Khamis, 27 Mac 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL tingkat pemantauan

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
pengarang@utusan.com.my

Ahmad Phesal Talib (kanan) bersama Mohd. Taufik Haron menunjukkan keadaan cerun di Lebuhraya Mahameru ketika lawatan ke tapak runtuhan cerun yang siap dibaik pulih, di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 26 Mac - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempertingkatkan pemantauan terhadap lebih 800 cerun di ibu negara yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, jumlah itu diperoleh melalui draf laporan akhir yang disediakan oleh Kumpulan Ikram Sdn. Bhd. (Ikram).

"Melalui Sistem Aplikasi Hazard and Risk Map Kuala Lumpur yang dibangunkan untuk DBKL ia memudahkan lagi proses pemantauan cerun tersebut.

"Ini termasuk usaha-usaha penambahbaikan dan penyelenggaraan cerun lebih awal,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tapak runtuhan cerun yang telah siap dibaik pulih di sekitar ibu negara .

Selain di Jalan Changkat Persekutuan, turut dilawati Jalan Persiaran Sultan dan Lebuhraya Mahameru.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ikram, Mohd. Taufik Haron dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, Ir. Tan Keng Chock.

Ahmad Phesal memberitahu, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM15.3 juta untuk kerja-kerja pembaikan cerun di ibu negara.

Katanya, DBKL mengambil serius dalam menangani masalah runtuhan cerun kerana ia merupakan aspek penting bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat.

"Kita mahu meyakinkan orang ramai bahawa pembangunan cerun boleh dilaksanakan jika mendapat kerjasama serta diuruskan dengan cara yang betul," jelasnya.

Sambil menjadi Hong Kong sebagai contoh kepada DBKL dalam menangani masalah cerun di ibu kota, katanya negara itu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Hasil lawatan ke Hong Kong sebelum ini, kita mendapati langkah-langkah keselamatan amat diutamakan.

"Selain itu, mereka juga mempunyai maklumat lengkap tentang kawasan cerun serta cara membangunkan dan langkah mengatasi dari berlaku perkara tidak diingini," jelasnya.

Mengulas mengenai status terkini mengenai kerja-kerja baik pulih tanah runtuh di Bukit Setiawangsa, beliau berkata, sebanyak RM23 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja baik pulih di kawasan tersebut.

"Walau bagaimanapun, kerja-kerja belum dimulakan kerana kerja-kerja pengambilan tanah melibatkan tiga lot banglo bagi mengurangkan ketinggian cerun masih dalam proses ,"katanya.

Red Carpet i-City dibuka sepenuhnya April ini

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

Lim Kim Hong bergambar bersama sebahagian patung lilin selepas taklimat prapelepasan media Ke Guangzhou di Red Carpet i-City, Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM 26 Mac - Muzium patung lilin Red Carpet di i-City akan dibuka sepenuhnya kepada pengunjung bermula pertengahan April ini selepas sebahagian daripada muzium itu ditutup sejak hujung Januari lalu ekoran insiden kebakaran.

Pengurus Maklumat I-Berhad, Tang Soke Cheng berkata, kerja-kerja membaik pulih dan menggantikan semula patung lilin yang rosak telah hampir selesai dan muzium lilin itu akan dibuka sepenuhnya pada 14 April ini.

Katanya, I-Berhad, pemaju induk i-City, turut mengambil kesempatan ketika proses membaik pulih itu untuk meningkatkan lagi tarikan di muzium lilin tersebut bagi menarik lebih ramai pengunjung.

"Red Carpet itu nanti bukan sahaja bakal akan memiliki lebih banyak patung lilin daripada pelbagai karakter, tetapi juga akan dilengkapi teknologi dan multimedia yang serba baharu.

"Tidak seperti sebelum ini, patung-patung lilin yang dipamerkan nanti tidak lagi hanya berdiri kaku, tetapi berupaya mengeluarkan bunyi, bergerak, gaya yang lebih aksi dan paparan latar belakang yang lebih menarik," katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat prapelepasan media ke Guangzhou di Red Carpet i-City, di sini hari ini,

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong.

Dalam kebakaran pada 29 Januari lalu itu, kira-kira 12 patung lilin di Red Carpet terbakar, selain turut merosakkan beberapa bahagian dalaman bangunan yang dianggarkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Akibat daripada itu, dua daripada tiga tingkat bangunan yang menempatkan patung-patung lilin itu ditutup untuk kerja-kerja baik pulih.

Soke Cheng berkata, satu tema baharu turut akan diperkenalkan iaitu tema untuk kanak-kanak yang akan menampilkan patung daripada karakter kartun.

"Meskipun banyak penambahbaikan dilakukan, tetapi bayaran masuk ke Red Carpet masih dikekalkan iaitu dewasa RM35 dan kanak-kanak RM30 setiap seorang, manakala bayaran masuk ke tema kartun pula hanya RM10.

Gerai diroboh: 37 peniaga Bandar Tasik Puteri buat laporan polis

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

Mohd. Ridzuan Abdullah (tujuh dari kanan) bersama sebahagian daripada 37 peniaga membuat bantahan terhadap MPS selepas membuat laporan polis di Bandar Tasik Puteri, Rawang, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN

RAWANG 26 Mac - Seramai 37 penjaja dan peniaga kecil dari sekitar Bandar Tasik Puteri, membuat laporan polis terhadap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang telah merobohkan gerai-gerai mereka tanpa sebarang notis pemberitahuan awal, di sini, hari ini.

Mereka mendakwa, kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 pagi, Khamis lalu melibatkan kira-kira 30 penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Salah seorang penjaja, Norhani Mohammad Nor, 34, berkata, dia kesal dengan tindakan PBT itu yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.

"Saya mengalami kerugian besar selepas kerja-kerja merobohkan itu.

"Seminggu sebelum kerja-kerja meroboh dilakukan, ada penguat kuasa MPS datang.

"Dia mengarahkan saya mengosongkan gerai tersebut tanpa memberi sebarang alasan.,"katanya yang menjual pakaian terpakai di situ.

Beliau ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tasik Puteri bersama-sama 36 peniaga dan penjaja yang terlibat.

Norhani turut mendakwa, tindakan MPS tersebut berkemungkinan dilakukan atas pengaruh dan arahan daripada salah seorang Ahli Majlis MPS.

"Saya kesal kerana tindakan itu dilakukan tanpa berbincang dengan kami.

"Tindakan mereka seolah-olah mahu 'membunuh' peniaga kecil seperti kami. Mereka sepatutnya membantu, tetapi sebaliknya yang berlaku," katanya.

Seorang lagi peniaga makanan, Sawi Ahmad, 58, berkata, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian besar apabila semua peralatan termasuk meja dan kerusi miliknya rosak.

"Sudah hampir 10 tahun saya berniaga di sini. Sekiranya timbul masalah atau terdapat aduan daripada orang ramai mengapa kami tidak dipanggil untuk berbincang.

"Sebaliknya bukan bertindak kejam seperti ini,"katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah yang turut memberikan sokongan kepada para penjaja dan peniaga tersebut, memberi tempoh seminggu kepada MPS untuk menjelaskan perkara tersebut.

Katanya, beliau tidak teragak-agak melantik peguam bagi mewakili peniaga dan penjaja terlibat bagi menuntut ganti rugi dan menyaman PBT itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved