Khamis, 26 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Perahu naga jadi tarikan

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

PASUKAN Persatuan Kenu dan Mendayung TLDM meraikan kejayaan mereka selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan Perahu Naga Pesta Pulau Pinang di Empangan Teluk Bahang, baru-baru ini. - UTUSAN/SAZALI CHE DIN

PULAU PINANG 25 Dis. - Kedamaian dan ketenangan Empangan Teluk Bahang di sini digegarkan dengan jeritan semangat serta paluan gendang yang mengiringi peserta Perlumbaan Perahu Naga Pesta Pulau Pinang, baru-baru ini.

Masing-masing cuba memberikan semangat kepada setiap anggota pasukan agar mendayung dengan lebih laju untuk tiba dengan masa terpantas di garisan penamat.

Cuaca panas terik langsung tidak menghalang peserta dari Malaysia, Thailand, Singapura, Filipina dan Brunei untuk mempamerkan persembahan terbaik.

Sebelum berlumba, pelbagai aksi peserta juga dapat dilihat sewaktu mereka memanaskan badan bagi mengelakkan kekejangan otot ketika mendayung.

Sebanyak 30 pasukan dari dalam dan luar negara menyertai perlumbaan yang diadakan dalam 14 kategori itu termasuk Terbuka Malaysia Perdana, Terbuka Antarabangsa Perdana, Wanita Antarabangsa Perdana dan Terbuka Junior (bawah 23) Antarabangsa.

Kategori lain ialah Terbuka Malaysia Perdana Berganti-Ganti, Terbuka Antarabangsa Perdana Berganti-Ganti, Wanita Antarabangsa Perdana Berganti-Ganti dan Campuran Junior (bawah 23) Berganti-Ganti.

Perlumbaan itu juga turut mendapat perhatian beberapa pasukan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Singapore Institute of Management.

Selain pendayung, setiap pasukan turut disertai seorang pemukul gendang dan ketua pasukan yang menjadi 'tukang sorak' ketika berlumba.

Sukan berkenaan mampu menggalakkan disiplin, kerja berpasukan dan ketekunan dalam kalangan 22 atau 12 ahli pasukan mengikut kategori yang dipertandingkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Law Heng Kiang berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh pasukan yang mengambil bahagian.

Jelasnya, antara yang mengambil bahagian ialah 13 pasukan dari luar negara selain 17 pasukan tempatan.

"Sebanyak tujuh pasukan tempatan datang dari Kuala Lumpur selain empat pasukan termasuk pasukan senior dari Pulau Pinang.

"Kita juga bertuah kerana mendapat banyak penyertaan dari Thailand yang turut menjuarai beberapa acara termasuk kategori junior," ujarnya.

Tambahnya, perlumbaan pada tahun ini menyaksikan saingan sengit di antara pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Thailand dalam penentuan juara keseluruhan.

Menurut Heng Kiang, pihaknya berharap lebih ramai pasukan terutama daripada IPT untuk menyertai perlumbaan itu selain pasukan dari luar negara.

"Perlumbaan ini bukan sahaja membawa manfaat dalam bidang sukan bahkan pelancongan untuk Pulau Pinang kerana peserta akan melawat banyak tempat-tempat menarik di negeri ini.

"Perlumbaan ini juga mampu mempromosikan Empangan Teluk Bahang sebagai sebuah lokasi perlumbaan perahu naga yang terkenal di mata dunia," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Kenu dan Mendayung TLDM, Leftenan Komander Kamid Sulaiman berkata, kejayaan yang diraih sebagai juara keseluruhan membuktikan kesungguhan mereka terbalas dan mampu bersaing dengan pasukan luar.

Pasukan yang berpangkalan di Markas TLDM Lumut itu muncul juara bagi kategori Terbuka Perdana Antarabangsa dan Terbuka Perdana Malaysia sekaligus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM1,700.

"Pasukan kami akan menyertai perlumbaan di Pulau Pinang pada setiap tahun bagi memperkemas kemahiran dan stamina setiap atlet selain menyiapkan mereka untuk mewakili negara.

"Datang daripada pelbagai latar belakang, ramai atlet kami yang terpilih mewakili Malaysia ke perlumbaan di luar negara setiap tahun," katanya.

Gembira rumah usang dibaiki

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh OTHMAN YAHAYA

Reezal Merican Naina Merican (depan, kanan) membantu mengangkat batu sambil diperhatikan Ahmad Darus (kiri) dan penduduk Kampung Paya Keladi Masjid semasa gotong-royong membaiki rumah Khadijah Awang, kelmarin.

utusanpenang@utusan.com.my

KEPALA BATAS 25 Dis. - Kedatangan tahun baru 2014 nyata membawa berita gembira buat seorang ibu tunggal apabila rumahnya yang usang, dibaiki menerusi Program Baik Pulih Rumah Rakyat Parlimen Kepala Batas, semalam.

Khadijah Awang, 60, yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata, beliau tidak mampu untuk membaiki sendiri rumahnya kerana pendapatannya sebanyak RM450 sebulan hanya cukup untuk menampung kos sara hidupnya sahaja.

Katanya, sebelum ini, rumah pusaka peninggalan suaminya yang meninggal dunia 10 tahun lalu sering dinaiki air pada musim hujan kerana terletak di kawasan rendah dan menyebabkan beliau tinggal dalam keadaan tidak selesa.

"Jika hujan lebat selama dua jam, kawasan dalam rumah akan ditenggelami air sehingga menyebabkan saya dan seorang anak terpaksa menggunakan bahagian ruang tamu rumah di bahagian atas yang telah reput untuk berteduh," katanya.

Khadijah tinggal bersama seorang anak lelakinya, Mohd. Shamsul Osman, 28, yang masih bujang dan mengalami masalah kesihatan selepas terlibat kemalangan beberapa tahun lalu.

Program membaik pulih rumah tersebut dengan kos sepenuhnya dibiayai oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut hadir menyertai penduduk kampung melakukan aktiviti berkenaan secara gotong-royong.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, beliau berharap selepas ini Khadijah akan dapat hidup lebih selesa dan tidak lagi mengalami masalah seperti sebelum ini.

800 murid terima sumbangan beg, alat tulis

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

SEBAHAGIAN daripada murid yang menerima sumbangan beg dan alat tulis daripada UMNO Bahagian Parit Buntar di Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak, semalam.

PARIT BUNTAR 25 Dis. - Seramai 800 murid di kawasan Parlimen Parit Buntar menerima sumbangan beg dan alat tulis daripada UMNO bahagian itu bagi meringankan beban kewangan keluarga yang berpendapatan rendah menjelang sesi persekolahan tidak lama lagi.

Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Abu Bakar Mat Ali, memberitahu, sumbangan itu digerakkan menerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Parit Buntar dan sumbangan diserahkan kepada murid-murid yang terpilih menerusi Ketua Cawangan UMNO bahagian itu dan ketua kampung.

Menurutnya, murid yang menerima sumbangan tersebut terdiri dari keluarga yang kurang berkemampuan.

"Walaupun sumbangan ini tidaklah begitu besar nilainya, tetapi bagi keluarga yang kurang berkemampuan ia amat bermakna.

"Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan atau pun mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak," katanya pada majlis penyerahan sumbangan di Bangunan UMNO Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang dekat sini semalam.

Menurut Abu Bakar, sumbangan berkenaan merupakan antara khidmat UMNO bahagian itu kepada rakyat selain pelbagai program lain seperti turun padang melawat penduduk yang kurang berkemampuan, ibu tunggal, penduduk miskin serta serta bantuan barangan makanan yang disumbangkan oleh Yayasan Bina Upaya Perak.

"UMNO Bahagian Parit Buntar akan terus membantu rakyat di kawasan ini walaupun Barisan Nasional (BN) kalah di kawasan Parlimen Parit Buntar dan DUN (Dewan Undangan Negeri) Kuala Kurau dan Titi Serong dalam pilihan raya yang lalu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved