Khamis, 21 November 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Alvin, Vivian gagal ketepi pertuduhan

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

ALVIN Tan (depan) dan Vivian Lee (kanan) bersama peguambela mereka di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RIDUAN RIZAL AHMAD

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membatalkan pertuduhan bahawa mereka menyebabkan timbulnya perasaan permusuhan dalam kalangan masyarakat berlainan agama.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian setelah mendapati tiada merit dalam permohonan Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, dan Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan adalah terpakai untuk semua penganut agama lain.

"Sepintas lalu membaca peruntukan berkenaan amat jelas sejelas gelas kristal bahawa peruntukan tersebut langsung tidak menyebut secara khusus bahawa peruntukan itu dituju khas kepada penganut beragama Islam.

"Perkataan-perkataan yang digunakan professing the same or different religions (menganut agama yang sama atau berlainan) menunjukkan peruntukan itu terpakai bukan sahaja kepada penganut agama Islam malahan terpakai kepada penganut agama-agama atau kepercayaan yang lain juga,'' kata beliau.

Kata hakim berkenaan lagi, seksyen tersebut adalah undang-undang yang baik (good law) dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak wajar dibatalkan di bawah Perkara 4(1) perlembagaan itu.

"Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan itu adalah terpakai, sah dan berkuat kuasa secara sejagat tanpa mengira bangsa, keturunan ataupun agama yang dianuti oleh seseorang dan terpakai terhadap pemohon-pemohon ini (Alvin dan Vivian),'' katanya.

Pada 21 Ogos lalu, pasangan itu memfailkan permohonan untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi mereka kerana mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Mereka memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka, dengan alasan sekiranya pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai ke atas orang Islam.

Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Alvin dan Vivian didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini pada pukul 10.48 malam, 7 Julai lalu.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Hafizza Jemali manakala pasangan itu diwakili peguam, Chong Joo Tian.

Sementara itu di luar mahkamah, Alvin yang ditemani Vivian membuat permohonan maaf sekali lagi terhadap perbuatan mereka itu selain rasa kesal terhadap perbuatan tersebut dan tidak berniat untuk menyakiti hati mana-mana pihak.

"Kami ingin memohon maaf sekali lagi dan kami pasti tidak akan melakukan lagi perbuatan itu,'' katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Joo Tian memberitahu akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dan akan mengemukakan surat representasi kepada Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Pasangan penulis blog itu turut menghadapi pertuduhan menerbitkan penerbitan sama yang didakwa menghasut dalam Facebook di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Perbicaraan terhadap pasangan itu telah ditetapkan pada 5 dan 6 Disember ini di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Wan Ahmad nafi terlibat Projek IC

Posted: 21 Nov 2013 11:32 AM PST

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) hari ini menafikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau terlibat dalam Projek IC dan memegang jawatan sebagai Pengerusi SPR Sabah sebagaimana yang dinyatakan dalam dua artikel terbitan akhbar Harakah pada Februari lalu.

Ini kerana, menurutnya, beliau bukan sahaja tidak terlibat secara langsung atau sebaliknya malah, tidak pernah berkhidmat di negeri itu.

Namun, ekoran daripada penerbitan artikel bertajuk, Wan Ahmad tak boleh dipercayai dan Ragu peranan SPR-Wan Ahmad Omar mesti letak jawatan dalam Edisi Jumaat bertarikh 1-3 Februari 2013 itu, Wan Ahmad mendakwa, reputasi dan kredibilitinya telah terjejas dengan teruk bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan malahan juga di luar negara.

Beliau juga menyatakan, pernah diaibkan seorang penonton yang menuduhnya sebagai tidak bertanggungjawab dan didesak meletakkan jawatan dalam rancangan Hello Malaysia yang ketika itu disiarkan secara langsung di televisyen.

Selain itu, Wan Ahmad, 65, memberitahu, adalah mustahil untuk menganggap Wan Ahmad Wan Omar yang dinyatakan dalam artikel terbitan akhbar lidah rasmi Pas itu sebagai individu yang berlainan kerana terdapat seorang sahaja yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi SPR Malaysia atas nama itu iaitu diri beliau.

Wan Ahmad berkata demikian dalam pernyataan saksinya pada perbicaraan kes saman fitnahnya yang difailkan atas kapasiti persendirian terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, yang bermula hari ini.

Turut dinamakan dalam saman yang difailkan pada 5 Mac lalu ialah Setiausaha Agung Pas dan pemegang permit Harakah, Datuk Mustafa Ali; syarikat percetakan Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd.; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman serta wartawan Harakah, Aziz Muda sebagai defendan kedua hingga kelima.

Sewaktu disoal balas oleh peguam defendan, Mohamed Hanipa Maidin, Wan Ahmad tidak bersetuju bahawa kredibiliti sebagai Timbalan Pengerusi SPR sememangnya telah dipersoal sebelum penerbitan artikel tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved