Khamis, 27 Mac 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Hati-hati agensi urus harta pusaka

Posted: 27 Mar 2014 12:20 PM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

WAN Abdul Wahid Wan Hassan bersalaman dengan sebahagian peserta Seminar Pengurusan Harta Pusaka Peringkat Negeri Pahang di Hotel MS Garden, Kuantan, kelmarin. Turut kelihatan Azemi Kasim (kiri). - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 27 Mac - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) meminta umat Islam supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan agensi yang menawarkan perkhidmatan pengurusan wasiat dan harta pusaka.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, terdapat agensi mengambil kesempatan terhadap orang Islam yang kurang arif mengenai harta pusaka sehingga mengenakan bayaran mencecah RM3,000.

Sedangkan jika permohonan dibuat melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), tiada bayaran permohonan pun dikenakan.

Bayaran perkhidmatan hanya dikenakan setelah permohonan selesai dan jumlahnya adalah minimum berdasarkan kepada jumlah harta pusaka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Pengurusan Harta Pusaka peringkat negeri, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Seri Azemi Kasim serta pemimpin-pemimpin masyarakat, pentadbir tanah daerah dan pengurus-pengurus tanah rancangan Felda dan Felcra.

Program itu bertujuan memberikan input yang berkesan serta menambahkan kefahaman peserta kursus yang merupakan sumber rujukan masyarakat bagi menyelesaikan isu dan permasalahan berkaitan harta pusaka.

Sementara itu, Wan Abdul Wahid meminta umat Islam supaya tidak keliru dengan kandungan drama dan filem yang menyiarkan mengenai wasiat dan pembahagian harta pusaka kerana kebanyakannya tidak menepati hukum syarak.

Bukan setakat filem Melayu lama, dalam drama baharu sekalipun, ada adegan yang mana si mati mewasiatkan 80 peratus daripada hartanya kepada seseorang dan ini menambah kekeliruan masyarakat.

Al-Quran telah menyatakan hukum dan cara pembahagian harta pusaka dalam kalangan waris, dengan tujuan untuk memberi keadilan kepada semua waris dan mengelak pergaduhan di antara mereka, ini perlu diikuti," katanya.

DPMM Pahang anjur konvensyen anjakan minda

Posted: 27 Mar 2014 12:20 PM PDT

KUANTAN 27 Mac - Lebih 1,000 usahawan dan orang awam dijangka menghadiri Mindset 2013 - Konvensyen Anjakan Minda Usahawan Melayu yang diadakan selama tiga hari bermula 4 April ini di Wisma Belia, di sini.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, Datuk Rahman Daud berkata, program dengan kerjasama kerajaan negeri itu akan menghimpunkan usahawan dan orang awam yang ingin menceburi bidang perniagaan daripada pelbagai sektor.

Pelbagai acara akan dilaksanakan pada konvensyen tersebut antaranya seperti pameran, jualan, klinik usahawan dan padanan perniagaan.

Selain itu turut diadakan adalah himpunan usahawan muda, pertandingan kertas kerja rancangan perniagaan, bengkel kemahiran bermasa Kolej Komuniti, forum bicara dan motivasi usahawan," katanya dalam sidang akhbar, di sini kelmarin.

Yang hadir sama Timbalan Yang Dipertua DPMM Pahang, Abdul Wahab Ismail; Naib Yang Dipertua DPMM Pahang, Yusri Yusof dan Setiausaha Kehormat DPMM Pahang, Mokhtar Kasim.

Menurut beliau, Mindset usahawan membawa maksud usahawan yang menggunakan akal kreatif dalam mencapai objektif lebih tinggi.

Justeru, Mindset 2014 ini diharap akan menjadi pencetus kepada semangat usahawan di samping membolehkan penerokaan kepada peluang pelaburan yang inovasi dan dinamik kepada para peserta," katanya.

Tambah beliau, konvensyen ini dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 4 April di wisma tersebut.

Majlis penutup pula akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin di Hotel M.S Garden pada 6 April.

Pada majlis penutup juga akan diadakan penyerahan resolusi konvensyen Mindset 2014 kepada kerajaan negeri yang diwakili oleh Shahiruddin," katanya.

65 belia Program Kembara Amal Pemuda Jerantut lawat Taman Negara Pahang

Posted: 27 Mar 2014 12:20 PM PDT

Sebahagian daripada belia yang menyertai Program Kembara Amal dan melawat Taman Negara di Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 27 Mac - Sebanyak 65 belia di daerah ini tampil menjadi sukarelawan sempena Program Kembara Amal yang berakhir dengan lawatan ke Taman Negara Pahang di Kuala Tahan, baru-baru ini.

Program anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerantut dan Kelab-kelab Kereta Negeri Pahang itu melibatkan 27 buah kenderaan pelbagai jenis termasuk Proton Exora, Perodua Kancil dan Nissan Grand Livina.

Penyelaras program merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Asrul Abdul Hamid berkata, belia yang terlibat turut menyertai program gotong-royong membersih tanah perkuburan Islam Kampung Padang di Kuala Tahan di sini sebelum melawat Taman Negara Pahang.

Kita ingin mewujudkan satu komuniti belia yang mempunyai hubungan erat dengan masyarakat setempat selain memupuk semangat kerjasama dan toleransi antara satu sama lain.

Program gotong-royong ini juga dapat memupuk semangat mencintai alam sekitar yang menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kebersihannya," katanya.

Pelepasan konvoi disempurnakan oleh Setiausaha UMNO Bahagian, Ahmad Nizam Mohd. Hassan di Dataran Majlis Daerah Jerantut (MDJ) di sini.

Menurutnya, program tersebut juga bertujuan menyatukan pemilik kenderaan daripada pelbagai kelab di seluruh negeri ini bagi membolehkan mereka mendalami dunia automotif.

Beliau berkata, para peserta dapat bertukar pendapat dan berkongsi idea terutama kemudahan untuk mendapatkan alat ganti serta aksesori kenderaan.

Pada masa yang sama, program yang kita jalankan ini juga bertujuan menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 yang sedang berlangsung jadi kita pilih Taman Negara di Kuala Tahan sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Asrul memberitahu, peserta program berkenaan dibawa meninjau sekitar Taman Negara dan menaiki Canopy Walk serta menyusuri sungai menggunakan bot.

Kami telah merancang pelbagai program untuk belia sepanjang tahun ini bagi membolehkan mereka terlibat dengan aktiviti yang sihat sekali gus menghindarkan mereka daripada gejala yang tidak bermoral," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved