkenan, sekali gus mengubah entiti BPR kepada Biro Siasatan Negara (BSN). Perubahan itu telah meluaskan kuasa perundangan BSN dengan mandat untuk menyiasat kes berkaitan kepentingan negara, di samping kes rasuah.

Bagaimanapun, perubahan sekali lagi berlaku apabila Akta BPR 1982 diluluskan oleh Parlimen pada 13 Mei 1982. Akta ini meletakkan semula tugas pencegahan rasuah kepada BPR yang secara rasminya juga menggantikan BSN. Perubahan ini memartabatkan peranan BPR sebagai entiti tunggal yang dipertanggungjawabkan khusus untuk mencegah jenayah rasuah.

Pada tahun 2008, Parlimen telah bersetuju supaya SPRM diwujudkan bagi menggantikan BPR, selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

Transformasi BPR kepada SPRM bukan pada nama semata-mata. Perubahan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia, sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap entiti pencegahan rasuah ini yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan tidak telus.

Justeru, mekanisme 'check and balance' diwujudkan melalui pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawab SPRM dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus. Keanggotaan kelima-lima entiti bebas ini dipilih daripada kalangan individu berintegriti yang cemerlang dalam perkhidmatan dan profesion masing-masing.

Cabaran yang bakal ditempuhi oleh SPRM pada tahun-tahun mendatang ialah membuktikan kepada masyarakat bahawa transformasi dilalui SPRM akan membawa perubahan besar ke atas keseluruhan sistem operasinya.

Sesungguhnya kejayaan dicatatkan oleh SPRM selama ini telah menjadikan ia sebagai sebuah agensi yang dinamik dan sentiasa bergerak ke arah kecemerlangan.

SPRM kini dalam proses perbincangan dengan Peguam Negara untuk meminda Akta SPRM bagi memberi skop perundangan yang lebih luas. Antaranya peruntukan liabiliti korporat, mewajibkan mana-mana individu mengisytiharkan aset tanpa perlu mengemukakan asas elemen rasuah.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 bagi tempoh tiga tahun akan datang akan menyaksikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Antirasuah terus mempertingkat proses perubahan yang dicetuskan dalam GTP 1.0 dengan tiga aliran kerja menjadi tunjang iaitu agensi penguatkuasaan, rasuah besar dan perolehan kerajaan.

GTP 2.0 bakal menyaksikan penambahan komponen pendidikan kepada generasi muda untuk membentuk generasi akan datang yang peka dan bersikap proaktif terhadap usaha membanteras rasuah. Antara elemen dalam pendidikan yang diketengahkan ialah penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah di Maktab Perguruan, memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah serta latihan kepada anggota Parlimen.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) negara - bukti kukuh yang kerajaan serius dalam usaha mengurangkan rasuah.

Kerajaan juga mengumumkan inisiatif penambahbaikan pengurusan dan politik, mewujudkan unit pematuhan di semua badan kerajaan, mengurangkan peluang berlakunya rasuah melalui automasi, mewujudkan Perbadanan Pengurusan Aset Pusat, pengenalan program Ikrar Integriti Korporat (CIP), kewujudan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta portal MyProcurement.

Keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah sangat penting. Persepsi rakyat masih menjadi cabaran utama kerajaan dalam membanteras jenayah dan memerlukan tempoh masa yang lama untuk mengubah serta mendidik rakyat tentang kesan gejala rasuah dalam negara.

Buku terbaru Combatting Corruption: Understanding Anti-Corruption Initiatives in Malaysia menyebut "cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan Malaysia ialah meyakinkan kumpulan bisnes dan publik yang masalah rasuah ditangani secara serius."

Pendek kata, rasuah perlu dan harus diperangi secara serius di semua peringkat. Usaha ini tidak boleh diserahkan kepada SPRM semata-mata. Rakyat perlu memainkan peranan. Pertubuhan bukan kerajaan ada peranan. Begitu juga pihak industri dan bisnes. Tidak ketinggalan ahli-ahli politik dan penggubal undang-undang.

Iltizam politik bukan sahaja perlu diperlihatkan oleh pihak pemerintah, sebaliknya ia harus ditonjolkan oleh parti-parti politik dan orang ramai.

Anda boleh lakukan perubahan perangi rasuah!

Niat tersirat Barat serang Damsyik

Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT

Oleh Azmi Hassan

MEMANG tidak syak lagi Amerika Syarikat (AS) sudah bersiap sedia untuk menyerang Syria bila-bila masa sahaja kerana Naib Presiden Joe Biden semalam menegaskan kerajaan Bashar al Assad sememangnya bertanggungjawab di atas penggunaan senjata kimia dipinggir bandar Damsyik pada 21 Ogos lepas.

Kenyataan Biden itu dikeluarkan ketika pasukan pemantau senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sedang berada di Syria masih belum selesai melaksanakan tugas kerana gagal memasuki kawasan kejadian.

Seperti mana dengan Biden, Setiausaha Negara John Kerry dan Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel menegaskan tentera AS dan sekutunya sudah bersiap sedia untuk menyerang Syria dan hanya menunggu arahan daripada Presiden Barack Obama sahaja.

Presiden Obama pula bagaikan menunggu selesainya persidangan khas Parlimen Britain yang dijadualkan berlangsung hari ini untuk memberi kebenaran kepada Perdana Menteri David Cameron.

Nampak gayanya bukan sahaja AS sudah siap bersedia untuk berperang tetapi juga sekutu mereka dari Eropah seperti Britain, Perancis dan Jerman juga senada bahawa Damsyik perlu menerima akibatnya kerana dikatakan tiada sifat kemanusiaan membunuh rakyat sendiri dengan senjata kimia.

Berbeza dengan pencerobohan Iraq di mana Jerman tidak mengambil bahagian kerana tidak bersetuju dengan tindakan AS ataupun Libya hanya Britain dan Perancis yang mengetuai serangan, serangan terhadap Syria mendapat sokongan padu sekutu AS.

Tetapi sokongan sebulat suara sekutu AS ini tidak memberi makna campur tangan secara langsung kuasa besar adalah jalan terbaik demi mencari penyelesaian kemelut yang telah banyak mengorbankan rakyat negara yang tidak lama dahulu antara yang termakmur di bumi Arab.

Selama ini kuasa Barat yang hanya membiarkan negara lain seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Turki bertindak sebagai proksi membantu tentera pemberontak berdepan dengan tentera kerajaan Syria bagaikan mendapat kekuatan baru untuk campur tangan dengan berbekalkan alasan penggunaan senjata kimia.

Tetapi begitu ternyata sekali setelah hampir dua tahun perang meletus, kerajaan Bashar langsung tidak dapat dilumpuhkan oleh beberapa kumpulan tentera pemberontak yang diketuai oleh kumpulan terbesar dan diiktiraf oleh kuasa Barat iaitu Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Tetapi hakikatnya, walaupun FSA dibantu dan diiktiraf oleh kuasa Barat, kumpulan pemberontak yang paling berkesan menentang tentera kerajaan Bashar adalah daripada kalangan pemberontak yang tidak bersekutu dengan FSA.

Apa yang dikhuatiri oleh Washington adalah jika kerajaan Bashar tumbang dalam keadaan ketika ini, maka Syria akan menjerumus seperti mana yang telah menimpa Iraq dan Libya di mana negara tersebut telah berpecah kepada beberapa wilayah kawalan kumpulan pemberontak berlainan.

Paling membimbangkan AS dan sekutu Eropahnya adalah kumpulan pemberontak Syria yang paling kuat dan berpengaruh pada ketika ini adalah kumpulan yang berpegang kepada prinsip perjuangan Islam seperti mana yang diamalkan oleh Ikhwanul Muslimin contohnya.

Sudah pasti AS tidak mahu Syria diterajui oleh kerajaan yang tidak selari dengan dasar luar Washington seperti mana yang berlaku ketika Presiden Mohamed Morsi memerintah Mesir. Tetapi jika dibiarkan Syria dalam keadaan sekarang, besar kemungkinan pemimpin FSA akan hanya mempunyai pengaruh yang sedikit dalam kerajaan baru pasca Bashar.

Justifikasi senjata kimia adalah dalil terbaik untuk digunakan oleh kuasa Barat sebagai alasan menyerang Damsyik dan seterusnya melumpuhkan kerajaan Bashar. AS dan sekutunya tidak akan menggunakan strategi sebagaimana yang diamalkan untuk menghapuskan Saddam Hussein pada tahun 2003 dengan menyerang secara besar-besaran.

Apa yang direncanakan adalah hanya untuk melancarkan serangan peluru berpandu terhadap sasaran bernilai tinggi seperti pangkalan tentera dan bangunan kerajaan Syria yang menjadi tonggak kuasa Bashar.

Washington berpendapat serangan sedemikian rupa dapat memberi tekanan kepada Bashar dan akhirnya melumpuhkan pemerintahan beliau sedikit demi sedikit. Runtuhnya kerajaan Bashar secara mendadak akan menimbulkan keadaan yang tidak menentu di Syria dan ini sudah pasti akan memberi peluang kepada pemberontak yang tidak selari dengan pendirian Washington mempengaruhi penubuhan kerajaan sementara.

Tetapi jika Bashar berundur secara berunding dan teratur maka keadaan ini akan memberi peluang kepada FSA mengambil bahagian dengan lebih bermakna kerana pada situasi sebegini sudah pasti Washington dan sekutunya mampu menggunakan pengaruh mereka sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegini, Rusia dan China yang selama ini penyokong kuat Damsyik sudah pasti akan mengambil pendirian berkecuali kerana begitu sukar untuk mempertahankan Bashar selepas peristiwa serangan senjata kimia.

Sebenarnya rancangan AS yang merencanakan supaya FSA yang mempunyai peranan lebih besar pasca Bashar dan bukannya kumpulan pemberontak ala Ikhwanul Muslimin adalah selari dengan dasar yang diamalkan oleh Moscow dan Beijing apabila berhadapan dengan pemberontak Islam.

Ini adalah kerana kedua-dua negara tersebut masing-masing berhadapan dengan masalah pemberontak Islam di wilayah Chechnya dan Xinjiang yang sedang memperjuangkan kemerdekaan daripada kerajaan pusat Moscow dan Beijing.

Sudah pasti Rusia dan China tidak mahu pemberontak Islam mendapat tempat selepas era Bashar kerana keadaan sedemikian akan memberi isyarat kepada pemberontak Islam bahawa mereka juga boleh mencapai kemerdekaan di Chechnya dan Xinjiang.

Tidak syak lagi Damsyik akan dihujani oleh peluru berpadu dalam masa beberapa hari lagi dan episod menyayat hati ini bagaikan tidak boleh berhenti melanda dunia Arab yang telah bermula di Iraq sedekad yang lepas.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


NGO bantah Lamb of God buat persembahan di KL

Posted: 28 Aug 2013 03:57 AM PDT

KUMPULAN heavy metal Lamb of God

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) didesak tidak membenarkan kumpulan muzik metal yang mempromosi sentimen antiagama, Lamb of God mengadakan persembahan di negara ini.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsa Alla Pitchay berkata, langkah itu penting memandangkan kumpulan dari Virginia, Amerika Syarikat (AS) itu didakwa pernah menghina agama Islam dengan memperdengarkan bacaan ayat al-Quran pada permulaan persembahan mereka di Florida sebelum ini.

Menurutnya, umat Islam di negara ini harus senada dalam membantah konsert kumpulan tersebut yang dijadual diadakan di ibu kota pada 28 September ini.

"Pihak kami khuatir kumpulan seperti ini akan membawa kemudaratan kepada masyarakat, merosakkan akidah umat Islam dan mendedahkan agama Islam kepada lebih banyak penghinaan selepas ini.

"Ini sekali gus menyentuh sensitiviti umat Islam kerana ayat suci al-Quran adalah kalamullah yang perlu dihormati dan tidak sewajarnya diperlekehkan sebegitu dan dimainkan bacaannya pada keadaan konsert sebegitu," katanya selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Video persembahan Lamb of God itu boleh ditonton di laman You Tube di sini:

Persembahan Lamb of God yang dianjurkan Rockaway Festival pada 28 September ini akan diadakan di KL-Live, Jalan Sultan Ismail dan turut menampil beberapa kumpulan muzik lain termasuk pemuzik tempatan, Deja Voodo Spells.

Tiket konsert berkenaan yang berharga RM130 hingga RM170 dijual oleh Red Tix, sebuah syarikat milik Air Asia.

Mengulas lanjut, Amir Amsa memberitahu, beliau dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menghantar memorandum bantahan berhubung persembahan tersebut kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada minggu depan. - UTUSAN ONLINE

Pawagam mula siar

Posted: 28 Aug 2013 03:13 AM PDT

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kira-kira 123 pawagam di seluruh negara mula menayangkan lagu Negaraku sebelum tayangan filem bermula, sempena sambutan kemerdekaan negara ke-56.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tayangan lagu kebangsaan dengan dua klip khas itu akan dilaksanakan selama seminggu sehingga 3 September ini.

Tayangan lagu khas Negaraku itu dilancar Shabery sebelum tayangan filem The Conjuring arahan anak Malaysia, James Wan, di Pawagam GSC Pavilion di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Pertemuan singkat ke jenjang pelamin

Posted: 27 Aug 2013 11:48 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Ahmad Abdul Hamid (lima dari kanan) dan barisan penaja Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-4 bergambar bersama pasangan raja sehari.

KALAU sudah namanya jodoh, walaupun hanya bertemu beberapa minit di kedai runcit akhirnya membawa ke jenjang pelamin juga.

Hanya berselisih pandangan, berbalas senyuman tanpa sepatah kata, namun dek menggemari makanan yang sama, menjadi penyebab bertaut cinta Izyan Shazana Mazlan, 26, bersama pasangannya ,Mohd. Saharani Muhammad, 27.

"Perkenalan kami berlaku secara tidak sengaja di sebuah kedai runcit. Waktu itu kami berdua sama-sama mencari coklat choki choki. Kami tidak berbual panjang pun, sekadar bertanya nama dan sempat bertukar nombor telefon.

"Itulah agaknya dipanggil dari mata turun ke hati. Bermula dari situ kami jadi kawan sehingga bergelar pasangan kekasih," ujar Mohd. Saharani ditemui pada majlis persandingannya.

Setahun mendalami hati budi masing-masing, kemudian mengikat tali pertunangan dan menyertai Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-4 sehingga terpilih sebagai pemenang tempat kedua.

Pada tanggal 23 Ogos lalu selepas menunaikan solat Isyak, cinta mereka bersatu apabila diijabkabulkan dalam suasana ringkas penuh meriah di kediaman ibu bapa Izyan Shazana di Taman Marida, Senawang, Negeri Sembilan.

"Alhamdulillah dengan hanya sekali lafaz dan lancar, Izyan Shazana telah menjadi isteri saya yang sah," ujar Mohd. Saharani menzahirkan rasa teruja setelah bergelar suami.

Walaupun penulis tidak berkesempatan menghadiri majlis akad nikah tersebut, Mohd. Saharani dengan berbesar hati mempertontonkan rakaman majlis akad nikahnya menerusi telefon bimbit.

Tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya, Mohd. Saharani yang juga penyampai di sebuah stesen radio swasta terkenal, menyatakan selepas ini dia akan tinggal bersama keluarga mentuanya di Senawang.

Bagi Saharani, walaupun terpaksa berulang-alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur, itu bukan satu masalah. Malah satu penghargaan bagi dirinya yang merupakan satu-satunya menantu lelaki di pihak keluarga Izyan Shazana.

Izyan Shazana merupakan anak kedua daripada empat beradik dan merupakan tunggal perempuan.

Sementara itu, pengantin perempuan turut mengambil kesempatan melahirkan rasa syukur kerana memenangi pertandingan yang menjadi idaman kebanyakan pasangan yang sudah bertunang.

"Syukur sangat kerana ia memang membantu dalam meringankan perbelanjaan dan mempermudahkan pelbagai urusan termasuk mengambil kursus kahwin.

"Kalau kami tak menang persediaan perkahwinan ini pasti mengambil masa yang lebih lama," jelas Izyan Shazana yang kini berkerja dengan bapanya yang mengusahakan perniagaan dalam bidang agro di Kuala Pilah.

Pasangan itu memenangi tajaan pakej perkahwinan bernilai RM80,000, sebuah motosikal, wang tunai RM3,000, barang elektrik dan barang kemas. Malah mereka juga menerima tajaan pakej berbulan madu tajaan Poto Travel & Tours Sdn. Bhd. ke Beijing.

"Kami akan bertolak ke Beijing pada 25 Oktober ini. Tentang cahaya mata, kami tidak merancang sebaliknya berserah segalanya kepada Allah SWT.

"Kami berharap hubungan ini akan berkekalan hingga ke syurga dan dengan perkahwinan kami juga mengeratkan silaturrahim antara dua keluarga," ujar Izyan Shazana penuh harapan.

Cabaran merias tudung pengantin

Posted: 27 Aug 2013 11:48 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

MEMANG mencabar menghasilkan tudung untuk dipadankan dengan baju pengantin yang dihasilkan oleh penaja lain.

Itulah cabaran utama yang dihadapi penaja tudung perkahwinan Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-4, Eja Shahril Collection & Design.

Mahu dikenali dengan nama Eja Shahril sahaja, pengalaman mengajarnya agar melaksanakan sesuatu mengikut tertib. Dan apabila segalanya disusun dengan teliti, apa jua cabaran berjaya diatasi.

Pertama sekali penting bagi Eja mendapatkan sampel kain baju pengantin. Selepas itu usaha mencari kain tudung dan manik yang sama dengan pakaian pun bermula.

"Yang menjadikannya makin mencabar ialah apabila akhirnya melihat pakaian yang siap itu mempunyai manik yang berbeza dengan tudung yang saya sudah siapkan.

"Ketika itu hanya dua minggu sebelum majlis persandingan ini dan saya segera mengubah jahitan manik supaya ia kelihatan lebih sepadan dengan pakaian," ujar Eja yang ditemui di dalam bilik pengantin ketika dia sedang menggayakan tudung buat Izyan Shazana Mazlan.

Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi, bagi Eja semua itu sebahagian daripada pengalaman dan pengajaran berharga untuk bergelar usahawan dan pereka fesyen berjaya.

Pengalaman dan ilmu dimiliki Eja juga menjadikan dia begitu arif menghasilkan rekaan tudung dan baju pengantin berkonsepkan Islamik yang menarik.

"Satu tip yang boleh Eja kongsi ialah kalau baju sudah sarat, tudung tidak perlu lagi sarat dengan manik, layah juga boleh dipadankan dengan tudung dan pakaian.

"Berpenampilan muslimah dengan tudung labuh juga memang boleh berfesyen asal kena gayanya," ujarnya.

Eja mula memasuki dunia fesyen pengantin muslimah pada tahun 2009. Dia sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai pegawai tadbir diplomatik di Kuala Lumpur semata-mata mahu bersama suami yang berkhidmat di Pulau Pinang.

Ketika itu juga minat Eja dalam dunia rekaan fesyen dan pengantin menambah keyakinan untuk mengubah kehidupan menerusi bakat dan minat.

"Sebenarnya memang Eja mempunyai asas dalam bidang fesyen yang Eja ambil ketika menuntut di Universiti Limkokwing.

"Konsep Eja berbeza dengan pereka fesyen lain kerana Eja mempertaruhkan konsep Islamic Wedding (perkahwinan Islamik).

"Salah satu contoh Islamic Wedding adalah seperti perkahwinan pelakon dan pengacara, Irma Hasmie yang mana suaminya menggayakan jubah berbanding kebiasaan baju Melayu.

"Untuk pengantin perempuan pula, Eja mengutamakan potongan pakaian yang tidak terlalu ketat tetapi masih boleh bergaya. Tudung juga mesti melepasi paras dada dan sedikit labuh dan pengantin masih kelihatan berseri sesuai dengan penggayaan yang dicadangkan kepada mereka," ujar Eja yang turut mengusahakan perniagaannya secara dalam talian.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


10 tahun dihantui banjir kilat

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIn
kota@utusangroup.com.my

Ketua kampung, Hassan Abdul Rahman (kanan) dan penduduk Abdul Samad Ibrahim menunjukkan perangkap sampah yang tersumbat apabila hujan sehingga menyebabkan Kampung Pasir, Hulu Klang, Selangor dilanda banjir kilat pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Setiap kali hujan, hati mereka mula gelisah.

Mereka bimbang rumah yang terletak di kawasan rendah itu akan dilanda banjir. Dan, jika itu berlaku, maka mereka terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk membersihkan rumah dan perabot seperti yang terpaksa mereka lakukan sejak lebih sepuluh tahun lalu.

Bencana banjir kilat yang melanda Kampung Pasir di Hulu Klang, dekat sini itu kali terakhir dialami penduduk pada Jumaat lepas, yang sekali gus merencatkan kemeriahan suasana menyambut Aidilfitri di penempatan itu.

Penduduk berkata, mereka terpaksa menanggung kerugian besar setiap kali banjir kilat berlaku kerana barangan mereka, terutama perabot dirosakkan air yang membawa lumpur.

Ketika wartawan Utusan Malaysia ke kampung itu hari ini, kesan banjir pada Jumaat lalu masih dapat dilihat. Di kebanyakan rumah, barangan seperti permaidani masih terjemur di luar untuk dikeringkan selepas dibasuh.

Mereka yang ditemui mendakwa, banjir yang kerap mereka hadapi disebabkan kampung itu tidak memiliki sistem perparitan dan saliran sempurna.

Akhir-akhir ini keadaan semakin teruk, kata mereka, yang mendakwa ia mungkin berpunca daripada aktiviti pembangunan perumahan di kawasan berhampiran di kedudukan lebih tinggi daripada kampung mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat sebuah kolam takungan yang mempunyai perangkap sampah dari kawasan perumahan berdekatan, tetapi penduduk mendakwa tidak membantu melancarkan aliran air apabila hujan lebat.

Penduduk memberitahu, jika hujan, perangkap tersebut akan dipenuhi sampah dan menghalang aliran air selain turut mengakibatkan tebing kolam takungan air itu runtuh.

Parit itu terletak di kawasan lebih tinggi daripada kampung itu menyebabkan air dari tebing yang runtuh itu terus menderu ke Kampung Pasir di bawahnya.

Penduduk juga berkata, banjir juga berlaku disebabkan oleh pembinaan sebuah kondominium yang terbengkalai sejak sepuluh tahun lalu tidak menyediakan sistem perparitan yang sempurna.

Mereka mendakwa, projek pembangunan kondominium berkenaan tidak mengikut spesifikasi asas yang ditetapkan menyebabkan masalah banjir kilat bertambah buruk.

Kondominium setinggi 12 tingkat tersebut juga dakwa mereka telah diambil alih oleh beberapa pemaju akibat daripada masalah dalaman projek berkenaan.

Tetapi yang terpaksa menanggung akibat daripada projek terbengkalai tersebut adalah penduduk Kampung Pasir terutamanya yang tinggal di sepanjang Jalan Hj. Mokhtar.

3 pihak biayai pembaikan cerun

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kerajaan Pusat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan I&P Sdn. Bhd. akan membiayai kos pembaikan cerun Bukit Setiawangsa dan bayaran mengambil semula tanah yang terlibat dengan kerja-kerja itu.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, kos membabitkan dua perkara tersebut masih di peringkat kajian oleh pihak yang terlibat.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa kerja-kerja mengkaji kecuraman cerun mengikut Garis Panduan 2010 telah selesai dilaksanakan oleh perunding yang dilantik oleh I&P selaku syarikat pemaju perumahan di atas Bukit Setiawangsa.

"Satu pertemuan antara penduduk dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib kini sedang diatur bagi membolehkan segala maklumat mengenai keselamatan kawasan itu diterangkan.

"Beliau kini berada di luar negara dan saya akan menggesa perjumpaan itu dipercepatkan kerana kita tidak mahu penduduk tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya di puncak bukit tersebut," katanya ketika ditemui.

Minggu lalu, bekas Ahli Parlimen kawasan itu yang juga mangsa kejadian tembok runtuh pada Disember lalu, Tan Sri Zulhasnan Rafique memaklumkan, kecuraman cerun bukit itu akan dikurangkan daripada 70 darjah kepada 39 darjah.

Malah, kerajaan turut memutuskan untuk mengambil semula tanah yang menempatkan banglo Zulhasnan; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan bekas tapak rumah seorang ahli perniagaan Arab yang terlibat dengan kerja pembaikan cerun itu.

Jeti pendaratan ikan haram diroboh

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Jeti pendaratan ikan di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, yang dikenakan tindakan roboh pada Jumaat lalu.

SABAK BERNAM 27 Ogos - Keingkaran dan kedegilan seorang pemilik sebuah jeti pendaratan ikan di Bagan Nakhoda Omar di sini yang enggan mengosongkan premis yang dibina tanpa kebenaran mengundang padah apabila pihak berkuasa bertindak merobohkan jeti tersebut baru-baru ini.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kanan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Dzulkefly Idrus berkata, operasi meroboh yang dijalankan pada Jumaat lalu itu melibatkan 60 pegawai LUAS, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Jabatan Kerja Raya serta dipantau oleh polis.

Menurut beliau, pengusaha jeti berkenaan telah diberikan notis sebanyak tiga kali sejak 2011 supaya mengosongkan premis haram tersebut namun arahan itu tidak dipedulikan dan perniagaannya diteruskan.

Beliau berkata, tindakan pengusaha terbabit memaksa Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan agar jeti yang didirikan di atas tanah rezab Melayu milik kerajaan negeri itu dirobohkan.

"Sebelum itu, LUAS bersama Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) pernah menjalankan operasi bersepadu memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan pada Mei 2012.

"Bagaimanapun tindakan itu tidak memberi sebarang kesan apabila pengusaha terbabit tetap menjalankan operasi dan akhirnya tindakan yang lebih tegas terpaksa diambil dengan meroboh struktur jeti ini pada Jumaat lalu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, sebelum membina premis itu, pemilik jeti berkenaan pernah meminta kebenaran untuk mendirikan jeti di kawasan itu tetapi tidak diluluskan kerana melibatkan tanah rezab Melayu.

"Pengusaha terbabit telah bertindak mendirikan jeti tersebut tanpa kebenaran dan tidak bimbang tindakan penguatkuasaan kerajaan negeri yang bakal dihadapi.

"Kami menyeru mana-mana pihak supaya mendapatkan kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mendirikan premis perniagaan di kawasan tertentu bagi mengelakkan tindakan undang-undang dan mengalami sebarang kerugian," katanya.

Tambah beliau, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menceroboh tanah kerajaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bakal haji bersyukur dipilih

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin (kanan) beramah mesra dengan Kamdani Mohd. Asnan (berkerusi roda) yang kudung kaki kanannya semasa beliau hadir dalam Majlis Perjumpaan Dengan Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 27 ogos - Biarpun perlu berkerusi roda atau bertongkat, bagi bakal haji, Kamdani Mohd. Asnan, 60, kesulitan itu bukan penghalang untuknya mengerjakan ibadat haji bersama rombongan kerajaan negeri Johor September ini.

Dia yang terpaksa berkerusi roda selepas kaki kanannya dipotong sehingga paras lutut pada Mei lalu akibat penyakit kencing manis sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas peluang menjadi tetamu Allah itu.

"Tak terlahir rasa gembira bila diberitahu saya terpilih mengikuti rombongan kerajaan Johor menunaikan ibadat haji tahun ini. Bersyukur sangat atas rezeki yang diberikan kepada saya dan saya akan berlepas pada 14 September ini.

"Tetapi saya turut berasa sedih kerana isteri tidak dapat turut serta, namun saya harap rayuannya untuk pergi bersama saya dipertimbang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1434H/2013M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.

Kamdani merupakan antara antara 2,700 orang yang berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima berkenaan tahun ini dan akan berlepas dengan tujuh penerbangan mulai 9 September sehingga 5 Oktober ini.

Sementara itu, mualaf, Norhayati Abdullah, 53, menyifatkan peluang menjejak kaki ke tanah suci bagaikan satu mimpi dan Allah mendengar doanya untuk ke sana.

Ibu kepada enam cahaya mata yang memeluk Islam kira-kira 30 tahun lalu itu berharap segala urusannya di sana dipermudahkan Allah dan dapat mengerjakan Rukun Islam kelima tersebut dengan sempurna.

"Saya memang berhajat mengerjakan haji, saya mahu melihat Kaabah dan alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya," katanya.

Siswa UiTM kutuk keganasan

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

Sebahagian daripada pelajar dan kakitangan UiTM Segamat berdoa memohon keselamatan rakyat Malaysia di Mesir selepas solat hajat di Masjid As Syakirin, UiTM Segamat, baru-baru ini - UTUSAN/MOHAMED SAARI

SEGAMAT 27 Ogos - Seramai 6,000 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, di sini menurunkan tandatangan di kain rentang sebagai mengutuk keganasan di Mesir serta mengadakan solat hajat selepas selesai fardu Jumaat di Masjid As-Syakirin di sini baru-baru ini bagi mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di sana.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Segamat, Mohd. Asraf Senen berkata, suara penuntut itu adalah bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan ganas pihak tentera di Mesir dengan menzalimi rakyat mereka.

"Pihak MPP mengambil masa seminggu untuk mengumpul tanda tangan daripada 6,000 penuntut dari Fakulti Perniagaan, Perakaunan, Pengurusan Maklumat, Sains Komputer dan Maklumat.

"Harapan kita agar kekejaman tersebut dihentikan dan semua rakyat Malaysia termasuk penuntut di Mesir dalam keadaan selamat," katanya yang ditemui di pekarangan masjid berkenaan.

Program menandatangani kain rentang dan solat hajat anjuran oleh MPP UiTM Segamat itu adalah yang pertama dilakukan oleh penuntut UiTM di negara ini dan secara tidak langsung dapat melahirkan rasa kesyukuran dalam kalangan penuntut di negara ini kerana dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan aman.

Sementara itu, Naib Rektor UiTM Segamat, Dr. Mohd. Halim Kadri berkata, program tersebut secara tidak langsung menunjukkan mahasiswa prihatin terhadap isu-isu semasa dan dapat menimbulkan sifat insaniah terhadap keamanan.

"Sebagai pemimpin masa depan sikap yang ditunjukkan oleh penuntut di sini memberi gambaran kita tidak ketandusan pemimpin yang berkebolehan dan nilai jati diri serta modal insan yang seiring dengan kehendak zaman pada masa akan datang bagi mentadbir negara ini.

"Mereka juga begitu menginsafi dengan nasib yang menimpa rakan mereka di sana dan bersyukur berpeluang menuntut ilmu dalam keadaan negara yang aman tenteram dan diharapkan segalanya akan dijadikan pengajaran kepada mereka untuk menjaga kestabilan dan kemakmuran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved