Jumaat, 9 Ogos 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Rumah ibadat kerugian RM21,000 dipecah masuk

Posted: 09 Aug 2013 10:50 PM PDT

PETALING JAYA 10 Ogos - Sebuah rumah ibadat Sathya Sai Baba di Taman Universiti di sini, kerugian RM21,000 selepas dipecah masuk malam semalam.

Penasihat rumah ibadat itu, Dr R. Vijendran berkata, kejadian disedari kira-kira 7 pagi tadi oleh seorang pekerja.

"Beberapa barang berharga telah dilarikan termasuk 'patung sembahyang' yang dianggarkan bernilai RM12,000, peralatan muzik, dan kamera video," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Polis dari Balai Sungai Way mengesahkan menerima laporan kejadian. - BERNAMA

Empat rumah musnah dalam kebakaran

Posted: 09 Aug 2013 09:53 PM PDT

Oleh AZRAI MOHAMMAD

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri empat keluarga bertukar tragedi apabila rumah mereka di Lorong 2, Kampung Datuk Keramat di sini musnah dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada bunga api, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu membabitkan empat buah rumah, sebuah kereta dan dua buah motosikal, namun tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

Ketua Operasi dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hafni Tamin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.23 malam dan jentera pertama tiba di tempat kejadian 14 minit kemudian.

'Sebanyak enam buah jentera dengan kekuatan 32 pegawai bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Wangsa Maju, Jalan Hang Tuah dan Sentul dikejarkan ke tempat kejadian.

"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran serta memadam api sepenuhnya pada pukul 10.19 malam," katanya ketika ditemui selepas operasi itu di sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Stadium Shah Alam venue Malaysia XI lawan Barcelona FC

Posted: 09 Aug 2013 09:56 PM PDT

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Perlawanan Malaysia XI menentang kelab tersohor Sepanyol, Barcelona FC akan berlangsung di Stadium Shah Alam dan bukan di Stadium Nasional Bukit Jalil seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Pengarah Urusan BSC Soccer Malaysia, Effendi Jagan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pemindahan venue itu bagi perlawanan pada pukul 8.45 malam ini.

Menurut akaun twitter kelab itu, @barcastuff perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Shah Alam kerana keadaan padang yang tidak mengizinkan di Stadium Bukit Jalil.

Barcelona FC, terkenal dengan panggilan Los Blaugrana memulakan Jelajah Asia 2013/2014 dengan menumpaskan pasukan kebangsaan Thailand, 7-1 di Stadium Nasional Rajagamangala di Bangkok, Rabu lepas.

Barcelona menamatkan siri jelajah itu dengan menentang Malaysia sebelum pulang bagi menghadapi musim baharu Liga Primera Sepanyol yang dijangka bermula pada 17 Ogos. - BERNAMA

Lawan demi maruah negara

Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FERZALFIE FAUZI
dayne.ghazali@utusan.com.my

Rajagobal memberi amanat kepada pemain-pemain Harimau Malaya yang berlatih di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam sebagai persediaan menentang Barcelona, malam ini. - UTUSAN/NOORADZRENE MOHD NOOR

KUALA LUMPUR - Dua kemenangan besar yang diraih oleh Barcelona sebelum hadir ke Kuala Lumpur mungkin menimbulkan rasa gerun buat pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang tidak berani meletakkan sebarang sasaran apabila turun menentang antara kelab terbaik dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Sama ada mahu mengurangkan jumlah defisit kemenangan atau meraih sekurang-kurangnya beberapa jaringan, perkara itu tiada dalam kotak fikiran Rajagobal yang sekadar mahu melihat anak-anak buahnya menampilkan permainan lebih positif daripada apa yang mereka pamerkan semasa di Jepun, bulan lalu.

Dalam masa sama, dia memberi bayangan yang pasukan Malaysia akan turun dengan corak bertahan dengan memberi jaminan satu penyerang sahaja akan digunakan dan tidak mahu memberi terlalu banyak ruang kepada Barcelona.

Saya tidak letak apa-apa sasaran dalam perlawanan ini. Kalau dapat bermain dengan baik 90 minit serta mempamerkan aksi lebih baik berbanding lawan Chelsea, itu sudah cukup bagus.

Kita jangan terlalu fikirkan berapa banyak Santos dan Thailand dibolosi, apa yang penting saya mahu lihat pemain ada peningkatan atau tidak selepas pulang melalui tiga perlawanan persahabatan di Jepun.

Jika ada, itu satu petanda baik menjelang perlawanan dengan Bahrain tidak lama lagi dalam kelayakan Piala Asia 2015.

Saya kemungkinan akan meletakkan seorang sahaja penyerang dalam perlawanan ini nanti kerana mana-mana pasukan yang bertemu pasukan seperti Barcelona pasti mahu mengurangkan ruang kepada mereka," katanya kepada media selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam dua perlawanan persahabatan yang dilalui Barcelona sebelum ini, juara Eropah empat kali itu membelasah juara Brazil, Santos, 8-0 pada 2 Ogos dan Rabu lalu, Thailand dijinakkan 7-1.

Situasi itu menyebabkan sudah ramai peminat berkira-kira berapakah jumlah jaringan bakal dicipta oleh Barcelona yang diramalkan akan berpesta gol ke atas Harimau Malaya di Stadium Nasional, malam ini.

Berdepan kelab Catalan, Rajagobal menjelaskan skuad kendalian Gerardo Martino itu adalah sebuah pasukan yang cukup berbeza dengan pasukan-pasukan lain di dunia dan berharap para pemain dapat mengambil peluang keemasan ini untuk mempelajari sesuatu.

Kita lihatlah sendiri kualiti hantaran pendek, mobiliti dan kepantasan mereka jelas cukup hebat manakala tiada sesiapa pemain di dalam dunia mampu merantai Lionel Messi.

Soal keyakinan pemain, itu semua terserah kepada mereka cuma saya berharap agar dapat memanfaatkan peluang terbaik menentang Barcelona, belum tentu mereka akan memperolehi kesempatan yang sama lagi selepas ini pada masa akan datang dan jangan rasa takut," katanya.

Rajagobal yang telah melepaskan Amiridzwan Taj Tajudin, Nor Farhan Muhammad, Asaari Samsudin, Norazlan Razali dan Azizi Matt Rose kerana kecederaan kini belum pasti akan nasib penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sama ada boleh diturunkan atau tidak.

Nik Shahrul telah kembali (bersama pasukan), namun Khairul Fahmi ada mengadu kecederaan di pangkal paha dan kita akan mengikuti perkembangan ini sehingga hari perlawanan sebelum membuat keputusan siapa yang akan diturunkan.

Cuma, kelainan kali ini kita ada Wan Zack Haikal Wan Noor yang boleh diturunkan dan jika Khairul Fahmi tidak boleh, Farizal mungkin jadi pilihan di bahagian penjaga gol," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Penyokong Mursi berarak desak kembalikan kuasa Presiden

Posted: 09 Aug 2013 09:41 AM PDT

KAHERAH 10 Ogos - Beribu-ribu penyokong Mohammed Mursi mula berarak bagi mendesak pihak tentera mengembalikan jawatan bekas Presiden itu, sewaktu Presiden sementara Mesir memberi amaran akan merobohkan khemah-khemah yang di bina penyokong bekas Presiden itu.

Penyokong Mursi membanjiri jalan-jalan raya di tengah Kaherah dan di bandar kedua terbesar di Mesir, Iskandariah, selepas solat Jumaat sambil membawa gambar Presiden yang digulingkan tentera, sambil melaungkan kata-kata mengecam rampasan kuasa tentera pada 3 Julai lalu.

Di bandar oasis Fayyum di selatan Kaherah, penyokong Mursi bertempur dengan polis yang melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka, kata pegawai ke selamatan kepada AFP. - AFP

Turki seru rakyatnya tinggalkan Lubnan

Posted: 09 Aug 2013 09:39 AM PDT

ISTANBUL 10 Ogos - Turki menyeru rakyatnya supaya keluar dari Lubnan ekoran kejadian penculikan dua krew pesawat Turkish Airlines oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Beirut.

"Melihatkan kepada situasi semasa, ia adalah penting untuk rakyat kita mengelakkan daripada membuat perjalanan ke Lubnan, kata Kementerian Luar Turki dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman webnya.

"Kami mencadangkan rakyat yang masih (berada) di Lubnan untuk kembali ke Turki jika mereka boleh, atau jika mereka perlu kekal, mereka perlu mengambil segala langkah-langkah untuk memastikan keselamatan mereka terjamin, katanya.

Dalam kejadian awal pagi Jumaat itu, sekumpulan lelaki bersenjata menculik juruterbang dalam serangan hendap di dalam bas yang membawa anggota krew Airlines Turkish dari lapangan terbang Beirut untuk sebuah hotel. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Diet belanja cegah kempis selepas raya

Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT

Oleh Syed Mazlan Syed Mat Dom
PENULIS ialah Pensyarah Kanan (Penjenamaan), UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Orang ramai membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. - Utusan/AZLAN HADI ABU BAKAR

BIARPUN banyak atau sedikit, peruntukan kewangan amat penting bagi mempersiapkan diri menghadapi Aidilfitri. Segalanya perlu diambil kira. Daripada pakaian baru, peruntukan duit raya, kos perjalanan pulang ke kampung hinggalah ke juadah makanan. Semuanya menjadi bajet yang perlu diberikan perhatian.

Ini semua sebenarnya, tidak menimbulkan masalah kewangan andai seseorang itu telah membuat perancangan lebih awal. Katalah perancangan telah dibuat semenjak awal tahun 2013 dahulu lagi.

Namun begitu, yang menjadi masalahnya, tak berapa kerat sahaja di antara kita yang sudah benar-benar bersedia dengan bajet menyambut hari raya dengan erti kata yang sebenarnya. Kebanyakan daripada kita mempunyai ciri bajet impromptu iaitu bajet membujur lalu melintang patah.

Bajet jenis ini boleh dikatakan, berbelanja ikut keadaan selagi ada modal sampailah keadaan kewangan menyusut, di mana tatkala itu barulah secara paksa masing-masing mengikat perut, menjerut tekak dan memejamkan mata terhadap apa jua di sekeliling mereka.

Bagi mereka yang berkemampuan, tidaklah timbul masalah baik sebelum atau selepas hari raya. Namun, bagaimana pula bagi mereka yang tidak berhemah ketika berbelanja atau memiliki tabungan yang tidak cukup selepas cuti raya? Bukankah itu mengundang sesak nafas jadinya.

Sebenarnya, tempoh setahun untuk menyambut Aidilfitri berikutnya adalah mencukupi untuk mengumpul bajet kewangan, sekali gus terhindar daripada bebanan hutang dan krisis kewangan menjelang dan selepas musim perayaan itu.

Selama 12 bulan dalam setahun, mustahil kita tidak boleh menyimpan sedikit daripada jumlah pendapatan bulanan kita untuk mendapatkan bajet hari lebaran yang mencukupi .

Memanglah sukar jika kita terpaksa mengasingkan sedikit pendapatan bulanan. Namun, jika dikaji kesannya, tidakkah ia akan menguntungkan kita? Tidaklah kita sakit kepala apabila musim perayaan ini menjelang tiba. Inilah yang patut kita buat untuk menyambut Aidilfitri 2013 ini. Atau kalau tak sempat, kita patut berusaha daripada sekarang untuk lebih selesa menyambut Aidilfitri 2014 yang akan datang.

Menjelang hari raya pola perbelanjaan kita tentunya berlainan daripada kebiasaan. Manakan tidak? Di sepanjang bulan puasa lagi kita sudah begitu boros berbelanja. Ketika perut sedang berkeroncong, waktu itulah kita menapak menelusuri jajaran gerai di pasar Ramadan.

Apa yang terlihat semuanya menggoda, apa yang terbau semuanya sedap belaka. Pendek kata, ikan cincaru masin pun tampak menyelerakan dan sedap seperti daging rusa salai pada waktu dan saat itu. Sedar tak sedar, paling kurang RM30 selesai dibelanjakan setiap petang menjelang tiba.

Beberapa hari menjelang lebaran, ada suri rumah yang telah mula membuat kuih-muih, atau paling tidak membeli beberapa jenis kuih raya yang ada dijual di mana-mana.

Ada juga yang bercadang untuk menggantikan kain langsir, mengecat rumah, mengganti kusyen dan membeli barang kemas untuk perhiasan diri.

Ini semua memerlukan perkiraan. Bukan sewenangnya boleh dilakukan jika kita mahu menjaga bajet supaya tidak defisit di bulan berikutnya. Mujurlah sekarang kiriman kad raya sudah hilang polularitinya. Jika tidak, maka akan bertambahlah bajet kita jadinya.

Bagi sang suami pula, belanjawan bunga api (yang tidak berbahaya ) untuk anak-anak, membeli pakaian untuk ahli keluarga, kos menghantar kereta untuk diservis, kos minyak, kos jajan dalam perjalanan dan kos tol untuk pulang berhari raya di kampung halaman juga tidak harus dilupa, malah ada juga yang kepingin untuk beraya dengan kereta baharu. Ini juga perlukan perkiraan wajar. Begitu banyak sekali godaan tiba menerusi gimik iklan di mana-mana.

Bagi yang baru berumah tangga, tentunya kemeriahan untuk beraya kali pertama di rumah ibu bapa mertua mengatasi segalanya. Ada yang pasang badan untuk menjaga saham berbanding ipar duai mereka.

Ada juga yang pulang beraya dengan segalanya serba baharu. Baju melayu baharu, seluar baharu, tudung baharu, baju kurung baharu, telefon bimbit baharu dan bermacam lagi gajet yang baharu.

Kononnya untuk menjaga reputasi diri di mata anak buah dan ipar duai. Ini juga perlukan perkiraan yang teliti sebelum seseorang itu boleh mempamerkan aksi diri.

Untuk anak muda remaja, untuk generasi celik komputer hari ini, baik lelaki mahupun perempuan tentunya ada yang kepingin untuk mempunyai gajet raya. Ipad ipod telefon pintar mp4 dan segala macam kaum kerabatnya semua mahu di milikinya.

Bagi lelaki muda belia yang sudah meninggalkan alam persekolahan, belajar di kolej atau universiti atau baru saja menjenguk ke alam pekerjaan, lain pula keadaannya.

Bajet bulan Ramadan mereka sehingga membawa ke bulan Syawal banyak dipengaruhi oleh pelbagai perkara yang mungkin berlainan sedikit daripada si muda remaja.

Pertama antaranya adalah bajet untuk rokok. Rokok menjadi punca utama sesetengah lelaki yang merokok mengalami kekurangan wang.

Kira-kira 40% lelaki di Malaysia adalah perokok tak kiralah perokok tegar ataupun tidak. Ini kerana biasanya perokok tegar menghabiskan RM10 untuk sekotak rokok sehari. Kalau sebulan, mahu RM300 dibakar demi memuaskan ketagihan tembakau.

Itu baru sekotak, kalau dua kotak sehari macam mana pula? Oleh itu wahai lelaki, jangan merokok… kerana bajet Aidilfitri anda boleh tunggang terbalik kerananya.

Yang kedua, ketagihan permainan video dan video permainan maya. Lelaki memang tidak dinafikan sebagai golongan yang kerap serta gemar bermain permainan video serta permainan komputer lain.

Buktinya, lihatlah di cyber cafe, selain penuh dengan kanak-kanak dan remaja , ada juga lelaki yang 'taksub' bermain permainan seperti dota, condition zero, dan banyak lagi permainan yang berbentuk 'strategi' yang memang banyak memakan duit kerana mereka bukannya hanya perlu sejam dua bermain, kadang kala sampai lima jam tanpa henti pun belum tentu berjaya untuk untuk menyudahkan permainan itu.

Ketiga, hobi mengubah suai kenderaan. Bagi sebilangan lelaki yang mat motor serta mat kereta, mereka biasanya mengeluarkan perbelanjaan yang agak banyak untuk mengubah suai kenderaan mereka untuk menjadi lebih canggih, 'berkuasa' serta cantik dipandang mata. Apatah lagi menjelang raya, penuh kedai aksesori menjadi tumpuan sebilangan daripada mereka.

Dalam kalangan kaum perempuan pula, terutama yang muda belia, mereka juga tidak pernah lari daripada masalah bajet. Ini adalah kerana minat dan kegemaran masing-masing. Jika tabiat atau minat ini tidak dikawal menjelang hari raya, maka sudah pasti akan menimbulkan suasana 'kuak lentang' apabila selesai saja mereka menyambutnya.

Minat yang pertama, perempuan memang sinonim dengan membeli-belah. Pendek kata, perempuan dan shopping memang istilah yang tidak boleh dipisahkan. Perempuan suka mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli belah pakaian yang baharu dan sebagainya dengan banyak.

Contohnya: Kalau baju biru, kain pun nak biru, malah kasut dan tudung pun nak yang warna biru juga. Ini agak membazir jika ia di lakukan secara kerap dan mempunyai banyak pasang pakaian, kasut dan sebagainya yang pelbagai warna yang dibeli dan disimpan selepas digunakan cuma sekali dua sahaja.

Yang kedua, mekap dan aksesori kecantikan. Sesetengah perempuan suka sangat ingin penampilan mereka sentiasa cantik dan menawan. Ini tak salah, cuma agak-agaklah sedikit.

Ini kerana perbelanjaan untuk membeli bedak asas, bedak, lipstik, celak, maskara, pewarna muka dan sebagainya agak mahal lebih-lebih lagi jika digunakan sepanjang hari.

Itu baru pada bahagian muka, belum lagi bahagian rambut/tudung, rawatan kuku, terapi kaki, barangan kemas, dan sebagainya. Jika mahu diperincikan satu persatu ,mesti banyak sekali.

Ketiga, penjagaan badan secara keseluruhan seperti mandian lulur satu badan, membuang lemak, mengempiskan perut dan sebagainya.

Ada juga perempuan yang biasanya sudah bekerja serta suri rumah yang ingin menjadikan seluruh wajah atau badan mereka sentiasa cantik dan anggun untuk menarik minat lelaki lain ataupun untuk mengelakkan si-suaminya lari.

Namun demikian kos untuk 'menyelenggarakan badan' mereka sememangnya mahal. Kosnya mungkin boleh mencecah beribu ringgit walaupun cuma hendak membedah hidung yang penyek menjadi lebih mancung.

Itu baru servis hidung, belum lagi bibir nipis yang mahu ditebalkan, wajah dan sebagainya. Ada yang juga mengambil suntikan bulanan vitamin C, botox dan macam-macam untuk menjadikan wajah dan penampilan mereka lebih anggun dan menawan.

Memandangkan segala perbelanjaan ini sudah seperti menjadi rutin bulanan, maka semestinya ia akan mempunyai impak yang sangat besar apabila menjelang musim-musim perayaan dengan mengambil kira perbelanjaan lain yang turut ada tersenarai pada waktu dan ketika yang sama.

Masalah kekeringan bajet ini jika mahu diperincikan satu per satu memang tidak akan ada penghujungnya. Jika pada ketika hari biasa ia sudah menampakkan kesan, apatah lagi jika tabiat itu tidak dibendung ketika hampirnya musim perayaan. Maka akan bertambah parah lagi kondisi bajet diri dibuatnya.

BERSAMBUNG ISNIN

Syarikat korporat perlu contohi TH

Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT

Oleh Ram Al Jaffri Saad
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perakaunan, Universiti Utara Malaysia.

PADA 29 Julai yang lepas ada dilaporkan di dalam akhbar ini mengenai sasaran Tabung Haji (TH) untuk meningkatkan jumlah agihan zakat daripada RM1.6 juta pada tahun ini kepada RM3 juta pada tahun hadapan. Jumlah penerima wang zakat juga akan ditingkatkan sehingga 3,000 orang.

Projek yang dinamakan Projek Ehsan ini adalah merupakan usaha TH dalam menyalurkan sumbangan zakat terus kepada masyarakat. Antara golongan asnaf yang mendapat bantuan ini termasuklah ibu tunggal, fakir miskin, warga emas dan orang kelainan upaya.

Selain projek ini, satu lagi program yang turut dilaksanakan oleh TH ialah Program Iqraq. Berbeza dengan Projek Ehsan, projek ini menumpukan kepada pemberian sumbangan keperluan sekolah kepada pelajar miskin dan anak yatim yang akan menduduki peperiksaan penting.

Kedua-dua projek ini bukan sahaja dapat meringankan beban penerima malah boleh menjadi motivasi kepada mereka untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Bantuan ini walaupun sedikit namun kesannya adalah besar.

Usaha seperti ini wajar dijadikan contoh atau model bagi syarikat-syarikat korporat yang lain. Ia bukan sekadar memenuhi tuntutan agama malah ia merupakan tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat.

Sepanjang pengetahuan penulis, syarikat TH merupakan antara syarikat korporat yang begitu konsisten dalam hal pembayaran zakat. Apa yang lebih menarik, jumlah zakat yang dikeluarkan meningkat dari setahun ke setahun.

Peningkatan jumlah zakat ini sudah pasti terhasil daripada peningkatan jumlah pendapatan syarikat. Di sinilah indahnya apabila sesebuah perniagaan dijalankan dengan penuh keberkatan dan kesucian setelah pendapatan tersebut disucikan dengan zakat.

Persoalan yang timbul, bagaimana pula dengan syarikat-syarikat korporat yang lain? Adakah mereka juga membayar zakat perniagaan sebagaimana TH? Adakah mereka juga mempunyai 'Projek Ehsan' dan 'Projek Iqraq' seperti mana TH?

Dalam hal ini, penulis berani menyatakan masih banyak syarikat korporat yang tidak membayar zakat perniagaan sama ada melalui institusi zakat ataupun membayar terus kepada asnaf. Amat jarang juga bagi masyarakat dapat melihat syarikat-syarikat korporat yang mengambil inisiatif yang sama seperti mana TH dalam mengagihkan zakat kepada masyarakat.

Telahan ini dibuat berdasarkan statistik jumlah kutipan zakat perniagaan yang masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah sebenar syarikat Muslim yang berdaftar dan aktif menjalankan perniagaan.

Sebagai contoh, bilangan pembayar zakat perniagaan di seluruh negara adalah kurang daripada 10 peratus (%) jika dibandingkan dengan bilangan peniaga Muslim yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagi Wilayah Persekutuan, anggaran syarikat Muslim adalah berjumlah lebih kurang 80,000 buah, namun jumlah yang membayar zakat hanyalah sekitar 1,302 buah atau 1.167% pada 2009. Begitu juga dengan Negeri Sembilan apabila hanya sekitar 4.25% daripada lebih 25,000 buah syarikat yang membayar zakat perniagaan.

Dalam satu kajian lain yang dijalankan ke atas syarikat patuh syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia mendapati bahawa kurang daripada 10% syarikat membayar zakat perniagaan. Hanya syarikat-syarikat kewangan yang terlibat dengan kewangan Islam sahaja dilihat membayar zakat perniagaan.

Fenomena pembayaran zakat perniagaan ini berlaku di semua negeri. Keadaan ini amat memeranjatkan dan menyedihkan.

Mengapa hal ini terjadi sedangkan dalil pembayaran zakat perniagaan jelas terdapat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 267: "Hai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu."

Ini dikutkan dengan Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Maka sesungguhnya Rasulullah S.A.W menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta benda yang kami sediakan untuk dijual (urud al-tijarah)." (riwayat Abu Daud)

Selain hukum wajib zakat perniagaan, syarikat-syarikat yang mengeluarkan zakat perniagaan turut diberikan keistimewaan oleh kerajaan. Dalam Akta Percukaian di bawah Seksyen 132, syarikat yang membayar zakat perniagaan diberikan pelepasan cukai sebanyak 2.5% ke atas jumlah pendapatan agregat syarikat.

Dengan kemudahan yang diberikan ini sepatutnya dapat menggalakkan lebih banyak syarikat untuk membayar zakat perniagaan. Tiada lagi alasan untuk mereka tidak berbuat demikian. Namun, keadaan ini tidak berlaku. Adalah menjadi harapan pada masa hadapan agar semua pihak dapat memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan bilangan syarikat membayar zakat perniagaan.

Tidak dinafikan bahawa usaha institusi zakat yang baik seperti membuka operasi 7 hari seminggu pada bulan Ramadan selain inisiatif-inisiatif lain seperti yang dilakukan oleh sebuah masjid dengan membuka kaunter pandu lalu bagi memudahkan orang ramai membayar zakat.

Usaha-usaha yang agresif seperti ini boleh dilakukan juga bagi menggalakkan lebih banyak syarikat korporat dan multinasional membayar zakat? Lawatan berterusan ke syarikat-syarikat besar, taklimat zakat perniagaan, kerjasama erat antara syarikat dengan institusi zakat dan peningkatan infrastruktur institusi zakat harus dilaksanakan segera bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap zakat perniagaan.

Selain TH contohilah juga syarikat-syarikat lain seperti Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Bank Rakyat, Tenaga Nasional Berhad, Pos Malaysia Berhad, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad dan syarikat-syarikat lain yang tidak pernah lupa membayar zakat perniagaan.

Percayalah bahawa zakat yang dikeluarkan itu dapat menyucikan harta perniagaan dan seterusnya dapat menyuburkan lagi harta tersebut pada masa akan datang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Fuaad berdebar tunggujawapan lamaran

Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT

Oleh Norliza Abd. Rahman

WALAUPUN dia meminta sedikit masa sebelum memberikan persetujuan untuk menerima lamaran saya kerana mahu berbincang dengan keluarga terlebih dahulu, namun perasaan saya tetap risau. Saya bimbang kalau keluarganya sudah ada pilihan lain.

''Tetapi selepas mendapat khabar bahawa saya diterima keluarganya, saya terus memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Ilahi.

"Mudah-mudahan inilah jodoh saya sehingga ke akhir hayat," begitu pengakuan Perunding Kewangan, Ahmad Fuaad Sarani, 43, yang mengisi ruangan Jodoh Kami pada minggu ini.

Menurut anak jati Selangor yang berkhidmat di Tafakul Ikhlas Sdn. Bhd. itu, beliau melamar isterinya, Habshah Ali, 42, yang berasal dari Kedah di sebuah lokasi istimewa di Kuala Lumpur kira-kira 17 tahun lalu.

Mengimbas semula detik itu, katanya, perasaan bimbang, risau dan bermacam-macam lagi terpaksa disimpan kemas di dalam hatinya.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya ketika itu terutama memikirkan seandainya gadis idamannya itu sudah ada pilihan lain dan lamarannya ditolak.

''Isteri saya merupakan anak bongsu dan sangat manja dengan kedua orang tuanya, Semasa saya melamarnya, dia buat selamba sahaja, sebab dia ingatkan saya tak serius.

"Mungkin juga dia belum yakin bahawa hanya dialah satu-satunya ratu hati saya," bicaranya disulami ketawa kecil.

Mengimbau kembali perkenalan yang terjalin semasa Ahmad Fuaad berusia 19 tahun, katanya, ketika itu mereka mengikuti program matrikulasi di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah sebelum sama-sama melanjutkan pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

''Masa mula-mula keluar dating, tak silap saya kami makan dekat sebuah kafetaria. Ketika itu, kami masih memakai baju sekolah lagi.

"Sungguhpun begitu, kami tidaklah seperti orang bercinta walaupun dalam hati ada perasaan suka terhadap dia," ujarnya yang mengakui berasa sangat gembira dapat keluar dengan gadis pujaan hatinya itu.

Menurutnya, ketika itu, memang hatinya amat berdebar-debar dan sangat berharap agar suatu hari nanti, dia menjadi milik saya.

"Bukan senang nak keluar makan dengan awek cun," katanya sambil ketawa.

Pada ketika itu, katanya, ramai kawan-kawan mengutuknya kerana didakwa mahu mengurat pelajar junior.

Tetapi disebabkan hati sudah tertawan, semua usikan rakan-rakan tidak dipedulikannya kerana matlamatnya adalah untuk memiliki Habshah.

Berkongsi perasaan bersama pembaca, Ahmad Fuaad berkata, Habshah adalah cinta pandang pertamanya kerana beliau terpikat dengan wajah isterinya yang comel, memiliki sepasang mata bulat, hidung mancung dan berkulit cerah.

Sementara itu, Habshah yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi berkata, suaminya pernah menghadiahkan seutas rantai leher pada hari ulang tahun kelahirannya.

Katanya, walaupun rantai itu sudah hilang, namun momen tersebut tetap terpahat kemas dalam kenangannya.

''Semasa dia melamar, saya terus terkesima seketika kerana terlalu terkejut, tetapi saya tahu dia adalah jodoh saya kerana dia sangat memahami dan menerima saya seadanya, selain dia selalu berada di sisi saya kala saya memerlukannya," tuturnya lembut.

Pasangan yang dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara empat hingga 15 tahun itu berkongsi minat yang sama iaitu gemar membaca, berjoging, bercuti dan menanam pokok bunga.

Ahmad Fuaad menambah, sikap sentiasa mengambil berat dalam segala hal terutamanya mendidik anak-anak benar-benar membuatkannya berasa kagum terhadap Habshah.

"Setiap kali anak mengulangkaji pelajaran, dia akan turut sama memastikan anak-anak faham apa yang dipelajari di sekolah," ujarnya.

Nostalgia jodoh di Aidilfitri

Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT

SETIAP orang mempunyai penghayatan berbeza tentang maksud cinta sejati. Tetapi ada juga yang kurang arif untuk mengenali cinta sedangkan cinta itu adalah salah satu cara untuk mengenali diri seseorang.

Cinta boleh menjadikan seseorang itu bijak dan progresif. Namun di sebaliknya juga ia boleh mengundang derita dan sedih yang berpanjangan jika cinta itu tidak dijaga dengan baik.

Apa itu cinta, adakah ia sama dengan pengalaman Aiman (bukan nama sebenar) yang ingin saya kongsikan ceritanya minggu ini.

Kita ikuti pengalaman Aiman dalam mencari cintanya.

"Saya berusia lewat 20-an, anak sulung daripada adik-beradik seramai empat orang, dua lelaki dan dua perempuan. Ibu bapa saya masih ada dan saya menjadi harapan orang tua dan adik-adik untuk masa depan mereka.

"Saya bekas penuntut di sebuah universiti ternama negara. Sebagai memenuhi syarat untuk menamatkan pelajaran saya terpaksa menjalani latihan amali di sebuah syarikat terkenal. Tamat latihan amali saya mendapat keputusan yang cemerlang. Selesai konvokesyen saya dipanggil untuk bekerja di tempat yang sama. Alhamdulillah, rezeki saya amat mudah.

"Tanpa berfikir panjang saya terus melapor diri pada tarikh yang diberikan. Setelah hampir setahun bekerja saya telah dinaikkan pangkat.

"Ini satu pencapaian yang luar biasa, bisik salah seorang daripada kenalan saya yang terkejut dengan habuan yang saya terima.

"Pandai kerja dan cepat naik pangkat itu yang sering diperkatakan oleh mereka yang tidak puas hati dengan layanan majikan kepada saya. Tapi saya tidak ambil kisah sebab saya telah melakukan tugas dengan baik, jujur dan amanah.

"Saya orang susah dan masih menyara seorang lagi adik yang masih menuntut di kolej, di sekolah menengah dan tentunya ibu dan bapa di kampung.

"Demi memenuhi tanggungjawab terhadap orang tersayang yang telah bersusah-payah sehingga saya menjadi insan yang boleh berdikari saya bekerja dengan penuh ikhlas dan mencari rezeki yang halal.

"Apabila cuti saya tidak ke mana-mana kecuali balik kampung untuk bersama keluarga walaupun ada yang mengajak saya untuk berhujung minggu bersama mereka.

"Saya bukan sahaja diberikan rezeki murah tetapi juga tempat cinta saya mula berputik. Di pejabat saya berkenalan dengan seorang rakan sekerja bernama Amira (bukan nama sebenar).

"Satu hari Amira mengajak saya makan tengah hari. Saya setuju dengan harapan kami dapat berkenalan lebih rapat. Sambil menikmati masakan kampung, kami sempat berkenalan dan bertukar-tukar cerita yang boleh dikongsi bersama. Nyata saya amat selesa berkawan dengan Amira.

"Dia masih solo dan tidak ada halangan jika kami ingin keluar bersama. Persahabatan tidak semestinya bertukar menjadi percintaan. Ini yang saya jelaskan kepada rakan-rakan yang mengusik hubungan rapat saya dengan Amira.

"Suatu hari saya menerima surat daripada majikan mengarahkan saya bertukar ke selatan tanah air. Akur dengan arahan majikan saya mengambil cuti dan membuat persiapan untuk berpindah.

"Majlis perpisahan turut diadakan dan semua yang hadir mengucapkan selamat bertugas ke tempat baharu. Sayangnya kelibat Amira tidak kelihatan di majlis itu. Puas saya hubungi dia melalui telefon bimbitnya, tetapi tiada jawapan.

"Keesokan harinya saya pulang ke kampung memaklumkan kepada ibu dan bapa mengenai pertukaran kerja saya ke tempat baru. Ibu bapa merestui pemergian saya.

"Pada masa yang sama saya masih menghubungi Amira tetapi gagal juga. Tiada respons daripadanya. Apakah yang tak kena, adakah saya telah melakukan kesalahan kepadanya?

"Mungkin juga Amira tidak mahu diganggu, itu yang terlintas di fikiran saya. Buat sementara saya lupakan kisah Amira kerana ingin memberi tumpuan kepada tugas di tempat baru.

"Bertugas di lokasi baharu memerlukan komitmen yang tinggi. Hari-hari yang dilalui terkadang terasa rindu kepada kawan-kawan lama yang ditinggalkan. Sesekali fikiran melayang jauh mengingatkan saat manis perkenalan saya dengan Amira.

"Tiba-tiba muncul seorang gadis di hadapan saya yang menyerupai Amira sambil menghulurkan sekeping kertas.

"Encik Aiman, tolong tandatangan surat ini, surat ini penting untuk tindakan segera," katanya lembut. Kami berpandangan. "Bila Amira bertugas di sini? Tiba-tiba terkeluar soalan daripada mulut saya.

"Encik Aiman, nama saya Aina dan siapa Amira? Gadis itu bertanya kembali kepada saya. Tersentak saya bila mendengar jawapan dari gadis itu yang wajahnya hampir serupa dengan Amira.

"Maafkan saya Cik Aina, mungkin juga pelanduk dua serupa. Selepas menurunkan tandatangan Aina berlalu dan saya masih memikirkan mengenai Amira yang telah terputus hubungan.

"Melihat gadis itu saya mula rindu kepada Amira. Saya masih cuba menghubunginya tetapi gagal. Dua tahun di perantauan saya mula rapat dengan Aina.

"Nyata saya tidak bertepuk sebelah tangan. Seperti dengan Amira dulu, perasaan yang sama saya rasakan dengan Aina.

"Bagi mendapatkan restu orang tua dalam hubungan kami, Aina mengajak saya ke rumahnya untuk berkenalan dengan keluarganya.

"Saya terus pulang ke kampung untuk memberitahu ibu dan ayah akan hajat saya itu. Mereka sangat gembira. Seperti dijanji pada tarikh yang dipersetujui saya ke rumah Aina.

"Tiba sahaja di halaman rumah kami disambut oleh ibu bapa Aina dengan mesra. Semasa keluarga saya sedang berkenalan dengan keluarga Aina, tiba-tiba muncul seorang gadis yang seiras Aina sedangkan Aina ada bersama kami di ruang tamu.

"Saya menjadi keliru dan tergamam. Melihat saya dalam keadaan keliru itu, Aina bersuara, "En. Aiman sebenarnya ini kembar saya kak Amira. Ya Allah, dunia saya menjadi gelap seketika, debaran di dada makin kencang.

"Selera untuk makan hilang sama sekali dan saya tidak tahu apa yang hendak saya katakan apabila melihat dua insan di hadapan saya yang sangat saya sayangi.

"Bagaimanapun kami berpura-pura seperti tidak ada apa yang berlaku kerana tidak mahu ibu bapa kami kecoh dan susah hati.

"Keesokan harinya Aina memberitahu saya, yang bakal tunang Amira meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Sebagai adik dia amat simpati dengan kakaknya itu dan meminta saya menerima Amira semula.

"Apa yang saya sedih sekali adalah kerana Aina sengaja membawa saya ke rumahnya untuk dipertemukan semula dengan Amira kerana Amira telah menceritakan segala-galanya kepadanya.

"Ya Allah, begitu keciknya dunia. Adakah ini takdir atau kebetulan yang telah tersurat? Walau apapun biarlah jodoh yang menentukan siapa yang harus menjadi pilihan saya.

"Saya amat terharu dengan keikhlasan Aina dan berjanji akan menyelesaikan masalah itu dengan segera. Kepada ibu bapa saya ceritakan hal sebenar. Mereka juga terkejut dan reda dengan siapa yang bakal saya pilih.

"Tiga bulan saya berfikir, bertemu Amira untuk menyelami hati dan perasannya. Kata Amira dia tidak hadir pada hari majlis perpisahan untuk saya kerana pada hari itu bakal tunangnya terlibat dalam nahas jalan raya dan meninggal dunia.

"Selepas itu dia berhenti kerja dan mohon kerja di tempat kelahirannya. Dia mengaku ada hati kepada saya dan reda dengan ketentuan jika saya pilih adiknya Aina.

"Bertemu Aina perkara yang sama diberitahu. Dia juga tidak kisah jika saya pilih kakaknya Amira kerana dia lebih gembira melihat kakaknya bahagia. Lagipun kata Aina dia belum jatuh cinta kepada saya, setakat berkawan rapat sahaja.

"Saya tidak ada pilihan melainkan bersemuka dengan pasangan kembar itu untuk mendengar sendiri luahan hati mereka.

"Setelah itu saya buat istiqarah dan mohon petunjuk Allah. Alhamdulillah, akhirnya saya menjadi tenang apabila Allah tunjuk kepada saya siapa sebenarnya jodoh saya.

"Seminggu selepas itu, saya pulang ke kampung sekali lagi. Saya bagi tahu mak dan ayah, hari raya nanti saya akan ke rumah Aina dan Amira sekali lagi. Kali ini untuk terus merisik dan meminang Amira yang akan saya jadikan bakal isteri saya.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya kini bahagia dengan Amira dan kami dikurniakan sepasang cahaya mata. Kembar Amira, Aina juga sudah bertemu cinta hatinya, seorang guru dari kampung mereka juga.

"Terima kasih Ya Allah kerana memberikan kebahagiaan ini kepada saya. Juga kepada Aina yang tidak mementingkan diri dan sangat sayang kepada kembarnya.

"Itu cerita hari raya Aidilfitri dua tahun lalu. Kisah manis yang akan saya ingat sampai bila-bila. Kali ini sudah tiga kali saya sambut raya dengan anak isteri dan keluarga mentua. Moga kebahagiaan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat kami." Aiman menamatkan ceritanya dengan senyum.

Itu secebis kenangan indah yang dirakamkan Aiman buat tatapan kita semua. Sungguh menarik cerita cinta Aiman. Tidak semua orang boleh mencipta kisah cinta seindah Aiman dan Amira. Mungkin itu takdir mereka yang telah tersurat.

Marilah kita mendoakan agar rumah tangga Aiman dan Amira kekal bahagia hingga ke akhir hayat mereka, begitu juga dengan Aina dan suaminya.

Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, "Berkasih dan bercinta sekadar mainan dan imaginasi, pelengkapnya adalah jodoh untuk dua insan itu saling mengisi kekurangan mereka dalam sebuah ikatan yang dinamakan pernikahan. ''

Salam Syawal, maaf zahir batin.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Suami isteri meninggal dunia selang sejam 1 Syawal

Posted: 09 Aug 2013 01:29 AM PDT

DUNGUN 9 Ogos - Menepati bidalan 'sehidup semati', sepasang suami isteri warga emas menghembuskan nafas terakhir masing-masing selang sejam di hospital berbeza, semalam.

Che Mohd Yusof Che Wan Endut, 71, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 5.40 petang susulan paru-paru berair manakala isterinya Fatimah Muda, 64, di Hospital Kuala Berang kira-kira sejam kemudian.

Anak mereka, Che Wan Rashimah, 44, berkata, bapanya dirawat di HSNZ sejak Selasa lalu, manakala ibu pula yang terlantar di rumah selepas serangan angin ahmar digegaskan ke hospital petang semalam selepas keadaannya makin tenat.

"Masa ibu tengah tenat di rumah, adik telefon beritahu ayah juga sedang tenat di HSNZ. Kami kemudian gegaskan ibu ke Hospital Kuala Berang tetapi disahkan meninggal dunia sejurus tiba," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerangau Sungai di sini.

Pemergian serentak pasangan itu turut dirasai penduduk kampung kerana kedua-duanya adalah guru al-Quran manakala Che Mohd Yusof pula imam masjid dan jurunikah bagi di daerah ini.

Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyifatkan pasangan itu sebagai pasangan yang sentiasa bersama walau ke mana mereka pergi.

Seorang bekas pelajar al-Quran pasangan itu, Zuraidah Ismail, 42, berkata, dia merancang untuk menziarahi kedua-dua mereka pada raya kedua selepas mendengar mereka sakit.

Katanya, mereka itu terkenal sebagai pasangan romantik kerana tidak pernah berenggang.

"...mereka selalu naik motor bersama, minum di kedai dan ke kebun bersama-sama," katanya.

Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan di Tanah perkuburan Kampung Panchor Jerangau di sini malam semalam. - BERNAMA

UMNO sudah terima mesej, perlu masa untuk perubahan - PM

Posted: 09 Aug 2013 01:14 AM PDT

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 9 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO menerima mesej mengenai kepentingan untuk parti itu berubah tetapi seperti parti politik lain, parti terbesar Malaysia tersebut memerlukan masa untuk melaksanakan perubahan.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Presiden UMNO menambah, parti itu di bawah kepimpinannya telah mengorak langkah untuk memulakan proses perubahan dengan meminda Perlembagaan parti.

"Untuk memastikan UMNO relevan, parti ini mesti bergerak selari dengan masa supaya kita boleh melambangkan perubahan pada sikap, nilai dan jangkaan masyarakat.

"UMNO adalah parti pemerintah dan adalah mudah untuk pihak lain mengkritik parti kita. Pembangkang senang berjanji dan banyak parti di dunia juga menjanjikan harapan, tetapi mereka gagal menunaikan," katanya dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran beliau bersama Menteri-menteri Kabinet, di sini semalam. - UTUSAN ONLINE

Samy nafi diminta oleh Pak Lah letak jawatan pada 2007

Posted: 09 Aug 2013 01:00 AM PDT

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 9 Ogos - Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menafikan beliau pernah diminta melepaskan jawatan tertinggi parti oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi setahun sebelum pilihan raya umum 2008.

"Tidak (berlaku perkara ini). Tiada sesiapa yang boleh meminta saya meletak jawatan kerana ini merupakan hak mutlak saya," katanya ketika diminta mengulas kandungan buku Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia yang memetik komen Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis rumah terbuka Perdana Menteri bersama menteri-menteri Kabinet di Seri Perdana, di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Abdullah dalam buku tersebut menyatakan beliau tidak menyukai cara Samy Vellu menyelesaikan beberapa isu dan cuba menasihatkan pemimpin veteran itu bersara lebih awal. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved