Rabu, 23 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pembudayaan sains dan inovasi

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
pengarang@utusan.com.my

Muhammad Aziph Mustapha Kamil (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang sempena Pertandingan Perkaya Inovasi Politeknik Merlimau Melaka (PMM) di Jasin, Melaka, baru-baru ini.

JASIN 22 Okt. - Politeknik Merlimau Melaka (PMM) terus menggerakkan agenda pembangunan negara menerusi pembudayaan sains dan inovasi dalam kalangan pelajarnya dengan mengadakan Perkaya Inovasi 2013 di Dewan Platinum di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Inovasi Malaysia, Muhammad Aziph Mustapha Kamil berkata, usaha yang dilaksanakan oleh PMM itu sewajarnya dipuji selaras dengan hasrat kerajaan bagi membudaya dan mengamalkan inovasi di segenap lapisan masyarakat.

Katanya, penglibatan dari semua pihak juga perlu dalam mencetuskan inovasi yang dilihat mampu memberikan impak positif ke atas sosioekonomi negara.

"Inovasi merupakan satu usaha yang berterusan dan pelaksanaan program ini bukan sahaja perlu digiatkan, malah mendapat iktiraf dan hasil inovasi ini mampu diketengahkan untuk dikongsi demi kepentingan bersama.

"Kita berharap pelajar-pelajar tidak akan berhenti untuk terus mencipta inovasi, sekali gus menjadikan politeknik sebagai gedung ilmu yang mencambah dan mencetuskan inovasi melalui produk atau perkhidmatan yang dihasilkan.

"Peranan politeknik turut dilihat mampu melahirkan hasil penyelidikan dan inovasi yang boleh menjana ekonomi dan manfaat kepada negara dan masyarakat sejagat, selain memenuhi kehendak pasaran dalam membekalkan pekerja industri yang berdaya kemahiran tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam penutupan dan penyampaian hadiah Perkaya Inovasi 2013 di sini baru-baru ini.

Perkaya Inovasi 2013 merupakan acara pertandingan inovasi yang disertai 46 kumpulan daripada bidang kejuruteraan dan sains sosial melibatkan lima jabatan iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Perdagangan serta Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

Program anjuran Unit Penyelidikan dan Inovasi (UPIK) itu turut mengumpulkan 46 produk inovasi terbaik dari semua jabatan untuk dipertandingkan bagi memilih pemenang Anugerah Khas Inovasi dan Anugerah Khas Juri mengikut kategori teknikal dan sains sosial serta Anugerah Khas Pengarah.

Henti buka kedai dalam rumah

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
pengarang@utusan.com.my

Sebuah kediaman yang dijadikan kedai makan hangus dalam kebakaran di Taman Panchor Jaya, Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 22 Okt. - Tidak ada lagi kompromi atau pujuk rayu terhadap pemilik rumah yang menjadikan kawasan kediaman sebagai tapak berniaga terutama berkaitan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, perbuatan itu terbukti menyusahkan penduduk sekitar dan mengundang bahaya seperti yang berlaku dalam kejadian kebakaran di Taman Panchor Jaya, di sini baru-baru ini.

"Saya mahu semua pihak berkuasa tempatan mengadakan penguatkuasaan dan menggempur secara besar-besaran serta mengarahkan tutup apa yang mereka panggil 'kedai makan' dalam kediaman di taman perumahan ini.

"Arahan akan kita keluarkan segera bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini serta menyusahkan penduduk lain," tegasnya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah menutup rezeki orang atau individu yang hendak berniaga tetapi perlu dijalankan di tempat yang sudah disediakan dengan lesen yang sah.

"Pihak berkuasa tempatan akan mengenal pasti kedai makan mahupun warung dalam kediaman ini dan pastikan tidak lagi beroperasi di situ. Kita percaya banyak yang tidak berlesen dan tidak memenuhi kriteria. Ini akan diarah tutup serta-merta.

"Hal ini melibatkan keselamatan orang awam dan ada kepentingan melibatkan semua penduduk. Banyak yang perlu fikirkan, keselesaan penduduk, keselamatan mereka dan kebersihan," jelasnya.

Tambah Jalaluddin, tindakan itu bukannya untuk menghalang peniaga untuk mencari rezeki sebaliknya mereka boleh berniaga dan menyewa di premis yang sesuai demi keselamatan umum.

Dalam kejadian pukul 1.46 petang semalam, sebuah 'kedai makan' ala Barat di Taman Panchor Jaya, Fasa 6, di sini musnah dalam kebakaran.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Zakaria Ahmad, kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian dapur 'kedai makan' dalam kediaman berkenaan.

"Bomba telah mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran sebelum berjaya memadamnya dalam tempoh 20 minit. Tiada kecederaan mahupun kehilangan jiwa berlaku dalam kejadian ini," katanya.

Program Adik Kreatif meriah, libatkan 1,000 murid SK Lereh

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Sulaman Md. Mohamad (tengah) bersama murid-murid yang menyertai Program Adik Kreatif anjuran Kumpulan Utusan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lereh di Melaka, semalam. - utusan/azli ahad

MELAKA 22 Okt. - Program Adik Kreatif anjuran bersama Kumpulan Utusan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lereh di sini, mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan hampir 1,000 murid sekolah berkenaan.

Guru Besar Cemerlang SK Lereh, Sulaman Md. Mohamad berkata, program membabitkan murid-murid tahun satu hingga tahun enam itu mampu memberi impak besar dalam melahirkan kreativiti murid.

Menurutnya, pelbagai aktiviti seperti peraduan melukis, persembahan pentas dan sebagainya yang diadakan menjadi ruang kepada murid-murid menonjolkan bakat masing-masing.

"Penglibatan menggalakkan daripada hampir 1,000 murid serta guru membuktikan program ini mampu mencungkil bakat dalam bidang berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penutup Program Adik Kreatif di sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Selain pertandingan mewarna dan persembahan pentas, turut diadakan kuiz serta cabutan bertuah serta gerai jualan majalah oleh Kumpulan Utusan.

Bengkel percuma Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) dan sisipan bahasa Inggeris, E-Lab turut diadakan kepada murid-murid yang dikendalikan Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Zulqarnain Othman.

Mengulas mengenai bengkel itu, Sulaman berkata, murid-murid dapat didedahkan dengan konsep pembelajaran terkini menggunakan pendekatan akhbar dalam pembelajaran.

"Selain dijadikan bahan utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), bengkel ini juga dilihat membantu proses ulang kaji murid-murid dengan lebih berkesan dan menyeronokkan.

"Malah, guru-guru turut memuji kesan baik penggunaan akhbar dalam P&P kerana dapat membantu sebagai bahan penting untuk dijadikan latihan serta rujukan kepada murid-murid di dalam kelas," ujarnya.

Melalui program itu juga, katanya, mampu mendekatkan lagi golongan murid dengan akhbar serta majalah keluaran Kumpulan Utusan.

"Ini seterusnya dapat menggalakkan minat membaca serta meneroka pelbagai maklumat melalui pelbagai jenis penerbitan Kumpulan Utusan," tambahnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved