Oleh Zulkiflee Bakar
Puluhan mikrofon yang mewakili organisasi media termasuk media asing yang membuat liputan sidang akhbar setiap hari bermulanya hari kehilangan pesawat MH370 yang diadakan di sebuah hotel di Sepang. - AGENSI
MEDIA barat khususnya di Amerika Syarikat (AS) semakin menunjukkan sikap biadab mereka dalam membuat laporan berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370. Tidak cukup dengan laporan berat sebelah yang dipaparkan oleh stesen televisyen, Cable News Network (CNN), sekutunya di negara kuasa besar itu, Fox News menunjukkan kebiadaban lebih ketara.
Dalam satu programnya, Fox News secara terbuka mengaitkan tragedi itu berlaku kerana pesawat dikendalikan oleh dua orang yang beragama Islam iaitu Juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid.
Inilah sikap kurang ajar sesetengah media barat yang berterusan mengaitkan Islam dengan keganasan. Lebih menjijikkan tanpa rasa bersalah dan beretika, program itu juga menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Fox News yang sememangnya dikenali sebagai salah sebuah stesen televisyen paling biadab di AS dalam mengupas sesuatu isu, memetik pandangan beberapa penganalisis yang antaranya mengaitkan peristiwa MH370 dengan tragedi pesawat EgyptAir 990 pada 1999 dengan aktiviti keganasan dengan memberitahu:
Apa alasan pihak berkuasa Mesir pada ketika itu? Oh ini adalah masalah teknikal tetapi mereka tidak menyatakan pula bahawa juruterbang Allahu Akbar ketika menjunam ke bawah dengan ramai warga Amerika dalam pesawat itu.
Demikianlah jahilnya penganalisis tersebut yang mengaitkan laungan `Allahuakbar dengan perbuatan pengganas. Bagaimanapun melalui respons dalam laman Facebook yang menyiarkan laporan Fox News itu, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama mengecam stesen televisyen tersebut.
Seorang pengunjung, Kazuki Neo Le Pilote yang berbangsa Cina menulis, Kurang ajar awak (Fox News), saya orang Cina dan saya tinggal di Malaysia, kamu tolonglah berhenti memburuk-burukkan orang Melayu di negara ini atau mana-mana mereka yang beragama Islam di negara ini, kebanyakan mereka adalah orang yang baik.
Au Thien Poh pula menulis, Adalah tidak adil untuk menghakimi saudara muslim kami seperti itu. Kami rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama berdiri teguh di belakang saudara Islam kami di negara yang kami cintai, manakala Suresh Kumar pula menulis, Jangan rosakkan hubungan saya dengan rakan-rakan di sini, anda harus tahu selepas MH370, kami rakyat Malaysia komited dan bersatu.
Banyak lagi komen yang mengecam stesen televisyen itu dan apa yang jelas ia menunjukkan solidariti seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dalam berhadapan saat-saat getir ini. Sikap mereka ini seharusnya dicontohi oleh segelintir pemimpin pakatan pembangkang yang terus bermain politik dan tidak mampu berfikiran waras biar pun bergelar peguam apabila mengecam cara kerajaan mengendalikan isu MH370.
Pemikiran seperti inilah yang meracuni sesetengah pengikut tegar mereka sehingga ada yang sanggup menyatakan dalam laman sosial apa yang berlaku adalah sandiwara kerajaan yang terajui oleh Barisan Nasional (BN). Perbuatan seperti ini tiada bezanya dengan perangai biadab media asing yang sejak 8 Mac lalu hanya mahu mencari salah kerajaan Malaysia.
Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan golongan yang terus mahu melihat tragedi MH370 dari sudut politik sebagai sudah terhapus semangat nasionalisme mereka, begitu juga dengan sesetengah individu yang bersedia menjadi `alat kepada media asing untuk memburuk-burukkan negara sendiri.
Termasuklah juga sesetengah media tempatan yang cuba memainkan isu-isu bertujuan membangkitkan kemarahan ahli keluarga penumpang dari China kepada kerajaan Malaysia.
Tindakan mereka ini bagaikan bermain api kerana ia bukan sahaja mempertaruhkan imej negara tetapi juga mampu menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Akibat permainan media seumpama itulah ia memberi semangat kepada media barat dan media asing termasuklah di China untuk menyerang Malaysia habis-habisan dengan menuduh negara ini menyembunyikan maklumat dan fakta sebenar kejadian.
Tetapi bagi mereka yang berfikiran waras dan mampu menilai serta mengikuti perkembangan sidang akhbar yang dikendalikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Hishammuddin Tun Hussein setiap hari, beliau sentiasa bersikap telus dan terbuka serta bersedia menjawab semua soalan yang dikemukakan.
Tidak ada apa-apa yang disembunyikan kecualilah isu-isu yang masih dalam siasatan polis dan pihak berkuasa antarabangsa. Oleh itu adalah wajar jika mana-mana media tempatan khususnya akhbar Cina tidak cuba memainkan sentimen yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Dalam soal ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan peringatan yang tegas dengan menyatakan:
Saya minta kepada pihak media, terutama media cetak berbahasa Cina, yang mempengaruhi keluarga mangsa dari China, kerana apa yang berlaku daripada tulisan-tulisan kebanyakan akhbar ini telah memainkan sentimen hingga membangkit kan kemarahan keluarga mangsa MH370 di sana (China). Ini kemalangan, tiada seorang pun mahu ini berlaku.
Begitu juga apabila Hishammuddin secara `berlapik meminta ahli keluarga penumpang China bersikap rasional dan jangan hanya menyalahkan Malaysia. Beliau yang juga Menteri Pertahanan menegaskan, kehilangan pesawat MH370 merupakan tragedi global apabila sebanyak 26 buah negara terlibat dalam operasi menyelamat tetapi sehingga kini masih buntu.
Walaupun pelbagai pihak cuba mengambil kesempatan untuk menyalahkan Malaysia dalam insiden tersebut sejak dari awal tetapi saya yakin pada akhirnya, sejarah akan membuktikan bahawa kerajaan negara ini telah melakukan yang terbaik khususnya kepada keluarga mangsa.
Rakyat China perlu rasional dan bukan menyalahkan Malaysia kerana kami pun kehilangan orang tersayang. Kalau Australia boleh memahami bahawa insiden ini tragedi global mengapa sanak saudara mangsa warga China tidak boleh, tegas Hishammuddin.
Media barat mungkin tidak senang dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Hishammuddin, apatah lagi dalam sidang akhbar sejak hari pertama mereka masih gagal untuk memastikan beliau terperangkap dengan agenda jahat mereka.
Untuk mengharapkan media barat menghentikan kebiadaban mereka mungkin sesuatu yang mustahil kerana itulah yang menjadi faktor kewujudan mereka. Namun begitu, tindakan mengaitkan Islam menjadi punca tragedi MH370 adalah sesuatu perbuatan yang tidak boleh diterima dan media barat perlu bersedia menerima akibat daripada keceluparan mereka itu.
Bagaimanapun tidak perlulah menguar-uarkan untuk memboikot mereka kerana ia hanya membuang masa, mungkin betul kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin," Kalau hendak boikot CNN teruskan, tapi rasa lagi bagus kalau kita ketawakan mereka.
Ya, ketawakanlah media barat yang terus menjadi bagaikan `badut dalam dunia kewartawanan dulu, kini dan selamanya.