Selasa, 1 April 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Lelaki rentung dalam kereta

Posted: 01 Apr 2014 10:35 PM PDT

[unable to retrieve full-text content]KLANG 2 April - Seorang lelaki ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Jalan Klang-Meru di sini awal pagi ini. - UTUSAN ONLINE

Nenek mati dipukul cucu

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my

Pasukan polis mengusung mayat Yatim Murtalah yang maut setelah dipukul dengan batu oleh cucunya dalam kejadian di rumah mangsa di Kuala Garing, Rawang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 1 April - Hanya kerana ingin menyamun barang kemas milik neneknya, seorang cucu berusia 18 tahun sanggup memukul bertalu-talu kepala neneknya dengan batu sehingga mati.

Dalam insiden menyayat hati kira-kira pukul 2 petang ini di Kuala Garing, Rawang dekat sini, Yatim Murtalah, 65, seorang warga Indonesia mati di tempat mati akibat kecederaan parah.

Kejadian itu disedari seorang lagi cucu mangsa, Mohd. Faizal Edi, 8, yang ketika itu baru pulang dari sekolah.

"Masa pulang dari sekolah, saya nampak motosikal abang diletakkan di hadapan rumah tetapi dia melarang saya masuk ke rumah dan menutup pintu.

"Saya nampak abang kelam-kabut mengelap darah di bahagian tangan dan mukanya lalu saya sembunyi di belakang pokok di hadapan rumah. Saya kemudian ternampak abang melarikan diri menaiki motosikal.

"Apabila saya masuk ke dalam rumah, nenek sudah terbaring di ruang tamu berlumuran darah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, menurut anak mangsa yang juga ibu kepada suspek berkata, anaknya tersebut baru setahun berhijrah ke Malaysia selepas enggan meneruskan persekolahannya di negara asal mereka.

Maryaton Rai, 49, yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) berkata, suspek merupakan anak hasil perkahwinan pertamanya ketika di Indonesia.

"Sebelum datang ke Malaysia, dia menetap di Madura, Jawa Timur bersama ahli keluarga lain.

"Dia memang anak yang degil dan tidak mahu mendengar kata, malah tidak mahu meneruskan persekolahannya," katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kini memburu suspek yang dikenali sebagai Pandi.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, sebahagian barang kemas seperti rantai dan loket berada pada badan mangsa hilang," katanya yang memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Abdel Fattah pemusnah demokrasi

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

KAHERAH 1 April - Pergerakan Islam Mesir, Ikhwanul Muslimin memberi amaran bahawa kemenangan bekas ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi dalam pilihan raya Presiden Mei ini, akan menjerumuskan negara ini di bawah pemerintahan tentera, sekali gus memusnahkan demokrasi yang baru bertapak selama setahun sejak penggulingan bekas Presiden, Hosni Mubarak pada 2011.

Dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman web www.ikhwanweb.com, Ikhwanul Muslimin berkata, hasrat Abdel Fattah bertanding dalam pilihan raya tersebut secara jelas membuktikan bahawa penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi pada 3 Julai lalu, merupakan satu rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Malah, tindakan bekas ketua tentera berusia 59 tahun itu menggunakan kesemua saluran media milik kerajaan untuk mengumumkan hasratnya bertanding sebagai Presiden pada 26 Mac lalu, menunjukkan beliau menggunakan harta kerajaan demi kepentingan diri.

"Rakyat Mesir telah lama berjuang untuk mengecapi sistem pemerintahan demokrasi, sekali gus menamatkan pemerintahan tentera yang bersifat kuku besi selama 40 tahun.

"Hasrat rakyat untuk merasai pemerintahan demokrasi hanya bertahan selama setahun sehingga Abdel Fattah menghancurkan impian mereka dengan menggulingkan Mursi dan kini mahu bertanding sebagai Presiden," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, pergerakan tersebut melabelkan Abdel Fattah sebagai seorang pembunuh yang bertanggungjawab ke atas kematian beribu-ribu orang awam yang tidak bersalah dan penipu kerana sering mengkhianati sumpah atau janji yang dilaungkan sebelum ini bahawa beliau atau institusi tentera tidak berniat memerintah Mesir.

Jelasnya, Abdel Fattah juga disifatkan sebagai seorang pensabotaj keadilan Mesir dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 penyokong Ikhwanul Muslimin dengan hanya dua kali sesi perbicaraan dalam tempoh 20 minit.

"Sifat diktator dalam diri Abdel Fattah terserlah apabila mendalangi penahanan dan penyeksaan lebih 23,000 tahanan Mesir, termasuk kanak-kanak dan wanita kerana mengadakan tunjuk perasaan secara aman.

"Beliau juga merupakan seorang pengecut kerana menggunakan kekuatan tentera termasuk kereta kebal dan pesawat tempur untuk menggempur kampung dan pekan di negara ini, sedangkan beliau sendiri tidak pernah berperang menentang musuh Mesir," kata kenyataan tersebut.

Tiga maut serangan bermotifkan politik di Aceh

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Seorang pemuda dikenali sebagai Fakhrurazi yang mengalami kecederaan parah akibat insiden tembakan rambang, dirawat di sebuah hospital di Banda Aceh, Indonesia, semalam. - AFP

BANDA ACEH 1 April - Seramai tiga orang awam termasuk seorang bayi maut apabila dua penunggang motosikal yang bersenjatakan pistol melepaskan tembakan rambang di tengah-tengah bandar Aceh, Indonesia, kata anggota polis semalam.

Kejadian itu merupakan keganasan terbaharu berlaku di barat Indonesia menjelang Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) 2014 minggu depan.

Kesemua mangsa terkorban malam semalam apabila penyerang melepaskan tembakan ke arah sebuah van mini yang dihiasi beberapa gambar calon pilihan raya dari Parti Aceh, yang menguasai politik tempatan.

Polis berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti penyerang.

Keganasan yang berlaku menunjukkan bahawa tahap keselamatan di Aceh, yang terletak utara Sumatera itu masih lemah.

"Suspek yang bersenjata dipercayai mengekori van mini tersebut yang dinaiki 12 orang penumpang bersama dua bayi. Penyerang melepaskan tembakan dari belakang dan mengenai empat orang," kata Ketua Polis Daerah Bireuen, Ali Khadafi.

Ali berkata, pemandu van mini itu bergegas membawa para penumpangnya ke sebuah pusat rawatan, namun mangsa terdiri daripada bayi berusia 18 bulan, lelaki dan wanita disahkan meninggal dunia sebaik-baik tiba bagi mendapatkan rawatan.

Tambahnya, seorang lelaki dikenali sebagai Fakhrurazi, 35, masih berada dalam keadaan kritikal.

Sejak kempen pilihan raya dilaksanakan, beberapa siri keganasan tercetus di Aceh termasuk insiden tembakan dan serangan bom tangan.

Sebelum ini, seorang calon Parlimen daripada Parti Kebangsaan Aceh (PNA), Faisal ditembak mati oleh sekumpulan penyerang tidak dikenali ketika sedang memandu pada Ahad lalu.

Portal berita Jakarta Post melaporkan, Ketua Polis Negara, Jeneral Sutarman mengesahkan kejadian tembakan di Aceh itu bermotifkan politik.

Kejadian itu merupakan yang kedua di Aceh dalam tempoh tiga minggu, selepas dua lelaki bertopeng menyerang bilik gerakan calon Parti Demokrat Nasional (NASDEM), Zubir HT, serta serangan ke atas dua penyokong calon tersebut pada 16 Februari lalu. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Telefon bimbit Zara Eleena dalam beg tertuduh

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

SHAH ALAM 1 April - Telefon bimbit milik pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter yang mati dibunuh di rumahnya, ditemui dalam beg sandang milik tertuduh keempat kes pembunuhan itu.

Detektif Sarjan H'ng Han Taik, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, telefon itu ditemui semasa beliau dan beberapa anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) menahan tertuduh itu, Muhamad Safwan Muhamad di sebuah asrama di Pandan Jaya, Ampang dekat sini, empat hari selepas mayat Zara Eleena ditemui.

Han Taik yang merupakan Penyelia Detektif cawangan D9 Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang berkata, Muhamad Safwan ditahan bersama-sama tertuduh ketiga, Azizi Aizat pada hari dan di tempat yang sama iaitu di sebuah bangunan kedai yang dijadikan asrama pelajar.

Menurut beliau, telefon bimbit jenis iPhone itu disahkan milik mangsa oleh Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan (ASP), Mohd. Nazir Max.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin berhubung reaksi kedua-dua tertuduh ketika ditahan, beliau berkata, mereka kelihatan tenang.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan kes bunuh Zara Eleena, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56.

Dalam kes itu, empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril, 22; Mohamad Sharafe Matt Noh, 21; Azizi Aizat, 22; dan Muhamad Safwan, 22; didakwa membunuh dua beranak tersebut di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, dua tahun lalu.

Mereka didakwa membunuh Zara Eleena yang merupakan orang kurang upaya (OKU) antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac 2012 dan bapanya yang juga pesara syarikat kewangan antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya.

Sebelum itu, Han Taik yang merupakan saksi pendakwaan ke-16 berkata, tertuduh pertama, Mohamad Zul Shahril Suhaimi ditahan dekat sebuah warung di Pandan Indah, Ampang bersama-sama abangnya yang dikenali sebagai Zul Fazli pada 12 Mac 2012 iaitu sehari selepas mayat Zara Eleena ditemui.

Katanya, beliau dengan anggota polis yang sama telah menjalankan pemerhatian selama dua jam di kawasan itu setelah diberitahu oleh pegawai penyiasat bahawa Mohamad Zul Shahril sering ke warung tersebut.

Beliau turut memberitahu, tertuduh dan abangnya juga kelihatan agak relaks dan tenang semasa ditahan.

Menurut beliau, pihaknya turut memeriksa dua telefon bimbit jenis Sony Ericsson dan Samsung milik tertuduh pertama itu untuk mengesan panggilan keluar masuk dalam telefon berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok.

Tahanan mati akibat Pulmonary Embolism

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

sebahagian daripada ahli keluarga M. Ragu berada di luar Mahkamah Koroner Kampar ketika menunggu keputusan inkues kematian mendiang di Kampar, Perak, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

KAMPAR 1 April - Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian M. Ragu, banduan yang ditemui mati dalam lokap di Balai Polis Kampar, 10 Mac tahun lalu berpunca daripada Pulmonary Embolism iaitu kehadiran darah beku pada sistem salur darah di paru-parunya.

Koroner Nur Melati Diana Abdul Wahab berkata, keadaan tersebut berlaku berikutan hidrasi rendah dan infeksi berpanjangan yang dialami Ragu, 47.

"Keadaan berkenaan menyebabkan berlakunya penutupan pada saluran darah pada paru-paru mangsa.

"Oleh yang demikian saya putuskan kematian si mati adalah sebab semulajadi," katanya ketika memberikan penghakimannya yang dibuat secara lisan.

Sebanyak 10 saksi termasuk pakar patologi dan pegawai penyiasat telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding yang bermula sejak awal Februari lalu itu.

Prosiding inkues itu dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Loke Kok Mun yang menyoal balas saksi manakala M. Kulasegaran hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga Ragu.

Inkues tersebut diadakan bagi mengesahkan kematian Ragu yang berasal dari Malim Nawar, Kampar setelah keluarganya tidak berpuas hati dengan punca kematiannya.

Ragu sebelum itu telah ditahan oleh pihak polis pada 4 Mac 2013 berhubung tuduhan mencederakan seorang mangsa di bandar Malim Nawar sebelum ditahan reman sehingga 8 Mac.

Mahkamah Majistret Kampar kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan didenda RM2,000 setelah dia mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Bagaimanapun, Ragu ditemui mati pada 10 Mac tahun lalu dalam keadaan terbaring di lokap pada kira-kira pukul 8 pagi oleh seorang pengawal yang sedang menggerakkan 11 suspek lain untuk bersarapan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Polisas, Here Solution bekerjasama

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 1 April - Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) menjalinkan kerjasama dengan Here Solution (M) Sdn. Bhd., bagi memantapkan perkongsian ilmu serta kepakaran demi pembangunan proses pengajaran dan pembelajaran.

Jaringan kolaborasi ini termeterai melalui Program Pembangunan Data Spatial menggunakan perisian Map Creator dan ditandatangani pada 12 Mac lalu bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Kejuruteraan Awam, Polisas.

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam Polisas, Radziah Hashim, kerjasama itu sangat bermanfaat khususnya kepada penuntut dan pensyarah yang membolehkan mereka mendapat perkongsian kepakaran daripada pekerja terlatih Here Solution.

"Program kolaborasi pengambilan Data Spatial ini dilaksanakan sekitar September tahun lalu sebagai prafasa dan bertujuan memberi peluang kepada Polisas untuk berkongsi data berkenaan.

"Melalui ini juga, para penuntut dan pensyarah dapat mempelajari aplikasi Map Creator iaitu sistem berasaskan web dan diaplikasikan dalam sistem pengajaran," katanya.

Tambah beliau, kerjasama itu turut membuka ruang dan peluang kepada penuntut serta pensyarah menjalani latihan industri.

"Seramai 80 penuntut Diploma Ukur Tanah (Geomatik) terlibat dalam kerjasama ini yang dilaksanakan melalui bengkel pengambilan dan pengemaskinian Data Spatial menggunakan perisian Map Creator yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Kolaborasi ini merupakan satu nilai tambah kepada penuntut berkenaan khasnya dalam menghasilkan yang lebih bagus sejajar dengan visi utama Polisas iaitu sebagai penjana utama modal insan inovatif melalui pendidikan," katanya.

Belia, pelajar sertai kursus hospitaliti

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

PARA pelajar sekolah menengah mempelajari simpulan dan ikatan yang merupakan antara pengisian ikhtiar hidup dalam kursus pelancongan anjuran Kolej Komuniti Lipis di Kuala Kenong, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 1 April - Bagi merealisasikan usahawan berjaya dan mengisi kerjaya profesional dalam bidang pelancongan, Kolej Komuniti Lipis (KKL) melaksanakan Kursus Pengurusan Hospitaliti dan Pemanduan Pelancong kepada pelajar sekolah serta belia di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Kursus yang diadakan selama dua hari di Taman Rimba Kuala Kenong di sini memberi fokus terhadap modul latihan berasaskan pelancongan termasuk pemanduan arah kepada peserta menerusi bimbingan pensyarah KKL serta pengusaha pelancongan bandar ini.

Pengarah KKL, Anuar Ralib berkata, kursus jangka pendek itu merupakan pendedahan awal mengenai bidang berkenaan yang juga ditawarkan di peringkat diploma dan ijazah di kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain.

"Program ini bertujuan mendekatkan mereka supaya cintakan alam sekitar dan menggunakan kemudahan berkenaan untuk tujuan pembangunan sektor pelancongan.

"Latihan singkat diberikan berupa pengenalan lokasi pelancongan, pengurusan semasa rekreasi, perkhemahan, ikhtiar hidup, keselamatan, percambahan fikiran mengenai pelancongan dan tugas pemandu pelancong," katanya di sini .

Anuar berkata, pelaksanaan kursus ini diberikan secara spesifik kepada belia dan pengusaha mengenai pengurusan hospitaliti serta pemanduan pelancong bagi memudahkan mereka memulakan bidang keusahawanan dalam bidang ini.

"Kita juga turun padang ke kampung dan penempatan Orang Asli untuk mempromosikan kursus tersebut sekali gus menarik minat belia, suri rumah dan pengusaha menimba kemahiran berkenaan di kolej ini," katanya.

Penuntut UiTM dekati kehidupan Orang Asli

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

PENUNTUT UiTM cawangan Pahang bergotong-royong membersihkan salah satu bilik darjah dalam program khidmat masyarakat di Perkampungan Orang Asli Bukit Gemuruh, Bera, baru-baru ini.

KUALA KRAU 1 April - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang di sini menganjurkan program khidmat masyarakat di Perkampungan Orang Asli Bukit Gemuruh, Bera baru-baru ini yang bertemakan Riben Merah: Sebarkan Cinta.

Pengarah Program, Siti Aishah Mohd. Alip berkata, program itu dianjurkan penuntut Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (DPTP), Pusat Pengurusan Gunaan (PPG) dan Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP).

Menurutnya, program itu merupakan salah satu tugasan daripada subjek Pengurusan Majlis bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Seramai 18 penuntut semester empat DPTP dan sukarelawan daripada penuntut semester dua program itu turut terlibat dalam menjayakan aktiviti berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Program itu dirasmikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Pahang, Prof. Madya Dr. Halil Paino dan dihadiri penasihat program berkenaan, Noorsuraya Mohd. Mokhtar.

Antara aktiviti yang diadakan adalah pertandingan memasak, sukaneka, peragaan dan rumah tercantik.

"Selain itu, para penuntut dapat mengamalkan cara hidup berintegriti dengan lebih baik serta membentuk akhlak mereka menjadi seorang mahasiswa yang berguna kepada bangsa dan negara," katanya.

Katanya, aktiviti yang diadakan pertandingan Battlechef (pertandingan memasak), pertandingan Hunger Game (sukaneka), pertandingan Revolution Night (pertandingan peragaan) dan Pertandingan Love Bridge (Pertandingan rumah tercantik).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mahkamah Chicago tolak

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh Salleh Buang

Monica Kelly dari firma guaman Amerika Syarikat, Ribbeck Law Chartered International menghadiri sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 26 Mac lalu, bagi mengumumkan yang firma itu telah memulakan prosiding undang-undang bernilai berjuta-juta dolar terhadap syarikat Boeing dan Malaysia Airlines (MAS) berhubung kes kehilangan pesawat MH370. - AFP

BERITA terkini dari Chicago menyatakan prosiding mahkamah yang difailkan oleh firma guaman Ribbeck Law Chartered di bandar raya itu minggu lalu berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 adalah pra-matang dan menyalahi peraturan.

Hakim Kathy Flanagan memutuskan pada Isnin lalu (31 Mac 2014) bahawa undang-undang hanya membenarkan kes seperti itu difailkan di mahkamah apabila identiti bakal defendan sudah pun dikenal pasti.

Hakim itu selanjutnya memarahi firma itu kerana memfailkan kesnya terlalu awal sebelum ada apa-apa keterangan kukuh dikumpulkan. Walaupun kapal terbang malang itu hilang pada 8 Mac lalu, hakikatnya sehingga kini usaha mencari dan menyelamatkan pesawat dan penumpang masih lagi belum menunjukkan apa-apa hasil.

Keputusan hakim ini disokong pelbagai pihak dalam kalangan pengamal undang-undang di bandar raya itu.

Robert Clifford, seorang peguam yang punyai pengalaman luas selama 30 tahun mewakili ahli keluarga mangsa nahas kapalterbang, menganggap perbuatan firma Ribbeck Law Chartered itu sebagai satu publicity stunt untuk mendapatkan manfaat bagi firma itu sahaja.

"Perbuatan seperti ini membuat kita semua (pengamal undang-undang) nampak buruk sekali di mata rakyat," tambah Clifford lagi.

Menurut Clifford, firma Ribbeck Law telah melakukan perkara yang sama pada tahun lalu selepas nahas pesawat Penerbangan 214 di San Francisco. Dalam kes itu, mahkamah telah juga menolak kes yang difailkan itu sebagai pra-matang.

Pakar litigasi penerbangan sependapat dengan Clifford. Walaupun tindakan memfailkan kes di mahkamah dengan maksud memelihara keterangan yang berkaitan itu adalah satu langkah yang amat penting, perbuatan memfailkan kes sebelum pesawat yang hilang itu ditemui adalah jumping the gun dan tidak wajar sama sekali.

Prof. Bruce Ottley dari De Paul University menyatakan bahawa tindakan memfailkan kes di peringkat awal memang menarik perhatian semua pihak. "Tetapi bila anda failkan kes anda sebelum ada kepastian penumpang kapal terbang itu telah meninggal dunia, itu adalah terlalu awal sekali".

AMARAN DIKENAKAN SEKATAN

Hakim Flanagan turut menyatakan dalam penghakiman empat halamannya bahawa firma Ribbeck telah memfailkan petisyen yang hampir serupa pada tahun lalu selepas peristiwa nahas kapal terbang di San Francisco dan Laos. Dalam semua kes itu, dia (Hakim Flanagan) telah menolaknya atas alasan yang sama - iaitu kes difailkan terlalu awal dan belum matang.

Kata Hakim Flanagan lagi, walaupun firma berkenaan telah diperintahkan jangan mengulangi perbuatan silam mereka, firma berkenaan masih degil melakukannya lagi dalam kes ini (petisyen berhubung penerbangan MH370), walaupun ia tahu belum ada asas untuk berbuat demikian.

Justeru, Hakim Flanagan memberi amaran kepada firma itu sekiranya ia meneruskan juga memfailkan kes sedemikian pada masa depan, mahkamah akan (impose sanctions) mengenakan hukuman terhadap firma tersebut.

PETISYEN PENZAHIRAN

Dalam dua kes yang difailkan oleh firma Ribbeck Law Chartered minggu lalu (disebutkan sebagai petisyen penzahiran) dua orang plaintif yang diwakili firma itu memohon mahkamah memerintahkan syarikat Boeing dan MAS menzahirkan beberapa perkara yang didakwa ada kaitannya dengan kehilangan pesawat MAS yang malang itu.

Perkembangan berikutnya menunjukkan bahawa salah seorang plaintif, bernama Januari Siregar, yang disebutkan sebagai bapa kandung penumpang Firman Chandra Siregar (24 tahun) yang hilang bersama pesawat MAS itu, ialah sebenarnya bapa saudara dan hubungannya dengan ahli keluarga lain pun tidak begitu mesra atau rapat. Seorang jurucakap bapa sebenar Firman Chandra memberitahu akhbar Chicago Tribune bahawa firma Ribbeck Law tidak diberi apa-apa kebenaran atau izin memfailkan kes bagi pihak keluarga mereka di Chicago.

Pada minggu lalu, seperti semua rakyat Malaysia sudah sedia maklum, sepasukan peguam dari firma Ribbeck Law, diketuai Monica Kelly, sudah pun mendarat di lapangan terbang KLIA dan sejurus selepas itu telah membuat sidang akhbar menawarkan khidmat dan kepakaran firma itu kepada ahli keluarga penumpang yang hilang dalam pesawat MAS pada 8 Mac lalu.

Selesai bercakap dengan wakil media di Kuala Lumpur, mereka terus bergegas ke Beijing, pastinya dengan maksud mencari pelanggan dalam kalangan ahli keluarga penumpang China yang hilang bersama pesawat malang itu.

DAKWAAN MONICA KELLY

Semasa bercakap kepada pengamal media di Kuala Lumpur minggu lalu, Monica Kelly menyatakan bahawa sebagai peguam plaintif, mereka telah memohon dibekalkan dokumen berhubung reka bentuk dan kecacatan mekanikal serta tindakan yang diambil oleh syarikat Boeing dan MAS (defendan) yang mungkin menyebabkan nahas itu berlaku.

"Kita percaya kedua-dua defendan bertanggungjawab atas nahas MH370," katanya lagi.

Monica menjelaskan bahawa matlamat petisyen itu adalah meminta mahkamah memerintahkan Boeing menzahirkan identiti pembuat komponen kapal terbang malang itu, termasuklah komponen elektrik dan pendawaian, bateri, bekalan oksigen, dan sistem penggera api. Permohonan itu juga mahu dizahirkan identiti syarikat atau individu yang membuat pemeriksaan terakhir badan kapal terbang (fuselage) dan siapakah yang menjalankan penyenggaraan.

Petisyen itu juga meminta mahkamah memerintahkan MAS memberi maklumat sepenuhnya mengenai latihan yang diberi kepada anak kapal untuk menangani insiden nahas, amalan dan latihan keselamatan, serta penilaian anak kapal.

"Kita mesti cari kepastian apa yang menyebabkan nahas itu dan selanjutnya mendesak agar apa sahaja masalah yang ada kaitan dengan reka bentuk dan pembuatan pesawat itu segera diatasi agar nahas yang serupa tidak berlaku lagi di masa depan," tambah Monica.

Monica juga memaklumkan wartawan bahawa firmanya akan menamakan beberapa defendan lain dalam masa terdekat, termasuklah pereka (designers) dan pembuat bahagian-bahagian kapal terbang yang berkaitan.

Akhbar South China Morning Post minggu lalu ada memetik kata-kata Monica Kelly setelah dia selesai ditemubual warga media di negara itu. Kata peguam dari Chicago itu - "Our theory of the case is that there was a failure of the equipment in the cockpit that may have caused a fire that rendered the crew unconscious, or perhaps because of the defects in the fuselage, which had been reported before, there was some loss in the cabin pressure that also made the pilot and co-pilot unconscious."

Lalu Monica Kelly membuat kesimpulan - "That plane was actually a ghost plane for several hours until it ran out of fuel."

Kini setelah dua kesnya yang difailkan di mahkamah ditolak Hakim Flanagan, manakala dia sendiri telah ditegur oleh mahkamah, apakah Monica Kelly akan terus mempromosikan teorinya tanpa mengambil kira perasaan ahli keluarga penumpang pesawat malang MH370 di saat-saat begini? Sama-samalah kita tunggu.

Bukan sebarang portal aduan

Posted: 01 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

PENGERUSI Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous menunjukkan portal Aduan ForTheRakyat yang boleh dilayari melalui web dan peranti mudah alih di Ibu Pejabat Biro itu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

EFEKTIF dan interaktif.

Agak teruja penulis apabila melayari portal aduan ForTheRakyat hasil inisiatif Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang beroperasi sejak 3 Mac lalu.

Bukan sengaja mahu mengangkatnya tetapi inilah cara yang paling tepat untuk mewujudkan situasi menang-menang melibatkan gandingan kerjasama sayap kanan parti pemerintah dan agensi-agensi kerajaan dalam kejayaan menyelesaikan isu-isu rakyat.

Satu ciri istimewa portal aduan ini adalah ia membolehkan orang ramai termasuk Gen Y memperoleh jawapan atau penyelesaian sesuatu masalah terus daripada pihak berkuasa atau pihak berkuasa tempatan. Tiada kerenah birokrasi, tiada hanky-panky.

Antara aduan yang sempat penulis titipkan dalam ruangan ini berkisar rintihan seorang lelaki berusia 40-an yang kepingin mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Kehidupannya daif sehinggakan terpaksa membawa isteri dan anak tinggal dalam sebuah kereta yang diletakkan di pinggir bandar.

Yang menariknya dalam kotak jawapan pada aduan berkenaan jika anda melayari portal ini adalah tertera kesanggupan pihak Biro Aduan Komuniti menemukan pengadu tadi dengan pegawai agensi yang bertanggungjawab dalam isu tersebut. Ini termasuklah menyertakan sekali nama pegawai dan nombor telefonnya untuk dihubungi. Akhirnya, setelah urusan pertemuan dilakukan, pengadu berkenaan menerima khabar gembira. Tidak lama lagi dia bakal menduduki rumah PPR berkenaan.

Bukan sahaja aduan biasa, masalah yang pelik turut disisipkan dalam portal aduan ini. Antaranya, luahan seorang adik yang memohon agar kakaknya yang kini jatuh bankrap setelah ditipu oleh seorang lelaki Afrika, dapat dipertimbangkan bantuan zakat oleh Baitulmal. Meskipun umum maklum permohonan seumpama ini sukar dilayan, namun ia tetap dalam perhatian biro. Demi memuaskan hati pengadu, pihak biro membawa isu ini ke pengetahuan pegawai baitulmal berkenaan. Jawapannya, permohonan terpaksa ditolak kerana permintaan itu di luar tanggungjawab baitulmal. Lebih menarik lagi, jawapan yang boleh dilihat dalam portal aduan ForTheRakyat ini menyertakan sekali nama pegawai baitulmal tadi dengan nombor telefon untuk dihubungi.

Penulis kemudiannya menghubungi Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous bertanyakan sambutan yang diterima portal aduan itu dalam tempoh sebulan ini. Kata Exco Pemuda yang berusia awal 30-an ini, maklum balas yang diterima begitu baik.

Pelbagai jenis aduan, sama ada besar, kecil atau nampak remeh, semuanya tetap diberi perhatian serius dengan tindakan susulan sama rata.

"Setakat ini kesemua 41 aduan berjaya ditangani seperti mana yang saudara (penulis) lihat semasa melayari portal kami. Ya, ia (portal aduan ini) beroperasi seperti Strategi Lautan Biru yang mana kita (Biro Aduan Komuniti Pemuda) bergandingan rapat dengan agensi-agensi kerajaan. Selain itu kami berkolaborasi dengan rakan-rakan strategik seperti Persatuan Peguam Syarie, SukaGuam, Yayasan Salam Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia serta Yayasan Sukarelawan Siswa dalam menangani aduan yang diterima.

"Biro ini tidak mahu menjadi sekadar jaguh kampung. Kami wujudkan portal ini untuk mendidik masyarakat dengan penyediaan saluran yang tepat," kata Sheikh Nafiq.

Bermotokan "Demi Rakyat, Keutamaan Kami", portal aduan ForTheRakyat yang beroperasi dalam dwibahasa - bahasa Melayu dan bahasa Inggeris - menjadi platform untuk membolehkan sesiapapun mengadu secara atas talian di mana-mana sahaja. Segala aduan yang diterima dimuat naik ke dalam sistem untuk membolehkan pihak Biro Aduan Komuniti serta rakyat mengikuti perkembangan setiap aduan yang diutarakan.

Kaedah crowdsourcing yang diguna pakai membolehkan orang ramai melayari portal aduan ForTheRakyat untuk memberi komen serta mengundi aduan yang telah dikemukakan.

Selain itu, penyelesaian yang diberi oleh pihak biro juga dimuat naik supaya mereka yang menghadapi masalah sama boleh mengguna pakai penyelesaian tersebut. Ini termasuklah para pegawai yang sama pernah mengendalikan kes yang lebih kurang serupa.

Seterusnya, aduan yang dimuat naik ke dalam portal akan melalui beberapa langkah sebelum dapat ditangani. Langkah-langkah yang dimaksudkan ialah Aduan Baharu, Aduan Disemak, Aduan Diproses serta Aduan Ditangani.

Pengadu akan dimaklumkan melalui e-mel status aduan untuk membolehkan mereka mengikuti perkembangan aduan berkenaan. Pada masa sama, fungsi terkini yang diwujudkan dalam portal aduan ForTheRakyat adalah pautan ke laman sosial Twitter. Ini untuk membolehkan pengadu terus berkongsi status mereka ke laman sosial tersebut.

Menurut Sheikh Nafiq, Biro Aduan Komuniti Pemuda berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memanjangkan suara rakyat kepada agensi berkaitan.

"Kita nak bina masyarakat yang bukan sahaja tahu bagaimana hendak buat aduan tetapi pada masa sama sebahagian besar masyarakat lagi boleh memberi jalan penyelesaiannya. Contohnya masalah sampah, pihak biro akan usulkan bukan sahaja bahagian penguat kuasa berkenaan malahan pegawai yang sepatutnya boleh ditemui," kata Sheikh Nafiq.

Segala aduan yang terkandung dalam portal aduan ForTheRakyat dijamin ketanggungjawabannya berikutan maklumat peribadi pengadu direkodkan dengan pengesahan kad pengenalan dan nombor telefon. Ini sama sekali berbeza dengan media sosial yang apa sahaja komen boleh dilontarkan tanpa identiti atau berselindung.

Selain menangani aduan dalam portal, Biro Aduan Komuniti turut menawarkan pertemuan bersemuka antara orang ramai dengan pimpinan tertinggi Pemuda. Ini dibuat menerusi program Klinik Pemuda yang diadakan dua kali sebulan pada setiap Selasa dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari di ruang legar Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Idea mewujudkan portal aduan berkenaan berupa satu penjenamaan yang mengandungi statistik dan laporan lengkap untuk tatapan kepimpinan tertinggi negara yang membolehkan tindakan lebih efisien mengikut kawasan di setiap negeri.

Tidak hanya di web, portal ini boleh dilayari di peranti mobil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tweetnya menyifatkan portal aduan ForTheRakyat sebagai suatu inisiatif yang baik dan telah menyatakan kesediaan untuk menyempurnakan pelancarannya bersama Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dalam waktu terdekat.

Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO boleh dihubungi di alamat 81-01, Megan Ambassy, 225 Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur atau di talian 03-2171 6266, 03-2171 6366 dan nombor faksimile 03- 2181 6166.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Dari teman sekelas jadi suami isteri

Posted: 31 Mar 2014 11:55 PM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL

CINTA Nabil dan Adelia terjalin kerana masing-masing mempunyai minat yang sama.

SEBAGAI naib juara pertandingan nyanyian Mentor musim pertama pada tahun 2005, Nabil tentunya mempunyai ramai peminat terutama daripada kalangan wanita.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 27 tahun ini seakan-akan tidak mengambil kesempatan untuk mendampingi para peminat perempuan yang banyak menyokongnya selama ini.

Nabil atau nama penuhnya Nabil Zamanhuri tidak leka dibuai glamor, sebaliknya dia terus mengorak langkah melanjutkan pengajiannya di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) selepas itu.

Namun, jodoh dan ketentuan hidupnya terletak dalam kuasa Allah yang mana ketika melanjutkan pengajian di MMU itulah dia dipertemukan dengan gadis idamannya, Adelia Citra Hapsari, 26.

Menurut protege penyanyi Nora dalam Mentor terbitan TV3 itu, dia mula berkenalan dengan Adelia sewaktu sama-sama belajar dalam bidang Filem dan Animasi di universiti tersebut.

Dia yang popular dengan lagu Dari Jauh berduet dengan Lah Ahmad daripada kumpulan V.E. tidak menduga perkenalan mereka sewaktu menuntut di MMU itu berakhir di jenjang pelamin.

Sebenarnya, saya mula berkenalan dengan isteri kira-kira tiga tahun lepas. Ketika itu, kami sama-sama belajar dalam bidang yang sama iaitu Filem dan Animasi di MMU, Cyberjaya.

Kami belajar dalam kelas yang sama. Mulanya hubungan kami hanya kawan biasa sahaja. Secara kebetulan kami mempunyai minat dan suka perkara yang sama iaitu menonton wayang.

Daripada situlah hubungan kami semakin rapat dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk berkahwin," kata Nabil pada sidang akhbar selepas majlis resepsinya di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Jelas Nabil, sepanjang hubungannya dengan Adelia atau lebih mesra dengan panggilan Adel, dia banyak memerhatikan tingkah laku isterinya itu dan sekali gus berjaya memikat hatinya.

Sikapnya yang pemurah terhadap insan-insan yang kurang bernasib baik paling menyentuh hati Nabil sehingga dia menganggap isterinya itu sebagai seorang yang amat baik hati.

Saya banyak kali keluar bersama-sama isteri, contohnya sewaktu menonton wayang. Saya perhatikan dia seorang yang pemurah dan isteri saya pantang tengok peminta sedekah.

Kalau nampak dia mesti akan menghulurkan derma kepada peminta sedekah itu tidak kiralah sedikit ataupun banyak. Itu adalah antara sifatnya yang telah menyentuh hati saya.

Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang wanita sepertinya. Saya anggap ini adalah di antara magic ataupun keajaiban yang datang dalam hidup saya setakat ini," ujarnya.

Sebelum majlis resepsi yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu, pada sebelah paginya upacara akad nikah pasangan itu telah diadakan di Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor.

Bangsa, negara bukan halangan

Jodoh bagi pasangan ini tidak mengira bangsa dan sempadan negara, kerana bagi Nabil dan Adelia apa yang penting mereka saling serasi antara satu sama lain dalam banyak perkara.

Malah, kata Nabil, isterinya itu akan terus menetap di negara ini, apatah lagi setelah mendapat kerja dalam bidang animasi di syarikat produksi Animonsta Studios Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Keluarga saya menerima Adel walaupun dia orang Indonesia. Bagi saya perkara itu tidak menjadi isu di zaman globalisasi sekarang ini. Saya tidak nampak ada jurang bangsa atau negara.

Apatah lagi, emak saya pun suka dengan orang seperti Adel. Keluarga Adel juga menerima saya dalam keluarga mereka dan relakan anak mereka tinggal bersama saya di Malaysia," jelasnya.

Adel yang berasal dari Jakarta, Indonesia membuktikan sempadan negara tidak menjadi halangan buatnya untuk terus berhubungan dengan keluarganya di luar negara.

Ibunya, Endah Warni dan bapa tirinya, Joe Raymond Morin yang telah menetap di Chicago, Amerika Syarikat tidak ketinggalan hadir di hari bersejarah pasangan terbabit.

Selain itu, kaum keluarga Adel dari Jakarta seramai 38 orang turut hadir bagi memeriahkan majlis resepsi yang bermula dari pukul 9 malam hingga 11.30 malam tersebut.

Pada majlis yang disulami dengan hujan lebat tidak menghalang para hadirin termasuklah artis seperti Lah Ahmad, Nora, Johan Nawawi dan Azlan Abu Hassan menyerikan majlis itu.

Dalam pada hadirin sedang menikmati juadah, Nabil sempat membuat kejutan sewaktu tampil di pentas dengan menyanyikan sebuah lagu yang tidak bertajuk buat isterinya.

Menurut Nabil, lagu itu sudah lama diciptanya dan ia dikhususkan untuk isterinya dan ia dirancang pada saat-saat akhir untuk dijadikan kejutan buat Adel dan juga para hadirin.

Kalau boleh saya tidak mahu menyanyi tetapi selepas melihat kumpulan pemuzik latar pada malam ini berlatih maka saya pun dapat ilham untuk membuat kejutan tersebut.

Lagu ini saya cipta khas untuk isteri yang mana liriknya adalah dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Lagu ini saya cipta secara spontan dan setakat ini ia belum ada judulnya lagi," katanya.

Sewaktu ditanya tentang perancangan masa depannya, Nabil berkata dia akan lebih menumpukan kepada syarikat produksinya, Nabil Productions dalam dunia muzik dan filem.

Malah, dia juga belum merancang tempat-tempat tertentu untuk percutian berbulan madu bersama isterinya, sebaliknya membayangkan mahu bercuti di sekitar Indonesia.

Kami memang ada rancangan untuk berbulan madu dan mungkin akan ke Indonesia. Cuma belum pasti di mana destinasinya. Buat masa ini kami akan bekerja seperti biasa.

Malah, kami juga belum merancang untuk mendapat anak dalam waktu terdekat ini tetapi kalau ada rezeki (dapat anak) kami memang gembiralah dengan kurniaan Allah itu.

Adel akan sibuk dengan kerjanya di Animonsta dan saya pula akan lebih banyak dengan kerja-kerja di belakang tabir Nabil Productions yang telah saya tubuhkan sejak 2005," ungkapnya lagi.

Sementara itu, Adel yang ditemui di sisi Nabil pula berkata, dia menerima penyanyi itu sebagai suaminya kerana tertarik dengan sifatnya yang penyabar dalam banyak perkara.

Saya sukakan Nabil sebab dia seorang yang penyabar. Sebagai isteri saya akan lakukan yang terbaik untuknya seperti memasak apa juga makanan kegemarannya di rumah," komennya.

Cinta ibarat permainan video

Posted: 31 Mar 2014 11:55 PM PDT

Taylor Swift

CINTA penyanyi ini tidak pernah ada penghujungnya. Jatuh bangun kisah cintanya sering mendapat perhatian semua pihak.

Namun, dia tidak pernah merasa bosan dan penat dalam melayani kisah cintanya.

Sekarang, mungkin sudah terlalu marah dengan semua itu, Taylor Swift tampil dan menyifatkan cintanya umpama permainan video.

Komitmen dan serius adalah cara untuk menang dalam sebuah permainan video.

Begitu juga dengan hubungan cinta. Tanpa kesungguhan dan komitmen, hubungan itu tidak akan berjalan dengan lancar," ujarnya kepada Hollywoodlife.com.

Swift yang masih tidak bertemu dengan seseorang yang sesuai dirinya kini memang patut dijadikan inspirasi kerana dia tidak pernah berputus asa.

Bintang berusia 24 tahun ini memang patut dijadikan idola kerana tidak pernah menjadikan masalah yang berlaku pada dirinya untuk dia berasa tertekan.

Dalam pada itu, seorang model Victoria Secret, Angel Lily Aldridge, 28, pula menganggap Swift sebagai salah seorang rakan baiknya.

Kedua-dua mereka juga nampak serasi apabila keluar bersama di New York City Jumaat lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Perbanyak jurubahasa isyarat

Posted: 31 Mar 2014 11:55 PM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar DJOHAN SHARIN SHAH

TIGA jurubahasa yang berkongsi pengalaman mereka setiap kali siaran Berita di RTM. Dari kiri Tan Lee Bee, Wan Zuraidah dan Khairunnisa Kho.

Peranan mereka jika dilihat menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) terutamanya menerusi slot waktu perdana ketika siaran berita pukul lapan malam tidaklah sebesar peranan pembaca berita.

Malah, ruangan yang diberikan kepada mereka juga kecil. Satu kotak kecil di sudut penjuru tepi, sambil bermain dengan gerak tangan untuk menyampaikan informasi.

Biarpun kecil, tetapi impak yang diberikan sangat besar. Itulah peranan yang dimainkan oleh jurubahasa isyarat dalam menyampaikan maklumat kepada golongan kelainan upaya (OKU), pekak.

Golongan pekak tiada kekurangan lain selain daripada masalah pendengaran. Malah, daripada segi fizikal, mereka sama seperti manusia normal yang lain. Apatah lagi tahap berfikir juga sama seperti manusia lain.

Kehendak untuk mendapatkan informasi menerusi kaca televisyen, berhibur dan sebagainya sangat ditagih oleh golongan ini. Namun, dek kerana kekurangan tersebut, kehendak mereka seperti tidak dilayan.

Mega baru-baru ini bertemu dengan tiga personaliti jurubahasa isyarat di RTM yang puratanya sudah 20 tahun berkecimpung dalam penggunaan bahasa isyarat.

Perbualan bersama dengan Tan Lee Bee, Khairunnisa Kho dan Wan Zuraidah Abu banyak mendedahkan betapa hausnya golongan tersebut terhadap informasi yang disiarkan melalui media kaca televisyen sama seperti manusia normal yang lain.

Apatah lagi sehingga kini, hanya RTM sahaja yang melaksanakan ruang bahasa isyarat untuk bahagian berita sedangkan stesen lain masih belum melaksanakan khidmat sosial itu.

Wan Zuraidah yang kini berkhidmat di Persekutuan Orang Pekak Malaysia, adalah antara salah seorang jurubahasa isyarat yang sering mendengar keluhan golongan pekak untuk mendapat informasi menerusi kaca televisyen.

Luahan kepada jurubahasa isyarat

Mula berkhidmat sebagai jurubahasa isyarat di RTM pada tahun 1997, Wan Zuraidah sudah cukup dikenali oleh golongan pekak.

Malah, ada sahaja luahan yang diberikan oleh golongan pekak kepadanya dek kerana kecewa dengan sistem informasi yang masih di takuk lama terutama yang melibatkan golongan pekak.

Sebenarnya, bukan berita sahaja yang ditagih oleh golongan pekak ini. Tetapi apa sahaja program yang melibatkan penyampaian informasi yang disiarkan di kaca televisyen juga mahu difahami oleh golongan pekak.

Ada yang mengeluh, terutamanya melibatkan program keagamaan atau motivasi. Mereka mahu melihat program seperti itu, tetapi hanya mampu lihat sahaja. Sebarang informasi daripada program-program ini langsung mereka tidak faham," jelasnya.

Tambahnya lagi, bekerja sebagai jurubahasa isyarat di kaca televisyen memberikannya kesedaran untuk lebih peka terhadap kemahuan golongan pekak.

Ada yang jumpa saya di luar dan mereka kenal saya sebagai jurubahasa isyarat di RTM.

Ada yang meluahkan kepada saya supaya pembaca berita diletakkan di kotak kecil itu dan jurubahasa isyarat yang sepatutnya dibesarkan. Kata mereka, orang lain boleh mendengar, tetapi mereka perlu melihat untuk memahami maklumat yang disampaikan," katanya.

Ada benarnya apa diluahkan oleh golongan pekak itu. Kotak kecil di bahagian penjuru itu terlalu kecil hingga adakalanya menyukarkan golongan pekak untuk melihat isyarat tangan yang disampaikan.

Tambah Wan Zuraidah lagi, kumpulan sasar di kaca televisyen tidak sepatutnya terhad kepada golongan normal sahaja, tetapi juga golongan pekak.

Apa yang disiarkan di televisyen pada mereka adalah salah satu cabang pembelajaran bagi golongan pekak. Jika komunikasi mereka agak terhad di rumah dan di sekolah, maka televisyen menjadi salah satu wadah untuk mereka mendapat maklumat.

Malah, golongan pekak sangat peka sebenarnya terutama melibatkan isu semasa seperti insiden pesawat MAS MH370. Sehingga ketika sidang media yang disiarkan di televisyen, mereka mesej saya di facebook supaya dapat transkrip apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu.

Mereka merayu kepada saya minta tolong transkrip apa Perdana Menteri kata ketika itu. Kalau kita meletakkan situasi kita ketika itu, sudah pasti kita tertanya-tanya apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, kenapa mereka menangis, semuanya menjadi persoalan," jelasnya.

Luahan demikian menunjukkan betapa pentingnya khidmat bahasa isyarat di televisyen. Mungkin masih ramai yang tidak menyedari betapa besarnya impak khidmat sosial itu.

Kalau bercakap mengenai impak, saya mungkin tidak tahu tentang berapa jumlah tontonan golongan pekak. Tetapi, setakat ini, setiap kali saya berjumpa dengan golongan itu, mereka pasti kenal saya.

Malah, jika jurubahasa isyarat terbatuk sekalipun di televisyen, pasti ada di antara mereka yang perasan dan minta kami berehat dan jaga kesihatan. Itu menunjukkan bahawa mereka sememangnya menonton siaran yang melibatkan jurubahasa isyarat," jelasnya.

Luahan demi luahan yang diberikan golongan pekak ini antara salah satu cabaran yang perlu dihadapi. Mahu tidak mahu, mereka perlu mendengar keluhan itu kerana hanya mereka yang mampu memahami dan berkomunikasi dengan golongan pekak.

Golongan pekak sebagai selebriti

Memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran sebagai jurubahasa isyarat pada tahun 1996 di RTM, Tan Lee Bee melihat golongan pekak juga mampu berada di kaca televisyen bersama dengan insan normal lain.

Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang menggunakan jurubahasa isyarat dalam siaran berita dan kemudian diikuti oleh negara serantau yang lain.

Tetapi, sehingga kini, khidmat jurubahasa isyarat masih lagi digunakan di stesen televisyen dan bagi saya, sudah tiba masanya kita menggunakan khidmat golongan pekak sendiri," jelasnya.

Tambahnya lagi, dia yakin, langkah yang perlu diambil kini ialah untuk menjadikan golongan pekak tampil di hadapan kaca televisyen.

Untuk permulaan, boleh gunakan golongan pekak sendiri untuk jadi jurubahasa isyarat. Sebab, isyarat yang digunakan oleh golongan pekak lebih sempurna berbanding jurubahasa isyarat.

Jika tidak sekalipun, tampilkan mereka sebagai panel dalam sesebuah program bual bicara. Sebenarnya ada golongan pekak yang mempunyai kerjaya profesional, tetapi tidak dijemput ke hadapan," jelasnya.

Malah, percubaan untuk memanggil golongan pekak sebagai panel membincangkan tentang isu semasa di kaca televisyen sudah dilakukan di negara Amerika Syarikat.

Di Amerika Syarikat contohnya, program bual bicara mereka memang menjemput golongan pekak untuk membincangkan masalah.

Ia bukan satu halangan kerana mereka hanya mempunyai masalah pendengaran. Mereka tidak mempunyai masalah membaca sekiranya diberikan pendidikan daripada awal," ujarnya.

Tambah Lee Bee lagi, peluang-peluang untuk tampil di kaca televisyen terutamanya golongan ini mampu memberi motivasi kepada individu pekak yang lain.

Penampilan di kaca televisyen sebenarnya mampu memberi motivasi terutamanya kepada ibu bapa yang mempunyai anak dengan kelainan upaya ini.

Jadi, tidaklah tertutup minda jika mereka mempunyai anak yang pekak, maka tidaklah mereka berfikiran yang anak mereka tidak boleh pergi lebih jauh.

Sebenarnya ramai golongan pekak yang menjadi pekerja profesional. Jadi sedikit sebanyak, penampilan di kaca televisyen dapat menyuntik motivasi untuk ibu bapa mendidik anak yang pekak sama seperti individu normal yang lain," jelasnya.

Cabaran sebagai jurubahasa isyarat

Posted: 31 Mar 2014 11:55 PM PDT

Wan Zuraidah Abu

Setiap pekerjaan ada cabarannya. Begitu juga dengan jurubahasa isyarat dan cabaran paling utama adalah untuk menguasai bahasa isyarat itu sendiri.

Bagi Wan Zuraidah, cabaran yang dihadapi mereka memang banyak terutamanya dalam proses pemahaman ayat untuk diterjemahkan ke dalam bahasa isyarat.

Kami menterjemah ke dalam bahasa isyarat adalah melalui ayat dan bukannya perkataan. Sekiranya kita ada kelemahan daripada segi pemahaman bahasa, maka ia akan menjadi sukar untuk diterjemah ke bahasa isyarat.

Sama juga dalam menyampaikan bahasa isyarat di kaca televisyen. Sekiranya bahasa yang digunakan sukar difahami, maka proses hendak menterjemah menjadi sukar," jelasnya.

Tambahnya lagi, fokus juga sangat penting dalam menterjemah dan sebab itu, jurubahasa isyarat hanya mampu bertugas selama sejam sahaja.

Bukan sebab penat atau sebagainya. Tetapi, jika kita buat terjemah bahasa isyarat melebihi sejam, fokus akan mula terganggu dan menyebabkan pemahaman ayat jadi sukar untuk diterjemah," jelasnya.

Daripada segi penghargaan pula, jelasnya, golongan pekak sangat menghargai sumbangan yang diberikan oleh jurubahasa isyarat walaupun ada kalanya mereka sendiri tidak memahami apa yang disampaikan.

Bahasa isyarat kita sebagai orang normal jika nak dibandingkan dengan mereka memang jauh berbeza. Mereka sebenarnya lebih menguasai bahasa isyarat kerana itu adalah bahasa ibunda mereka," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Gagak rimaskan warga kota

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Oleh mohamad harith mohamad nizar
kota@utusangroup.com.my

KEHADIRAN burung gagak mencemar kebersihan persekitaran di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur kelmarin. - UTUSAN/Aizzul A. Majid

KUALA LUMPUR 31 Mac - Sebanyak 666 ekor burung gagak ditembak mati oleh pegawai dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu negara dalam Operasi Menembak Gagak pada bulan ini.

Pegawai Penguatkuasa DBKL, Nasarudin Daharun berkata, operasi itu bertujuan mengurangkan populasi burung terbabit daripada mengerumuni kawasan ibu negara yang hanya mengotorkan persekitaran.

"Kita terima banyak aduan daripada orang awam mengenai masalah tempat mereka dipenuhi gagak sehingga menyebabkan kawasan itu kotor akibat najis burung.

"Langkah menembak burung tersebut terpaksa diambil demi menjaga persekitaran supaya orang ramai tidak akan hidup dalam suasana kotor dan kurang menyenangkan," katanya kepada Utusan Malaysia dalam operasi di Jalan Raja Laut di sini, semalam.

Operasi itu melibatkan 12 pegawai dan anggota DBKL dan sebanyak 393 gagak berjaya ditembak.

Pada 19 Mac lalu, Jabatan Penguatkuasa DBKL menjalankan operasi sama dari pukul 5 petang hingga 8 malam di Taman Tasik Titiwangsa dan kawasan sekitarnya serta berjaya menghapuskan 147 ekor burung terbabit.

Pada 22 Mac pula, 126 ekor burung gagak berjaya ditembak mati di tiga lokasi tumpuan iaitu Sentul, Setapak dan Datuk Keramat serta kawasan sekitarnya yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Menurut Nasarudin, terdapat lima lokasi yang menjadi tempat burung berkenaan berkumpul dan berehat iaitu Jalan Raja Laut, Bangsar, Kepong, Sri Petaling dan Taman Tun Dr. Ismail.

"Kami sering mendapat aduan berhubung masalah di kawasan itu, namun aduan semakin berkurangan kerana DBKL kerap menjalankan operasi menembak burung tersebut.

"Sering kali aduan yang diterima membabitkan kenderaan orang awam tercemar dan kotor akibat terkena najis burung tersebut serta persekitaran kawasan berbau busuk dan tidak menyenangkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di ibu negara supaya menjaga kebersihan bagi membantu mengurangkan populasi burung gagak di kawasan bandar raya serta perumahan mereka.

"Orang ramai perlu membuang sampah di tong yang disediakan dengan cara mengikat beg plastik bagi mengelak kehadiran burung gagak.

"Pemilik restoran serta gerai makanan juga perlu mengambil langkah sama dan tidak membuang sampah di merata-merata tempat," jelasnya.

Bahu jalan jadi tempat buang sampah

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

TIMBUNAN sampah yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di Jalan Hulu Langat- Ampang, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Mohd Farizwan Hasbullah

KUALA LUMPUR 31 Mac - Longgokan sampah didapati dibuang di bahu jalan di sepanjang Jalan Hulu Langat-Ampang oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak sebulan lalu.

Masalah itu menggambarkan kurangnya sikap prihatin masyarakat terhadap kebersihan sehingga sanggup membuang sampah sesuka hati.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terbabit hari ini mendapati, sampah seperti sisa makanan, lampin bayi, selipar dan sebagainya ditemui di kawasan tersebut.

Keadaan itu agak membimbangkan kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sekali gus berisiko menyebabkan penularan wabak denggi selain menjejaskan kawasan berkenaan.

Paling membimbangkan, longgokan sampah itu juga berkemungkinan mengundang kehadiran haiwan liar.

Tinjauan juga mendapati, terdapat papan tanda yang menyatakan kawasan itu berada di sempadan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Husin berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memantau kawasan itu kerana ia dijadikan tempat pembuangan sampah haram sejak sebulan lalu.

"Jika dibiarkan, lama-kelamaan masalah ini semakin serius dan kawasan terbabit akan menjadi pusat longgokan sampah secara tetap.

"Saya pernah ternampak ada individu yang membuang sampah di kawasan ini dan sikap itu kemudian diikuti oleh orang lain pula sehingga banyak sampah bertaburan," katanya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, katanya, selain berharap pihak berkuasa tempatan mengatasi masalah itu, orang ramai juga perlu memainkan peranan kerana mereka seharusnya mempunyai kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan.

Desak henti projek lebuh raya

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusangroup.com.my

Sebahagian daripada penduduk yang mengadakan bantahan terhadap pembinaan projek lebuh raya Kidex di hadapan Bangunan SUK di Shah Alam semalam. - Utusan/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 31 Mac - Penduduk di sekitar tapak pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) di Petaling Jaya mendesak kerajaan negeri Selangor menghentikan projek tersebut yang disifatkan bakal mendatangkan kesan buruk khususnya kepada warga emas.

Wakil penduduk, Mak Khuin Weng, 40, berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat perlu segera berbuat demikian bagi mengelak tekanan mental yang boleh dihadapi penduduk di situ apabila projek tersebut siap.

Selain itu, dakwanya, perniagaan di kawasan berkenaan bakal terjejas berikutan projek itu mengundang bunyi bising kenderaan dan pencemaran habuk.

"Kami memohon kerajaan negeri sebagai pihak berkuasa tanah tapak projek tersebut supaya menghentikan pembinaan Kidex yang boleh menyebabkan masalah dan ketidakselesaan kepada penduduk terutama warga tua.

"Pembinaan Kidex juga akan menyebabkan perniagaan hampir 600 peniaga dan 3,784 pemilik tanah berada dalam situasi tidak menentu kerana nilai harga hartanah dikhuatiri merudum akibat masalah yang timbul kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan pembinaan Kidex kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yag diterima oleh Setiausaha Sulitnya, Mohd. Yasid Bidin di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyertai perhimpunan aman oleh kira-kira 50 penduduk Petaling Jaya bagi membantah pembinaan projek berkenaan di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri di sini.

Khuin Weng memberitahu, berdasarkan Warta Rasmi Kerajaan Negeri bertarikh 18 Julai 2013, sebanyak 3,784 lot tanah akan diambil bagi membina lebuh raya tersebut.

Beliau menambah, kerajaan negeri sepatutnya memenuhi manifesto mereka untuk menghapuskan tol jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, namun pembinaan lebuh raya itu membuktikan sebaliknya.

Sementara itu, menurut seorang penduduk SS7 Damansara Jaya, Ng Thor Fong, 76, beliau yang memiliki bangunan empat tingkat di laluan Kidex terpaksa mengarahkan penyewa keluar berikutan tapak premisnya terlibat dengan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri.

"Empat tingkat bangunan kedai saya telah kosong kerana saya bimbang untuk menyewakannya apabila projek ini dimulakan kelak.

"Keadaan ini menyebabkan saya mengalami kerugian sejak dua tahun lalu," ujarnya.

Seorang penduduk yang tinggal di Seksyen 14, Petaling Jaya, P. Selva Sugumaran, 40, pula menjelaskan, kerajaan negeri sepatutnya berunding dengan penduduk terlebih dahulu sebelum mewartakan kawasan berkenaan bagi tujuan pembinaan lebuh raya.

"Setakat ini kami tidak mendapat maklumat yang jelas berhubung pembinaan Kidex kerana semua wakil rakyat dan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya sendiri masih kabur mengenai isu ini.

"Apa yang kami kesalkan, apabila berjumpa dengan pengurusan Kidex, mereka minta kita bertemu pihak berkuasa. Malangnya, apabila kita berjumpa pihak terbabit, mereka suruh kita mendapatkan penjelasan daripada Kidex pula.

"Oleh itu, hari ini kita minta Menteri Besar untuk merungkai masalah ini kerana ia melibatkan isu tanah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Penduduk mohon jalan alternatif

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Pertambahan kenderaan melalui kawasan Taman Megah menuju ke dua sekolah menyulitkan penduduk.

Saudara Pengarang,

Kira-kira 3,000 penduduk Taman Megah, Pontian meminta pihak berkuasa membina jalan alternatif atau jalan tambahan di kawasan perumahan ini memandangkan kini hanya terdapat satu laluan keluar masuk di kawasan berkenaan.

Jalan alternatif dan jalan tambahan itu amat diperlukan berikutan pertambahan kenderaan yang melalui kawasan perumahan tersebut untuk menuju ke dua sekolah yang terletak berhampiran.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bandar Pontian baru sahaja siap dibina manakala sebuah lagi sekolah menengah persendirian yang membina bangunan tambahan juga kini sudah mula beroperasi.

Pembinaan bangunan tambahan sekolah itu menyebabkan pertambahan pelajar di sekolah persendirian berkenaan berdasarkan kehadiran kira-kira 30 bas dan van pada waktu pagi untuk menghantar pelajar.

Kenderaan tersebut menggunakan laluan masuk utama ke Taman Megah sehingga berlaku kesesakan memandangkan pada masa yang sama penduduk turut keluar untuk bekerja atau menghantar anak ke sekolah dan sebagainya.

Kesesakan dijangka bertambah apabila SMK Seri Bandar Pontian yang menempatkan pelajar tingkatan enam beroperasi kelak yang sewajarnya diberikan perhatian oleh pihak berkuasa bagi membina jalan baharu.

Jalan yang dicadangkan oleh penduduk ialah yang menghubungkan taman tersebut ke Jalan Parit Semerah atau ke Jalan Parit Ibrahim yang akan dinaik taraf dengan kos RM10 juta ke Kampung Parit Jawa.

Taman Megah yang dibangunkan 14 tahun lalu merupakan taman perumahan terbesar di bandar Pontian dengan pelbagai golongan mendiaminya memandangkan kedudukannya yang hampir dengan pusat bandar, hospital, klinik kesihatan dan sebagainya,

PAK ESA

Taman Megah, Pontian

Banteras denggi perlu kerjasama semua pihak

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Keadaan longkang di beberapa premis perniagaan sekitar Batu Pahat yang tidak diselenggara menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Saudara Pengarang,

SAYA penduduk di Taman Batu Pahat, Batu Pahat semakin bimbang dengan tahap kesihatan kami sekeluarga ekoran penyakit demam denggi dilaporkan menyerang beberapa kawasan perumahan sekitar daerah ini.

Saya tahu banyak tindakan pencegahan dilakukan oleh pihak berkaitan seperti Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pejabat Kesihatan daerah dan sebagainya untuk memastikan wabak ini dapat diatasi.

Namun, melihat kepada laporan semasa di media dan sembang-sembang dengan jiran tetangga, ramai yang semakin risau sekiranya tempat pembiakan nyamuk aedes tidak dihapuskan sepenuhnya.

Malah, saya juga masih ingat dengan laporan akhbar pada Oktober tahun lalu mengenai peningkatan sehingga 300 peratus jangkitan demam denggi di negeri ini berbanding tahun sebelumnya.

Saya bukannya mahu menuding jari kepada pihak berkuasa semata-mata, tetapi orang ramai termasuk saya wajib melihat fakta tersebut dengan serius kerana denggi bukan main-main kerana mampu meragut nyawa.

Pengalaman kehilangan seorang rakan akibat penyakit ini suatu ketika dahulu sudah cukup untuk menambahkan lagi keresahan kami sekeluarga.

Justeru saya berharap semua pihak termasuk penghuni taman perumahan, pemilik premis, pengusaha kedai makan dan sesiapa sahaja yang sayang nyawa masing-masing agar bersama-sama melipatgandakan usaha memerangi penyakit denggi ini.

Fikirkanlah kesejahteraan anak kita yang masih kecil dan sering bermain di luar rumah pada waktu petang yang kita tahu ketika itu adalah waktu nyamuk aedes mencari mangsa.

SYED AZRIE SYED AZMAN

Batu Pahat

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved