Rabu, 23 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Mendiang Chua Boon Huat terima pingat

Posted: 23 Oct 2013 10:20 PM PDT

MELAKA 24 Okt. - Bekas penyerang hoki kebangsaan, mendiang Chua Boon Huat dianugerahkan Pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM) pada Istiadat Penganugerahan Darjat, Bintang dan Pingat Kebesaran Sesi Ketiga sempena Hari Kelahiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang ke-75 di Seri Negeri di sini hari ini.

Mendiang diwakili abang sulungnya, Alif Chua Abdullah menerima pingat tersebut daripada Yang Dipertua Negeri. - UTUSAN ONLINE

Peluang Kelantan, Pahang

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Melihat keputusan separuh akhir pertama mungkin sudah cukup menunjukkan yang Kelantan dan Pahang menjadi pilihan ke pentas akhir Piala Malaysia edisi ke-87.

Itu pilihan yang dibuat oleh jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria yang mengakui, Kelantan serta Pahang berada dalam kelas tersendiri berbanding dua lawan mereka yang akan ditemui sekali lagi pada aksi separuh akhir kedua iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sarawak.

Bertambah menarik, pasukan Ismail yang pernah bertemu Pahang dan Sarawak pada suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia, secara jujur berasakan peluang skuad Tok Gajah untuk layak lebih tinggi berdasarkan pengamatannya terhadap kekuatan serta kelemahan kedua-dua pasukan.

''Kedua-dua pasukan ini saya telah jumpa di peringkat suku akhir, Pahang semasa di Piala FA manakala Sarawak di Piala Malaysia dan mengikut pengalaman saya, Pahang ada kelebihan untuk mara kerana mereka ada pemain yang lebih baik dan taktikal lebih tersusun

''Bekalan dua gol yang dibawa saya lihat sudah cukup untuk membantu walaupun Sarawak masih mampu mencuri satu gol di tempat lawan dan daripada faktor itu, firasat saya cukup kuat mengatakan Pahang bakal melangkah ke perlawanan akhir," katanya ketika dihubungi, semalam.

Lawan Pahang pula tanpa ragu-ragu diramalkan akan menjadi milik Kelantan kerana dia berpandangan skuad The Red Warriors mempunyai keseimbangan berbanding ATM di semua bahagian.

''Kelantan sudah beberapa tahun beraksi di peringkat ini dan kebanyakan pemain mereka cukup berpengalaman malahan beraksi di Kota Bharu, saya tidak fikir ATM mampu mengatasi mereka.

''Selain itu, Kelantan terlalu sukar dijinakkan di tempat sendiri dan skuad mereka tidak terlalu tua seperti mana ATM yang mungkin sedikit berdepan masalah kecergasan pada penghujung babak perlawanan," katanya.

Walaupun begitu, seorang lagi jurulatih berpengalaman yang merupakan bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan enggan meletakkan sebarang pilihan sambil menyifatkan persaingan antara keempat-pasukan masih terbuka luas dan apa sahaja boleh terjadi.

Tidak adil mahu mengatakan peluang buat Sarawak dan ATM sudah tertutup biarpun kalah pada separuh akhir pertama, bakal pengendali PKNS pada musim hadapan itu berasakan kedua-dua pasukan masih ada ruang untuk bangkit.

''Apabila saya menilai balik persembahan ATM dan Kelantan minggu lalu, tiada kepincangan sebenarnya antara mereka cuma peluang lebih banyak memihak kepada Kelantan.

''Cuma keputusan 2-1 itu kalau hendak diambil kira, masih terbuka kepada ATM dan suasana permainan boleh bertukar jika mereka mendapatkan gol awal di Kota Bharu.

''Begitu juga buat Sarawak yang akan beraksi di tempat sendiri, gol awal mampu menaikkan semangat mereka untuk mengatasi Pahang kerana perbezaan dua gol itu masih mampu dikejar, bukan satu perbezaan gol yang terlalu besar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Pusat jualan McLaren

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

DUA orang model bergambar bersama kereta McLaren yang dipamerkan di pusat jualannya yang dilancarkan di Damansara, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 23 Okt. - Pengeluar kereta sport mewah Britain, McLaren Automotive terus mengukuhkan kedudukannya di Asia dengan membuka pusat jualan ke-41 dalam tempoh dua tahun di Malaysia hari ini.

Pusat jualan bernilai lebih RM2 juta berkenaan dibuka di Mutiara Damansara menerusi pengedar eksklusif McLaren di Malaysia, Sime Darby Auto Britannia Sdn. Bhd. (Sime Darby Auto Britannia) yang merupakan anak syarikat Sime Darby Motor.

Pusat jualan baharu berkenaan merupakan yang ketiga tahun ini hasil kerjasama McLaren Automotive dengan Sime Darby Motor selepas Hong Kong dan Shanghai.

Pengurus Jualan, McLaren Automotive Asia, Sven J. Ritcher berkata, pasaran automotif di Asia merupakan pasaran terbesar dan paling pantas berkembang di dunia.

"Kami mempunyai perancangan yang besar dan mahu berkembang pantas di rantau ini. Oleh itu, kami mahu bekerjasama dengan rakan yang kompetitif dan terbukti keupayaannya.

"McLaren mahu berkembang melangkaui perlumbaan Formula 1 dengan memiliki kereta sport berprestasi tinggi terbaik di dunia," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran berkenaan di Damansara dekat sini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Sime Darby Motor, Dennis Ho, Pengarah Jenama Sime Darby Motor, Eau Chian Boon dan Pengarah Rekaan McLaren Automotive, Frank Stephenson.

Sempena dengan pembukaan berkenaan, sebuah kereta sport istimewa edisi terhad iaitu McLaren P1 turut dipamerkan, selain model McLaren 12C dan McLaren 12c Spider yang dijual pada harga bermula daripada RM2.036 juta.

McLaren P1 merupakan kereta sport hibrid legenda yang dinanti ramai dan hanya 375 buah dikeluarkan untuk pasaran di seluruh dunia.

Sementara itu, Dennis berkata, pusat jualan ini akan disokong dengan pusat penyelenggaraan McLaren yang terletak di Pusat Industri Temasya, Glenmarie yang dilengkapi dua ruang penyelenggaraan serta kakitangan yang berpengalaman.

"Kami juga sedia memberi perkhidmatan kepada pengguna kenderaan McLaren sedia ada ," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Gerakan mencari mangsa banjir di Ringlet diteruskan

Posted: 23 Oct 2013 10:07 PM PDT

KERJA-KERJA pembersihan giat dijalankan di kawasan berlakunya banjir lumpur ekoran pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar di Lembah Bertam yang mengorbankan tiga nyawa semalam, di Cameron Highland hari ini. - UTUSAN

Lembah Bertam, Cameron Highlands di sini hari ini. gambar oleh Roy Azis Abd Aziz pemberita Sayed,Asliza,Azli (Utusan,Kosmo) ">

CAMERON HIGHLANDS 24 Okt. - Gerakan mencari dan menyelamat seorang wanita Indonesia yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam tragedi banjir lumpur di Sungai Bertam, Ringlet di sini diteruskan pada 8.30 pagi ini.

Operasi yang diketuai Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu itu melibatkan 328 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan penyelamat, tentera, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rela.

"Anggota yang terlibat akan bertambah kerana gerakan mencari dan menyelamat dilakukan secara bergilir-gilir," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata kawasan operasi diperluaskan sepanjang lapan kilometer bermula dari tempat mangsa dihanyutkan sehingga ke arah bawah sungai.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati hujan renyai pada awal pagi dan cuaca kini mendung.

Kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam kira-kira 1 pagi semalam akibat pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar itu menyebabkan tiga terbunuh, seorang hilang dan seorang cedera manakala 80 rumah serta kira-kira 100 kenderaan musnah. - BERNAMA

Pegawai bank maut ditembak

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

SUSPEK dirakam kamera litar tertutup selepas dipercayai menembak Norazita Abu Talib di AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, Selangor, semalam.

SUBANG JAYA 23 Okt. - Seorang pegawai operasi AmBank maut akibat ditembak dari jarak dekat di bahagian kepalanya oleh pengawal keselamatan bank sendiri dalam rompakan di premis tersebut di Jalan USJ Sentral 2 di sini petang ini.

Kejadian berlaku pukul 6.18 petang ketika mangsa, Norazita Abu Talib, 37, bersama suspek serta empat lagi kakitangan sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan sejurus pintunya dibuka.

Tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun itu tepat mengenai muka Norazita mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, suspek dikenali sebagai Ardi Hamza dan berasal dari Sabah itu kemudian mengambil sejumlah wang dan memasukkannya ke dalam sebuah beg berwarna hitam yang dibawanya.

"Dia kemudian keluar menerusi pintu hadapan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Abdul Rahim seterusnya memberitahu, polis kini memburu suspek yang dianggap kejam dan berbahaya itu kerana turut melarikan senjata api berkenaan.

"Kita telah mengenal pasti identiti suspek tetapi apabila diperiksa kad pengenalannya, dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Abdul Rahim memberitahu, pihaknya menyiasat sekiranya suspek berkemungkinan warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu.

"Sebenarnya suspek berkhidmat di Bank Muamalat yang terletak bersebelahan AmBank dan merupakan pengawal gantian di bank itu hari ini.

"Kami telah mendapatkan maklumat dari syarikat keselamatan dan mereka memberitahu, suspek telah bekerja sebagai pengawal selama setahun dan telah bertugas di pelbagai bank," katanya.

Sementara itu, mangsa difahamkan telah 16 tahun bekerja di bank berkenaan dan mempunyai sepasang cahaya mata.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Aquino yakin tamatkan pemberontakan Islam

Posted: 23 Oct 2013 02:27 PM PDT

MANILA 24 Okt. - Presiden Filipina, Benigno Aquino menaruh keyakinan beliau mampu menamatkan pemberontakan pemisah Islam di wilayah selatan sebelum meletak jawatan pada 2016.

Kerajaan berharap untuk memeterai perjanjian damai akhir bersama Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada tahun ini, namun rundingan itu menjadi buntu.

Ketika menjawab satu soalan pada forum koresponden asing, sama ada beliau yakin dapat menyelesaikan proses itu menjelang pertengahan 2016, Aquino menjawab, `ya, dan menambah kata, beliau memilih kelewatan, berbanding perjanjian dibuat secara tergesa-gesa dan `cacat. - AFP

20 maut, bas terhumban gaung di Thailand

Posted: 23 Oct 2013 02:26 PM PDT

BANGKOK 24 Okt. - Sebuah bas pelancong yang membawa penganut Buddha warga emas terhumban ke dalam gaung di utara Thailand, semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 penumpangnya maut, manakala 16 lagi cedera.

Menurut jurucakap polis, Kolonel Somdet Tosporn, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri satu majlis keagamaan.

``Bas terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter. Saya tidak boleh mengesahkan punca kemalangan tetapi jalan itu agak bengkang bengkok, katanya, sambil menambah kata, tiada warga asing dipercayai berada di dalam bas tersebut. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Keputusan kes Liong Sik tipu kerajaan diketahui esok

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Setelah dibicarakan atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik akan mengetahui nasibnya sama ada disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan itu, Jumaat ini.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi akan mengumumkan keputusan di akhir kes pembelaan terhadap Liong Sik, 70, yang dibicarakan atas satu pertuduhan utama dan dua pertuduhan pilihan.

Tertuduh yang diwakili peguam Wong Kian Kheong didakwa atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang bagi projek PKFZ.

Bekas Presiden MCA itu pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 29 Julai 2010 dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan.

Bagi tuduhan utama, Liong Sik didakwa dengan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sehingga mendorong Jemaah Menteri memberi persetujuan membeli tanah tersebut.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara bagi dua pertuduhan pilihan pula, Liong Sik didakwa telah menipu kerajaan dengan cara yang serupa.

Bagi kedua-dua tuduhan pilihan itu, Liong Sik didakwa mengikut Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Manoj Kurup mengendalikan perbicaraan sejak 1 Ogos 2011 dan sepanjang 30 hari prosiding berlangsung seramai 25 saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.

Hakim Ahmadi pada 9 Mac 2012 memerintahkan Liong Sik membela diri setelah mendapati terdapat kes prima facie yang perlu dijawab olehnya.

Tertuduh mula memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi selama lapan hari bermula 13 Julai 2012 bagi menangkis semua dakwaan terhadapnya.

Sepanjang perbicaraan, beliau sentiasa ditemani isterinya Toh Puan Ena Ling serta dua anak lelaki mereka, Datuk Ling Hee Leong dan Ling Hee Kiat.

Di peringkat pembelaan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; dan bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn telah tampil memberi keterangan.

Yang turut menjadi saksi pembelaan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (kini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi.

Tian Chua, 5 aktivis kekal dibicara berasingan

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Perbicaraan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; aktivis pelajar Adam Adli Abd. Halim dan empat lagi aktivis propembangkang yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan kekal dijalankan secara berasingan.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang menolak permohonan semakan oleh pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kes itu dibicarakan secara berasingan.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian setelah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen, Norsharidah Awang telah melaksanakan kuasa bicaranya dengan betul namun terpulang kepada budi bicara Mahkamah Tinggi untuk menetapkan kes itu dibicara secara berasingan atau serentak.

"Setelah menyemak prosiding asal dan keputusan Mahkamah Sesyen, mahkamah mengekalkan perintah hakim tersebut yang memutuskan perbicaraan dijalankan secara berasingan,'' kata beliau.

Pada 13 September lalu, Norsharidah memutuskan perbicaraan enam aktivis propembangkang itu dibuat secara berasingan supaya tidak menimbulkan prejudis kepada semua tertuduh memandangkan masa kejadian dan teks ucapan setiap mereka adalah berbeza.

Selain Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chiang, 50, dan Adam Adli, 24, turut didakwa bagi tuduhan yang sama ialah Hishamuddin Md. Rais, 62; ahli Pas, Mohd. Tamrin Abdul Ghafar, 63; peguam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 54; dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Safwan Awang @ Talib, 24.

Keenam-enam tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di No. 1, Jalan Maharajalela, di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili Muhammad Safwan dan Mohd. Tamrin berhujah, kes itu perlu dibicarakan secara berasingan memandangkan terdapat enam ucapan yang berbeza walaupun pertuduhan berlaku dalam majlis, tempat dan masa yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi pula menghujahkan, kes itu perlu dibicarakan bersama kerana melibatkan saksi-saksi dan rakaman video yang sama.

Haris diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala peguam Michelle Yesudas mewakili Tian Chua, Adam Adli dan Hishamuddin.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Tenun Pahang warisan bangsa

Posted: 23 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi oleh Tunku Azizah Aminah Maimunah (kanan) melihat seorang pelajar menenun kain dalam Majlis Perasmian Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja di Kompleks Budaya Kampung Pulau Keladi, Pekan, baru-baru ini. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

PEKAN 23 Okt. - Kemahiran menenun songket bukan mudah dilakukan kerana memerlukan kemahiran, kreativiti, ketelitian dan semangat tinggi.

Atas sebab itu, jumlah mereka yang mahir dalam bidang tersebut di negeri ini semakin mengecil kerana kurangnya minat terutama dalam kalangan generasi muda.

Bagi memastikan industri tenunan khususnya Tenun Pahang tidak lupus, usaha dilakukan melalui penubuhan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam bertempat di Kompleks Budaya Kampung Pulau Keladi di sini.

Usaha tersebut merupakan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Pusat Kecemerlangan Tunku Azizah, Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja (KPTPD), Kampung Kempadang, Kuantan dan Kraftangan Malaysia.

Majlis perasmian institut tersebut telah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Ahad lalu.

Yang turut berangkat ke majlis perasmian tersebut, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Dr. Ong Hong Peng.

Pembinaan institut di kawasan seluas 1.6 hektar tersebut diilhamkan oleh Tunku Azizah untuk melahirkan lebih ramai tenaga terlatih dalam perusahaan Tenun Pahang Diraja.

Institut yang dibina pada 26 Februari 2008 dan siap sepenuhnya pada 12 April 2010 itu merupakan pusat latihan pertama menawarkan pengajian dalam bidang kraf Tenun Pahang Diraja secara formal selama dua tahun di peringkat sijil.

Kurikulum dan modul sijil yang dilaksanakan adalah selari dengan kurikulum dan modul sijil tenunan di Institut Kraf Negara yang merangkumi semua aspek pembuatan Tenun Pahang Diraja termasuk subjek akademik iaitu bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Keusahawanan.

Matlamat penubuhan institut berkenaan bertujuan melahirkan tenaga mahir bagi keperluan industri kraf negara agar warisan kesenian dan budaya tempatan terus kekal dan berkembang maju.

Sementara itu, Tunku Azizah berkata, Malaysia kaya dengan warisan seni tenun dan hampir setiap negeri mempunyai corak, keunikan dan kehalusan tersendiri bagi menjadi lambang kreativiti penenun.

"Songket tenun Pahang telah berkembang sejak 1838 mencatat sejarah tersendiri, bimbang warisan tenun Pahang ini berkubur begitu sahaja maka usaha menubuhkan institut ini dilakukan.

"Sewaktu sebelum institut ini ditubuhkan, di Pekan waktu itu penenun hanya tinggal 15 orang sahaja, jadi saya dan Datin Seri Rosmah Mansor telah merayu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu untuk memberikan sokongan mewujudkan institut ini," katanya.

Baginda bertitah, alhamdulillah, institut berkenaan kini telah berjaya direalisasikan bagi memastikan tenun Pahang tidak berkubur.

Hong Peng pula berkata, melalui penubuhan institut itu, kerajaan yakin matlamat untuk membangunkan dan memelihara industri tenun khususnya Tenun Pahang Diraja sebagai sebuah perusahaan warisan yang berpotensi besar akan dapat dicapai.

Menurutnya, perusahaan itu diyakini dapat dijadikan aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan usahawan di negeri ini seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara.

"Perasmian institut ini menandakan bermulanya era baharu bagi Tenun Pahang Diraja dan membuktikan kegigihan dan semangat Tunku Azizah dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang untuk memartabat dan memastikan warisan tinggalan bangsa ini tidak pupus," katanya.

LKPP majukan akuakultur

Posted: 23 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Baharom Jani (dua dari kanan) menunjukkan udang putih yang diternak dalam kolam di Kampung Pulau Permatang Pauh, Pekan, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali

PEKAN 23 Okt. - LKPP Corporation Sdn. Bhd. sedang membangunkan sebuah Ladang Ternakan Akuakultur di Kampung Pulau Permatang Pauh dekat sini yang melibatkan kos sebanyak RM140 juta.

Pengurus Pelaburan LKPP Corporation, Shamsudin Mohd. Nor berkata, projek usahasama dengan Pegagau Aquaculture Sdn. Bhd. itu melibatkan penternakan udang putih dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang Julai tahun depan.

"Projek ini yang dimulakan sejak Oktober tahun lalu di tanah seluas 161 hektar itu membabitkan pembinaan sebanyak 207 kolam ternakan, sistem bekalan air masin dan pembinaan bangunan pejabat.

"Setakat ini sebanyak sembilan buah kolam telah mula beroperasi dan kita juga akan membina sebuah kilang memproses udang serta kemudahan bilik beku di sini dengan kos sebanyak RM15 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr. Baharom Jani ke tapak projek tersebut di sini hari ini.

Menurut beliau, projek yang telah 40 peratus siap itu dijangka mengeluarkan sebanyak 3,000 tan udang putih setahun.

"Tempoh penternakan bagi udang putih adalah selama tiga bulan dengan setiap seekor akan mencapai berat antara 20 hingga 25 gram.

"Kita anggarkan tuaian setiap kolam adalah antara lapan hingga 10 tan metrik. Pada masa ini pasaran adalah pembeli tempatan tetapi apabila siap sepenuhnya kita akan pasarkan ke Korea, Jepun dan Vietnam," katanya.

Beliau memberitahu, pada masa kini harga bagi setiap kilogram udang putih ialah RM26 dan dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

"Keuntungan bagi projek ini adalah antara RM15 hingga RM18 juta setahun dan akan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 300 orang.

"Malah projek ini akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat melalui perkhidmatan sokongan," katanya.

Usahawan diseru rebut peluang disediakan

Posted: 23 Oct 2013 11:48 AM PDT

KUANTAN 23 Okt. - Usahawan di negeri ini diseru merebut setiap peluang yang disediakan kerajaan sebagai platform untuk meluaskan pasaran perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, setiap usahawan terutama dalam industri kecil dan sederhana (IKS) harus merebut peluang yang terbuka seperti bagi menembusi pasaran eksport atau menjalin hubungan dagangan dalam perniagaan.

"Kita harus ambil peluang yang terbuka termasuk meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa. Sebagai usahawan kita boleh gunakan sumber-sumber yang ada dalam negara untuk meluaskan perdagangan," katanya ketika berucap merasmikan Program 'Go Global' Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Pengeksport Matrade, Zulkepli Mohd. Perai.

Sementara itu, menurut Zulkepli, program 'Go Global' yang membabitkan kira-kira 100 usahawan di negeri ini bertujuan menyalurkan maklumat terkini mengenai kemudahan, bantuan kewangan, program dan aktiviti promosi perdagangan yang dikendalikan oleh Matrade.

"Di samping mendapatkan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan berkaitan eksport, saya juga yakin program ini dapat meningkatkan jaringan perdagangan dalam kalangan komuniti perniagaan di Pahang.

"Program ini boleh digunakan sebagai platform usahawan untuk membincangkan isu dan masalah perdagangan semasa yang dihadapi dan dapat ditangani bersama," jelasnya.

Tambah Zulkepli, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Matrade kini dalam usaha meningkat dan memperkukuhkan lagi prestasi perdagangan antarabangsa dan eksport negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Faktor BN mahukan Sungai Limau

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

PENGERUSI SURUHANJAYA PILIHAN RAYA, TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF (TENGAH) menyaksikan calon BN Dr. Ahmad Sohaimi Lazim (kiri) bersalaman dengan calon Pas Mohd. Azam Abdul Samat di pusat penamaan calon Dewan Datuk Mahadi, Yan, Kedah, semalam.

Di atas kertas, ramai yang meramalkan Barisan Nasional (BN) tidak akan berpeluang untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sungai Limau yang berada dalam genggaman Pas.

Kerusi DUN itu dianggap kubu kedua terkuat Pas di Kedah selepas DUN Tokai yang berada dalam Parlimen Pendang. DUN Sungai Limau atau dahulunya dikenali DUN Sala seolah-olah begitu kebal untuk ditembusi oleh BN apatah lagi ia dikuasai oleh Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Allahyarham dianggap tokoh yang memungkinkan Sungai Limau berada di tahap itu dan Allahyarham jugalah yang memungkinkan melalui kepimpinan di dalam Pas bukan kata Sungai Limau berada dalam genggaman Pas malah dalam pilihan raya umum 2008, parti itu berjaya menawan Kedah.

Bagaimanapun Azizan tetap menjadi idola penduduk-penduduk Sungai Limau, ketabahan Allahyarham menghadapi asakan demi asakan dalam parti sendiri telah memungkinkan Allahyarham terus berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau, biar pun Pas kehilangan tampuk pemerintahan kerajaan negeri Kedah.

Namun pada 26 September lalu, Allahyarham kembali menemui Ilahi sehingga memungkinkan kerusi DUN Sungai Limau kosong bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan.

Allahyarham Azizan bukan seperti pemimpin Pas lain, Allahyarham tidak pernah melihat pemimpin-pemimpin atau penyokong BN sebagai musuh, Allahyarham bersahabat dengan sesiapa sahaja, faktor inilah yang membolehkan Allahyarham terus menjadi pemimpin Pas yang dihormati oleh kawan dan lawan.

''Peluang BN untuk menang tetap ada kerana Pas menghadapi masalah untuk mencari pengganti seperti Azizan, dia kawan dengan semua orang tak kira parti,'' kata seorang penduduk Sungai Limau kepada penulis.

Kini Pas tidak boleh lagi bergantung kepada Allahyarham untuk mempertahankan DUN Sungai Limau. Tanpa mahu memperkecilkan kewibawaan calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat dalam pilihan raya kecil kawasan itu 4 November ini, BN perlu diperingatkan supaya tidak terlalu gentar dengan cabaran Pas.

Kita menghormati latar belakang pendidikan Mohd. Azam seorang yang bertaraf ustaz dan ia dilihat sesuai oleh Pas kerana masyarakat Sungai Limau dianggap kelompok Islamik. Tetapi UMNO tidak ada kurangnya biar pun calon mereka, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim adalah bekas pensyarah kanan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Biar pun tidak berlatar belakang agama tetapi Dr.Ahmad Suhaimi mempunyai akhlak yang baik dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang berkesan sebagai wakil rakyat jika dipilih.

Sememangnya kita mengakui, seorang ustaz amat diperlukan dalam masyarakat tetapi dalam masa sama, sebagai orang Islam kita juga diseru untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan sudah pastilah dalam soal ini, kita perlu mencari pemimpin daripada golongan yang boleh memimpin kita mencari kebahagiaan akhirat tanpa meninggalkan kebahagiaan dunia.

Pas mungkin boleh mendabik dada dengan calon mereka tetapi fikirkan apakah Pas mampu membawa kesejahteraan kepada penduduk-penduduk Sungai Limau melalui pembangunan? Walaupun tidak berlatar belakang agama tetapi Dr. Ahmad Suhaimi boleh dibantu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang kini sudah menjadi Ahli Parlimen Jerai dan Ketua UMNO Bahagian Jerai.

Dr. Ahmad Suhaimi boleh menumpukan program-program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat bersama Jamil Khir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga boleh mengatur pelbagai program-program berunsur keagamaan.

Gabungan kedua-dua pemimpin ini akan diperkukuhkan pula dengan kerjasama padu yang akan diberikan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang sudah pastinya mempunyai perancangan tersendiri dengan sokongan kerajaan pusat bagaimana hendak memajukan kehidupan penduduk Sungai Limau bagi membolehkan mereka mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Pengundi-pengundi Sungai Limau tidak harus lagi terus terpegun dengan laungan perjuangan Islam oleh Pas atau pelbagai slogan yang pastinya akan berkumandang lagi sepanjang kempen dalam pilihan raya kecil tersebut.

Sebaliknya, mereka perlu memberi ruang dan peluang kepada BN untuk menduduki semula kerusi Sungai Limau - dulu BN pernah menguasai kawasan ini dan biarlah sejarah tersebut berulang.

Memang benar, apa pun keputusan ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri atau kedudukan Pas dalam Dewan Undangan Negeri, tetapi BN bertanding bukan semata-mata kerana mahu merebut kerusi Sungai Limau tetapi parti itu ikhlas mahu menawarkan khidmat bakti kepada penduduk Sungai Limau.

Kalau BN memikirkan soal kerusi semata-mata sudah pasti parti itu tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut kerana ia tidak mengubah apa-apa tetapi ini soal tanggungjawab kepada rakyat.

BN mahu DUN Sungai Limau membangun seperti kawasan-kawasan lain yang berada di bawah penguasaannya. Justeru penduduk Sungai Limau tidak harus terus bernostalgia dengan politik Pas.

Berilah peluang kepada BN untuk membuktikan keupayaannya dan kita yakin sebagai kawasan kubu kuat parti lawan yang berjaya diranapkan dalam pilihan raya kecil kali ini, kerajaan negeri Kedah di bawah kepimpinan Mukhriz pasti akan benar-benar menghargai kepercayaan yang diberikan.

Oleh itu, fikirkanlah dengan semasak-masaknya tawaran yang dibuat oleh BN dalam pilihan raya kecil kali ini, bak kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, teruslah menjadi ahli Pas tetapi undilah BN untuk kesejahteraan hidup mereka.

Mungkin seruan ini nampak ganjil tetapi faktanya kita menyokong sesebuah parti itu adalah untuk memastikan kehidupan kita terbela tetapi Pas sudah terbukti tidak mampu berbuat demikian, oleh itu kalau mahu terus mengekalkan semangat Pas kerana masih berpegang kepada perjuangan Islam parti itu, teruskanlah, tetapi mengundilah BN kerana parti itu berupaya menjadikan sebuah perjuangan itu bukan sekadar slogan tetapi realiti dalam usaha kita mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Meramaikan jaguh usahawan Melayu

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh Dr. Mohammad Ismail
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan produk sos cili Alhikmah ketika mengunjungi gerai perniagaan sos cili dan kicap keluaran Al-Hikmah Sdn. Bhd. selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) 2013 di Laman 1Malaysia, Presint 2, Putrajaya baru-baru ini. KUD adalah antara salah satu usaha yang dilakukan kerajaan dalam memperkasakan ekonomi bumiputera di luar bandar.

KISAH tersurat dan tersirat dalam isu pemilihan UMNO telah diketahui umum. Kini, barangkali penumpuan lebih tertumpu kepada apa yang akan dibentangkan dalam Bajet 2014 pada petang Jumaat ini.

Isu tentang agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera yang dilancarkan secara simbolik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam baru-baru ini mungkin ada dalam senarai topik tumpuan Bajet 2014.

Perkara melibatkan pemerkasaan bumiputera perlu terus dibincangkan agar agenda penting ini tidak hanya tinggal sebagai satu 'agenda' semata-mata tanpa pelaksanaan yang perlu dibuat secara holistik.

Agenda penting ini perlu terus diperdebatkan agar kedudukan, penglibatan dan prestasi bumiputera dalam bidang perniagaan dan penguasaan ekonomi dapat menghasilkan satu 'tonik' yang dapat membantu 'survival' bumiputera. Agenda nasional ini sangat penting dalam memastikan orang Melayu dan bumiputera yang mewakili 67 peratus rakyat negara ini dapat mempertingkatkan ekonomi mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam memastikan agenda ini tidak hanya dapat dinikmati oleh sebahagian kecil kelompok bumiputera sahaja, satu anjakan yang besar dalam membantu usahawan perlu dilakukan. Tidak cukup sekadar melancarkan kempen dan slogan. Sebaliknya, usahawan-usahawan kecil di kampung-kampung perlu 'dicari' dan dibantu sepenuhnya untuk meningkatkan perniagaan mereka.

Mungkin sudah ada yang dibantu tetapi hakikatnya masih ramai yang terkontang-kanting bertahun-tahun menjalankan perniagaan dengan cara lama.

Adakah kita sudah cukup berbangga dengan hanya satu atau dua nama bumiputera sahaja yang berjaya? Adakah kita sudah berjaya jika masih ada kaum bumiputera yang berpuluh tahun dulu berniaga kedai makan, kedai photostat, kedai alat tulis sehingga sekarang masih berniaga dengan cara yang sama, saiz kedai yang sama bahkan pekerja pun masih ada yang sama.

Kita harus menerima hakikat yang kita perlu melahirkan lebih ramai 'jaguh' dalam kalangan Melayu dan bumiputera. Setiap tahun kita menyenaraikan kedudukan orang terkaya di Malaysia oleh beberapa agensi. Namun, hanya dua atau tiga nama Melayu atau bumiputera yang dicatat setiap tahun.

Paling menyedihkan bila senarai dikecilkan kepada 10 terkaya, tinggallah satu nama. Apakah kita sudah boleh berbangga dan berpuas hati dengan satu atau dua nama sahaja? Agenda nasional ini perlu melahirkan lebih ramai 'jaguh' usahawan Melayu dan bumiputera.

Agenda nasional ini tidak akan berjaya sekiranya gagal 'menjemput' kaum bumiputera khususnya generasi muda untuk melibatkan diri secara serius.

Penglibatan secara holistik daripada semua pihak termasuklah golongan bawahan dan pertengahan adalah penting dalam memastikan ke lima-lima fokus pemerkasaan berjaya direalisasikan.

Hakikat yang perlu kita akui, kita masih dibelenggu 'penyakit' lama, iaitu sikap ingin cepat kaya. Lihat saja berapa ramai orang kita yang menjadi mangsa dengan program yang kononnya akan menjadikan mereka 'kaya ekspres', ramai yang menjadi mangsa adalah orang yang kita panggil bumiputera dan Melayu.

Penyakit ini perlu dicegah daripada menular dalam kehidupan bumiputera. Sikap tidak yakin pada diri sendiri juga adalah salah satu penyakit lama yang masih menebal. Satu program bersepadu perlu digerakkan untuk mengubati penyakit ini.

Bumiputera Self-Transformation Program (BSTP) boleh dilakukan dengan kerjasama IPTA tempatan untuk memastikan kumpulan sasaran ditransformasi terlebih dahulu sebelum melaksanakan agenda pemerkasaan bumiputera dengan lebih terperinci.

Satu ketika dulu penulis pernah mencadangkan semasa memberi maklum balas terhadap Kongres Ekonomi Bumiputera yang lalu, satu unit khas 'National Entrepreneurship Institution' yang boleh mengambil peranan dalam pembangunan usahawan bumiputera perlu diwujudkan bagi tujuan tersebut.

Kini, Majlis Ekonomi Bumiputera akan ditubuhkan dan penubuhan unit Pembangunan Usahawan Bumiputera di semua kementerian diharapkan akan dapat menarik lebih ramai penyertaan dan memberi peluang yang lebih besar kepada usahawan.

Penubuhan unit dan majlis ini menjelaskan lagi betapa kerajaan begitu serius dalam memastikan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera mencapai kejayaan.

Kita berharap TERAJU yang menjadi sandaran dan harapan bumiputera benar-benar memainkan peranan sebagai 'teraju' dalam memperkasakan ekonomi bumiputera. Kalau ibarat kita bermain wau, jika kena terajunya pasti wau akan naik tinggi walaupun angin tidak begitu mencukupi.

Sebaliknya, walaupun mempunyai angin yang cukup tapi teraju yang tidak menjadi, wau bukan sahaja tidak naik bahkan akan tunduk jatuh menyembah bumi. Isu lama yang telah menjadi 'barah' dalam membincangkan ekonomi Melayu dan bumiputera adalah soal ketirisan.

Isu mengenai distribution justice perlu ditangani sepenuhnya agar pemerkasaan ekonomi bumiputera ini mampu meresap masuk kepada golongan sasaran. Kita juga berharap melalui dasar afirmatif kerajaan, kekayaan dapat diagihkan secara adil kepada semua bumiputera dan tidak hanya kelompok tertentu sahaja.

Sokongan semua pihak amat ditagih dalam memastikan pemerkasaan ekonomi bumiputera menjadi realiti. Selagi ia memberi manfaat kepada orang Melayu, bumiputera dan orang Islam sepatutnya semua pihak menyokong dalam merealisasikan hasrat murni tersebut.

Sudah sampai masanya kita keluar daripada kepompong lama, kita harus bersifat terbuka dan sentiasa berusaha merebut peluang demi kelangsungan ekonomi bumiputera. Tidak perlu kita riuh rendah dengan hanya sebiji telur yang dikeluarkan sedangkan 'itik-itik' dan 'angsa-angsa' lain sibuk mengeluarkan telur yang banyak tanpa riuh rendah dan bertelagah.

Bumiputera dan Melayu khususnya perlu lebih proaktif dan berani menggalas cabaran dalam meningkatkan ekonomi bumiputera. Jangan jadi sekali air bah, sekali pasir berubah. Apa guna kita bertelagah sekiranya kaum bumiputera yang rugi, marilah kita rapatkan barisan bulatkan tekad untuk kesejahteraan ekonomi bumiputera dan umat Islam.

Pembentangan Bajet 2014 diharap ada berita baik tentang penambahan peruntukan untuk memperkasa agenda ekonomi bumiputera.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Disisih keluarga mentua

Posted: 23 Oct 2013 01:19 AM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Tindakan menyisihkan anak-anak OKU amat menyedihkan. - Gambar hiasan

KADANGKALA reaksi positif mahupun negatif tidak perlu diluah menerusi kata-kata. Cukuplah sekadar ekspresi muka dan bahasa badan yang menentukan penerimaan suka mahupun sebaliknya.

Pada mulanya Rohaya Husin, 48, (bukan nama sebenar) seboleh-bolehnya tidak mahu berprasangka negatif pada segelintir kerabat di sebelah suaminya yang mula menyisihkan dia dan keluarganya selepas anak ketiga, Ruzana Samad (bukan nama sebenar) yang ketika itu berusia sembilan tahun disahkan mengalami kecacatan anggota tubuh bermula dari bahagian pinggang ke bawah.

Namun ketabahan dirinya goyah jua selepas satu persatu insiden yang membuatkan dia sedar, tidak semua ahli keluarganya berhati mulia.

"Selain kurang upaya fizikal, Ruzana juga disahkan doktor menghidapi penyakit Cerebral Palsy yang tidak begitu teruk.

"Ruzana lahir seperti kanak-kanak normal. Cuma apabila masuk sekolah rendah keadaan fizikalnya semakin melemah. Dia cepat penat dan sedikit demi sedikit saiz kakinya mengecut lalu membataskan pergerakannya.

"Keadaan tersebut berlangsung hampir setahun sebelum Ruzana terus hilang upaya untuk berjalan," cerita Rohaya membuka bicara pada saya untuk segmen Pengakuan kali ini.

Menjadi suri rumah sepenuh masa kepada empat anak termasuk Ruzana, sememangnya menguji kesabaran dan ketahanan fizikal dan mental Rohaya.

Begitu pun, dia menerima takdir Yang Maha Kuasa dengan penuh reda. Hari-hari dilalui dengan penuh menguji kudrat selain ketahanan dirinya sendiri yang juga semakin hari semakin meningkat usia.

"Sebenarnya saya amat bersyukur kerana dikurniakan suami dan adik beradik saya sendiri yang sangat membantu dan tidak pernah menyisihkan kami.

"Cuma keluarga di sebelah mentua yang memang memandang sinis pada keluarga kami walaupun mereka boleh dikatakan mempunyai pelajaran tinggi dan kehidupan yang mewah di ibu kota.

"Sebenarnya ia bermula dengan satu insiden. Ketika itu kami sekeluarga mahu berhari raya di rumah salah seorang ahli keluarga kami di Melaka.

"Sepatutnya kami berkonvoi tapi rupanya kami sengaja ditinggalkan kerana mereka menganggap kami tidak perlu pergi kerana leceh menguruskan anak cacat. Saya sedih kerana kami sebolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa pun tapi kami dilayan seperti kami sekeluarga pula yang menyusahkan.

"Selepas itu satu persatu lagi reaksi negatif dari sebelah ipar yang sememangnya mahu menyisihkan kami sekeluarga mula kelihatan. Sebagai contoh, ketika salah seorang daripada anak buah suami saya berkahwin dan kami tidak mendapat undangan majlis yang berlangsung di sebuah kelab eksklusif. Saya semakin sedar kami disisih dan mula menyuarakan isi hati pada suami. Mujur suami saya juga menyebelahi saya dan hanya mampu memujuk saya supaya bersabar," cerita Rohaya sambil menitiskan air mata.

Tambah Rohaya, sebenarnya terlalu banyak insiden yang benar-benar membuatkan dirinya dan anak-anak lain kecil hati, namun tidak mampu dikongsikan dengan penulis.

"Anak-anak saya semakin membesar. Ruzana kini pun sudah mencecah 15 tahun dah syukur kepada Allah, semua anak-anak saya cemerlang dalam pelajaran termasuk Ruzana.

"Dia berjaya mendapat 5A dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) walau dengan kesusahan dia bergerak dia tidak pernah ponteng sekolah.

"Saya juga bersyukur kerana Ruzana mendapat sahabat dan para guru yang begitu baik. Hinggakan dia tidak pernah menggunakan duit belanja di sekolah kerana gurunya sering membelikan dia makanan.

"Anak sulung saya juga cemerlang dalam peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di sebuah asrama penuh dan ditawarkan biasiswa perubatan. Begitu juga anak-anak yang lain, masing-masing cemerlang dalam pelajaran," ujar Rohaya penuh keinsafan.

Serentak dengan kejayaan anak-anak itu jugalah reaksi daripada ahli keluarga sebelah suaminya yang dahulu a sentiasa menyisihkan mereka telah berubah.

"Pada saya mereka (keluarga sebelah suami) baru mula celik mata terhadap keluarga kami. Memang saya tidak pernah bertanya secara terus kepada mereka. Namun seperti yang saya ceritakan di awal tadi reaksi dan bahasa tubuh mereka saja sudah cukup menggambarkan betapa mereka menganggap kami bukan dari ahli keluarga sendiri," luah Rohaya.

Sehingga kini, Rohaya masih meneruskan rutin kehidupannya. Dia sememangnya amat bersyukur kerana diberikan pendedahan menerusi media dengan secukupnya untuk membawa mana hala tuju anaknya.

"Dengan maklumat dari media yang banyak tentang kumpulan sokongan untuk anak-anak OKU (orang kelainan upaya) saya semakin celik minda dan mata untuk memastikan anak saya juga boleh berjaya seperti orang lain.

"Walau kami sekeluarga dulu pernah disisihkan tapi masih ramai lagi yang berhati mulia dan menerima keadaan anak saya dengan seadanya.

"Cuma saya berharap agar jangan ada ahli keluarga lain yang mengalami sama seperti kami, moga semuanya boleh menerima apa saja yang diberikan Ilahi tanpa sikap prejudis, Insya-Allah," ujarnya.

Kraf beri pulangan lumayan

Posted: 23 Oct 2013 01:19 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN

Zulkifli Abdul Rani memotong kayu untuk membuat produk kraf tangan di Pusat Inkubator Kraf Temerloh.

HASIL kraf sama ada yang diukir daripada kayu, tembaga, tekstil, tanah liat, porselin, seramik, rotan, buluh, daun getah dan sebagainya mampu memberikan pulangan.

Ini dibuktikan oleh pasangan suami isteri, Mohd. Noh Abdul Rahman, 53, dan isteri Zarinah Mat Datar, 50, yang menumpukan sepenuh masa mereka mengusahakan jualan pokok kerchut yang diawet sebagai satu hasil seni yang berjaya memikat peminat kraf tangan di seluruh negara.

Bagi Mohd. Noh, pokok kerchut yang mudah didapati di Tasik Cini, Pekan, Pahang, mungkin tidak bernilai bagi sesetengah orang.

Tetapi pokok tersebut yang tumbuh di permukaan air di sekitar 12 pulau yang terdapat di tasik tersebut mempunyai nilai yang tinggi bila ditambah nilai dan dijadikan hasil kraf.

Produk itu yang dijual menerusi pelbagai pameran yang disertainya di bawah naungan Kraftangan Malaysia dan Tourism Malaysia di seluruh negara termasuk di Pusat Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, mampu menghasilkan pendapatan antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.

Pokok kerchut yang diawet turut menarik minat ramai rakyat Singapura semasa pasangan suami isteri ini menyertai pameran Kraftangan Malaysia di Johor Bahru, sedikit masa lalu.

''Idea untuk mengawet pokok ini bermula tujuh tahun lalu semasa kami pergi memancing di Tasik Cini dan saya tertarik melihat pokok tersebut yang unik dan hidup subur di permukaan air.

''Pokok ini sebenarnya pernah dibuat tikar seperti tikar pokok mengkuang. Kami ambil pokok kerchut ini dan dibiarkan beberapa hari sehingga kering.

"Bermula dari situ saya mendapat idea untuk mengawetkan pokok tersebut dan dijual kepada orang ramai," cerita Zarinah.

Selain menyertai pameran, pasangan suami isteri ini turut menjualnya di pasar malam dan boleh didapati di pusat Kraftangan Malaysia Pahang di Kuantan.

Selain pokok kerchut, Mohd Noh yang merupakan bekas pesara polis turut menjual pokok awet selinsing.

Seorang lagi pengusaha kraf tangan berasaskan kayu, Zulkifli Abdul Rani, 48, dari Temerloh, telah menceburi bidang ini sejak tahun 1993 turut memperoleh pendapatan yang lumayan apabila produk keluarannya digunakan bagi menghiasi reka bentuk chalet dan rumah.

Zulkifli mengeluarkan produk ukiran kayu yang bercorak bunga pasola untuk hiasan pintu, tingkap dan tangga, kerusi meja dan sebagainya.

''Menerusi syarikat Z & Z, saya berharap dapat memasarkan secara meluas produk ukiran kayu ini bagi menghiasi reka bentuk dalaman hotel dan pejabat kerajaan ataupun swasta.

''Saya mendapat bimbingan daripada Pusat Inkubator Kraf Temerloh bagi memasarkan hasil jualan ukiran kayu menerusi pameran yang dianjurkan di seluruh negara," kata Zulkifli.

Seorang lagi usahawan kraf ukiran kayu yang mendapat bimbingan Pusat Inkubator Kraf Temerloh ialah Mohd Rafi Barahim, 37, yang sudah enam tahun menceburi produk ukiran kayu sepenuh masa dengan pendapatan antara RM4,000 hingga RM7,000 sebulan.

Dia menggunakan kayu yang berkualiti antaranya cengal, merbau, meranti dan jelutung bagi menghasilkan ukiran berasaskan bunga kacar, cempaka, matahari, ketumbit dan sebagainya.

''Saya mendapat kemudahan untuk menggunakan peralatan yang terdapat di pusat inkubator ini dengan dikenakan bayaran yang murah dan menjual produk menerusi tempahan yang dibuat oleh individu seperti pemilik rumah, pengusaha hotel dan chalet," kata Mohd Rafi yang berasal dari Sabah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Taman Pudu Ulu lokasi pertama

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Mohd. Najib Mohamad (kiri) meneliti salah satu peralatan permainan taman kanak-kanak selepas merasmikan Bengkel Keselamatan Taman Permainan Kanak-kanak Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Taman permainan kanak-kanak di taman-taman rekreasi awam milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal lebih mesra kepada golongan itu pada masa depan.

Ini kerana taman-taman itu kelak bakal dilengkapi peralatan permainan yang menggunakan unsur air, yang sememangnya digemari kanak-kanak.

Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohamad berkata, pihaknya bakal mewujudkan taman permainan kanak-kanak yang menggunakan unsur air sebagai salah satu komponen dan daya tarikan orang ramai untuk ke mengunjungi taman-taman rekreasi di bawah seliaan DBKL.

Katanya, Taman Pudu Ulu merupakan lokasi pertama yang akan dibangunkan taman permainan sedemikian, yang akan dilaksanakan menerusi projek pembangunan fasa dua.

Menurutnya, Taman Botani Perdana juga dijangka akan memiliki taman permainan kanak-kanak yang dilengkapi elemen sama selepas menilai aspek keselamatan dan penyenggaraan terhadap peralatan yang akan digunakan.

"Cadangan mewujudkan taman permainan itu di Taman Pudu Ulu kini dalam peringkat rekaan dan dijangka mengambil masa setahun untuk dilaksanakan memandangkan projek pembangunan Fasa 2 di situ juga masih dalam proses mengeluarkan tender," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Keselamatan Taman Permainan Kanak-kanak Wilayah Persekutuan di Institut Latihan DBKL, hari ini.

Tambah Mohd. Najib, gabungan elemen air dan alatan permainan sedia ada itu adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak bermain dengan sumber tersebut ekoran sifat semula jadi golongan itu yang menyukai air.

"Kita juga mahu menggalakkan kanak-kanak beriadah, bertemu rakan baharu berbanding hanya menghadap permainan komputer di rumah tanpa melakukan aktiviti yang lebih sihat.

"DBKL juga bercadang untuk mengembangkan cadangan itu ke lokasi lain pada masa depan sekiranya menepati objektif terutamanya aspek keselamatan," ujarnya.

Taman Tasik Metropolitan tunggu kaki pancing

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

PENGURUS Tajaan dan Sukan 100 Plus, Muhamad Fauzi Ahmad (dua dari kanan) bersama tiga pemenang utama JJKL siri kedua yang berlangsung di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 22 Oktober - Pertandingan memancing Jelajah Joran Kuala Lumpur (JJKL) siri ketiga anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bakal berlangsung di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, pada 5 November depan pasti menjanjikan persaingan hebat.

Ini kerana siri kedua JJKL yang berlangsung di Taman Tasik Ampang Hilir baru-baru ini menerima sambutan hangat di kalangan kaki pancing apabila kira-kira 800 peserta mengambil bahagian.

Pada pertandingan itu, Mohd. Fazli Che Rus, 33, dinobatkan sebagai juara untuk membawa pulang wang tunai RM5,000 setelah berjaya menaikkan ikan patin seberat 5.4 kilogram.

Tempat kedua dimenangi oleh Asri Jamaluddin, 32, untuk menerima RM2,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta tunggal wanita, Noraznira Ramzan, 29, yang meraih RM1,000.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Tuan Idzawi Raja Ismail berkata, JJKL bukan sahaja berjaya menarik penyertaan kaki pancing dari ibu kota, tetapi juga dari Perak, Melaka dan Pahang.

Menurutnya, keindahan tasik di ibu kota turut mempengaruhi peserta untuk membawa ahli keluarga masing-masing memeriahkan pertandingan.

"Rata-rata peserta yang ditemui berharap JJKL dapat diteruskan setiap tahun. Ini kerana pertandingan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan tetapi juga bertukar-tukar fikiran dalam kalangan kaki pancing," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pendaftaran untuk pertandingan di Kepong boleh dilakukan di khemah urus setia yang mula dibuka di tasik berkenaan bermula 4 November dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam.

Maklumat mengenai JJKL juga boleh diperoleh di laman web jorankl.weebly.com atau laman sosial Facebook: jorankl atau menghubungi urus setia di talian 019-384 1009, 013-305 2811, 012-2846811, 17-372 7420 dan 013-266 7011.

TPK baharu akan dibina lebih selamat

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan Dasar Keselamatan Taman Permainan Kanak-kanak (TPK) yang diluluskan Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini untuk membina TPK baharu selepas ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraannya, Datuk Mohd. Najib Mohamad berkata, dasar itu diyakini mampu melindungi kanak-kanak untuk bermain dengan selamat dan kurang risiko kemalangan.

"Selain meningkatkan tahap keselamatan dan memanjangkan hayat peralatan permainan di TPK, dasar itu bertujuan memastikan penyenggaraan TPK Wilayah Persekutuan adalah seragam dan dilakukan secara proaktif setiap enam bulan iaitu mengikut piawaian MS966:2001.

"Malah, dasar itu turut memberi penekanan terhadap elemen bahaya yang perlu dihapuskan dalam pembinaan TPK baharu," katanya ketika merasmikan Bengkel Keselamatan TPK Wilayah Persekutuan di Institut Latihan DBKL, hari ini.

Bengkel itu menggabungkan penglibatan pegawai-pegawai daripada DBKL, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang bertujuan mendedahkan kepentingan aspek keselamatan di taman permainan kanak-kanak.

Dasar tersebut akan diaplikasikan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, jelasnya.

Tambah Mohd. Najib, peralatan permainan yang rosak atau uzur akan membahayakan keselamatan kanak-kanak yang menggunakannya.

"Kemalangan kecil tidak dapat dihindari tetapi sekiranya berpunca daripada peralatan yang rosak, usang dan reput akibat tidak disenggara maka ini tidak boleh diterima," katanya.

Menurutnya, Dasar Keselamatan TPK turut menggariskan transformasi TPK sebagai kawasan hijau dan sekali gus akan melestarikan kawasan hijau di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Najib memberitahu, DBKL membelanjakan sebanyak RM4 juta setahun untuk menyenggara peralatan permainan di 385 taman permainan kanak-kanak dalam kawasan perumahan di ibu kota.

"Apabila berlaku kemalangan atau kecederaan semasa bermain disebabkan peralatan tidak disenggara, kanak-kanak akan takut dan fobia serta ibu bapa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

"Oleh itu, bengkel ini juga bertujuan mengkaji sama ada peralatan yang disediakan selama ini berpotensi menyebabkan kemalangan atau tidak, sekali gus dapat mengurangkan kos untuk penggantian peralatan baharu sekiranya tidak sesuai digunakan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


UTM memasyarakat inovasi

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

WAHID Omar (kanan) melihat salah satu produk inovasi yang dipamerkan sempena Festival Kreativiti dan Inovasi UTM 2013 di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 22 Okt. - Lebih 40 produk inovasi hasil kreativiti pelbagai fakulti di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipamerkan sempena Festival Kreativiti dan Inovasi 2013 (UTMost Imagination) yang diadakan selama tiga hari baru-baru ini.

Program yang dianjurkan sejak 2011 itu berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung dari dalam dan luar kampus sekali gus menjadi perintis kepada usaha membudayakan inovasi dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Ir. Wahid Omar berkata, festival berkenaan memberi peluang kepada penuntut pelbagai jurusan mempamerkan produk dan penyelidikan selain merangsang minat orang ramai mencubanya.

"Program ini juga adalah salah satu usaha untuk memasyarakatkan inovasi sekali gus menjadikan UTM sebagai peneraju dalam aktiviti reka cipta dan inovasi di negara ini.

"Setiap fakulti menghasilkan dua atau tiga produk inovasi seperti robot dan stimulasi kapal terbang dan pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman mengendalikan peralatan yang dipamerkan," katanya selepas majlis perasmian UTMost Imagination di sini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Prof. Dr. Ir. Mohd. Azraai Kassim dan Pengerusi Bersama UTMost Imagination, Dr. Raja Kamarulzaman Raja Ibrahim.

Wahid berkata, dalam usaha menyokong hasrat kerajaan yang mahu mewujudkan sekurang-kurang 60 peratus masyarakat membudayakan inovasi dalam kehidupan seharian, UTM mengambil inisiatif dengan melibatkan penyertaan pelajar sekolah dalam program tersebut.

"Bukan itu sahaja, penglibatan pelajar berkenaan juga bertujuan memupuk minat mereka menerusi program lebih santai dan memberi peluang bagi melihat dan mencuba sendiri produk inovasi yang dipamerkan," katanya.

Sementara itu, Raja Kamarulzaman berkata, program tersebut membolehkan orang ramai melihat lebih dekat produk reka cipta dan inovasi yang dihasilkan penyelidik dan mahasiswa UTM.

"Festival yang bercirikan interaktif dan kreatif ini juga menjadi landasan kepada penyelidik dan mahasiswa UTM untuk mempromosi produk penyelidikan masing-masing di samping menarik syarikat luar menjalinkan kerjasama untuk mengkomersialkan produk itu dalam skala besar.

"UTM sentiasa ke hadapan dalam menerapkan budaya inovasi supaya penuntutnya lebih berdaya saing sekali gus menonjolkan pelbagai kemahiran di samping mendahului kemampuan akademik berbanding institusi lain," katanya.

Wujud keraguan pengiraan undi

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

ABDUL Halim Suleiman (dua dari kanan) menyerahkan surat bantahan keputusan pemilihan UMNO Bahagian Tebrau kepada Ramlee Bohani sambil diperhatikan oleh Abu Bakar A. Rashid (kanan) dan Abdul Aziz Ahmad (kiri) di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 22 Okt. - Enam bekas calon UMNO Bahagian Tebrau tampil membuat bantahan terhadap keputusan pemilihan UMNO bahagian itu yang diadakan di Hotel New York di sini Sabtu lalu.

Bekas Timbalan Ketua UMNO bahagian tersebut, Datuk Abdul Halim Suleiman yang mengetuai bantahan itu mendakwa wujud keraguan terhadap keputusan yang diumumkan apabila jumlah undi dan bilangan perwakilan tidak sama.

"Setelah diperincikan, kami mendapati pengiraan undi tidak mengikut tatacara dan etika sepatutnya. Pengiraan dikhuatiri tidak telus dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dan gilakan kuasa.

"Turut menimbulkan keraguan apabila proses pengiraan undi diadakan di bilik dan tingkat berbeza dari tempat mengundi. Malah, proses pemindahan kotak undi diadakan tanpa penyeliaan penuh daripada wakil calon," katanya yang juga bekas calon Timbalan Ketua UMNO bahagian tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Kerja UMNO negeri, Ramli Bohani di Pejabat Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Memorandum tersebut turut ditandatangani oleh bekas calon Naib Ketua bahagian, Datuk Abu Bakar A. Rashid serta empat bekas calon ahli jawatankuasa (AJK) bahagian tersebut iaitu Datuk A. Aziz Ahmad, Abd. Jalil Mohd. Jim, Fadilah Ahmad dan Rohsawal Nizam Abd. Ghafar.

Beliau berkata, kotak-kotak undi tersebut juga pada sesuatu masa ditinggalkan tanpa dibenarkan diselia oleh wakil calon.

"Malah, di dalam bilik berkenaan turut kelihatan kotak lain, selain kotak-kotak yang digunakan ketika proses pengundian.

"Lebih mencurigakan, di dalam bilik itu juga terdapat beberapa peralatan yang digunakan untuk menyita semula kotak undi. Tidak cukup dengan itu, keraguan turut timbul apabila jumlah perwakilan yang berdaftar tidak sama dengan jumlah undi yang dikira,'' jelasnya.

Tambahnya, jumlah undi bagi jawatan Timbalan Ketua bahagian terlebih satu undi, manakala bagi Naib Ketua bahagian pula kurang satu undi, selain terdapat perbezaan 91 undi bagi AJK bahagian.

"Kami inginkan jawapan mengapa perkara seperti ini boleh berlaku? Kami akur dengan kekalahan, namun biarlah pertandingan itu diadakan dengan jujur dan telus," katanya.

Pada pemilihan Sabtu lalu, Datuk Maulizan Bujang menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, manakala bagi jawatan timbalan dimenangi oleh Abd. Aziz Tohak, sementara Mohamad Dolmat menang jawatan Naib Ketua bahagian.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved