Khamis, 23 Mei 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Mitsubishi lancar ASX baharu

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

ASX dilengkapi dengan enjin 2.0L DOHC MIVEC.

KUALA LUMPUR 23 Mei - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, ASX yang dipertingkat dengan harga RM139,981.50 tanpa insurans.

MMM dalam kenyataannya menyatakan, ASX baharu berkenaan didatangkan dengan rekaan luar baharu termasuk rekaan jeriji bumpsr yang menarik.

Kenderaan tersebut juga dilengkapi dengan bumbung panorama, sistem pengelap cermin dan lampu automatik, sistem navigasi, Bluetooth, sambungan iPod dan pelbagai gajet standard lain.

Antara kelengkapan standard ASX adalah kunci pintar, butang menghidupkan enjin, cermin sisi automatik, kawalan cruise, kerusi kulit, pendingin hawa automatik, pedal shift dan rim aloi 17 inci.

Bagi memudahkan pemandu meletakkan kenderaan, ASX turut dibekalkan dengan sistem pengesan di depan dan belakang serta kamera undur.

Dari segi aspek prestasi pula, ASX dilengkapi dengan enjin 2.0L DOHC MIVEC dengan transmisi enam kelajuan automatik INVECS-III CVT dengan mod sport.

Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa setinggi 150 PS pada 6,000 rpm dan kuasa kilas maksimum 197 Nm pada 4,200 rpm, manakala kadar penggunaan minyak adalah 12.2 kilometer untuk setiap liter.

Ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan adalah kawalan kestabilan (ASC), bantuan bukit, brek anti kekunci, pengedaran brek elektronik dan dua beg udara dengan tambahan beg udara di lutut pemandu.

ASX baharu ditawarkan dalam empat warna pilihan iaitu putih mutiara, perak titanium, hitam mica dan merah metalik.

MMM turut menawarkan pakej aksesori untuk ASX baharu iaitu bernilai RM4,599 untuk pakej satu dan RM899 untuk pakej dua.

Nissan panggil balik 841,000 kenderaan

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

TOKYO 23 Mei - Nissan Motor Co. Ltd. (Nissan) akan panggil balik 841,000 kenderaan di seluruh dunia, termasuk kereta kompak Micra yang juga dikenali sebagai March akibat masalah stereng.

Micra yang diperbuat di Britain dan Jepun antara tahun 2002 dan 2006 turut terlibat dalam masalah itu, begitu juga model Cube yang diperbuat di Jepun pada tempoh yang sama.

Syarikat itu akan memanggil balik kenderaan di Jepun, Eropah, Asia, Afrika, Latin Amerika dan Timur Tengah.

Masalah yang timbul ialah selak yang digunakan pada stereng kereta berkenaan mungkin tidak diketatkan dengan betul serta lebih teruk lagi apabila stereng itu berkemungkinan tidak berfungsi, kata Nissan dalam fail kenyataan kepada Kementerian Pengangkutan Jepun.

Menurut jurucakap Nissan, Noriko Yoneyama, bagaimanapun, tiada kemalangan, kecederaan atau kematian yang dilaporkan akibat masalah itu.

Syarikat pengeluar kenderaan auto kedua terbesar Jepun itu memberitahu, Nissan akan memperbaiki masalah tersebut sama ada mengetatkan selak itu atau menggantikan stereng yang baharu.

Kata Yoneyama, kerja membaiki itu akan mengambil masa selama 40 minit, bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai kos yang perlu ditanggung Nissan berhubung panggilan semula terbabit. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kerjasama masyarakat digembleng dalam Jabatan Pencegahan Jenayah

Posted: 23 May 2013 11:06 PM PDT

KUALA LUMPUR 24 Mei - Jabatan Pencegahan Jenayah yang baharu ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melibatkan masyarakat umum secara langsung dalam usaha pencegahan jenayah di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pengumuman secara terperinci mengenai peranan dan fungsi jabatan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Saya akan umumkan bersama-sama dengan pengumuman ketua-ketua jabatan pencegahan Bukit Aman dan di setiap kontinjen negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, apa yang boleh dikatakan setakat ini ialah kerjasama masyarakat umum akan digembleng untuk bersama-sama PDRM dalam usaha mengurangkan kadar jenayah sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Rabu lepas, Khalid mengumumkan penubuhan jabatan itu di peringkat Bukit Aman serta ibu pejabat polis kontinjen negeri dan daerah.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yusoof pula berkata, peranan jabatan itu kelak akan mengkaji, menstrategi dan mengoperasikan kaedah-kaedah pencegahan jenayah sesuai dengan keadaan dan masa serta selaras dengan matlamat mengurangkan jenayah.

"Jabatan ini ditubuhkan atas kesedaran bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada pencegahan. Ini akan meletakkan usaha-usaha NKRA lebih berterusan manakala usaha baharu akan terus diperkenalkan," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Datuk Akhbar Satar yakin peranan jabatan itu mampu mengurangkan kadar jenayah di negara ini dengan penglibatan anggota masyarakat.

Beliau berkata, menerusi penubuhan jabatan itu, polis dan masyarakat dapat berganding bahu, berkongsi maklumat dalam membendung sesuatu kegiatan jenayah.

"Kata orang, 'cegah lebih baik daripada mengubati'. Maksudnya, bila dah ada jabatan macam ni, ia berupaya membendung sesuatu kegiatan jenayah itu daripada berlaku. Bila dah berlaku (sesuatu jenayah) itu, tidak berguna lagi," katanya.

Bernama difahamkan beberapa negara telah mewujudkan Jabatan atau Biro Pencegahan Jenayah, antaranya Kanada, Amerika Syarikat, India, Korea dan Hong Kong.

Menurut Biro Pencegahan Jenayah Polis Hong Kong jabatan itu berperanan mendidik masyarakat umum untuk melindungi diri dan harta benda mereka dengan memberikan nasihat kepada mereka.

Dalam laman web jabatan itu di www.police.gov.hk polis negara itu menjalankan pelbagai kempen pencegahan jenayah melalui ceramah dan media serta menyediakan kursus dan seminar dalam aspek keselamatan untuk polis dan pertubuhan luar.

"Matlamat utama ialah untuk mengajak orang awam untuk lebih bertanggungjawab atas keselamatan diri sendiri dan dengan cara ini mengurangkan kadar jenayah di Hong Kong," menurut laman web itu. - BERNAMA

Padah cuba samun polis, lelaki ditembak mati di Petaling Jaya

Posted: 23 May 2013 11:02 PM PDT

KUALA LUMPUR 24 Mei - Seorang lelaki ditembak mati selepas cuba menyamun seorang anggota polis berpakaian biasa yang sedang mendeposit wang di sebuah bank di Damansara Utama awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, koperal polis berkenaan dihampiri seorang lelaki yang mengugutnya menggunakan pisau pemotong daging.

"Setelah diugut untuk dicederakan, mangsa menyerahkan sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan kunci kereta. Suspek kemudian cuba melarikan diri menggunakan kereta Myvi milik mangsa namun dihalang anggota polis itu.

"Akibat berang, suspek menyerang mangsa dengan mengacukan pisau dan berlaku pergelutan sehingga mangsa terpaksa melepaskan beberapa das tembakan mengenai suspek menyebabkan lelaki itu mati di tempat kejadian," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, suspek warga tempatan berumur 43 tahun itu sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan kes pecah rumah, dadah dan curi kereta.

Arjunaidi berkata anggota polis berusia 34 tahun itu bertugas di Balai Polis Kampung Baru Subang, dekat sini. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Pemantapan sahsiah remaja

Posted: 21 May 2013 10:59 PM PDT

Program Summer Camp menekankan aspek pembentukan sikap positif.

Tidak ada ibu bapa yang tidak menghadapi masalah mendidik anak-anak. Semakin menjelang remaja semakin banyak masalah. Masalah tidak minat belajar, tidak dengar nasihat ibu bapa, tidak suka duduk di rumah, berkawan dengan budak-budak nakal, suka berpeleseran, tenggelam dalam budaya hiburan, derhaka kepada ibu bapa dan malas melakukan ibadah-ibadah yang diwajibkan adalah di antara masalah di kalangan pelajar yang memeningkan ibu bapa.

Kesibukan ibu bapa di tempat kerja dan lain-lain komitmen keluarga menyebabkan anak-anak kurang mendapat perhatian yang akhirnya menjadikan mereka hidup terumbang-ambing tanpa pedoman.

Di sekolah pula mereka berkawan dengan pelajar-pelajar yang juga bermasalah, sementara jiran tetangga dan masyarakat sekeliling pun mengambil sikap tidak campur tangan dalam urusan rumah tangga orang lain.

Dalam suasana sedemikianlah pelajar-pelajar ini terus membesar dan menjadi remaja yang kosong jiwa dan tidak mempunyai hala tuju kehidupan.

Program Summer Camp anjuran AKRAB sudah berusia lebih 30 tahun. Ratusan ribu pelajar dari seluruh negara telah mengikuti program ini. Majoriti mereka sudah berjaya dalam menjalani hidup.

Sebahagiannya menjadi ahli profesional, peniaga, pengurus, pensyarah yang menjadikan kedudukan mereka begitu istimewa di mata masyarakat.

Sentuhan Summer Camp bukan sahaja telah membuka ruang minda mereka, tetapi juga meninggalkan kesan yang mendalam dari segi rangsangan untuk berjaya dalam bidang pelajaran yang membuahkan kejayaan.

Program Summer Camp biasanya berlangsung selama empat hari tiga malam (30 Mei hingga 2 Jun ini) menekankan aspek pembentukan sikap positif di samping memupuk nilai-nilai hidup yang unggul bersendikan kepada kecintaan kepada Allah, rasul, ibu bapa, ummah dan kecemerlangan akademik.

Dibantu tenaga fasilitator yang komited dan memiliki ciri-ciri 'abang dan kakak', mereka mengikuti program dalam suasana kemesraan, hormat-menghormati dan dalam suasana belaian dan kasih sayang.

Fasilitator menyampaikan isi kandungan program dalam suasana penuh kerelaan tanpa paksaan.

Antara perkara yang unik dalam Summer Camp AKRAB ialah ibu bapa dan anggota keluarga terdekat melibatkan diri secara langsung dalam program iaitu di permulaan dan di penghujung program.

Selain daripada Summer Camp, AKRAB juga terlibat mengendalikan program khusus untuk remaja yang dinamakan Kem Jati Diri Remaja.

Ramai ibu bapa yang mengadu mengenai masalah anak-anak remaja seperti ponteng sekolah, pergaulan bebas, tidak menghormati ibubapa, lari dari rumah, memberontak, terlibat dengan kegiatan nakal, mengganggu ketenteraman awam dan sebagainya.

Akibat daripada terbelenggu oleh masalah-masalah yang disebutkan itu, para pelajar atau remaja yang terlibat sering tenggelam dalam aktiviti negatif yang menyebabkan mereka mensia-siakan kehidupan remaja.

Sebahagiannya hidup terumbang-ambing hingga menjadi beban dan dianggap sebagai sampah masyarakat.

Program Jati Diri Remaja yang berlangsung selama lapan hari tujuh malam (28 Mei hingga 4 Jun ini) mengandungi modul-modul latihan yang praktikal bersesuaian dengan kehidupan harian seorang remaja yang berjaya.

Isi kandungannya menggabungkan kekuatan jasmani, intelektual, emosi dan spiritual yang diadun secara holistik dan menyeronokkan. Mereka di didik dan di asuh dalam suasana kasih sayang, hormat-menghormati dan riang-ria tanpa melupakan batasan akhlak dan tuntutan agama.

Para remaja yang telah melalui proses pendidikan yang agak intensif ini, berjaya menimba ilmu dan kemahiran hidup di samping tertanamnya kesedaran yang mendalam tentang peri pentingnya mereka kembali ke pangkal jalan untuk meneruskan kehidupan sebagai remaja yang berguna terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Kedua-dua program anjuran AKRAB itu telah terbukti keunggulannya di mana setelah lebih 30 tahun ia bertapak, sambutan yang diberikan setiap kali diadakan sentiasa di luar dugaan. Untuk cuti persekolahan Mei - Jun ini, AKRAB sekali lagi menganjurkan kedua-dua program tersebut dengan tarikh-tarikh yang telah ditentukan.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi AKRAB melalui talian 03-7732 4452, 03-7732 4453, 013-628 3985, 019-384 0544 atau 019-6386184 atau laman web http://www.familikusayang.com.my atau Facebook AKRAB Ku Sayang

19 murid Orang Asli sertai perkhemahan

Posted: 20 May 2013 11:57 AM PDT

KOTA BHARU 20 Mei - Seramai 19 murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, sebuah sekolah Orang Asli di pedalaman Gua Musang menyertai Perkhemahan Pendedahan Unit Beruniform Pengakap Negeri Kelantan selama tiga hari baru-baru ini.

Murid Orang Asli daripada pelbagai unit beruniform sekolah itu dijemput bersama 16 lagi sekolah rendah sekitar Pengkalan Chepa melibatkan lebih 250 murid keseluruhannya.

Pesuruhjaya Pengakap Kelantan, Mohd. Adnan Hassan Nordin berkata, sekolah Orang Asli itu dijemput pertama kali bertujuan melibatkan mereka bersama rakan sebaya dalam menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

"Penyertaan mereka sangat menggembirakan kami kerana mereka tidak kekok malah dapat bersama-sama dengan pelajar lain sepanjang perkhemahan tiga hari itu.

"Mereka mesra berbincang untuk melaksanakan aktiviti yang ditetapkan termasuk membuat persiapan program kebudayaan, berkawad serta ikhtiar hidup," katanya ketika ditemui dalam majlis penutup perkhemahan itu di Pusat Aktiviti Pengakap Kem Kijang di sini.

Mohd. Adnan memberitahu, kesemua pelajar Orang Asli itu turut dibawa melihat beberapa prasarana yang ada di Kota Bharu seperti Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan menikmati keindahan Pantai Cahaya Bulan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pathmanabhan, 3 lagi dihukum mati

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh SUWARNI MOKHTAR, SITI NOORALINA AHMAD, ZAINAL AZHAR MOHAMED, MOHAMMAD YASIR JAAFAR dan SHAHRINNAHAR LATIB
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 23 Mei - Selepas perbicaraan berlanjutan hampir dua tahun enam bulan, bekas peguam, N. Pathmanabhan hari ini disabitkan bersalah membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan diperintahkan agar digantung sehingga mati.

Yang turut menerima hukuman serupa ialah tiga pekerja Ladang Gadong milik lelaki berusia 44 tahun itu iaitu T. Thilaiyalagan, 22, R. Matan, 23, dan R. Kathavarayan, 33.

Kesemua mereka menerima hukuman tersebut kerana membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Keempat-empat mangsa itu didakwa dibunuh di antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam penghakimannya setebal 16 muka surat, Hakim Akhtar menyatakan, beliau tidak menemui sebarang alasan bahawa kesemua tertuduh tidak boleh disabitkan dengan kesalahan ekoran tiada mayat ditemui.

Ujarnya, bukti yang dikemukakan telah memenuhi elemen yang diperlukan dalam membuktikan pertuduhan membunuh iaitu keempat-empat tertuduh telah menyebabkan kematian Sosilawati dan tiga rakannya dan mereka hanya mempunyai satu niat iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja.

Kesemua bukti dalam kes ini jika dikumpul kesemuanya bersesuaian dengan pepatah yang menyatakan orang mati tidak akan bercerita. Dalam kes ini, tiga lelaki dan seorang wanita yang mati menjerit sekuat hati melalui bukti senyap, satu kisah ketidakjujuran dan penipuan dipacu dengan rasa tamak seorang lelaki yang kerjayanya memperjuangkan kepercayaan dan kehormatan.

Penyangak profesional ini amat sedikit namun mangsa mereka bukan sahaja yang miskin dan kesempitan tetapi juga yang berkedudukan dan berkuasa.

Kes ini merupakan bukti kepada satu plot yang keji dilaksanakan oleh seorang penyangak profesional dan pengikutnya dengan sangat kejam," ujar Hakim Akhtar.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd. Ghani, Siti Rohaida Che Hamid dan Deepa Nair.

Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, Puspam Ratnam, Gurbachan Singh, Amer Hamzah Arshad dan Hasshahari Johari Mawi.

Selepas mahkamah berhenti bersidang, dilihat seorang wanita agak berusia mendekati Thilaiyalagan yang sedang menitiskan air mata dan memeluk tertuduh kedua itu sebelum mencium pipi lelaki itu dan berlalu pergi sambil menangis.

Tertuduh-tertuduh lain dilihat tidak menunjukkan sebarang emosi.

Terdahulu ketika menyentuh mengenai beban pembuktian, Hakim Akhtar menyatakan, tanggungjawab tersebut terletak di atas bahu pihak pendakwaan pada setiap masa dan peringkat kes.

Namun, barisan pembelaan mempunyai tugas untuk memberi penjelasan bagi menepis setiap bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan.

Menyentuh mengenai pembelaan Pathmanabhan yang merupakan tertuduh pertama, hakim tersebut menyatakan, tiada sebarang bukti menyokong bahawa dia telah pergi ke Subang Jaya dengan dipandu oleh tertuduh keempat, Kathavarayan.

Sebaliknya, Kathavarayan atau turut dikenali dengan nama Ravi menafikan keterangan itu dan secara tidak langsung menyokong bukti pihak pendakwaan bahawa Pathmanabhan telah pergi ke Subang Jaya dengan memandu kereta salah sebuah kereta mangsanya dan ditemui tidak jauh dari tempat tertuduh itu bertemu rakannya.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu kereta milik Ahmad Kamil ditemui di tempat letak kereta Jalan SS12/1B, berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada pukul 10.55 malam, 6 September 2010.

Tertuduh pertama memberi keterangan bahawa dia mewakili Sosilawati dan seorang lelaki bernama Rahman Palil dalam pembelian dua keping tanah di samping mengaut keuntungan daripada transaksi-transaksi tersebut.

Tindakan ini bukan sahaja tidak beretika malah turut menjejaskan sifat adilnya. Tertuduh mewakili Sosilawati dan Rahman Palil dalam transaksi yang sama dan dengan berbuat demikian dia telah terperangkap di antara kedua-dua mereka.

Adalah keterangan tertuduh pertama bahawa dia berat hati untuk mengaturkan pertemuan di antara kedua-dua pihak. Bila terperangkap, tertuduh pertama mengambil jalan mudah untuk keluar iaitu dengan menghapuskan salah seorang daripada mereka dan malangnya salah seorang itu adalah Sosilawati.

Tiga lagi yang menemani Sosilawati merupakan mangsa yang berada di tempat salah pada waktu yang salah," kata hakim itu.

Siasatan polis bertaraf dunia

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 23 Mei - Cara pihak polis mengendalikan dan menjalankan siasatan sehingga membawa kepada penangkapan kesemua tertuduh dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya mendapat pujian daripada seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Tidak cukup dengan pujian, Hakim Datuk Akhtar Tahir yang mendengar perbicaraan kes itu selama lebih 100 hari, turut menyifatkan bahawa siasatan pihak polis dalam kes itu bertaraf dunia.

"Walaupun siasatan yang dijalankan dikatakan tidak mengikut prosedur 100 peratus namun mana mungkin sesuatu siasatan itu boleh mencapai 100 peratus seperti dalam buku teks.

"Namun begitu, pihak polis telah menjalankan satu siasatan yang terperinci. Mereka telah menjalankan satu penyiasatan bertaraf antarabangsa. Pihak polis perlu diberi penghormatan kerana menyelesaikan kes ini," katanya.

Dalam kes tersebut, penglibatan pihak polis merangkumi ramai pegawai dan anggota daripada pelbagai unit dan negeri antaranya ialah Pasukan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur; dan Seksyen Jenayah Komputer Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Yang turut serta ialah Unit Forensik dan Unit Siasatan Khas, Cawangan Jenayah Berat (D9) IPK Selangor; Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Bahagian Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pasukan polis yang ditugaskan untuk mencari bahan-bahan bukti di tali air dan sungai pula didatangkan dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1, Pulau Pinang .

Dalam masa yang sama, Hakim Akhtar turut memuji sikap pihak pendakwaan dan pembelaan yang membantu mahkamah dalam kes itu.

Beliau turut menyifatkan cara pengendalian kes oleh kedua-dua pihak itu bertaraf antarabangsa.

Ujarnya, pihak pembelaan begitu bersemangat dalam membuktikan anak-anak guam mereka tidak bersalah dan mereka telah menjalankan tugas dengan begitu mengagumkan.

Hakim Akhtar turut menyifatkan pihak-pihak yang terlibat adalah sangat profesional dan merupakan litigasi terbaik yang pernah beliau lihat.

Sementara itu, barisan pembelaan ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan yang mensabitkan anak-anak guam mereka dengan pertuduhan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Manfaatkan sumber tempatan

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Mohd. Hafizul Abdul Hamid (berdiri, enam dari kanan) bersama belia pada program bersantai anjuran AEM di Kolam Pancing Arif Kampung Kuala Lanar, di Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 23 Mei - Golongan belia disaran memanfaat sumber tempatan dalam menjana kewangan dengan melibatkan diri dalam sektor pelancongan serta pertanian berikutan kedudukan daerah ini yang menjadi persinggahan utama pemandu dari Lembah Klang dan Kelantan.

Pegawai Belia dan Sukan Lipis, Mohd. Hafizul Abdul Hamid berkata, golongan itu wajar merebut peluang tersebut supaya bidang berkenaan lebih maju dan berdaya saing berbanding kawasan lain.

Menurutnya, sumber alam sekitar serta budaya penduduk setempat termasuk Orang Asli wajar digunakan untuk meningkatkan sektor pelancongan dan usahawan selari dengan mekanisme pembangunan kerajaan negeri.

"Golongan belia perlu berani membabitkan diri dalam bidang keusahawanan kerana semua agensi kerajaan akan memberi bantuan dan bimbingan kemahiran dalam sesuatu bidang.

"Tingkatkan kemajuan diri sendiri serta keluarga dengan melakukan perubahan jika ingin cemerlang dalam kehidupan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santai Belia anjuran Arif Events Management (AEM) di Kolam Pancing Arif Kampung Kuala Lanar, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Gerakan Belia 4B Pahang, Ahmad Daniar Ismail dan pengusaha ternakan ikan air tawar AEM, Arif Zakaria.

Menurut Mohd. Hafizul, daerah ini khususnya mengalami perkembangan pesat dalam sektor perniagaan dan pelancongan sekali gus menjadikannya lokasi tumpuan perniagaan baharu.

"Tanah terbiar misalnya, wajar dimajukan untuk pelbagai tanaman komersial dan ternakan ikan untuk kegiatan memancing membabitkan pelawat dari luar," katanya.

Beliau turut memuji komitmen pengusaha Kolam Pancing AEM, Arif Zakaria yang memberi tumpuan kepada aspek pelancongan selepas membuka kolam ikan air tawar malah menjadi penganjur pertandingan memancing di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan sehingga mendapat sambutan luar biasa.

Norol Azali ikrar laksana tugas dengan baik

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

KUANTAN 23 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman yang baharu dilantik memegang portfolio itu berikrar melaksana amanah tersebut sebaik mungkin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai juga bersyukur atas kepercayaan yang diberikan itu.

"Saya akan ambil tanggungjawab ini sebagai peluang untuk meneruskan satu perkara baharu dalam diri saya.

"Cabaran ini bagi saya amat sesuai dengan isu yang sering dibangkitkan generasi muda pada masa kini khususnya berkaitan sumber manusia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Khas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kali pertama di Yayasan Pahang di sini baru-baru ini.

Norol Azali berkata, beliau akan merangka perancangan untuk keperluan masa hadapan sumber manusia yang diperlukan oleh negara.

"Saya juga akan menjalinkan hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia di seluruh negeri bagi memudahkan saya merencanakan program untuk mereka," katanya.

Menurutnya, beliau juga akan melihat semula status pencapaian kesihatan dan sumber manusia di negeri ini.

Beliau berkata, pelbagai perancangan akan dilaksana bagi memastikan aspek kesihatan dan sumber manusia berada pada tahap terbaik.

"Portfolio ini bagi saya cukup penting bukan sahaja untuk melahirkan sumber manusia terbaik malah dalam memastikan aspek penjagaan kesihatan sentiasa diberi keutamaan," katanya.

40 balai bomba bantuan

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

KUANTAN 23 Mei - Sebanyak 40 balai bomba bantuan akan diwujudkan di negeri ini sejurus draf mengenai pelaksanaan cabang perkhidmatan baru tersebut siap diperkemas kini dan diluluskan sepenuhnya oleh kerajaan.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abd. Wahab Yasin berkata, pelaksanaan tersebut dijangka siap selewat-lewatnya hujung tahun ini dan memerlukan kira-kira 600 orang awam yang berminat untuk menganggotai pasukan bomba bantuan.

"Kewujudan balai bomba bantuan itu dapat membantu mengatasi masalah kekurangan balai bomba di setiap daerah terutama di kawasan pedalaman dan berisiko tinggi," katanya di sini semalam.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bila capai status gemilang, terlupa nilai-nilai murni?

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

PADA tahun 2011, Beta telah berangkat melawat Uzbekistan, sebuah negara di Asia Tengah. Kota sejarah Samarkand, di Uzbekistan, menceritakan pelbagai kegemilangan di era pemerintahan Dinasti Timurid.

Samarkand terkenal sebagai pusat dan laluan perdagangan utama, The Silk Road. Samarkand adalah metropolis yang mencantumkan Timur dan Barat. Di era kegemilangannya, di samping Islam, terdapat pelbagai kumpulan etnik dan amalan pelbagai agama, Nestorian Christian, Buddhism, Zoroastrianism dan Judaism.

Asia Barat di era pemerintahan Islam berperanan sebagai pusat perkembangan pelbagai ilmu, merangkumi fizik, matematik, astronomi dan bahasa; lahirnya ilmuwan-ilmuwan terkemuka, antaranya, Al-Bukhari, Ibn Sina, Al Farabi, Al-Khwarizmi, Al-Biruni; Omar Khayyam, penyair terkemuka telah menghasilkan Ruba'iyyat, Ali Qushji terkenal sebagai ahli fizik, ahli bahasa, ahli matematik dan astronomer.

Ulugh Begh cucunda kepada Timur Lind (Tamerlane) telah menghasilkan Zij-I Sultani, katalog dan jadual astronomi yang memiliki tahap ketepatan yang tinggi, kekal dijadikan sumber rujukan sehingga ke hari ini; beliau turut mengasaskan penubuhan Universiti Samarkand. Masjid Bibi Khanum memperlihatkan daya seni bina yang hebat.

Kegemilangan tersebut berakhir apabila berlakunya konflik dalaman dalam pimpinan, mengakibatkan berlakunya ketidakstabilan politik, di samping kealpaan pimpinan negara ketika itu, gagal melakukan pengubahsuaian selaras dengan perkembangan teknologi pengangkutan laut yang jauh mengatasi tahap efisien laluan darat, lalu menjejaskan kemakmuran ekonomi yang mereka pernah nikmati untuk sekian lamanya.

Istanbul kaya dengan khazanah sejarah era keagungan Empayar Ottoman. Kegemilangan Empayar Ottoman didukung antaranya oleh enam prinsip utama:

i. Agenda negara memperkembangkan Islam.

ii. Sistem Kesultanan mutlak yang dinasihati oleh barisan wazir yang jujur, amanah, kompeten lagi berilmu.

iii. Majlis Pengadilan yang sofistikated.

iv. Pelaksanaan Syariah berlandaskan al-Quran dan Hadis.

v. Sistem percukaian yang cekap, spesifik, pragmatik serta fleksibel.

vi. Garis panduan yang jelas antara peranan pemimpin dan yang dipimpin.

Di abad ketujuh belas (1699-1792), Empayar Ottoman mula berhadapan pelbagai cabaran, menjadi punca membawanya ke ambang kejatuhan. Empayar Ottoman semakin kehilangan wilayah, angkatan tenteranya bertambah lemah; berlakunya stagnasi ekonomi, sistem mata wang Turki yang disandarkan kepada Perak menghadapi ancaman, tercetusnya inflasi yang tinggi; berlaku juga stagnasi politik berpunca daripada kualiti pimpinan yang bertambah lemah kerana terlalu selesa hingga lena dalam kejayaan yang telah dicapai.

Pimpinan Empayar secara berterusan gagal melakukan pengubahsuaian, selaras dengan tuntutan realiti pemodenan, khususnya yang sedang berkembang di benua Eropah dari segi inovasi teknologi baru, reformasi politik dan kebangkitan intelek. Di sebaliknya sebarang usaha untuk melakukan pemodenan dalam Empayar Ottoman, berhadapan dengan tentangan hebat daripada para pemimpin, angkatan tentera dan rakyat yang berfikiran konservatif.

Pemerhatian di dua lokasi yang pernah mencipta sejarah kegemilangan Islam, memberikan peringatan penting, betapa sesuatu pemerintahan apabila telah mencapai status gemilang, terlupa dan teralpa kepada nilai-nilai asas lagi murni yang pernah diamalkan di peringkat awal, berperanan sebagai instrumen penting melonjakkannya berada di takhta kegemilangan.

Senario sebegini adalah antara pemerhatian yang pernah dicatatkan oleh cendekiawan dan sosiologis kurun keempat belas, Abdul Rahman Ibn Khaldun, apabila masyarakat mendapat kemewahan, perwatakan mereka sering menjadi lemah.

Dalam hasrat membina benteng daripada ditembusi oleh budaya yang boleh memusnahkan, ummah wajib kembali memperingatkan diri kepada peringatan Ilahi, melalui wahyu-wahyu yang terkandung di dalam al-Quran, demikian juga pelbagai seruan dan panduan yang terkandung dalam Sunah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Sifat nasihat menasihati adalah sebahagian daripada budaya yang harus diamalkan dalam kalangan ummah, seperti yang terkandung dalam Surah Al-Ashr yang bermaksud:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran".

Berpandukan falsafah di sebalik ayat tersebut, Tahir bin Husayn, Jeneral, Gabenor dan ilmuwan pada zaman Kerajaan Abbasiyah, mengutus surat kepada anaknya Abdullah sebaik sahaja Abdullah dilantik oleh Khalifah Ma'mun, ke jawatan Gabenor di Mesir, dengan peringatan berikut:

Petikan: "Pertukaran daripada rahmah ILAHI kepada kemurkaan-Nya, cepat berlaku, apabila orang diberikan kuasa, tidak mengiktiraf rahmat yang Tuhan berikan, dan apabila mereka yang berkedudukan dalam kerajaan pula, tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan, lalu menganggap diri mereka itu sebagai manusia terhebat, sedangkan ia adalah hasil daripada rahmat dan anugerah Tuhan kepada mereka."

Orang-orang tua terdahulu senantiasa mengingatkan agar yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan; bila sesat di hujung jalan - cepat kembali ke pangkal jalan, ketika melihat awan di langit - lupakan jangan rumput di bumi.

Sama-samalah kita memohon rahmat Ilahi agar kita senantiasa diberikan panduan dan petunjuk, dihindarkan daripada melakukan perkara yang tidak mendapat keredaan dari-Nya, dan dilindungkan kita daripada pengaruh bisikan jahat iblis yang senantiasa berusaha menyesatkan setiap anak Adam untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini.

Semoga Persidangan Majlis kali ke-183 mendapat petunjuk dan panduan Ilahi.

Kenapa fobia apologetik dan berbalah lagi?

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

TINGKAH laku rakan kongsi kita yang selama ini ditatang dalam dulang emas dibalas dengan tuba, cemuhan dan hinaan. Tidak cukup menghentam akhbar ini, para penulis yang menyumbang buah fikiran dan artikel mereka diekori, dicari dikesan dan dimusnahkan dengan pelbagai cara, baik dari segi serangan siber, menekan dalam perniagaan, mencari salah, membuat pelbagai tuduhan, menghantar pelbagai laporan kepada pelbagai agensi kerajaan yang semuanya dikuasai anak bangsa sendiri dan malangnya mereka termakan dengan hasutan ini.

Tragedi pembunuhan personaliti dilakukan terhadap penulis, ditohmah, malah mencantas peluang perniagaan dan menghasut rakan perniagaan menyebabkan penulis terbungkang keseorangan. Kini akaun FB pula diserang apabila menghentam secara terang-terangan kes penjualan pangkat kehormat RELA dan penyalahgunaan kuasa didedahkan.

Memang terasa sedih dan kecewa dalam keadaan ini, mereka yang terlibat begitu bermaharaja lela membuat kenyataan akhbar seolah-olah RELA milik mereka dan boleh mengeluarkan kenyataan rasmi dengan memakai seragamnya.

Teguran ini membawa padah kepada individu yang memperkatakannya tetapi mereka yang berkenaan seolah-olah mendapat pembelaan.

Meskipun pernah diberi teguran dalam pemberian pangkat kehormat yang dilihat secara wewenang dengan ranking tertinggi yang tidak masuk akal, kononnya ada muslihat untuk menarik sokongan kepada kerajaan. Walhal, sejarah penubuhan dan perkara yang berkaitan yang tersirat mengenai organisasi ini tidak pernah dihirau dan diambil faham oleh mereka yang berkaitan.

Kini nasi sudah menjadi bubur, lebih buruk lagi akan dibiarkan menjadi basi berkulat seterusnya membiakkan virus sekiranya tidak segera diambil tindakan susulan.

Saban masa, orang lain menghentam kiri dan kanan kita. Malangnya sebahagian besar daripada kita bukan sahaja tidak bersimpati tetapi turut bertepuk sorak. Lebih buruk lagi turut masuk menyertainya menginjak, menindih, menindas dan memenyek habis sekumpulan manusia yang sudah sedar dan tangkas berjuang mempertahan dan mengambil balik apa yang sudah dirampas daripada kita semua. Ini kalilah kita buktikan bahawa tunduk bukan untuk dipijak, undur bukan mengalah.

Atas nama ketelusan, atas nama menjaga ketenteraman, keamanan dan sebagainya orang seperti penulis disekat kebebasan tetapi tidak kepada mereka yang secara terang menghentam kita di media alternatif berkenaan. Kita ternyata bertindak berseorangan, mereka bergerak secara berkumpulan.

Kita sentiasa percaya apa yang dilaporkan tanpa sebarang usul periksa. Terus ambil tindakan, bangkrapkan, gantung projek, tarik pinjaman, sekat perjalanan. Itu kuasa siapa sebenarnya?

Kita memohon kadang kala mengemis dan merayu untuk beroleh sesuap nasi dan bertanding dengan gergasi dalam pelbagai bidang. Pernahkah kita mendapat sebarang keistimewaan sebagai aktivis atau pejuang bangsa.

Tepuk dada dan tanyalah selera kepimpinan baru negara, kami sudah memperjuangkan anda semua dan sudah terselamat daripada jurang kebinasaan. Jangan silap percaturan kerana kami tidak pandai bersandiwara dan menonjolkan diri meminta-minta. Tetapi kami juga ada mata, telinga dan hati untuk terasa bahawa memang sumbangan selama ini sudah dipandang sepi.

Tengok sahajalah barisan kabinet yang ada ini. Lihat dan nilai sendiri di mana letaknya para pejuang yang sanggup hara-kiri. Orang lain yang makan nangka orang lain yang dapat getahnya, memang sudah tiba masanya kita orak langkah bercakap besar, melaung sana sini, cari pasal dan buat riuh rendah supaya orang atas boleh nampak dan boleh dengar sebab kita sudah tidak ada organisasi yang sanggup menjadi mata dan telinga kerajaan sebab mereka sudah dibuta dan dibisukan adanya.

Para pegawai kanan kerajaan, peneraju GLC, peneraju institusi perbankan milik negara, bukalah mata, buka minda dan buka hati. Anda jangan jadi pengkhianat, anda jangan jadi gunting dalam lipatan dan anda jangan menolak tangga dan berjuntai kaki setelah anda berada di puncak.

Segala tulisan ini tidak lagi bersifat apologetik dan kata-kata berlapik kerana orang Melayu moden sekarang tidak memahami bahasa berkias. Mereka cuma faham bahasa maki hamun dan keras pedas.

Kita sudah hilang nama-nama besar bank seperti Bank Bumiputra, kita sudah korbankan bahasa Melayu dengan merelakannya menjadi bahasa Malaysia, kita sudah hampir membunuh peranan Dewan Bahasa dan Pustaka, kini kita sedang beransur-ansur membunuh Utusan Malaysia.

Kenapa bukan Berita Harian, NSTP tentu anda semua yang berjuang faham kenapa dan bagaimana sejarah yang berbeza dulu kini dan selamanya.

Apa sahaja tuduhan yang bakal dilemparkan, apa sahaja tohmahan yang bakal diterima sudah dianggap mangli dan tidak memberi kesan dan bekas.

Ini saja senjata yang masih bersisa -- sebuah akhbar kalam kita. Kalau ini pun kita tuduh dengan pelbagai agenda, maka keluar sahajalah daripada menjadi anak bangsa. Jadilah pengkhianat jadilah laknat.

Bangun, buka mata, buka minda - kita adalah anak merdeka. Lita adalah tuan kepada diri kita, kenapa biarkan orang lain memperkulikan kita. Betulkan saf, mari teruskan perjuangan yang belum selesai kerana sesungguhnya Melayu Tidak Pernah Lupa seperti mana pelanduk yang boleh melupakan jeratnya.

PENULIS ialah Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris)

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Berhati-hati jika anda orang ketiga

Posted: 23 May 2013 12:08 AM PDT

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

ROSLAN (bukan nama sebenar) telah mengenali Musliha (bukan nama sebenar) sejak mereka menuntut di universiti. Di sebalik bibit-bibit perkenalan itu, mereka akhirnya menjalinkan hubungan percintaan yang diumpamakan kisah adam dan hawa.

Tidak lama kemudian, babak percintaan itu diteruskan dengan ikatan perkahwinan selepas kedua-duanya tamat pengajian.

Namun, setelah dikurniakan tiga cahaya mata, bahtera keluarga yang dilayari mereka selama 10 tahun bergolak apabila wujudnya kehadiran orang ketiga iaitu Kassim (bukan nama sebenar) yang cemburu melihat kebahagiaan rumah tangga yang dikecapi oleh rakan sekerjanya, Roslan.

Kassim setiap hari cuba memikat Musliha dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) selain mengajaknya keluar hampir setiap malam.

Biarpun pada awalnya Musliha 'kebal', tetapi keras hati wanita itu umpama kerak nasi. Apabila sentiasa dicurahkan air, kerak yang keras akan lembut juga. Apa lagi bila sentiasa dipujuk rayu dengan kata-kata berbaur romantis.

Sementelah pula ciri romantis impian setiap wanita itu tidak ada pada Roslan.

Natijah daripada hubungan cinta terlarang itu akhirnya telah merobohkan bahtera rumah tangga yang terbina sekian lama. Biarpun si nakhoda berusaha memperbaiki diri sebagai seorang suami terbaik, namun usaha berkenaan sedikit tidak dapat mengubah nasib malang tersebut.

Kisah yang menimpa Roslan itu sebenarnya antara salah satu kes tuntutan penceraian yang difailkan di mahkamah syariah dan perlu diketahui oleh orang ramai bahawa kehadiran orang ketiga yang turut diistilahkan sebagai 'penceroboh rumah tangga' merupakan punca keruntuhan institusi keluarga selain memberi impak kepada kehidupan sosial negara.

Lihat sahaja statistik penceraian dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dari 2001 sehingga 2011 telah mencatat angka sebanyak 222,701. Jumlah itu memberi pelbagai kesan negatif antaranya kepada didikan anak-anak dan lain-lain.

Sebahagian daripada pencerian itu berpunca daripada orang ketiga. Adakah kita tahu terdapat undang-undang yang menetapkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya terhadap mereka yang bergelar orang ketiga yang meruntuhkan rumah tangga orang lain.

Apa pula takrif orang ketiga? Adakah merujuk kepada individu yang menjalin hubungan dengan isteri orang hingga membawa kepada penceraian? Menurut Seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 orang ketiga dirujuk kepada mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Seksyen 38 akta sama menyatakan mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah suatu kesalahan.

Maknanya, orang ketiga ini boleh terdiri daripada sesiapa sahaja yang bertanggungjawab meruntuhkan sesebuah institusi rumah tangga.

Ini tidak terhad kepada lelaki yang menjalin hubungan dengan suami orang hingga membawa kepada penceraian yang sering dikaitkan dengan istilah orang ketiga selama ini.

Menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Dr. Noor Aziah Mohd. Awal, akta itu bukan sahaja diguna pakai untuk kekasih gelap atau sebagainya, tetapi ibu bapa, mentua, keluarga dan orang ramai boleh didakwa menerusi peruntukkan undang-undang itu.

Beliau memberi contoh, seandainya ibu bapa menyuruh anak bercerai dengan menantunya, mereka boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jelas Noor Aziah, peruntukan undang-undang itu digubal sebenarnya bertujuan untuk memelihara keharmonian ummah dengan tidak berlakunya perpecahan institusi rumah tangga selain mengelakkan anak-anak terbiar akibat penceraian ibu bapa.

Beliau turut menambah, apa gunanya kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar untuk mengurangkan kadar penceraian jika masih terdapat lagi kehadiran orang ketiga yang menganggu-gugat keharmonian rumah tangga.

"Jika berlaku kes itu, suami atau isteri dinasihatkan membuat laporan polis dan seterusnya membuat aduan kepada bahagian penguatkuasa jabatan agama negeri.

"Kes ini bukan tuntutan saman seperti cerai, fasakh dan sebagainya. Tetapi perbuatan itu merupakan kesalahan jenayah. Maka pihak pendakwaan akan memfailkan kes di mahkamah syariah untuk tindakan selanjutnya," ujar Noor Aziah.

Dalam pada itu, Noor Aziah juga menyarankan kepada suami atau isteri untuk menyerahkan bukti seperti SMS, kiriman mesej sama ada dari laman sosial Facebook dan Twitter untuk siasatan pihak penguatkuasaan.

Beliau berkata, orang ramai kini masih tidak mengetahui kewujudan undang-undang itu. Mereka memang sewajarnya diberi pendedahan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam 'pencerobohan rumah tangga' menerima balasan setimpal.

Mengikut rekod Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, sehingga kini tiada kes pendakwaan yang dibuat untuk tuduhan seumpama itu.

'Bahtera' berantakan salah siapa?

Posted: 23 May 2013 12:08 AM PDT

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

ADAKAH kita terus menyalahkan kehadiran orang ketiga sebagai punca utama perpecahan rumah tangga? Bagaimana pula dengan peranan suami isteri itu sendiri dalam melayari alam rumah tangga?

Tindakan menyalahkan antara satu sama lain sebenarnya tidak akan menyelesaikan kemelut hidup berumah tangga, malah hal demikian akan mengeruhkan lagi keadaan.

Masalah itu sebenarnya boleh diatasi jika semua pihak memahami asas perkahwinan, iaitu berkasih sayang dan bertanggungjawab antara satu sama lain berdasarkan prinsip syariat Islam.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Dr. Noor Aziah Mohd. Awal berkata, walaupun setiap pasangan diuji dengan dugaan hawa nafsu, mereka sepatutnya sentiasa mengingati untuk memelihara keharmonian rumah tangga.

Jelas Noor Aziah, memang tidak dinafikan pasangan suami isteri yang berkerja sentiasa menerima dugaan.

Contohnya rakan sekerja cuba memikat dengan mengajak keluar bersama dan sebagainya.

"Apabila terbina hubungan terlarang, hampir setiap malam mereka akan keluar untuk mengukuhkan ikatan.

"Maka si suami atau isteri menunggu kepulangan yang tersayang di rumah sedangkan pasangan mereka keluar dengan orang lain.

"Selepas suami atau isteri mengetahui hubungan itu, akhirnya berlaku pergaduhan seterusnya keretakan rumah tangga lalu terjadinya penceraian," kata Noor Aziah.

Noor Aziah memberitahu, setiap pasangan mesti mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memohon kepada-Nya agar dijauhkan fitnah dan bahana hawa nafsu yang sentiasa menguji keimanan.

"Hakikatnya kita mesti melihat masa depan anak-anak, jika masing-masing mengutamakan hubungan terlarang maka perceraian terjadi dan akhirnya cahaya mata mereka kurang arah tujuan akibat ibu bapa bertelagah sesama mereka.

"Kita hendaklah berdoa kepada Allah supaya dipelihara kerukunan rumah tangga selain memikirkan masa depan anak-anak supaya mereka membesar di dalam keluarga yang bersatu padu dan harmoni," kata kaunselor keluarga itu.

Ketika ditanya mengapa masih wujud sikap mengurat suami atau isteri orang sedangkan ramai masih bujang, Noor Aziah mengatakan, itu berlaku kerana tabiat manusia sentiasa berpandukan hawa nafsu.

Beliau mengambil satu contoh ketika di pejabat, seorang isteri yang tidak menjaga pergaulannya tiba-tiba seorang rakan sekerja masih bujang terpikat dengan gelagatnya sedangkan dia milik orang.

Seterusnya berlaku adegan pikat-memikat antara satu sama lain.

"Pokok pangkalnya ingatlah apakah asas perkahwinan. Jangan terlalu menumpukan hubungan terlarang itu dan fikirkan pada pengakhirannya.

"Pada penghujungnya, keluarga ke mana, kekasih gelap pun entah ke mana," ujar Noor Aziah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Lesen bazar Ramadan dijual?

Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF
kota@utusan.com.my

Mohd. Ridzuan Abdullah (tiga dari kiri) bersama ahli-ahli Ikhlas menunjukkan memorandum yang akan dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung isu kebanjiran penjaja warga asing sekitar Kuala Lumpur dalam sidang akhbar di pejabat Ikhlas di Gombak, Selangor semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 22 Mei - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat aduan berhubung penjualan lesen penjaja bazar Ramadan secara tidak sah oleh pihak-pihak tertentu.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, melalui aduan yang diterima pihaknya, sindiket penjualan lesen haram itu dipercayai didalangi oleh tiga buah persatuan peniaga di bawah DBKL dan mereka telah memulakan 'operasi' tersebut sejak dua minggu lalu.

"Persatuan-persatuan tersebut telah menjual lesen penjaja bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan harga antara RM300 dan RM400 untuk satu tapak.

"Keputusan pengundian tapak bazar Ramadan itu hanya akan diumumkan pada 28 Mei ini tetapi kami dapat tahu sudah ada tapak yang telah dimiliki," katanya dalam sidang akhbar di Gombak, dekat sini hari ini.

Mohd. Ridzuan berkata, perbuatan ketiga-tiga persatuan peniaga itu telah mencemarkan bukan sahaja nama baik DBKL tetapi juga kerajaan Persekutuan.

"Mereka ini seperti makhluk perosak. Mereka inilah yang akan menyebabkan sokongan rakyat kepada kerajaan terjejas.

"Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib perlu bertanggungjawab dan serius dalam hal ini, jangan lepas tangan sahaja," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Ikhlas akan menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri bagi menarik perhatian isu peniaga asing yang dilihat semakin memonopoli aktiviti perniagaan terutamanya di sekitar ibu negara.

Menurut beliau, terdapat lebih 50 peratus peniaga yang berniaga di sekitar ibu negara terdiri daripada warga asing yang rata-ratanya berniaga secara haram dan tidak mempunyai lesen.

"Isu ini melibatkan periuk nasi peniaga tempatan yang semakin ditutup oleh penguasaan peniaga asing yang dilihat begitu kebal dan berani menjalankan perniagaan secara terbuka.

"Sebelum ini memang ada Jabatan Imigresen menangkap mereka tetapi selepas beberapa ketika, mereka dilepaskan dan kembali berniaga seperti biasa.

"Kami mahu Kementerian Dalam Negeri lebih tegas dan beri perhatian kepada isu ini," katanya.

Tengku Azuan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan

Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT

Tengku Azuan

KUALA LUMPUR 22 Mei - Berpegang pada prinsip amanah dan integriti dalam setiap kerja, Tengku Azuan Tengku Mohamed, 61, berjaya meletakkan diri beliau sebagai seorang pendidik yang berkaliber.

Selain itu, bekas Pengetua Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Negeri Sembilan itu juga aktif dalam bidang kemasyarakatan sehingga menjadi penceramah integriti dengan Institut Integriti Malaysia (IIM).

Pencapaian dan sumbangan tersebut membolehkannya dipilih sebagai salah seorang Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2013.

Beliau menerima anugerah tersebut daripada Pengerusi Yayasan Cheras (YPC), Datuk Syed Ali Al Habshee dalam majlis Perayaan Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdullah Mad Yunus dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan), Datuk Norezan Bapoo Hashim.

Sementara itu, Tengku Azuan berkata, anugerah tersebut memberi semangat dan galakan bukan sahaja untuk beliau tetapi juga kepada semua pihak yang pernah bersamanya.

"Anugerah ini juga merupakan penghargaan kepada setiap pengorbanan yang dilakukan oleh guru-guru yang mendidik anak bangsa di seluruh negara terutama di kawasan Kuala Lumpur.

"Saya terharu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk anugerah yang amat bermakna ini," katanya yang juga pernah menjadi Pengetua SMK Aminudin Baki.

Dalam pada itu, Ali Al Habshee dalam ucapannya berkata, semua warga pendidik seharusnya sedar mereka tidak boleh lalai terutama dalam usaha mencapai aspirasi yang tinggi dan persekitaran persaingan global yang semakin sengit.

Menurutnya, semua guru mesti bertekad dengan satu aspirasi iaitu untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 sehingga 2025.

"Guru perlu berpegang teguh pada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara," katanya.

MPK adakan kempen hormati pejalan kaki

Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT

KLANG 22 Mei - Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) telah mengadakan Minggu Keselamatan Pejalan Kaki baru-baru ini bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan para pengguna jalan raya agar bersikap lebih prihatin terhadap keselamatan pejalan kaki.

Pemangku Yang Dipertuanya, Ehsan Mukri berkata, program yang turut melibatkan kerjasama pasukan polis itu diadakan bagi memastikan golongan pejalan kaki juga perlu diberikan perhatian.

"Golongan pejalan kaki merupakan kelompok yang perlu diberi perhatian dan keutamaan oleh para pengguna jalan raya.

"Kekurangan perhatian dan rasa hormat terhadap pejalan kaki menyebabkan golongan ini sentiasa menghadapi risiko kematian dan kecederaan akibat dilanggar oleh para pemandu kenderaan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Ehsan berkata, program berkenaan juga bagi memberikan galakan kepada orang ramai agar menggunakan jejantas untuk melintas jalan bagi mengelakkan mereka menanggung risiko kemalangan terutama ketika waktu puncak.

"Dalam program tersebut kami mengedarkan risalah berkaitan keselamatan pejalan kaki yang disediakan oleh JKJR bagi memastikan golongan itu sentiasa diutamakan dan diberi perhatian.

"Selain pengguna jalan raya, kami juga berharap golongan pejalan kaki memainkan peranan yang sama iaitu sentiasa berhati-hati ketika berjalan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan melibatkan pejalan kaki," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sasar bina rumah kos rendah

Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

ABD. Mutalip Abd. Rahim melayan tetamunya yang menghadiri majlis kesyukuran di Felda Layang-Layang, Simpang Renggam, Johor, kelmarin.

SIMPANG RENGGAM 22 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang yang baharu, Abd. Mutalip Abd. Rahim menyasarkan untuk membawa projek perumahan kos rendah dan sederhana ke kawasan tersebut dalam tempoh lima tahun perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri itu berkata, pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana merupakan agenda pertama dalam usaha memajukan kawasan tersebut kerana akan meningkatkan jumlah penduduk.

Menurutnya, ketika ini, masyarakat tempatan atau generasi kedua dan ketiga sering berpindah keluar dari Layang-Layang kerana kekurangan pembangunan dan kawasan perumahan.

"Sebab itu, sebagai langkah awal, saya telah mengusulkan berhubung keperluan projek perumahan kos rendah dan sederhana di sini, usaha ini akan diteruskan dengan perbincangan dengan agensi kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab.

"Cadangan harga rumah kos rendah yang bakal dibina ialah sekitar RM50,000 hingga RM80,000, iaitu dengan mengambil berat pendapatan penduduk yang secara puratanya sekitar RM1,500 sebulan dan kebanyakannya pekerja ladang," katanya kepada pemberita selepas kenduri kesyukuran di Felda Layang-Layang di sini semalam.

Abd. Mutalip memberitahu, cadangan harga yang diberikan pihaknya dilihat munasabah kerana harga tanah di sekitar kawasan tersebut tidak melambung tinggi berbanding kawasan lain, malah terdapat banyak pilihan lokasi kerana masih ada kawasan yang belum dibangunkan.

Katanya lagi, pembinaan penempatan baharu di Layang-Layang mampu menambah bilangan penduduk dan memudahkan usaha membawa pembangunan berterusan dengan permintaan penduduk itu sendiri.

"Selain itu, saya juga akan berusaha membawa teknologi pertanian yang boleh digunakan dan meringankan beban peladang dan petani untuk terus memajukan sektor pertanian.

Layang-Layang bukan satu kawasan yang jauh untuk dipinggirkan cuma pembangunan di sini masih perlahan berbanding bandar Kluang dan Batu Pahat," ujarnya.

148 pelajar pendidikan khas sertai festival nasyid

Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT

ANUAR Manap bersalaman dengan peserta Festival Nasyid Pendidikan Khas di Segamat, Johor, baru-baru ini.

SEGAMAT 22 Mei - Seramai 148 pelajar pendidikan khas dari 14 sekolah, masing-masing enam sekolah rendah dan lapan menengah di daerah ini menyertai Festival Nasyid Pendidikan Khas Daerah Segamat di Pasaraya Kip Mart, di sini baru-baru ini.

Pegawai Pendidikan Khas Daerah Segamat, Masnawi Shamsudin berkata, festival tersebut menjadi platform kepada golongan istimewa tersebut menonjolkan bakat masing-masing di samping memilih wakil daerah ke pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Semua kumpulan diwajibkan mendendangkan dua buah lagu yang berkonsep padang pasir sebagai lagu wajib dan sebuah lagu berkisar kisah Rasullullah SAW dengan liriknya perlu ditulis sendiri oleh ahli kumpulan tersebut sebagai lagu pilihan," katanya pada Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap.

Masnawi berkata, program itu diharap bukan sahaja dapat mengcungkil bakat peserta tetapi memberi keyakinan kepada mereka untuk berdepan dengan masyarakat di samping memberi peluang kepada orang ramai lebih memahami kehendak dan keperluan golongan tersebut.

Sementara itu, Anuar mahu supaya program seumpama itu melibatkan penyertaan masyarakat dan bukannya diadakan secara tertutup dalam kalangan warga pendidik sahaja.

"Panglibatan semua peringkat masyarakat amat perlu kerana ia mampu memberi kefahaman dan gambaran sebenar terhadap sebarang keperluan serta bantuan yang boleh dihulurkan oleh masyarakat bagi membantu meningkatkan pencapaian bidang pendidikan.

"Tanpa penglibatan masyarakat, masalah yang dihadapi warga pendidik serta pelajar tidak difahami oleh mereka yang tidak terlibat dalam bidang pendidikan dan sukar untuk menghulurkan sumbangan bagi kemajuan bidang tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Masturah bukti boleh berjaya

Posted: 23 May 2013 12:08 AM PDT

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
utusankelantan@utusan.com.my

Masturah Zainal di hadapan kedai kain Mira Textile miliknya di Ketereh, Kelantan.

BERMULA sebagai peniaga kecil-kecilan, Masturah Zainal, 42, membuktikan golongan wanita Kelantan mampu berjaya dalam bidang perniagaan tekstil.

Buktinya, wanita berjiwa kental itu kini mampu memiliki rangkaian perniagaan kedai kain Mira Textile di Ketereh dan Kok Lanas, Kelantan setelah menceburi bidang tersebut sejak 24 tahun lalu.

Ibu kepada empat orang cahaya mata berusia antara sembilan hingga 24 ini yang tinggal di Kampung Jal, Ketereh, juga membuktikan bahawa kejayaan tidak bergantung sepenuhnya kepada sijil akademik, sebaliknya ia terletak di atas usaha dan kesungguhan seseorang individu bagi mengecap kejayaan.

Lantaran itu, berpegang dengan prinsip 'bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian', Masturah mula menceburi perniagaan tekstil sejak berusia 18 tahun lagi iaitu sebaik menamatkan sesi persekolahan.

Malah, pada usia muda juga beliau ditemukan jodoh dengan Mohamad Suhaimi Ibrahim, 48, yang dahulunya hanya bekerja kampung, tetapi kini membantu Masturah mengusahakan kedai tekstil beliau.

"Mula menceburkan diri ketika usia saya 18 tahun bukanlah suatu perkara yang mudah kerana memerlukan mental dan emosi yang kuat. Saya memilih kerjaya sebagai usahawan kerana minat mendalam dan ia tidak pernah padam dalam diri saya.

"Atas dorongan suami yang banyak memberi semangat, saya bermula dengan menjual kain secara kecil-kecilan di pasar tani. Perasan malu saya lupakan seketika apabila terkenangkan anak yang mula membesar, saya reda mencari rezeki melalui perniagaan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Masturah, beliau memulakan perniagaan kedai menjual kain dengan modal sendiri sebanyak RM1,000. Berkat sokongan ahli keluarga terutama suami serta kaum keluarga yang lain, perniagaan tersebut semakin berkembang.

Jelasnya, bagi mengembangkan perniagaan menjual kain, beliau telah menjalin rangkaian bersama rakan-rakan dan kenalan dalam kalangan usahawanita bagi bertukar-tukar pandangan, selain mendapat tunjuk ajar.

"Hari ini, semakin ramai wanita yang berminat menyertai bidang perniagaan dan bergelar usahawan. Kebanyakan bermula dari kecil-kecilan tetapi dengan usaha yang gigih, sudah ramai berjaya membina asas kukuh dan terus mengembangkan perniagaan dibangunkan," akui Masturah.

Bercerita lanjut tentang dirinya, ketika mula menceburi bidang perniagaan ini, ekonomi keluarga tidak memberangsangkan sedangkan keperluan membesarkan anak semakin meningkat.

Keadaan itu mendesak beliau mengerah kudrat menjelajah ke serata pasar tani di sekitar Ketereh, Melor, Wakaf Che Yeh dan pelbagai lokasi lain untuk mengembangkan perniagaan menjual kain.

Akhirnya, berkat kesungguhan beliau, Masturah berjaya membuka kedai kain sulungnya di Ketereh hasil modal sendiri dan pinjaman daripada institusi kewangan.

"Kini saya dapat menarik nafas lega kerana ekonomi keluarga sudah stabil dan rasa berbaloi kerana penat lelah saya selama ini membuahkan hasil.

"Sesuatu pekerjaan tidak patut dibuat ibarat hangat-hangat tahi ayam kerana hasilnya tidak akan kekal lama. Akan tetapi sekiranya anda mempunyai pemikiran dan pandangan yang jauh nescaya apa sahaja yang bakal dilakukan akan dilaksanakan dengan penuh semangat.

"Saya menyasarkan untuk membuka beberapa buah cawangan lain lagi di negeri ini dan itupun bergantung kepada kekuatan modal dalam mengusahakan perniagaan," kata Masturah sambil berharap perniagaannya itu akan diwarisi oleh anak-anaknya kelak.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved