Sabtu, 15 Jun 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Revington letak jawatan

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Paul Revington

KUALA LUMPUR - Persiapan skuad hoki negara bagi menghadapi kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Bahru pada 29 Jun hingga 7 Julai ini menerima tamparan hebat apabila jurulatih, Paul Revington secara mengejut menghantar surat peletakan jawatan berkuat-kuasa serta merta.

Melalui satu emel yang dihantar Revington kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), dia berterus-terang sudah tidak mampu lagi bekerjasama dengan jurulatih hoki remaja, K. Dharmaraj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan yang didakwa sering campur tangan semasa mengendalikan skuad kebangsaan.

Namun, Pengerusi Kejurulatihan MHC, Majid Manjit Abdullah berkata, seramai 16 orang ahli jawatankuasa kejurulatihan belum bersedia menerima peletakan jawatan Revington dan perkara itu akan dirujuk kepada Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum kata putus akan ditentukan dalam mesyuarat Eksekutif MHC pada 30 Jun ini di Johor Bahru.

"Kami mahu Paul untuk terus kekal kerana dia telah melakukan kerja yang sangat baik setakat ini kami tidak mendapat sebarang aduan mengenai corak latihannya.

"Dia tidak gembira dan mengakui tidak boleh bekerja apabila terdapat campur tangan daripada jurulatih lain semasa mengendalikan skuad kebangsaan

"Kami akan berusaha untuk bersemuka dengan Revington dalam beberapa hari ini dan berharap dapat memberi keyakinan kepadanya kerana apa yang lebih penting adalah persiapan skuad negara untuk menghadapi separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru hujung bulan ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat kejurulatihan MHC di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jelasnya, mereka sudah dimaklumkan perkara ini lebih awal oleh Revington apabila sering mengadu terdapat gangguan daripada pihak lain dan berjaya diselesaikan, namun tidak menyangka masalah ini kembali berulang.

"Sebelum ini, saya menjangkakan perkara ini telah selesai apabila surat peguam sampai di tangan Lim, dia telah meminta maaf dan Paul juga menerima maaf daripada Lim.

"Namun. apabila Paul memberikan emel terbaharu ini yang menyatakan segalanya masih belum selesai, saya sendiri terkejut malahan dia telah menutup telefon sepanjang hari ini dan tidak dapat menghubunginya secara langsung," katanya.

Jika Revington masih berhasrat melepaskan jawatan, Majid mengakui mereka sudah ada perancangan melantik Sarjit Singh sebagai jurulatih sementara dalam menghadapi Liga Hoki Dunia tidak lama lagi.

"Kami mencadangkan Sarjit menjadi pengurus sementara biarpun buat masa ini Arul (Selvaraj) merupakan pembantu kepada Revington sekarang," katanya.

Malaysia yang memburu tiket ke Piala Dunia 2014 perlu memastikan berada di kalangan tiga terbaik daripada lapan pasukan bertanding.

Berada dalam Kumpulan B, skuad hoki negara diletakkan bersama Pakistan, England dan Afrika Selatan manakala Kumpulan A persaingan melibatkan Jerman, Korea Selatan, Argentina dan Jepun.

Sepanjang 10 bulan dilantik menjadi jurulatih menggantikan Tai Beng Hai, pencapaian skuad hoki boleh dianggap berada di tahap membanggakan apabila berjaya muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah 2013, meraih tempat ketiga trofi Juara-Juara Asia 2012 dan menduduki tangga keempat dalam kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 di Argentina, tahun lalu.

PBNJ janji ganjaran jika julang Piala FA

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Peminat-peminat bola sepak pasukan Johor Darul Takzim berpeluang melihat dengan lebih dekat Piala FA yang dipamerkan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Pemain kedua-dua pasukan Johor dijanjikan ganjaran sekiranya negeri tersebut berjaya menjulang Piala FA musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, ganjaran tersebut merupakan insentif kepada hasil usaha mereka selama ini.

Johor Darul Takzim yang beraksi dalam saingan Liga Super akan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA pada 29 Jun ini.

"Memasuki pentas akhir Piala FA ini merupakan sesuatu yang cukup baik berbanding persembahan musim lalu, ini menunjukkan peningkatan yang mendadak.

"Walaupun pasukan Johor tidak bertanding tetapi mereka akan tetap menerima ganjaran kerana mereka juga pasukan saya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majalah Harimau Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, semalam.

Majalah Harimau Selatan keluaran bulanan terbitan syarikat Southern Tigers Sdn. Bhd. merupakan majalah rasmi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang memuatkan maklumat terkini mengenai para pemain serta persatuan itu.

Pasukan Johor Darul Takzim dijadual menentang juara bertahan Piala FA, Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun ini bagi membawa pulang semula piala itu ke negeri ini selepas kali terakhir merangkul kejuaraan itu pada 1998.

Mengulas mengenai baki saingan Liga Super, Tunku Ismail berharap pasukan Johor Darul Takzim akan memberikan persembahan terbaik bagi meraih kejuaraan.

Beliau mengakui pertembungan menentang skuad Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 22 Jun ini merupakan tugasan yang sukar tetapi tetap yakin pasukan Johor Darul Takzim mampu mempamerkan aksi cemerlang dan seterusnya mencipta kemenangan.

"Lions XII merupakan pasukan yang kuat tetapi Johor Darul Takzim akan berusaha sebaik mungkin. Kita akan adakan latihan di padang rumput tiruan sama ada di Kluang atau Singapura dan ia bergantung kepada Fandi (Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad)," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Art of Speed Seni dunia automotif

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

GABUNGAN dua jenis kenderaan paling digilai kaum Adam dan Hawa itu nyata memperlihatkan keperkasaannya.

UNYI enjin kereta yang garau dan deruman ekzos motosikal yang garang kedengaran dari ruang terbuka Citta Mall, Ara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini. Ia sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja berkunjung ke lokasi tersebut.

Mana tidaknya, kehadiran 254 pemilik kenderaan Hot Rod terdiri daripada American Muscle Car, Japanese Old School, motosikal custom dan basikal low rider menjadi tarikan utama dalam pameran Art of Speed Malaysia 2013 sehingga berjaya menarik hampir 60,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Kebanyakan daripada kenderaan itu di reka kemas dan bergaya, sekali gus mencuri perhatian pengunjung dengan idea pengubahsuaian mengikut cita rasa kesenian serta kreativiti masing-masing.

Dalam kalangan peminat kereta dan motosikal, acara Art of Speed yang diadakan buat kali kedua itu merupakan antara kelompok paling serius menghimpunkan pakar-pakar pembina kreatif tempatan dan luar negara dalam kerja pengubahsuaian dunia automotif.

Sepanjang dua hari acara itu berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk pameran seni yang dihasilkan dalam pelbagai format seperti kanvas, poster, visual bergerak, arca dan kenderaan yang disebut sebagai rolling art.

Di samping itu, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat hasil kerja tangan pakar pengubahsuaian yang melakar sejarah baru dalam dunia automotif bina sendiri di Malaysia.

Acara kemuncak merupakan acara Rondaan Custom yang menyaksikan pasukan Polis Trafik Malaysia mengiringi perarakan motosikal chopper dan kenderaan custom yang tidak mungkin dapat didaftarkan di Malaysia termasuk kereta American muscle, Volkswagen Beetle dan Combi, retro pick-ups, motosikal Cafe Racer, Choppers, Bobbers dan Harley-Davidson yang sudah diubah suai mengelilingi kota.

- SYAHRIL/AZLIZA HAILANI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


14 hasut demonstrasi diberkas

Posted: 15 Jun 2013 11:47 AM PDT

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ dan AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian peserta demonstrasi melakukan provokasi terhadap orang ramai supaya menghadirkan diri ke perhimpunan haram pada minggu depan, di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 15 Jun - Sebanyak 14 individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana enggan bersurai ketika melakukan demonstrasi berhampiran pusat beli-belah Sogo di sini hari ini.

Kesemua yang ditahan dibawa menaiki sebuah trak polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 3 petang sementara dua daripada mereka dibawa berjalan kaki.

Kumpulan terbabit hadir ke lokasi berkenaan sekitar pukul 2 petang untuk mengadakan demonstrasi dan melakukan flashmob anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Demonstrasi itu bertujuan mengajak orang ramai menyertai perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dirancang minggu depan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memberitahu, kesemua yang ditahan akan diambil keterangan.

"Kami mendapat laporan daripada orang awam yang mengatakan terdapat gangguan ketenteraman awam di sekitar pusat beli-belah itu dan bertindak atas itu, polis mengarahkan mereka bersurai.

"Bagaimanapun penahanan ini dipercayai kerana kumpulan terbabit mempunyai kaitan dengan satu perhimpunan haram yang dirancang minggu depan. Mereka cuba mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, polis akan mengambil keterangan daripada mereka yang ditahan.

"Selepas keterangan diambil, kita akan bebaskan mereka hari ini," katanya.

Asrama terbakar, pelajar Maahad Tahfiz rentung

Posted: 15 Jun 2013 11:47 AM PDT

Rumah dua tingkat yang diubah suai dan dijadikan asrama pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab) di Kampung Masjid, Tikam Batu, Sungai Petani musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

SUNGAI PETANI 15 Jun - Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab) rentung manakala dua lagi cedera selepas sebuah rumah banglo yang dijadikan asrama terbakar di Kampung Masjid, Tikam Batu dekat sini awal pagi ini.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 1.45 pagi ketika mangsa, Aiman Nur Hakim Yahya, 13, bersama 15 rakannya tidur di asrama berkenaan.

Aiman Nur Hakim yang rentung keseluruhan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mior Amirul Mior Mohd. Ghazali, 16, dan Muaz Halim, 16, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.

Penaung maahad itu, Anuar Md. Isa yang juga Imam Masjid Al-Barakah berkata, dia mula menyedari kebakaran itu selepas terdengar bunyi riuh di kawasan asrama.

"Sebaik sahaja membuka tingkap rumah, saya nampak api marak di kawasan asrama. Saya bergegas ke tempat kejadian dan apabila tiba didapati 15 pelajar berjaya melarikan diri manakala Aiman Nur Hakim terperangkap di dalam," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Anuar berkata, tidak lama kemudian sepasukan anggota dan pegawai bomba dan penyelamat tiba untuk memadamkan kebakaran.

"Saya sedih dengan apa yang berlaku dan Aiman Nur Hakim adalah pelajar contoh," kata Anuar.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Shabuddin berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.

"Api marak dengan cepat kerana sebahagian daripada struktur asrama ini diperbuat daripada kayu," katanya.

Seorang pelajar yang terselamat, Mohd. Daniel Mohd. Zaki, 13, berkata, ramai pelajar berjaya keluar dari bangunan itu dan menjerit meminta pertolongan.

"Kami cuba kejutkan semua rakan namun Aiman Nur Hakim terperangkap dipercayai selepas sesak nafas terhidu asap tebal," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Ali Yahya yang berkunjung ke tempat kejadian berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Mohd. Rawi Abdul Hamid bagi mendapatkan peruntukan khas untuk pembangunan semula pusat pengajian al-Quran itu.

Mayat Aiman Nur Hakim dihantar ke HSAH untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Bekah, Penaga, Pulau Pinang petang ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Mantapkan penguasaan bahasa kebangsaan

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

KUALA LIPIS 15 Jun - Pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil perlu memantapkan penguasaan bahasa Melayu sejak dari usia persekolahan kerana bahasa kebangsaan tersebut merupakan perantara perpaduan kaum selain sebagai persediaan untuk mereka melangkah ke alam kerjaya.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, namun begitu, usaha mengukuhkan bahasa Tamil tidak semestinya diabaikan kerana pelajar juga boleh memantapkan bahasa ibunda masing-masing selain bahasa Inggeris sejajar dengan usaha pendemokrasian pendidikan negara.

"Segala transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah antara usaha untuk memperkasakan subjek bahasa Melayu dalam pendidikan menengah mulai 2017, khususnya dalam kalangan murid SRJK menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Agenda ini juga selari dengan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris," kata beliau selepas merasmikan Hari Kantin dan Perjumpaan Bekas Pelajar SRJKT Kuala Lipis di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Penyelia Sekolah-sekolah Tamil Negeri Pahang, A Puspanathan; Guru Besar SRJKT Kuala Lipis, K Tamilvanan dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRJKT Kuala Lipis, D. Sivanesan.

Abdul Rahman berkata, pada masa yang sama, pelajar Melayu di SRJK juga perlu menguasai bahasa lain kerana pentingnya menguasai bahasa lain dalam sektor kerjaya dan ekonomi.

"Kerajaan tidak mengabaikan pelajar Tamil dan Cina dalam apa juga keperluan pelajaran sekolah vernakular di negara ini menerusi pendekatan kelas pemulihan jika masih wujud masalah penguasaan bahasa ini di peringkat rendah.

"Ini termasuk menempatkan lebih ramai guru berijazah dan pakar dalam bidang bahasa berkenaan, khususnya sekolah terletak di luar bandar, estet dan pinggir bandar," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) komited menyediakan pelbagai prasarana pendidikan bertaraf dunia termasuk untuk masyarakat di luar bandar.

Katanya, usaha itu telah membuka mata masyarakat antarabangsa untuk mempelajari pengalaman negara dalam bidang pendidikan.

Kongsi insiden Lahad Datu

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

Sebahagian daripada peserta Program Integrasi Komuniti dari Sabah dan Sarawak berkumpul di Kuala Tahan, baru-baru ini.

JERANTUT 15 Jun - Penduduk di Kuala Tahan di sini berpeluang mendengar cerita sebenar insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah Februari lalu berikutan kehadiran peserta Program Integrasi Komuniti dari Sabah dan Sarawak ke kampung berkenaan baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kuala Tahan itu berlangsung selama tiga hari melibatkan 66 peserta bertujuan mengeratkan integrasi nasional dan perkongsian budaya.

Seorang penduduk Kampung Lamak, Lahad Datu, Habidin Gapol, 44, berkata, kejadian tersebut merupakan satu peristiwa hitam yang tidak dapat dilupakan oleh mereka hingga akhir hayat.

Menurutnya, biarpun banyak nyawa melayang termasuk pihak berkuasa, namun mereka tidak gentar untuk berdepan dengan musuh kerana anggota tentera dan polis mengawal ketat keadaan di sana.

"Semasa diserang penceroboh, kami hidup dalam ketakutan, namun kehadiran pihak berkuasa meredakan kerisauan kerana mereka sentiasa menyalurkan perkembangan terkini bagi membolehkan penduduk melakukan aktiviti seperti biasa," katanya ketika berkongsi pengalaman tersebut kepada penduduk Kuala Tahan.

Beliau yang merupakan salah seorang peserta program berkenaan berkata, penduduk diarahkan tidak menjalankan urusan harian selama tiga hari pada awal pencerobohan sebelum dibenarkan apabila keadaan terkawal.

Ibu tunggal digesa daftar dengan JPW

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

KUANTAN 15 Jun - Golongan ibu tunggal di negeri ini digesa mendaftarkan diri di Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) agar tidak tercicir daripada sebarang bentuk bantuan sama ada kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin (gambar) berkata, ini berikutan terdapat hanya kira-kira 200 ibu tunggal berdaftar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan jumlah tersebut terlalu kecil.

"Mustahil hanya 200 ibu tunggal yang berada di negeri ini. Data tersebut dikumpulkan JPW menerusi dalam talian, namun bilangan yang mendaftar terlalu kecil.

"Justeru, saya menggesa ibu tunggal segera mendaftar supaya data tentang mereka dapat diselaraskan dan tiada yang tercicir daripada mendapatkan bantuan, khususnya daripada kerajaan Pusat serta negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Bersama Wakil-Wakil Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) negeri di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi MPWK Pahang, Datuk Rosni Zahari.

Menurut Shahaniza, sebelum ini, data tentang ibu tunggal telah dikumpulkan oleh banyak pihak seperti Pergerakan Wanita UMNO negeri, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan NGO, namun data berkenaan tidak diselaraskan.

"Kerjasama mereka amat digalakkan kerana penting terutama dalam menyalurkan bantuan," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Hassan Rowhani presiden baru Iran

Posted: 15 Jun 2013 10:35 AM PDT

TEHERAN 16 Jun - Calon berhaluan sederhana, Hassan Rowhani , yang mendahului pilihan raya semalam, berjaya menggantikan Mahmoud Ahmadinejad sebagai Presiden Iran yang baru selepas mendapat lebih tiga suku daripada undian.

Rowhani yang juga bekas perunding nuklear yang mempunyai hubungan baik dengan masyarakat antarabangsa memperolehi 50.8 peratus undi.

Datuk Bandar Teheran, Mohammad Baqer Qalibaf pula berada di kedudukan kedua dengan 15.6 peratus diikuti dengan perunding nuklear, Saeed Jalili dengan jumlah 11.4 peratus, serta bekas pengawal komander, Mohsen Rezai yang berjaya mengumpul undian sebanyak 11.3 peratus. - AFP

2 warga asing korban terbaru jangkitan virus di Arab Saudi

Posted: 15 Jun 2013 10:28 AM PDT

RIYADH 16 Jun - Dua lagi dilaporkan meninggal dunia di negara ini kerana dijangkiti virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), sekaligus membawa jumlah angka korban akibat virus tersebut setakat ini kepada 28 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi, kedua-dua mangsa adalah warga asing yang bekerja di negara yang kaya dengan minyak itu.

Seorang mangsa yang berusia 46 tahun dilaporkan meninggal dunia Rabu lalu, di bandar Wadi al-Dawasir, di selatan bandar Riyadh, manakala seorang lagi mangsa yang berusia 21 tahun dilaporkan meninggal dunia kelmarin di Hafr al- Batin.

Sehingga kini, kira-kira 46 orang dikesan dijangkiti virus coronavirus yang dikenali sebagai MERS-CoV di negara ini sejak September lalu. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Selepas 4 tahun, teater Putera Salang Ur akhirnya dipentaskan

Posted: 14 Jun 2013 10:16 PM PDT

KUALA LUMPUR 15 Jun - Setelah empat tahun menanti, hasrat kumpulan teater Suara Alam Selangor akhirnya tercapai apabila teater sulung mereka berjudul Putera Salang Ur dipentaskan di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Teater bangsawan itu dipentaskan di bawah program Semarak Seni Bangsawan anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta DBKL selama tiga hari mulai semalam, pada pukul 8.30 malam.

Pengarahnya, Mohd. Rosli Abd. Wahab berkata beliau tidak menyangka percubaannya selama empat kali menghantar karyanya kepada JKKN akhirnya diterima pada tahun ini untuk dipentaskan.

"Tahun ini sangat bertuah kepada kami kerana akhirnya naskah bangsawan saya dapat dipersembahkan buat julung kalinya kepada orang ramai setelah empat tahun atau empat kali percubaan untuk menghantarnya dan ia merupakan satu penghargaan daripada pihak JKKN kepada kami.

"Kami telah mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan bagi pementasan ini dengan krew seramai 70 orang, termasuk pelakon dan petugas di sebalik tabir," katanya kepada Bernama.

Katanya, karya ini ditulis hasil olahan daripada cerita lisan rakyat yang berkaitan dengan asal-usul negeri Selangor.

"Saya yakin tidak ramai yang tahu siapa putera yang pertama di negeri Selangor, jadi saya petik kisah ini untuk dipersembahkan dalam bentuk teater kepada orang ramai.

"Jadi dengan cara persembahan teater itu dapat memberi pemahaman secara jelas kepada penonton tentang cerita lisan rakyat yang diolah secara unik itu," katanya.

Katanya, teater berbentuk bangsawan sudah jarang dipersembahkan kepada orang ramai kerana kebanyakan teater dipersembahkan dalam bentuk moden.

"Kebanyakan teater sekarang berbentuk moden, disebabkan teater bangsawan banyak menggunakan prop dan peralatan, jadi tidak ramai yang nak dimainkan.

"Teater bangsawan ini secara tidak langsung dapat mendedahkan kepada generasi muda tentang budaya bangsa Melayu," katanya.

Pementasan selama tiga hari itu antara lain mengisahkan perjalanan hidup putera Negeri Langkapura Tengku Daik yang membina negeri Salang Ur setelah dihalau oleh kekanda kembarnya, Tengku Muda akibat salah faham.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan teater bangsawan Putera Salang Ur itu boleh mendapatkan tiket dengan harga RM5.

- BERNAMA

Darah muda Heart-A-Tack berbisa

Posted: 15 Jun 2013 06:02 AM PDT

Sambutan yang menggalakkan terhadap EP mereka yang dilancar Jun lalu membuatkan mereka lebih bersemangat untuk terus maju dalam industri muzik.

PERSAHABATAN sejak di bangku sekolah tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya ahli kumpulan Heart-A-Tack terus bersama-sama tetapi dalam perkara berbeza iaitu memperjuangkan minat mereka dalam bidang muzik.

Walaupun masih muda dan mentah dalam bidang muzik, namun mereka menjadikan banyak band tempatan dan antarabangsa sebagai idola seperti Bunkface dan juga Paramore untuk terus maju dan menghasilkan karya yang bagus.

Menggunakan genre Pop Punk, kumpulan ini mula bergerak dengan enam ahli sejak 2008 iaitu Amir Shazrin Hashim, 21, (vokal), Mohamad Aiman Afzal, 21, (gitar), Muhammad Najmi Afifi Norizam, 21, (gitar), Muhd Hakimi Shairi, 21, (bass), Muhammad Faizul Rusli, 21, (keyboard) dan Aiman Aqwa Rozlan, 23, (drum).

Menurut Amir Shazrin yang lebih dikenali sebagai Ayeen, persahabatan sejak zaman persekolahan menyebabkan mereka mempunyai persefahaman serta tidak kekok bersama, apatah lagi untuk membuat persembahan di hadapan khalayak ramai.

Katanya, nama mereka mula dikenali bukan hanya kerana lagu tetapi kerana persembahan yang bertenaga, tambahan pula kesemua mereka masih berada pada usia awal remaja.

Kami cuba membawa kelainan dalam setiap persembahan dan membuat yang terbaik adalah satu kewajipan bagi kami setiap kali melangkah ke atas pentas.

Baru-baru ini juga bakat kami mendapat perhatian kumpulan Bunkface, jadi kami berpeluang untuk membuat persembahan bersama mereka melalui siri jelajah seluruh Semenanjung," katanya.

Mengakui pengalaman mereka tidak seberapa jika dibandingkan dengan banyak band lain tetapi mereka sentiasa berusaha untuk tidak ketinggalan menghasilkan karya yang berkualiti.

Pada Jun lalu, kami telah melancarkan EP yang mengandungi tiga single pada tahun 2011 dan tiga lagi pada 2012. Kesemuanya kami cipta sendiri, sekali gus membuktikan kami mampu dan sentiasa mencuba melahirkan hasil yang segar," katanya.

Selain itu, katanya, mereka masih membuat perancangan untuk melancarkan satu lagi EP atau single pada awal tahun hadapan yang mana kesemua lagu dicipta sendiri.

Walaupun usia kumpulan itu masih setahun jagung, namun kumpulan tersebut membuktikan mereka mendapat sokongan ramai peminat apabila muzik video bagi lagu Hilangkan mendapat sambutan yang menggalakkan, sekali gus menunjukkan muzik mereka diterima peminat muzik indie tempatan.

Kepada pembaca .com yang ingin melihat sejauh mana bakat kumpulan ini, cuba dekati

kumpulan ini di www.facebook.com/

HeartATackBand atau http://Twitter.com/HeartATackband. - AZRIN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Berita bola sepak semasa

Posted: 15 Jun 2013 06:02 AM PDT

FENOMENA bola sepak kian melanda negara dengan kemunculan pelbagai pasukan baharu yang berjaya memberi saingan sengit kepada pasukan ternama sama ada dalam Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM.

Perkembangan itu menyebabkan semakin ramai peminat bola sepak ingin mengetahui berita terkini pasukan kesayangan mereka.

Bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan terkini, laman sosial Facebook Berita Bola Semasa adalah pilihan paling tepat.

Ia boleh dijadikan sebagai laman wajib dilawati kerana turut menyediakan ruang berbincang mengenai pelbagai isu berkaitan bola sepak tempatan dan antarabangsa.

https://www.facebook.com/BeritaBOLASemasaOFFICIAL

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mendaulat Suruhanjaya Pilihan Raya

Posted: 15 Jun 2013 11:47 AM PDT

Zulkifli Noordin

Sejak daripada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU-10) khususnya, sudah mula kedengaran suara-suara sumbang mempertikaikan institusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Keadaan semakin parah apabila pembangkang tewas dalam PRU-12 (2008), apabila jari mula di tuding kepada SPR sebagai punca utama kekalahan mereka.

SPR dijadikan kambing hitam. Pembangkang secara sistematik mula merancang mengenakan tekanan terhadap SPR. Himpunan haram yang dilabel Bersih-1, Bersih-2 dan Bersih-3 diadakan kononnya untuk mengenakan tekanan awam ke atas SPR dengan pelbagai tuntutan.

Kejayaan pembangkang ialah apabila Parlimen menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Select Committee) untuk Penambahbaikan Pilihan Raya.

Hampir kesemua tuntutan pembangkang telah dipenuhi oleh Jawatankuasa Khas Parlimen ini, termasuk mengguna pakai kaedah kuno dakwat kekal" untuk kononnya menghalang pengundian berganda, atau dalam istilah pembangkang, pengundi hantu".

Walaupun SPR mencadangkan penggunaan kaedah biometrik yang lebih moden dan canggih, namun pembangkang beria-ia menolaknya dan tetap berkeras mahukan penggunaan kaedah dakwat kekal.

Namun apabila kaedah dakwat kekal dilaksanakan dalam PRU-13 baru-baru ini, pembangkang pula beria-ia pula mencari kesalahan dan kelemahan kaedah tersebut.

Tidak pernah saya lihat dalam sejarah pilihan raya di dunia ini termasuk di negara ketiga dan mundur di mana pembangkang beria-ia cuba menghapuskan kesan dakwat kekal pada jari pengundi selepas mengundi.

Walaupun langsung tidak ada sebarang bukti yang sahih, dan langsung tidak ada bukti adanya pengundi yang telah dicalitkan dengan dakwat kekal boleh mengundi semula buat kali kedua, namun pembangkang terus memainkan sentimen ini untuk menimbulkan kebencian kepada SPR. Kesemua ini adalah dengan satu tujuan, untuk memperlekeh dan mempertikai kredibiliti SPR; dan sekali gus keputusan pilihan raya!

Sebenarnya masalah di negara ini bukannya dengan sistem pilihan raya, atau institusi SPR. Masalahnya ialah Malaysia mempunyai pembangkang yang demo-crazy, langsung tidak bertamadun, yang kerjanya tidak lain hanya menyalak dan menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan sendiri!

Sedangkan mereka sendiri seperti ayam yang gah berkokok, tetapi tahi penuh berselaput di ekor!

Lihat sahaja cara demokrasi" dilaksanakan di dalam PKR dan DAP! Sehingga ahli mereka sendiri mendedahkan konspirasi kotor dan jijik, pembohongan, penipuan, putar belit, amalan kronisme dan macam-macam lagi semasa pemilihan parti mereka.

Sejak kekalahan mereka dalam PRU-13, pembangkang tidak henti-henti menyalahkan SPR. Mereka mengadakan road show, himpunan haram dan lain-lain untuk menekan SPR. Mereka memberi label Blackout 505" - kononnya berlaku penipuan dan pembohongan oleh SPR dalam mengendalikan PRU-13 dengan fitnah kononnya SPR mahu memenangkan Barisan Nasional.

Malah mereka sampai mahu mengadu kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama kononnya berlaku penipuan termasuk oleh SPR sehingga menyebabkan mereka kalah dalam PRU-13. Saya cukup pasti Obama akan bersetuju dengan saya yang pembangkang Malaysia ini memang sahih demo-crazy!!!

Terbaru, pembangkang mendesak supaya kesemua anggota SPR, terutamanya Pengerusi, meletak jawatan. Malah mereka mendesak supaya SPR diletakkan di bawah penguasaan dan penyeliaan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen yang akan diketuai pembangkang.

Persoalannya ialah adakah tuntutan ini wajar? Dan adakah kerajaan patut akur dan tunduk kepada desakan pembangkang ini?

Untuk mengupas isu ini, kita wajib melihat sumber penubuhan dan fungsi, kuasa dan kedudukan institusi SPR itu sendiri.

Peruntukkan berkenaan penubuhan SPR dan perkara berkaitan dengan keahliannya dan perjalanan pilihan raya umum di Malaysia terkandung didalam Bab 8 Perlembagaan Persekutuan dalam bab pilihan raya.

Secara khusus, perkara berkaitan SPR dan institusinya terkandung didalam Artikel 114. Soal pelantikan, penggajian dan penamatan ahli SPR semuanya disebut didalam Artikel 114 yang mengandungi tujuh perkara.

Pelantikan

Fasal (1) dan (2) Artikel 114 menyentuh tentang soal pelantikan ahli SPR.

Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah mengandungi seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan tiga ahli lain.

Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang Di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

Jelas daripada peruntukkan di atas bahawa kuasa melantik ahli SPR adalah kuasa mutlak Yang Di-Pertuan Agong, setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja!

Langsung tidak disebut berkenaan kuasa Parlimen untuk melantik mana-mana ahli SPR.

Jadi cadangan pembangkang untuk memberi kuasa kepada Parlimen untuk menentukan pelantikan ahli SPR bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan, malahan ia suatu cubaan rampasan kuasa ke atas kuasa dan bidang kuasa Yang Di-Pertuan Agong

Dalam erti kata lain, ia suatu penderhakaan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Mengapakah kuasa pelantikan ahli SPR diberi secara khusus dan mutlak kepada Yang Di-Pertuan Agong dengan konsultasi bersama Raja-raja Melayu tanpa langsung merujuk kepada Perdana Menteri, kerajaan mahupun Parlimen?

Ini adalah kerana SPR adalah institusi yang akan mengendali, menyelia dan menjalankan pilihan raya yang akan menentukan sebuah Kerajaan bagi Malaysia. Dan ia adalah Kerajaan yang bernaung di bawah kuasa Raja-raja Melayu; kerana negara ini adalah dahulunya dikuasai oleh Raja-raja Melayu.

Sudah barang pastilah penentuan pembentukan mana-mana Kerajaan bagi negara ini mesti mendapat perkenan Raja-raja Melayu. Dan untuk memastikan itulah maka kuasa melantik ahli SPR diberi secara mutlak kepada Yang Di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Raja-Raja Melayu yang lain.

Namanya pun KeRAJAan. Ia adalah badan pentadbiran di awah naungan dan kuasa RAJA. Ia bukan government seperti yang difahami Barat - iaitu sekadar govern - mentadbir.

Di Malaysia ia disebut KERAJAAN - pentadbiran negara di bawah naungan dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Sebab itu semua urusan Kerajaan dibuat atas nama dan bagi pihak Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ataupun Urusan Seri Paduka Baginda.

Penamatan / Pemecatan

Fasal (3), (4) dan (4A) Artikel 114 Perlembagaan Persekutuan memberikan peruntukkan tentang penamatan khidmat atau pemecatan jawatan mana-mana ahli SPR.

Secara ringkasnya, seseorang ahli SPR hanya boleh tamat atau ditamatkan perkhidmatannya seperti berikut:

1. Mencapai umur 65 tahun;

2. Meletak jawatan dengan mengutus surat yang ditandatanganinya sendiri kepada Yang Di-Pertuan Agong;

3. Hilang kelayakan di bawah fasal (4A) iaitu adalah seorang bankrap, bekerja makan gaji dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan bergaji diluar tugasnya, atau seorang ahli mana-mana Majlis Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.

4. Secara khusus kepada Pengerusi SPR, beliau akan hilang kelayakan sebagai Pengerusi jika menjadi ahli mana-mana pertubuhan atau badan, sama ada diperbadankan atau tidak, dan sama ada bergaji atau tidak (kecuali pertubuhan atau badan yang menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela yang berfaedah kepada masyarakat).

5. Dan tiada mana-mana ahli SPR boleh dipecat kecuali atas alasan-alasan dan dengan cara yang sama seperti seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Maknanya dalam soal pemecatan seorang ahli SPR, ia disamatarafkan dengan status seorang Hakim Mahkamah Persekutuan!

Alasan serta prosedur pemecatan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan diperuntukkan didalam Artikel 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Ini bermakna seseorang ahli SPR hanya boleh diambil tindakan untuk dipecat jika beliau tidak berkeupayaan disebabkan kelemahan otak atau tubuh untuk menjalankan tugas sebagai ahli SPR.

Dan untuk tujuan itu, sebuah tribunal khas mengandungi tidak kurang daripada lima (5) orang Hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi (termasuk Hakim daripada negara Komanwel) hendaklah dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong untuk membicarakan ahli SPR tersebut.

Dan Tribunal Khas tersebut, setelah menjalankan perbicaraan, hendaklah mengemukakan laporan dan cadangan mereka kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Dan hanya Yang Di-Pertuan Agong sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk menerima cadangan Tribunal itu dan memilih sama ada mahu memecat atau tidak ahli SPR tersebut!

Di sini langit dijunjung

Posted: 15 Jun 2013 11:47 AM PDT

KELANTANGAN FELO Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG yang sering sahaja menggesa orang Cina memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan dan pertuturan sering sahaja menghangatkan mereka yang tidak bersetuju dengannya.

Maka adalah tidak menghairankan ketika dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau meluahkan menerima pelbagai kecaman, cercaan dan kata nista yang adakalanya di luar batasan.

Namun sudah menjadi satu tanggungjawab baginya untuk terus lantang dan tidak sesekali gentar dengan cemuhan bagi terus memperjuangkan bahawa semua bangsa di negara ini perlu belajar dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik malah akan mempertahankannya jika ada pihak yang cuba menggagalkannya.

Terbaru beliau mengecam tindakan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai melampau kerana bersikap keterlaluan dalam melindungi bahasa Cina selain menyatakan tidak ada negara lain di dunia yang membenarkan kaum Cina terus hidup sebagai 'Cina' kecuali di Malaysia.

Kok Seong juga mahu pertubuhan itu berhenti membuat tuntutan melampau sebaliknya menggunakan pendekatan mengambil kira resam 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.

Kita hidup di Malaysia dan adalah perlu untuk mereka mengikut adat resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai satu bangsa yang berbangga dengan jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan identiti sebagai orang Cina," kata beliau.

MINGGUAN: Pada pandangan Datuk kenapa Dong Zong terlalu bertegas dalam mempertahankan sekolah vernakular dan langsung tidak mahu bertolak ansur dalam hal ini?

TEO KOK SENG: Pertama sekali kita perlu memahami peranan dan kewujudan Dong Zong itu sendiri. Ia merupakan sebuah badan yang cukup berpengaruh melindungi bahasa Cina dalam pendidikan mereka. Kita boleh katalah mereka ini bertindak seolah-olah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi untuk orang Cina. Bagaimanapun bagi saya perjuangan dan usaha mereka untuk melindungi bahasa Cina setelah kita mencapai kemerdekaan 56 tahun yang lalu adalah keterlaluan dan tidak selari dengan pepatah dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Sebab itu saya melihat dakwaan mereka bahawa dengan pelantikan menteri yang tidak fasih berbahasa Mandarin yang dibangkitkan Dong Zong baru-baru ini sebenarnya bukanlah satu isu besar. Saya melihat dakwaan mereka ini agak melampau sedangkan orang Cina yang tidak fasih bahasa Melayu langsung tidak diungkit. Orang Cina pun tidak pernah baiki keadaan ini. Ini sesuatu yang tidak baik, saya kira sudah waktunya perkara ini dibincangkan betul-betul sebab saya kira apa matlamat sebenar orang Cina hidup di Malaysia ini.

Keduanya saya melihat tindakan Dong Zong ini dalam kebanyakan hal adalah amat anti nasional kerana perjuangan mereka ini tidak mengambil kita kedudukan dan suasana di negara ini dan mereka sering bertelagah dengan parti MCA dan Gerakan. Bagi mereka kedua parti ini tidak mampu memperjuangkan isu sekolah Cina dan sering memperkecilkan fungsi dan peranan MCA dan Gerakan. Mereka juga sering menentang hasrat Kementerian Pendidikan sebelum ini yang berniat murni mahu menggalakkan perpaduan dan pembentukan jati diri kebangsaan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Mereka dilihat anti semangat nasional kerana enggan bekerjasama dalam membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan jati diri kebangsaan. Dalam soal jati diri kebangsaan ini sama ada mahu atau tidak adalah perlu memasukkan simbol dan proses budaya Melayu kerana ia sudah dipersetujui dalam kontrak sosial. Maka adalah perlu bahasa Melayu ini ditegakkan kedudukannya kerana ia merupakan Bahasa Kebangsaan jadi sudah tentu kita tidak boleh menolaknya dalam apa jua cara.

Pada pandangan Datuk apakah sekolah vernakular ini wujud kerana kaum Cina ini takut kedudukan bahasa dan budaya Cina terhapus atau mungkin ada agenda lain seperti tidak mahu proses asimiliasi seperti di Indonesia dan Thailand berlaku?

TEO KOK SEONG: Saya tidak pasti apakah tindakan mereka ini pada awalnya kerana tidak mahu proses asimiliasi berlaku dan perlu dikaji hal sebenar tentang itu. Namun adalah tidak mustahil perkara ini yang menjadi asas kenapa perlunya sekolah vernakular. Kita maklum bahawa perjuangan mereka ini adalah untuk melindungi bahasa ibunda tetapi saya melihat tindakan mereka ini agak berlebih-lebihan dalam mempertahankan bahasa Cina sehingga mengenepikan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sudah tentu ia bukan sesuatu yang sihat untuk kita semua.

Namun bagi saya yang paling penting adalah kita perlu menekankan perpaduan di kalangan kaum ini kerana kita dapati selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) seolah-olah wujud semacam satu perseteruan politik yang jelas melibatkan pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN). Dan perkara ini diburukkan lagi melalui tindakan pengundi Cina yang menolak BN kerana terpengaruh dengan dakwaan dan hasutan pembangkang yang bersifat perkauman dan akhirnya menjadi satu perpecahan dan permusuhan politik yang tidak berkesudahan. Saya sangat berharap supaya kita tidak lagi memudaratkan keadaan. Saya lihat Dong Zong perlu lebih bekerjasama tentang peranan menggalakkan lagi perpaduan antara kaum serta membentuk negara bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Apakah Datuk melihat isu sekolah dan bahasa Cina ini sering digunakan sebagai senjata politik terutama pada setiap kali pilihan raya?

TEO KOK SEONG: Kita boleh anggap begitu kerana setiap kali pilihan raya timbul maka isu berkaitan ini akan dimainkan dan nampak reaksi daripada kerajaan yang dilihat lebih berlembut dalam pilihan raya baru ini. Agak malang apabila setelah kebanyakan kemahuan ini dituruti kita lihat sokongan dari orang Cina tidak memberangsangkan. Saya melihat permintaan Perdana Menteri yang menggesa supaya dilakukan penyatuan nasional adalah satu permintaan beliau yang mahu rakyat di negara ini berdamai demi untuk negara. Maksud perdamaian ini kita lihat melibatkan masyarakat Cina dan kerajaan kerana rata-rata mereka tidak menyokong kerajaan selain kaum-kaum lain yang menyokong pembangkang.

Saya juga melihat apa yang berlaku selepas PRU-13 ini agak mencemaskan serta memperlihatkan permusuhan yang agak ketara. Antara buktinya apa yang kita lihat di dalam media sosial yang menggunakan bahasa kesat dan menghina. Ini cukup jelas menggambarkan perasaan marah dan emosi yang wujud di kalangan rakyat yang cuba bermusuh dengan UMNO dan BN. Oleh itu agenda penyatuan nasional ini lebih kepada menyelesaikan perpecahan dan permusuhan politik dalam jangka waktu pendek. Ini kerana isu melibatkan orang Cina tidak boleh ditolak ketepi kerana kita sedia maklum bahawa mereka ini sudah melihat kemampuan kuasa yang ada pada mereka sama ada menyokong atau tidak menyokong kerajaan.

Tidakkah Datuk melihat jika perkara ini tidak ditangani dengan baik, sikap permusuhan dan sangsi antara kaum ini akan berterusan dari generasi ke generasi dan akhirnya agenda menyatupadukan antara kaum ini tidak akan tercapai sampai bila-bila?

TEO KOK SEONG: Perkara ini sudah tentu bukan satu perkara yang sihat. Malah saya melihat sehingga sekarang pelajar-pelajar di sekolah vernakular ini masih menebal dengan perkauman dan jati diri etnik mereka. Mungkin ini dilihat bagus kepada memelihara kebudayaan dan etnik Cina itu sendiri. Namun dalam keadaan negara majmuk dan orang Melayu itu adalah majoriti dan dominan sudah tentu perkara ini perlu diimbangi dengan jati diri kebangsaan. Dan apabila melibatkan jati diri kebangsaan sudah tentu ia perlu melibatkan simbol dan proses sosio budaya Melayu. Perkara ini yang kurang atau mungkin tidak ada sehingga mengakibatkan mereka kurang semangat kebangsaan seperti tidak boleh berbahasa Melayu malah ada yang tidak tahu apa pun tentang negara ini.

Bagi saya ini adalah sesuatu yang cukup malang kerana dalam soal kerakyatan dan kebangsaan adalah perlu bagi rakyatnya bersandar kepada bahasa dan budaya kebangsaan. Agak memalukan apabila ada warganegara Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu atau hanya sepatah dua sahaja. Oleh itu masyarakat Cina perlu melihat perkara ini secara serius. Sudah tentu Dong Zong tidak akan melakukan perkara ini kerana ia bukan sebahagian dari skop perjuangan mereka. Namun parti politik perlu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini sementara nasi belum menjadi bubur. Perkara ini adalah satu keperluan sekarang namun malangnya kita lihat sangat jarang pemimpin politik bercakap mengenai perkara nasionalisme kebangsaan ini.

Mungkin ini adalah satu pendekatan yang tidak popular?

TEO KOK SEONG: Memang perkara ini tidak popular dan saya mengambil contoh diri saya yang banyak menyentuh tentang perkara kepentingan bahasa Melayu di kalangan orang Cina, maka saya sering sahaja dicerca dan dimaki hamun oleh mereka. Saya juga telah membuat laporan polis tentang beberapa kecaman dan penghinaan yang dinyatakan kepada saya yang diterima melalui e-mel dan laman sosial.

Ada pandangan yang menyatakan jika anak-anak orang Cina masuk ke sekolah kebangsaan berkemungkinan tinggi mereka akan masuk Islam dan berkelakuan dan berfikir seperti orang Melayu. Apa pandangan Datuk?

TEO KOK SEONG: Saya pernah dengar dari mulut orang-orang Cina sendiri tentang kebimbangan ini namun ia bukanlah sesuatu yang logik untuk berlaku. Bagi saya hanya bersekolah di sekolah kebangsaan atau pandai berbahasa Melayu tidak boleh menjadikan anak-anak mereka ini masuk Islam atau menjadi seperti orang Melayu. Yang boleh adalah orang perempuan dan lelaki Melayu yang menjadikan mereka masuk Islam. Memang ada kebimbangan mereka takut anak-anak mereka ini di Melayu atau di Islamkan. Namun bagi saya ini adalah satu kebimbangan yang langsung tidak berasas dan ia lebih kepada andaian semata-mata. Yang menjadi masalah sikap berlebihan mereka dalam menegakkan bahasa dan jati diri Cina kerana kita perlu mengimbangi perkara ini dan bukan mengikut semata-mata hanya kerana mereka orang Cina. Kita hidup di Malaysia dan adalah perlu untuk mereka mengikut adat resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai satu bangsa yang berbangga dengan jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan identiti sebagai orang Cina.

Tidakkah orang Cina perlu bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan begitu baik membenarkan sekolah vernakular ditubuhkan di negara ini kerana hakikatnya ia tidak wujud pun di negara lain?

TEO KOK SEONG: Bagi saya mungkin kita boleh katakan penubuhan sekolah vernakular di negara ini adalah sebahagian hak mereka di negara ini. Ia dijamin dalam keadaan tidak langsung di dalam Perlembagaan di mana bahasa-bahasa lain boleh diamalkan dan dipelajari dan tidak boleh dihalang kecuali untuk penggunaan maksud rasmi. Jadi secara tidak langsung orang Cina dan India ada hak dan saya kira hak sebegini tidak diberikan kepada orang Cina di negara lain. Ini sepatutnya dihargai oleh mereka dan perlu disyukuri. Tetapi malangnya seperti yang saya katakan tadi tidak ada pemimpin Cina yang mahu memberitahu tentang perkara baik ini maka mungkin sesetengah dari orang Cina ini mungkin tidak tahu betapa istimewanya mereka diberi hak sebegini.

Kenapa saya katakan ia umpama hak istimewa adalah kita boleh lihat sendiri di Indonesia bagaimana orang Cina di sana terpaksa menukar nama mereka mengikut nama Indonesia. Malah di Thailand bukan sahaja orang Cina tidak ada keistimewaan sebegini malah orang Melayu juga tidak mendapat keistimewaan ini. Orang Melayu di Selatan Thailand tidak diberi kebenaran untuk membuka sekolah Melayu dan hanya mempelajari bahasa Melayu secara tidak formal di sekolah-sekolah pondok. Malah kita boleh lihat anak-anak muda Melayu di Selatan Thailand tidak boleh berbahasa Melayu. Maka jati diri etnik Melayu dan Cina di Thailand sudah tidak ada walaupun jati diri nasional mereka begitu kuat. Maka di sini kita boleh melihat negara Thailand dan Indonesia begitu berjaya dalam meningkatkan jati diri rakyat mereka terutama di kalangan minoriti. Jadi saya lihat Malaysia adalah sebuah negara yang istimewa kerana memberi kebebasan di kalangan rakyatnya terutama dalam soal mempertahan budaya asal namun janganlah sehingga berlebihan atau over protective.

Satu isu yang menimbulkan tandatanya adalah kenapa orang Cina di negara ini begitu takut anak mereka masuk Islam dan jadi Melayu. Tetapi mereka tidak berpandangan sedemikian jika menetap Barat dan tidak kisah anak mereka menjadi atau berkelakuan seperti orang Barat ataupun menukar agama kepada Kristian?

TEO KOK SEONG: Memang benar. Mereka bersedia untuk mengasimilasi dengan orang Barat tetapi di sini mereka tidak bersedia malah akan menolak untuk mengasimilasi. Malah sebenarnya kerajaan selama ini pun tidak pernah memaksa orang Cina mengasimilasi dengan orang Melayu. Negara ini ditubuhkan pada peringkat awal kemerdekaan atas dasar kemajmukan etnik dan keragaman budaya. Maksudnya kita mengakui kewujudan pelbagai bangsa di negara ini dan membenarkan semua bangsa-bangsa ini wujud secara terpisah dan cuba menyatukan mereka melalui sistem pendidikan.

Walaupun wujud sekolah vernakular tetapi di peringkat sekolah menengah semua kaum ini akan bercantum kembali. Tetapi nampaknya sudah terlalu lewat bagi kanak-kanak yang sudah berusia 13 tahun ini kerana usaha perpaduan itu tidak begitu dirasai. Walaupun Dong Zong menyatakan sukatan pelajaran adalah sama dengan sekolah kebangsaan tetapi akibat penggunaan bahasa yang berbeza maka ia membentuk perwatakan dan jati diri yang berbeza. Sudah tentu hasilnya lain macam kerana tidak ada persefahaman sebenar kerana penggunaan bahasa yang berbeza. Seharusnya sekolah satu aliran atau sekolah wawasan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini tetapi melihat kepada keadaan sekarang terutama selepas PRU-13, usaha ini kelihatannya sudah agak mustahil. Apatah lagi semua parti politik Cina tidak ada semangat mahu memperkasakan perkara ini maka usaha membentuk satu jati diri kebangsaan sudah semakin sukar apatah lagi dalam keadaan politik yang sudah menjadi pelbagai acuan.

Mungkin Datuk ada pandangan tentang bentuk penyelesaian kepada masalah ini?

TEO KOK SEONG: Kalau kita benar-benar sayang kepada tanah air ini sudah sampai masanya kita duduk semeja dan lihat kembali serta bertanya bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini untuk keharmonian dan perpaduan semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan kaum. Saya melihat kita perlu memanfaatkan sistem yang ada sekarang ini. Ini kerana jika kita mencadangkan usul baharu kita boleh lihat bagaimana respons dari Dong Zong dan lain-lain yang langsung tidak mahu menerima sehingga ia mampu memudaratkan hubungan yang kini sudah tidak berapa harmoni lagi. Malah Dong Zong ini sememangnya tidak pernah mahu bersetuju dan sering prejudis dan selalu curiga tentang hasrat kerajaan yang mahu mengharmonikan semua kaum. Mereka sering menganggap usaha kerajaan ini adalah agenda kerajaan untuk menghakis sekolah dan bahasa Cina.

Ini menunjukkan seolah-olah wujud satu perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Saya boleh katakan keadaan sekarang ini terlalu runcing umpama kita duduk serumah tetapi jika mahu ke bilik air walaupun bilik sudah berkunci tetapi masih membawa komputer riba ke bilik air kerana tidak percaya kepada rakan serumah. Soalnya bagaimana kita boleh bersatu padu dalam keadaan terlalu banyak sistem sekarang ini. Kalau boleh kita duduk semeja dan cari jalan untuk mengguna pakai cara yang diterima semua. Mungkin pihak Dong Zong sendiri boleh memberi cadangan bagaimana mahu mengendurkan ketidakpercayaan sesama kaum ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Gaya Cikgu Uyun sering jadi ikutan

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

WAJAHNYA kerap menghiasi dada-dada majalah dan juga kaca televisyen. Gayanya lemah lembut dan tuturnya pula sopan. Dia juga sering terlibat dalam acara-acara bertemakan muslimah bertudung dengan mengikut stailnya yang tersendiri.

Blogger Pilihan kali ini menampilkan Atikah Uyun Ahmad, 28, sebagai penghias ruangan. Anak kedua daripada empat adik-beradik ini gemar mencari lubuk makanan yang sedap.

Jangan tidak tahu, dia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Biologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan mesra disapa dengan nama Uyun baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hatinya kira-kira dua bulan lalu.

Bertugas sebagai guru Sains dan Bahasa Inggeris di salah sebuah sekolah di sekitar Banting, Uyun memberitahu bahawa dia seorang yang tidak betah duduk diam. Dalam erti kata lain, ada sahaja rancangan yang akan dilakukannya untuk mengisi masa lapang.

Apa kata kamu teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang blogger pilihan minggu ini. - LAILISUHANA/AZIM

Entri pertama

ENTRI pertama bertarikh 2 September tahun 2008. Kebanyakan entri dalam blog semuanya berkisar tentang aktiviti yang saya lakukan sejak zaman belajar sehinggalah kini, apabila saya pula yang menjadi pengajar. Saya gemar berkongsi tip berkenaan fesyen, penjagaan diri, tutorial bertudung, acara-acara yang saya ikut atau dijemput untuk turut sama dan banyak lagi.

Ikutan ramai gadis

MAJORITI daripada pengikut blog saya terdiri daripada remaja perempuan dan mereka yang gemarkan gaya. Memandangkan saya sering terlibat dalam aktiviti berkaitan fesyen, tudung dan sebagainya, saya akan memasukkan entri mengenai aktiviti tersebut dalam blog untuk dikongsikan bersama.

Saya juga terlibat dalam kempen Hijabku Gayaku bersama Sunsilk untuk memberikan perspektif bahawa setiap wanita yang bertudung juga mampu kelihatan menarik dan masih menjaga kesihatan rambut. Mungkin itu merupakan salah satu faktor mengapa jumlah pengikut saya kebanyakannya terdiri dalam kalangan gadis yang gemar bergaya.

Kerenah anak murid

BERGELAR seorang guru memang banyak mengajar saya erti kesabaran. Minat mengajar mula timbul sewaktu saya menjadi guru ganti sewaktu cuti penggal di universiti. Waktu itu saya mengajar di sekolah rendah dan prasekolah. Setiap hari merupakan hari yang baharu bagi saya kerana saya perlu berhadapan dengan kanak-kanak yang mempunyai pemikiran polos dan bersih.

Namun, dek kerana minat dan kecintaan terhadap profesion perguruan, semua itu kini alah bisa tegal biasa buat saya. Pengalaman seperti ini belum tentu lagi dapat dirasai oleh semua orang. Ada kala saya akan tersenyum sendiri apabila mengenangkan kerenah mereka yang pelbagai itu.

Buka bisnes

SAYA dikelilingi kawan-kawan yang majoritinya mempunyai perniagaan. Mungkin lama-kelamaan apabila saya selalu turun padang, menolong apa yang perlu, niat untuk membuka perniagaan itu timbul. Sebenarnya, niat itu sudah lama ada namun saya belum bersedia untuk menjadikannya sebagai satu realiti.

Saya kini dalam perancangan untuk membuka perniagaan menjual tudung secara dalam talian. Insya-Allah, laman web untuk portal niaga itu juga akan dilancarkan tidak lama lagi jika semuanya berjalan sempurna. Butik itu akan boleh dilayari di www.shewearshijabs.com

Masa lapang

MASA lapang saya banyak dipenuhi aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan saya bersama keluarga dan sahabat handai. Antara aktiviti tersebut adalah bercuti, melancong, makan bersama, berkongsi cerita menarik dan berkebun.

Saya juga gemar melakukan aktiviti spa di rumah untuk memastikan kulit saya kekal sihat walaupun saya sering sibuk. Disebabkan itu, saya juga terlibat bersama pihak Cosmoderm untuk berkongsi tip penjagaan kulit dan produk untuk mendapatkan kulit yang sihat.

Salah kami tidak pantau anak gadis hingga salah arah...

Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT

ANAK-ANAK adalah harta, sebaiknya mereka dididik mengikut acuan berhemah yang boleh membawa keberkatan dalam hidup mereka dalam suasana yang diberkati oleh Allah SWT.

Berilah kasih sayang agar mereka tidak melanggar batas keagamaan dan patuh kepada perintah Yang Maha Esa.

Hanya dengan iman yang teguh sahaja menjadi perisai kepada segala bentuk gangguan sihir sama ada dalam rumah tangga, cinta dan juga kerjaya.

Namun dalam melalui cinta yang terlarang, manusia sering tewas dengan ujian. Untuk memiliki sesuatu yang halal dan sah, terkadang terdapat banyak halangan.

Pun begitu tanamkan dalam hati, setiap ujian yang Allah bagi adalah kerana Allah ingin menghadiahkan kita sesuatu yang amat bernilai jika segala rintangan itu berjaya diharungi dengan penuh kesabaran dan mengharapkan keredaan Ilahi.

Minggu ini, saya ingin berkongsi pengakuan seorang ibu yang menghadapi dilema apabila anak gadisnya jatuh cinta dengan rakan sejenis.

Disebabkan keadaan yang tidak menggembirakan itu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan hubungan dengan suami juga terjejas. Semoga kisah ini menjadi pengajaran berguna yang perlu dikongsi dengan orang ramai di luar sana.

Bagaimana wanita ini menangani masalah tersebut dan apa yang terjadi kemudian, kita ikuti kisah ini bersama.

"Nama saya Kalsom (bukan nama sebenar), bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah bank. Suami saya seorang penjawat awam dan menjadi pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan.

"Kami mempunyai tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara 13 hingga 20 tahun.

"Anak sulung saya masih menuntut di sebuah IPTA dan akan menamatkan pelajaran pada hujung tahun ini. Yang kedua juga menuntut di IPTA dan bongsu di tingkatan satu.

"Saya tidak risau tentang anak sulung kerana dia memang seorang anak yang baik, rajin solat, mendengar kata dan pandai. Begitu juga yang bongsu, nampak menyerlah dalam persekolahannya.

"Namun sebagai ibu, saya amat kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku terhadap anak kedua saya, yang juga anak tunggal perempuan yang saya panggil Noni.

"Tanpa saya sedari, dia telah menjalin hubungan songsang dengan rakan sejenisnya. Segalanya bermula apabila saya memberi sepenuh kebebasan kepadanya kerana yakin dia seorang anak yang sopan. Selama ini, dia tidak pernah menyakiti hati saya.

"Saya kesal kerana tidak pernah mengenali siapa kawan rapatnya. Saya ambil mudah dengan siapa dia berkawan, ke mana dia pergi dan tidak bertanya apabila dia lewat pulang ke rumah.

"Bermula dengan berkawan biasa, akhirnya bertukar status kepada kekasih. 'Ibu..., Noni lewat pulang hari ini, ada perbincangan dengan kawan'... begitulah yang sering Noni beritahu saya.

"Sebagai seorang ibu, saya mempercayainya kerana Noni tidak pernah berahsia dengan saya dan akan menceritakan segalanya jika berhadapan dengan masalah.

"Suatu hari, saya menerima kunjungan seorang tetamu yang tidak diundang, seorang wanita sebaya dengan saya. Setelah menjawab salam dan berkenalan, saya menjemput wanita itu masuk ke rumah.

"Dia memberitahu namanya Habsah (bukan nama sebenar). Dia bertanya tentang Noni dan mahu mengesahkan Noni adalah anak saya.

"Ya..., dia anak gadis saya. Kenapa dengan Noni?" tanya saya yang mula terasa tidak sedap hati.

"Beginilah Puan Kalsom, saya sebenarnya sudah buntu dan mati akal memikirkan masalah anak-anak...dan saya terpaksa beritahu puan tentang hubungan anak puan dengan anak saya.

"Anak kita sebenarnya sudah menjalin hubungan terlarang...mereka sebenarnya bercinta sesama sendiri, katanya tenang sambil menunjukkan gambar-gambar yang tertera pada telefon bimbitnya yang disalin dari telefon bimbit anaknya.

"Ketika itu dunia saya gelap seketika, adakah saya sedang bermimpi di siang hari atau ini dugaan untuk saya? Saya menangis kerana terkejut dan kesal dengan perlakuan anak saya itu.

"Istilah pengkid tidak pernah hadir dalam kamus hidup saya. Malah saya tidak pernah menyebut perkataan itu sepanjang hidup saya. Tetapi pertemuan dengan Habsah telah membongkar segala rahsia aktiviti sosial anak-anak gadis kami yang melampau dan sukar untuk saya percaya.

"Namun bukti yang ada pada Habsah telah menceritakan segala-galanya. Kami menangis sambil berpelukan dan berfikir bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini.

"Kata Habsah, suaminya belum tahu perkara tersebut dan dia juga tidak bercadang untuk memberitahu hal itu kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk.

"Saya juga mengambil pendekatan yang sama iaitu merahsiakan hubungan cinta terlarang anak-anak kami daripada pengetahuan suami.

"Setelah berbincang, kami sependapat untuk 'memisahkan' mereka daripada berjumpa. Segalanya dilakukan umpama menarik rambut di dalam tepung, dengan harapan untuk membawa mereka ke pangkal jalan. Kami sepakat untuk menghantar anak-anak ke kelas bimbingan agama tetapi di tempat yang berasingan.

"Syukur mereka tidak membantah dan menurut sahaja apa yang kami minta. Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan di kem tersebut. Setelah hampir setahun di sana, segala niat dan doa restu kami dimakbulkan Ilahi.

"Suatu hari, sedang kami sekeluarga sedang bersantai, Noni datang dan memohon maaf kepada saya. Katanya dia terbabas jauh kerana terpengaruh dengan kawan-kawan yang dihanyutkan oleh budaya songsang.

"Terima kasih ibu kerana telah selamatkan saya daripada menjadi mangsa sebagai seorang gadis pengkid."

Anak gadis saya mengakui ketika itu jiwanya lebih terarah kepada sifat kelakian. Sambil memeluk saya, dia menangis kesal akan dosa yang terpalit.

"Saya bersyukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada Habsah yang telah membongkar segala yang menjadi rahsia anak-anak kami. Jika tanpa ikhtiarnya, mungkin perlakuan mereka yang songsang itu tidak dapat diselamatkan.

"Kepada ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan, awasi pergerakan dan perlakuan anak-anak. Nasihat saya, jangan terlalu percayakan anak-anak yang masih di bawah jagaan kita.

"Jika mereka tersasar dari kehidupan yang normal, cepat bertindak mengikut acuan yang digariskan oleh agama.

"Kehidupan hari ini terlalu banyak terdedah kepada 'jerangkap samar' yang ada di mana-mana. Saya nasihatkan ibu bapa mengambil peranan penting untuk memantau anak-anak agar tidak terpesong daripada batas agama.

"Saya bersyukur kerana dapat menyelamatkan Noni lebih awal. Terima kasih kepada Habsah yang prihatin dengan persahabatan anak-anak kami. Moga Allah berkati hidup Noni dan kami sekeluarga dan juga keluarga Habsah,'' demikian Kalsom menamatkan ceritanya.

Alhamdulillah, saya turut lega dengan penyelesaian kes anak Kalsom ini. Sebagai ibu, Kalsom telah bertindak bijak dengan menghantar anaknya ke pusat latihan bagi mendalami ilmu agama.

Ibu-ibu di luar sana patut mencontohi Kalsom dan Habsah dalam menangani anak-anak yang tidak terkawal ini terutama remaja perempuan.

Perhatikan tingkah laku anak-anak yang terlalu rapat berkawan. Perhatian, kasih sayang dan pemantauan amat penting bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan budaya tidak sihat.

Menutup catatan, pesanan saya, nafsu adalah mainan syaitan dalam diri seorang manusia. Bila dimanjakan, ia akan menjadi ketagih dan bila dibiarkan, kita akan terus terlupa. Sebaik-baiknya, jangan ikut nafsu tetapi ikut akal untuk mencari keredaan dan kesejahteraan hidup yang abadi.

Salam.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved