Khamis, 15 Ogos 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Cardiff bakal julang Kedah

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
sukan@utusan.com.my

Mukhriz Mahathir bersalam dengan pemain Kedah pada satu majlis di Alor Setar semalam. KFA menjalinkan kerjasama dengan pendatang baharu EPL, Cardiff City yang diramal mampu menjulang semula bola sepak negeri itu.

ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mencipta sejarah apabila menjalin kerjasama dengan kelab yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris (EPL), Cardiff City bagi membangunkan sukan bola sepak di negeri ini.

Kerjasama itu diharapkan dapat menyuntik semangat pemain skuad Kenari yang akan memulakan kempen Piala Malaysia menentang juara Liga Super, Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 20 Ogos ini.

Kerjasama yang meliputi aspek kemahiran pemain, kejurulatihan dan pengurusan kelab itu memberi lembaran baharu bola sepak Kedah yang kempunan sebarang trofi sejak muncul juara treble lima tahun lalu.

Usahasama itu turut melibatkan cadangan penubuhan akademi bola sepak, berkemungkinan di Sungai Petani bagi membangunkan sukan itu peringkat akar umbi yang mampu memberi manfaat kepada pemain muda sekitar utara.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara KFA dan Kelab Cardiff City itu berlangsung di Hotel Tabung Haji, Alor Setar, malam semalam.

KFA diwakili Setiausaha Kehormatnya, Aminuddin Omar manakala Cardiff City diwakili Pengarahnya, Datuk Lye Ek Seang.

Majlis turut disaksikan Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA, Datuk Mukhriz Mahathir dan pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan.

Pada majlis itu, Vincent yang juga Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Berjaya turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM2 juta kepada KFA.

Mukhriz pada sidang akhbarnya berkata, pengalaman Vincent dalam menguruskan pasukan bola sepak akan digunakan bagi meningkatkan lagi pengurusan KFA.

"Kerjasama ini akan dibuat dalam tempoh terdekat yang bukan sahaja untuk tempoh pendek sebaliknya dalam jangka masa panjang menerusi kerjasama yang menyeluruh berkaitan pengurusan bola sepak secara profesional.

"Cabaran Liga Malaysia semakin sengit dan kerjasama ini diharap dapat meningkatkan kualiti pemain, pengurusan pasukan yang lebih mantap dan kaedah latihan terkini," katanya.

Dalam pada itu Vincent memberitahu, pihaknya dan KFA akan mengadakan perbincangan lebih terperinci dan melihat bentuk kerjasama bagi membangunkan bola sepak di Kedah.

Memang silap saya - Fallanie

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Ahmad Fallanie

KUALA LUMPUR - Walau apa pun tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, pelumba Kuala Lumpur, Ahmad Fallanie Ali bertegas dia hanya mengambil ubat batuk ketika peringkat ketiga Jelajah Malaysia (JM) 2013 bukannya bahan terlarang walaupun ujian doping ke atasnya didapati positif.

Bagaimanapun, pelumba berusia 30 tahun yang pernah beraksi di Le Tour de Langkawi (LTdL) itu tetap berkeras untuk tidak membuka sampel B walaupun mempunyai hak berbuat demikian.

Fallanie, yang berasal dari Terengganu juga mengakui apa yang berlaku adalah disebabkan kesilapannya kerana tidak meminta nasihat Institut Sukan Negara (ISN) atau pengurus dan jurulatih pasukan.

"Saya mengalami demam selama seminggu ketika itu, jadi saya mengambil ubat batuk, selesema dan demam. Saya tidak percaya dan terkejut selepas dimaklumkan oleh, Setiausaha Persatuan Basikal Kuala Lumpur (PBKL) Fidaus Arshad tentang perkara ini (positif doping)," katanya.

Jelasnya, surat rayuan supaya hukuman diringankan selain menjelaskan perkara sebenar telah dihantar kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) 9 Ogos lalu, selepas diberi tempoh untuk menjawab pertuduhan itu sehingga Selasa minggu depan.

"Memang saya bersalah, saya terima keputusan ini, tetapi saya berharap hukuman yang dikenakan terhadap saya dapat diringankan, kerana saya tidak tahu pengambilan ubat batuk, selesema dan demam mampu mengheret saya dengan masalah doping.

"Saya mahu tegaskan bahawa apa yang saya lakukan memang tidak disengajakan. Saya cuma ke farmasi seperti biasa untuk mendapatkan semua ubat tersebut," katanya.

Fallanie yang terkenal sebagai pelumba domestik, tidak menolak kemungkinan bahawa pengambilan secara berterusan mungkin menjadi faktor tercetusnya masalah tersebut.

"Saya tiada niat untuk mengambil benda itu dan reda dengan keputusan yang akan dijatuhkan nanti," kata Fallanie, yang pernah terbabit dalam kemalangan menyebabkan dia patah tulang bahu.

Tambahnya, apa yang berlaku terhadapnya bukan penamat kepada kariernya dan dia akan tetap meneruskan latihan seperti biasa.

Fallanie bakal berdepan dengan hukuman pergantungan selama dua tahun selepas didapati positif.

Ini merupakan kes ketiga isu positif doping melanda sukan berbasikal negara di mana sebelum ini melibatkan Razif Salleh pada 2006 dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (2009).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pemandu lori maut ditembak 2 lelaki bermotosikal

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

BEBERAPA anggota polis membuat pemeriksaan di lokasi pemandu lori mati ditembak di hadapan Public Bank, Kapar, Klang, semalam.

KLANG 15 Ogos - Seorang pemandu lori maut akibat terkena dua das tembakan di pipi dan dada oleh dua lelaki bermotosikal di sebuah restoran di Jalan Besar Kapar di sini awal pagi ini, dipercayai mempunyai kaitan dengan pergaduhan antara kongsi gelap.

Kejadian pukul 2.15 pagi itu berlaku ketika S. Sambhath, 27, berbual bersama tiga rakannya sebelum terlihat kelibat dua lelaki memakai jaket hitam dan menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Kesemua mereka kemudian beredar ke hadapan bangunan Public Bank di situ tetapi dihalang oleh dua buah kereta jenis Toyota Altis dan Proton Wira yang dipercayai rakan kepada dua lelaki terbabit.

Seorang daripada dua lelaki bermotosikal itu kemudian turun lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan rakan-rakannya yang cuba melarikan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Jani Ahmad ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermotifkan dendam dan mangsa tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dengan kereta rakannya disahkan mati ketika dalam perjalanan.

"Kita akan menyiasat secara terperinci termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan milik bank bagi membantu siasatan.

"Polis tidak menjumpai sebarang senjata digunakan suspek di tempat kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suami pukul isteri serah diri

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Lelaki yang dipercayai membelasah isteri dalam sebuah lif menyerah diri di Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 15 Ogos - Seorang penjawat awam yang diburu setelah membelasah isterinya dalam lif di sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Isnin lalu, akhirnya menyerah diri di Balai Polis Kuantan di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, lelaki berusia 36 tahun itu datang sendiri di balai tersebut pada pukul 3.30 petang ini.

"Dia kini ditahan di Balai Polis Kuantan dan akan diserahkan ke Pulau Pinang berikutan kejadian berlaku di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jasmani berkata, polis Kontinjen Pulau Pinang telah dimaklumkan berhubung penahanan itu dan lelaki terbabit akan diambil oleh anggota polis dari negeri tersebut malam ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Kelmarin, satu rakaman video yang memaparkan seorang isteri dibelasah suaminya di hadapan dua anak mereka berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif dikongsi melalui akaun laman sosial Facebook.

Video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak menunjukkan aksi lelaki berkenaan menampar dan menendang isterinya, seorang pekerja kilang berusia 36 tahun sehingga tersungkur.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Belia perlu hormat Jalur Gemilang

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 15 Ogos - Belia zaman kini disaran supaya lebih menghayati sejarah kemerdekaan demi menjiwai dan menyemai perasaan hormat terhadap Jalur Gemilang.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin (gambar) berkata, dalam dunia tanpa sempadan ini, pemahaman terhadap perjuangan tokoh terdahulu mendapatkan kebebasan dan keamanan adalah penting.

Beliau berlata, tiada lagi tolak ansur diberikan terhadap perlakuan menghina Jalur Gemilang seperti yang banyak berlaku di laman-laman sosial tanpa kawalan.

"Untuk kita beri kefahaman kepada mereka ini kena adakan banyak kempen seperti kempen kibar Jalur Gemilang. Bukan setakat mengibar Jalur Gemilang sebagai gimik tetapi kenapa Jalur Gemilang itu dicipta," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shahaniza berkata, mereka perlu memahami kepentingan bendera terhadap sesebuah negara yang merupakan satu panji-panji dan tidak sepatutnya diperlakukan sesuka hati.

"Contohnya dalam peperangan, panji-panji ini akan dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir. Begitu juga dengan Jalur Gemilang yang merupakan lambang kedaulatan negara kita," katanya.

Katanya, kempen kibar Jalur Gemilang yang dilaksanakan sempena Bulan Kemerdekaan bermula esok bukan sekadar aktiviti mengibar bendera secara semberono, tetapi nilainya harus dihayati.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelancaran kempen tersebut di peringkat negeri akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Dataran Jam Bandar Tun Razak Jengka esok.

Ketabahan ibu jaga bayi jantung berlubang

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Norizan Sharudin (kanan) merenung Muhamad Adam Mukhris Miqail yang mampu mengukir senyuman walaupun menderita jantung berlubang di Hospital Lipis, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 15 Ogos - Ibu mana tidak berasa sedih menyambut Hari Raya Aidilfitri apabila anak kesayangan yang masih bayi menangis menahan kesakitan akibat mengalami penyakit jantung berlubang.

Begitulah perasaan yang melanda seorang ibu muda, Norizan Sharudin, 23, di sini yang sedih mengenangkan nasib anaknya, Muhamad Adam Mukhris Miqail berusia empat bulan yang terpaksa menanggung kesakitan itu sejak lahir.

Norizan berkata, ketika anaknya berusia dua minggu, dia dimaklumkan oleh pihak Hospital Lipis bahawa Muhamad Adam mengalami jantung berlubang.

"Sewaktu dilahirkan, berat Muhamad Adam tiga kilogram dan selepas seminggu di rumah, saya membawanya semula ke hospital kerana mengalami demam kuning yang teruk.

"Ketika dirawat, anak saya kelihatan amat lemah dan doktor menyatakan dia kekurangan oksigen. Setelah melakukan imbasan pada tubuhnya, pihak hospital mengesan terdapat masalah pada saluran darah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Lipis di sini kelmarin.

Menurut Norizan, anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas), Temerloh dan setelah pemeriksaan lanjut dilakukan doktor mengesahkan bayinya menghidap jantung berlubang.

"Selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan, rutin kehidupan saya berubah sehinggalah hospital menjadi rumah pertama kami kerana Muhamad Adam perlu dijaga rapi," katanya.

Dia yang menetap di pekan Benta, dekat sini berkata, pada mulanya bayinya bergantung kepada susu ibu, namun kini anaknya terpaksa minum susu menerusi tiub ekoran masalah kesihatan.

"Pada peringkat awal saya tidak sanggup melihat penderitaan Muhamad Adam, tetapi saya terima ujian Allah buat kami sekeluarga dengan penuh sabar.

"Penderitaan ini menguatkan semangat saya untuk memastikannya sihat di samping berdoa kepada Allah dan perangsang daripada ahli keluarga supaya dia terus membesar dengan sempurna seperti kanak-kanak lain," katanya.

8 RAMD sambut ulang tahun ke-51

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid (tiga dari kiri) diiringi oleh Asror Nizam Jaman (dua dari kiri) memeriksa barisan kehormat sempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-panji Rejimen Sempena Ulang Tahun Ke-51 di Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 15 Ogos - Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) Kem Lipis di sini mengadakan Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-panji Rejimen Sempena Ulang Tahun Ke-51 pasukan tersebut di padang kawat kem itu di sini baru-baru ini.

Acara itu disertai 17 pegawai dan 252 anggota pelbagai pangkat diketuai Penolong Pegawai Memerintah 8 RAMD, Mejar Asror Nizam Jaman.

Istiadat itu disempurnakan oleh Pegawai Memerintah 8 RAMD, Leftenan Kolonel Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid.

Abdul Jalal ketika berucap pada istiadat itu berkata, pasukan berkenaan berazam untuk terus menyumbang bakti kepada negara dengan mempertahankan sempadan negara daripada sebarang ancaman musuh atau pencerobohan luar.

"Pasukan ini bersiap siaga sepanjang masa dalam memikul amanah dan integriti secara profesional bagi mempertahankan kedaulatan negara dan mengekalkan keselamatan.

"Dalam memenuhi keperluan pertahanan semasa, kita perlu memastikan latihan yang mantap dan berkesan selain peralatan persenjataan serta lojistik berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi," katanya.

Menurut beliau, pasukan itu bekerjasama dengan agensi keselamatan lain dalam memulihara ketenteraman awam serta memberi bantuan semasa bencana alam di kawasan tanggungjawab mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga pasukan itu memperkukuhkan komitmen dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu serta pemerintah tertinggi angkatan tentera.

Dalam pada itu, seorang veteran tentera, Mohamad Yunus, 71, berkata, istiadat itu menzahirkan semangat kepahlawanan dan jati diri tentera dalam menjaga keselamatan negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Kekejaman Mesir dikecam

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Seorang wanita duduk meratapi kematian anak perempuannya, ketika jenazah-jenazah yang telah dikapankan disusun di sebuah masjid di Kaherah, Mesir, semalam. - AFP

WASHINGTON 15 Ogos - Dunia semalam terus mengecam tindakan kekerasan yang diambil oleh pasukan keselamatan Mesir ke atas penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi yang digulingkan, yang menyebabkan kira-kira 2,200 orang maut serta 10,000 yang lain cedera.

White House dalam kenyataannya mengutuk keganasan itu serta pengisytiharan semula darurat di Mesir dan memberi amaran kepada kerajaan sementara yang disokong oleh tentera bahawa dunia sedang memperhatikan mereka.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menyifatkan keganasan terbaharu itu sebagai satu tamparan besar kepada usaha perdamaian di Mesir.

Perdana Menteri Britain, David Cameron mengutuk kejadian pembunuhan beramai-ramai tersebut dengan menyatakan negaranya tidak menyokong keganasan seumpama itu.

Kami mengutuk sepenuhnya kejadian ini, ia tidak akan membantu menyelesaikan sebarang masalah, katanya.

Menteri Luar Australia, Bob Carr turut mengutuk keganasan tersebut dan meminta semua pihak terbabit dalam kejadian itu untuk bertenang.

Pertumpahan darah yang berlaku di Mesir merupakan satu kejadian tragik, katanya.

Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle dalam pada itu menyuarakan kebimbangan serius berhubung keganasan di negara tersebut.

Beliau secara tidak langsung turut mengkritik kepemimpinan kerajaan sementara kerana melancarkan tindakan kekerasan ke atas pengikut Ikhwanul Muslimin dan pada masa sama menggesa supaya keganasan dihentikan.

Steffen Seibert, jurucakap kepada Canselor Jerman, Angela Merkel pula menggesa supaya hak asasi, kebebasan pegangan politik dan keyakinan rakyat Mesir dihormati.

Di Itali, Menteri Luarnya, Emma Bonino merayu supaya semua pihak di Mesir dengan segera berhenti melakukan keganasan serta mengelak pertumpahan darah.

Beliau turut menyuarakan rasa sedih di atas kehilangan banyak nyawa dalam insiden pembersihan dua kem utama penunjuk perasan pro-Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan al-Nahda itu, semalam.

Parti pembangkang di Jordan, Barisan Tindakan Islam (IAF) turut mengecam tindakan kekerasan tersebut dan menggesa rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan mengutuk perbuatan itu.

Ini adalah konspirasi oleh bekas rejim Mesir yang menyebabkan nyawa mereka yang tidak bersalah turut menjadi korban.

Nasib Mesir dan semua negara Arab serta Islam akan ditentukan oleh tindakan anda (penyokong Mursi) dan jangan biarkan golongan yang merampas kuasa, Zionis dan AS memenangi peperangan ini," kata parti yang merupakan sayap politik Ikhwanul Muslimin Jordan itu dalam satu kenyataan. - AGENSI

Ikhwanul Muslimin berikrar tumbangkan tentera

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Seorang lelaki berjalan melalui serpihan-serpihan kemusnahan di Dataran Rabaa al-Adawiya, sehari selepas pihak berkuasa Mesir menggempur kawasan tersebut, semalam. - AFP

KAHERAH 15 Ogos - Pergerakan Ikhwanul Muslimin Mesir hari ini berikrar akan 'menumbangkan' rampasan kuasa oleh tentera negara ini.

Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, pergerakan itu akan terus mengadakan bantahan secara aman yang merujuk kepada tunjuk perasaan selepas beribu-ribu pengikutnya maut apabila pasukan keselamatan melancarkan operasi pembersihan ke atas dua kem demonstrasi utama semalam.

"Kami tidak akan mengambil tindakan ganas dan kekal mengadakan demonstrasi secara aman. Kami akan kekal kuat dan terus membantah.

"Kami akan terus mara sehingga kami menumbangkan rampasan kuasa tentera ini,'' kata beliau dalam akaun Twitternya.

Pasukan keselamatan melancarkan operasi tersebut di dua kem utama penunjuk perasaan pro-bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi yang menyaksikan beribu-ribu orang maut semalam.

Sementara itu, meskipun perintah berkurung dikuatkuasakan, tunjuk perasaan dan pertempuran dilaporkan berlaku sejak malam tadi hingga hari ini di beberapa tempat di Mesir antara penyokong pro-Mursi dan pasukan keselamatan.

Ikhwanul Muslimin dalam laman webnya mendakwa bahawa tunjuk perasaan diadakan di bandar Iskandariah dan dua lagi di wilayah utara Mesir.

Agensi berita Asia Barat turut melaporkan beribu-ribu penyokong Mursi berkumpul di luar masjid di timur Kaherah.

Perdana Menteri sementara Mesir, Hazem el-Beblawi dalam pada itu sebagai mempertahankan tindakan kekerasan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah 'mempertahankan diri' oleh pasukan keselamatan.

Hazem malah menyatakan, kerajaan akan meneruskan pendekatan ketenteraan menjelang pilihan raya umum yang dijadual pada tahun depan. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Peniaga tak mengaku pukul bekas teman wanita

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

Sion Khong Poh

SEREMBAN 15 Ogos - Setelah perbuatan kejamnya disebar secara meluas di laman sosial di internet, seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan bekas teman wanitanya dengan memukul mangsa menggunakan tukul besi di Taman Jasper Jaya, Sabtu lalu.

Sion Khong Poh, 33, yang menjalankan perniagaan menjual kepak ayam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja mencederakan Lin Pui Leen, 29, menggunakan alat tersebut sebagai senjata di rumah beralamat No. 35, Jalan 3, Taman Jasper Jaya dekat sini kira-kra pukul 8.30 pagi, 10 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam bela dibebaskan dengan jaminan RM3,200 berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 4 Oktober ini.

Sebelum ini, kejadian mengejutkan dan kejam yang menimpa Pui Leen itu sempat dirakamkan oleh anak perempuannya yang berusia 13 tahun dengan menggunakan telefon bimbit.

Ekoran kejadian itu, mangsa menerima 30 jahitan di kepalanya.

Pui Leen turut dilaporkan berkata, dia telah banyak kali membantu bekas teman lelakinya itu untuk menguruskan perniagaannya di sebuah medan selera di sini termasuk memberi wang RM4,000 sebulan kepadanya.

Kejadian berkenaan menggemparkan negara apabila rakaman video perbuatan itu tersebar luas dalam Facebook melalui halaman Malaysian Crime Awareness Campaign (Kempen Kesedaran Jenayah Malaysia) serta telah dikongsi lebih 160 kali sejak dimuat turun pada Isnin lalu.

Ketika ini, sudah lebih 6,800 kali video berkenaan ditonton menerusi Youtube.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis membuat keputusan mendakwa suspek hari ini selepas mendapati kejadian itu menarik perhatian awam selepas lelaki terbabit ditahan pada hari yang sama kejadian itu berlaku.

Parlimen Bagan Datoh, Tapah kekal milik BN

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

IPOH 15 Ogos - Dua Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak tiga petisyen yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mencabar keputusan kerusi Parlimen Bagan Datoh dan Tapah yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas mendapati petisyen-petisyen tersebut yang difailkan calon kedua-dua kawasan itu serta seorang pengundi di Bagan Datoh tidak mematuhi Kaedah 9 yang termaktub dalam Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Berdasarkan peraturan tersebut, hanya pempetisyen dibenarkan memfailkan petisyen pilihan raya dan bukan melalui firma guaman mahupun peguam yang dilantik.

Calon PKR di kerusi Parlimen Bagan Datoh, Madhi Hasan dan seorang pengundinya, Azmi Sulaiman memfailkan petisyen pada 11 Jun lalu manakala petisyen di Tapah pula difailkan calonnya yang juga pengundi kawasan itu, K. Vasantha Kumar pada 12 Jun lalu.

Pada PRU-13 lalu, Parlimen Bagan Datoh dimenangi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi manakala Parlimen Tapah dimenangi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.

Serentak dengan itu, Hakim Umi Kalthum mengarahkan Madhi dan Azmi membayar kos masing-masing sebanyak RM25,000 kepada Ahmad Zahid yang dinamakan sebagai responden.

Hakim Abdul Rahman pula memerintahkan Vasantha Kumar membayar kos berjumlah RM150,000 iaitu masing-masing sebanyak RM50,000 kepada Saravanan; Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Tapah, Razali Bakar; dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden pertama hingga ketiga.

Bagi ketiga-tiga petisyen itu, PKR diwakili peguam Edmund Bon dan Chong Kok Yew manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaludin.

Saravanan pula diwakili peguam Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek dan Badrul Hishah Abdul Wahap. Peguam Kanan Persekutuan, Donald Joseph Franklin pula mewakili responden kedua dan ketiga.

Responden-responden memfailkan bantahan awal pada 5 Julai lalu agar petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon dan pengundi daripada PKR di kedua-dua kawasan DUN tersebut dibatalkan dengan kos.

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, Madhi kalah kepada Ahmad Zahid dengan majoriti 2,108 undi manakala Saravanan menang dengan majoriti 7,927 undi dalam persaingan empat penjuru menentang Vasantha Kumar (PKR), Shahruzzaman Bistaman (Berjasa) dan Ridzuan Bani (Bebas).

Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya di negeri ini turut menolak enam petisyen yang difailkan Pas iaitu melibatkan DUN Manjoi, Pasir Panjang, Manong, Lubuk Merbau dan Selama.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kaherah bermandikan darah

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

Ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong Mohamed Mursi berkeliaran menyelamatkan diri daripada peluru getah dan gas pemedih mata yang ditembak oleh polis rusuhan ketika pertempuran di jambatan menuju ke Dataran Rabba el Adwia, Kaherah 14 Ogos lalu. - REUTERS

Kaherah sudah diisytiharkan darurat sedangkan masih ramai penuntut Malaysia yang tidak pulang berhari raya atas sebab-sebab tertentu kini diselubungi rasa cemas. Sampai bilakah pelajar kita mampu bertahan dengan bekalan makanan yang ada dan perlu berwaspada kerana penunjuk perasaan yang marahkan tentera merampas kuasa, tetap tidak mahu berganjak.

Setelah gagal mengehadkan penyokong-penyokong bekas presiden yang digulingkan menerusi campur tangan tentera, Mesir terus menerus menerima tekanan daripada kumpulan penyokong Dr. Mohammed Mursi yang hanya sempat memerintah selama setahun lima hari sejak memenangi pilihan raya demokratik pertama selepas berundurnya bekas presiden selama tiga dekad, Hosni Mubarak pada awal tahun 2011.

Menurut laporan media, lebih dua ribu orang terbunuh dalam usaha pihak polis dan tentera menghapuskan penyokong-penyokong Mursi di beberapa buah bandar sekitar Kaherah setelah mereka mula mendesak kerajaan sementara mengembalikan kuasa selepas dirampas pada 3 Julai lalu.

Para penyokong Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sayap politik Ikhawanul Muslimin berikrar akan terus mempertahankan kemenangan yang mereka peroleh dalam pilihan raya presiden yang diadakan pertengahan Jun 2012 - hingga ke titisan darah terakhir dan sanggup berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan termasuk penghapusan beramai-ramai.

Dalam kejadian yang berlaku selepas waktu subuh ketika suasana Aidilfitri 1434 masih hangat disambut oleh umat Islam yang memasuki hari kelima (13 Ogos 2013), pihak tentera dan polis telah menggunakan pelbagai kaedah termasuk keganasan (melakukan tembakan peluru) dan jengkaut untuk merobohkan khemah-khemah yang dihuni oleh penyokong Mursi.

Penyokong presiden yang digulingkan itu menuntut pengembalian kuasa awam sejak rampasan kuasa di Dataran Rabiah al-Adawiyah dan an-Nahda di Kaherah kini menyebabkan krisis di Mesir memasuki fasa baharu, iaitu menghampiri perang saudara dan hampir menyamai dengan apa yang sedang berlaku di Syria.

Jika di Syria kumpulan penentang Bashar al-Assad telah dibunuh menggunakan pelbagai jenis senjata berat termasuk kimia, kemungkinan yang sama akan berlaku di Mesir. Ini kerana penyokong Ikhwanul Muslimin semakin kental semangat juangnya dan pengalaman sedemikian sebenarnya sudah lama mereka alami, iaitu sejak pertubuhan yang diasaskan oleh Hasan al-Banna dilihat sebagai ancaman besar terhadap kepimpinan sekular yang dibayangi oleh kepentingan Barat.

Apabila pihak tentera merampas kuasa setelah beberapa rusuhan yang berlaku sejak bulan Jun lalu oleh kumpulan anak muda yang dikenali sebagai Tamarod gagal ditangani oleh Dr. Mursi, Mesir terus menerima kecaman pemimpin antarabangsa kerana cuba menamatkan semangat revolusi rakyat" yang lahir daripada kegelisahan awam terhadap pemerintah yang mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam kebangkitan semula penyokong Mursi yang berlaku selepas rampasan kuasa tentera, pihak tentera tidak bertindak dengan cara yang sama, sebaliknya menggunakan kekerasan bagi mengekang bantahan penyokong Ikhwanul Muslimin. Berdasarkan situasi itu, ramai pemerhati memberikan reaksi - sepatutnya pihak tentera dan polis tidak melakukan kekerasan, kerana masih banyak cara untuk menyelesaikan bantahan.

Akibat penggunaan kekerasan itu, Dr. Mohamad el-Baradei yang dilantik sebagai Naib Presiden dalam kabinet sementara yang dipengaruhi oleh tentera telah meletakkan jawatan dan mengecam keputusan Jeneral al-Tutsi sebagai orang yang bertanggungjawab membunuh semangat revolusi" menerusi kekerasan.

Keadaan ini, walaupun membawa kepada pengisytiharan darurat dijangka bakal menyukarkan lagi rundingan dengan penyokong Ikhwanul Muslimin meskipun beberapa hari sebelumnya, seorang tokoh al-Azhar bercadang untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik.

Pihak tentera juga dikatakan turut terkorban setelah penyokong-penyokong bangkit membantah kekejaman penggunaan jentera berat ketika meruntuhkan khemah-khemah manakala tiga orang wartawan yang hadir membuat liputan menjadikan angka kematian bertambah ramai. Jangkaan pihak Ikhwanul Muslimin, ia sudah mencapai lebih 2,500 orang sejak Mursi digulingkan manakala puluhan ribu orang lagi cedera terkena tembakan, gas pemedih mati dan dipukul oleh angkatan bersenjata.

Kemungkinan itu memperlihatkan Mesir sedang menuju konflik yang lebih besar dan lama, kerana tekad penyokong Ikhwanul Muslimin tetap mahukan Mursi diberikan semula tampok pemerintahan, kerana ia adalah pilihan rakyat dan mendapat sokongan 51.7 peratus pengundi.

Seharusnya pihak tentera tidak begitu cepat melakukan rampasan kuasa, dan memberikan kerjasama penuh kepada Mursi untuk menentukan masa hadapan Mesir kerana di awal kemenangannya, sudah ada percubaan untuk menafikan pilihan rakyat. Mursi berhadapan dengan kelengahan kerajaan sementara" yang dibentuk oleh tentera manakala ekonomi Mesir sedang berada dalam keadaan parah akibat kelumpuhan setelah kemasukan pelancong belum pulih akibat revolusi, dan sumber kewangan yang ditinggalkan oleh Hosni hampir negatif.

Percubaan kelompok sekular yang masih membayangi Hosni Mubarak inilah sepatutnya ditentang oleh pihak tentera memandangkan Jeneral al-Tutsi yang dilantik oleh Mursi menganggotai kabinet perlu bertindak sebagai pengimbang yang setia kepada prinsip demokrasi. Jeneral al-Tutsi tidak wajar memberikan sokongan kepada kelompok yang ingin menjatuhkan Mursi, kerana kelompok tersebut sebenarnya terlalu rapat hubungannya dengan kehendak Barat, termasuk mereka yang pernah membolot kekayaan ketika Hosni berkuasa.

Puak yang menaja kebangkitan revolusi kedua yang dilancarkan oleh golongan muda itu sebenarnya mempunyai hubungan langsung dengan Israel, kerana mereka sedang dibayangi oleh cerita-cerita buruk mengenai Mursi sejak beliau berusaha mengeluarkan Dikri Presiden pada bulan November 2012, bagi menjamin keputusan Presiden tidak dipertikaikan, dan menentukan Perlembagaan Mesir yang sedang dirangka tidak dicabuli dengan mudah.

Nasib malang yang menimpa Mursi telah melemahkan posisi politik yang menjadikan Islam sebagai ideologi, dan ini telah diakui oleh penganalisis politik Barat, dengan tersungkurnya Mursi, maka politik Islam telah kehilangan ideologi. Kehendak politik sekular walaupun penuh kekurangan, kecaman dan lumpuh tahap keinsanannya akan tetap mendominasi sistem pemerintahan sepanjang sejarah moden, dan itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh protocol yang telah digubal oleh tokoh Yahudi, Theodor Herzyl sejak berjaya mencipta ilusi kekejaman Hitler dalam tragedi Holocaust dan pembersihan etnik pada era pemerintahan Nazi di Jerman.

Bagaimanapun, dalam kekalutan rakyat Mesir meneruskan hidup, sebagai seorang bapa yang mempunyai dua orang anak yang masih berada di Kaherah, Muhammad Qassim dan Abdullah kerana menyambung pelajaran setelah tergendala akibat kemelut politik di Syria, penulis amat mengharapkan ketegangan yang berlaku segera dapat dipulihkan.

Harapan itu bukan merupakan harapan saya seorang, kerana lebih 500 orang pelajar Malaysia masih berada di Kaherah manakala lebih 10,000 orang lagi bakal kembali ke Mesir pada bulan September ini bagi meneruskan pengajian masing-masing setelah pulang di tanah air selepas bercuti selama tiga bulan.

Tentunya, jika memikirkan keselamatan, tidak ada ibu bapa yang tidak resah dan gelisah, kerana anak-anak itulah harapan yang disandarkan untuk masa depan, dan menerusi pendidikanlah bakal mengubah segala-galanya.

Semoga keadaan pelajar Malaysia selamat, begitulah juga dua orang anak penulis. Semoga Allah SWT jauhkan Mesir daripada kancah perang saudara dan segera reda.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan

Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Singapura maju kerana Malaysia

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

PROF MADYA DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH ialah penganalisis sosio politik

SAYA begitu teruja untuk mengulas pendapat Lee Kuan Yew ketika melancarkan buku terbaharunya bertajuk, One Man's View of the World pada 6 Ogos 2013.

Sebelum itu, nasihat saya bekas Perdana Menteri ini, beritahu anak, jagalah orang Melayu Singapura baik-baik ketika usia emas ini. Pastikan mereka boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Cina di sana. Tidak perlulah banyak komen sangat tentang keadaan politik di Malaysia sehingga menuduh kerajaan Malaysia sanggup korban talent (bakat) semata-mata untuk menaikkan orang Melayu. Ketuanan Melayulah yang menyebabkan Malaysia mundur, kehilangan bakat dan sebagainya.

Asyik-asyik salahkan Melayu. Saya pun ada hak untuk menyalahkan ultra kiasu Cina Singapura, yang menyebabkan Melayu di sana dan Malaysia dikhianati. Tanpa Malaysia, Singapura tidak ke mana-mana jua. Justeru, berterima kasihlah kepada Malaysia.

Sejak dahulu, Kuan Yew tidak pernah berubah, sering menjadi isu hak istimewa orang Melayu atau ketuanan Melayu untuk menghentam Malaysia. Pada beliau, inilah yang menjadi Malaysia tidak maju seperti Singapura. Alah, sekadar menguruskan negara sekangkang kera, sesiapa pun boleh buat. Justeru, janganlah terlalu bongkak. Apa yang berlaku di Singapura, mempunyai kaitan yang rapat dengan kita di Malaysia.

Apa yang menjadi masalah dengan hak istimewa Melayu atau ketuanan Melayu? Adakah dengan hak dan ketuanan ini, bukan Melayu merempat dan menjadi hamba? Tidak juga. Malah, siapa yang lebih hebat hari ini? Melayu yang bergelar 'tuan'? Atau Cina yang bergelar 'hamba'.

Sedarlah isu ini tidak ada apa-apa, melainkan soal kedengkian dan soal hati untuk memadamkan sejarah negara. Sebab, setiap negara ada asal-usulnya. Setiap bangsa ada tanahnya. Jika tidak, tidak adalah nama-nama seperti Tanah Melayu, Tanah China, Tanah India dan tanah-tanah yang lain mengikut bangsa.

Lagi soalan saya kepada Kuan Yew, jika benar-benar mahu mengangkat Melayu, sudah tentu institusi Islam seperti madrasah (sekolah agama) dan masjid diberikan perhatian. Ini tidak, jika umat Islam Singapura tidak mengambil inisiatif sendiri, sudah lama kedua-dua institusi ini terkubur.

Itupun kedudukan institusi Islam semakin menghimpit. Pihak berkuasa Singapura memaksa institusi ini mengikut kehendak mereka. Jika tidak, ia akan ditutup. Tanah akan dirampas. Berapa banyak tanah Melayu telah dirampas (beli) dan dijadikan tanah Cina Singapura?

Akhirnya, untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, mahu tidak mahu, institusi Islam terpaksa mengikut pihak berkuasa Singapura. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tidak dapat berbuat apa-apa. Orang agama yang bekerja di situ sudah mati kemelayuan dan keislaman. Cari makanlah katakan. Jika tidak percaya pergilah buat kajian di Madrasah Wak Tanjung. Dengar rintihan mereka.

Bakat-bakat Melayu yang menjadi pak turut disimpan dalam kerajaan. Manakala talent Melayu yang cuba membela Melayu dan Islam Singapura, dibuang jauh-jauh. Ke manakah talent seperti Dr. Lily Zubaidah? Kenapa beliau tidak diberikan tempat?

Kenapa banyak sangat orang Islam yang bukan berwajah Melayu (India Muslim) yang mendapat tempat di Singapura? Hanya Kuan Yew dan anaknya sahaja yang boleh menjawab. Janganlah terlalu menonjolkan diri sendiri hebat. Tanpa Malaysia, Singapura tidak akan ke mana-mana.

Itupun nasib baik saya bukan menjadi PM dalam menyelesaikan isu perebutan Pulau Batu Putih. Jika tidak, pasti saya tidak akan membawa perkara ini ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ). Penyelesaian pertikaian pulau ini adalah perang. Malangnya, kita sudah terlepas. Dunia telah menyaksikan hilangnya sebuah pulau milik Melayu terlepas kepada ultra kiasu. Di manakah maruah Melayu? Hari ini Melayu dihina lagi, kita terus diam.

Tersangat jauh bezanya antara layanan kerajaan Malaysia terhadap SJKC dengan kerajaan Singapura terhadap madrasah dan masjid. Jika umat Islam di sana tidak mengambil inisiatif sudah lama institusi ini ditutup. Lihat di Malaysia, SJKC bukan sahaja diberikan keutamaan setanding dengan Sekolah Kebangsaan (Agama).

Hatta, kita pula terpaksa tunduk kepada SJKC. Niat kerajaan untuk menambah masa Bahasa Melayu bagi memandaikan anak Cina terus ditentang. Termasuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP). Dong Jiao Zong sedang aktif untuk mendapatkan tandatangan orang Cina seluruh negara bagi menentang PIPP.

Di Singapura, sesiapa yang tidak mengikut arus kebangsaan, bukan sahaja tidak relevan, malah akan dihumban ke penjara. Kita pula asyik melayan kerana mahukan undi dan mengekalkan kuasa kononnya. Apa hasil yang kita dapat? Dapatkah undi dan kuasa itu?

Jika Kuan Yew sangat menginginkan talent dari Malaysia, ambillah orang seperti Namewee, Alvivi dan sebagainya. Malaysia tidak perlukan orang yang kononnya mempunyai talent tersebut.

Kita mahukan talent yang membina bukan talent yang menghancurkan negara. Talent yang mempunyai semangat partriotisme yang tinggi. Bukan talent yang merosakkan negara dan membocorkan rahsia negara. Saya amat bimbang dengan trend pegawai kerajaan yang bekerja di bahagian keselamatan, kerana ramai juga orang seperti Si Kitol dan Mandaliar. Mereka ini ultra kiasu.

Si Kitol dan Mandaliar inilah yang telah melakukan khianat dan membentuk negara Singapura. Mereka tipu pemimpin kita dengan membuat perjanjian air yang tidak langsung munasabah. Atas sangka baik, kita bersetuju. Sehingga kini, air yang dijual kepada Singapura adalah wang Malaysia 0.03 sen setiap 1,000 gelens (4,500 Liter) sehingga tahun 2061. Perjanjian yang amat tidak masuk akal. Bayangkan ketika pemisahan tahun 1965, kita putuskan air, apakah Singapura wujud hari ini?

Berbanding kerajaan China menjual air kepada air kepada negara bangsanya sendiri Hong Kong, suatu ketika dahulu pada harga AS$5.8 setiap 1000 gelen. Saya ringkaskan, Melayu jual kepada Cina air pada kadar 0.03 sen setiap 1000 gelen. Manakala China menjual air kepada Cina pada kadar AS$5.8 setiap 1000 gelen. Siapa sebenar yang baik? Siapa sebenar yang tertipu? Apakah bangunan mereka boleh berdiri megah dengan menggunakan air masin? Sudahlah Kuan Yew, bertaubatlah kamu di akhir usia ini.

Kenapa Malaysia (Melayu) begitu bermurah hati? Inilah soal hati Melayu. Hati mulia Melayu yang saya amat kenali setelah lama berdamping dengan mereka. Hatinya terlalu baik sehingga orang lain mengambil kesempatan. Yang paling saya bimbang, kebaikan hatinya nanti akan menyebabkan negara ini tergadai.

Baru-baru ini, di bulan Ramadan, saya terserempak dengan bekas pegawai tinggi kerajaan sedang berjumpa dengan sekumpulan peniaga Cina pada jam 1.00 pagi di sebuah restoran di ibu kota. Dalam hati sudah dapat mengagak, apa lagi agendanya kalau bukan mahu menjadi 'pak pacak'. Maka akan dilantik menjadi pengerusi syarikat itu dan ini, dengan elaun puluhan ribu ringgit sebulan, bagi tujuan mendapatkan tender atau kontrak kerajaan.

Inilah dilema orang Melayu. Apabila sudah pencen, kerja tiada. Maka mereka akan mencari jalan pintas. Mereka tidak fikir bagaimana membangunkan Melayu. Mereka hanya fikirkan perut. Ultra kiasu akan menggunakan segala ruang dan peluang untuk memanipulasikan keadaan.

Kita hanya boleh berbangga menjadi pengerusi syarikat ini dan itu di bawah telunjuk syarikat Cina. Bila dapat projek kerajaan bernilai jutaan itu, siapa kaya? Melayu menjadi sekaya mana? Apakah kita akan dihargai selepas itu? Inilah pemikiran Kuan Yew.

Lihatlah perjanjian air antara Malaysia-Singapura, langsung tidak boleh diubah. Jika Malaysia bercadang untuk menaikkannya mungkin keadaan lebih buruk akan terjadi. Apakah Singapura atau Kuan Yew pernah berterima kasih kepada kita?

Apa sebenarnya yang Kuan Yew mahu? Beliau tidak pernah berhenti bersuara supaya Malaysia menghapuskan hak istimewa orang Melayu dalam keadaan usia emas beliau? Jawapannya, apabila hak ini dihapuskan dalam Perlembagaan, ketika itulah tidak mustahil, Singapura akan menawarkan diri untuk masuk semula ke dalam Persekutuan Malaysia.

Nasihat saya, Malaysia tidak bodoh lagi. Bakat-bakat di Malaysia sudah tidak boleh lagi dipermainkan dan diperbodohkan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kongsi kemeriahan Syawal

Posted: 14 Aug 2013 10:04 PM PDT

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

Amalan bergotong-royong yang diadakan sekali gus mengekalkan tradisi turun temurun dan menyuntik roh sambutan Hari Raya Aidilfitri agar dirasakan dengan lebih bermakna.

BERPELUANG mengikuti sambutan Aidilfitri di Kampung Jeneri, Sik, Kedah melakar sebuah memori yang sukar untuk dilupakan.

Bergenang air mata menzahirkan kesayuan melihat pelbagai ragam dan rupa fizikal kira-kira 100 orang kurang upaya (OKU) yang turut serta bagi menyambut hari kemenangan umat Islam tersebut.

Dalam keadaan serba kekurangan, diusahakan sedaya upaya oleh golongan istimewa itu untuk turut hadir memeriahkan sambutan yang diadakan dengan tanpa mengira tenaga bergotong-royong menyiapkan persiapan raya sejak dari awal pagi.

Namun, apa yang membanggakan, bagaikan tiada sebarang jurang ditunjukkan oleh penduduk setempat, malah sedia bersama menghulurkan bantuan bagi meraikan sambutan Aidilfitri golongan OKU itu.

Begitulah kemeriahan sambutan Syawal yang kian menjadi tradisi bagi golongan OKU di perkampungan Daerah Sik, Kedah tersebut.

Segala keperitan hidup yang dialami dilupakan sementara waktu walaupun pada hakikatnya tiada penghujung pada hari sambutan kebesaran seluruh umat Islam itu.

Sebaliknya mereka turut mengambil peluang meneruskan pelbagai amalan tradisi saling berkunjung dan 2bergotong-royong seperti asyarakat normal lain.

Yang jelas terpancar keceriaan di wajah mereka sepanjang sambutan raya tersebut berlangsung. Ia dianggap sangat bermakna dan merupakan kemuncak kepada kesatuan antara penduduk dengan golongan OKU.

Bagi seorang OKU, Sidek Ahmad, 50, kehadiran Aidilfitri lazimnya hanya akan berlalu dan pergi begitu sahaja saban tahun tanpa dirasai sebarang kenikmatan jika tiada aktiviti setempat dianjurkan.

Malah, Sidek yang mengidap sakit kulit sejak lahir itu mengakui, lebih gemar menghabiskan hari raya di rumah selepas selesai solat sunat Aidilfitri dan berkunjung ke rumah adik-beradik berhampiran kawasan rumahnya.

"Tiada beza sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti hari-hari lain kerana ia telah menjadi rutin tahunan. Bagi saya, bezanya adalah pada hari itu umat Islam disunatkan ke masjid pada awal pagi untuk menunaikan solat sunat raya serta tidak perlu lagi menahan lapar.

"Oleh itu, saya lebih gemar duduk di rumah dan jika ada hanya menziarahi jiran dan adik-beradik berdekatan rumah sahaja menyambut hari raya sebelum-sebelum ini.

"Tetapi dengan adanya majlis sambutan Aidilfitri buat OKU yang diadakan secara bergotong-royong ini, saya rasa gembira dapat bertemu rakan daripada golongan senasib untuk sama-sama meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Di samping itu, anak kedua daripada empat adik-beradik itu berkata, dengan adanya sambutan raya secara bergotong-royong bersama penduduk kampung itu juga secara tidak langsung dapat menghilangkan rasa tersisih yang sering membelenggu kebanyakan golongan OKU.

"Dengan bantuan penduduk kampung ini yang tidak pernah jemu menghulurkan bantuan kepada kami golongan OKU, saya rasa gembira. Ini juga menunjukkan bawa masyarakat prihatin terhadap golongan istimewa seperti kami," katanya.

Majlis sambutan Aidilfitri OKU selama sehari anjuran Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (AIM) dan Takaful Ikhlas itu dijayakan dengan kerjasama Persatuan OKU Daerah Sik (Pokus).

Ia merupakan usaha dalam membantu golongan kurang berkemampuan dengan memfokuskan kepada golongan OKU dalam menikmati kemeriahan Syawal seperti masyarakat normal yang lain.

Pada majlis itu, Takaful Ikhlas turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri berupa keperluan harian dan wang tunai kepada OKU yang berdaftar di daerah tersebut.

Sementara itu, bagi Muhammad Khusairi Kudin, 30, Aidilfitri disambut ala kadar berikutan pendapatannya yang tidak menentu untuk berbelanja lebih pada setiap tahun.

Beliau yang mengalami kecacatan pada anggota tangan dan muka berkata, pernah mengharapkan bantuan daripada pihak kebajikan untuk menampung perbelanjaan raya.

"Pastinya semua orang akan merasa seronok untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, apatah lagi disambut dengan sanak saudara dan juga berpkaian serba baharu. Tetapi dengan nasib sebegini, saya hanya menyambut apa yang termampu.

"Dengan pendapatan saya yang tidak menentu sebagai pembantu penjual air, raya bagi saya tidaklah semeriah seperti orang lain.

"Mujur ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, boleh juga digunakan untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan raya saya. Jika tidak, raya tiada makna bagi saya," luah anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu.

Bagaimanapun, sambutan raya OKU yang diadakan di kampung tersebut memberi peluang kepada Khusairi yang merupakan satu-satunya dalam ahli keluarganya untu merasakan kegembiraan seperti masyarakat normal lain.

"Saya reda dengan keadaan yang menimpa saya ini, malah bersyukur kerana turut diraikan dalam sambutan raya OKU yang diadakan secara beramai-ramai ini," ujarnya.

Jadikan acara tradisi

Mengulas lanjut, Pengerusi Pokus, Md Amin Salleh, 53, berkata, memperkukuh penyatuan dalam kalangan OKU, pihaknya merancang untuk menjadikan sambutan raya OKU tersebut tradisi di kampung tersebut.

Beliau berkata, sambutan raya yang telah diadakan sejak beberapa tahun lalu itu turut memberi ruang bagi OKU untuk menikmati kemeriahan Syawal seperti masyarakat normal yang lain.

"Terdapat lebih 1,000 OKU yang berdaftar dengan Pokus di daerah Sik ini. Manakala di dalam Kampung Jeneri ini sahaja terdapat hampir 100 OKU yang mana kita melihat mempunyai pelbagai kekangan masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Justeru, Pokus mengambil pendekatan menganjurkan majlis sambutan hari raya OKU ini dengan mengumpulkan semua OKU berdaftar di daerah Sik untuk meraikan sambutan raya secara beramai-ramai.

"Pada masa sama, majlis ini juga dapat menjadi ruang kepada masyarakat OKU berhimpun dan membolehkan ahli Pokus mengetahui masalah yang dihadapi oleh ahli. Dan kita akan menjadikan sambutan ini sebagai tradisi di kampung ini," kata Md Amin.

Beliau yang mengalami kecacatan kekal pada anggota kaki dan tangan akibat kemalangan berkata, bersesuaian dengan penubuhan Pokus yang berperanan menjaga kebajikan ahli, pihaknya komited memikirkan cara bagi membantu golongan senasib mengikut kemampuan

"Selain memberikan bantuan segera berbentuk barangan seperti kerusi roda dan sumbangan wang tunai, Pokus juga bertindak sebagai penghubung golongan OKU dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyuarakan permintaan mereka.

"Malah, Pokus juga merancang ingin membina pusat jahitan dan bengkel membaik pulih bagi menjana ekonomi golongan OKU yang tidak mempunyai pendapatan tetap menyara hidup mereka," katanya.

Syawal sendirian

Posted: 14 Aug 2013 10:04 PM PDT

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar Mohd. Azim Abd Rahman

Rakan-rakan dianggap seperti keluarga bagi penghuni Rumah Warisan Kaseh Darul Maghfiroh, Banting, Selangor.

APALAH erti kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri jika disambut tanpa riang ketawa dan kunjungan mesra daripada sanak saudara.

Namun, siapa meminta dan mampu mengubah takdir jika telah ditentukan oleh yang masa kuasa untuk hidup dengan keadaan sedemikian rupa atau sebatang kara.

Lebih menyedihkan, apabila terpaksa melalui dugaan tersebut pada usia tua yang pastinya sudah tidak lagi berdaya untuk bekerja apatah lagi mencari kebahagiaan hari raya sendiri seperti golongan muda.

Begitulah dilema sama turut dilalui oleh golongan warga emas yang ditempatkan di pusat penjagaan orang tua-tua.

Jauh di sudut hati mereka menginginkan kebahagiaan sambutan hari raya seperti insan bernasib baik yang lain, namun setiap hari-hari mendatang terutama di musim perayaan terpaksa dilalui dengan tabah dan memujuk hati untuk menyembunyikan kesedihan tersebut.

Pusat jagaan itulah dianggap rumah mereka dan rakan-rakan penghuni pula diibarat seperti ahli keluarga buat mereka untuk berkongsi perasaan dan juga kasih sayang.

Bagi seorang penghuni Rumah Warisan Kaseh Darul Maghfiroh, Shikh Kharidun Shikh Shaharuddin, 66, tidak menafikan perasaan sebak kerana tidak berpeluang menikmati sambutan Aidilfitri seperti insan lain, tetapi beliau tetap bersyukur masih mendapat penjagaan yang sempurna di rumah tersebut.

Beliau yang tidak berkahwin dan hidup sendirian tanpa anak dan isteri bagaimanapun reda dengan ketetapan ilahi dan berusaha mengetepikan perasaan sedih kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

"Sebelum ini saya tinggal bersama anak buah yang berada di Kajang, Selangor. Saya juga mempunyai adik-beradik, tetapi saya tidak mahu menyusahkan mereka. Bisik hati kecil sering memikirkan sampai bila ingin mengharap dan menyusahkan mereka, lalu saya mengambil keputusan lebih baik tinggal di sini.

"Oleh kerana tiada tempat tinggal sendiri, biarlah tinggal di sini membuatkan saya merasa lebih gembira dapat berkongsi perasaan suka duka bersama rakan penghuni dengan melakukan pelbagai aktiviti di rumah ini.

"Menjelang musim perayaan pula, jika tiada siapa yang menjemput, saya akan tinggal di sini sahaja, dan tiada sebarang masalah buat saya," katanya ketika ditemui di Rumah Warisan Kaseh Darul Maghfiroh, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Beliau yang merupakan bekas pengawal keselamatan itu berkata, ada hikmah ditempatkan di rumah tersebut kerana dalam masa sama dapat mempelajari ilmu agama yang disediakan oleh pihak rumah kebajikan di samping meluangkan masa melakukan aktiviti seperti bercucuk tanam di sekeliling rumah Warisan Kaseh.

Sementara itu, bagi Mohd. Yunus Che Mat, 74, berkata, dia yang mengalami penyakit tua termasuk penyakit kencing tidak lawas mengakui hidup semakin tidak terurus sejak kematian isterinya.

Oleh itu, bapa kepada empat orang anak itu mengambil keputusan untuk tinggal di rumah warga emas untuk hidup lebih terjaga selain mengisi masa tua dengan ilmu agama.

"Saya memilih untuk tinggal di sini kerana bosan hidup sendirian di rumah. Tambahan pula selepas kematian isteri, saya tinggal dengan menumpang di rumah salah seorang anak perempuan saya yang kini berada di Sentul.

"Sewaktu anak tiada di rumah atau bekerja, saya hanya keseorangan di rumah membuatkan saya tidak tahu membuat apa-apa. Namun saya harap dengan masuk ke rumah kebajikan ini membolehkan saya menghabiskan sisa hidup dengan mempelajari ilmu agama," katanya yang berasal dari Alor Star, Kedah.

Yunus yang merupakan bekas anggota tentera itu berkata, seperti kebiasaan anak-anaknya akan membawa pulang daripada rumah tersebut pada musim perayaan untuk disambut bersama.

Namun, beliau mengakui lebih gembira tinggal di rumah warga tua tersebut dan ingin tinggal sehingga dibenarkan menetap di rumah kebajikan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Risiko berlaku kemalangan

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Pemilik kenderaaan membuat pusingan U secara haram dan tidak menghiraukan kon batu yang diletakkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) berhampiran susur masuk Kundang, Rawang, Selangor.

RAWANG 15 Ogos- Tindakan pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (Latar) membuat pusingan U dan menjadikan laluan sehala kepada dua hala dari arah Kuala Lumpur dan Selayang ke susur masuk Kundang ternyata mengundang bahaya kepada mereka.

Ini berikutan laluan di situ didapati sempit dan sukar untuk melihat kenderaan yang datang dari arah hadapan.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, biarpun penghadang batu diletakkan di laluan tersebut pengguna jalan raya tetap berdegil dan terus menggunakan laluan tersebut.

Mereka seolah-olah tidak menghiraukan kenderaan yang datang dari arah bertentangan dan walaupun jelas terpampang papan tanda Dilarang Masuk di hadapan. Tanpa rasa bersalah mereka dilihat tetap membuat pusingan` U haram.

Penulis turut dimaklumkan kawasan tersebut sering berlaku kemalangan terutama membabitkan penunggang motosikal.

Difahamkan, tindakan pengguna membuat pusingan U di kawasan tersebut dengan alasan melecehkan dan terlalu jauh.

Seorang pengguna, Ahmad Kamsani Muhammad, 35, berkata, jika tidak membuat pusingan U di situ dia terpaksa melalui laluan yang terlalu jauh untuk pulang dari tempat kerja.

Menurutnya, dia tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa melalui tol Rawang atau melalui Bandar Bukit Rahman Putra.

Sementara menunggu jalan susur keluar ke Kundang siap, saya cadangkan pihak pengurusan Latar membenarkan pengguna membuat pusingan U," katanya.

Sementara itu, Noriah Kasbi, 45 pula berkata, pemasangan penghadang batu yang pada asalnya bertujuan memudahkan pemandu menjadi sebaliknya.

Katanya, tindakan pemandu kenderaan membuat pusingan U di situ mengundang bahaya kepada pengguna lain.

Sebelum ini, pemandu akan memasuki persimpangan rehat dan rawat (R&R) Kundang terlebih dahulu sebelum membuat pusingan ke susur masuk ke Kundang, tetapi setelah separuh jalan ditutup telah menyukarkan kenderaan membuat pusingan.

Keadaan ini menyebabkan kami perlu lebih berhati-hati kerana perlu melihat kenderaan dari arah susur masuk selain memberi laluan kepada pengguna lebuh raya yang lain," katanya.

Dia turut mencadangkan agar pihak pengurusan Latar mengkaji semula larangan atas faktor darurat dan jika perlu memasang kon di pembahagi jalan atau mengawal lalu lintas pada waktu puncak.

Laluan kontra tidak selamat - Latar

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

RAWANG 15 Ogos- Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) diingatkan agar tidak membuat pusingan U berhampiran susur keluar tol Kundang di sini bagi mengelakkan risiko berlakunya kemalangan.

Wakil pengurusan Latar, Surati Sujor berkata, selain meletakkan diri mereka serta pengguna lain dalam keadaan bahaya, tindakan itu juga adalah salah di sisi undang-undang.

Menurutnya, pihak Latar menerima banyak cadangan daripada pengguna untuk mewujudkan laluan kontra di susur masuk ke Lebuhraya Latar, bagaimana pun ia tidak selamat bagi pengguna.

"Jalan susur masuk sedia ada telah direkabentuk dan dibina untuk keperluan jalan masuk sahaja ke Latar daripada Jalan Setia, Kundang untuk semua jenis kenderaan dari kelas 1 hingga kelas 5 termasuk kereta, van, lori, treler dan bas.

"Ia mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri dan telah diluluskan Bahagian Audit Keselamatan Jalan sebelum diwarta dan dibuka untuk kegunaan orang awam sebelum diluluskan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)," katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkembangan projek pembinaan susur keluar bertol di Kilometer 17.6 Latar, katanya, kontraktor bagi membina susur keluar baharu di kedua-dua arah di Persimpangan Kundang juga telah dilantik.

"Kerja-kerja awalan dan kerja-kerja tanah telah pun dimulakan dan projek dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun 2014.

"Orang awam akan dimaklumkan mengenai perkembangan serta kemajuan projek dari semasa ke semasa,"katanya.

Kibaran Jalur Gemilang semarakkan sambutan Hari Kemerdekaan

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara ke -56, pelbagai acara diatur bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara termasuk kibaran Jalur Gemilang.

Lebih penting semangat tersebut perlu dipupuk kepada generasi muda Malaysia supaya kecintaan mereka kepada negara semakin kental.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu negara hari ini mendapati, walaupun warga kota masih berada dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri, tanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, di pejabat serta bangunan-bangunan yang menjadi mercu tanda sekitar ibu negara tidak dilupakan.

Seorang pesara, Ismail Muhammad, 52, berkata, sudah tiba masanya rakyat negara ini mengenali sejarah agar keamanan negara dapat dipertahankan.

Menurutnya, mengibarkan Jalur Gemilang merupakan salah satu daripada cara memupuk rasa cinta dan sayang kepada negara.

"Jika semangat ini terhakis , sudah tentu negara kita mudah diceroboh musuh dari luar," katanya.

Menurut Ismail, bertepatan dengan tema pada tahun ini iaitu 'Malaysiaku, Berdaulat : Tanah Tumpah Darahku', jika diteliti ia membawa maksud menyemai sifat perpaduan, menanam sikap patriotisme dan perpaduan antara kaum.

Pendapat Ismail turut dipersetujui, penjawat awam, Rodhiah Khalid, 48,.

Dia berkata, hanya dengan rasa cinta dan sayang kepada negara sendiri, perpaduan tanpa mengira agama dan bangsa dapat dikekalkan.

"Jika kita sering berbalah kerana hanya berlainan fahaman politik tidak mustahil negara kita akan jatuh ke tangan musuh.

"Apa yang paling semua perlu bersatu demi mempertahankan negara tercinta,"katanya.

Siti Nur Farahiyah Ahmad, 20 pula berkata, tidak hanya dengan mengibarkan Jalur Gemilang, pelbagai cara lain boleh dilakukan bagi menunjukkan rasa sayang kepada negara.

Katanya, dia sendiri secara sukarela menyertai kelab tarian bagi memperkenalkan keistimewaan dan keunikan budaya yang ada di negara ini terutamanya, kepada pelancong asing.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Empower ECERDC sasar Mersing

Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Mohamed Khaled

JOHOR BAHRU 14 Ogos - Projek pembangunan modal insan yang diperkenalkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dikenali sebagai Program Empower, memilih Mersing sebagai kawasan sasaran terbaharunya.

Perasmian Program Empower ECERDC dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hujung bulan ini.

Pengurus Besar Bahagian Sosialnya, Zulkifli Yaacob berkata, langkah tersebut diambil ekoran kejayaan dicapai program berkenaan di tempat lain sebelum ini antaranya di Bentong, Pahang, di Kemaman, Terengganu dan Jeli di Kelantan.

Menurutnya, program yang dilancarkan dua tahun lalu terbukti berjaya mengubah dan meningkatkan taraf hidup isi rumah keluarga miskin dan pendidikan bagi pelajar dianggap lemah dalam akademik mendapat manfaat menerusi program tersebut.

"Di Mersing dianggarkan seramai 400 orang pelajar daripada enam buah sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bakal menyertai program yang turut menekankan konsep penyertaan berbilang kaum.

"Bagi program kemahiran pula, kita sedang rancak memilih peserta yang mahu meningkatkan kemahiran menerusi latihan diberikan seperti memasak, refleksologi, gunting rambut dan membuat kek," katanya di sini.

Beliau berkata, program yang dijalankan itu diharap dapat memberikan kesan positif kepada peserta terlibat seperti peningkatan pelajaran menerusi keputusan peperiksaan dan berjaya menambah pendapatan seperti golongan ibu tunggal.

Tambahnya, sebagai contoh, program perintis di Bentong berjaya mencapai peningkatan pencapaian keputusan peperiksaan sebanyak 30 peratus melibatkan 500 pelajar daripada 12 buah sekolah menengah dan rendah.

"Bagi program latihan kemahiran dan usahawan pula, kita mempunyai seramai 500 peserta dan 80 peratus telah berjaya menambah pendapatan melebihi RM800 sebulan. Kita juga memberikan sijil kepada yang terlibat," katanya.

Sehubunga itu Zulkifli berharap, program yang dibuat di Mersing juga dapat memperoleh kejayaan sama dalam usaha ECERDC memainkan peranan melahirkan masyarakat seimbang dari segi kemahiran serta pendidikan dan tidak tumpu pada pembangunan sahaja.

Anak yatim Rohingya bakal dapat asrama baharu

Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT

Rokiah Omar menyampaikan sumbangan hari raya kepada seorang penerima sambil diperhatikan Shahrir Samad (kiri) di PPR Sri Stulang, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 14 Ogos - Yayasan Lace Motor berhasrat membina bangunan tambahan untuk dijadikan asrama bagi menempatkan kira-kira 39 anak-anak yatim pelarian Rohingya.

Pengerusi Kumpulan Lace Motor, Datuk Rokiah Omar berkata, idea untuk membina bangunan tambahan rumah tersebut timbul apabila beliau melawat rumah kediaman anak-anak yatim Rohingya di Taman Orkid yang sempit dan memerlukan penambahbaikan.

"Insya-Allah, jika diberikan kesempatan anak-anak yatim Rohingya itu akan dijadikan 'anak angkat' kepada yayasan," katanya sempena majlis sumbangan raya di Projek Perumahan Rakyat Sri Stulang di sini baru-baru ini. Turut hadir Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Menurutnya, yayasan tersebut memperuntukkan sebanyak RM80,000 bagi membina bangunan tambahan yang akan dijadikan asrama tersebut.

Katanya, Lace Motor juga akan menyediakan keperluan lain untuk kumpulan anak yatim pelarian tersebut seperti alat bantuan belajar.

"Tempat mereka tinggal sekarang ini sempit namun asrama baharu nanti membolehkan mereka tidur dengan selesa. Yayasan juga dalam perancangan membantu mereka mengikuti pembelajaran untuk menjadi tahfiz," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved