Khamis, 26 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pemandu KL tak makan saman

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Seorang pegawai DBKL mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan mewah kerana kesalahan meletakkan kenderaan di tempat menunggu bas semasa Ops Halang di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Operasi Halang (Ops Halang) yang diperkenalkan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak dua tahun lalu dilihat kurang membuahkan hasil apabila jumlah kompaun yang dikeluarkan semakin meningkat.

Ketua Inspektor Cawangan Trafik Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Afzal Nizan Abd. Latif berkata, sepanjang Ops Halang tahun ini sebanyak 3,475 notis kompaun dikeluarkan berbanding 1,455 pada tahun lalu.

Menurutnya, jumlah ini termasuk 114 notis kompaun pelbagai kesalahan yang dikeluarkan dalam Ops Halang Siri ke-26, hari ini.

"Ops Halang hari ini merupakan yang terakhir bagi tahun ini. Selain notis, dua tindakan tunda telah dikeluarkan oleh DBKL ke atas pesalah kerana menghalang lalu lintas.

"Peningkatan jumlah kompaun yang dikeluarkan membuktikan bahawa pemandu-pemandu masih kurang memahami tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya bagi melancarkan perjalanan terutamanya di kawasan pusat bandar raya," katanya pada majlis taklimat 'Operasi Halang' di Bilik Gerakan Jabatan Keselamatan dan Pengangkutan DBKL, Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Operasi bersepadu diketuai Pegawai Unit Trafik DBKL, Inspektor Md. Isa turut itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Operasi selama lebih dua jam bermula pukul 10 pagi itu melibatkan sekitar Jalan Tun H.S Lee, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Leboh Pasar dan Jalan Ampang yang sering menjadi tumpuan pemandu kenderaan.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenakan kompaun hari ini adalah meletak kenderaan di siar kaki, garisan kuning, membuat halangan dan asap berlebihan.

"Jumlah kompaun yang dikenakan oleh DBKL berjumlah antara RM100 hingga RM150 bagi pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Manakala kompaun sebanyak RM300 pula dikeluarkan JPJ bagi kesalahan cukai jalan dan lesen tamat tempoh dan lain-lain lagi,"tambahnya.

1,581 mesin judi dirampas di Ampang

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Amiruddin Jamaluddin (kanan) bersama pegawainya melihat peralatan perjudian yang dirampas yang hendak dilupuskan di Balai Polis Pandan Indah, Ampang, Selangor, semalam. - utusan/AZMAN ASMAYATIM

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Sebanyak 1,581 komputer dan mesin slot judi yang bernilai lebih RM1 juta telah dirampas polis di sekitar daerah Ampang Jaya, sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, bagi tempoh Januari hingga November tahun ini sahaja, sebanyak 1376 pemeriksaan dan serbuan dilakukan.

"Hasilnya, kita berjaya merampas 965 komputer dan 146 mesin slot judi yang digunakan dalam aktiviti perjudian haram di sekitar daerah ini," katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, selain peralatan perjudian, seramai 152 'tauke' perjudian haram turut ditahan.

"Seramai 100 individu yang ditahan sudah pun dituduh di mahkamah. Ia adalah kejayaan membanteras aktiviti perjudian di daerah ini dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)," katanya selepas majlis pelupusan barang kes di Balai Polis Pandan Indah, di sini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Md. Nazri Zawawi dan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, orang ramai terutamanya Kelab Rukun Tetangga perlu memainkan peranan membantu polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kewujudan aktiviti berkenaan.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu sentiasa memantau anak mereka daripada terbabit dengan aktiviti itu dan beliau yakin aktiviti perjudian di daerahnya dapat dibendung sepenuhnya.

Puteri UMNO Shah Alam sumbang kelengkapan sekolah

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Salbiah Saari (barisan tengah, empat dari kiri) diapit oleh Nurul Husna Yem dan Azhari Shaari bergambar bersama penerima bantuan kelengkapan sekolah di Bangunan UMNO Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 26 Dis. - Seramai kira-kira 100 murid sekolah rendah di sekitar banda raya Shah Alam menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah dalam Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pergerakan Puteri UMNO Shah Alam, di sini.

Ketuanya, Nurul Husna Yem berkata, setiap pelajar menerima sumbangan berupa pakaian seragam, baju dan seluar sukan, kasut dan beg sekolah.

Menurutnya, program itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung ibu bapa pelajar bagi menyediakan keperluan anak-anak mereka pada sesi persekolahan tahun hadapan.

"Kami mengenal pasti penerima dalam kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.

"Sumbangan ini diharap dapat menyuntik semangat pelajar untuk belajar dengan lebih tekun dan seronok untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun hadapan,"katanya selepas menyampaikan sumbangan sempena Program Kembali Ke Sekolah di sini.

Yang hadir sama menyampaikan sumbangan, Ketua Puteri UMNO Selangor Salbiah Saari dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari.

Tambah Nurul Husna, pelajaran adalah aspek yang penting dalam kehidupan seorang insan dan sebagai bekas guru beliau sedar pelajar-pelajar memerlukan kelengkapan pelajaran yang sempurna untuk menuntut ilmu.

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan ibu bapa dan pelajar untuk mengadakan program pembelajaran bersama Puteri UMNO Shah Alam," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved