Rabu, 23 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Tenun Pahang warisan bangsa

Posted: 23 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi oleh Tunku Azizah Aminah Maimunah (kanan) melihat seorang pelajar menenun kain dalam Majlis Perasmian Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja di Kompleks Budaya Kampung Pulau Keladi, Pekan, baru-baru ini. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

PEKAN 23 Okt. - Kemahiran menenun songket bukan mudah dilakukan kerana memerlukan kemahiran, kreativiti, ketelitian dan semangat tinggi.

Atas sebab itu, jumlah mereka yang mahir dalam bidang tersebut di negeri ini semakin mengecil kerana kurangnya minat terutama dalam kalangan generasi muda.

Bagi memastikan industri tenunan khususnya Tenun Pahang tidak lupus, usaha dilakukan melalui penubuhan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam bertempat di Kompleks Budaya Kampung Pulau Keladi di sini.

Usaha tersebut merupakan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Pusat Kecemerlangan Tunku Azizah, Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja (KPTPD), Kampung Kempadang, Kuantan dan Kraftangan Malaysia.

Majlis perasmian institut tersebut telah disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Ahad lalu.

Yang turut berangkat ke majlis perasmian tersebut, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Dr. Ong Hong Peng.

Pembinaan institut di kawasan seluas 1.6 hektar tersebut diilhamkan oleh Tunku Azizah untuk melahirkan lebih ramai tenaga terlatih dalam perusahaan Tenun Pahang Diraja.

Institut yang dibina pada 26 Februari 2008 dan siap sepenuhnya pada 12 April 2010 itu merupakan pusat latihan pertama menawarkan pengajian dalam bidang kraf Tenun Pahang Diraja secara formal selama dua tahun di peringkat sijil.

Kurikulum dan modul sijil yang dilaksanakan adalah selari dengan kurikulum dan modul sijil tenunan di Institut Kraf Negara yang merangkumi semua aspek pembuatan Tenun Pahang Diraja termasuk subjek akademik iaitu bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Keusahawanan.

Matlamat penubuhan institut berkenaan bertujuan melahirkan tenaga mahir bagi keperluan industri kraf negara agar warisan kesenian dan budaya tempatan terus kekal dan berkembang maju.

Sementara itu, Tunku Azizah berkata, Malaysia kaya dengan warisan seni tenun dan hampir setiap negeri mempunyai corak, keunikan dan kehalusan tersendiri bagi menjadi lambang kreativiti penenun.

"Songket tenun Pahang telah berkembang sejak 1838 mencatat sejarah tersendiri, bimbang warisan tenun Pahang ini berkubur begitu sahaja maka usaha menubuhkan institut ini dilakukan.

"Sewaktu sebelum institut ini ditubuhkan, di Pekan waktu itu penenun hanya tinggal 15 orang sahaja, jadi saya dan Datin Seri Rosmah Mansor telah merayu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu untuk memberikan sokongan mewujudkan institut ini," katanya.

Baginda bertitah, alhamdulillah, institut berkenaan kini telah berjaya direalisasikan bagi memastikan tenun Pahang tidak berkubur.

Hong Peng pula berkata, melalui penubuhan institut itu, kerajaan yakin matlamat untuk membangunkan dan memelihara industri tenun khususnya Tenun Pahang Diraja sebagai sebuah perusahaan warisan yang berpotensi besar akan dapat dicapai.

Menurutnya, perusahaan itu diyakini dapat dijadikan aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan usahawan di negeri ini seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara.

"Perasmian institut ini menandakan bermulanya era baharu bagi Tenun Pahang Diraja dan membuktikan kegigihan dan semangat Tunku Azizah dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang untuk memartabat dan memastikan warisan tinggalan bangsa ini tidak pupus," katanya.

LKPP majukan akuakultur

Posted: 23 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Baharom Jani (dua dari kanan) menunjukkan udang putih yang diternak dalam kolam di Kampung Pulau Permatang Pauh, Pekan, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali

PEKAN 23 Okt. - LKPP Corporation Sdn. Bhd. sedang membangunkan sebuah Ladang Ternakan Akuakultur di Kampung Pulau Permatang Pauh dekat sini yang melibatkan kos sebanyak RM140 juta.

Pengurus Pelaburan LKPP Corporation, Shamsudin Mohd. Nor berkata, projek usahasama dengan Pegagau Aquaculture Sdn. Bhd. itu melibatkan penternakan udang putih dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang Julai tahun depan.

"Projek ini yang dimulakan sejak Oktober tahun lalu di tanah seluas 161 hektar itu membabitkan pembinaan sebanyak 207 kolam ternakan, sistem bekalan air masin dan pembinaan bangunan pejabat.

"Setakat ini sebanyak sembilan buah kolam telah mula beroperasi dan kita juga akan membina sebuah kilang memproses udang serta kemudahan bilik beku di sini dengan kos sebanyak RM15 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr. Baharom Jani ke tapak projek tersebut di sini hari ini.

Menurut beliau, projek yang telah 40 peratus siap itu dijangka mengeluarkan sebanyak 3,000 tan udang putih setahun.

"Tempoh penternakan bagi udang putih adalah selama tiga bulan dengan setiap seekor akan mencapai berat antara 20 hingga 25 gram.

"Kita anggarkan tuaian setiap kolam adalah antara lapan hingga 10 tan metrik. Pada masa ini pasaran adalah pembeli tempatan tetapi apabila siap sepenuhnya kita akan pasarkan ke Korea, Jepun dan Vietnam," katanya.

Beliau memberitahu, pada masa kini harga bagi setiap kilogram udang putih ialah RM26 dan dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

"Keuntungan bagi projek ini adalah antara RM15 hingga RM18 juta setahun dan akan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 300 orang.

"Malah projek ini akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat melalui perkhidmatan sokongan," katanya.

Usahawan diseru rebut peluang disediakan

Posted: 23 Oct 2013 11:48 AM PDT

KUANTAN 23 Okt. - Usahawan di negeri ini diseru merebut setiap peluang yang disediakan kerajaan sebagai platform untuk meluaskan pasaran perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, setiap usahawan terutama dalam industri kecil dan sederhana (IKS) harus merebut peluang yang terbuka seperti bagi menembusi pasaran eksport atau menjalin hubungan dagangan dalam perniagaan.

"Kita harus ambil peluang yang terbuka termasuk meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa. Sebagai usahawan kita boleh gunakan sumber-sumber yang ada dalam negara untuk meluaskan perdagangan," katanya ketika berucap merasmikan Program 'Go Global' Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Pengeksport Matrade, Zulkepli Mohd. Perai.

Sementara itu, menurut Zulkepli, program 'Go Global' yang membabitkan kira-kira 100 usahawan di negeri ini bertujuan menyalurkan maklumat terkini mengenai kemudahan, bantuan kewangan, program dan aktiviti promosi perdagangan yang dikendalikan oleh Matrade.

"Di samping mendapatkan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan berkaitan eksport, saya juga yakin program ini dapat meningkatkan jaringan perdagangan dalam kalangan komuniti perniagaan di Pahang.

"Program ini boleh digunakan sebagai platform usahawan untuk membincangkan isu dan masalah perdagangan semasa yang dihadapi dan dapat ditangani bersama," jelasnya.

Tambah Zulkepli, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Matrade kini dalam usaha meningkat dan memperkukuhkan lagi prestasi perdagangan antarabangsa dan eksport negara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved