Selasa, 1 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Gagak rimaskan warga kota

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Oleh mohamad harith mohamad nizar
kota@utusangroup.com.my

KEHADIRAN burung gagak mencemar kebersihan persekitaran di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur kelmarin. - UTUSAN/Aizzul A. Majid

KUALA LUMPUR 31 Mac - Sebanyak 666 ekor burung gagak ditembak mati oleh pegawai dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu negara dalam Operasi Menembak Gagak pada bulan ini.

Pegawai Penguatkuasa DBKL, Nasarudin Daharun berkata, operasi itu bertujuan mengurangkan populasi burung terbabit daripada mengerumuni kawasan ibu negara yang hanya mengotorkan persekitaran.

"Kita terima banyak aduan daripada orang awam mengenai masalah tempat mereka dipenuhi gagak sehingga menyebabkan kawasan itu kotor akibat najis burung.

"Langkah menembak burung tersebut terpaksa diambil demi menjaga persekitaran supaya orang ramai tidak akan hidup dalam suasana kotor dan kurang menyenangkan," katanya kepada Utusan Malaysia dalam operasi di Jalan Raja Laut di sini, semalam.

Operasi itu melibatkan 12 pegawai dan anggota DBKL dan sebanyak 393 gagak berjaya ditembak.

Pada 19 Mac lalu, Jabatan Penguatkuasa DBKL menjalankan operasi sama dari pukul 5 petang hingga 8 malam di Taman Tasik Titiwangsa dan kawasan sekitarnya serta berjaya menghapuskan 147 ekor burung terbabit.

Pada 22 Mac pula, 126 ekor burung gagak berjaya ditembak mati di tiga lokasi tumpuan iaitu Sentul, Setapak dan Datuk Keramat serta kawasan sekitarnya yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Menurut Nasarudin, terdapat lima lokasi yang menjadi tempat burung berkenaan berkumpul dan berehat iaitu Jalan Raja Laut, Bangsar, Kepong, Sri Petaling dan Taman Tun Dr. Ismail.

"Kami sering mendapat aduan berhubung masalah di kawasan itu, namun aduan semakin berkurangan kerana DBKL kerap menjalankan operasi menembak burung tersebut.

"Sering kali aduan yang diterima membabitkan kenderaan orang awam tercemar dan kotor akibat terkena najis burung tersebut serta persekitaran kawasan berbau busuk dan tidak menyenangkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di ibu negara supaya menjaga kebersihan bagi membantu mengurangkan populasi burung gagak di kawasan bandar raya serta perumahan mereka.

"Orang ramai perlu membuang sampah di tong yang disediakan dengan cara mengikat beg plastik bagi mengelak kehadiran burung gagak.

"Pemilik restoran serta gerai makanan juga perlu mengambil langkah sama dan tidak membuang sampah di merata-merata tempat," jelasnya.

Bahu jalan jadi tempat buang sampah

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

TIMBUNAN sampah yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di Jalan Hulu Langat- Ampang, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Mohd Farizwan Hasbullah

KUALA LUMPUR 31 Mac - Longgokan sampah didapati dibuang di bahu jalan di sepanjang Jalan Hulu Langat-Ampang oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak sebulan lalu.

Masalah itu menggambarkan kurangnya sikap prihatin masyarakat terhadap kebersihan sehingga sanggup membuang sampah sesuka hati.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terbabit hari ini mendapati, sampah seperti sisa makanan, lampin bayi, selipar dan sebagainya ditemui di kawasan tersebut.

Keadaan itu agak membimbangkan kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sekali gus berisiko menyebabkan penularan wabak denggi selain menjejaskan kawasan berkenaan.

Paling membimbangkan, longgokan sampah itu juga berkemungkinan mengundang kehadiran haiwan liar.

Tinjauan juga mendapati, terdapat papan tanda yang menyatakan kawasan itu berada di sempadan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Husin berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memantau kawasan itu kerana ia dijadikan tempat pembuangan sampah haram sejak sebulan lalu.

"Jika dibiarkan, lama-kelamaan masalah ini semakin serius dan kawasan terbabit akan menjadi pusat longgokan sampah secara tetap.

"Saya pernah ternampak ada individu yang membuang sampah di kawasan ini dan sikap itu kemudian diikuti oleh orang lain pula sehingga banyak sampah bertaburan," katanya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, katanya, selain berharap pihak berkuasa tempatan mengatasi masalah itu, orang ramai juga perlu memainkan peranan kerana mereka seharusnya mempunyai kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan.

Desak henti projek lebuh raya

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusangroup.com.my

Sebahagian daripada penduduk yang mengadakan bantahan terhadap pembinaan projek lebuh raya Kidex di hadapan Bangunan SUK di Shah Alam semalam. - Utusan/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 31 Mac - Penduduk di sekitar tapak pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) di Petaling Jaya mendesak kerajaan negeri Selangor menghentikan projek tersebut yang disifatkan bakal mendatangkan kesan buruk khususnya kepada warga emas.

Wakil penduduk, Mak Khuin Weng, 40, berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat perlu segera berbuat demikian bagi mengelak tekanan mental yang boleh dihadapi penduduk di situ apabila projek tersebut siap.

Selain itu, dakwanya, perniagaan di kawasan berkenaan bakal terjejas berikutan projek itu mengundang bunyi bising kenderaan dan pencemaran habuk.

"Kami memohon kerajaan negeri sebagai pihak berkuasa tanah tapak projek tersebut supaya menghentikan pembinaan Kidex yang boleh menyebabkan masalah dan ketidakselesaan kepada penduduk terutama warga tua.

"Pembinaan Kidex juga akan menyebabkan perniagaan hampir 600 peniaga dan 3,784 pemilik tanah berada dalam situasi tidak menentu kerana nilai harga hartanah dikhuatiri merudum akibat masalah yang timbul kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan pembinaan Kidex kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yag diterima oleh Setiausaha Sulitnya, Mohd. Yasid Bidin di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyertai perhimpunan aman oleh kira-kira 50 penduduk Petaling Jaya bagi membantah pembinaan projek berkenaan di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri di sini.

Khuin Weng memberitahu, berdasarkan Warta Rasmi Kerajaan Negeri bertarikh 18 Julai 2013, sebanyak 3,784 lot tanah akan diambil bagi membina lebuh raya tersebut.

Beliau menambah, kerajaan negeri sepatutnya memenuhi manifesto mereka untuk menghapuskan tol jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, namun pembinaan lebuh raya itu membuktikan sebaliknya.

Sementara itu, menurut seorang penduduk SS7 Damansara Jaya, Ng Thor Fong, 76, beliau yang memiliki bangunan empat tingkat di laluan Kidex terpaksa mengarahkan penyewa keluar berikutan tapak premisnya terlibat dengan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri.

"Empat tingkat bangunan kedai saya telah kosong kerana saya bimbang untuk menyewakannya apabila projek ini dimulakan kelak.

"Keadaan ini menyebabkan saya mengalami kerugian sejak dua tahun lalu," ujarnya.

Seorang penduduk yang tinggal di Seksyen 14, Petaling Jaya, P. Selva Sugumaran, 40, pula menjelaskan, kerajaan negeri sepatutnya berunding dengan penduduk terlebih dahulu sebelum mewartakan kawasan berkenaan bagi tujuan pembinaan lebuh raya.

"Setakat ini kami tidak mendapat maklumat yang jelas berhubung pembinaan Kidex kerana semua wakil rakyat dan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya sendiri masih kabur mengenai isu ini.

"Apa yang kami kesalkan, apabila berjumpa dengan pengurusan Kidex, mereka minta kita bertemu pihak berkuasa. Malangnya, apabila kita berjumpa pihak terbabit, mereka suruh kita mendapatkan penjelasan daripada Kidex pula.

"Oleh itu, hari ini kita minta Menteri Besar untuk merungkai masalah ini kerana ia melibatkan isu tanah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved