Khamis, 26 Disember 2013

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Clutch buatan tangan Azreen

Posted: 24 Dec 2013 09:03 AM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar JEFFRI IRAN

LIMA beg clutch yang berbeza bentuk, saiz dan corak menarik.

NORAZREEN Zaharin tidak pernah menyangka dia boleh membuat sendiri beg genggam (clutch) bagi dipakai sendiri dan boleh pula dijual.

Ini kerana dia tidak pernah minat menjahit dan tidak tahu menjahit sehinggalah hari dia mencuba membuat beg comel tersebut.

Ringkas dengan panggilan Azreen, 31, yang ditemui di rumahnya di Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, daripada seorang yang tidak pandai langsung menjahit walaupun jahitan yang mudah, kini dia berbangga kerana dapat memperoleh wang sampingan hasil daripada kreativitinya itu.

Menurut ibu kepada seorang anak perempuan yang bernama Lulu, berusia 15 bulan, segalanya bermula semasa dia dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulungnya itu.

Semasa menonton sebuah program bual bicara yang mengajar bagaimana mudahnya hendak membuat clutch, Azreen amat tertarik dan ingin mencuba membuat sendiri.

Dia sendiri memang menyukai beg dan mempunyai banyak koleksi beg yang pelbagai bentuk dan saiz.

"Oleh kerana tidak boleh keluar rumah dan tidak tahu di mana hendak mencari barang-barang yang diperlukan untuk membuat clutch, saya membeli secara dalam talian.

"Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat beg daripada bingkai, tali beg hingga kepada kain saya tempah dari luar negara sama ada Amerika Syarikat atau Jepun. Hanya kain songket sahaja yang diperoleh di Malaysia.

"Apabila barang-barang tersebut sampai, saya cuba membuat sendiri berpandukan daripada program televisyen yang saya rekod terlebih dahulu,'' kata Azreen yang berkelulusan Ijazah Kesusasteraan Bahasa Inggeris dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Tambah Azreen, clutch pertama yang dibuatnya menggunakan fabrik kain kapas yang bercorak burung merak.

Beg tersebut dipakai semasa dia menghadiri satu majlis dan tidak disangka ramai yang tertarik serta bertanya di mana dia memperolehnya.

Melihat respon yang bagus daripada mereka yang melihat clutch merak yang kemudian dimuat turun dalam laman sosialnya malah ada yang ingin menempah, Azreen menambah lagi pengetahuan dalam jahitan clutch dengan mengikuti kelas secara dalam talian.

Azreen berkata, bagi membuat dan menyiapkan tempahan beg tersebut, dia akan pulang ke kampungnya di Rantau, Negeri Sembilan dan berada di sana berhari-hari.

Ini kerana semasa di kampung dia dapat menumpukan perhatian terhadap kerjanya tanpa diganggu anak yang dijaga oleibunya.

Ujar Azreen lagi, ilham rekaan beg clutch diperoleh daripada Lulu sendiri yang berpersonaliti riang selain inspirasi daripada persekitaran.

"Pada masa ini saya telah pun membuat sebanyak 130 buah clutch yang pelbagai saiz yang saya jual pada harga di antara RM79 sehingga RM410.

"Pelanggan saya terdiri daripada wanita yang bekerjaya berusia di antara 28 tahun sehingga 40 tahun.

"Baru-baru ini sebuah hospital swasta di ibu negara telah membeli sebanyak 20 buah beg ini bagi diberikan sebagai cenderamata kepada tetamu-tetamu vip mereka sempena Bulan Kanser Payudara.

"Selain itu, artis-artis terkenal seperti Ziela Jalil, Fasha Sandha dan Melly Goeslaw turut membeli clutch saya.

"Saya turut mempunyai pelanggan dari Singapura, New Zealand, Amerika Syarikat, Brunei dan India. Biasanya pelanggan akan memilih fabrik daripada Facebook saya dan memberitahu hendak beg yang bagaimana dan sebagainya,'' katanya yang boleh dihubungi melalui Facebook Lulu.Lulu Handmade Purses.

Rawatan ikal mayang

Posted: 24 Dec 2013 09:03 AM PST

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar zakaria idris

Bilik rawatan yang menampilkan konsep tradisional Melayu.

Sakit kepala bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia kadang kala boleh mengganggu perjalanan aktiviti harian.

Buat masa sekarang, rata-rata mereka yang mengalami sakit kepala akan menelan pil atau paling kurang berehat dan tidur.

Begitupun, dalam masyarakat Melayu, urutan sudah menjadi satu amalan biasa baik untuk lelaki mahupun wanita yang penat bekerja atau yang mengalami sakit kepala.

Ternyata amalan mengurut ini masih lagi diamalkan sehingga hari ini malah ia tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.

Justeru, dalam usaha mengekalkan amalam tradisional tersebut, Spa D'Daun menawarkan perkhidmatan urutan kepala kepada sesiapa sahaja yang mengalami masalah sakit kepala ataupun masalah yang berkaitan kulit kepala atau rambut.

Sejak memulakan operasi sekitar tahun 2008, spa yang diusahakan bekas eksekutif di Institut Jantung Negara itu, sememangnya berkonsepkan rawatan tradisional Melayu.

Pemiliknya, Zalina Ibrahim, 46, memberitahu, minat yang terlalu mendalam dalam bidang spa menyebabkan dia mengambil keputusan menceburkan diri dalam perniagaan tersebut.

Mempersiapkan diri dengan segala ilmu mengenai rawatan serta urutan tradisional, ternyata percaturan Zalina tidak sia-sia apabila ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelanggan.

Antara rawatan yang mendapat tempahan tinggi ialah rawatan ikal mayang iaitu rawatan untuk tekanan, migrain, kelemumur, sakit kepala, dan menyihatkan rambut supaya lambat beruban.

Menurut Zalina, rawatan ikal mayang menggunakan kaedah urutan kepala di samping penggunaan bahan-bahan herba sebagai ubat.

Tambahnya lagi, selain memberikan rawatan tradisional, herba-herba yang digunakan untuk setiap rawatan juga adalah semula jadi dan tidak mengandungi campuran bahan kimia.

"Di Spa D'Daun kami tidak menggunakan sebarang bahan kimia malah kesemua bahan-bahan untuk urutan diadun dan disediakan sendiri.

"Faktor inilah yang menyebabkan ramai pelanggan spa menyukainya kerana ia sememangnya 100 peratus bahan asli.

"Apa yang pasti, setiap perkhidmatan yang diberi ada kelebihan masing-masing," ujarnya ketika ditemui di spanya yang terletak di No. 1-121, Jalan Prima SG5, Gombak Prima, Seri Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenai rawatan ikal mayang, kata Zalina, kepala para pelanggan akan diurut terlebih dahulu selama lebih kurang 10 minit dengan menggunakan minyak Zaiton.

Urutan tersebut adalah bertujuan untuk melegakan tekanan serta melancarkan peredaran darah.

Selepas itu, di atas kepala akan diletakkan pula herba-herba yang telah diadun sambil mengurut untuk memastikan kesemua herba tadi meresap hingga ke kulit kepala.

Seterusnya kepala akan dibungkus dan dibiarkan selama setengah jam hingga 45 minit sebelum ia dicuci dengan menggunakan air bersih.

Tidak perlu menggunakan syampu, Zalina menyatakan, ia cukup dicuci dengan air sejuk dan hasilnya akan dapat dirasai serta merta seperti kepala terasa lebih ringan, rambut menjadi lebih lembut, bersinar, harum, dan segar.

Zalina turut menyarankan agar rawatan rambut gugur, dilakukan tiga atau empat kali dan sekurang-kurangnya seminggu sekali.

"Insya-Allah, rawatan untuk tekanan, migrain, dan sakit kepala hasilnya sudah boleh dirasai selepas sekali rawatan," katanya yang menggalakan pelanggan membuat temu janji terlebih dahulu bagi mendapatkan rawatan ikal mayang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved