Selasa, 1 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Penduduk mohon jalan alternatif

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Pertambahan kenderaan melalui kawasan Taman Megah menuju ke dua sekolah menyulitkan penduduk.

Saudara Pengarang,

Kira-kira 3,000 penduduk Taman Megah, Pontian meminta pihak berkuasa membina jalan alternatif atau jalan tambahan di kawasan perumahan ini memandangkan kini hanya terdapat satu laluan keluar masuk di kawasan berkenaan.

Jalan alternatif dan jalan tambahan itu amat diperlukan berikutan pertambahan kenderaan yang melalui kawasan perumahan tersebut untuk menuju ke dua sekolah yang terletak berhampiran.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bandar Pontian baru sahaja siap dibina manakala sebuah lagi sekolah menengah persendirian yang membina bangunan tambahan juga kini sudah mula beroperasi.

Pembinaan bangunan tambahan sekolah itu menyebabkan pertambahan pelajar di sekolah persendirian berkenaan berdasarkan kehadiran kira-kira 30 bas dan van pada waktu pagi untuk menghantar pelajar.

Kenderaan tersebut menggunakan laluan masuk utama ke Taman Megah sehingga berlaku kesesakan memandangkan pada masa yang sama penduduk turut keluar untuk bekerja atau menghantar anak ke sekolah dan sebagainya.

Kesesakan dijangka bertambah apabila SMK Seri Bandar Pontian yang menempatkan pelajar tingkatan enam beroperasi kelak yang sewajarnya diberikan perhatian oleh pihak berkuasa bagi membina jalan baharu.

Jalan yang dicadangkan oleh penduduk ialah yang menghubungkan taman tersebut ke Jalan Parit Semerah atau ke Jalan Parit Ibrahim yang akan dinaik taraf dengan kos RM10 juta ke Kampung Parit Jawa.

Taman Megah yang dibangunkan 14 tahun lalu merupakan taman perumahan terbesar di bandar Pontian dengan pelbagai golongan mendiaminya memandangkan kedudukannya yang hampir dengan pusat bandar, hospital, klinik kesihatan dan sebagainya,

PAK ESA

Taman Megah, Pontian

Banteras denggi perlu kerjasama semua pihak

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Keadaan longkang di beberapa premis perniagaan sekitar Batu Pahat yang tidak diselenggara menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Saudara Pengarang,

SAYA penduduk di Taman Batu Pahat, Batu Pahat semakin bimbang dengan tahap kesihatan kami sekeluarga ekoran penyakit demam denggi dilaporkan menyerang beberapa kawasan perumahan sekitar daerah ini.

Saya tahu banyak tindakan pencegahan dilakukan oleh pihak berkaitan seperti Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pejabat Kesihatan daerah dan sebagainya untuk memastikan wabak ini dapat diatasi.

Namun, melihat kepada laporan semasa di media dan sembang-sembang dengan jiran tetangga, ramai yang semakin risau sekiranya tempat pembiakan nyamuk aedes tidak dihapuskan sepenuhnya.

Malah, saya juga masih ingat dengan laporan akhbar pada Oktober tahun lalu mengenai peningkatan sehingga 300 peratus jangkitan demam denggi di negeri ini berbanding tahun sebelumnya.

Saya bukannya mahu menuding jari kepada pihak berkuasa semata-mata, tetapi orang ramai termasuk saya wajib melihat fakta tersebut dengan serius kerana denggi bukan main-main kerana mampu meragut nyawa.

Pengalaman kehilangan seorang rakan akibat penyakit ini suatu ketika dahulu sudah cukup untuk menambahkan lagi keresahan kami sekeluarga.

Justeru saya berharap semua pihak termasuk penghuni taman perumahan, pemilik premis, pengusaha kedai makan dan sesiapa sahaja yang sayang nyawa masing-masing agar bersama-sama melipatgandakan usaha memerangi penyakit denggi ini.

Fikirkanlah kesejahteraan anak kita yang masih kecil dan sering bermain di luar rumah pada waktu petang yang kita tahu ketika itu adalah waktu nyamuk aedes mencari mangsa.

SYED AZRIE SYED AZMAN

Batu Pahat

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved