Khamis, 27 Mac 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Didakwa hina agama Islam

Posted: 27 Mar 2014 12:20 PM PDT

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KASSIM Ahmad (tengah) yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RIDUAN RIZAL AHMAD

PUTRAJAYA 27 Mac - Bekas aktivis politik dan sosial, Dr. Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dalam sebuah seminar pada Februari lalu.

Kassim, 81, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang'.

Seminar tersebut diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, No. 1, Jalan PBH, Presint 8 di sini antara pukul 9 pagi dan 5 petang, 16 Februari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghina agama Islam ketika membentangkan satu skrip ucapan yang bertajuk 'Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Malaysia Untuk 30 tahun Akan Datang' dengan mengatakan Nabi Muhammad tidak perlu dimuliakan dan rambut wanita bukan aurat.

Pada masa yang sama, Kassim turut didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan memetik dua buku tulisannya yang telah diharamkan oleh Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu 'Hadis Suatu Penilaian Semula' dan 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik'.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 7(B) dan pertuduhan kedua, Seksyen 9, masing-masing di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ibrahim Deris yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan sekiranya dibenarkan, beliau meminta mahkamah mengenakan wang jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Kassim yang tidak diwakili peguam syarie pula memohon agar dibenarkan diikat jamin dengan jumlah yang rendah memandangkan dia menghadapi masalah kesihatan, tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada bantuan kewangan tiga orang anak.

Hakim Syarie, Umamuddin Yunus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 7 April ini.

Tertuduh dibebaskan setelah menjelaskan wang jaminan tersebut.

Kassim yang mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya berunsur anti hadis baru-baru ini, ditahan penguat kuasa Jawi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di rumahnya, di Taman Kulim Perdana, Kelab Golf Kulim, Kedah semalam.

Polemik mengenainya tercetus selepas beliau dalam seminar itu mengeluarkan kenyataan mendakwa Islam di negara ini diseleweng selain mengkritik sistem ulama Islam yang disamakan dengan 'kasta paderi.'

Ekoran kenyataan berkenaan, pelbagai pihak mengecam Kassim sehingga menyebabkan Jakim dan Jawi menahannya.

Bunuh: Lelaki Myanmar diperintah bela diri

Posted: 27 Mar 2014 12:20 PM PDT

KUANTAN 27 Mac - Seorang warga Myanmar diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Kasing, Pianggu, Rompin dekat sini, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian hari ini setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ba Than, 32, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 6 Mei ini untuk tertuduh memberi keterangan bela diri.

Dalam penghakimannya, Hakim Ab. Karim berkata, kecederaan yang dialami mangsa, Soe Myint, 28, telah menyebabkan kematiannya.

''Saksi juga dengan jelas sekali melihat tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas mengejar mangsa sebelum memukul serta menetaknya beberapa kali.

''Dengan jumlah kecederaan pada badan mangsa menunjukkan tertuduh memang ada niat bersama untuk membunuh mangsa,'' kata beliau.

Than bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama membunuh Myint di jalan ladang kelapa sawit Kampung Kasing, Pianggu, Rompin antara pukul 2 dan 2.10 petang, 20 November 2011.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Peguam Muhammad Irfan Abdullah hadir bagi pihak peguam tertuduh, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang tidak hadir pada prosiding hari ini manakala pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.

Akhbar sebelum ini melaporkan, lelaki warganegara asing itu dipercayai dibunuh di sebuah jalan tanah merah berdekatan Kampung Kasing, Pianggu, Rompin selepas mangsa dan suspek bergelut di atas jalan tersebut.

Sekumpulan suspek dari sebuah rumah yang dihuni mereka dipercayai mengejar mangsa sehingga ke jalan tanah merah sebelum bertindak menetak tubuh badan mangsa dengan menggunakan senjata tajam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved