Jumaat, 14 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


PGA tahan 62 PATI warga Turki

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

S. Sivam (dua dari kanan) bersama seorang pegawai PGA memeriksa sebahagian daripada 62 warga Turki yang ditahan di PB19, sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, semalam. - UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli

PADANG BESAR 13 Mac - Seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Turki ditahan selepas cuba menyeludup masuk ke negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand di sini hari ini.

Kesemuanya ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan rondaan di kawasan tersebut kira-kira pukul 6 pagi.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion Ke-3 PGA (Kem Bidor), Deputi Supritendan S. Sivam memberitahu, ketika ditahan kesemua PATI tersebut berada dalam keadaan keletihan dan kelaparan akibat berjalan kaki dari Thailand untuk masuk ke negara ini.

"Setelah pemeriksaan dijalankan, mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," kata beliau pada sidang akhbar di Kem PGA Padang Besar di sini hari ini.

Menurut Sivam, hasil pemeriksaan juga mendapati mereka menaiki bot dari Ankara, Turki ke Thailand dan menetap selama dua hari di negara berkenaan sebelum cuba memasuki Malaysia.

"Mereka terdiri daripada 23 lelaki berumur dari 19 hingga 35 tahun serta 15 wanita berusia dari 25 hingga 40 tahun.

"Kanak-kanak pula terdiri daripada 15 lelaki dan sembilan perempuan berusia seawal lima bulan hingga 11 tahun," tambah beliau.

Tambah Sivam, pihaknya turut merampas barangan daripada PATI berkenaan termasuk telefon bimbit selain wang tunai AS$$6,300 (RM20,659.59) untuk siasatan.

Ujar beliau, mereka dibawa ke depot PATI di Kangar dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Siasatan kecurian wang BNM lengkap

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

BALIK PULAU 13 Mac - Polis telah melengkapkan siasatan berkaitan kes kehilangan wang tunai berjumlah RM300,000 dari sebuah bilik pemprosesan mata wang di Bank Negara Malaysia (BNM) Pulau Pinang di Lebuh Light, di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, lapan petugas sebuah institusi kewangan termasuk seorang wanita kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan berkaitan kes itu.

Menurutnya, setakat ini tiada tangkapan lain yang dibuat dan kertas siasatan kes akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat.

"Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an dipercayai melakukan kegiatan terbabit sejak September tahun lalu hingga awal bulan ini.

"Kita jangka dapat mendakwa mereka dalam masa terdekat dan siasatan kes ini dibuat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah seorang bekas anggota polis yang dipukul dua lelaki di sini hari ini.

Menurut Mazlan, polis juga kini dalam usaha mengesan kesemua duit yang dicuri itu yang dipercayai digunakan oleh anggota kumpulan terbabit untuk kegunaan peribadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan mengesahkan lima kes samun melibatkan warga asing dipercayai dari Indonesia berlaku di seluruh negeri sejak awal tahun ini.

Katanya, tiga kes samun itu berlaku di kawasan Teluk Kumbar manakala masing-masing satu di Balik Pulau dan Pulau Tikus.

"Modus operandi kumpulan ini ialah mereka menyasarkan kawasan perumahan baharu yang kurang dihuni penduduk dan mereka akan bersembunyi di kawasan perumahan itu sebelum melakukan kegiatan tersebut.

"Setakat ini, tiada mangsa yang dicederakan kecuali mereka akan diikat oleh anggota kumpulan ini yang bersenjatakan pisau," katanya yang mengesahkan sekurang-kurang tiga suspek terlibat.

Dalam kejadian terbaharu 15 Februari lalu, enam sekeluarga di Teluk Kumbar di sini, berhadapan detik cemas apabila disamun tiga lelaki warganegara Indonesia sehingga kerugian RM10,000.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved