Khamis, 26 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Teruskan khidmat bakti

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusan.johor@gmail.com

Peserta program khidmat komuniti BSKN bergambar beramai-ramai bersama Suhaimi Salleh dan Mohd. Syafik Taufik (kanan) di TNJTP, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 25 Dis. - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diperkenalkan beberapa tahun lalu bukan sahaja berjaya menyemai jati diri yang utuh, nilai murni dan semangat patriotik dalam diri generasi muda, malah menjadikan mereka lebih prihatin tentang tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Menyedari perlunya wadah untuk bekas pelatih mencurahkan bakti, Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) ditubuhkan pada 4 Februari tahun lalu dan kini mempunyai seramai 200,000 ahli.

Sambutan daripada bekas pelatih PLKN amat menggalakkan apabila mereka secara sukarela mendaftar diri sebagai sukarelawan.

Pelbagai program dan aktiviti dianjurkan dengan yang terbaru ialah projek perpustakaan mini di Cameron Highlands dan mereka menyumbang bahan bacaan serta menggalakkan penduduk tempatan mengunjunginya.

Pengerusi BSKN, Mohd. Syafik Taufik berkata, kini terdapat dua buah perpustakaan mini yang diwujudkan oleh bekas pelatih PLKN dan pihaknya berharap program seperti itu dapat dikembangkan ke seluruh negara pada masa depan.

"Program-program khidmat komuniti bertujuan mendekatkan mereka dengan masyarakat termasuk dalam membantu mangsa bencana, program alam sekitar, kem motivasi dan sebagainya.

"Pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh di dalam kem wajar diterjemahkan kepada masyarakat sejajar dengan objektif membentuk perwatakan positif melalui nilai-nilai murni," katanya yang ditemui selepas majlis perasmian Program Khidmat Komuniti oleh BSKN bagi Zon E Negeri Johor di Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP), Serkat, di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh.

Antara kem PLKN yang menyertai program selama tiga hari itu adalah Pusat Bina Semangat YPJ Mersing, Nasuha Ladang Rempah Ratus Herba, Pagoh; Desa Gerak Khas, Kota Tinggi; PTH Padang Hijau, Kluang; Reakreasi Pertanian Teluk Sari, Mersing dan Kem Sri Ledang, Ledang.

Mohd. Syafik mengakui gembira kerana bekas pelatih PLKN sama ada yang bekerja, menuntut mahupun menganggur, sanggup meluangkan masa bagi mengikuti program seperti itu.

"BSKN Johor merupakan antara yang aktif melaksanakan program-program khidmat komuniti dengan hampir setiap hujung minggu mereka turun ke lokasi-lokasi bagi menjalankan kerja-kerja sukarelawan," katanya.

Mengenai bekas pelatih PLKN yang masih menganggur, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan termasuk membantu mereka mengikuti pelbagai latihan kemahiran termasuk dalam bidang perhotelan dan terbaharu, industri penerbangan yang memerlukan ramai tenaga terlatih.

"Kami sentiasa menggalakkan mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, manakala yang kurang cemerlang dalam akademik boleh mengikuti latihan kemahiran dan sebagainya," katanya.

Ahli BSKN bangga dapat bantu masyarakat

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

PONTIAN 19 Dis. - Ahli Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) gembira dan bangga kerana dapat meneruskan program khidmat komuniti seperti yang dilakukan semasa di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) walaupun telah menamatkan latihan.

Seorang ahli BSKN, Muhammad Faisal Abd. Latif, 18, berkata, selain dapat bertemu dengan rakan-rakan sepelatih, penglibatannya dalam BSKN mematangkan mereka dalam pelbagai bidang.

Bekas pelatih PLKN Kem Sri Ledang itu mengakui aktiviti kemasyarakatan yang disertai dapat terus menanamkan keyakinannya dalam menempuh kehidupan dengan tabah serta menjauhi aktiviti yang kurang sihat.

"Sebagai generasi muda yang terpilih mengikuti program di PLKN, kami menjadi contoh kepada rakan-rakan lain bahawa PLKN benar-benar membawa manafaat dan faedah kepada semua," katanya.

Siti Nor Nabila Huda Mohd. Yusof, 18, bekas pelatih PLKN Kem Telok Sari Mersing pula menganggap pelbagai perkara dan latihan yang dipelajari perlu terus diamalkan terutama nilai-nilai murni, meningkatkan semangat patriotisme supaya mereka tidak 'lupa' dengan janji serta ikrar yang dilafazkan setiap pagi.

Menurutnya, aktiviti yang dijalankan di Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) adalah berkaitan dengan alam sekitar supaya mereka turut sama mempunyai rasa tanggungjawab dalam memelihara dan memulihara alam sekitar demi kesejahteraan semua.

"Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke taman negara ini. Walaupun hujan gerimis tetapi kami tetap bersemangat untuk menjalankan kerja-kerja gotong-royong seperti yang diarahkan," katanya.

Sementara itu, Elly Liyana Mohd. Salleh Hew, 19, bekas pelatih PLKN Kem Sembrong turut mengakui teruja dalam bersama-sama semula rakan-rakan sepelatih sepanjang mereka mengikuti program di TNJTP itu.

Menurutnya, pengalaman yang diperoleh selama mengikuti PLKN akan digunakan bagi menjayakan aktiviti kesukarelawan yang diatur oleh pihak kem seperti kerja-kerja gotong-royong dan membantu golongan miskin.

"Penglibatan semua kaum di PLKN dan diteruskan setelah tamat latihan boleh membantu memupuk semangat perpaduan dan integrasi seperti yang diharapkan kepada golongan muda," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved