Jumaat, 14 Mac 2014

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


SK Gita turut nyatakan simpati kehilangan MH370

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Murid Sekolah Kebangsaan Gita memegang kad Pray for MH370 bagi menyatakan simpati dalam program Doa kepada MH370 di Kuching, semalam.

PETRA JAYA 14 Mac - Kanak-kanak juga faham keburukan menyebarkan khabar angin terutama berkaitan kehilangan pesawat MH370 sejak Sabtu lalu.

Bagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gita, Jalan Semarak, Petra Jaya, Aleeya Aesya Abdul Malik, 12, berkata, cerita tidak benar tidak baik dan rakan-rakannya bersimpati dengan keluarga yang kehilangan saudara mereka dalam pesawat itu.

"Tidak baik kalau kita buat cerita mengenai kapal terbang itu. Kalau tidak disahkan, baik tidak bercerita," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa program 'Doa kepada MH370' di sini hari ini.

Program yang dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu disertai 751 pelajar sekolah dan 58 guru serta kakitangan sokongan menyatakan simpati kehilangan pesawat MH370.

Seorang pelajar tahun enam, Muhd. Iqmal Shah, 12, berkata, dia sedih apabila mendapat tahu berita kehilangan pesawat itu yang membabitkan lebih 200 orang.

"Saya juga sentiasa berdoa selepas solat agar pesawat dapat ditemui dan berada dalam keadaan selamat," ujarnya.

Bagi Norman Fahdli Abdul Rahman, 12, berkata, tidak patut orang lain membuat khabar angin berhubung kehilangan pesawat itu.

"Mesti keluarga mereka akan sedih dan kita juga simpati dengan kehilangan MH370," katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PIBG sekolah, Sabtuyah Hailen berkata, program itu bertujuan menzahirkan rasa sedih seluruh warga SK Gita atas musibah yang berlaku.

"Semoga pasukan penyelamat akan diberikan Allah SWT petunjuk di mana kehilangan pesawat itu.

"Program ini juga secara tidak langsung mendidik anak-anak nilai murni agar prihatin dengan keadaan yang berlaku di sekeliling di samping memastikan agar tidak menyebarkan khabar angin dari kecil lagi," jelasnya.

Guru Besar sekolah, Mohamad@Zaaba Bujang berkata, khabar angin tidak sepatutnya disebarkan yang kelak akan mengganggu emosi keluarga waris.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Polis sahkan 5 mati, empat kritikal

Posted: 14 Mar 2014 10:38 PM PDT

KUALA LUMPUR 15 Mac - Polis mengesahkan lima mati manakala empat lagi kritikal dipercayai akibat sesak nafas dalam sebuah konsert di Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Tiga mayat mangsa ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala dua lagi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). - UTUSAN ONLINE

Remaja jalani pemulihan dadah maut dipukul

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

SEBAHAGIAN daripada 12 lelaki direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan semalam bagi membantu siasatan polis berhubung kematian seorang pelatih Pusat Pemulihan Tradisional di Tumpat, kelmarin. - UTUSAN/Rosni Masri

TUMPAT 14 Mac - Seorang pemuda yang baharu empat bulan menghuni sebuah pusat rawatan pemulihan dadah tradisional di Wakaf Bharu di sini, maut akibat dipercayai dipukul dengan batang penyapu dan getah paip, semalam.

Kejadian menimpa Muhammad Aiman Syahmi Hamdan, 18, adalah yang kedua berlaku di pusat rawatan itu, dengan kali pertama seorang pelatih turut maut akibat dipercayai dipukul, April tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zaharudin Rasip berkata, laporan bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, terdapat kesan lebam pada muka, tulang rusuk, tangan, siku, lutut dan paha Muhammad Aiman Syahmi.

"Kesan kecederaan pada badan mangsa ada yang berlaku kurang dan lebih 24 jam, dipercayai dipukul dengan objek panjang seperti batang penyapu atau paip getah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zaharudin memberitahu, berikutan itu, seramai 11 teman bilik mangsa berusia 16 hingga 26 tahun serta seorang warden berusia 43 tahun direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, mangsa yang berasal dari Kota Bharu mula menghuni pusat rawatan tersebut sejak Disember lalu, bagi mengatasi ketagihan pil kuda, syabu, gam dan arak.

"Dia ditempatkan dalam satu bilik kurungan jeriji bersama 11 lagi pelatih. Seminggu lalu, pengetua pusat rawatan itu dikatakan pernah menghantar mangsa mendapat rawatan di Klinik Wan Chabang Empat kerana mengalami bengkak telinga kiri dan kanan," katanya.

Pengurus pusat rawatan berkenaan, Mohd. Zain Abu Bakar ketika ditemui hari ini berkata, beliau menyedari kejadian itu selepas dikejutkan dengan jeritan seorang pelatih yang memaklumkan mangsa pengsan.

"Kira-kira sejam sebelum itu, ada pengawal keselamatan nampak mangsa keluar dari tandas dalam keadaan tercungap-cungap akibat sesak nafas.

"Pengawal dan pelatih lain mengambil minyak angin dan menyapu pada dada mangsa, namun saya tidak dimaklumkan. Jika saya diberitahu lebih awal, mungkin dia sempat dibawa ke hospital," katanya.

Menurut beliau, mangsa dibawa ke Hospital Tumpat tetapi disahkan telah meninggal dunia.

Sementara itu, usaha wartawan untuk mendapatkan reaksi keluarga mangsa di Kota Bharu di sini, gagal kerana mereka enggan ditemu bual.

Pada 8 April tahun lalu, akhbar ini melaporkan seorang pemuda, Mohd. Ilias Ibrahim maut selepas dipercayai dipukul ketika menjalani rawatan pemulihan dadah di pusat rawatan sama.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


MH370: Radar tentera kesan pesawat tidak dikenali

Posted: 14 Mar 2014 07:02 PM PDT

WASHINGTON 15 Mac - Laporan terbaharu menunjukkan pesawat MH370 mungkin menuju ke Kepulauan Andaman di Lautan Hindi, sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang wujud perbuatan sabotaj, khianat atau rampasan.

Agensi berita Reuters yang memetik sumber siasatan berkata, radar tentera dipercayai milik Malaysia mengesan sebuah pesawat tidak dikenali, disyaki MH370 menuju ke arah pulau tersebut.

Sumber tersebut turut menjelaskan, kerajaan Malaysia meminta data radar dari Thailand, Indonesia dan India yang mempunyai sebuah pangkalan tentera laut di Kepulauan Andaman. - REUTERS

MH370: Hanya juruterbang profesional boleh ubah haluan penerbangan

Posted: 14 Mar 2014 07:00 PM PDT

WASHINGTON 15 Mac - Laporan terbaharu tentang perubahan laluan penerbangan pesawat MH370 menunjukkan kemungkinan penglibatan individu profesional yang mahir dalam sistem penerbangan, kata pakar.

Ketua editor majalah Flying yang juga juruterbang pesawat komersial, Robert Goyer berkata, hanya juruterbang profesional yang boleh mengubah haluan penerbangan selepas petunjuk baharu mendedahkan penerbangan pesawat MH370 menuju ke Lautan Hindi.

Kemungkinan pesawat itu dikawal oleh sekumpulan pakar dengan sekurang-kurangnya seorang juruterbang yang terlatih atau seorang daripada juruterbang MH370 mengawal program untuk mengubah haluan melalui sistem pengurusan penerbangan," katanya kepada CNN. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Keputusan 28 Mac

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

STOCKHOLM 14 Mac - Pasangan Malaysia yang didakwa mendera anak-anak mereka kekal berada dalam tahanan reman sehingga mahkamah Daerah Solna di sini membuat keputusan pada 28 Mac ini.

Hakim Daerah, Mattias Möller memutuskan Azizul Raheem Awaludin dan isteri, Shalwati Norshal mempunyai risiko melarikan diri dan oleh itu, mereka perlu ditempatkan dalam tahanan.

Hakim terbabit bagaimanapun membatalkan larangan berkomunikasi yang bermakna pasangan itu akhirnya boleh bertemu dan berbual dengan ahli keluarga dan rakan-rakan di pusat tahanan.

Peguam Shalwati, Kristofer Stahre berkata, keputusan mahkamah untuk tidak membebaskan mereka sehingga keputusan menunjukkan kecenderungan bahawa pasangan itu akan didapati bersalah walaupun terdapat peluang cerah menyebelahi pihak ibu bapa terbabit.

Perbicaraan Azizul Raheem dan Shalwati memasuki hari ke-11 dan merupakan hari terakhir dengan kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan berhujah di akhir kes.

Pegawai Pendakwa, Anna Arnell menghujahkan bahawa kredibiliti Azizul Raheem Awaludin menjadi lemah dengan sendirinya apabila lelaki terbabit mengaku memukul anak-anaknya ketika disoal-siasat oleh pihak polis tetapi menukar keterangannya sewaktu perbicaraan.

Arnell turut menyatakan Shalwati telah mengaku memukul Ammar dan Adam dalam beberapa kejadian yang berlainan tetapi mendakwa lain-lain pertuduhan yang dihadapinya adalah satu penipuan dan ditokok tambah.

"Saya mendapati ia satu perkara yang membimbangkan seorang ibu boleh mengatakan bahawa anaknya sendiri telah berbohong. Ia satu perkara yang tidak boleh diterima akal memandangkan Ammar kekal dengan keterangan yang diberitahu kepada rakan-rakan, kaunselor sekolah dan dalam beberapa sesi temu bual dengan pihak polis," katanya.

Arnell turut mengakui terdapat kelemahan dalam temu bual yang dijalankan apabila penemu bual bertanyakan soalan-soalan yang sudah mempunyai jawapan.

Beliau turut menggesa mahkamah agar menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun enam bulan kepada Shalwati dan penjara dua tahun bagi Azizul Raheem.

Sementara itu, peguam Shalwati, Kristofer Stahre berhujah, Ammar memikirkan untuk membalas dendam terhadap ibu bapanya, dengan merujuk kepada keterangan kawan remaja terbabit, John Webb yang menyatakan bahawa rakannya itu mempunyai perasaan benci terhadap orang tuanya.

"Adalah terlalu naif untuk memikirkan seseorang yang ingin membalas dendam terhadap ibu bapanya mampu memberikan keterangan yang objektif," kata Stahre.

Peguam Azizul Raheem, Jonas Tamm yang mempersoalkan mengenai ketiadaan tempoh masa setiap pertuduhan menyatakan, dakwaan terbabit mampu memperincikan 'siapa', dan 'apa' tetapi tidak 'bila'.

Beliau berkata, disebabkan terdapatnya isu ketidakpastian, kes itu sepatutnya bersandar kepada keterangan sokongan namun sebaliknya hanya bergantung kepada keterangan anak-anak pasangan itu.

Tamm menyatakan, faktor terbabit telah melemahkan kes pihak pendakwaan termasuk dengan pihak polis bertanya soalan-soalan yang tersedia dengan jawapan dan keterangan yang tidak konsisten dalam kalangan kanak-kanak itu sendiri, kekaburan dalam pertuduhan yang dan kekurangan bukti sokongan.

Azizul Raheem dan Shalwati dijangka mengetahui nasib mereka dalam tempoh dua minggu lagi dengan keputusan akan dibuat oleh Hakim Daerah, Mattias Möller.

Sweden telah mengharamkan hukuman berbentuk fizikal ke atas kanak-kanak sejak 1979 dan ini bermakna Azizul Raheem dan Shalwati berdepan dengan hukuman penjara maksimum enam tahun sekiranya didapati bersalah memukul anak-anak mereka.

Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul Raheem didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013. - THE STAR

Keris: Dakwaan hubungan suka sama suka tidak tepat

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

SHAH ALAM 14 Mac - Majlis Peguam diingatkan agar tidak cuba mengelirukan rakyat berhubung hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didapati bersalah meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Presiden Kelab Warisan Malaysia (Keris), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, dakwaan badan itu bahawa hukuman tersebut tidak wajar kerana dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa adalah tidak tepat kerana mangsa, Mohd. Saiful Bukhari telah membuat laporan polis berhubung perbuatan Ketua Pembangkang itu.

Selain itu, Mohd. Khairul Azam yang juga seorang peguam menjelaskan, polis turut mendapati ada kes untuk mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat seperti bukti-bukti yang diperolehi.

"Kerelaan tidak menjadi isu dalam kes liwat ini jika kita rujuk Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

"Perbuatan tersebut (liwat) adalah bertentangan dengan tabii, justeru pendapat Majlis Peguam tidak betul," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong yang menyifatkan hukuman penjara oleh Mahkamah Rayuan ke atas Anwar sebagai tidak wajar kerana perbuatan tersebut dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa.

Menurut Christopher, kesalahan di bawah Seksyen 377A (Kanun Keseksaan) yang meletakkan liwat sebagai jenayah hanya diguna pakai jika perbuatan itu dilakukan atas dasar paksaan, sedangkan dalam kes Anwar, perbuatan tersebut dilakukan atas dasar kerelaan mangsa.

Christopher mendakwa, hukuman itu berasaskan kepada peruntukan 'lapuk' Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hubungan seks suka sama suka antara orang dewasa satu jenayah.

Pada 7 Mac lalu, Anwar dihukum penjara lima tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.

Mohd. Khairul Azam menambah, hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas Anwar juga tidak wajar berbanding hukuman maksimum 20 tahun dan sebatan yang boleh dikenakan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Salman mahu isteri 'luar'

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

MUMBAI - Aktor kacak, Salman Khan, mendedahkan dia mahu berkahwin walaupun sebelum ini dia pernah mengaku tidak berminat dengan institusi perkahwinan.

Perkara tersebut diumumkan sendiri pelakon berusia 48 tahun itu menerusi satu wawancara bersama laman web hiburan, Oneindia.com, baru-baru ini.

Aku ingin memiliki isteri yang berasal dari luar," ujarnya.

Perkataan luar itu merujuk kepada luar negara maka,

tidak salah jika sebelum ini dia dikaitkan mempunyai hubungan dengan aktres Lulia Vantur, selebriti kelahiran Switzerland sejak setahun lalu.

Katanya lagi, walaupun mempunyai perbezaan agama, namun ia tidak menjejaskan hubungan tersebut kerana kedua-dua ibu bapanya juga datang daripada agama yang berbeza.

Apabila bercinta, kita harus berusaha supaya pasangan tidak meninggalkan kita dan menjadi seseorang yang lebih baik," ujarnya yang pernah membintangi filem Maine Pyar Kiya.

Walaupun memberi isyarat untuk melangsungkan perkahwinan, namun Salman tidak menyatakan tarikh sebenar mengakhiri zaman bujangnya itu. - AGENSI

Kenal Islam di waktu liar

Posted: 13 Mar 2014 07:14 PM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar RUSHDI SALLEH

Pertama kali bertemu dengan pengacara rancangan Reflections, Imam Suhaib Webb, 42, bicaranya nampak tegas dengan riak wajah yang serius. Mungkin perwatakannya begitu, ketika ditemubual juga dia lebih selesa untuk menjawab persoalan dengan jawapan, cuma sekali sekala sahaja dia bergurau.

Mungkin faktor kehidupan lampaunya yang sebelum ini penuh kelalaian membuatkan dia kini hanya membicarakan sesuatu yang memberi manfaat sahaja.

Menyelami kisah silamnya, Suhaib memeluk Islam sekitar 20 tahun lalu, di kala dirinya masih tercari-cari erti kerohanian dalam kehidupan.

Ketika itu saya masih lagi remaja, banyak perkara liar yang saya lakukan termasuklah hidup dengan pergaulan yang cukup bebas. Ini termasuklah terlibat dengan gejala dadah," ujarnya.

Pernah melibatkan diri dengan dunia hiburan dan bergelar seorang artis ketika di Amerika Syarikat, tidak hairanlah dunia carca marba itu dekat dengan dirinya sebelum mendapat hidayah Allah.

Ketika di sana, saya mempunyai kumpulan hip hop, AK Assault dan saya bertindak sebagai seorang DJ dalam kumpulan itu. Masa itu kehidupan memang tidak terurus. Banyak perkara yang tidak baik saya lakukan sebagai manusia. Kalau dilihat kembali perkara sebelum ini, apa yang telah saya lakukan, saya cukup menyesal," jelasnya.

Dalam kesamaran hidup itu, jelas Suhaib, dia masih tercari-cari pengertian agama dalam kehidupan sebelum bertemu dengan agama Islam.

Ketika saya remaja juga, banyak perkara yang menjadi persoalan terutamanya melibatkan agama. Ketika itu, saya mempunyai seorang sahabat yang juga merupakan seorang Muslim. Dia yang banyak bercerita kepada saya tentang Islam dan melalui sembang-sembang itu yang membuatkan saya pertama kali terdedah dengan Islam," katanya.

Ketika berumur 17 tahun, dia mula membaca al-Quran dan kitab suci itu menjadi pemangkin semangat kepadanya untuk terus memeluk Islam kira-kira 20 tahun yang lalu.

Al-Quran memberi saya banyak pengajaran dalam kehidupan. Ia mengajar saya menghormati pelbagai aspek dalam kehidupan, tentang tauhid, dan memberi saya penjelasan yang sangat logik," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan keluarganya, jelas Suhaib, ibu bapanya boleh menerima agama yang dipeluknya sekarang walaupun pada permulaan, timbul rasa risau pada mereka.

Mula-mula mereka risau juga bila saya nyatakan saya sudah memeluk Islam, apatah lagi dengan keganasan yang sering dikaitkan dengan Islam," ujarnya.

Bagaimanapun lama-kelamaan, keluarga mula menerima pegangan baru yang dianuti Suhaib yang kemudiannya membina hubungan baik sehingga kini.

Jadi Imam di waktu muda

Menyambung bicara mengenai penglibatannya sebagai seorang Imam, Suhaib tidaklah berniat untuk menjadi seorang Imam. Sebaliknya pada awalnya dia hanya mahu menjadi seorang guru.

Saya mula jadi Imam kira-kira 12 tahun yang lalu dan guru saya ketika itu yang suruh saya menjadi seorang Imam. Masa itu, saya menjadi Imam di sebuah surau dan rata-rata jemaahnya adalah berasal dari Pakistan," katanya.

Ketika itu, kata Suhaib, dia memang risau apabila diberi tanggungjawab untuk menjadi seorang Imam di usia yang muda.

Bagi saya, sebenarnya patut lebih ramai lagi yang diberi peluang untuk menjadi seorang Imam dan jangan khuatir kalau ada buat silap.

Tapi, sebenarnya kesilapan itu yang sebenarnya memberi pengajaran sebab kalau kita hendak berjaya, kita kenalah gagal dahulu," ujarnya.

Mengenai penglibatannya dalam bidang muzik, jelas Suhaib, dia kini masih lagi terlibat dalam muzik tetapi secara suka-suka sahaja.

Kadang-kadang ada juga saya menonton konsert Ramli Sarip sebab rasa ingin tahu bagaimana konsert di sini dijalankan berbanding di Amerika Syarikat," katanya.

Tambahnya, bidang seni adalah salah satu cabang besar dalam kehidupannya. Malah, dia sendiri mempunyai rakan-rakan yang terlibat secara langsung dalam industri itu.

Saya rasa seni adalah salah satu cabang dakwah yang dapat merapatkan lagi sesama manusia. Malah, boleh dikatakan, cabang seni memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Politik kotor muncul kembali

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Oleh Salleh Buang

Aksi Anwar Ibrahim sewaktu meninggalkan mahkamah di Putrajaya, pada 7 Mac lalu, selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat pembantunya . - AGENSI

ANTARA kenyataan yang amat menarik sehari dua ini pada saya adalah kata-kata Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Apabila mengulas tentang Manifesto Kajang yang dilancarkan oleh Wan Azizah sebagai pengisian kempennya, Shafie berkata; Dia presiden parti. Tak perlu buat manifesto lagi. Beri arahan sahaja kepada Menteri Besar (Selangor) untuk buat kerja."

Manifesto Kajang itu menyatakan empat komitmen calon - membanteras jenayah dan meningkatkan keselamatan, pembangunan anak muda dan usahawan kecil, menangani masalah kesesakan lalu lintas dan meningkatkan prestasi kutipan sampah di kawasan Kajang.

Pastinya kita rakyat Malaysia (terutama pengundi Kajang) masih ingat kata-kata aneh Tan Sri Khalid Ibrahim, orang kuat PKR, pada satu masa dulu bila dia menyatakan bahawa manifesto bukan janji.

Pada mulanya saya jangkakan tahap politik pembangkang di negara ini sudah matang dan bertanggungjawab. Ternyata kini jangkaan saya itu silap dan harapan tinggi saya meleset.

Dalam media sosial kini sudah ada klip video mengandungi sedutan ucapan Azmin Ali sewaktu berkempen bagi pihak Wan Azizah baru-baru ini. Dalam nada suara yang tinggi (stail biasa dia berucap) dia berkata bahawa; Datuk Seri Najib (Tun Razak), Perdana Menteri kita ialah haiwan ternakan Tun Dr. Mahathir (Mohamad)".

Ayat ini diucapkannya berkali-kali, menzahirkan rasa kebencian yang amat sangat. (http://medan-info-kita.blogspot.com/2014/03/video-ini-memang-panaassss-bukan-main.html)

Azmin kemudian mengapi-apikan rakyat supaya menggulingkan kerajaan BN yang jahat menerusi protes jalanan". Azmin juga berjanji dan berikrar Anwar tidak akan merengkok walau sehari pun dalam penjara.

Dia juga mendakwa demokrasi sudah mati di negara ini. Hanya satu cara kita boleh menang, iaitu melalui protes jalanan". (http://lifeofaannie.blogspot.com/2014/03/anwar-innocent-my-ass.html)

Inilah yang dipanggil gutter politics (politik longkang) yang amat kotor, busuk dan berbahaya sekali.

Mereka bukan berkempen dengan memaklumkan pengundi apa kebaikan untuk rakyat yang telah dapat mereka lakukan pada masa lalu, atau dirancang akan dilakukan pada masa depan. Sebaliknya apa yang mereka lakukan adalah membuat serangan peribadi terhadap individu tertentu sambil menuduh demokrasi tidak wujud lagi di negara ini.

Jika tidak membuat serangan peribadi terhadap individu tertentu, mereka menjadikan institusi kehakiman negara ini sebagai punching bag mereka.

Dalam kempen PRK Kajang ini, mereka menuduh kerajaan telah menyalahgunakan mahkamah untuk menganiayai Anwar Ibrahim, yang akibatnya pemimpin kesayangan mereka itu hilang kelayakan untuk bertanding, sekali gus memadamkan cita-citanya menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

Mereka terlupa (atau sengaja melupakan) fakta sebenar yang menunjukkan bahawa mahkamah telahpun menetapkan tarikh pendengaran rayuan pasukan pendakwa dalam kes Sodomi II. Hakikatnya Anwar yang merancang perletakan jawatan ADUN sedia ada (Lee Chin Cheh) bagi membolehkan dia bertanding dalam PRK Kajang ini.

Penganalisis politik mengatakan bahawa antara matlamat Anwar menyebabkan PRK Kajang ini terpaksa diadakan adalah bagi memberi tekanan kepada Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria merasa terpanggil menjawab tohmahan jahat ini. Katanya; Saya boleh beri jaminan tidak ada perkara seperti itu. Bagi hakim, apa sahaja keputusan mereka buat, mereka perlu beri alasan dan alasan ini tertakluk kepada penelitian Mahkamah Rayuan".

Ditakdirkan sewaktu segala panglima dan hulubalang PKR mendakwa ketua mereka dizalimi oleh Mahkamah Rayuan apabila dia disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun, Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong mengeluarkan kenyataan bahawa perbuatan Anwar meliwat pembantunya itu tidak salah kerana ia dilakukan atas dasar suka sama suka. Sama ada dia sedar atau pun tidak, perbuatan Christopher itu memusnahkan asas tuduhan liar pembangkang bahawa mahkamah telah menzalimi Anwar.

Sementara segala panglima dan hulubalang PKR terus mengatakan ketua mereka tidak pernah melakukan liwat, Christopher mengakui liwat berlaku, cuma pada pendapatnya ia sepatutnya dibenarkan dan bukan satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Liwat bukan satu kesalahan jenayah di banyak negara barat. Mengikut Wikipedia, liwat masih lagi satu kesalahan jenayah di 70 negara (dari 195 negara di dunia).

Memikirkan kembali kata-kata liar Azmin menggelar Najib sebagai haiwan ternakan Dr. Mahathir ini, saya teringat kepada komen Datuk Nik Aziz Nik Mat satu ketika dulu mengenai rakyat negara ini yang menerima BR1M. Mengikut Nik Aziz, penerima bantuan itu umpama lembu dan ayam yang diberi hampas kelapa dan padi.

Yang menghairankan kita, semasa berkempen dalam PRK Galas ada laporan media yang menunjukkan dia juga ada memberi bantuan wang kepada pengundi.

Pada awal Februari lalu, sebuah portal propembangkang memetik veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai bertanya; Apakah PRK Kajang akan menjadi pilihan raya paling kotor atau paling bersih dalam sejarah Malaysia?"

Kedua-dua kemungkinan itu ada, katanya. Segala-galanya bergantung kepada calon-calon yang bertanding (daripada BN dan Pakatan Rakyat) dan badan penyelia seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PDRM dan sebagainya, tambahnya lagi.

Saya rasa kita sudah tahu jawapannya.

Kalau setakat bermodalkan air liur...

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Oleh Marhaini Kamaruddin

Seorang kakitangan sokongan Malaysia Airlines (MAS) mendengar dengan sabar luahan emosi ahli keluarga penumpang MH370 di restoran sebuah hotel di Beijing, China pada 11 Mac lalu. - AFP

UMPAMA mencari jarum dalam timbunan jerami. Mungkin itu perumpamaan yang paling hampir untuk menggambarkan betapa sukarnya misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang daripada udara sejak awal pagi Sabtu lalu.

Sejak operasi SAR digerakkan atas kerjasama pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat dan China yang diketahui memiliki teknologi satelit yang begitu canggih, petunjuk yang dicari tidak semudah disangka untuk ditemui.

Yang pasti tugas anggota polis dan tentera yang terlibat menjejaki pesawat Boeing 777-200 bersama 239 penumpang dan anak kapal itu tidak semudah yang disangka.

Ia tidak semudah melakar lokasi ramalan di atas peta.

Dalam pada pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus mencari sekecil-kecil petunjuk agar dapat menemukan semula MH370, peranan sokongan yang dimainkan oleh Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) tidak kurang pentingnya.

Pasukan seramai 45 orang kaunselor ini yang diketuai oleh pengerusinya, Dr. Abdul Halim Mohd. Hussin telah berkampung di Hotel Everly, Putrajaya, tempat kaum keluarga penumpang pesawat MH370 ditempatkan sejak Sabtu 8 Mac lalu.

Ke mana sahaja ahli keluarga dan waris bergerak, mereka ini yang datang dari pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah MCIT seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pendidikan, Persatuan Psikologi Perkhidmatan Awam Malaysia, Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia dan lain-lain, pasti ada bersama.

Mereka bertugas secara bergilir sebanyak empat shift iaitu enam jam setiap satu sesi dari seawal 7 pagi hingga 1 tengah hari, 1 tengah hari hingga 7 petang, 7 petang hingga 1 pagi dan 1 pagi hingga 7 pagi.

24 jam sehari sentiasa ada 10 hingga 12 orang pegawai bertugas setiap sesi menemani dan memberi kaunseling kepada keluarga dan waris penumpang serta anak kapal MH370.

Setiap keluarga ada kaunselor yang memantau perkembangan emosi mereka. Mereka ini sentiasa bersedia meminjamkan bahu untuk ahli keluarga dan waris melepaskan emosi yang terbuku, membantu menenangkan dan menyediakan perasaan mereka bagi menghadapi apa jua perkhabaran.

Pada masa sama, MAS turut menugaskan kakitangannya sebagai care givers bagi memastikan segala kebajikan ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 daripada makan minum dan tempat tidur mereka diuruskan sebaik-baiknya. Satu kumpulan care givers bahkan diterbangkan ke Beijing, China untuk menguruskan kebajikan ahli keluarga penumpang MH370 di sana.

Dalam keadaan ini, para kaunselor dan care givers bersedia menadah telinga menerima bukan sahaja keluhan bahkan mungkin rungutan dan hamunan waris yang gagal mengawal amarah akibat perasaan yang tidak terbendung sejak kehilangan orang tersayang.

Bagi mereka, ini adalah sebahagian daripada asam garam tugas yang perlu diterima.

Baik anggota polis dan tentera yang terlibat dalam operasi SAR, mahupun para kaunselor dan care givers, masing-masing telah menjalankan tugas dan tanggungjawab sebaik-baiknya dalam menghadapi insiden kehilangan misteri pesawat MH370.

Apa pula sumbangan kita yang tidak terlibat secara langsung dalam usaha mencari, menyelamat mahupun membantu menenangkan ahli keluarga dan waris penumpang serta anak kapal pesawat berkenaan?

Jika tidak ada apa yang hendak kita berikan, cukuplah sekadar berdoa dan menghulur simpati. Janganlah pula kita sibuk menghentam sana-sini, mempertikai kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak berwajib dalam usaha menemukan semula pesawat MH370 bersama-sama penumpang dan anak kapalnya. Apatah lagi jika usaha kita itu hanya bermodalkan air liur sahaja.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Terpikat tengok Shamsuri imamkan solat

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Shamsuri Shafie bersama isteri dan dua orang anak lelakinya.

KEIKHLASAN Datuk Shamsuri Shafie mengimamkan solat Maghrib bagi memenuhi permintaan sebuah keluarga biarpun baru berusia 16 tahun pada ketika itu berjaya mencairkan hati seorang gadis yang kini menjadi permaisuri hatinya.

Datin Rosnaida Ismail yang ketika itu berusia 14 tahun tertawan dengan keluhuran serta keikhlasan yang terbit daripada sanubari suaminya sekali gus mengukuhkan lagi ikatan perkenalan mereka ketika itu.

Bermula dari situ, perkenalan mereka yang mendapat sokongan penuh daripada kedua-dua ibu bapa serta ahli keluarga terus berpanjangan ke jenjang pelamin selepas mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Shamsuri, 30, yang merupakan pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi memberitahu, perkenalan mereka mula berputik ketika dia berada di tingkatan tiga dan Rosnaida pula di tingkatan satu.

Ketika itu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Shamsul Maarif Lelaki di Labok, Machang, Kelantan manakala isteri di SMUA Shamsul Maarif Perempuan yang terletak di Pulai Chondong.

Jarak sekolah kami agak jauh dan perkenalan saya dengan isteri bermula ketika kami sama-sama menyertai kelas tuisyen di bandar Machang. Ketika itu, saya pernah meminta nombor telefon daripadanya, namun dia enggan memberikannya.

Saya terus memberanikan diri dan akhirnya dia memberikan nombor telefon tetapi memberitahu jika ikhlas mahu berkawan dengannya, saya perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu bapanya," katanya ketika ditemui S2 di rumahnya di Kampung Ayer Merah, Bukit Bakar, Machang.

Tambahnya, selepas mendapat restu, kedua-dua ibu bapa isterinya itu telah mempelawa beliau untuk bertandang ke rumah yang terletak di Kampung Bilal Talib, Pulai Chondong, Machang.

Shamsuri berkata, ketika tiba di rumah keluarga Rosnaida, dia telah diminta oleh keluarga tersebut untuk mengimamkan solat Maghrib.

Saya sampai di rumahnya agak lewat iaitu menjelang waktu Maghrib. Ini kerana sebelum itu, saya terpaksa menghadiri kelas tambahan.

Alhamdulillah, saya berjaya memenuhi permintaan keluarganya walaupun agak gementar ketika itu.

Hanya selepas itu, barulah dia memberikan respons dan kami mula berkawan serta saling mengenali hati budi antara satu sama lain," ujarnya.

Tambahnya, mereka hanya berhubung melalui telefon dan tiada istilah dating sebagaimana lazim yang dilakukan oleh pasangan anak muda lain kerana masing-masing tahu batas-batas agama, selain tuntutan sebagai pelajar dan anak yang menjadi harapan keluarga.

Menceritakan lebih lanjut, Shamsuri memberitahu selepas mengenal hati budi masing-masing, beliau mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan biarpun ketika itu isterinya masih belum menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.

Katanya, ketika bertunang, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Arab di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan setahun kemudian mereka mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang.

Selepas mendirikan rumah tangga, pasangan itu sama-sama melanjutkan pengajian di KUIS dalam bidang berlainan.

Alhamdulillah hasil perkongsian hidup sejak tahun 2006, kami telah dikurniakan empat cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Aqif Danish (6), Muhammad Aqil Daniel (4), Muhammad Aisy Darwish (3) dan Muhammad Arryan Danian (1).

Selain itu, kehadiran dua orang anak angkat iaitu Fatin Nabilla Abdullah (9) dan Nor Auni Shafia (2) menjadi bukti pengikat kasih antara kami," jelasnya.

Sementara itu, Shamsuri memberitahu beliau terpikat dengan kelembutan serta keperibadian yang ditonjolkan oleh isterinya sepanjang mereka berkenalan dan membuatkan hatinya terbuka untuk mengambilnya sebagai teman hidup.

Katanya, sikap saling memahami yang ada pada Rosnaida turut menjadi salah satu daya penarik.

Pada saya, keserasian dan hati budi antara bakal pasangan amat diperlukan bagi memastikan ikatan rumah tangga yang dibina terus kekal utuh, selain mengikut suruhan agama.

Isteri saya cukup memahami kerjaya saya sebagai pengamal perubatan Islam, malah dia memberikan sokongan penuh kepada saya. Ini menguatkan lagi semangat saya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat," jelasnya.

Dalam pada itu, Shamsuri turut berkongsi tip dalam memastikan ikatan rumah tangga yang dibina terus kekal serta mendapat keredaan Allah iaitu sering mengadakan solat jemaah bersama anak-anak dan isteri.

Solat jemaah adalah salah satu kunci yang diamalkan oleh saya, selain membaca ayat 102 dan 103 dalam surah al-Baqarah," ujarnya.

Paling menarik sepanjang temubual ini berlangsung, Rosnaida hanya tersenyum mendengar kenangan manis yang dikongsikan oleh suaminya.

Ketika diminta mengulas mengenai detik awal pertemuannya, Rosnaida menjawab dengan ringkas:

Saya tertarik dengan suami kerana beliau seorang yang sangat romantik dan bertanggungjawab. Dua perkara ini serta sikapnya yang suka berjenaka menawan hati saya."

Katanya, biarpun kehidupan mereka berubah selepas Shamsuri membuka pusat rawatan sendiri, namun suaminya tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga.

Malah setiap kali keluar merawat pesakit di seluruh negara, beliau akan menghubungi saya dan bertanyakan soal anak-anak termasuklah pembelajaran mereka," ujarnya.

Jelasnya, setiap kali masa terluang, mereka sekeluarga akan menghabiskan masa beriadah bersama-sama seperti bersukan dan keluar bersiar-siar di taman dengan anak-anak.

Bacaan surah Yasin dan solat berjemaah menjadi rutin buat kami sekeluarga dan bagi memudahkannya, suami menyediakan sebuah bilik khas," katanya.

Mengulas mengenai kerjaya suaminya sebagai pengamal perubatan Islam, Rosnaida berkata dia sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Shamsuri, selain ringan tulang membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Katanya, walaupun terpaksa berkorban masa, namun dia tetap gembira dengan kerjaya suaminya.

Sebagai tanda sokongan, saya pernah mengikuti beliau menjelajah ke seluruh negeri untuk membantu merawat mereka yang memerlukan bantuan," ujarnya.

Menantu risau perangai pelik mentua

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

MASALAH dengan mentua bukan perkara baru dalam hidup pasangan suami isteri, cuma sekarang agak kurang didengar kerana kebanyakan pasangan tidak lagi tinggal sebumbung dengan mentua.

Namun masalah ini masih berterusan walaupun pasangan suami isteri tidak tinggal bersama mentua. Sama ada kita sedar atau tidak, masalah mentua mengganggu rumah tangga anak menantu tetap berlaku terutama anak lelaki yang menjadi kesayangan mak.

Kita ikuti cerita Zati (bukan nama sebenar) tentang pengalaman bersama mentuanya. Zati sudah empat tahun bergelar isteri kepada Amran (bukan nama sebenar), seorang pegawai di sebuah syarikat swasta.

Tidak tahu di mana silapnya kata Zati, di mata mentuanya dia sentiasa salah dan tidak pernah mendapat restu dan pujian mentua.

Ingin tahu apa yang berlaku, kita ikuti cerita Zati.

Saya berusia lewat 30-an, bernikah dengan Amran yang sudah mencecah 40-an atas dasar cinta dan kasih sayang semasa menuntut di universiti.

Suami saya anak ketiga dalam keluarganya seramai empat orang, tiga lelaki dan seorang perempuan. Sejak berkawan, saya dapat rasakan saya bukan menantu yang disukai oleh ibu Amran tetapi kerana sayang saya korbankan perasaan buruk dan syak wasangka saya kepadanya.

Pernikahan kami berjalan lancar, saya dirisik, dipinang dan disandingkan dalam suasana gilang-gemilang...syukur kepada Allah. Sepanjang tempoh itu, saya tidak nampak mentua saya tidak suka kepada saya.

Tapi bulan pertama perkahwinan kami, mentua mula buat hal. Saya mula nampak belangnya sebab setiap minggu dia arahkan suami saya balik kampung. Bayangkan dua jam perjalanan setiap minggu pergi dan balik.

Pada mulanya kami ikutkan permintaannya kerana fikir mungkin dia rindukan suami saya sebab kami baru bernikah. Sayangnya keadaan tidak berubah. Berlarutan sehingga setahun, dia tetap macam itu.

Mengarah dan mengatur hidup kami mengikut suka hatinya menjadi amalan mentua saya. Saya mula rimas dan menegur suami. Tapi anak dengan mak, mana boleh membantah. Sudahnya saya tidak larat lagi nak ikut balik kampung setiap minggu lantaran kerja yang banyak dan urusan anak-anak yang perlu diutamakan.

Sikap saya menyebabkan mentua naik angin, saya dicap sebagai menantu degil, sombong dan tidak taat kepada suami, pada hal saya juga mahukan ruang untuk diri saya dan keluarga. Bukan tidak mahu balik, tapi kalau setiap minggu, bagi saya sudah melampau.

Apabila saya balik, mentua langsung tidak pandang wajah saya, sepatah saya tanya, sepatah dijawabnya. Saya macam orang asing di dalam rumah kalau mereka berkumpul adik beradik. Saya sedih dengan layanan mak mentua kepada saya sedangkan hubungan saya dengan ipar-duai yang lain semua baik belaka.

Puas saya berdoa dan bertanya apakah kekurangan saya sehingga mentua benci sangat kepada saya. Sampai hari ini saya masih tidak mendapat jawapannya. Suami selalu minta saya bersabar kerana lambat laun maknya akan berubah katanya, tapi sampai bila?

Sekurang-kurangnya saya tahu apa silap dan kekurangan saya supaya saya dapat baiki dan perbetulkan kekurangan tersebut. Ini tidak..., buat saya macam tidak wujud. Kadangkala bila kami berkumpul beramai-ramai, saya duduk dalam bilik, takut nak keluar bimbang dimalukan di hadapan orang lain.

Tapi yang saya pelik apa sahaja buah tangan yang saya beli diterima oleh mentua. Malah kalau dia teringinkan apa-apa, dia akan beritahu suami saya keinginannya itu dan menyuruh saya yang belikan.

Mak dan keluarga saya juga minta saya bersabar, kata mereka perangai orang tua memang macam itu. Allah sayangkan saya sebab itu dia uji saya begitu, kata mak. Saya akur dengan kata-kata mak sebab mak sahaja tempat saya mengadu susah senang saya.

Saya menjadi buntu sebab saya telah berusaha memahami mak mentua saya tapi sampai hari ini saya masih tidak faham dengan perangai peliknya itu.

Sebelum ini, biras saya, isteri kepada abang suami saya pernah melalui perkara yang sama tetapi alhamdulillah dia sudah diterima oleh mentua saya setahun lalu setelah tujuh tahun memendam rasa.

Itu pun macam-macam kerenah yang biras saya hadapi seperti mana yang saya lalui sekarang. Kata jiran-jiran, mentua saya memang pelik perangainya. Sejak zaman muda, dia sombong, tidak suka berkawan dengan jiran-jiran tetapi semua cerita orang dia tahu.

Mentua saya katanya seorang yang suka cakap besar pada zaman mudanya, maklumlah, suaminya penjawat awam yang berpangkat tinggi, dia juga suka bermegah-megah dengan kehidupannya yang agak mewah di kampung itu.

Apa pun yang orang cerita tentang mentua saya, bagi saya dia tetap perlu dihormati. Seperti kata biras saya, kena sabar dan banyak berdoa, insya-Allah sampai masa dia akan berubah. Saya setuju tetapi menunggu sampai saat itu yang memeningkan kepala saya.

Saya tahu memang sukar menjaga hati orang tua. Sama ada dia suka kepada kita atau tidak, saya kena tahan dan sabar. Kalau dia tidak suka kepada saya tentu bila saya balik dia halau, atau sekurang-kurangnya dia akan beritahu suami saya supaya jangan bawa saya balik ke rumahnya.

Ini tidak, bila suami balik seorang dia tanya saya kenapa tak balik. Bila saya balik dia buat sombong dan tak bertegur sapa dengan saya. Apa saya masak dia makan dan kadangkala minta suami belikan apa yang dia nak makan dan suruh saya masak.

Pelikkan? Tapi itulah perangai mentua saya. Saya lagi pelik dengan kerenah dia tetapi saya akan terus sabar dan membaiki diri mana yang masih ada kekurangan dan kelemahan.

Sampai kini saya masih bertahan, tapi tidak pasti sampai bila. Saya juga mendoakan agar satu hari nanti mentua saya akan berubah dan menerima saya seadanya.

Saya juga rindukan kasih sayang mentua, gelak ketawa dan masa terluang untuk berborak dengannya. Apakah saat itu akan saya temui?

Semoga Allah perkenan doa saya supaya saya boleh memberi perhatian kepada mentua dengan rasa lebih bertanggungjawab dan penuh kasih sayang. Mudah-mudahan ada keajaiban yang berlaku dalam hubungan saya dan mentua. Insya-Allah. Zati menamatkan ceritanya.

Sudah dapat menantu yang baik hati begini pula jadinya, itulah lumrah hidup berumah tangga. Pertelingkahan mentua dan menantu menjadi lumrah tetapi pada masa yang sama masalah juga perlu diambil kira.

Pun begitu, tidak semua orang menghadapi masalah seperti mana yang Zati hadapi. Hanya segelintir sahaja. Saya pasti ada penyelesaian buat Zati dengan mentuanya dalam masa terdekat seperti mana yang berlaku kepada birasnya.

Zati harus berbangga kerana suami dan ibu kandungnya sentiasa ada memberi sokongan. Biar apa orang nak kata dia tetap mentua yang perlu disayangi dan dihormati.

Mengakhiri catatan minggu ini, sepatah pesanan untuk anda semua, kebahagiaan adalah seperti mawar yang ditanam, ada masa tidak berbunga tetapi ia pasti akan terus tumbuh segar dan bertambah durinya. Begitu juga dalam perhubungan, sentiasa ada ujiannya. Sabar, tawakal dan berdoa, insya-Allah ada sinarnya nanti.

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Terpaksa berjalan 4 kilometer

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusangroup.com.my

DUA remaja terpaksa berjalan kaki kerana tiada perkhidmatan bas awam untuk ke Perpustakaan Raja Tun Uda di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

SHAH ALAM 13 Mac - Pengunjung di Perpustakaan Raja Tun Uda di Seksyen 13, di sini melahirkan rasa kecewa kerana perkhidmatan bas secara tetap tidak disediakan ke kawasan itu.

Satu-satunya perkhidmatan yang ada pada masa ini adalah bas kecil milik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang beroperasi pada setiap Sabtu dan Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Ini menyebabkan segelintir pengunjung terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 4 kilometer untuk datang dan keluar dari kawasan perpustakaan tersebut.

Seorang pelajar, Salehudin Rahimi, 17, berkata, dia terpaksa meminta pertolongan abangnya untuk menghantar ke perpustakaan itu kerana tidak mampu menampung kos perkhidmatan teksi dari pusat bandar.

Kalau naik teksi, kos pergi dan balik hampir RM20 sedangkan sebagai pelajar, saya tidak mampu untuk berbelanja sebanyak itu.

Hari ini saya datang dengan kawan menumpang abang saya yang sanggup menghantar ke perpustakaan ini," katanya ketika ditemui di perpustakaan berkenaan di sini, baru-baru ini.

Rakannya, Ahmad Syahimi Ahmad, 17, pula memberitahu, pelbagai kemudahan di perpustakaan seperti internet percuma selain suasananya yang selesa untuk menelaah pelajaran mendorongnya berkunjung ke situ saban minggu.

Jika ada perkhidmatan bas sepanjang masa, sudah pasti lebih ramai yang berminat untuk datang dan menggunakan kemudahan yang ada," ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Haslindawati Bujang, 32, menjelaskan, dia selesa berada di Perpustakaan Raja Tun Uda kerana pelbagai kemudahan yang ada seperti koleksi buku, persembahan 3D dan XD, gimnasium dan sebagainya.

Malangnya, ketiadaan pengangkutan awam menyebabkan kesemua keistimewaan tidak dapat dinikmati orang ramai khususnya warga Shah Alam.

Saya berharap perpustakaan yang gah ini akan dilengkapi dengan sistem pengangkutan lebih baik oleh pihak berkuasa bagi memudahkan orang ramai datang dan menimba ilmu sebanyak mungkin," katanya.

Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, semua pihak yang terlibat dalam pembangunan Perpustakaan Raja Tun Uda perlu meneruskan pembinaan fasa kedua dan ketiga dengan segera termasuk menyediakan jaringan pengangkutan awam berikutan bilangan pengunjung yang semakin meningkat.

Baginda bertitah, sekiranya masalah itu tidak diambil perhatian, dikhuatiri akan menimbulkan kesulitan kepada pengunjung sekali gus menyebabkan mereka tidak datang lagi ke perpustakaan tersebut.

6,000 kunjungi perpustakaan pada hujung minggu

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

SEBANYAK 6,000 pengunjung terutama kanak-kanak menggunakan kemudahan yang disediakan di Perpustakaan Raja Tun Uda pada hujung minggu.

SHAH ALAM 13 Mac - Kira-kira 6,000 orang mengunjungi Perpustakaan Raja Tun Uda di Seksyen 3, di sini pada setiap hujung minggu walaupun tiada perkhidmatan bas awam disediakan.

Ketua Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Sarwani Abd. Jalal berkata, beliau yakin jumlahnya pasti akan bertambah jika ada bas awam beroperasi setiap hari untuk ke perpustakaan itu.

Pada tahun 2012, sebanyak 90,000 pinjaman buku telah direkodkan di perpustakaan tersebut dan ia meningkat kepada 110,692 pada tahun lalu.

Ini menunjukkan berlaku peningkatan pengunjung saban tahun. Saya percaya angka tersebut akan meningkat lagi jika lebih ramai yang berkunjung setiap hari," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ketiadaan perkhidmatan bas secara tetap ke perpustakaan tersebut sehingga menyukar sesetengah pengunjung.

Sarwani memberitahu, baru-baru ini Majlis Bandaraya Shah Alam telah mengambil inisiatif dengan menyediakan bas komuniti ke Perpustakaan Raja Tun Uda dan ia sedang dalam peringkat awal perlaksanaannya.

Katanya, perkhidmatan bas secara tetap sepanjang minggu patut diutamakan bagi memudahkan orang ramai mengunjungi perpustakaan berkenaan.

131 sekolah di Klang diarah tutup

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
dan UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH
kota@utusangroup.com.my

Pemandangan di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang yang terjejas kerana masalah jerebu, semalam. - BERNAMA

SHAH ALAM 13 Mac - Semua sekolah di daerah Klang diarah tutup mulai esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah tahap paling tidak sihat dengan bacaan 233 sehingga pukul 5 petang ini.

Arahan tersebut melibatkan 131 buah sekolah di daerah berkenaan.

Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim berkata, langkah itu dibuat berikutan bacaan IPU semakin teruk dan dikhuatiri akan berada di tahap bahaya.

Jabatan Pendidikan Selangor memantau bacaan IPU dari hari ke hari dan mendapati keperluan untuk menutup sekolah demi kesihatan murid dan pelajar.

Arahan penutupan sekolah akan ditarik balik sebaik sahaja bacaan IPU kembali pada tahap selamat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menerusi laman web Jabatan Alam Sekitar, Pelabuhan Klang mencatatkan IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 233 manakala kawasan lain di negeri ini seperti Banting dan Kuala Selangor berada pada tahap tidak sihat dengan masing-masing 189 dan 179.

Petaling Jaya dan Shah Alam pula masing-masing mencatatkan bacaan 159 dan 150.

Sementara itu di Sabak Bernam, cuaca panas dan kering menyebabkan pasukan bomba terpaksa mengawasi kawasan hutan tanah gambut di Parit 16, Sungai Panjang sejak sebulan lalu.

Ketua Balai Bomba Sungai Besar, Rani Mat Hanafiah berkata, pemantauan sedemikian perlu dibuat memandangkan kebakaran hutan mudah berlaku ketika ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pelajar perlu akses terbaik

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
utusanjohor@utusan.com.my

ZAINI Abu Bakar (dua dari kiri) diiringi Mohd. Nadzari Bachek (kanan) dan Fawzi Mohd. Noh (kiri) bertanyakan sesuatu kepada pelajar sekolah selepas merasmikan Program Penambahbaikan Perpustakaan Sekolah Pintar UEM Sunrise Bhd., di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1, Nusajaya, Johor, kelmarin. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

NUSAJAYA 13 Mac - Para pelajar perlu diberikan akses terbaik kepada pelbagai bidang pengetahuan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat madani yang mempunyai ilmu pengetahuan dan nilai moral tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar berkata, akses kepada ilmu pengetahuan adalah hak setiap individu kerana merupakan nilai penting dalam melahirkan mereka untuk menghadapi cabaran masa akan datang.

Nilai dan taraf sesebuah negara itu amat bergantung kepada masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan nilai moral yang tinggi.

Dalam usaha melahirkan masyarakat sedemikian, adalah penting untuk kita memastikan anak-anak generasi kini mendapat akses selengkapnya dalam bidang pendidikan, khususnya di peringkat sekolah," katanya semasa merasmikan Program Penambahbaikan Perpustakaan Sekolah Pintar UEM Sunrise Bhd., di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kanan Nusajaya UEM Sunrise Bhd., Mohd. Nadzari Bachek dan Guru Besar SK Taman Nusa Perintis 1, Fawzi Mohd. Noh.

Sementara itu Mohd. Nadzari berkata, program yang dijalankan pihaknya itu penting dalam usaha memupuk minat murid-murid menggunakan perpustakaan sekolah untuk menimba ilmu.

Ini penting kerana perpustakaan adalah gudang ilmu dan ilmu bukan sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, malah penting bagi mengharungi cabaran kehidupan.

Program ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial pihak UEM Sunrise yang mahu mengimbangkan pembangunan bukan sahaja dalam aspek infrastruktur, malah modal insan," katanya.

Seni warisan budaya perlu terus dipelihara

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

IAN Mak (tengah) menunjukkan sesuatu pada lukisan yang dipamerkan sempena majlis perasmian Pameran Koleksi Seni Visual Warisan dan Budaya yang diadakan di Galeri Seni, Johor Bahru, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Mac - Seni warisan dan budaya masyarakat Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun harus dilestarikan kepada generasi muda bagi membangunkan masyarakat yang bukan sahaja maju dalam pelbagai bidang moden, malah seni tradisi.

Pegawai Khas Yayasan Warisan Johor (YWJ), Mohd. Azlan Hafiz Mohti berkata, pembangunan sesebuah masyarakat amat memerlukan keseimbangan antara pengetahuan moden dan sejarah serta budaya masyarakat silam agar tidak hilang begitu sahaja.

Selain merupakan karya yang berharga, seni warisan dan budaya juga merupakan salah satu aspek unik yang membezakan Malaysia dengan negara luar.

Justeru, penting bagi warisan seperti ini terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi baharu agar karyanya dapat diteruskan," katanya semasa menghadiri majlis perasmian Pameran Koleksi Seni Visual Warisan dan Budaya yang diadakan di Galeri Seni di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Konsul Jeneral Republik Singapura di Johor, Ian Mak.

Mohd. Azlan berkata, sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, adalah penting majlis sedemikian diadakan kerana mampu mempromosikan warisan dan budaya yang dimiliki kepada pelancong asing.

Selain mampu menjadi produk pelancongan, pameran seperti ini juga bertujuan menggalakkan pengkarya menghasilkan lebih banyak karya yang mempunyai nilai warisan tinggi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Pengalaman kapten bas wanita

Posted: 13 Mar 2014 07:14 PM PDT

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar WAHIDIN SALIM

SETAHUN sudah berlalu sejak Roslina Samsudin, 39 bergelar kapten bas wanita Rapid KL yang bernaung di bawah pengurusan Rapid Bas Sdn. Bhd.

Pada awalnya, ibu tiga kepada anak itu tidak mendapat kepercayaan penuh suami untuk menjadi kapten atau pemandu bas - kerjaya yang diketahui sering didominasi kaum lelaki.

Lama-kelamaan, setelah melihat keadaan ekonomi keluarga yang semakin baik sejak dia bekerja, ditambah pula dengan kelebihan lain ditawar pihak syarikat, Roslina berjaya mendapat sokongan suami sepenuhnya.

Sebagai isteri, apa saja yang dilakukan perlu mendapat restu suami. Setelah menjadi pemandu bas, saya terangkan pada suami kerjaya ini tidak ada langsung diskriminasi terhadap wanita, malah seronok apabila pemandu perempuan sering diutamakan," ujar Roslina membuka bicara.

Bercerita bagaimana tergerak hati untuk menjadi pemandu bas, ibu kepada tiga anak lelaki berusia lingkungan tujuh dan 18 tahun itu berkata, semuanya berlaku setelah dia menonton sebuah rancangan berbentuk majalah di televisyen tentang pemandu bas wanita.

Ketika itu saya terfikir, macam seronok jadi pemandu bas. Kebetulan saya memang suri rumah sepenuh masa selepas berhenti kerja dari sektor perhotelan. Anak-anak pula semakin membesar dan memikirkan tentang simpanan di hari tua membuatkan saya mahu bekerja semula," ujar anak jati Kuala Lumpur itu.

Tunggu 'Amoi'

Laluan yang didaftarkan di bawah kod 44 memerlukan Roslina mengambil penumpang dari sekitar Bandar Tasik Permaisuri hingga ke Maybank di Puduraya.

Dia mengakui amat berbangga kerana dapat menghantar majoriti penumpang yang dalam lingkungan usia warga emas ke destinasi masing-masing.

Seronok sangat sebenarnya. Umpama kita berbakti kepada ibu bapa kita sendiri. Kebanyakan penumpang warga emas terdiri daripada kaum Cina yang memang rapat dengan saya, kami saling mengenali.

Musim Tahun Baharu Cina yang lalu mereka (penumpang warga emas berbangsa Cina) menghadiahkan saya limau dan angpow. Saya kira-kira jumlah angpow yang saya dapat mencecah RM300 juga.

Bukan itu sahaja, mak cik pak cik Cina yang saya hantar memang suka berbelanja di Pasar Pudu. Dalam sehari mereka boleh ulang-alik dua hingga tiga kali ke pasar tersebut. Mereka memang pemurah sebab kadang-kadang mereka beri sayur-sayuran yang dibeli untuk saya masak.

Bukan mahu berbangga diri, tetapi memang penumpang di sini rata-rata mengakui menunggu bas saya kerana menurut mereka pemandu bas lelaki kurang kesabaran.

Majoriti warga emas yang menaiki bas saya memang mengambil masa untuk naik kerana faktor usia, hanya pemandu perempuan yang boleh bersabar dengan mereka sebab itu mereka suka menunggu trip saya.

Paling saya tidak boleh lupa apabila seorang pak cik yang menghidap penyakit Parkinson yang sering menaiki bas saya tiba-tiba agak lama tidak kelihatan. Rupanya dia telah sebulan meninggal dunia.

Walaupun tidak ada pertalian darah dan tidak kenal rapat, hati saya tetap rasa sayu kerana dia memang penumpang yang baik dan setia," imbas Roslina, yang mengakui teringat akan arwah ibunya setiap kali menghantar penumpang warga emas.

Pelbagai gelagat

Cerita Roslina, kalau remaja pula lain pula kisahnya.

Waktu tengah hari memang ramai budak sekolah naik bas untuk pulang ke rumah. Waktu ini memang mencabar kerana kerenah budak-budak ini lain pula ceritanya.

Bayangkan ada remaja yang mengelat memasukkan duit tambah cuma 20 sen sahaja. Bagi kes seperti ini memang saya perlu periksa tambang mereka satu persatu, kalau tidak saya pula yang perlu mengganti.

Namun, adakalanya tidak sampai hati pula apabila ada pelajar yang kata duit mereka tidak cukup, ketika ini saya akan menyeimbangkan semula tambang dengan mencukupkan tambang pelajar tersebut pada wang penumpang yang beri lebih sepuluh sen," kata Roslina yang membawa kira-kira enam trip sehari.

Hampir setahun memandu bas di laluan tersebut, tragedi kemalangan yang berlaku pada 29 Januari lalu tidak mampu dilupakan Roslina sampai bila-bila.

Ketika itu di satu persimpangan lampu isyarat. Mata saya langsung tidak nampak penunggang motorsikal yang sama-sama keluar ketika lampu isyarat bertukar hijau.

Sudahnya saya melanggar penunggang tersebut dan dia terseret di bawah bas. Mujurlah saya tersedar dan syukur kepada Allah lelaki tersebut hanya mengalami luka di bahu.

Kejadian tersebut benar-benar membuatkan saya takut tetapi tidaklah sampai trauma untuk memandu lagi. Apapun pengalaman memang mendewasakan dan mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam pemanduan," katanya.

Dalam pada itu, Roslina bersyukur dan menganggap apa pekerjaannya sekarang adalah tugas yang cukup murni iaitu menghantar orang dari satu destinasi ke satu destinasi.

Malah dia berharap untuk terus bekerja sebagai pemandu selagi mampu demi amanah, ibadah dan kelangsungan ekonomi keluarga.

Zuco Fashion semakin berpengaruh

Posted: 13 Mar 2014 07:14 PM PDT

Oleh Rosmah Dain
Gambar Mohd. Farizwan Hasbullah

Pelbagai produk, aksesori dan fesyen terdapat di butik Zuco Fashion.

Sudah bertapak sejak 12 tahun lalu, Zuco Fashion dilihat semakin mengukuhkan pengaruhnya dengan melebarkan sayap ke pasaran yang lebih luas menerusi koleksi yang sepenuhnya hak milik dan rekaan sendiri.

Di sebalik kejayaan jenama tersebut, pastilah Pengasas dan Pengarahnya, Zuraidaa Borhan, yang kini boleh tersenyum lebar apatah lagi ia telah dibawa ke tahap global menerusi laman sesawang membeli-belah seperti Fashion Valet dan Zalora Malaysia.

Selain itu, kaedah pembelian secara borong dengan perlantikan ejen membolehkan semua lapisan masyarakat memperoleh setiap koleksi terbaharu dengan lebih.

Konsep kami juga unik iaitu dengan memberi kemudahan bayaran pembelian secara ansuran. Kaedah ini telah berjaya membantu lebih ramai wanita memiliki koleksi kami sesuai dengan moto kami, glamourously convenience. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh menjadi glamor dan semua mampu membeli tanpa mengira status keupayaan.

Kualiti setiap koleksi adalah terbaik dan menepati trend serta cita rasa fesyen hari ini. Kami turut menekankan konsep suai padan agar pembeli dapat lebih nilai daripada setiap pembelian," jelasnya ketika ditemui di butiknya di UP/1/5 Ukay Perdana, Ampang, Selangor.

Zuraidaa yang senang dengan panggilan June memberitahu, dia bermula berniaga baju secara kecil-kecilan dari rumah ke rumah.

Semangatnya yang suka berniaga apatah lagi dilahirkan dalam kalangan ahli perniagaan, menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya membuka mata semua orang bahawa dengan berniaga dari rumah ke rumah masih mampu memperoleh pulangan tinggi.

Anak jati Pahang dan mempunyai dua orang anak lelaki berusia 17 dan 14 tahun ini memberitahu, dia memberi tumpuan kepada fesyen muslimah moden, pakaian tradisional serta tudung.

Zuraidaa yang mempunyai diploma dalam bidang Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum melanjutkan pengajian ke Hartford University, Connecticut, Amerika Syarikat, melihat penumpuan pada perkhidmatan pelanggan adalah faktor yang menarik hati setiap pengunjung yang datang ke butiknya.

Ini bermakna, setiap pelanggan yang datang akan diberikan khidmat nasihat fesyen yang sepadan dengan diri mereka bagi memastikan mereka pulang dengan perasaan puas hati.

Menariknya, semua rekaan diilhamkan oleh Zuraidaa sendiri yang sering tampil dengan idea fesyen yang menarik dan terkini.

Hasil ideanya juga, jenama tersebut boleh diperoleh secara online.

Sebelum memulakan perniagaan ini, dia berpengalaman berkerja di pelbagai syarikat termasuk institusi kewangan khususnya dalam bidang pemasaran serta perhubungan awam.

Bercerita mengenai perniagaannya, Zuraidaa memberitahu, pada tahun ini Zuco Fashion mula memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan baharu dan lama dengan pelbagai ganjaran menarik ditawarkan kepada ahli-ahli yang berdaftar.

Kami mula memperkenalkan sistem kad ahli. Ini bermakna dengan menjadi ahli, mereka boleh membeli produk kami secara ansuran serta menikmati diskaun tambahan, hadiah istimewa dan sebagainya," jelasnya yang memberitahu label Zuco Fashion boleh disaksikan melalui blog zucofashion.blogspot.com.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi pengalaman dan rezekinya dengan melantik lebih ramai rakan kongsi dengan mensasarkan sebanyak 200 ejen.

Melalui sistem rakan niaga yang amat fleksibel, ejen-ejen ini boleh menyertai aktiviti promosi butik tersebut dengan harapan dapat meningkatkan jualan mereka.

Ramai yang mahu berniaga tetapi pelbagai alasan diberikan antaranya tiada modal, tiada duit, tiada pengalaman, tidak mahu berdepan dengan risiko dan khuatir perniagaan tidak ke mana, justeru peluang ini diberikan kepada mereka yang berminat, untuk bersama kami menjadi ejen usahawan dengan semua risiko ditanggung oleh kami," jelasnya.

Menurut Zuraidaa, untuk menjadi ejen mereka hanya perlu membayar deposit RM1,000 ejen dan boleh mengambil 30 helai pakaian atau apa juga produk Zuco Fashion yang dianggarkan lebih RM6,000 untuk dijual.

Dalam tempoh 60 hari, ejen berkenaan boleh memulangkan atau menukar baju-baju yang tidak terjual dan mengambil produk-produk lain untuk dijual semula.

"Dalam tempoh itu juga, setiap hasil jualan 10 helai ke atas, ejen akan menerima komisen 35 hingga 50 peratus, iaitu satu bentuk pulangan untung yang tinggi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved