Rabu, 30 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Lelaki Malaysia disyaki terlibat aktiviti MNLF

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Seorang rakyat Malaysia dari Kota Kinabalu ditahan pihak berkuasa Filipina di Zamboanga City, selepas disyaki terlibat dengan aktiviti Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di selatan negara itu.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mantek memberitahu Bernama, lelaki berusia 55 tahun itu ditahan pada 4 Oktober lepas dan dibawa ke Manila untuk siasatan lanjut.

"Tangkapan itu ekoran daripada tindakan susulan pihak keselamatan Filipina terhadap mereka yang disyaki terlibat dalam insiden serangan oleh anggota MNLF di Zamboanga City pada 9 September lepas," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit memandangkan dia masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.

Ekoran serangan 9 September itu, Malaysia mengaktifkan amaran keselamatan di sepanjang sempadan perairan Sabah kerana khuatir ia menular ke negeri itu.

"Sehingga kini tiada ancaman keselamatan dikesan, namun langkah keselamatan dengan mengukuhkan sempadan perairan tetap diteruskan," katanya.

Dilaporkan lebih 400 anggota MNLF menyerang Zamboanga City untuk menawan bangunan dewan bandar raya dan menaikkan bendera 'Republik Bangsamoro Merdeka'.

Kira-kira 190 pejuang MNLF terbunuh selepas pertempuran lebih tiga minggu dan 292 suspek ditawan atau menyerah diri. - BERNAMA

Video sindir isu kalimah Allah: Perkasa Perak buat laporan polis

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

IPOH 30 Okt. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap satu klip video bertajuk That Effing Show #95: Allah, Apa lagi? di laman YouTube yang memaparkan unsur sindiran terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah pada 14 Oktober lalu.

Laporan itu dibuat Ketua Wira Perkasa Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh kira-kira pukul 2 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan itu, Mohd. Hafez Mubin berkata, pihaknya menuntut pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab terhadap penerbitan dan penyiaran klip video tersebut yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam.

Katanya, pihaknya menyedari klip video berdurasi selama enam minit 31 saat dimuat naik di laman YouTube pada pukul 11.30 malam tadi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Apek jangka penalti penentu juara Piala Malaysia

Posted: 30 Oct 2013 09:49 PM PDT

KOTA BAHARU 31 Okt. - Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjangka perlawanan akhir Piala malaysia antara pasukannya dan Pahang akan berakhir dengan sepakan penalti.

Bagaimanapun kata Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apek, beliau bersedia menghadapi kemungkinan itu dengan memantapkan persediaan mental dan fizikal.

"Kita kena bersedia untuk bertarung lebih daripada 90 minit. Saya juga akan memantapkan lagi kemahiran jika perlawanan diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penjaga gol kebangsaan itu berpandangan amat kritikal bagi barisan tengah dan pertahanan Kelantan mengunci pergerakan tiga penyerang Pahang iaitu Mathias Conti, Azamuddin Akil dan R. Gopinathan.

Selain itu beberapa pemain tengah Tok Gajah juga harus diawasi kerana mereka yang mengatur gerak dengan hantaran berbahaya kepada penyerang, katanya.

"Justeru, latihan beberapa hari menjelang perlawanan akhir ini akan kami gunakan dengan sebaik mungkin dan strategi yang telah diatur oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak perlu dipatuhi sebaik mungkin," katanya.

Mengulas ketiadaan tonggak utama barisan pertahanan Obinna Nwaneri yang mengumpul dua kad kuning dalam perlawanan sebelum ini, Khairul Fahmi berkata ketiadaan Obinna akan membuatkan pasukan itu lebih bekerja keras.

"Namun saya yakin dengan pengalaman kami beraksi di pentas perlawanan akhir sebelum ini sedikit-sebanyak akan membantu kami mengawal keadaan pada malam itu nanti dan khidmat penyokong juga ditagih untuk memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi," katanya. - BERNAMA

15,000 tiket habis sejam

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN, MOHAMAD SHOFI MAT ISA, YATIMIN ABDULLAH dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my

KEADAAN di Stadium Shah Alam, yang akan menjadi venue perlawanan akhir, Ahad ini tidak kurang kecohnya apabila hampir 15,000 penyokong Pahang dan Kelantan hadir untuk membeli tiket, semalam.

SHAH ALAM - Dalam tempoh sejam sahaja, sebanyak 15,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Kelantan yang dijual di Stadium Shah Alam, semalam, licin.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kaunter jualan yang dibuka pada jam sekitar pukul 9 pagi itu terpaksa ditutup awal kerana kehabisan tiket, sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada hampir 5,000 penyokong tegar skuad Tok Gajah dan The Red Warriors yang hadir.

Malah, situasi yang mencetuskan persoalan itu turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Kata Khairy, beliau mahu tahu sama ada tiket tersebut habis dijual kerana permintaan tinggi dalam kalangan penyokong Pahang dan Kelantan atau atas sebab-sebab lain.

Tambahnya lagi, FAM juga perlu menjelaskan berapa banyak tiket yang diperuntukkan untuk jualan runcit serta pukal.

Ada sebilangan tiket yang dikhaskan untuk jualan pukal kepada sesiapa dan ini akan memberi kesan kepada penjualan runcit, malah FAM perlu memberitahu berada banyak tiket yang dijual untuk pukal dan runcit.

Saya juga nak tahu sama ada FAM sudah laksanakan atau tidak kawalan ketat pada penjualan tiket secara pukal kerana tidak mahu tiket-tiket tersebut akhirnya sampai kepada ulat tiket," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pembukaan Persidangan Sukan Untuk Semua ASEAN di sini, semalam.

Sementara itu, kekecohan tidak hanya berlaku di Stadium Shah, yang merupakan venue perlawanan akhir Piala Malaysia, Ahad ini, malah ia turut mewarnai Kuantan dan Kota Bharu.

Di Kuantan, pekarangan Stadium Darul Makmur sesak apabila ribuan penyokong Tok Gajah hadir untuk menyambar 30,000 tiket yang dijual sejak jam 10 pagi.

Semua tiket dijual dalam tempoh tiga jam selepas kaunter dibuka dan rata-rata penyokong telah beratur di stadium seawal jam 7 pagi.

Biarpun ada insiden kecil membabitkan ketidakpuasan hati penyokong yang gagal mendapatkan tiket, namun situasi terkawal dengan langkah keselamatan lebih ketat dilakukan oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzeimi Ibrahim berkata, sebanyak 30,000 tiket habis dijual selepas sebahagian 12,000 daripadanya diagihkan kepada persatuan bola sepak daerah.

Di Kota Bharu pula, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV mulai sesak seawal jam 8 pagi apabila lebih 5,000 penyokong The Red Warriors membanjiri stadium sedangkan kaunter tiket hanya mula dibuka pada jam 3 petang.

Malah, difahamkan ada yang sudah datang sejak jam 6 pagi kerana takut tidak dapat memiliki tiket. Sebanyak 10,000 tiket habis terjual dalam tempoh sejam setengah.

Sepanjang proses itu berlangsung, kekecohan hampir berlaku di mana penyokong sering tolak-menolak untuk mendapatkan tiket sehingga menyebabkan ada yang hampir pengsan dan mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, tindakan pantas pihak berkuasa yang bertugas berjaya menenangkan keadaan tersebut daripada menjadi lebih buruk.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Bekas KP Imigresen dijel enam tahun, denda

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Wahid Md. Don

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don dihukum penjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000, lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin memerintahkan Wahid, 61, menjalani hukuman penjara mulai hari ini setelah menolak permohonan tertuduh yang diwakili peguam, Datuk V. Sithambaran untuk menggantung pelaksanaan hukuman tersebut.

Wahid yang kelihatan tenang sewaktu menerima keputusan itu kemudian dibawa ke Penjara Kajang. Dia sebelum itu hadir ke mahkamah dengan ditemani isterinya.

Gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lagi 12 bulan.

Rosbiahanin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau turut menolak permohonan Sithambaran untuk membenarkan Wahid diikat jamin sementara menunggu rayuannya selesai.

Sithambaran seterusnya memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya akan memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi hari ini berhubung keputusan Mahkamah Sesyen itu yang menolak permohonan ikat jamin.

Sepanjang perbicaraan, Wahid dibenarkan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Rosbiahanin dalam keputusannya berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan mengenai keterangan pembelaan tertuduh adalah difikirkan kemudian, bersifat rekaan dan penafian semata-mata.

Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Sithambaran memohon mahkamah mengambil kira faktor kesalahan pertama yang dilakukan oleh anak guamnya.

Menurutnya lagi, wang pencen tertuduh akan terjejas dan tertuduh perlu menanggung isteri dan dua anaknya yang sedang belajar.

Ketua Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa yang mengendalikan pendakwaan berkata, tertuduh sepatutnya berfikir mengenai anak-anak dan keluarganya sebelum melakukan kesalahan itu.

Mengikut pertuduhan, Wahid didakwa menerima RM60,000 daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian sebagai upah mempercepat kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Persimpangan Jalan Duta di sini pada pukul 10.15 malam, 10 Julai 2008.

Pada 15 Oktober 2010, Rosbiahanin melepas dan membebaskan Wahid tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang mengemukakan 40 saksi, gagal membuktikan kes prima facie.

SPRM yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah tersebut pada 31 Mei 2012 mengekalkan keputusan Rosbiahanin sekali gus menolak rayuan suruhanjaya berkenaan.

Rayuan diteruskan oleh pihak SPRM ke Mahkamah Rayuan dan pada 2 April lalu, mahkamah tersebut membenarkan rayuan berkenaan dan memerintahkan Wahid membela diri terhadap pertuduhan itu.

Di peringkat pembelaan, hanya Wahid seorang dipanggil sebagai saksi.

Kes saman fitnah Ramli Yusuff, Musa Hassan selesai

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

SHAH ALAM 30 Okt. - Kes saman fitnah oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Mahkamah Tinggi di sini berjaya diselesaikan secara baik.

Ekoran penyelesaian terbabit, mahkamah membenarkan Ramli menarik balik tuntutan saman itu dan Musa selaku defendan diperintahkan membayar kos sebanyak RM10,000.

Terma-terma penyelesaian kes yang sepatutnya mula dibicarakan hari ini tidak didedahkan kepada pihak media.

Penyelesaian itu kemudian direkodkan oleh Hakim Dr. Prasad Sandosham Abraham di kamar beliau di sini hari ini.

Selepas selesai prosiding, Ramli yang diwakili peguam, Harvinderjit Singh dan Musa yang diwakili peguam, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah secara berasingan.

Abdul Aziz ketika dihubungi memberitahu, disebabkan Ramli bersedia menarik balik kes terbabit, anak guamnya juga bersetuju untuk meminta maaf dan kedua-dua bekas pegawai polis itu kemudiannya berjabat tangan sambil disaksikan oleh hakim.

Ramli memfailkan saman tersebut pada 28 Februari lalu atas dakwaan Musa telah mengeluarkan kenyataan yang dikatakan merosakkan reputasinya dalam satu sidang akhbar Disember tahun lalu.

Oleh itu, bekas Pengarah JSJK itu menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Beliau turut memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Musa daripada mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terbabit.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


4 terkorban roket masuki masjid

Posted: 30 Oct 2013 11:35 AM PDT

SANAA 31 Okt. - Seramai empat terkorban di sini semalam apabila sebutir roket memasuki masjid di Salafi di utara bandar Damaj.

Damaj terletak berhampiran Saada, sebuah bandar di sempadan dengan Arab Saudi kira-kira 130 kilometer utara bandar Sanaa.

Tahun lalu, Salafi bertempur dengan pemberontak Houthi yang menguasai Saada. - REUTERS

5 tentera Pakistan maut serangan bom

Posted: 30 Oct 2013 10:17 AM PDT

PESHAWAR, Pakistan 31 Okt. - Lima anggota tentera Pakistan terkorban apabila sebutir bom meletup di wilayah bergolak berhampiran sempadan Afghanistan, semalam.

Letupan itu berlaku di kampung di selatan Waziristan di wilayah bergolak berkenaan.

Bom buatan sendiri merupakan senjata utama yang digunakan militan yang menyerang tentera kerajaan di wilayah barat laut Pakistan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Misi 92 Pahang semakin hampir

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Pasukan Pahang yang bakal beraksi dalam perlawanan final Piala Malaysia menentang Kelantan, Ahad ini.

KUANTAN 30 Okt. - Jika diingat kembali, kali terakhir Pahang mendakap Piala Malaysia adalah pada 1992 dan kini skuad Tok Gajah pimpinan jurulatih, Dollah Salleh semakin hampir untuk mengulangi kejayaan memenangi piala berprestij itu.

Sememangnya Pahang sudah lama mengimpikan untuk mengulangi misi 1992 itu dan kini mereka telah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 bertemu Kelantan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Kali pertama Pahang menjulang piala paling berprestij dalam arena bola sepak tanah air itu adalah pada 1983 apabila mereka memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan Selangor.

Tetapi era yang paling berjaya adalah pada 90-an apabila mereka layak ke final Piala Malaysia sebanyak empat kali, namun nasib tidak menyebelahi apabila hanya sekali bergelar juara pada 1992.

Tahun 1992 boleh dikatakan tahun yang terbaik bagi Pahang apabila skuad itu berjaya memenangi dua kejuaraan iaitu Piala Malaysia dan liga.

Pasukan tersebut pada ketika itu dibarisi oleh pemain hebat seperti Dollah, Zainal Abidin Hassan, Khairul Azman Mohamed, Abdul Mubin Mokhtar, Ahmad Yusuf, Alan Davidson dan Fandi Ahmad.

Pahang juga merupakan pemenang pertama bagi format baharu liga Malaysia yang dikenali sebagai Liga Super pada 2004 dan berjaya memenangi Piala FA pada 2006.

Sebagai salah satu pasukan bola sepak yang berjaya di Malaysia dari 1980-2007, Pahang berjaya melahirkan ramai pemain tempatan yang berbakat dari akademi tersendiri.

Antaranya seperti Khairul Azman Mohamed, Azizul Kamaluddin, Mohd. Fadzli Saari, Muhammad Juzaili Samion dan pemain paling lama berkhidmat bersama Pahang dan sehingga kini masih bermain ialah Jalaluddin Jaafar.

Bagaimanapun bermula pada 2008 skuad Pahang sedikit terumbang-ambing dengan ramai pemain bintang pasukan itu berhijrah ke pasukan lain, meninggalkan pasukan yang dibarisi oleh pemain muda dan baharu.

Akibatnya, dengan pasukan yang sedikit terumbang ambing itu, pada 2012, skuad Tok Gajah buat pertama kalinya terhumban ke Liga Perdana.

Beraksi di Liga Perdana, Pahang menunjukkan peningkatan yang besar dalam musim 2012 apabila mereka layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Pahang juga menjadi naib juara Liga Perdana 2012 sekali gus layak beraksi ke saingan play-off untuk ke Liga Super, pasukan itu akhirnya berjaya bermain di Liga Super 2013 apabila menewaskan Kedah.

Beraksi dalam Liga Perdana pastinya sesuatu yang berbeza dengan saingan dalam Liga Super, tetapi Tok Gajah mempunyai pemain berbisa seperti Azamuddin Akil, R. Gopinathan dan juga Hafiz Kamal.

Antara pemain lain yang membarisi skuad itu adalah Fauzi Rozlan, R. Surendran, Faizol Hussein selain turut dikukuhkan dengan kehadiran tiga pemain dari Selangor iaitu Mohd. Amirul Hadi Zainal, Mohd. Razman Roslan dan Azidan Sarudin.

Di sebalik kecemerlangan Pahang pada awal saingan Liga Super 2013, prestasi dua penyerang import skuad itu, Nikolce Kleckarovski dan Mohamed Borji agak mengecewakan.

Pada April 2013, Pahang menamatkan kontrak dua pemain import tersebut dan menggantikan dengan pemain baharu iaitu Matias Conti dari Argentina yang bermain di bahagian serangan dan Damion Stewart dari Jamaica (pertahanan).

Kedua-dua pemain import ini ternyata bukan tersalah pilih apabila menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan terutama Stewart yang berjaya menyebabkan penyerang pasukan lawan gerun apabila berhadapan dengannya.

Skuad Pahang 2013 tidaklah dibarisi oleh pemain bintang namun berbekalkan semangat bermain secara berpasukan dan aksi tidak mengenal lelah hingga ke wisel penamat, skuad ini berjaya menunjukkan permainan bertenaga sehingga layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2013.

Berdasarkan rekod bertemu Kelantan bukan suatu yang mudah untuk Tok Gajah menewaskan The Red Warriors, namun berkat kesungguhan dan komitmen seluruh pemain skuad itu, Pahang pasti memberikan saingan sengit.

Misi 1992 Pahang kini semakin hampir dan skuad Tok Gajah yang sebelum ini tidak diberikan harapan tinggi untuk layak sehingga ke tahap ini telah pun membuktikan mereka mampu biarpun tidak dibarisi oleh pemain bintang.

Di atas kertas mungkin Kelantan pasukan pilihan, namun penyokong Tok Gajah tetap meletakkan harapan tinggi kepada pasukan kesayangan mereka.

Sokongan padu penyokong Tok Gajah atau lebih dikenali dengan jolokan Elephant Army musim ini juga ibarat pemain ke-12 buat skuad Pahang apabila tanpa jemu menghadirkan sokongan padu buat skuad kendalian Dollah.

Dan minggu lalu mereka turut sama membanjiri Stadium Darul Makmur menyaksikan perlawanan persahabatan antara Mahkota United yang rata-ratanya dibarisi pemain daripada skuad yang menjulang Piala Malaysia 1992 termasuk bintang import, Alan Davidson dengan pasukan KP Pahang.

Nyata, kesemua penyokong Tok Gajah cukup dahagakan untuk melihat skuad yang diketuai Jalaluddin mampu mengulangi memori manis 1992.

Hulu Tembeling akan dibangunkan

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Adnan Yaakob merasmikan calet Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang sambil disaksikan Lias Mohd. Noor (kanan) semasa lawatan beliau ke Kampung Pagi, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 30 Okt. - Anak syarikat kerajaan negeri terutama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Yayasan Pahang akan terus terlibat merancang dan membangunkan sektor perladangan dan pelancongan di Hulu Tembeling di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, terbaru PKNP membangunkan calet dan bakal melaksanakan projek jeti Sungai Pengau dan ruang meletak kenderaan di Kampung Pagi untuk kemudahan pelawat singgah dan mengunjungi destinasi menarik di Hulu Tembeling.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi PKNP dan Jabatan Perikanan juga merintis projek ternakan ikan air tawar di kawasan tersebut berasaskan sistem tagal dan projek ikan sturgeon yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

"Kesemua projek ini direalisasikan bagi mengubah kehidupan penduduk menerusi limpahan pendapatan keluarga masing-masing serta mewujudkan pemain dan usahawan yang proaktif serta berjaya dalam sektor pertanian dan pelancongan," katanya kepada pemberita selepas program bertemu dengan ketua masyarakat dan penduduk lima buah kampung mukim Hulu Tembeling di Kampung Pagi, dekat sini kelmarin.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak; Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Lias Mohd. Noor; Pegawai Kemajuan Negeri Pahang, Datuk Dzul-kifly Osman dan Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Syed Ab. Mutalib Syed Hassan.

Sementara itu, Adnan meminta penduduk Hulu Tembeling menaruh keyakinan kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan usaha pembangunan di kawasan pedalaman daerah ini, sekali gus mampu mencorakkan perubahan ekonomi selari dengan transformasi pembangunan kerajaan.

"Jangan percaya pihak tertentu khususnya pembangkang sebaliknya yakin kepada kepimpinan BN negeri dan wakil rakyat yang dipilih dalam apa juga permohonan dan aduan mengenai program pembangunan di tempat masing-masing," ujarnya.

Tambahnya, bagaimanapun penduduk perlu bersabar kerana setiap usaha pembangunan perlu menerusi terma perancangan dan peruntukan yang memerlukan sedikit masa khususnya manfaat untuk generasi akan datang.

36 mahasiswa dekati masyarakat melalui Program Kembara UMP 2013

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Sebahagian mahasiswa yang menyertai Program Kembara UMP 2013 di Felda Chemomoi, Temerloh, baru-baru ini.

KUANTAN 30 Okt. - Seramai 36 mahasiswa termasuk lapan penuntut antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Program Kembara UMP 2013 di Felda Chemomoi, Temerloh dekat sini, bagi mendekati dan bermesra dengan masyarakat di situ.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, UMP amat berbesar hati kerana berpeluang menabur bakti seterusnya menjayakan program kerjasama antara UMP dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Felda Chemomoi itu.

"Dalam program tersebut mahasiswa UMP berpeluang bertemu dan bermesra dengan penduduk kampung. Program kesukarelaan ini dapat memasyarakatkan UMP dengan masyarakat di situ.

"Pihak universiti sentiasa menyokong pelajar supaya menyertai program kemasyarakatan supaya dapat menambah pengalaman sepanjang perlaksanaan program.

''Malah, program sebegini begitu signifikan bagi mahasiswa UMP sama ada di dalam dan luar negara," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutup program tersebut di Felda berkenaan, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Felda Chemomoi, Ahmad Kamal Hussain; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Felda Chemomoi, Abdul Ghani Taib dan Pengarah Program, Hani Abdullah.

Menurut Yuserrie, antara pengisian program itu ialah projek keluarga angkat, kem Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, forum dan pameran bagi mempromosikan UMP.

"Saya berharap program seperti ini dapat memanfaatkan kedua-dua pihak seterusnya menjalin hubungan baik antara universiti dan masyarakat," jelasnya.

Sementara itu, menurut Ahmad Kamal, pihaknya gembira atas kesudian warga UMP memilih Felda Chemomoi untuk program kemasyarakatan tersebut.

"Aktiviti yang dijalankan dapat memberi manfaat terutama dalam memberi suntikan semangat kepada anak-anak kampung, malah mahasiswa sendiri dapat mengeratkan hubungan bersama keluarga angkat masing-masing," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Rozita, Zain nikah 11.12.13?

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
pengarang@utusan.com.my

ROZITA Che Wan dan Zain Saidin akan mengumumkan tarikh pernikahan mereka dalam sidang akhbar sebaik pulang dari Amerika Syarikat pertengahan bulan depan.

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Tarikh 11 Disember ini dipilih oleh pelakon jelita Rozita Che Wan, 41, dan Zain Saidin, 29, bagi melangsungkan pernikahan mereka.

Utusan Malaysia difahamkan, tarikh berkenaan dipilih oleh pasangan kekasih popular itu kerana nombornya yang cantik dan berturutan iaitu 11.12.13.

"Itu tarikh yang sangat istimewa dan hanya sekali ditemui dalam kalendar. Mereka berkemungkinan besar akan memilih tarikh itu untuk acara akad nikah nanti," menurut sumber kepada Utusan Malaysia.

Sumber yang sama turut memberitahu, sebelum akad nikah, satu majlis berinai di pihak pengantin perempuan akan berlangsung pada 10 Disember ini.

"Pada 13 Disember pula, majlis resepsi bagi meraikan pernikahan pasangan ini akan dilangsungkan di sebuah lokasi di Kuala Lumpur.

"Beberapa pihak yang terlibat secara langsung dengan majlis akad nikah dan majlis resepsi telah diberitahu awal oleh pihak pengurusan pengantin," katanya.

Sementara itu, Zain Saidin ketika diminta mengesahkan tarikh pernikahan itu memberitahu, dia dan bakal isteri akan mengumumkannya dalam sidang akhbar khas sebaik sahaja pulang dari Amerika Syarikat, pertengahan bulan depan.

Walau bagaimanapun, artis kacukan Melayu-Inggeris itu tidak menolak 11 Disember ini sebagai tarikh yang istimewa dan menjadi pilihan banyak pasangan untuk melangsungkan pernikahan.

"Ya, saya tidak menafikannya. Itu satu angka yang istimewa, 11, 12 dan 13. Walau bagaimanapun, buat masa sekarang, saya tidak boleh mengesahkan apakah kami akan bernikah pada tarikh itu atau pada tarikh lain.

"Pengumuman hanya akan dibuat dalam sidang akhbar dan ketika itu semua soalan akan terjawab," kata pelakon Oh My English itu.

Pada 29 September lalu, keluarga Zain merisik pelakon ibu tunggal beranak dua itu dalam satu majlis tertutup di Carcosa Seri Negara dekat sini.

Muak dengan industri seni tempatan - Soffi Jikan

Posted: 30 Oct 2013 12:37 AM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI

SOFFI JIKAN... Melontarkan kebimbangan mengenai nasib penggiat industri seni tanah air. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Aktor berpengalaman, Soffi Jikan menyatakan dia sudah muak dengan perkembangan industri seni tempatan.

Menurutnya, ketika ini, tiada sebarang jaminan masa depan terhadap semua penggiat industri seni termasuk pelakon dan mereka yang bekerja di belakang tabir.

Tambah mengejutkan, dia juga berkata ingin berhenti berlakon dan mahu memberi fokus kepada bidang penerbitan pula.

"Saya memang hendak berhenti berlakon tetapi mungkin berhenti secara seni sahaja. Sebaliknya, saya berlakon bukan kerana jiwa, tetapi duit," jelasnya.

Tambahnya, melalui syarikat produksi yang baru ditubuhkannya Iman Filem Sdn Bhd., dia akan memilih penerbit yang betul-betul mampu menjaga kebajikan pekerja.

"Mungkin selepas ini saya hanya akan berlakon dalam filem yang diterbitkan oleh syarikat saya sahaja," jelasnya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mengembalikan martabat Ayahanda

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shahab (duduk, tengah) bersama Ayahanda-Ayahanda pertubuhan atau NGO Melayu bertaraf Ayahanda seluruh Malaysia pada sidang media Seminar Hala Tuju Ayahanda pada 23 November 2013. - Gambar ihsan Sinar Harian

GELARAN Ayahanda bukannya sesuatu yang baharu dalam gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu tetapi kebelakangan ini nama khas yang diwariskan kepada pemimpin komuniti Melayu ini telah mendapat gambaran buruk akibat perbuatan tidak bermoral sesetengah pihak.

Sebelum ini ada pihak dalam industri hiburan menggambarkan pangkat Ayahanda itu hanya untuk ketua samseng dan gangster, kemudian operasi terhadap penjenayah pula mengesan ada individu mempunyai 'kad kuasa' Ayahanda pertubuhan atau NGO tertentu.

Sememangnya wujud individu yang menggunakan gelaran ini untuk aktiviti tidak bermoral, malahan ada di antara mereka ini berbangsa Cina dan India yang tidak diketahui asal usul warisan gelaran yang digunakan itu.

Ada juga berpendapat usaha memburukkan gelaran Ayahanda merupakan kesinambungan memecahbelah NGO Melayu selepas kejayaan agenda perpecahan politik Melayu yang semakin teruk hari ini.

Perkembangan ini telah menjejaskan nama baik dan martabat institusi Ayahanda dan pertubuhan yang dipimpin mereka berikutan tiada garis panduan bagaimana menentukan kelayakan seseorang mewarisi mahupun menggunakan gelaran itu.

Tanpa definisi khusus, maka individu yang menggunakan gelaran Ayahanda juga tidak tertakluk kepada peranan mahupun tanggungjawab tertentu dan bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak peribadi.

Untuk menangani penyalahgunaan gelaran itu daripada terus melarat, Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS) dengan kerjasama pertubuhan dan NGO bertaraf Ayahanda lain di seluruh negara akan mengadakan seminar khas bagi menetapkan definisi, garis panduan, mekanisme kesinambungan dan lain-lain isu berkaitan.

Pengerusi Eksekutif YAS, Syed Husain Al-Shahab menjelaskan, seminar itu akan mengumpulkan kesemua Ayahanda daripada pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi membincangkan hala tuju kepimpinan mereka.

"Kita mahu dapatkan maklumat dan maklum balas melalui kupasan, soal jawab, penggulungan dan resolusi, khususnya tentang mekanisme untuk mengiktiraf, tatacara urus tadbir dan garis panduan gelaran Ayahanda.

"Ini termasuk pembentangan kertas kerja yang turut melibatkan ROS dan wakil polis Bukit Aman berikutan beberapa insiden yang mencemar nama baik institusi ini. Di hujung seminar, kita akan rumuskan sebuah resolusi untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri," katanya.

Beliau mendedahkan gerakan baiah golongan bertaraf Ayahanda sebenarnya bermula sejak zaman Rasulullah lagi tetapi ketika itu dengan gelaran khalifah dan kemudian turun kepada waris kepimpinan Islam berikutnya.

Beliau menyatakan di negara ini tiada nama pertubuhan sebelum merdeka tetapi gerakan kepimpinan melalui baiah itu tetap wujud sebelum gelaran khalifah itu ditukar kepada Ayahanda sekitar 1990-an dalam Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

"Saya merupakan antara pelopor gelaran Ayahanda bersama kepimpinan Pekida sekitar 1992 dengan sekitar 50 orang veteran diberikan gelaran itu. Ramai antara mereka juga sudah meninggal dunia.

"Gelaran khalifah tidak sepadan kerana perlu kelayakan cukup. Ketika itu gelaran Ayahanda dimonopoli Pekida tetapi selepas 2004 wujud lebih 40 pertubuhan berdaftar dan lebih 1,000 individu yang menggunakan gelaran tersebut," ujarnya.

Beliau sedih melihat hari ini begitu banyak individu menggunakan gelaran Ayahanda dengan tidak betul dan tidak diketahui asal-usul warisannya sedangkan 90 peratus Ayahanda yang 'sebenar' adalah di kalangan anak didiknya sendiri.

Syed Husain mendakwa ada elemen lain yang merosakkan institusi Ayahanda sehinggakan ada orang Cina dan India yang menggunakan gelaran itu, siap dengan kad nama buatan sendiri yang ditunjuk kepada polis jika mereka ditahan.

"Baiah kepimpinan Ayahanda itu janji dengan Allah, ia sangat kuat. Saya sendiri tidak pernah ditahan polis kerana saya tidak menyeleweng, ahli-ahli YAS juga tidak pernah ditahan.

"Tetapi elemen luar yang masuk sehinggakan bangsa lain menggunakan gelaran ini, entah datang dari mana, banyak sangat. Mereka buat pertubuhan baharu terus gunakan nama Ayahanda palsu," tegasnya.

Beliau mewakili Ayahanda-Ayahanda sebenar mahu penjelasan dari mana kumpulan 'Ayahanda baharu' itu mendapat gelaran tersebut kerana ia bukan boleh dicipta sesuka hati kerana perlu ada aturan, kesinambungan, sejarah dan syarat-syarat tertentu sebagai institusi yang sah.

Sekarang ini, beliau melihat semuanya sudah berkecamuk, tidak tahu datang dari cabang mana sehinggakan tidak boleh dikenal yang mana satu intan atau kaca.

"Sampaikan budak umur 18 tahun, kahwin pun belum sudah guna 'Ayahanda', sudah jadi merapu kategori mereka ini. Bila timbul isu-isu berikutan beberapa insiden, cemar nama baik semua pertubuhan Ayahanda

"Ayahanda ini gelaran amat baik, bukan seperti digembar-gemburkan. Isu iktiraf susah sikit, siapa boleh beri pengiktirafan itu? Kerana itu seminar ini kita mahu maklum kepada semua Ayahanda hadir untuk kemaskini dan bentuk garis panduan pengiktirafan itu," katanya.

Beliau melihat seminar itu sebagai satu platform asas bukan sahaja dalam mengembalikan martabat gelaran Ayahanda malahan untuk memaklumkan kepada kepimpinan tertinggi negara akan peranan, perjuangan dan sumbangan mereka kepada keamanan dan kesejahteraan negara.

Beliau juga berharap langkah itu akan menyemarakkan perpaduan, kemajuan dan keamanan dalam negara, lebih-lebih lagi sesuatu yang melibatkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu tanpa melupakan hak kaum lain.

"Menjadi harapan YAS agar usaha kita ini akan menjadi titik tolak ke arah memartabatkan institusi bertaraf Ayahanda khasnya, dan orang Melayu amnya.

"NGO Melayu bertaraf Ayahanda perlu peka dan bertindak mengikut lunas-lunas keadilan dan hak-hak yang terkandung dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh pejuang-pejuang terdahulu, serta perlu difahami dan diperakui semua bangsa berbumbungkan bumi Malaysia ini," ujarnya.

Individu dengan gelaran Ayahanda dijemput hadir ke Seminar Hala Tuju Kepimpinan Ayahanda itu yang akan diadakan pada 23 November 2013 dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 malam di Hotel Brisdale Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian 019-2158232.

SPR dan 'stigma' Sungai Limau

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Calon Barisan Nasional DUN Sungai Limau, Dr Ahmad Sohaimi Lazim melaungkan slogan "Berani Berubah" bersama Pemuda UMNO ketika sesi kempen berjumpa dengan penduduk Kampung Kuala Sala Sungai Limau dengan menaiki motosikal, baru-baru ini. - UTUSAN/ Safrizal Azmi

SETAKAT petang semalam di DUN Sungai Limau, Kedah, tidak ada insiden pelik sampai ke telinga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kalau ada pun yang pelik hanyalah pada hari penamaan calon 23 Oktober lalu. Waktu itu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang turut ada di situ pun pening kepala. Mana tidaknya, semasa pegawai pengurus nak umumkan nama dua calon bertanding, masih membingit di telinga dekat kawasan Dewan Dato' Madi, Yan pusat penamaan calon itu penyokong dan pengikut pembangkang berceramah, bersyarah. Mereka guna pembesar suara.

Padahal ikut peraturan SPR, tidak dibenarkan bawa alat-alat muzik, hatta pembesar suara sekali pun. Tapi penyokong pembangkang ini tak ambil peduli meskipun kelihatan kelibat pemimpin-pemimpin mereka.

"Saya difahamkan pihak berkuasa sedang teliti kejadian ini dan bukti-bukti telah pun ada, mereka terlibat akan ditahan," kata Abdul Aziz ketika dihubungi penulis malam tadi.

Di Sungai Limau kala ini, poster-poster dan sepanduk parti-parti bertanding sudah mula naik banyak. Tetapi itu semua tidak membimbangkan Abdul Aziz yang cukup yakin kempen yang sejak beberapa hari lalu sudah berjalan dan akan disudahi pengundian Isnin 4 November ini, pasti berjalan lancar. Sebabnya di sekitar Yan banyak golongan belajar agama, banyak sekolah pondok. Mereka patuh undang-undang.

Apa yang diperhatikan Abdul Aziz cuma kehadiran penduduk Sungai Limau dan sekitarnya terhadap kempen ceramah terbuka tidak ramai. Kurang sambutan method kempen sebegini. Jarang mencecah ribuan orang.

Paling maksimum pun yang pernah dicatat kira-kira 150 hingga 200 orang, itupun hanya satu dua hari. Kalau tidak, hanya puluh-puluh. Kebanyakan strategi atau kaedah terarah pada kempen dari rumah ke rumah, tidak kira calon Pas mahupun Barisan Nasional.

"Di Sungai Limau, bajetnya tak tinggi, atas sikit RM1 juta. Tidak ada pengundi awal di sini. Tidak ada polis dan tentera di situ.

"Maknanya pegawai dan kakitangan SPR ini tidak akan sibuk uruskan diri sebagai pengundi pos," katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik yang juga mengetuai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pro-kerajaan dalam memerangi jenayah, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim yakin dengan kewibawaan pihak polis dan SPR mengendalikan proses perjalanan pilihan raya kecil itu.

"Saya difahamkan pihak SPR dan polis memantau dengan baik perjalanan kempen pilihan raya kecil itu. Saya juga dimaklumkan setakat ini hanya beberapa kertas siasatan dibuka di Yan berkaitan kempen pilihan raya di DUN Sungai Limau ini," katanya.

Mengenai peluang BN dalam pilihan raya itu, Ahmad Faris yakin sekiranya jentera pilihan raya BN terus bertahan dengan baik - menemui pengundi - sehingga hari terakhir kempen terutama pada hari pengundian, stigma bahawa Sungai Limau kubu kuat Pas, mampu dilenyapkan.

"Saya percaya angka jumlah pusat daerah mengundi yang dimenangi Pas dalam PRU-13 pada 5 Mei lalu dapat BN atasi. BN tempoh hari hanya menang di enam daerah mengundi tetapi dengan semangat yang saya kira begitu tinggi dimiliki jentera parti, apatah lagi dengan 'biduk lalu kiambang bertaut' setelah kumpulan-kumpulan pemimpin dan penyokong semasa proses pemilihan UMNO baru-baru ini sudah sepakat memandang ke hadapan, tidak mustahil kejayaan boleh dicapai," katanya.

Pada PRU-13, Pas menguasai 13 daripada 19 pusat daerah mengundi di DUN Sungai Limau. Pas menang di daerah mengundi Matang Buloh, Sungai Dedap, Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas dan Kampung Titi Batu.

"Saya harap BN akan memperkuatkan lagi kerja keras jenteranya di Bukit Choras dan Bukit Besar yang mana sokongan yang diraih Pas di dua daerah mengundi ini agak tinggi, dengan kedudukan Pas-BN adalah 458-81 dan 459-115.

"BN juga perlu mendekati seberapa ramai pengundi di enam pusat daerah mengundi yang mereka menang itu. Sebabnya kekalahan Pas ketika itu cuma tipis dengan kedudukan Pas-BN di Simpang Tiga, Selengkoh dan Sungai Daun dalam posisi 224-241, 233-331 dan 184-233. Begitu juga di daerah mengundi Dulang Besar, 241 (Pas)-323 (BN). Pas tewas teruk di Dulang Kechil dan Sungai Kering, dengan kedudukan 194-406 dan 70-248," kata Ahmad Faris.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Izzah tukar fikiran

Posted: 30 Oct 2013 06:27 AM PDT

ORANG kata duit bukanlah segalanya tapi segalanya memang memerlukan duit. Malah duit juga boleh mengubah hati dan perasaan demi mencari kehidupan dan masa depan yang lebih bermakna.

Selama lebih tiga tahun mengikat tali pertunangan dan berbelas tahun sebelum itu menjalin percintaan, kesabaran Izzah (bukan nama sebenar) ternyata ada batasnya.

Mulanya dia terfikir untuk membuktikan bahawa cintanya bukan berlandas wang ringgit, tapi realitinya kehidupan bukanlah begitu.

Kalau dahulu sebolehnya Izzah mahu membuktikan dia teman hidup pada susah dan senang, tapi kini dia semakin bijak mengendalikan perasaan terhadap Azhar, lelaki yang dikenali sejak zaman sekolah rendah lagi dan kini bergelar tunangannya.

Selama mana lagi dia harus menunggu sementelah Azhar kerap kali menjadikan alasan 'tidak cukup wang' untuk menangguhkan pernikahan mereka.

"Siapa tidak malu-alah apabila meminta untuk putus tunang tunang apatah lagi seluruh ahli keluarganya daripada adik-beradik membawa kepada sepupu dan saudara-mara sudah mengenali serta baik dengan saya.

"Tapi demi masa depan, saya tidak sanggup menunggu lagi memandangkan usia saya pun semakin bertambah tahun demi tahun," ujar Izzah yang berkongsi kisahnya untuk ruangan Pengakuan kali ini.

Keputusan drastik Izzah memutuskan tali pertunangan yang telah diikat lebih tiga tahun lalu memang mengejutkan seluruh ahli keluarga, baik di sebelah dirinya mahupun sebelah keluarga Azhar.

Walau tampak 'kejam' bagi Izzah itulah yang terbaik bukan saja buat dirinya bahkan Azhar juga yang mungkin akan 'lega' kerana tidak akan lagi mendengar desakan-desakan daripada Izzah.

"Mungkin orang akan nampak saya jahat atau kejam kerana mengambil keputusan begitu dan seakan tidak sabar menunggu bakal suami menyimpan duit.

"Sebenarnya jika anda tidak berada dalam situasi saya anda tidak akan memahami apa yang saya hadapi.

"Ada ketikanya wanita bukan setakat memerlukan cinta, tapi sebenarnya lebih daripada itu. Bagi saya, pengalaman dan usia mematangkan saya membuatkan saya lebih tahu apa yang dimahukan dalam hidup ini.

"Saya dambakan pasangan yang rajin berusaha, bersungguh-sungguh dan ada matlamat hidup serta berusaha mengejar matlamat tersebut.

"Tapi sebaliknya tunang saya terlalu selesa dengan apa yang dia ada. Saya sendiri tidak nampak arah tuju hidupnya," ujar Izzah seakan berselindung.

Seperti tahu apa yang tersirat di hati penulis, Izzah meneruskan bicara.

Dia akur Azhar bukanlah berjawatan besar sekadar seorang kakitangan biasa di sebuah jabatan kerajaan dengan gaji yang kecil.

Begitupun itu tidak bermakna Azhar boleh menjadikan gaji kecil sebagai alasan untuk dia terus menangguhkan pernikahan mereka.

"Saya faham kedudukan kewangannya, sebab itu juga keluarga saya tidak meletakkan wang hantaran yang tinggi. Namun itu pun dia tidak boleh penuhi.

"Setiap bulan gajinya habis dibelanjakan tanpa sedikit pun disimpan untuk tujuan perkahwinan kami. Paling membuatkan saya terasa, dia lebih suka membelanja kawan-kawan daripada menyimpan duit tersebut untuk belanja perkahwinan.

"Saya pernah tegur caranya tetapi kata Azhar, itu kawan-kawannya dan saya tidak berhak masuk campur kerana saya belum jadi isterinya.

"Selepas daripada itu saya tidak lagi sentuh hal tersebut. Namun, masa berlalu keadaan tidak juga berubah, gaji sentiasa habis dan persiapan perkahwinan entah ke mana," kata Izzah.

Dia juga tidak gemar dengan sikap malas Azhar yang banyak membazirkan masa dengan tidur atau lepak di gerai mamak.

Azhar dilihat tidak ada usaha untuk meningkatkan diri sama ada dalam pekerjaan mahupun kehidupan berbanding rakan-rakannya yang berlumba-lumba mencari wang.

"Apa yang dibuat bila tidak kerja ialah tidur dan melepak. Kadangkala dia boleh bertahan tidur dari pagi membawa ke malam.

"Melihat sikapnya yang tidak berubah walaupun usia semakin matang membuatkan saya tawar hati," kata Izzah lagi.

Dalam satu sudut lain, ahli keluarga Izzah juga telah bersungut tentang tempoh pertunangan yang terlalu lama, menjadikan itu antara subjek yang diperbincangkan setiap kali mereka berkumpul seluruh keluarga.

Bagi Izzah, Azhar seolah sudah cukup selesa sekadar bergelar 'tunang' tanpa sebarang usaha untuk menoktahkan dengan ikatan perkahwinan.

"Selain itu saya rasa Azhar sebenarnya mengambil mudah dan menganggap saya mungkin tidak akan lari ke mana kerana saya menjaga anak saudaranya. Sedangkan saya lakukan semua itu pun kerana ikhlas mahu mendekati keluarganya yang bakal menjadi ahli keluarga saya juga.

"Sebenarnya niat utama saya memutuskan pertunangan itu untuk melihat dia berubah dan tidak mengambil sesuatu perkara itu sambil lewa saja lebih-lebih lagi yang melibatkan hati dan perasaan orang lain.

"Semuanya yang terjadi ini adalah umpama wake up call untuk dia lebih berinisiatif untuk berubah," cerita Izzah lagi.

"Saya tahu dalam hal putus tunang ini orang ramai yang membaca pasti akan menyalahkan saya, tapi percayalah apa yang saya lakukan ini sebenarnya baik untuk kedua-dua belah pihak saya dan dia.

"Bukanlah bermakna saya akan meninggalkan dia begitu sahaja, saya cuma mahu dia mengambil iktibar atas kejadian ini.

"Bukan mudah bagi saya untuk melupakan kekasih dari zaman sekolah tapi percayalah ini semua untuk kebaikan kedua belah pihak," ujar Izzah sambil mengakui bukan mempunyai orang ketiga.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Flat kosong cetus persoalan

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Pangsapuri Saga Suria di Taman Saga, Ampang, Selangor mula dibina pada 2005 masih belum dapat diduduki sehingga kini walaupun kelihatan telah siap. - UTUSAN/WAHIDIN SALIM

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Sebuah bangunan besar yang berdiri megah di atas bukit di Taman Saga, Ampang dekat sini menimbulkan tanda tanya kepada penduduk sekitar kerana masih tidak dimasuki sedangkan pembinaannya telah terlalu lama iaitu sejak 2005.

Ini menyebabkan penduduk sekitar itu tertanya-tanya apakah projek itu terbengkalai sedangkan dari pandangan mata kasar projek perumahan Pangsapuri Saga Suria itu telah siap. Difahamkan pangsapuri itu mempunyai sebanyak 468 unit rumah.

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia ke situ selepas menerima aduan penduduk sekitar mendapati masih terdapat pekerja sedang membuat kerja-kerja pembinaan kecil di pangsapuri setinggi 12 tingkat itu.

Didapati, kerja-kerja pembaikan seperti membaik pulih bumbung, tangki air selain kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan.

Lokasi bangunan itu amat strategik kerana terletak di atas bukit yang akan memberikan penghuninya kelak pemandangan kota raya dari situ.

Selain itu, pangsapuri itu juga dikelilingi dengan kawasan hutan hijau selain faktor cuaca yang mengasyikkan.

Apa yang dapat dilihat, pangsapuri itu tidaklah terbiar dan usang sebaliknya pihak pemaju masih menjalankan kerja-kerja di situ.

Penduduk sekitar memberitahu, mereka difahamkan pangsapuri itu kelak akan turut dilengkapi lapan buah kedai, dua buah dewan, sebuah surau dan taman permainan kanak-kanak.

Sementara itu, seorang pekerja yang ditemui berkata, dia tidak tahu jika pembinaan pangsapuri itu mengalami masalah.

"Apa yang saya tahu, projek ini tidak terbengkalai cuma agak lambat sahaja.

"Difahamkan, projek pembinaan flat ini telah dilaksanakan agak lama. Saya rasa pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) lebih arif mengenai perkara ini," katanya yang enggan dikenali.

Pemaju belum penuhi syarat MPAJ

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Pangsapuri Saga Suria masih perlu menjalani sedikit kerja-kerja pembaikan untuk membolehkan Sijil Kelayakan Menduduki (CF) dikeluarkan kepadanya untuk diduduki, menurut Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat MPAJ, Rosliza Mohd. berkata, ini kerana pihak pemaju belum mematuhi semua ulasan-ulasan Jabatan Teknikal MPAJ berkaitan pengeluaran CF untuk projek pangsapuri di Taman Saga, Ampang itu.

Menurut beliau, pemaju masih belum mengemukakan semua pelan yang diperbetulkan berdasarkan ulasan yang dikeluarkan oleh MPAJ pada 15 Mac dan 9 September lalu.

"Lawatan pemeriksaan tapak bagi permohonan CF telah dilaksanakan oleh pihak MPAJ dan ulasan tapak telah dikeluarkan pada 4 April lalu. Berdasarkan ulasan lawatan tapak itu, kerja-kerja baik pulih terutamanya lapisan kalis air sedang dijalankan di tapak.

"Sehingga kini, kerja-kerja terbabit masih belum disiapkan oleh pemaju. Pihak MPAJ akan membuat pemeriksaan akhir sebelum surat sokongan CF dikeluarkan kepada pemaju," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Rosliza, projek itu merupakan pembangunan rumah pangsa harga rendah dan harga seunit adalah kira-kira RM42,000.

"Projek bermula pada 2003 dengan kelulusan kerja tanah. Tetapi, kemudian pemaju ada membuat pindaan pelan kerja tanah yang memerlukan kelulusan semula," ujarnya.

Katanya, disebabkan oleh pindaan tersebut, kerja-kerja tanah disambung semula pada 2005 dengan kerja-kerja menanam cerucuk.

20 GRO Vietnam ditahan

Posted: 30 Oct 2013 10:58 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusangroup.com.my

GRO yang ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Lebuh Gopeng, Klang, Selangor, semalam dikumpulkan untuk disiasat lebih lanjut.

KLANG 30 Okt. - Keseronokan pelanggan yang sedang berhibur di dalam sebuah pub bertemankan gadis seksi Vietnam terbantut apabila premis berkenaan diserbu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor malam tadi.

Dalam Op Cantas Khas pukul 11.30 malam melibatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu, sebanyak 20 gadis pelayan pelanggan (GRO) berasal dari Vietnam ditahan.

Operasi diketuai oleh Inspektor Lee Robert dengan kekuatan dua pegawai dan sepuluh anggota dari tiga jabatan di bawah IPK Selangor.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), IPK Selangor, Deputi Supritendan Rohan Shah Ahmad yang dihubungi berkata, Op Cantas Khas tersebut dilaksanakan selaras dengan arahan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan untuk mempertingkatkan pelaksanaan operasi membanteras jenayah.

Rohan berkata, selain menahan GRO warga asing tersebut, pegawai dan anggota polis yang terlibat turut menahan seorang lelaki dipercayai penjaga premis yang terletak di Lebuh Gopeng itu.

Katanya, kesemua GRO terbabit akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen, Seksyen 55B Peraturan Imigresen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen.

"Pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi tersebut turut memeriksa seramai 37 orang pelanggan lelaki yang berada di premis berkenaan.

"Hasil penyiasatan lanjut mendapati premis itu memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk beroperasi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


UTM buru reputasi cemerlang

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

MAHASISWA Jepun dan Malaysia (dari kiri) Mika Takayanagi, Nor Fyadzila Mohd. Tahar, Kazuko Ishimoto, Motoki Matsuyama dan Yaakob Arshad gembira dengan ijazah masing-masing pada Konvokesyen ke-51 Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 29 Okt. - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan terus berusaha memastikan dapat berperanan sebagai institusi yang penting dan relevan dalam membangunkan agama, bangsa dan negara.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Ir. Wahid Omar berkata, dalam masa sama, UTM akan terus memberi fokus membina reputasi lebih cemerlang di peringkat global.

Beliau berkata, falsafah UTM yang dicetuskan barisan pengasas UTM terdahulu akan menjadi pegangan kukuh dalam institusi itu bergerak ke hadapan.

"Kami sentiasa menyedari UTM mempunyai peranan penting bagi melahirkan insan yang bukan sahaja tersohor keupayaan teknikalnya dan boleh dipercayai tetapi memiliki nilai insaniah yang murni dan terpuji.

"Bagi kami, golongan inilah yang boleh menjadi harapan kita bagi meneruskan kesinambungan survival agama, bangsa dan negara sekali gus mengharungi cabaran dalam dunia tanpa sempadan ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-51 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Pro Canselor dan beberapa ahli lembaga pengarah.

Seramai 5,378 graduan menerima ijazah masing-masing dengan 163 daripada jumlah berkenaan adalah graduan ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana (1,075), diploma lepasan ijazah (126), ijazah sarjana muda (2,493) dan diploma (1,521).

Dalam majlis berkenaan, UTM turut meraikan 11 graduan sulung yang menerima anugerah Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dan Pentadbiran Perniagaan bagi Program Dwi Sarjana dengan kerjasama Universiti Meiji, Tokyo.

Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah tersebut ialah Dekan Sekolah Siswazah dan Pentadbiran Perniagaan Universiti Meiji, Prof. Masayasu Takahashi; Timbalannya, Prof. Kenichi Suzuki dan Ketua Jabatan Pentadbiran Perniagaan, Prof. Madya Mika Takayanagi.

Lima daripada 11 graduan itu ialah penuntut UTM manakala enam lagi penuntut Universiti Meiji, masing-masing dianugerahkan Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan dari UTM dan Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Meiji.

UTMSpace rai media, anak yatim Ar-Rayyan main boling

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

SEBAHAGIAN daripada anak-anak yatim dari Ar-Rayyan diraikan oleh kakitangan dari Unit Komunikasi Pemasaran UTMSpace dan Kelab Media Johor pada Majlis Derma Bakti Melalui Aktiviti Boling Bersama Kelab Media Johor dan Pusat Insani Darul Takzim & Anak Yatim Ar-Rayyan di Danga City Mall, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. - utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 29 Okt. - Sempena sambutan ulang tahun Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSpace) Ke-20, institusi pengajian tinggi itu dengan kerjasama Kelab Media Johor (KMJ) mengadakan program derma bakti bersama anak yatim Rumah Ar-Rayyan.

Program derma bakti berupa perlawanan boling yang disertai oleh 64 pemain terdiri daripada anak yatim Ar-Rayyan, KMJ dan kakitangan UTMspace itu dirasmikan Pengurus Unit Komunikasi Pemasaran UTMSpace, Kartika Ista Mohamed Shah.

Kartika Ista berkata, program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara UTMSpace dan media selain mendekatkan mereka dengan anak-anak yatim.

"Program ini juga bagi meraikan para wartawan yang banyak memberi kerjasama dari segi liputan sepanjang tahun dalam pelbagai anjuran UTMSpace," katanya.

Dalam majlis tersebut, UTMSpace turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,500 kepada Pengurus Asrama Kebajikan Anak Yatim Ar-Rayyan, Mohamad Halimi Kolan bagi meringankan beban kewangan rumah anak yatim tersebut.

UTMSpace turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada KMJ yang diterima Timbalan Presiden 1, Raja Jaafar Ali sebagai tanda terima kasih atas penglibatan media dalam pelbagai majlis yang dianjurkan pihaknya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pelajar KVPD didedah pelbagai industri

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

Abu Bakar (tengah) bersama wakil lapan syarikat yang menjalinkan kerjasama pendidikan dengan KVPD di Port Dickson, baru-baru ini.

TELOK KEMANG 29 Okt. - Pelajar Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) akan didedahkan dengan kepelbagaian industri selepas pihak pengurusannya menjalinkan kerjasama pendidikan dengan lapan syarikat berkaitan teknologi.

Pengarahnya, Abu Bakar Md. Jelas berkata, dengan inisiatif terbaharu itu, pihaknya menyasarkan KVPD akan melahirkan graduan berkemahiran dengan anggaran 350 orang dapat mengisi tenaga kerja mahir negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kita optimis, KVPD adalah 'lubuk industri' yang mana bukan sahaja syarikat berteknologi tinggi membawa 'industri' mereka ke kolej ini, tetapi menyaksikan pelajar kolej turut menikmati pembelajaran secara visual di kawasan perindustrian mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, pada peringkat pertama KVPD menjalin kerjasama dengan lapan buah syarikat dari enam negeri termasuk dua di Melaka.

Jelasnya, syarikat itu ialah Amada Services Centre, Speed Tyre & Battery Service Centre, Alang Yaacob Auto Service Centre, FZL Auto Servis, Awalynn Auto Service, BMV Auto Tech Sdn. Bhd., Weister Solution Sdn. Bhd. dan Miester Techonology (M) Sdn. Bhd..

Menurut Abu Bakar, usaha sama itu dilaksana bagi melengkapkan penuntut dengan pengetahuan serta kemahiran bagi menghasilkan produk selain menyediakan perkhidmatan berkaitan yang bidang diceburi.

"Mereka mampu memperoleh kemahiran sebenar di tempat kerja atau industri selama tiga bulan di syarikat terpilih," ujarnya.

Abu Bakar memberitahu, graduan juga berpotensi bekerja dengan syarikat terlibat bergantung kepada tahap kemampuan pelajar dalam bidang diceburi.

"KVPD menganggarkan sebanyak 70 peratus graduan yang memperoleh diploma akan mendapat pekerjaan manakala 20 peratus lagi akan melanjutkan pelajaran ke universiti dan selebihnya, 10 peratus akan menceburi bidang keusahawan atau perniagaan sendiri," ujarnya.

Jaga nama baik negara - KSU

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Jamil Salleh (tengah) beramah mesra dengan peserta SSEAYP Ke-40 di Akademi Pembangunan Belia Malaysia, Port Dickson, Negeri Sembilan, malam semalam.

TELOK KEMANG 29 Okt. - Sebanyak 29 belia lepasan universiti dan bekerja dalam pelbagai bidang terpilih menyertai program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) Ke-40 bermula hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh berkata, mereka terdiri daripada belia pelbagai latar belakang pendidikan dan pekerjaan, termasuk dalam bidang profesional seperti doktor, peguam dan usahawan.

"Kita berharap mereka yang terpilih ini menjaga nama baik Malaysia, di samping menjadi 'duta' kepada negara dalam memperkenal Malaysia, budaya serta keharmonian pelbagai kaum.

"Program ini telah dimulakan sejak 1974 dan ditanggung kerajaan Jepun. Bagi pelayaran melibatkan negara ASEAN, ini adalah pendedahan yang amat baik kepada belia dalam mengeratkan hubungan sesama mereka apatah lagi dalam kita berhadapan Komuniti ASEAN tidak lama lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam tadi.

Jamil berkata demikian selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia di Akademi Pembangunan Belia Malaysia, Port Dickson di sini.

Katanya, dalam pelayaran itu juga peserta akan berada di 10 buah negara anggota ASEAN serta Jepun dan tinggal selama 52 hari di atas kapal dan negara terpilih itu.

Selain itu, kata Jamil, setiap tahun program tersebut akan memilih empat buah negara dalam ASEAN sebagai tempat berlabuh dan SSEAYP memilih Filipina, Thailand, Singapura dan Laos sebagai destinasi persinggahan.

"Peserta kita pada kali ini berumur antara 18 dan 30 tahun. Ada yang masih menuntut di universiti, kolej, bekerja dan sebagainya.

"Peluang yang ada ini hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk mengadakan rangkaian sahabat yang bukan sahaja tertumpu dalam aspek sosial semata-mata tetapi hendaklah diperluaskan dalam konteks antara budaya, ekonomi dan pembangunan kepelbagaian," ujarnya.

Dalam masa sama, peserta dikehendaki menggunakan sebanyak mungkin bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hendaklah diajar dalam kalangan peserta SSEAYP yang sama-sama belayar di atas kapal ini.

"Persembahan kebudayaan, pameran dan semangat 1Malaysia hendaklah sentiasa ditonjolkan oleh peserta negara. Jaga disiplin dan nama baik Malaysia tidak kira di mana mereka berada," ujarnya.

Alumni Graduan Cemerlang boleh bantu maju pendidikan NS

Posted: 29 Oct 2013 11:12 AM PDT

Mohamad Hasan (tengah) bergambar bersama sebahagian pelajar pada Majlis Anugerah Graduan Cemerlang Kelas Pertama di Seremban, baru-baru ini. - utusan/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 29 Okt. - Penubuhan Alumni Graduan Cemerlang Kelas Pertama oleh kerajaan negeri merupakan langkah bagi membolehkan graduan menyalurkan idea dan khidmat dalam memaju dan membangunkan pendidikan di negeri ini serta bidang-bidang lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penubuhan alumni sejak setahun lalu terbukti mengaktifkan graduan untuk berganding bahu membantu kerajaan dalam percambahan idea sekali gus bersama-sama menjayakan dasar mensejahterakan rakyat.

"Mereka merupakan golongan terpelajar dan profesional yang kita rasa mempunyai idea yang bernas dan dapat menambah baik segala bentuk pembangunan yang dirancang dalam pelbagai sektor di negeri ini.

"Jika kita lihat sekarang ini sudah ramai anak kita yang bekerja di luar negeri ini. Jadi dengan pengalaman serta pengetahuan yang mereka peroleh, sudah pastinya ada sesuatu yang boleh kita aplikasikan untuk kebaikan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Anugerah Graduan Cemerlang Kelas Pertama di Bangunan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) Negeri Sembilan dekat sini baru-baru ini.

Jelas Mohamad, sehingga kini lebih 500 graduan berdaftar menjadi ahli sejak persatuan itu ditubuhkan tahun lalu.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohamad memberitahu, lebih 100 graduan yang menerima ijazah kelas pertama memperoleh insentif dari kerajaan negeri sebanyak RM5,000 seorang.

Katanya, program yang mula diperkenalkan pada 2006 itu memberi manfaat kepada lebih 550 orang graduan dengan nilai peruntukan sebanyak RM3.9 juta dalam menyuntik semangat para pelajar untuk berjaya dalam bidang pendidikan.

"Malah, Yayasan Negeri Sembilan (YNS) juga sebelum ini mengambil keputusan yang mana pelajar tajaan kita yang memperoleh kelas pertama, pinjaman mereka akan ditukarkan kepada biasiswa.

"Untuk tahun ini sahaja, sebanyak 14 pelajar dilupuskan pinjaman mereka selepas berjaya memperoleh ijazah kelas pertama dengan pinjaman mereka sebanyak RM30,000 hingga RM100,000 bergantung kepada kursus yang diambil para pelajar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved