Khamis, 26 Disember 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Malaysia harap karate dipertandingkan

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Tunku Imran (lima dari kanan) bersama atlet-atlet kebangsaan yang menerima Anugerah Atlet Cemerlang Sukan SEA MOM-Sports Toto di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Wahidin Salim

KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan harapan kepada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Persekutuan Karate Dunia (WKF) supaya memujuk Singapura memasukkan acara karate pada Sukan SEA 2015.

Menurut presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar, kedua-dua badan sukan kebangsaan dan dunia itu perlu melobi agar acara tersebut dipertandingkan di Singapura yang akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2015.

Acara tersebut tidak berada dalam senarai yang akan dipertandingkan di Sukan SEA 2015, jadi MOM akan mencuba sedaya upaya agar ia dipertandingkan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Atlet Cemerlang Sukan SEA MOM-Sports Toto semalam.

Malaysia boleh dianggap sebagai juara keseluruhan dalam acara ini di temasya dwi tahunan tersebut yang baharu ini berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar selepas meraih tujuh daripada 17 pingat emas yang ditawarkan.

Jelasnya, sesebuah negara yang menjadi tuan rumah Sukan SEA tidak akan menganjurkan acara yang tidak mampu dikuasai oleh atlet mereka dan Malaysia juga sudah pasti melakukan perkara yang sama.

Kita tidak mahu menyalahkan Singapura selaku tuan rumah Sukan SEA 2015 tetapi perkara ini boleh diusahakan oleh MAKAF dan WKF," katanya.

Antara acara yang bakal dipertandingkan di Singapura nanti ialah akuatik, olahraga, pelayaran, ping pong, kanu, boling, wusyu, lawan pedang, bola jaring, gimnastik, billiard dan snuker, hoki, sofbol, ski air, golf, bola sepak, menembak, badminton, berbasikal, tenis, pencak silat, sepaktakraw, rugbi, basketball, bot tradisional, memanah, triatlon, judo, taekwondo dan skuasy.

Acara karate telah dipertandingkan di Sukan SEA sejak 20 tahun lalu dengan pencapaian terbaik negara untuk acara ini adalah meraih sembilan pingat emas.

Pada temasya yang sama di Brunei 1999, Malaysia meraih tujuh emas dan mengulanginya di Nay Pyi Taw baru-baru ini untuk rekod paling cemerlang di luar Kuala Lumpur.

MAKAF meletakkan sasaran tiga emas di Nay Pyi Taw, namun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya bahawa atlet acara tersebut mampu meraih lebih daripada itu dengan meletakkan sasaran enam emas, hasilnya mereka berjaya memungut satu emas bonus di bawah sentuhan jurulatih Latvia, Andris Vasiljevs.

Lebih menarik acara ini merupakan penyumbang terbesar pingat emas negara daripada 30 acara yang disertai oleh atlet negara dengan lima daripadanya disumbangkan melalui acara kumite dan dua dalam acara kata.

Dalam pada itu, Tunku Imran, memuji kecemerlangan Myanmar yang menjadi tuan rumah pada Sukan SEA 2013 yang berakhir Ahad lalu dan mengakui bahawa negara tersebut mempunyai fasiliti bertaraf dunia.

Ada sesetengah penganjuran sukan di negara tersebut mencapai taraf Sukan Olimpik dan ada juga yang kurang memuaskan tetapi secara keseluruhan mereka berjaya menganjurkan temasya ini dengan baik sekali.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka selepas sekian lama tidak menjadi tuan rumah, kali terakhir pada 1969 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan SEAP. Saya harap negara ini mempunyai harapan yang cerah dalam acara sukan pada masa akan datang," katanya.

Jangan lokek melabur - Tunku Imran

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Persatuan sukan diingatkan agar tidak kedekut berbelanja terutama sekali bagi pembangunan atlet dan persiapan akar umbi jika mahu meraih kejayaan di arena antarabangsa.

Perkara itu disuarakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (gambar) yang mengakui bahawa faktor kewangan yang baik mampu untuk memberikan kejayaan kepada atlet dan juga persatuan sukan.

"Memang ada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk atlet negara, ia juga perlu digunakan bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang. Setiap badan sukan harus membelanjakan wang untuk pembangunan dan juga mencungkil bakat dari akar umbi," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Atlet Cemerlang Sukan SEA MOM-Sports Toto, semalam.

Jelasnya, MOM sentiasa mengalu-alukan atlet negara untuk beraksi di peringkat antarabangsa yang mempunyai persaingan lebih tinggi dan dalam masa yang sama ia juga dapat memberi pendedahan kepada atlet itu sendiri.

"Latihan dan beraksi di kejohanan yang besar adalah satu cara untuk atlet tersebut mempertingkatkan prestasi mereka, jadi kayu pengukur untuk seseorang atlet itu berjaya adalah di kejohanan yang bertaraf dunia.

"Tahun depan para atlet negara akan berdepan dengan jadual yang sibuk kerana terdapat dua temasya besar Sukan Komanwel 2014 di Glasgow (Scotland) dan Sukan Asia 2014 di Incheon (Korea Selatan), mereka harus mencapai tahap puncak prestasi dalam tempoh hanya dua bulan, penghujung Julai dan September," katanya.

Ujarnya, jurulatih perlu mempunyai strategi yang mampu membuatkan seseorang atlet itu mencapai puncak prestasi pada temasya akan datang kerana kedua-dua temasya besar yang bakal berlangsung tahun depan lebih sengit.

"Seperti yang saya jelaskan sebelum ini standard Sukan Komanwel dan Asia lebih tinggi berbanding Sukan SEA kerana mempunyai kuasa besar seperti Korea Selatan, Jepun dan China bagi Sukan Asia, manakala Sukan Komanwel pula sudah pasti dikuasai atlet dari England, Afrika Selatan, New Zealand dan Kanada.

"Tahun depan adalah tahun yang mencabar buat semua atlet, bagaimanapun saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas di Sukan SEA 2013 Myanmar, walaupun ada atlet yang mampu melakukan lebih baik daripada itu," katanya.

Tambahnya, atlet muda dan muka baharu yang beraksi di temasya tersebut berjaya menyahut cabaran yang diberikan oleh MOM, seterusnya Sukan SEA akan menjadi batu loncatan buat mereka berjaya pada masa akan datang.

Seramai 22 atlet yang berjaya meraih emas di Sukan SEA 2013 Myanmar menerima Anugerah Atlet Cemerlang Sukan SEA MOM-Sports Toto dengan membawa pulang RM1,000 semalam, mereka termasuk tiga pemenang pingat emas dalam acara terjun Ooi Tze Liang dan pemenang emas berganda seperti Mohd. Jironi Riduan (olahraga), Cheong Jun Hong (terjun), Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Sulaiman Muda (ekuestrian).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Sindiket curi data ATM dibongkar, lelaki warga Poland ditahan

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Izany Abd. Ghany menunjukkan alat pengimbas mesin ATM yang dirampas semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Polis menumpaskan satu sindiket mencuri maklumat dan wang pengguna mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan menggunakan alat pengimbas data setelah menahan seorang lelaki warga Poland di pusat beli-belah Suria KLCC di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika sedang menanggalkan alat pengimbas data dikenali sebagai skimming device yang diletakkan pada panel mesin ATM di pusat beli belah berkenaan hasil maklumat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd. Ghany berkata, modus operandi sindiket tersebut ialah mencuri data daripada pelanggan mesin ATM melalui alatan pengimbas tersebut sebelum membuat kad klon mereka dan mengeluarkan wang di dalam akaun mangsa di luar negara.

"Hasil pemerhatian kamera litar tertutup (CCTV), polis mendapati sindiket ini bergerak secara berkumpulan kerana terdapat dua lagi rakan suspek dirakam melakukan jenayah namun masih belum berjaya ditahan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Izany berkata, susulan penahanan itu polis percaya dapat menyelesaikan kes penemuan peralatan sama di pusat beli belah Times Square, Jalan Imbi di sini yang dilaporkan pada 25 November lalu.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan ahli-ahli kumpulan terbabit yang terdiri daripada warga asing dilaporkan sering keluar masuk negara.

"Kes seumpama ini pernah dilaporkan beberapa tahun lalu namun kini mereka dilihat kembali aktif," katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati alat pengimbas terbabit telah dibeli oleh ahli sindiket terbabit dengan harga RM8,000 seunit dan dibuat di negara ini.

Sementara itu, Izany berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada semasa berurusan di ATM sekiranya melihat peralatan yang mencurigakan dan melaporkan kepada polis.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 6 Januari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Lelaki hasut orang ramai lakukan rusuhan diberkas di Sarawak

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Pemilik akaun laman Facebook, Asmaelz Hadzeny II yang menghasut orang ramai untuk melakukan rusuhan bagi menggulingkan kerajaan serta meminta mereka mendapatkan bom untuk tujuan itu pada 31 Disember ini diberkas polis hari ini.

Lelaki berusia 25 tahun itu diberkas di Kampung Karambut, Saratok, Sarawak, pada pukul 11 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, lelaki itu akan dibawa ke Bukit Aman esok untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal, polis percaya dia merupakan orang Sarawak dan kita tahan dia untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, pemilik laman sosial itu dikesan menulis kenyataan menghasut orang ramai untuk melakukan rusuhan bagi menggulingkan kerajaan pada 31 Disember nanti.

Dia yang mendakwa berperanan sebagai cyber trooper Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekerja sebagai koordinator di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di dalam laman Facebook miliknya turut meminta orang ramai mendapatkan bom bagi tujuan tersebut.

Kenyataan berbaur ancaman dan hasutan itu dipercayai dimuat naik di laman Facebook miliknya beberapa hari lalu.

Berikutan kenyataan yang ditulis itu, lelaki yang mendakwa berasal dari Kuching, Sarawak dan pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, Kelantan, diburu polis.

Kes berkenaan disiasat di bawah bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman 15 tahun penjara malah boleh diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Republik Afrika Tengah: Keganasan ragut sekurangnya 12 nyawa

Posted: 26 Dec 2013 09:52 AM PST

BANGUI 27 Dis. - Sekurang-kurangnya 12 orang awam terbunuh sejak Rabu lalu dalam kejadian keganasan antara penduduk Islam dan Kristian, di sini.

Menurut laporan pihak hospital di sini, seramai 46 orang lagi turut mengalami kecederaan di dalam konflik keagamaan yang melanda bandar terbesar di Republik Afrika Tengah itu, dan mendapatkan rawatan di hospital terbabit. - AFP

Arafat tidak diracun - Agensi Forensik Russia

Posted: 26 Dec 2013 09:43 AM PST

MOSCOW 27 Dis. - Agensi forensik Rusia semalam melaporkan, kematian bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat bukan berpunca daripada keracunan radiasi namun pegawai kanan Palestin, Wasel Abu Yousef mendakwa penemuan itu dipolitikkan dan penyiasatan perlu diteruskan.

"Arafat meninggal dunia secara semulajadi dan bukannya disebabkan radiasi, kata ketua badan forensik tempatan, Vladimir Uiba, kepada agensi berita Interfax.

Tetapi hal tersebut disangkal Wasel yang berkata, laporan forensik itu dipolitikkan seperti yang pernah dikeluarkan pasukan forensik Perancis sebelum ini.

Penyelidikan tentang kematian Arafat dilaksanakan oleh pakar forensik Switzerland, Perancis dan Rusia selepas agensi berita al-Jazeera melaporkan tentang penemuan bahan radioaktif, Polonium-210 di pakaiannya baru-baru ini. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Jumlah penghidap HIV menurun

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Ahmad Shukri Ismail (dua dari kiri) melawat pasukan sukarelawan memeriksa kesihatan penduduk sempena Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Pahang di PPPTR Sungai Tekam, Jerantut, Pahang, semalam.

JERANTUT 26 Dis. - Jumlah penghidap jangkitan HIV di negeri ini sehingga Oktober lalu menunjukkan penurunan kepada 15.8 peratus berbanding 28.1 peratus pada 2009.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, peratusan itu membuktikan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan melakukan pelbagai kempen pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dengan memperuntukkan RM1.23 bilion sejak 1993 hingga 2012.

"Kejayaan ini antara mekanisme dirangsang menerusi pelbagai program yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dengan memfokuskan penyebaran maklumat kepada masyarakat mengenai bahayanya jangkitan HIV dan AIDS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat negeri di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR) Sungai Tekam di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Abu Bakar Awang Ngah; Pegawai Kesihatan Jerantut, Dr. Wan Abd Rahim Wan Muhamad dan Penolong Pegawai Daerah Jerantut, Nadiatul Aswani Mohd. Yusoff.

Menurut beliau, antara program dilaksanakan adalah pertukaran jarum dan peralatan suntik dalam kalangan penagih dadah dengan ubat methadone menerusi program terapi di klinik kesihatan serta pertubuhan bukan kerajaan.

"Usaha ini memberi impak positif dengan penurunan jangkitan HIV dalam kalangan penagih pada 2005 daripada 86.9 peratus kepada 55.9 peratus sehingga Oktober lalu dalam tempoh sembilan tahun," ujarnya.

Katnya, beberapa program lain turut dilaksanakan seperti pemeriksaan kesihatan, penyampaian maklumat kepada remaja dan pameran kesihatan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia.

Tambahnya, usaha kerajaan membanteras penularan jangkitan itu mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima United Nation Malaysia Award 2013 baru-baru ini.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dikuat kuasa

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

KUANTAN 26 Dis. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah pindaan 2013 bertujuan melaksanakan undang-undang jenayah syariah dengan lebih berkesan di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan (gambar) berkata, pihaknya mengemas kini enakmen tersebut memandangkan sebelum ini terletak di bawah Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Menurut beliau, di bawah enakmen lama terdapat tiga elemen di dalamnya iaitu pentadbiran, undang-undang keluarga Islam dan jenayah syariah.

Katanya, dengan pengasingan ini menyaksikan enakmen lama hanya mengandungi dua pengurusan iaitu pentadbiran dan undang-undang keluarga Islam sahaja.

"Di bawah enakmen baharu ini sebanyak 71 seksyen berkaitan kesalahan jenayah syariah terkandung di dalamnya dengan melakukan beberapa penambahbaikan daripada segi kesalahan, denda dan penjara bagi mereka yang didapati terlibat jenayah tersebut.

"Sehubungan itu, penguatkuasaan dapat dilakukan dengan berkesan bersama agensi-agensi terlibat dalam mematuhi undang-undang syariah di negeri ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, enakmen baharu ini turut merangkumi kesalahan berhubung kesusilaan yang antara lain termasuk kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan dan perempuan berlagak seperti lelaki di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak berakhlak.

"Jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada setahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, perkara tersebut mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 25 November lalu sebelum dikuatkuasakan awal bulan ini.

Tambahnya, kewujudan enakmen ini dapat memberi impak positif kepada warga Pahang khususnya mereka beragama Islam.

"Enakmen itu juga diyakini akan dapat meningkatkan kualiti umat Islam bukan sahaja di negeri malah di Malaysia amnya," katanya.

Mangsa banjir Bera terus dapat perhatian

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

BERA 26 Dis. - Keperitan mangsa banjir di daerah ini mendapat perhatian apabila UMNO Bahagian Bukit Bintang dan Majlis Belia Selangor (MBS) menghantar bantuan berupa makanan, kewangan dan selimut kepada mereka baru-baru ini.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Bukit Bintang, Norzaity Othman berkata, seramai 40 orang terdiri daripada ahli Putera dan Puteri parti turut membantu membersihkan rumah mangsa.

Menurutnya, sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk membeli barangan keperluan seperti beras, gula, susu, biskut, selimut dan lain-lain untuk disumbangkan kepada mereka.

"Sasaran sukarelawan UMNO Bahagian Bukit Bintang adalah untuk membantu lebih 100 keluarga mangsa banjir di pinggiran Sungai Pahang termasuk perkampungan Orang Asli.

"Kedatangan kami ke sini sebagai mengeratkan silaturahim untuk membantu saudara seperjuangan yang ditimpa kesusahan seperti mangsa banjir,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan wang tunai dan barangan Misi Mangsa Banjir Bera 2013 kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Rakan Muda Bera di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Pengerusi MBS Daerah Petaling, Jamaluddin @ Jamil Alias berkata, apa yang dilakukan adalah sebagai simpati pihaknya dengan musibah yang menimpa mangsa banjir di negeri ini khususnya di Bera.

Tambahnya, usaha tersebut juga secara tidak langsung memberi mesej bahawa 'rakyat Selangor tidak melupakan rakyat Pahang' ketika berada dalam kesusahan seperti itu.

"Ini merupakan nilai tambah daripada pelbagai bantuan yang telah disediakan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


3 pengawal Filipina dijel 6 bulan

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Tiga pengawal keselamatan warga Filipina termasuk seorang wanita masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah memiliki MyKad palsu dan MyKad milik orang lain.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Algapur Sampang, 21, Aliza Lahaman, 38, dan Salihin Abnarin, 21, kesemuanya bertugas di sebuah syarikat kawalan keselamatan yang sama.

Hukuman penjara terhadap mereka yang ditangkap hari ini, berkuat kuasa dari tarikh hukuman itu dijatuhkan.

Algapur dan wanita itu mengaku menggunakan MyKad palsu manakala Salihin mengaku memiliki MyKad milik orang lain sebagai pengenalan diri ketika ditangkap pada pukul 1.20 pagi ini di Pos Pengawal Mandy Villa, No. 451, Jalan Segambut di sini.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sulaiman Ghamat mengemukakan pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Hukuman yang diperuntukkan adalah penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada masa kejadian, ketiga-tiga tertuduh ditahan sekumpulan anggota dan pegawai penguatkuasaan JPN, Putrajaya dalam operasi pemeriksaan dokumen di pos pengawal tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tertuduh mengaku tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika ditahan.

Semakan di Bahagian Rekod Kad Pengenalan di JPN mendapati MyKad yang digunakan Salihin telah dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang beralamat di Sabah begitu juga kad pengenalan palsu yang dimiliki Algapur dan Aliza turut menggunakan alamat di Sabah.

Sementara itu, Sulaiman memohon hukuman setimpal kepada kesemua tertuduh dengan hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap Aliza kerana memiliki MyKad palsu yang mempunyai ciri-ciri keselamatan terbaharu seperti MyKad keluaran JPN.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh terutama Aliza dan Salihin yang masing-masing mempunyai dua dan empat anak di negara asal merayu hukuman ringan kerana menyesal atas perbuatan masing-masing.

Remaja dituduh bunuh pelajar kolej

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

PETALING JAYA 26 Dis. - Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pelajar kolej dalam kejadian ragut, dua bulan lalu.

Mohamad Zulhamiezan Aziz, 19, didakwa bersama-sama tiga lagi lelaki yang masih bebas melakukan perbuatan itu terhadap Dickson Wong Seng Yong, 22, di lorong belakang Jalan SS 25/2, Taman Bukit Emas, Kelana Jaya, kira-kira pukul 7 pagi, 26 Oktober lalu.

Tertuduh berbaju lokap berwarna ungu hanya mengangguk tanda faham ketika tuduhan dibacakan di hadapan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Menangani kesenjangan ekonomi-politik

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh Reezal Merican Naina Merican

MENGURUS ekonomi sesebuah negara tidak semudah yang disangka. Jalan populis melampau, menempah sengsara generasi akan datang. Harus diakui, majoriti rakyat sangat terbelenggu dengan beban kos sara hidup yang semakin meninggi.

Kelmarin, penulis menghabiskan masa yang agak lama mendengar rungutan, keluhan, kerisauan rakyat terbanyak mengenai kenaikan kos sara hidup mereka seharian. Mereka yang selesa untuk berkongsi keluhan, tidak segan silu menceritakan mengenai kesan kos sara hidup kepada diri mereka dan keluarga.

Masing-masing mempunyai cerita dan keluh kesah sendiri. Anak yang ada di institusi pengajian tinggi memerlukan belanja tambahan. Anak kurang upaya memerlukan perhatian. Seorang anak remaja yang berminat mendaftar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga perlukan tindakan dan respons. Semua ini perlu didengari dengan rasa yang cukup rendah diri, bahawa besarnya amanah seorang wakil rakyat untuk mengisi kehendak rakyat.

Itu hanya tugasan sebagai pemimpin kecil di kawasan Kepala Batas. Bagaimana agaknya dengan Perdana Menteri yang terpaksa memikirkan kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Sudah tentu bebannya jauh lebih besar dan menguji.

Gema Politik 2013

Dalam menelusuri suasana politik sepanjang 2013, penulis boleh membuat kesimpulan bahawa pilihan raya umum adalah kemuncak kepada segala-galanya. Persaingan populariti kepimpinan, pertandingan keutuhan parti, perseteruan mendapat mandat dan kepercayaan rakyat menjadi latar belakang yang sangat menduga. Media sosial menjadi saksi, bagaimana fitnah menjadi modus-operandi politik yang bersifat lepas bebas.

Segalanya dijual dan dihidangkan kepada rakyat. Atas nama kesejahteraan rakyat kononnya, janji-janji manis dibiarkan bertebaran. Harga minyak, elektrik dan kereta turun. Pendidikan diberikan percuma. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan. Ironinya, dengan janji yang semuluk itupun, mereka tidak mampu mendapat mandat dan kepercayaan rakyat.

Sudah barang tentu, ada angkubah lain yang menjadi impian dan kemahuan rakyat. Nyata, secara strategik dan bulat tekad, rakyat mahukan kepimpinan yang lebih dipercayai. Rakyat mahukan kenderaan politik yang lebih berhemah dalam mengimbangi cabaran ekonomi dan politik semasa. Rakyat menghargai barisan yang mampu menyediakan polisi tuntas dan khusus, sekali gus menyedia Malaysia ke pentas ekonomi yang lebih meyakinkan.

Hari ini, mereka kembali menyalakan amarah rakyat dengan menggunakan alasan yang sama. Kos sara hidup dijadikan alasan mereka untuk melakukan usaha menggugat kestabilan politik. Suara minoriti mahu dibangkitkan untuk mendapat tarikan politik. Rakyat pastinya boleh melihat trend politik sama mahu dibangkitkan dalam banyak siri politik jalanan sebelum ini.

Apakah pembangkang sudah hilang keyakinan untuk bersaing membentang hujah di dalam Parlimen? Apakah ini sahaja jalan pintas politik yang mereka mahukan? Apakah tiada noktah kepada usaha merosak fabrik perpaduan dan kestabilan politik negara? Mungkin pembangkang cukup naik angin apabila melihat laporan Economist Intelligence Unit: Risk of Social Unrest in 2014', yang meletakkan Malaysia di dalam kumpulan low risk seperti yang dibahaskan oleh artikel, Ripe for rebellion?: Where protests is likeliest to break out yang dibentangkan The Economist baru-baru ini.

Malaysia diletakkan dalam kalangan 31 buah negara yang berada di dalam kategori risiko sangat rendah/berisiko rendah (very low risk/low risk) di dalam kajian tersebut. Ini sekali gus memberi makna, bahawa ada kebijakan pengurusan ekonomi dan politik yang dilaksanakan kerajaan yang mendapat pengiktirafan media antarabangsa.

2014: Masih Dengan Gendang Perang?

Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan rentak politik pasca PRU13 dengan keperluan kita menjejak jalan national reconciliation yang disambut dingin oleh pembangkang. Berdasarkan untung-rugi politik, mereka merasakan ia tindakan yang mungkin merugikan. Politik mesti diatur dengan kaedah ugut, dendam, protes, ketidakstabilan dan huru hara. Ini agaknya jenama politik yang mereka mahukan.

Gerak politik yang lebih non-partisan di peringkat domestik diperlukan dalam mengurus ekonomi dunia yang semakin mencengkam. Persaingan antara negara jadi lebih kompetitif. Kehilangan niche dan kelebihan boleh berlaku dalam sekelip mata.

Menurut banyak kajian ekonomi antarabangsa, antara negara yang dijangka mencatat peratusan pertumbuhan ekonomi luar biasa adalah: Sudan Selatan (35.0 %), Macau (13.5 %), Sierra Leone (11.2 %), Turkmenistan (9.2 %), Bhutan (8.8 %) dan Libya (8.8 %). Ini di atas kertas. Apa yang berlaku di Sudan Selatan pada ketika ini, mungkin menjadikan peratusan pertumbuhan kembali merosot.

Kita harus menerima hakikat, bahawa kita sudah melangkaui zaman pembangunan yang sedemikian sifatnya. Cabaran kita adalah mencari rentak pertumbuhan ekonomi baru yang lebih tinggi rantaian nilainya. Tanpa sabotaj pihak tertentu, sudah pasti pelaburan berbilion ringgit dapat kita realisasika. Malangnya, di atas jalur kepentingan politik, ia disabotaj kumpulan yang berkepentingan.

Rakyat perlu tahu bahawa dosa mensabotaj ekonomi negara sendiri ini hanya boleh dilakukan kumpulan yang tidak bertanggungjawab - dan tidak wajar kita ampunkan sampai bila-bila. Apabila kepentingan politik mendahului rasional dan hemah yang sewajarnya, kita kembali kepada amalan politik jahiliyah dan jahat sifatnya.

Menangani Kesenjangan Ekonomi-Politik

Dalam sidang Parlimen yang lalu, sewaktu bangkit berbahas di Parlimen, seringkali penulis mengingatkan bahawa kita perlu sama-sama melihat sempadan ekonomi yang lebih menjanjikan pertumbuhan kepada negara secara keseluruhannya. Beban ini tidak seharusnya menjadi beban kerajaan semata-mata.

Pembangkang juga perlu memainkan peranan. Pada pandangan penulis, ada empat (4) jurang yang perlu kita utamakan dalam pada kita menyusun langkah pemerkasaan ekonomi tahun 2014 dan seterusnya.

Kesenjangan pendapatan Bumiputera berbanding kaum lain;

Kesenjangan pendapatan intra-etnik (menangani jurang antara Bumiputera kaya dan miskin);

Kesenjangan pendapatan bandar-luar bandar;

Kesenjangan pendapatan kumpulan berpendapatan sederhana dan berpendapatan tinggi (tanpa mengira kaum);

Kerajaan pada hakikatnya sedang melihat kepada garis-garis besar kesenjangan ekonomi-politik yang dinyatakan di atas. Yang menjadi masalah, adalah kelemahan pelaksanaan dan elemen pertanggungjawaban semua pihak dalam memastikan ia dapat dilaksana secara berkesan dan tuntas.

Dalam menyusun ritma ekonomi yang tepat, sudah pasti kita perlu melakukan beberapa usaha koreksi yang agak menyakitkan. Namun, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Barisan Nasional (BN) juga tidak akan berhenti memikirkan inisiatif untuk membantu rakyat. Komitmen akujanji perlu dilihat dalam konteks satu penggal/5 tahun - dan bukannya beberapa bulan selepas PRU.

Selamat tahun baru 2014 - dan semoga kita mampu menjadi ahli politik dan rakyat yang lebih bertanggungjawab.

PENULIS ialah Ahli Parlimen Kepala Batas dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Himpunan guling kerajaan langkah terdesak

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Dari Jendela Tok Ki

PENGANJURAN perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini dilihat sebagai langkah terdesak sesetengah pihak yang anti proses demokrasi dan mempunyai misi peribadi.

Enam bulan lalu rakyat telah membuat pilihan untuk kerajaan yang ada meneruskan khidmatnya yang sah selama lima tahun lagi. Apakah proses demokrasi yang telah dan sedang berjalan tidak memadai untuk menguji pilihan rakyat terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan.

Mungkin agaknya kumpulan ini terpengaruh dengan perhimpunan menggulingkan kerajaan yang berlaku di Thailand kerana terdapat sebilangan pemimpin yang masih terkilan dan kempunan untuk menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan.

Kecenderungan anarki ini adalah sesuatu yang tidak harus dibenarkan di Malaysia kerana kesannya terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara adalah besar.

Suara majoriti harus dihormati. Apa salahnya tunggu lima tahun lagi untuk tunaikan proses demokrasi supaya pilihan rakyat dihargai.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu berlaku siri demonstrasi di seluruh negara kerana tidak mahu mengiktiraf keputusan pilihan raya dan berbagai isu ditimbulkan untuk menggambarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil.

Ironinya bila proses mengangkat sumpah di Parlimen sedang berjalan, demonstran jalanan membaringkan diri di pintu masuk Parlimen melakukan protes terhadap keputusan pilihan raya tetapi pada masa yang sama pemimpin pembangkang mengangkat sumpah menerima pelantikan sebagai ahli parlimen.

Hal yang sama terjadi apabila dalam ucapan Presiden UMNO merasmikan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dengan menyelitkan kenyataan Anwar Ibrahim menafikan isu kemasukan 40,000 orang Bangladesh terlibat dalam pilihan raya dan kenyataan awal beliau sebelum pilihan raya sebagai sesuatu yang bercanggah tidak ada reaksi dan tindakan diambil.

Dua isu ini sangat jelas menunjukkan bahawa bukan sangat kebenaran mempertahankan prinsip yang mahu diperjuangkan tetapi ia dilihat sebagai tindakan terdesak supaya kegagalan proses demokrasi terjadi dan dakwaan yang dibuat diterima sebagai benar dan sahih.

Masyarakat di Malaysia tidaklah terlalu naif atau lemah untuk menilai benar atau salahnya akan sesuatu isu. Mengapa kebebasan menyatakan kebenaran semacam ingin dipaksakan kepada rakyat sedangkan kumpulan ini selalu menyatakan bahawa kebebasan menyuarakan pandangan adalah hak asasi manusia.

Dalam tradisi Islam tidak ada kebebasan mutlak melakukan apa saja kerana batas undang-undang dan etika harus dihormati. Dalam kamus kelompok anarki mereka seolah-olah boleh melakukan apa saja asal cita-cita politik mereka tercapai.

Ada maksud yang tersirat mengapa perhimpunan seperti ini direncana? Seperti juga himpunan yang lalu ia akan menemui kegagalan kerana rakyat sudah tahu hasrat mereka. Tidak ada isu-isu yang substantial yang ingin diperjuangkan.

Sebaliknya dalam kalangan mereka banyak isu yang menimbulkan kesedaran umat Islam terjadi. Isu Kalimah Allah, faham pluralisme agama, isu-isu Comango yang menyentuh kepentingan hak asasi dan agama di Malaysia , isu Syiah yang sedang berbangkit adalah antara isu yang mereka tidak jawab dengan jelas.

Apakah ini maksud tersirat supaya mereka dapat mengalihkan perhatian rakyat kepada isu-isu yang mereka sendiri timbulkan dan terjebak dengannya kepada isu-isu semasa dengan harapan sentimen rakyat dapat dibakar dan memihak kepadanya.

Justeru perhimpunan guling kerajaan 31 Disember ini tidak lebih sebagai suatu gimik politik kelompok berkepentingan untuk menarik perhatian rakyat.

Cita-cita mereka, kalau dengan proses demokrasi kuasa masih kekal di tangan pemerintahan yang ada mengapa tidak dicuba cara yang sedang berlaku di Thailand sekarang.

Golongan terdesak ini mempunyai agenda peribadi yang perlu disempurnakan kerana menunggu PRU-14 apa-apa boleh terjadi dalam kepimpinan Pakatan Pembangkang kerana akibat tsunami politik PRU-13 rakyat sudah mula sedar betapa pentingnya Malaysia memiliki agenda perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat dalam membangun negara.

Pendekatan ekstrem atau pelampau sedang ditolak oleh masyarakat. Kalau masa-masa yang lalu demonstrasi jalanan gagal, penulis yakin perhimpunan ini juga akan gagal.

Masih ramai orang yang rasional yang dapat membezakan proses demokrasi dengan perhimpunan haram yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Kembali berlakon bersama

Posted: 25 Dec 2013 09:06 PM PST

KALIMAH Jiwa turut dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti (Dari kiri) Raja Ilya, Bella Dally, Amar Baharin, Amyrah Rosly serta Nazim Othman.

SELEPAS sebulan berehat dari kancah hiburan dan juga bidang lakonan, pelakon cantik Bella Dally kembali ke persada seni tempatan dan bakal tampil dengan drama baharu lakonannya yang turut dibintangi Nazim Othman, Amar Baharin dan Raja Ilya yang bakal ditayangkan dalam Slot Azalea TV3 berjudul Kalimah Jiwa.

Menurut Bella, dia membuat keputusan menerima tawaran berlakon dalam drama tersebut pada saat-saat akhir sekembalinya dia daripada bercuti di kampung halamannya, Kota Kinabalu, Sabah.

" Saya menerima tawaran berlakon tersebut pada saat-saat akhir. Setelah sebulan bercuti, saya dapati agak susah untuk menyesuaikan diri dalam beberapa perkara. Ambil masa juga untuk dapatkan semula momentum dalam lakonan.

" Agak kaku pada permulaan, tapi setiap hari saya akan memperbaiki diri. Saya juga banyak belajar daripada pelakon-pelakon yang lebih senior supaya lakonan nampak lebih matang.Dalam drama kali ini, saya memegang watak Aina Sofea, seorang yang penyabar dan juga kekasih kepada Aniq (Nazim) yang dipaksa berkahwin dengan Afiq (Amar)," katanya.

Sebelum ini, kontroversi antara Bella dan Nazim menjadi bualan hangat media apabila gambar pasangan ini masing-masing mengenakan pakaian pengantin dan ada desas-desus mengatakan pasangan ini telah bernikah secara senyap. Tambah lagi, Bella pernah menyatakan bahawa dia enggan berlakon di samping Nazim.

"Saya bukan tidak mahu berlakon dengan dia (Nazim), cuma saya akan menerima tawaran berlakon jika diberikan watak yang sesuai. Peranan untuk drama Kalimah Jiwa ini bersesuaian dengan saya, malah Nazim juga turut berlakon sama, jadi apa salahnya jika hendak cuba," katanya.

Menyentuh tentang hubungannya bersama Nazim, Bella menjelaskan bahawa dia lebih selesa untuk tidak membincangkan isu tersebut.

"Saya bukan hendak berahsia, cukuplah orang tahu yang hubungan antara kami sebagai pasangan kekasih. Saya lebih selesa tidak berkongsi dengan sesiapa.

"Saya tidak takut jika ada pihak hendak buat spekulasi liar tentang hubungan kami. Apa yang paling penting hubungan saya dan Nazim adalah serius dan bukan sekadar main-main. Untuk masa sekarang, saya tidak berani hendak sentuh tentang perkahwinan, dan kami selesa dengan keadaan sekarang," ujarnya.

Komited tugas anak seni

Nama Nazim Othman tidak perlu diperkenalkan lagi. Buka sahaja terkenal dengan rupa parasnya yang kacak, namun kualiti lakonannya dalam drama dan filem sering menjadi tumpuan masayrakat.

Figura ini mengakui, menggalas tugas sebagai anak seni bukan seuatu perkara yang boleh dianggap sebagai senang dan sekadar ingin popular.

"Tugas sebagai seorang pelakon bukan sesuatu yang mudah. Kita harus faham peranan yang dibawa oleh watak berkenaan. Malah, setiap watak ada cabaran yang tersendiri. Sebagai contoh,bagaimana kita hendak lakonkan watak sakit jika kita tidak dapat menjiwai watak tersebut dengan baik.

"Saya sangat komited dengan tugas. Boleh dikatakan, saya seorang yang tegas dalam bidang lakonan. Malah saya tidak suka jika terdapat sebarang kesilapan seperti terlupa dialog dan sebagainya. Saya bukan sekadar tegas dengan orang lain, malah saya juga tegas dengan diri sendiri dan akan memastikan saya sentiasa berdisiplin dalam sebarang tugas yang diberi," katanya.

Mengulas tentang peranannya dalam drama Kalimah Cinta bersama Bella, Nazim sedikit pun tidak terganggu dengan kehadiran kekasihnya yang turut berlakon sama.

"Dalam drama kali ini, saya memegang watak utama Aniq. Berbeza dengan watak-watak lain, kali ini saya akan membawakan watak yang mempunyai penyakit kronik. Agak sukar melakonkan babak sakit. Jika tempoh penggambaran ini dipanjangkan, saya sanggup menurunkan berat badan untuk menjiwai watak yang diberi.

"Tiada sebarang masalah berlakon bersama Bella. Pada mulanya, agak kekok kerana tidak semua tempat kita ada keserasian yang sama. Malah, jika dia melakukan sebarang kesilapan di set, saya sendiri akan tegur. Sebagai seorang yang lebih dewasa, saya bukan hendak ubah dia, cuma apa yang saya tegur adalah demi kebaikan dia," katanya ketika ditemui di set penggambaran Kalimah Cinta di Kajang baru-baru ini.

Tambah Nazim lagi, dia berasa gembira dapat berlakon bersama Bella kerana mereka jarang kali berjumpa walaupun sudah dua tahun bergelar pasangan kekasih.

"Selalunya kami jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Tetapi kali ini, diberi peluang berlakon sekali, saya rasa gembira dapat berjumpa dengan dia setiap hari. Malah, dengan cara ini saya boleh kenal dia dengan lebih mendalam. Menyentuh soal masa depan dan perkahwinan, saya tidak berani hendak janji kerana semua ini ketentuan Tuhan. Apa yang saya boleh kata, biar dia (Bella) rasa kehidupan ini dahulu. Ada banyak perkara dan selok-belok bukan sahaja dalam industri, malah dalam kehidupan yang belum dilalui.

"Insya-Allah jika ada jodoh kami akan bersama. Saya juga sering bertanya kepada rakan-rakan artis lain yang telah berkahwin tentang kehidupan mereka selepas berkahwin dan ini sedikit sebanyak membantu dan mengajar saya dalam mengatur corak hidup pada masa akan datang.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu, Nazim menjelaskan bahawa dia bakal berlakon dalam video muzik nyanyiannya sendiri.

"Tahun depan, saya akan berlakon dalam klip video nyanyian saya sendiri bertajuk Destinasi yang dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan April. Lagu berentak pantas tersebut berkisar tentang hala tuju sebagai seorang manusia.

"Namun, lagu ini sekadar suka-suka sahaja. Tidak pernah terfikir langsung untuk buat album penuh. Malah, saya lebih utamakan karier lakonan berbanding nyanyian. Saya tidak mahu letak sebarang batasan dalam hidup, kalau boleh saya hendak cuba semua benda. Pertama kali lagu saya dimainkan adalah dalam drama lakonan sebelum ini Begitulah Cinta," katanya berseloroh.

Konsert Krismas penuh tenaga

Posted: 25 Dec 2013 09:06 PM PST

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my

PERSEMBAHAN kali ini para anggota orkestra memakai pakaian santai untuk sesuai dengan suasana sambutan Krismas.

SAMBUTAN Krismas buat penganut Kristian pada tahun ini pasti sungguh meriah. Rasanya sudah cukup sebuah konsert yang berlangsung selama dua jam membuktikan kemahiran sesebuah kumpulan orkestra memainkan alat muzik yang menjadi taruhan mereka.

Persembahan dengan judul Ho! Ho! Holiday Special oleh Orkestra Remaja Filharmonik Malaysia (MPYO) dengan kerjasama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menunjukkan MPYO tidak gentar dengan kehadiran pemuzik handalan dari MPO.

Tindakan itu meletakkan mereka pada satu kelas yang tersendiri. Bertempat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Jumaat lalu merupakan satu pembuktian. Penuh tenaga dan perjalanan konsert itu sendiri menunjukkan kesungguhan pihak MPYO dan MPO mempamerkan sesuatu yang meninggalkan kesan di dalam jiwa khususnya dalam menyambut hari Krismas.

Ini merupakan satu konsert yang diadakan untuk menggamatkan perayaan Krismas. Dengan kehadiran konduktor berpengalaman yang mengikuti orkestra seawal usia 11 tahun, Kelvin Field, konsert dimulakan dengan alunan muzik The Snowman selama 30 minit sebelum waktu rehat bermula.

Penataan cahaya dan pembentukan set pentas yang ringkas membuatkan konsert ini berada di kelas yang tersendiri. Ditambah pula dengan penampilan semua pemuzik memakai topi Krismas sewaktu mengadakan persembahan.

Kehadiran penonton memenuhi dewan yang tidak berganjak terus leka menyaksikan konsert yang memainkan lagu-lagu Krismas. Persembahan diteruskan selepas 20 minit waktu rehat.

Muzik lagu Troika, Waltz Of The Snowflakes, Rudolf, The Red Nose Reindeer, Have Yourself A Merry Little Christmas, Carol Of The Drum, A Crooning Christmas Cracker dan Carol Medley hasil gesekan biola membuatkan penonton terhibur.

Suara hebat

Tidak cukup dengan lagu-lagu berkenaan, konsert diteruskan dengan menampilkan Kumpulan Koir Kanak-kanak Kuala Lumpur dan seorang kanak-kanak bernama Naqib Jaafar yang digelar Boy Soprano.

Julukan itu jelas membuktikan mereka hebat dengan lagu-lagu seperti Jingle Bells. Kesemua penonton mengikut dan menyanyi bersama.

Field pula mengetuai orkestra itu dengan penuh bertenaga dan mantap. Malah, dia juga pandai mencuri hati peminat dengan skil komunikasinya.

Penonton pada malam itu benar-benar terhibur dan terus asyik dibuai muzik-muzik Krismas. Mereka tidak mahu bangun dan ingin konsert terus dipersembahkan.

Konsert pada malam itu ditamatkan dengan lagu The 12 Days Of Christmas. Nyata vokal kumpulan koir itu tiada tandingannya. Penonton bertepuk riang dan gembira. Suasana Krismas semakin hidup. Sesekali terdengar mereka mengucapkan "Merry Christmas" kepada penonton lain.

Satu ucapan tahniah dan terima kasih perlu kepada usaha yang ditunjukkan itu. Field sememangnya seorang konduktor yang cukup dikenali dengan kemahiran dia bersama penonton.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Perpustakaan rumah kedua

Posted: 25 Dec 2013 09:06 PM PST

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

Membaca dalam suasana santai di bawah replika pokok besar Reading Tree.

Jika anda memiliki sebuah taman dan perpustakaan, anda memiliki semua yang anda perlukan. Ungkapan ini sangat jelas menggambarkan kepentingan perpustakaan dalam menyediakan bahan bacaan dan maklumat kepada masyarakat.

Perpustakaan bukan terhad sebagai sebuah tempat untuk menimba ilmu dan pusat rujukan, malah ia juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk melakukan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat khususnya kepada kanak-kanak.

Oleh itu, sepanjang cuti sekolah yang hampir ke penghujungnya ini, ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka menghabiskan masa bersantai sambil menimba ilmu di gedung bacaan terutamanya perpustakaan yang disediakan berdekatan dengan tempat tinggal.

Salah satu perpustakaan yang menawarkan pengalaman menarik dan tenang adalah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor(PPAS).

Pembinaan bangunan baru Perpustakaan Raja Tun Uda , Shah Alam, itu dimulakan pada September 2007 di lokasi yang strategik, aman dan hijau iaitu bersesuaian dengan konsep 'perpustakaan dalam taman'.

Selain memberi kelainan kepada peranan perpustakaan iaitu sebagai gedung bacaan untuk para pelajar, penyelidik, dan pendidik, perpustakaan tersebut turut dilihat menjadi tempat beriadah seisi keluarga bahkan tempat mencari ilham kepada pencinta seni.

Pembantu Perpustakaan, Juliana Es Mohamed Munawir berkata, bangunan perpustakaan ini berkeluasan 18,992 meter persegi dan setinggi 6 tingkat dengan kapasiti kira-kira 2,500 orang pengunjung pada satu-satu masa, serta mengandungi 400,000 naskhah buku.

"Perpustakaan RATU merupakan ibu pejabat kepada 96 perpustakaan lain yang terdapat di Selangor. Dibahagikan kepada enam bahagian merangkumi ruang santai, bahagain bacaan kanak-kanak, koleksi remaja dan dewasa, koleksi pinjaman dewasa, bahan rujukan dan penyelidikan serta bahagian ensiklopedia.

"Selain menyediakan bahan ilmiah, PPAS juga menyediakan beberapa aktiviti santai yang digemari oleh golongan remaja dan kanak-kanak yang berkunjung ke sini.

"Sebagai contoh, di bahagian ruang legar, disediakan tempat untuk aktiviti santai dan ekstrem seperti teater xd, 6d dan 3d. Aktiviti permainan lasak ini mendapat sambutan golongan remaja dan pelajar terutama selepas mereka penat menghadap buku.

"Sekali permainan akan dikenakan bayaran sebanyak RM 1O, mereka akan dapat rasai pengalaman tersebut dengan kelajuan empat gegaran per saat dan dengan had ketinggian tidak melebihi 1.4 meter," jelasnya.

Juliana berkata, bahagian kanak-kanak yang terletak di sayap kanan tingkat bawah dikhaskan untuk pengguna di bawah umur 10 tahun.

"Selain pilihan luas buku kanak-kanak yang boleh dipinjam dengan koleksinya hampir 47,000 naskah, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pelbagai sudut menarik seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Siber dan Zon Interaktif.

"Zon Kreatif dibangunkan untuk memudahkan penganjuran pelbagai aktiviti minda. Kemudahan pentas pula membolehkan kanak-kanak menyertai aktiviti setiap hujung minggu dan juga musim cuti sekolah seperti pertandingan mewarna, bercerita, senamria dan pertunjukan boneka.

"Reading Tree pula merupakan ruang berkonsep taman dalam perpustakaan untuk kanak-kanak membaca dalam suasana yang santai dan konsepnya diambil dari sebuah perpustakaan di Singapura.

"Sebatang replika pokok besar dibina untuk menggamit kanak-kanak berehat dan membaca di bawahny tanpa mengira apa juga cuaca di luar sana dengan dikelilingi bahan bacaan di rak buku yang berwarna-warni," katanya.

Tidak terhenti setakat itu, keseronokan berterusan di Zon Interaktif dengan permainan i-Step yang berupaya membangkitkan mood ceria kanak-kanak, manakala On Location Reporter pula merupakan aplikasi permainan yang melatih kanak-kanak membuat pengucapan awam gaya seorang wartawan.

Tidak ketinggalan Zon Siber yang menyediakan lapan komputer peribadi berasaskan Windows dan lapang komputer iMac yang mengajak kanak-kanak menerokai dunia siber dengan penggunaan hanya RM1 sejam sahaja.

Dalam pada itu, kata Juliana lagi, sepanjang cuti sekolah pihak perpustakaan juga mengadakan aktiviti-aktiviti istimewa seperti seni kreatif, pertunjukan boneka burung, pertandingan membaca buku cerita, pertandingan x-bow bowling, melawat ke setiap tingkat dan banyak lagi.

Apa kata pengunjung

Sementara salah seorang pengunjun, Siti Nor Aishah Mohd. Yunus, 10, mengakui sering berkunjung Perpustakaan Raja Tun Uda terutama pada setiap hujung minggu bersama keluarganya walaupun mereka menetap di Bukit Uda, Klang.

"Setiap hujung minggu ayah akan membawa saya dan adik beradik untuk menghabiskan masa di sini.Sekarang musim cuti sekolah, jadi memang banyak masa akan dihabiskan di sini dari pagi hingga petang.

"Saya suka datang perpustakaan di sini kerana banyak pilihan buku dan bahan bacaan yang disediakan. Selepas penat membaca buku, saya juga boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik yang di sediakan di zon kreatif kanak-kanak," katanya.

Berlainan pula dengan adik, Afif Firdaus Mohd. Tahir, 8 , yang dihantar oleh ibu bapanya untuk menghabiskan masa cuti dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat.

"Ibu dan ayah hantar saya ke sini dari pagi dan akan mengambil saya pada sebelah petang. Selalunya kami akan habiskan masa di sini pada cuti hujung minggu.

"Di sini saya suka membaca buku cerita. Banyak pilihan buku cerita yang menarik dan bagus.

"Selain membaca, saya juga dapat kenal ramai kawan dan mencuba pelbagai permainan dan aktiviti yang disediakan sepanjang musim cuti ini," jelasnya.

Di sebalik kesusahan ada kesenangan

Posted: 25 Dec 2013 09:06 PM PST

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

MOHD. Salleh Zahari selesa mengusahakan ternakan ayam itik sebagi sumber pendapatan utamanya.

KENANGAN silam adakalanya terlalu kelam untuk dirakam. Namun, membiarkan diri terus diulit kenangan tanpa usaha merubah keadaan, bukanlah satu pilihan. Itulah kalimah yang meluncur laju daripada lidahnya, saat penulis memboncengi motorsikalnya membelah jalan yang sempit menuju ke rumahnya. Itulah Mohd. Salleh Zahari, 57 yang bakal berkongsi kisah perjuangannya kali ini. Bersama pasangannya, Norsima Mohd. Nor, 56, penulis ingin mengajak semua pembaca untuk mencicipi getir dan gigihnya mereka membanting tulang demi menyara keluarga tersayang.

"Kami sudah lama menetap di Lembah Klang. Dahulu pada 1980, mula-mula bas mini diperkenalkan, sayalah antara pemandu terawal yang membawa bas berkenaan. Kemudian, pada1995 selepas perkhdimatan bas mini dihentikan di Kuala Lumpur, saya beralih angin memandu bas metro sehinggalah 1996."

Demikianlah permulaan kisah kehidupan Salleh dan dia tidak segan berkongsi bagaimana dahulu dia hanya dibayar gaji RM8 sehari memandu bas mini dan kemudiannya dibayar RM70 sehari apabila memandu bas metro. Namun, faktor usia tidak membetahkannya berlama-lama untuk terus memandu, sehinggalah dia akhirnya mengambil kata putus berhenti dan mencari rezeki membaiki motorsikal, kereta ataupun bas buat mengisi pendapatan.

"Sehabis belajar sekolah menengah dulu, saya pernah dimasukkan ke institut kemahiran selama dua tahun. Sebab itu, saya boleh membaiki kerosakan kenderaan jika tidak serius keadaannya."

Mungkin wajar dikongsikan, kehidupan pasangan ini telah diserikan dengan kehadiran 11 orang anak. Namun dua daripadanya telah meninggal dunia dan kini hanya tinggal sembilan orang yang berusia di antara 10 hingga 36 tahun. Di samping itu, mereka turut memelihara enam orang cucu yang kematian ibu dan ayah. Beberapa orang anaknya yang dewasa telahpun mendirikan rumah tangga, namun keadaan mereka yang sederhana menyebabkan Salleh tetap perlu bekerja demi keluarga.

Menjual pisang goreng

"Alhamdulillah, di samping suami mengambil upah membaiki kenderaan, saya pula mencari rezeki dengan menjual goreng pisang. Syukur, hasil jualan berkenaanlah yang telah mampu menampung keperluan kami sekeluarga," tambah Norsima pula.

Ternyata Norsima memang jujur membantu keluarganya. Dengan bantuan dan bimbingan Amanah Ikhtiar, dia menjual pisang goreng di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sg. Pusu, Gombak. Namun, beberapa kali juga dia telah didatangi pihak berkuasa tempatan dan akhirnya kini lebih selesa menjalankan perniagaan di tapak baharu, iaitu di hadapan Sekolah Menengah Intergrasi Gombak.

"Dahulu gerai saya dibuka mengikut waktu persekolahan. Bila cuti sekolah, saya tiada pendapatan. Kini, di lokasi baharu setiap hari saya akan berniaga, hanya hari Rabu sahaja saya bercuti, kerana perlu menghadiri bengkel niaga yang diwajibkan Amanah Ikhtiar. Syukur, pendapatan berniaga itulah yang menyangga kami sekeluarga walau tidak seberapa," jelas Norsima.

Tahun 2011 adalah tahun yang paling getir bagi mereka sekeluarga. Kisahnya, rumah mereka di Pangsapuri Mutiara Gombak, telah tertunggak bayaran bulanannya melebihi setahun. Norsima dan Salleh tidak menyedarinya, kerana selama ini mereka menyangka ia telah dilangsaikan oleh salah seorang anak mereka. Tambahan, Norsima sendiri mencari rezeki di Shah Alam.

"Pihak bank telah meminta kami menjelaskan tunggakan, minimumnya RM3,000. Dalam keadaan terdesak seperti itu, mustahil saya dapat menyediakannya," kata Salleh.

Lebih mendukacitakan, apabila mereka terpaksa menerima hakikat yang lima orang cucu mereka turut tidak bersekolah. Apabila ditambah dengan anak mereka sendiri, maka jumlahnya menjadi besar dan hampir tidak terjangkau dek kudrat mereka untuk menyekolahkannya.

Disantuni jiran

"Jujurnya, saya tidak akan dapat melupakan saatnya kami harus keluar dari rumah yang telah kami beli itu, tanpa kami sendiri ke mana arah hendak dituju," ujar Norsima terharu dan di kelopak matanya, tergenang air menanti masa untuk berlenang.

Namun, Allah SWT mentakdirkan mereka dikelilingi oleh jiran tetangga yang baik. Demi mengetahui keadaan diri mereka, derma kilat langsung dikutip. Akhirnya, berbekalkan wang sejumlah RM7,000 mereka mencari tapak baharu untuk meneruskan kehidupan. Malah, salah seorang Ahli Jawatankuasa Surau juga turut meminta mereka agar berpindah sementara waktu di sebuah kawasan tanah rizab jalan di belakang sekolah yang berdekatan.

"Kami pun menggunakan wang berkenaan untuk membina sebuah rumah. Mujurlah kami tidak ada banyak barangan, tidak perlulah kami menyewa lori, cukup mengangkutnya sedikit demi sedikit ke rumah baharu kami," tambah Norsima.

Menurut Salleh pula, tanah yang bakal mereka diami kala itu memang hutan banat sepenuhnya. Dia tidak akan lupa, saat membersihkannya mereka bertemu dengan ular, biawak malah pelbagai jenis haiwan berbisa. Andai dibandingkan dengan kondisi terkini, pasti kita tidak akan menyangka bagaimana rupa asalnya.

"Tidak sekadar itu, pihak AJK surau juga meminta kami menghubungi Lembaga Zakat Selangor (LZS). Dalam keadaan tidak tahu apa yang bakal dibantu, kami mencuba nasib mendatangi LZS di Taman Melawati. Tidak disangka, itulah rupanya pembuka jalan yang lebih bermakna bagi kami menjamin kehidupan," kata Salleh seterusnya.

LZS pula segera menghantar seorang pegawai untuk menyiasat kehidupan mereka sekeluarga. Lalu, menjelang 2012, bantuan pun dihulur dengan teratur.

"Kami menerima bantuan persekolahan bagi anak-anak dan cucu, bantuan Ramadan dan raya, juga bantuan makanan bulanan dan kewangan bulanan."

PENULIS ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pemandu KL tak makan saman

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Seorang pegawai DBKL mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan mewah kerana kesalahan meletakkan kenderaan di tempat menunggu bas semasa Ops Halang di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Operasi Halang (Ops Halang) yang diperkenalkan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak dua tahun lalu dilihat kurang membuahkan hasil apabila jumlah kompaun yang dikeluarkan semakin meningkat.

Ketua Inspektor Cawangan Trafik Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Afzal Nizan Abd. Latif berkata, sepanjang Ops Halang tahun ini sebanyak 3,475 notis kompaun dikeluarkan berbanding 1,455 pada tahun lalu.

Menurutnya, jumlah ini termasuk 114 notis kompaun pelbagai kesalahan yang dikeluarkan dalam Ops Halang Siri ke-26, hari ini.

"Ops Halang hari ini merupakan yang terakhir bagi tahun ini. Selain notis, dua tindakan tunda telah dikeluarkan oleh DBKL ke atas pesalah kerana menghalang lalu lintas.

"Peningkatan jumlah kompaun yang dikeluarkan membuktikan bahawa pemandu-pemandu masih kurang memahami tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya bagi melancarkan perjalanan terutamanya di kawasan pusat bandar raya," katanya pada majlis taklimat 'Operasi Halang' di Bilik Gerakan Jabatan Keselamatan dan Pengangkutan DBKL, Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Operasi bersepadu diketuai Pegawai Unit Trafik DBKL, Inspektor Md. Isa turut itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Operasi selama lebih dua jam bermula pukul 10 pagi itu melibatkan sekitar Jalan Tun H.S Lee, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Leboh Pasar dan Jalan Ampang yang sering menjadi tumpuan pemandu kenderaan.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenakan kompaun hari ini adalah meletak kenderaan di siar kaki, garisan kuning, membuat halangan dan asap berlebihan.

"Jumlah kompaun yang dikenakan oleh DBKL berjumlah antara RM100 hingga RM150 bagi pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Manakala kompaun sebanyak RM300 pula dikeluarkan JPJ bagi kesalahan cukai jalan dan lesen tamat tempoh dan lain-lain lagi,"tambahnya.

1,581 mesin judi dirampas di Ampang

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Amiruddin Jamaluddin (kanan) bersama pegawainya melihat peralatan perjudian yang dirampas yang hendak dilupuskan di Balai Polis Pandan Indah, Ampang, Selangor, semalam. - utusan/AZMAN ASMAYATIM

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Sebanyak 1,581 komputer dan mesin slot judi yang bernilai lebih RM1 juta telah dirampas polis di sekitar daerah Ampang Jaya, sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, bagi tempoh Januari hingga November tahun ini sahaja, sebanyak 1376 pemeriksaan dan serbuan dilakukan.

"Hasilnya, kita berjaya merampas 965 komputer dan 146 mesin slot judi yang digunakan dalam aktiviti perjudian haram di sekitar daerah ini," katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, selain peralatan perjudian, seramai 152 'tauke' perjudian haram turut ditahan.

"Seramai 100 individu yang ditahan sudah pun dituduh di mahkamah. Ia adalah kejayaan membanteras aktiviti perjudian di daerah ini dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)," katanya selepas majlis pelupusan barang kes di Balai Polis Pandan Indah, di sini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Md. Nazri Zawawi dan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, orang ramai terutamanya Kelab Rukun Tetangga perlu memainkan peranan membantu polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kewujudan aktiviti berkenaan.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu sentiasa memantau anak mereka daripada terbabit dengan aktiviti itu dan beliau yakin aktiviti perjudian di daerahnya dapat dibendung sepenuhnya.

Puteri UMNO Shah Alam sumbang kelengkapan sekolah

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Salbiah Saari (barisan tengah, empat dari kiri) diapit oleh Nurul Husna Yem dan Azhari Shaari bergambar bersama penerima bantuan kelengkapan sekolah di Bangunan UMNO Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 26 Dis. - Seramai kira-kira 100 murid sekolah rendah di sekitar banda raya Shah Alam menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah dalam Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pergerakan Puteri UMNO Shah Alam, di sini.

Ketuanya, Nurul Husna Yem berkata, setiap pelajar menerima sumbangan berupa pakaian seragam, baju dan seluar sukan, kasut dan beg sekolah.

Menurutnya, program itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung ibu bapa pelajar bagi menyediakan keperluan anak-anak mereka pada sesi persekolahan tahun hadapan.

"Kami mengenal pasti penerima dalam kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.

"Sumbangan ini diharap dapat menyuntik semangat pelajar untuk belajar dengan lebih tekun dan seronok untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun hadapan,"katanya selepas menyampaikan sumbangan sempena Program Kembali Ke Sekolah di sini.

Yang hadir sama menyampaikan sumbangan, Ketua Puteri UMNO Selangor Salbiah Saari dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari.

Tambah Nurul Husna, pelajaran adalah aspek yang penting dalam kehidupan seorang insan dan sebagai bekas guru beliau sedar pelajar-pelajar memerlukan kelengkapan pelajaran yang sempurna untuk menuntut ilmu.

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan ibu bapa dan pelajar untuk mengadakan program pembelajaran bersama Puteri UMNO Shah Alam," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved