Khamis, 26 Disember 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Sindiket curi data ATM dibongkar, lelaki warga Poland ditahan

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Izany Abd. Ghany menunjukkan alat pengimbas mesin ATM yang dirampas semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Polis menumpaskan satu sindiket mencuri maklumat dan wang pengguna mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan menggunakan alat pengimbas data setelah menahan seorang lelaki warga Poland di pusat beli-belah Suria KLCC di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika sedang menanggalkan alat pengimbas data dikenali sebagai skimming device yang diletakkan pada panel mesin ATM di pusat beli belah berkenaan hasil maklumat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd. Ghany berkata, modus operandi sindiket tersebut ialah mencuri data daripada pelanggan mesin ATM melalui alatan pengimbas tersebut sebelum membuat kad klon mereka dan mengeluarkan wang di dalam akaun mangsa di luar negara.

"Hasil pemerhatian kamera litar tertutup (CCTV), polis mendapati sindiket ini bergerak secara berkumpulan kerana terdapat dua lagi rakan suspek dirakam melakukan jenayah namun masih belum berjaya ditahan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Izany berkata, susulan penahanan itu polis percaya dapat menyelesaikan kes penemuan peralatan sama di pusat beli belah Times Square, Jalan Imbi di sini yang dilaporkan pada 25 November lalu.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan ahli-ahli kumpulan terbabit yang terdiri daripada warga asing dilaporkan sering keluar masuk negara.

"Kes seumpama ini pernah dilaporkan beberapa tahun lalu namun kini mereka dilihat kembali aktif," katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati alat pengimbas terbabit telah dibeli oleh ahli sindiket terbabit dengan harga RM8,000 seunit dan dibuat di negara ini.

Sementara itu, Izany berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada semasa berurusan di ATM sekiranya melihat peralatan yang mencurigakan dan melaporkan kepada polis.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 6 Januari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Lelaki hasut orang ramai lakukan rusuhan diberkas di Sarawak

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Pemilik akaun laman Facebook, Asmaelz Hadzeny II yang menghasut orang ramai untuk melakukan rusuhan bagi menggulingkan kerajaan serta meminta mereka mendapatkan bom untuk tujuan itu pada 31 Disember ini diberkas polis hari ini.

Lelaki berusia 25 tahun itu diberkas di Kampung Karambut, Saratok, Sarawak, pada pukul 11 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, lelaki itu akan dibawa ke Bukit Aman esok untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal, polis percaya dia merupakan orang Sarawak dan kita tahan dia untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, pemilik laman sosial itu dikesan menulis kenyataan menghasut orang ramai untuk melakukan rusuhan bagi menggulingkan kerajaan pada 31 Disember nanti.

Dia yang mendakwa berperanan sebagai cyber trooper Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekerja sebagai koordinator di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di dalam laman Facebook miliknya turut meminta orang ramai mendapatkan bom bagi tujuan tersebut.

Kenyataan berbaur ancaman dan hasutan itu dipercayai dimuat naik di laman Facebook miliknya beberapa hari lalu.

Berikutan kenyataan yang ditulis itu, lelaki yang mendakwa berasal dari Kuching, Sarawak dan pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, Kelantan, diburu polis.

Kes berkenaan disiasat di bawah bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman 15 tahun penjara malah boleh diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved