Jumaat, 14 Mac 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Tanjung Tuan persinggahan burung

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

SEBAHAGIAN pengunjung dan peminat burung helang berjalan kaki menuju ke Rumah Api Tanjung Tuan di PNB Ilham Resort, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 13 Mac - Peluang menyaksikan puluhan ribu burung helang dan spesies pemangsa lain adalah satu pengalaman menarik.

Sememangnya sungguh unik dan tidak terfikir di benak fikiran bagaimana hampir 50,000 burung pemangsa yang dalam perjalanan ke hemisfera utara boleh menjadikan hutan simpan Tanjung Tuan, Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai destinasi persinggahan sejak 15 tahun lalu.

Seperti sudah dijadualkan iaitu setiap menjelang Mac hingga April, burung-burung berkenaan mula singgah di ruang udara sekitar Tanjung Tuan yang ditadbir Majlis Perbandaran Alor Gajah, Melaka.

Burung-burung berkenaan yang datang dalam kelompok yang besar akan berlegar-legar di sekitar hutan simpan Tanjung Tuan hingga menarik ribuan pencinta alam khususnya pemerhati dan peminat burung pemangsa yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin melihat kebanjiran spesies tersebut.

Kehadiran burung-burung ini mengikut musim setiap tahun di antara hemisfera utara dan hemisfera selatan. Ketika musim sejuk burung berkenaan mencari kawasan cuaca panas khususnya di Asia Tenggara dan gugusan kepulauan Asia bagi menghindari musim sejuk serta mudah untuk mendapatkan makanan.

Uniknya Tanjung Tuan adalah lokasi paling sesuai untuk melihat 14 spesies burung pemangsa tersebut dari dekat.

Melalui Raptor Watch 2014 yang diadakan baru-baru ini oleh Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Pejabat Ketua Menteri dengan kerjasama Tourism Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan serta Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), lebih 5,000 peminat burung dari jauh dan dekat berhimpun di PNB Ilham Resort.

Peminat burung pemangsa ini bukan sahaja terdiri daripada kalangan rakyat tempatan, malah luar negara seperti Jepun, United Kingdom, Perancis, Taiwan, Singapura, Filipina dan Tunisia.

Pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), kanak-kanak dan golongan remaja tidak melepaskan peluang hadir bersama keluarga masing-masing semata-mata ingin melihat dari dekat spesies burung pemangsa berlegar-legar di sekitar hutan simpan Tanjung Tuan.

Di ruang halaman PNB Ilham Resort pula didirikan banyak khemah bagaikan satu festival sambil seluruh peminat burung berhimpun mendengar taklimat di samping menyertai pelbagai program anjuran BPP sepanjang dua hari Raptor Watch diadakan iaitu pada 8 hingga 9 Mac lalu.

Persembahan hiburan oleh kumpulan Briged Seni Melaka memeriahkan lagi program tersebut.

Uniknya Raptor Watch kali ini, biarpun pengunjung datang dari pelbagai negara, mereka dapat berkumpul, berbual dan bertukar-tukar idea.

Tidak hairanlah Raptor Watch yang dianjurkan setiap tahun oleh BPP dengan kerjasama pelbagai agensi pelancongan menjadikannya aktiviti menarik dalam kalendar pelancongan dikongsi kerajaan negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Biarpun cuaca panas terik melanda negara ketika ini, keadaan itu tidak menjadi penghalang kepada pemerhati burung pemangsa untuk bersemangat mendaki hutan simpan Tanjung Tuan mencari lokasi menarik melihat dari sudut paling dekat.

Di samping itu, kira-kira 30 sukarelawan MNS menjadi pemerhati dan mengira jumlah spesies berkenaan bermula dari Januari hingga April.

Tahun lalu jumlah yang direkodkan adalah kira-kira 50,000 burung pemangsa berlegar di ruang udara sekitar Tanjung Tuan.

Apabila musim sejuk semakin berakhir, burung-burung berkenaan mula kembali ke lokasi asal bermula awal Februari hingga April dengan melalui perjalanan sama.

Kekalkan tarikan alam semula jadi kawasan hutan simpan

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

MELAKA 13 Mac - Kerajaan negeri akan memastikan Hutan Simpan Tanjung Tuan yang ditadbir Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) tetapi terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan terus kekal tanpa sebarang pembangunan dilaksanakan di kawasan tersebut.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar berkata, hutan simpan tersebut telah diwartakan sebagai kawasan yang kekal dengan tarikan alam semula jadinya.

Usaha kerajaan negeri melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Pejabat Ketua Menteri adalah menarik lebih ramai lagi peminat burung pemangsa (raptor) membanjiri Tanjung Tuan untuk melihat ribuan spesies itu.

Saya lihat hampir setiap tahun peminat burung pemangsa ini semakin bertambah terutama pengunjung dari luar negara yang tidak melepaskan peluang apabila Raptor Watch dianjurkan di sini," katanya.

Naim berkata, berdasarkan maklumat daripada Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Maketab Mohamed, hutan simpan tersebut tidak perlu ada pertambahan infrastruktur lain.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan MNS serta pelbagai agensi industri pelancongan termasuk swasta untuk menyemarakkan Raptor Watch setiap tahun.

Sementara itu Maketab berkata, MNS melihat program Raptor Watch akan dapat menarik peminat dan pemerhati burung pemangsa pada Mac hingga April setiap tahun.

Lokasi Tanjung Tuan adalah yang terbaik untuk melihat ribuan burung dari dekat ketika spesies berkenaan berlegar-legar di ruang udara hutan simpan berbanding lokasi lain," katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan raptor tahun lalu melalui pemerhati sukarelawan, terdapat 50,000 ekor burung pemangsa singgah di Tanjung Tuan dan angka tersebut dijangka bertambah tahun ini.

Kebakaran ladang meningkat

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

AB. Halim Kamis (berdiri, kanan) melihat anggotanya membuat pemerap api yang akan digunakan untuk memadam api kecil terutama ketika musim panas di Balai Bomba Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/SAJIDA ASARULAH KHAN

JEMPOL 13 Mac - Pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Bandar Seri Jempol di sini menerima hampir 70 panggilan kecemasan melibatkan kebakaran belukar dan ladang di sekitar daerah ini sepanjang bulan ini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ab. Halim Kamis berkata, peningkatan kadar panggilan untuk kes tersebut berikutan cuaca panas yang melanda negara ini sejak Februari lalu.

Sebelum musim panas kita hanya akan menerima satu atau dua panggilan melibatkan kebakaran di kawasan ladang dan lalang dalam jangka masa sebulan.

Malah sebelum ini pihak bomba langsung tidak menerima panggilan untuk kes tersebut dan panggilan kecemasan hanya berkaitan kepada kebakaran premis dan menyelamatkan mangsa kemalangan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam cuaca panas ketika ini, pihaknya menerima hampir empat kes kebakaran hutan di beberapa lokasi yang berbeza setiap hari.

Keadaan ini menyebabkan kami terpaksa meminta bantuan daripada balai lain untuk membantu memadamkan kebakaran tersebut," katanya.

Kata beliau, kes kebakaran ladang semakin serius malah dalam bulan ini sahaja pihaknya telah menerima banyak panggilan kebakaran ladang yang melibatkan kawasan amat besar.

Baru-baru ini kami memadamkan api di sebuah ladang kelapa sawit yang terbakar dalam keluasan 116 hektar dekat Felda Serting Hilir Kompleks. Pihak bomba terpaksa mengambil masa lebih daripada 17 jam untuk memadamkan api tersebut sepenuhnya.

Dalam kes tersebut kami turut menerima bantuan daripada Felda Teknoplan untuk memadamkan api. Kawasan tersebut luas dan kami menghadapi kesukaran untuk mencari punca air apabila sungai dan parit mula kering," katanya lagi.

Ab. Halim berkata, kini anggota bomba sedang giat menyediakan pemerap api yang dibuat menggunakan hos terpakai dan rotan.

Ini merupakan salah satu inisiatif pihak bomba untuk memadamkan api kecil tanpa menggunakan air. Kami akan sediakan 10 unit pemerap api yang amat diperlukan pada masa kini.

Kali terakhir kami membuat pemerap api ini pada tahun 2012 dan ia tahan sehingga tahun ini kerana kurangnya kes kebakaran. Kini kami menambah pemerap api kerana pemerap api lama sudah rosak akibat sering digunakan dalam bulan ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved