Khamis, 21 November 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Safee mungkir janji'

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

SAFEE Sali meraikan kemenangan Selangor ketika menyarung jersi pasukan Merah Kuning dalam saingan Liga Super pada Februari, 2011.

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kecewa dengan tindakan Safee Sali membuat pusingan U apabila membatalkan keputusan untuk kembali ke pangkuan pasukan Red Giants, sebaliknya memilih untuk kekal bersama Johor Darul Takzim (Johor DT).

Timbalan Presiden FAS, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata, penyerang kebangsaan itu telah menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi Selangor dalam pertemuan dengannya dua minggu lalu, sebelum menukar fikiran pada saat akhir.

Walaupun mengakui kecewa dengan tindakan pemain berusia 29 tahun itu, namun FAS secara 'gentleman' menerima keputusan Safee dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.

"Dalam pertemuan saya dengan Safee, dia bersetuju kembali ke Selangor dengan gaji bulanan yang dipersetujui kedua-dua pihak. Semasa Safee bertemu saya pertama kali, dia telah menyatakan kekecewaan kerana harus bermain dalam Liga Perdana jika kekal bersama Johor untuk musim baru.

"Atas faktor tersebut, Safee hendak kembali ke pangkuan Selangor dan kami dengan hati terbuka menerimanya," kata Mokhtar dalam satu kenyataan, semalam.

Mokhtar enggan mendedahkan berapakah gaji yang ditawarkan Selangor kepada Safee, namun menjelaskan jumlah yang mampu diberi mereka tidak dapat menandingi apa yang ditawarkan oleh Johor DT.

Beliau turut menambah, selepas Safee bersetuju dengan tawaran Selangor, FAS telah membuat bayaran pendahuluan.

Utusan Malaysia difahamkan Johor DT telah menawarkan gaji yang cukup lumayan RM110,000 sebulan kepada bekas penyerang Red Giants itu, sedangkan Selangor hanya mampu membayar RM65,000.

Mokhtar berkata, pengumumannya ini adalah untuk memastikan semua pihak, khususnya penyokong Selangor dapat memahami situasi tersebut dan tidak mencetus sebarang polemik mahu pun spekulasi kepada pengurusan FAS atas keputusan Safee itu.

Menurutnya, sikap profesional harus digambarkan menerusi rundingan dan perjanjian sebelum mengikat kontrak.

"Kalau mengikut undang-undang kontrak, perjanjian lisan juga dianggap memeterai kontrak. Perancangan FAS ialah membawa Safee ke pejabat FAS untuk satu majlis ringkas bagi menandatangani kontrak sebagai memeterai perjanjian lisan antara kedua-dua pihak selepas aksi skuad kebangsaan menentang Qatar pada kelayakan Piala Asia.

"Tetapi apabila kami dimaklumkan menerusi pihak ketiga bahawa pengurusan JDT mahu mengekalkan Safee untuk bermain dalam Liga Super, FAS tiada pilihan lain demi kepentingan pemain berkenaan, kami melepaskan Safee," jelasnya.

Beliau berkata, usaha membawa pulang Safee ke Selangor adalah berdasarkan anggapan bahawa penyerang itu mampu mengembalikan sentuhannya di bawah pengurusan Red Giants.

"Idea kami pada awalnya ialah menjadikan Safee sebagai penyerang utama sambil memberi dia ruang membimbing penyerang muda.

"Kami juga mengenang jasa Safee yang pernah beraksi untuk Selangor selama lima musim pada 2006 hingga 2011 dan atas sebab itu, kami percaya dia masih memiliki pengikut yang ramai, selain hakikat bahawa FAS memerlukan khidmatnya untuk bersaing di peringkat Liga Malaysia dan Piala AFC," tambah beliau.

Mourinho pun tak boleh tolong

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal perlu menelan hakikat bahawa tahap kemampuan skuad bola sepak Malaysia sekarang hanya berlegar di sekitar rantau Asia Tenggara, sekali gus belum mampu melepasi walaupun peringkat Kelayakan Piala Asia.

Jurulatih berusia 57 tahun itu diakui sudah melakukan segala-galanya yang terbaik membawa skuad Harimau Malaya beraksi ke Piala Asia 2015.

Namun kini, kedudukan mereka untuk layak daripada Kumpulan D tinggal 'nyawa-nyawa ikan'.

"Dalam jangka panjang, dia telah diberi kuasa memilih sesiapa sahaja pemain yang dibimbingnya sejak peringkat umur lagi untuk dinaikkan ke skuad kebangsaan dan hasilnya setakat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010.

"Setiap jurulatih ada maruah dan sudah menjadi lumrah, apabila berjaya anda disanjung segenap sudut, namun yang sebaliknya menimpa jika keputusan tidak berpihak kepada anda.

"Jadi dia perlu mengambil tanggungjawab ini dan tidak boleh berdolak-dalih lagi (untuk berundur).

"Sudah sampai masanya anda (Rajagobal) bawalah haluan lain secara terhormat," kata bekas jurulatih negara, Wan Jamak Wan Hassan (gambar), yang melatih Malaysia bergelar naib juara Piala Tiger 1996 (kini Piala Suzuki AFF) dan merupakan anggota skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tegas Wan Jamak, Harimau Malaya ibarat 'mati hidup semula' jika berjaya memenangi baki perlawanan dengan Yemen, 5 Mac depan sambil berharap untuk mengatasi pencapaian empat pasukan ketiga kumpulan lain.

"Saya setuju dengan kenyataan Datuk Seri Zolkples Embong (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) bahawa ada kalanya nasib atau tuah berpihak kepada sesetengah pasukan," katanya lagi.

"Jika panggil Jose Mourinho (jurulatih Chelsea), belum tentu skuad bola sepak kita boleh layak ke Piala Asia sedangkan harapan orang terhadap pasukan negara terlalu tinggi.

"Kemajuan bola sepak negara kita masih di tahap minimum dan kadangkala kita hanya bernasib baik sekarang.

"Untuk jadi yang terkuat di Asia Tenggara pun, kita sepatutnya sudah jadi juara Piala Suzuki AFF dan Sukan SEA tiga empat kali berturut-turut.

"Kalaupun kita layak ke Piala Asia lalu bertemu pasukan gergasi macam Korea Selatan, Jepun, Australia, Iran, Arab Saudi, Uzbekistan, sediakah peminat kita menerima hakikat bahawa pasukan kita masih jauh ketinggalan dan akan menjadi budak belasahan dengan mereka.

"Saya dapati Bahrain (pendahulu Kumpulan D) tidaklah sekuat mana pun dan masih tidak mampu menjaringkan banyak gol (berbanding Qatar).

"Sepatutnya kita boleh mengambil kesempatan ini, namun saya berani jamin Bahrain pun akan dibelasah dalam pusingan akhir 2015.

"Mungkin ada yang kata, Datuk Rajagobal membimbing pemain negara sekarang yang sudah dikenalinya sejak peringkat umur atau dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Namun berapa kerat sangatlah bakat yang boleh diharapkan dari sebuah sekolah itu. Tidak cukup! Sepatutnya lebih ramai bakat begini dicungkil dari sekolah-sekolah kita di seluruh negara, barulah kita boleh membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap dalam satu jangka panjang,"kata seorang lagi bekas jurulatih negara, B. Sathianathan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Ambulans meletup di Felda Palong 7

Posted: 21 Nov 2013 11:16 PM PST

Oleh SAJIDA ASARULLAH KHAN

JEMPOL 22 Nov. - Seorang pemandu ambulans dari Klinik Felda Palong 4,5,6 terpaksa melalui detik-detik yang mencemaskan apabila kenderaan tersebut tiba-tiba terkopak dan meletup dipercayai akibat oksigen di dalamnya meletup dalam satu kejadian di jalan utama Felda Palong 7, dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa Shaari Miso 52, baru sahaja selesai menghantar pesakit ke Hospital Jempol.

kira-kira pukul 6.20 petang sebelum dia terdengar satu bunyi dentuman dari arah belakang dan dalam masa yang sama cermin depannya pecah.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Hamzah Alias ketika mengesahkan kejadian itu menjelaskan Apabila mangsa melihat cermin sisi kanan, dia menyedari bahagian belakang ambulans terkopak dan dipercayai meletup.

Katanya, mangsa kemudiaannya bertindak memberhentikan kenderaan tersebut dan segera meminta bantuan dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius ekoran kejadian itu. - UTUSAN ONLINE

Bengkel kereta musnah terbakar di Gemas

Posted: 21 Nov 2013 07:56 PM PST

GEMAS 22 Nov. - Sebuah bengkel kereta di Jalan Pasir Besar-Felda Pasir Besar dekat sini, musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, sebuah kereta pelanggan turut musnah.

Menurut pegawai operasi bomba, Shahidallah Osman, dua jentera bomba, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dan Bahau, bersama 16 anggota digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

"Ketika pihak bomba tiba, api sedang marak namun kepantasan pihak bomba bertindak menyebabkan api berjaya dikawal daripada merebak ke premis bersebelahan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, manakala punca dan kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


15,000 tentera asing bakal ditempatkan di Afghanistan

Posted: 21 Nov 2013 10:34 AM PST

KABUL 22 Nov. - Presiden Afghanistan Hamid Karzai memberikan sokongan kepada pakatan keselamatan bersama Amerika Syarikat (AS), yang bakal menyaksikan kira-kira 15,000 tentera asing akan berada di negara tersebut.

Bagaimanapun, Hamid menjelaskan perkara itu hanya akan dimuktamadkan selepas berlangsungnya pilihan raya tahun depan.

Sebelum ini, Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, kedua-dua belah pihak sudah bersetuju untuk mengadakan satu pakatan keselamatan bersama selepas berbulan-bulan mengadakan perbincangan. - AFP

Pengebom berani mati bunuh 30 orang di Iraq

Posted: 21 Nov 2013 10:33 AM PST

BAQUBA, Iraq 22 Nov. - Sebuah kereta yang membawa bahan peledak meletup di sebuah pasar makanan di utara Baghdad semalam, mengakibatkan 30 orang terkorban.

Kejadian itu berlaku sehari selepas peristiwa keganasan di seluruh negara termasuk serangan pengebom berani mati di ibu negara yang membunuh 59 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain.

Serangan terbaharu itu berlaku pada pukul 0900 GMT (5 petang waktu Malaysia) berhampiran sebuah kedai minuman di pasar makanan di bandar Saadiyah, wilayah bergolak Diyala yang didiami oleh penduduk etnik campuran.

Menurut polis dan doktor, sekurang-kurangnya 30 orang terkorban dan 40 lagi mengalami kecederaan dalam letupan itu. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Alvin, Vivian gagal ketepi pertuduhan

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

ALVIN Tan (depan) dan Vivian Lee (kanan) bersama peguambela mereka di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RIDUAN RIZAL AHMAD

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membatalkan pertuduhan bahawa mereka menyebabkan timbulnya perasaan permusuhan dalam kalangan masyarakat berlainan agama.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian setelah mendapati tiada merit dalam permohonan Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, dan Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan adalah terpakai untuk semua penganut agama lain.

"Sepintas lalu membaca peruntukan berkenaan amat jelas sejelas gelas kristal bahawa peruntukan tersebut langsung tidak menyebut secara khusus bahawa peruntukan itu dituju khas kepada penganut beragama Islam.

"Perkataan-perkataan yang digunakan professing the same or different religions (menganut agama yang sama atau berlainan) menunjukkan peruntukan itu terpakai bukan sahaja kepada penganut agama Islam malahan terpakai kepada penganut agama-agama atau kepercayaan yang lain juga,'' kata beliau.

Kata hakim berkenaan lagi, seksyen tersebut adalah undang-undang yang baik (good law) dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak wajar dibatalkan di bawah Perkara 4(1) perlembagaan itu.

"Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan itu adalah terpakai, sah dan berkuat kuasa secara sejagat tanpa mengira bangsa, keturunan ataupun agama yang dianuti oleh seseorang dan terpakai terhadap pemohon-pemohon ini (Alvin dan Vivian),'' katanya.

Pada 21 Ogos lalu, pasangan itu memfailkan permohonan untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi mereka kerana mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Mereka memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka, dengan alasan sekiranya pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai ke atas orang Islam.

Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Alvin dan Vivian didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini pada pukul 10.48 malam, 7 Julai lalu.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Hafizza Jemali manakala pasangan itu diwakili peguam, Chong Joo Tian.

Sementara itu di luar mahkamah, Alvin yang ditemani Vivian membuat permohonan maaf sekali lagi terhadap perbuatan mereka itu selain rasa kesal terhadap perbuatan tersebut dan tidak berniat untuk menyakiti hati mana-mana pihak.

"Kami ingin memohon maaf sekali lagi dan kami pasti tidak akan melakukan lagi perbuatan itu,'' katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Joo Tian memberitahu akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dan akan mengemukakan surat representasi kepada Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Pasangan penulis blog itu turut menghadapi pertuduhan menerbitkan penerbitan sama yang didakwa menghasut dalam Facebook di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Perbicaraan terhadap pasangan itu telah ditetapkan pada 5 dan 6 Disember ini di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Wan Ahmad nafi terlibat Projek IC

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) hari ini menafikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau terlibat dalam Projek IC dan memegang jawatan sebagai Pengerusi SPR Sabah sebagaimana yang dinyatakan dalam dua artikel terbitan akhbar Harakah pada Februari lalu.

Ini kerana, menurutnya, beliau bukan sahaja tidak terlibat secara langsung atau sebaliknya malah, tidak pernah berkhidmat di negeri itu.

Namun, ekoran daripada penerbitan artikel bertajuk, Wan Ahmad tak boleh dipercayai dan Ragu peranan SPR-Wan Ahmad Omar mesti letak jawatan dalam Edisi Jumaat bertarikh 1-3 Februari 2013 itu, Wan Ahmad mendakwa, reputasi dan kredibilitinya telah terjejas dengan teruk bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan malahan juga di luar negara.

Beliau juga menyatakan, pernah diaibkan seorang penonton yang menuduhnya sebagai tidak bertanggungjawab dan didesak meletakkan jawatan dalam rancangan Hello Malaysia yang ketika itu disiarkan secara langsung di televisyen.

Selain itu, Wan Ahmad, 65, memberitahu, adalah mustahil untuk menganggap Wan Ahmad Wan Omar yang dinyatakan dalam artikel terbitan akhbar lidah rasmi Pas itu sebagai individu yang berlainan kerana terdapat seorang sahaja yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi SPR Malaysia atas nama itu iaitu diri beliau.

Wan Ahmad berkata demikian dalam pernyataan saksinya pada perbicaraan kes saman fitnahnya yang difailkan atas kapasiti persendirian terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, yang bermula hari ini.

Turut dinamakan dalam saman yang difailkan pada 5 Mac lalu ialah Setiausaha Agung Pas dan pemegang permit Harakah, Datuk Mustafa Ali; syarikat percetakan Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd.; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman serta wartawan Harakah, Aziz Muda sebagai defendan kedua hingga kelima.

Sewaktu disoal balas oleh peguam defendan, Mohamed Hanipa Maidin, Wan Ahmad tidak bersetuju bahawa kredibiliti sebagai Timbalan Pengerusi SPR sememangnya telah dipersoal sebelum penerbitan artikel tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Jovian, Nina nikah 11 Disember ini

Posted: 21 Nov 2013 03:11 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Nov.- Pereka fesyen dan pengacara, Jovian Mandagie, 27, dan kekasihnya, Nina Sabrina, 27, akan disatukan sebagai suami isteri pada 11 Disember ini.

Majlis pernikahan mereka akan diadakan di Muzium Diraja Istana Negara Lama di sini.

Kami bakal mencatat sejarah tersendiri kerana menjadi pasangan pertama yang bernikah di situ, sebelum pihak muzium membuka pakej perkahwinan selepas ini kepada orang ramai.

Majlis resepsi sebelah Nina dan saya akan diadakan pada 14 dan 15 Disember di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Nina Sabrina, adalah anak sulung kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob . - UTUSAN

Cabaran baru bagi Emily

Posted: 20 Nov 2013 10:42 PM PST

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar JEFFRI IRAN

Emily Chan ( bertudung) sewaktu majlis doa selamat dan pelancaran filem Kitai di Wisma MIG, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kedatangan artis baharu dalam industri seni adalah perkara biasa. Pastinya itu adalah satu perkembangan positif, khususnya industri hiburan Melayu. Ini kerana persaingan yang sihat pasti memberikan kesan positif secara keseluruhan.

Namun dalam kerancakan kehadiran pelakon muda, mereka yang telah lama bergiat sebenar turut mempunyai peluang tersendiri.

Itu yang mahu direbut oleh Emily Chan atau nama sebenarnya Chan Zi Ying.

Jelas Emily, dia sudah berlakon sejak 2009 menerusi pelbagai drama popular berbahasa Mandarin. Namun tidak pernah berpeluang untuk menceburi program berbahasa Malaysia.

"Saya sudah terlibat dengan tidak kurang daripada 10 buah drama. Baru kini saya berpeluang menceburi industri hiburan utama negara ini iaitu pasaran berbahasa Melayu.

"Pastinya saya teruja dengan perkembangan ini kerana sudah lama menyimpan impian untuk melangkah lebih jauh dengan kerjaya seni," jelas wanita kelahiran ibu kota itu.

Emily merupakan salah seorang artis di bawah syarikat milik penerbit David Teo iaitu MIG Productions Sdn. Bhd., dan kini Emily bakal tampil dengan beberapa filem iaitu Awak Nak Kahwin Dengan Saya?, Glorifying Love dan Kitai.

Tambah wanita berusia 21 tahun itu, dia berharap kehadirannya dapat diterima ramai kerana baginya, bakat seni adalah bersifat terbuka dan tidak khusus buat satu kaum sahaja.

"Saya tahu bukan mudah untuk menembusi pasaran Melayu. Namun saya bersedia untuk berusaha dengan gigih bagi membuktikan bahawa saya mampu berjaya dan bersandarkan kepada bakat lakonan yang dimiliki.

"Jika dilihat, tidak ramai artis berketurunan Cina yang dikenali di pasaran ini . Tidak salah rasanya bagi saya untuk turut serta memeriahkan lagi industri tersebut," ujar anak kepada seorang jurugambar akhbar berbahasa Mandarin tempatan.

Tambah Emily, dia juga menganggap itu sebagai satu cabaran buat dirinya kerana bakal melangkah ke dalam suatu industri yang berbeza berbanding yang pernah dikenalinya sebelum ini.

"Pasti perasaan gementar itu ada. Kerana ini merupakan suatu perkara baharu buat diri saya. Namun dalam tempoh setahun setelah mula menyertainya, saya semakin selesa dengan keadaan semasa.

"Apa yang penting adalah bagaimana kita mengatasi cabaran yang mendatang setiap hari dan perlulah sentiasa bersifat positif dalam menghadapinya," tambah wanita jelita itu.

Gosip liar

Sebagai pendatang baharu dalam dunia lakonan tempatan, pasti cabaran utama yang bakal dihadapi mereka adalah pelbagai gosip dan kontroversi yang akan dilemparkan kepada mereka saban hari.

Namun begitu, jelas Emily, dia telah dimaklumkan terlebih dahulu oleh pihak pengurusan berhubung perkara tersebut dan sedikit sebanyak dia telah bersedia untuk menghadapi situasi sedemikian sekiranya ia terjadi.

"Bagi saya, gosip adalah suatu perkara yang penting dalam menentukan jatuh bangun seseorang artis. Apatah lagi ia memang suatu perkara yang sukar untuk dielak mana-mana individu bergelar artis.

"Tetapi apa yang lebih penting adalah diri kita sendiri kerana sebagai artis dan dikenali umum, kita perlu sentiasa menjaga imej dan menjauhkan diri daripada aktiviti yang kurang elok," ujarnya.

Tambah Emily, terdapat perbezaan yang amat ketara berhubung gosip melibatkan artis dalam industri berbahasa Cina jika dibandingkan dengan industri berbahasa Melayu di negara ini.

"Industri berbahasa Melayu lebih besar pengaruhnya dan pastinya penekanan kepada suatu gosip itu lebih besar berbanding industri berbahasa lain dan ini juga suatu perkara baharu buat diri saya.

"Namun ia tidaklah keterlaluan sehingga membuatkan saya gementar untuk menjejakkan kaki ke dalamnya kerana saya yakin masyarakat umum akan menilai bakat dengan sewajarnya," tambahnya.

Tidak dapat dinafikan industri hiburan tempatan adalah yang utama di rantau Asia Tenggara dan pastinya kelebihan itu menarik minat ramai individu untuk menceburinya.

Jika sebelum ini kita sudah mendapat kemasukan dalam jumlah besar bakat-bakat dari Singapura dan Indonesia, kini individu berasal dari Brunei juga mahu turut serta.

Nina Iskandar, 22, yang mula bergelar anak seni sejak tahun 2011 di negara kelahirannya iaitu Brunei Darussalam, nekad mahu mencipta nama sebagai pelakon di Malaysia memandangkan peluang dan pasaran yang lebih luas di sini.

"Industri hiburan di Brunei jauh berbeza dengan di Malaysia. Jika saya benar-benar mahu menjadikan lakonan sebagai karier dan mata pencarian, adalah penting untuk saya berhijrah ke sini.

"Di Brunei, kebanyakan pelakon mempunyai kerja utama lain dan bidang lakonan dilakukan secara separuh masa, sama juga dengan diri saya sewaktu bermula dahulu.

"Perasaan rindu akan keluarga dan kampung halaman itu pasti ada namun minat yang semakin mendalam terhadap bidang lakonan membawa saya ke sini," jelasnya yang mendapat sokongan seluruh ahli keluarganya.

Telah terlibat dengan beberapa drama di negara asalnya, Nina atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar bakal tampil dengan beberapa filem bermula awal tahun hadapan.

Antara drama lakonan Emily Chan termasuklah Footprint, The Descendent, Dark Sunset, Laws Of Attraction dan Undercover.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Meneroka aktiviti sihat

Posted: 20 Nov 2013 10:42 PM PST

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar rashid mahfof

Sebahagian kanak-kanak yang mengambil bahagian sempena karnival anjuran wall's paddle pop dan legoland resort malaysia

SEMPENA Hari Kanak-kanak Sedunia, dua jenama terkemuka, Wall's Paddle Pop dan Legoland Malaysia Resort, berganding menghiburkan kira-kira 150 kanak-kanak kurang bernasib baik dari enam rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang.

Diadakan di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur, karnival kanak-kanak tersebut diadakan bagi memberi peluang kanak-kanak tersebut berseronok sambil merasai pengalaman baru yang dibawakan oleh penganjur.

Menyedari bahawa kanak-kanak tersebut jarang diraikan, Wall's Paddle Pop dan Legoland Malaysia Resort membawakan kegembiraan dan keceriaan kepada mereka dengan melakukan aktiviti permainan yang menarik dan menyeronokkan di karnival.

Antara permainan yang disediakan pada hari tersebut ialah velcro olympics iatu sukan mini dan permainan bertemakan lego.

Apa yang diharapkan daripada karnival tersebut ialah dapat menggalakkan kanak-kanak meneroka aktiviti-aktiviti sihat dan aktif serta menyeimbangkan antara pelajaran, permainan elektronik atau online serta bermain di luar.

Menurut Ketua Kategori Wall's Ice Cream, Unilever Malaysia, Shawn Tan, kerjasama tersebut merupakan satu kerjasama yang benar-benar menggembirakan kanak-kanak kurang bernasib baik yang diraikan.

Katanya lagi, kanak-kanak hari ini dilihat menghabiskan terlalu banyak masa dengan gajet elektronik dan sentiasa sibuk dengan sekolah, kelas tuisyen, kelas piano dan bermacam lagi.

" Pihaknya berasa sudah sampai masanya untuk berubah dan menggalakkan kanak-kanak keluar dan bermain.

"Apa yang berlaku hari ini adalah satu aktiviti luar yang mampu membentuk pembangunan fizikal menyeluruh, di mana kanak-kanak berpeluang untuk meneroka persekitaran mereka, bersenam, mendapat kawan baru, dan membina keyakinan diri," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran, Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy pula berkata, kerjasama pintar antara pihaknya dengan Wall's Paddle Pop dilihat mampu memberi manfaat kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Tambahnya lagi, kerjasama tersebut dilihat sebagai satu permulaan dan selepas ini akan ada lagi kerjasama antara pihaknya dan Wall's Paddle Pop.

"Aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi tumpuan kepada pembelajaran yang menyeronokkan adalah nadi kepada jenama kami.

"Kami berasa bangga diberi peluang untuk terlibat dalam projek ini kerana taman-taman kami memang direka khusus untuk keluarga dan kanak-kanak. Menerusi program seperti ini, kami mampu memberikan pengalaman unik Legoland di luar taman agar lebih ramai kanak-kanak dapat menikmatinya" ulasnya ditemui pada karnival tersebut, baru-baru ini.

Karnival tersebut yang bermula seawal pukul 9.00 pagi memperlihatkan acara kemuncaknya dengan penampilan model Lego Paddle Pop besar yang diperbuat keseluruhannya daripada bata kecil Lego.

Kanak-kanak tersebut dilihat begitu gembira menjadi kumpulan pertama di negara ini yang berpeluang untuk mendekati Paddle Pop yang berketinggian 5 kaki 2 inci dan seberat 77 kilogram.

Jumlah cantuman bata kecil Lego yang digunakan untuk membina model Paddle Pop itu adalah sebanyak 53,928 bata.

Rumah anak-anak yatim yang dijemput menghadiri karnival Hari Kanak-kanak Sedunia Paddle Pop dan Legoland Malaysia Resort adalah Yayasan Sunbeams, Good Samaritan Home, Rumah Bakti Nur Syaheera, Shelter Home for Children, Pusat Jagaan Siddharthan, dan Rumah Juara.

Atas sumbangan Paddle Pop, model Lego Paddle Pop akan menjelajah seluruh Semenanjung menerusi pameran bergerak selama lima minggu mulai 20 November sehingga 29 Disember ini dan bakal mengunjungi 30 rumah anak-anak yatim serta 100 taman awam dan taman permainan.

Model tersebut akan mengunjungi beberapa rumah anak yatim serta taman awam dan taman permainan termasuk di Zoo Negara, KidZania, Taman Burung Melaka dan sebagainya.

Terapi vokal luah emosi

Posted: 20 Nov 2013 10:42 PM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ABD RAZAK LATIF

Muzik membina perwatakan ceria pada kanak-kanak.

SEMUA orang suka menyanyi sama ada sekadar suka-suka bagi mengubat duka, mahupun sebagai medium untuk mengekspresikan sesuatu.

Namun, tahukah anda bahawa dengan nada vokal tertentu, amat membantu dalam pembentukan minda dan tubuh kanak-kanak serta remaja?

Perkara ini dinyatakan oleh guru vokal terkenal, Siti Hajar Ismail, yang mengakui bahawa elemen vokal, tubuh badan dan lakonan sememangnya sukar dipisahkan kerana minda yang sihat akan menzahirkan vokal yang lebih positif.

Beliau yang juga pengetua di Provoiz Consultancy & Services berkata, terapi suara adalah satu pendekatan untuk merawat gangguan suara atau komunikasi, yang melibatkan latihan vokal dan fizikal serta perubahan tingkah laku tanpa melakukan sebarang pembedahan.

Program terapi ini merupakan satu pendidikan mengenai suara dan latihan dalam kemahiran teknikal yang akan membantu anak-anak mencapai matlamat bukan sahaja dalam apa juga bidang komunikasi malah untuk penggunaan suara harian.

Menurut Siti Hajar, ketika sesi terapi suara, pendekatan yang digunakan adalah berbeza dan fleksibel untuk mendapat hasil terbaik sesuai dengan keperluan mereka.

Secara amnya, ia akan memberi tumpuan kepada komponen latihan kemahiran teknikal seperti menggalakkan keseimbangan pada fisiologi pengeluaran suara, membantu menyelaras pernafasan, mendapatkan kekuatan dan kualiti bunyi tanpa merosakkan peti suara dan paling penting, memenuhi keperluan komunikasi harian.

Kesilapan melatih suara tanpa bantuan pakar boleh mengakibatkan kecederaan suara, malah lebih serius merosakkan peti suara.

Melalui program ini, anak-anak akan dapat menguasai vokal dan memulihkan masalah berkaitan suara yang dihadapi dengan cara yang berkesan, selamat dan menyeronokkan.

"Medium nyanyian memang menyeronokkan. Kita boleh lihat sesetengah orang apabila berhadapan dengan masalah dia masih boleh menyanyi, itu adalah caranya untuk meluahkan perasaan.

"Pada kanak-kanak dan remaja, kita boleh aplikasikan terapi vokal dengan mengajar mereka menghasilkan suara menerusi penghayatan dan daya fokus yang tinggi," ujar Siti Hajar yang ditemui di Pusat Terapi AnnaBella di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Beza bunyi

Menurut Siti Hajar, untuk menzahirkan remaja yang positif mereka perlu membuang rasa rendah diri dan bagi melakukan perkara itu pelbagai teknik boleh dicuba termasuk terapi vokal.

"Terapi vokal ini sebenarnya salah satu permainan emosi yang menuntut kanak-kanak atau remaja, berhadapan dengan kenyataan dan sekali gus merungkai kelemahan diri bersama fasilitator.

"Saya masih teringat ketika di zaman remaja, saya dan rakan sering bermain permainan yang kami namakan permainan emosi. Permainan kami ini caranya mudah, baring ke langit, menghadap langit dan meluahkan isi hati masing-masing.

"Ada kalanya kami akan menangis dan kami memperoleh kelegaan yang sangat tinggi selepas setiap kali bermain permainan emosi.

"Begitulah juga kaedah yang akan kami gunakan dalam terapi vokal. Kami juga akan dapat menilai karakteristik remaja menerusi respons mereka terhadap terapi ini.

"Dari situ juga kami akan meneroka diri pelajar dan ajar mereka cara menghadapi cabaran, dugaan dengan lebih positif," ujar Siti Hajar yang telah mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang vokal.

Kem Aspirasi Kreatif

Sementara itu, Siti Hajar dengan kerjasama Pusat Terapi Annabella akan menganjurkan Kem Aspirasi Kreatif pada cuti sekolah ini.

Kem tersebut bakal memberi peluang untuk anak-anak mengekspresi dan mengeksplorasi diri mereka dengan cara yang kreatif, positif dan penuh kasih sayang.

"Kami membantu anak-anak mengenal pasti dan mengatasi kelemahan diri serta menggilap potensi yang ada dalam diri mereka melalui kaedah yang unik, kreatif dan mengujakan.

"Antara keunikan dan keistimewaan program ialah terapi minda, terapi seni, terapi vocal, terapi muzik, terapi drama, terapi spiritual dan terapi fizikal kreatif," kata Siti Hajar.

Hasilnya, anak-anak dapat meningkatkan keyakinan diri, mencipta daya kreativiti dan pemikiran kritis, serta meningkatkan semangat juang yang tinggi . Untuk keterangan lanjut dan pendaftaran, sila hubungi, Annabella House of Therapy di talian 03-87500213.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Legasi perniagaan kerepek melonjak

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
utusan.johor@gmail.com

Dua pekerja mengupas kulit ubi kayu sebelum diproses menjadi kerepek.

KOTA TINGGI 20 Nov. - Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Perumpamaan itu yang menggambarkan kelangsungan perniagaan memproses dan membekal makanan ringan tradisional yang diusahakan Mohd. Jofrry Selamat, 65, dan isteri, Sabiah Saleh, 61, dari Felda Papan Timur di sini sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Bermula secara kecil-kecilan dengan modal sebanyak RM500, produk antaranya kerepek ubi dan cakar itu kemudiannya dijual sendiri oleh Mohd. Jofrey di sekeliling tanah rancangan itu dengan menggunakan motosikal.

Berkat kesungguhan dan kerja keras pasangan itu, mereka akhirnya berjaya mengembangkan perniagaan sedia ada hinggalah mampu menyewa sebuah kedai di Felda berkenaan untuk dijadikan pusat pemerosesan dan jualan.

Kelangsungan perniagaan pasangan itu tidak terhenti di situ malah diteruskan oleh dua daripada empat anaknya iaitu Rozaimah, 45, dan Shaifuzi, 35.

Syarikat Usaha Sama (SUS) yang ditubuhkan keluarga tersebut kini semakin berkembang maju dan telah menghasilkan lebih 20 produk makanan ringan, antaranya ubi masin, kerepek pisang, semperit dan yang paling popular iaitu ubi pedas.

Menceritakan tentang perniagaan anak beranak itu, Shaifuzi yang bertindak sebagai pengurus syarikat mengakui kejayaan yang ditempa hari ini tidak datang bergolek kerana mereka pernah mengalami turun naik dalam perniagaan.

Pada mulanya, emak hanya mengusahakan perniagaan ini di belakang kedai runcit dengan hanya berbekalkan sebuah kuali dan produk-produk yang dihasilkan ketika itu dijual menggunakan motosikal selain diletakkan di kedai-kedai runcit berhampiran.

"Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah. Produk emak ketika itu pernah dilarang dijual di kedai apabila peniaganya mendakwa tidak sedap dan tidak laku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Shaifuzi memberitahu, apa yang terjadi tidak pernah mematahkan semangat ibunya, malah dijadikan sebagai satu cabaran bagi menghasilkan lebih banyak produk yang berkualiti tinggi.

Keazaman dan sikap cekal yang ditunjukkan oleh Mohd. Jofrry dan Sabiah itu sedikit sebanyak menjadi pendorong dan ikutan dua beradik itu apatah lagi sering mengikuti ibu bapa mereka itu berniaga sejak kecil.

"Mungkin sebab sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan alam perniagaan memberi kelebihan kepada kami kerana lebih awal merasai asam garam dalam perniagaan.

"Alhamdulillah, produk-produk kami ini bukan sahaja telah berkembang sehingga ke Lembah Klang, malah turut dikenali pelancong khususnya dari Singapura yang berkunjung ke daerah ini," katanya.

Menurutnya, syarikat tersebut yang mempunyai 13 pekerja turut dilengkapi dengan beberapa mesin berteknologi tinggi bagi memastikan pengeluaran produk dalam kuantiti yang lebih besar dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.

Ini kerana permintaan terhadap produk makanan ringan tradisional tersebut akan bertambah setiap kali menjelangnya perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Kalau musim perayaan, kami memperuntukkan lebih 100 tan metrik ubi kayu. Seperkara menarik yang saya boleh kongsi pada hari raya, orang ramai terpaksa beratur untuk dapatkan ubi pedas kerana permintaannya sangat luar biasa," katanya.

Ditanya perancangannya pada masa depan, Shaifuzi dan Rozaimah sepakat mahu mengembangkan lagi produk-produk keluaran SUS di seluruh negara selain memastikan anak cucu mereka dapat meneruskan legasi perniagaan tersebut sampai bila-bila.

Kejayaan syarikat SUS tidak hanya dinikmati Mohd. Jofrry dan Sabiah bersama anak-anaknya, malah mereka turut membantu peniaga lain khususnya yang baharu bertapak dalam bidang perniagaan.

Shaifuzi memberitahu, pihaknya membantu menjual produk-produk usahawan lain, antaranya dari Felda Waha, Felda Lok Heng termasuk Pusat Dalam Komuniti Mas Timur.

Antara produk-produk yang dijual itu ialah makanan sejuk beku, epok-epok mini, kuih siput, popiah dan kuih kapit.

"Dulu kita susah, jadi kita tahu macam mana jerih perih berniaga. Justeru, bila diberi kesenangan, janganlah kita lupa diri sebaliknya gunakanlah kesempatan itu untuk membantu orang lain pula.

"Jika kita ikhlas dalam berniaga ini, pintu rezeki akan sentiasa terbuka. Itulah pegangan saya dari dahulu lagi," katanya.

Katanya, kewujudan SUS di Felda sedikit sebanyak membantu warga tanah rancangan itu, khususnya golongan suri rumah untuk menjana pendapatan sampingan.

Bagi Normah Mohd., 38, bekerja di syarikat tersebut memberi kelebihan kepadanya untuk memperoleh pendapatan sampingan.

"Daripada buang masa baik kami bekerja, dapat jugalah duit untuk beli barangan harian. Waktu kerja pula fleksibel kerana waktu tengah hari boleh pergi ambil anak balik sekolah.

"Lagipun, saya dah beberapa tahun bekerja di sini dan suka dengan suasana kerjanya selain mempunyai majikan yang baik," katanya.

Dekati masyarakat secara berjadual

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

ZARINA Mohd. Bain (tujuh dari kiri ) bersama ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai menjayakan Majlis Kesyukuran dan Sambutan Maal Hijrah di Masjid Jamek Kampung Belokok, Pontian, Johor, kelmarin.

PONTIAN 20 Nov. - Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai akan menganjurkan lebih banyak program dan aktiviti yang dapat mendekatkan pergerakan itu dengan masyarakat termasuk dalam kalangan bukan ahli UMNO.

Ketuanya, Zarina Mohd. Bain berkata, pendekatan yang diambil itu diharap mampu menarik orang ramai termasuk golongan muda betapa pentingnya mereka bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan lagi kehidupan mereka dan tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pihak lain.

Beliau berharap, usaha itu turut mendapat kerjasama daripada semua ketua wanita cawangan dengan melupakan sebarangan perselisihan pandangan yang ada, sebaliknya bergerak sebagai satu pasukan yang kental dan mantap memperjuangkan nasib rakyat.

"Sebagai sayap kepada kepimpinan UMNO Bahagian Tanjung Piai, kami juga mempunyai misi dan visi untuk sama-sama memperkukuhkan parti bagi mengharungi cabaran pada pilihan raya umum akan datang.

"Marilah kita sama-sama melupakan pertandingan yang lalu dan kini memberi tumpuan kepada tugas serta tanggungjawab yang menanti semua pihak termasuk kepimpinan di peringkat akar umbi," katanya selepas Majlis Kesyukuran dan Sambutan Maal Hijrah anjuran Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai di Masjid Jamek Kampung Belokok di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Norafandi Jamian dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian, Shamsiah Shafie.

Bagi memeriahkan majlis, ceramah Maal Hijrah turut disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Azman Mohsin.

Zarina berkata, semua pihak perlu berganding bahu termasuk menggalakkan golongan muda mendaftar sebagai pengundi baru bagi memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Ketua-ketua Wanita cawangan boleh memainkan peranan mereka bagi memastikan rakyat yang layak mendaftar sebagai pemilih di kawasan masing-masing menunaikan tanggungjawab dengan segera," katanya sambil berikrar untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas yang jatuh kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Justeru, pihaknya akan menjalinkan kerjasama erat dengan kepimpinan wanita parti komponen BN yang lain untuk mencapai sasaran berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kitar semula pulihara alam sekitar

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
pengarang@utusan.com.my

Abd. Hapiz A. Samad (kiri) dan Sazali Muhd. Din (tengah) memasukkan minyak terpakai ke dalam tong secara simbolik dalam perasmian Majlis Penempatan Tong Kitar Semula di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 20 Nov. - Kitar semula adalah proses mengolah bahan buangan untuk mendapatkan bahan yang boleh diguna pakai semula.

Sisa-sisa buangan yang tidak di kitar semula hanya menyumbang kepada berlakunya pencemaran dan mewujudkan ketidakselesaan.

Hakikatnya, kitar semula merupakan cara terbaik bagi masyarakat dunia mendapatkan kesan positif kerana sisa buangan memberikan kesan negatif yang amat besar kepada alam sekitar.

Pemanasan global dan pemusnahan habitat adalah kesan daripada pemusnahan hutan namun, menerusi proses kitar semula dapat mengurangkan keperluan terhadap bahan mentah dan sumber asli seperti kayu balak dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

Kitar semula juga hanya memerlukan sedikit tenaga yang secara tidak langsung dapat membantu dalam mengekalkan pemuliharaan berbanding menghasilkan produk daripada bahan mentah yang memerlukan tenaga lebih besar.

Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan yang diadakan pada 11 November setiap tahun adalah untuk mempromosikan kesedaran kepada orang awam bagi menjalankan aktiviti kitar semula.

Menjelang tahun 2020, kerajaan telah menyasarkan sebanyak 22 peratus pengurangan sisa pepejal melalui pelaksanaan kitar semula.

Bagaimanapun, berdasarkan kajian National Strategic Plan for Solid Waste Management, kadar kitar semula bagi sisa pepejal di negara ini adalah sangat rendah iaitu sekitar lima peratus daripada jumlah keseluruhan sisa pepejal.

Dalam erti kata lain, majoriti sisa pepejal perbandaran yang dihasilkan dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Menurut Malaysia's Second National Communication (NC2) to United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) pula, jumlah sisa pepejal yang dihasilkan di Semenanjung Malaysia semakin meningkat.

Atas kesedaran itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Teknologi Hijau Melaka telah menganjurkan kempen Penebusan Minyak Masak bagi menarik minat komuniti untuk menyertai program Biodiesel Melaka iaitu menukarkan minyak masak terpakai kepada biodiesel.

Program tersebut bagi menyokong Rangka Tindakan Teknologi Hijau Negeri Melaka dan Dasar Biodiesel Negara.

Dalam usaha menyokong usaha kerajaan negeri mencapai hasrat menuju Negeri Bandar Teknologi Hijau dan Melaka Maju Fasa Kedua, Menara Persekutuan telah mula mengamalkan konsep kitar semula dalam kalangan warganya.

Simbolik penempatan tong kitar semula di bangunan itu bagi membolehkan aktiviti kitar semula dilaksanakan di 25 pejabat di Menara Persekutuan secara berterusan.

Selain tong kitar semula sisa pepejal, satu tong bagi mengisi sisa minyak masak terpakai turut disediakan di tingkat dua berhampiran kafetaria.

Timbalan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Sazali Muhd. Din berkata, usaha penempatan tong kitar semula di bangunan itu mampu menjadi contoh dan teladan kepada bangunan atau menara lain.

Katanya, kesedaran orang awam adalah penting terutama dalam kalangan penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan kepentingan mengitar semula.

"Kesedaran mengenai pembuangan sampah yang betul, perlu dimulakan dengan menjadi dan mengamalkan tabiat membuang sampah dengan lebih teratur terutama pengasingan sampah yang dapat di kitar semula ke tempat yang betul.

"Oleh itu, semua pihak sama ada jabatan dan agensi kerajaan perlu lebih prihatin, peka dan berpandangan jauh bagi menyokong usaha-usaha ini di samping memelihara alam sekitar.

"Orang ramai juga perlu memberikan kerjasama erat untuk menggunakan tempat-tempat pembuangan sampah yang telah disediakan dan dengan adanya tindakan bersepadu itu, ia memberikan jaminan persekitaran yang bersih lagi sihat," katanya di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abd. Hapiz A. Samad.

TNB Melaka dapat persijilan British Standard

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Idris Haron (dua dari kanan) dan Presiden TNB, Ir. Azman Mohd (kanan) bergambar bersama Baderul Sham Saad (tiga dari kanani) serta penerima-penerima Anugerah Kecemerlangan Yang Bertanggungjawab TNB Melaka selepas majlis Perhimpunan Mega TNB 2013 di Melaka semalam.

MELAKA 20 Nov. - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) Melaka menerima pengiktirafan tertinggi apabila muncul sebagai bisnes unit bahagian pembahagian pertama di Asia Tenggara yang mencapai persijilan Pengurusan Aset PAS 55.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, kejayaan TNB Melaka itu adalah satu pengiktirafan antarabangsa daripada British Standard Institution Publicly Available Specification for Asset Management (BSI PAS 55-1:2008).

Menurutnya, itu adalah sijil ketiga diperoleh TNB berkaitan rangka kerja pelbagai industri untuk sistem pengurusan aset oleh Asset Management Consulting Limited (AMCL) dan merupakan persijilan pertama untuk bisnes unit bahagian pembahagian utiliti elektrik di Asia Tenggara.

''Pencapaian terbaik TNB Melaka ini adalah hasil semangat, kegigihan dan dokongan kuat semua pihak dan tidak mustahil segalanya boleh dicapai.

''Ini juga menjadi kebanggaan dengan persijilan Pengurusan Aset PAS 55 apabila mendapat komen luar biasa daripada pihak panel penilai.

''TNB Melaka sebenarnya menjadi negeri pertama dipilih untuk amalan pengurusan aset berdasarkan British Standard dan akhirnya menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perhimpunan Mega dan Penyampaian Sijil PAS 55 yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di sini semalam.

Yang turut hadir Naib Presiden (Pembahagian) TNB, Datuk Ir Baharin Din; Ketua Pegawai Korporat, Datuk Ir. Roslan Abd. Rahman dan Pengurus Besar Melaka, Baderul Sham Saad.

TNB memperoleh dua persijilan melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Janamanjung Sdn. Bhd. daripada Price Water House Coopers The Asset Partnership pada 5 Julai lalu dan Bahagian Penghantaran TNB daripada Lloyd's Register Verification Limited pada 30 Jun lalu.

3P jadi mata, telinga pantau pencemaran alam

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Sazali Muhd. Din (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil yang dilantik menjadi Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 20 Nov. - Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mewujudkan Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) yang bertindak sebagai mata dan telinga kepada kawasan yang kerap atau berulang kali menerima aduan pencemaran.

Pengarahnya, Abd. Hapiz A. Samad berkata, kumpulan fokus itu yang dianggotai ahli Rakan Alam Sekitar (RAS) memainkan peranan membantu JAS memantau dan melaporkan secara berterusan berhubung pelbagai masalah yang berkaitan dengan punca pencemaran.

Menurutnya, pasukan itu akan berhubung secara langsung dengan pegawai terbabit bagi mengemukakan maklumat pencemaran di kawasan masing-masing untuk disiasat dan diselesaikan menerusi tindakan tertentu.

"Sebagai langkah permulaan bilangan keanggotaan dalam 3P berdaftar hanya dihadkan kepada maksimum 20 orang dan di negeri ini setiap wakil dari Japerun dicalonkan sebagai 3P.

"Anggota 3P ini akan direkrut menerusi pendedahan secara bengkel atau seminar di peringkat negeri dan dari semasa ke semasa, mereka ini akan diberi pendedahan fokus dan maklumat terkini berkaitan peraturan dan tindakan-tindakan jabatan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas majlis Perasmian Penempatan Tong Kitar Semula dan Pelancaran 3P di Menara Persekutuan, MITC Ayer Keroh, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Sazali Muhd. Din.

Abd. Hapiz berkata, JAS negeri akan membuat tindakan susulan serta-merta berdasarkan aduan yang diterima.

"Pengiktirafan akan diberikan dalam bentuk sijil penghargaan, token, baucar dan anugerah-anugerah khas kepada anggota 3P yang berjaya memberi maklumat sehingga selesai satu-satu masalah pencemaran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bersiap sedia hadapi bencana

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

MANGSA yang cedera dikejarkan ke hospital dalam sesi latihan bencana kebakaran dan operasi menyelamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, baru baru ini. - UTUSAN/Ismail Kamadin.

PULAU PINANG 20 Nov. - Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas di sini gempar seketika apabila siren kecemasan berbunyi pada kira-kira pukul 11 pagi, Rabu lalu.

Seketika kemudian, sebuah jentera kebakaran 6x6 Panther CA5 jenis Ultra Large Foam Tender (ULFT) milik Unit Menyelamat Kebakaran Lapangan Terbang (AFRS) tiba sebaik dimaklumkan terdapat asap kelihatan daripada sebuah bilik di tingkat tiga lapangan terbang itu.

Selain itu, dua buah ambulans milik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) turut kelihatan bergegas ke LTAPP bagi membantu tiga kakitangan syarikat penerbangan yang tercedera akibat disambar api.

Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) LTAPP juga dilihat begitu sibuk mengawal keadaan dan memastikan semua kakitangan di tingkat tiga dikeluarkan dengan selamat.

Mereka semua dikumpulkan di kawasan lapang berhampiran LTAPP sementara operasi menyelamat dan memadamkan api dijalankan AFRS dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pada masa sama anggota polis turut sibuk mengawal orang ramai yang semakin teruja untuk melihat dengan lebih dekat apa yang berlaku.

Operasi menyelamat itu tamat kira-kira sejam kemudian selepas AFRS dan bomba berjaya memadamkan api serta semua kakitangan berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Walau bagaimanapun, semua itu bukanlah kejadian sebenar tetapi merupakan sesi latihan menghadapi bencana kebakaran dan operasi menyelamat bertujuan memastikan keselamatan kakitangan LTAPP serta memastikan mereka bersedia menghadapi situasi kecemasan.

Pengurus Kanan LTAPP, Mohd. Arif Jaafar berkata, latihan itu dibuat bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat sekiranya berlaku kecemasan serta mencuba sistem siren kecemasan bangunan.

"Latihan ini selaras dengan pelan kecemasan lapangan terbang (AEP) dan prosedur operasi standard yang ditetapkan selain perlu dijalankan setahun sekali.

"Selain itu, latihan juga dibuat untuk mencuba tindak balas daripada agensi lain seperti pihak kesihatan, JBPM dan polis," katanya kepada pemberita yang dibawa meninjau latihan tersebut.

Latihan berskala besar itu melibatkan hampir 300 kakitangan dan berjaya mencapai matlamat yang diharapkan serta akan diteruskan secara berkala.

Jelasnya, sepanjang latihan itu kakitangan terlibat didedahkan kepada situasi sebenar kejadian bermula daripada siren kecemasan hingga operasi menyelamat yang perlu dilakukan secara profesional mengikut peraturan ditetapkan.

Tambahnya, apa yang ditekankan ialah kakitangan terlibat tidak harus panik ketika sebarang situasi mencemaskan berlaku sebaliknya mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan.

Menurut Mohd. Arif lagi, pihaknya yakin mampu melaksanakan AEP pada tahap paling tinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan bukan sahaja kebakaran malah juga membabitkan kapal terbang yang mendarat cemas atau terhempas.

"Selain latihan kebakaran, MAHB juga mengadakan latihan kecemasan melibatkan kapal terbang terhempas atau tergelincir di landasan setiap dua tahun sekali.

"Apa yang penting ialah semua pihak dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik dan sebarang kekurangan dapat diatasi serta semua pihak bersedia menghadapi situasi sebenar," ujarnya.

Projek Iqra TH bantu 292 pelajar miskin

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Sebahagian daripada murid miskin dan kurang berkemampuan gembira menerima sumbangan persekolahan dan wang tunai bagi program Projek Iqra TH 2013 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kelmarin.

PULAU PINANG 20 Nov. - Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan sebanyak RM146,000 bagi membantu 292 pelajar miskin dan kurang berkemampuan menerusi projek Iqra 2013.

Bantuan berupa wang tunai RM300 dan peralatan persekolahan bernilai RM200 itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah TH Pulau Pinang, Amat Kassim Pait.

Amat Kassim berkata, sumbangan berkenaan merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH yang menyasarkan pelajar kurang bernasib baik dari seluruh negara.

"Pada tahun ini TH telah menyerahkan sejumlah RM1.4 juta zakat perniagaan di bawah projek Iqra di seluruh negara kepada 2,958 pelajar.

"Kita bersyukur kerana melalui bantuan Jabatan Pelajaran negeri, tahun ini sebanyak 292 pelajar dipilih menerima sumbangan ini," katanya kepada pemberita di Kompleks TH Bayan lepas di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran negeri, Abu Bakar Muad.

Tambah Amat Kassim, bagi meningkatkan sumbangan melalui projek itu, orang ramai digalakkan menabung di TH agar lebih banyak zakat dapat dikeluarkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Jelasnya, pemberian sumbangan tersebut juga sebagai tanda keprihatinan TH kepada golongan kurang bernasib baik di samping usaha menyokong program kerajaan dalam membangunkan serta melestarikan komuniti Islam di negara ini.

Sementara itu bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkuang, Siti Khadijah Salleh Hudin, 15, dia bersyukur menerima sumbangan sedemikian kerana boleh meringankan beban keluarga untuk menyediakan keperluan persekolahan pada tahun hadapan.

"Saya berterima kasih kepada TH di atas sumbangan ini dan sikap prihatin sebegini membuatkan kami semakin bersemangat untuk belajar dan berjaya dalam bidang akademik.

"Wang tunai ini akan disimpan bagi menampung perbelanjaan sekolah nanti dan sekurang-kurangnya saya tidak akan membebankan ibu bapa," ujarnya.

Bangunkan bandar sempadan

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

ALOR SETAR 20 Nov. - Kedah komited untuk membangunkan bandar sempadan yang berjiran dengan Thailand iaitu Kota Putra, Durian Burung dan Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kawasan tersebut dibangunkan di bawah Pelan Perancangan Pembangunan Induk Sempadan melibatkan projek hab perindustrian Rubber City di Kota Putra dan Kota Perdana.

''Di bawah pelan ini kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan sektor swasta bagi pembangunan kedua-dua projek tersebut.

''Perancangan teliti sedang dijalankan supaya pelaksanaan projek tersebut mencapai objektifnya," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 hari ini.

Ahmad Zaini bertanya tentang perancangan kerajaan negeri mengenai pembangunan bandar sempadan di Durian Burung dan Bukit Kayu Hitam.

Menurut Mukhriz, komitmen pembangunan itu direalisasikan menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat swasta yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di Putrajaya pada 28 Februari lalu.

''Ini merupakan pencapaian yang berkesan dalam meningkatkan keyakinan, komitmen dan usahasama antara pihak berkaitan. MoU itu juga dilihat mampu meningkatkan minat pelabur asing untuk melabur dalam projek pembangunan bandar sempadan tersebut," katanya.

Mukhriz berkata, bagi merealisasikan pembangunan itu, kerajaan menyediakan prasarana di kawasan sempadan termasuk menyiapkan pos kawasan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), klinik kesihatan, kuarters penjawat awam dan menempatkan sebuah Kem Sahara dari Rejimen Artileri Diraja di pintu masuk Kota Putra yang menjadi penghubung dengan Ban Pra-Korb di Thailand.

Katanya, bagi Bukit Kayu Hitam, CIQ sedia ada akan dibangunkan sebagai sebuah kompleks yang lebih baik di bawah konsep Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dengan Syarikat Northern Gateways Infrastructure Sdn. Bhd.

''Projek dijangka dapat dimulakan pada suku pertama 2014 setelah syarikat memenuhi semua syarat di bawah konsep PPP itu. Projek ini akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan," katanya.

Mukhriz memberitahu di Durian Burung pula kerja-kerja menyediakan tapak projek pembangunan Rubber City di Kota Putra akan dimulakan akhir 2014 atau awal 2015.

''Pembangunan ini akan mengambil masa sehingga 10 tahun untuk dilengkapkan sepenuhnya dengan komponen-komponen pembangunan secara keseluruhan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

2 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kadar pengangguran pada September kekal 3.1 peratus

Posted: 21 Nov 2013 02:00 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Kadar pengangguran di negara ini kekal pada 3.1 peratus pada September, turun daripada 3.2 peratus pada September 2012, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Peningkatan jumlah penganggur sebanyak 1.4 peratus kepada 443,200 orang dan orang yang bekerja sebanyak 1.0 peratus kepada 13.8 juta orang berbanding Julai, menyebabkan kadar pekerjaan tidak berubah.

Peningkatan penduduk yang bekerja didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan, katanya dalam satu kenyataan.

Berbanding September tahun lepas, bilangan orang yang menganggur juga meningkat sebanyak 7.1 mata peratusan daripada 413,900 orang, tetapi pelarasan bermusim kadar pengangguran susut daripada 3.2 peratus pada Ogos kepada 3.1 peratus pada September, kata jabatan itu.

Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh pada September meningkat kepada 69.6 peratus daripada 69.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Kenaikan berkenaan disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah orang dalam pasaran tenaga buruh dengan 132,700 atau 0.9 peratus hingga 14.25 juta orang dan pengurangan 111,800 orang atau 1.8 peratus kepada 6.21 juta orang di luar tenaga buruh, kata jabatan itu.- BERNAMA

DBKL pastikan kadar baharu cukai pintu tidak membebankan

Posted: 21 Nov 2013 01:58 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan kadar baharu cukai pintu yang akan dikenakan tidak akan membebankan mana-mana pihak.

Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam sidang media selepas mesyuarat bersama Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin ke atas kesejahteraan rakyat, pihak saya dan DBKL akan memastikan cukai pintu yang baharu ini tidak membebankan mana-mana pihak, tetapi rakyat perlu faham kenaikan ini adalah untuk kebaikan semua pihak," katanya. BERNAMA

Pengikut Tuhan Harun serah diri di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan

Posted: 21 Nov 2013 01:03 AM PST

KUANTAN 21 Nov. - Seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun" Mohd Nizam Mohd Salleh, 43, tampil menyerah diri di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Pada 15 November lepas, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya kerana gagal hadir perbicaraan kes menyimpan dan memiliki dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak.

Hakim Syarie Mohd. Azahari Abdul Rahman menetapkan 16 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes tersebut di dalam kamarnya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved