Jumaat, 7 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kanak-kanak didera meninggal dunia

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Mac - Selepas hampir lima hari bertarung nyawa, kanak-kanak perempuan yang mengalami pendarahan otak dipercayai akibat didera di Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang Isnin lalu, meninggal dunia hari ini.

Nur Ain Ariana Abdullah yang berusia dua tahun enam bulan disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh dekat sini pada pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya kini membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Pihak hospital akan menjalankan bedah siasat mayat mangsa esok," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.

Isnin lalu, Nur Ain Ariana dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dekat sini selepas dipercayai pengsan.

Doktor yang merawat mangsa telah membuat laporan polis setelah melihat keadaan mangsa yang tidak bergerak dan menemui pelbagai kesan lebam serta calar di bahagian tangan, badan dan muka bayi itu serta benjol pada kiri kepala.

Mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut kerana kecederaannya yang kritikal dan dipercayai mengalami pendarahan otak.

Polis kemudian menahan ibu kandung mangsa yang berusia 20 tahun dan teman lelakinya, 26, bagi membantu siasatan.

Difahamkan, jenazah mangsa akan dikebumikan di Pahang.

Pelajar asing ditahan edar dadah RM900,000

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

NOOR Rashid Ibrahim (kiri) menunjukkan dadah yang diseludup di dalam pemain cakera video digital (DVD) semasa sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Mac - Taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik status pelajar kolej swasta terbongkar setelah polis memberkas tujuh ahli kumpulan terbabit dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Dalam operasi selama dua minggu sejak 20 Februari lalu itu, polis menahan enam pelajar warga asing iaitu tiga lelaki warga Nigeria dan tiga wanita warga Uganda bersama seorang lelaki tempatan yang berusia antara 22 dan 42 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya merampas kira-kira 4.9 kilogram dadah jenis syabu yang dianggar bernilai RM900,000 dalam kesemua serbuan tersebut.

"Dadah yang diseludup dari beberapa negara luar itu telah disorok dalam pelbagai barangan peribadi termasuk pemain cakera video digital (DVD) sebelum dipos menggunakan perkhidmatan syarikat kurier kepada ahli sindiket di sini," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Menurut Noor Rashid, sindiket dadah antarabangsa kini menggunakan taktik menyeludup barangan haram tersebut dalam kuantiti yang kecil namun dilakukan secara kerap.

Kata beliau, kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Seorang maut, 12 hilang dalam letupan di kilang kimia

Posted: 07 Mar 2014 09:59 AM PST

BEIJING 8 Mac - Satu letupan yang berlaku di sebuah kilang kimia di utara China telah menyebabkan seorang terkorban dan 12 lagi masih hilang, kata pihak berkuasa semalam.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kerajaan tempatan di wilayah Hebei, seramai 13 orang dipercayai berada di bahagian yang memproses emulsi bahan letupan di kilang berkenaan, yang diusahakan oleh kumpulan Kailuan Group, di Tangshan, ketika letupan awal pagi itu berlaku.

Katanya, seorang mangsa telah disahkan mati dan pihak berkuasa sedang mencari 12 orang lagi mangsa yang masih hilang.

Selain itu, kenyataan ringkas yang dikeluarkan menyatakan bahawa punca letupan masih tidak diketahui. - AGENSI

Ketua paralimpik Ukraine minta Rusia jamin keamanan

Posted: 07 Mar 2014 09:54 AM PST

SOCHI, Rusia 8 Mac. - Ketua kontinjen paralimpik Ukraine, Valeriy Sushkevich menyatakan bahawa kelmarin dia telah meminta Presiden Rusia, Vladimir Putin agar memastikan keamanan di Ukraine terjamin sepanjang berlangsungnya Sukan Paralimpik Musim Sejuk dan pasukannya tidak akan menarik diri atas keadaan yang berlaku di kampung halaman mereka.

"Saya mengulangi satu permintaan, yang merupakan satu-satunya permohonan yang penting, bahawa sebelum dan semasa berlangsungnya acara sukan paralimpik, keamanan akan dikekalkan," katanya dalam satu sidang media semalam.

Katanya, pasukan dari Ukraine tidak akan memboikot acara sukan itu yang berlangsung di resort Sochi, di Black Sea, Rusia. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Anwar dihukum penjara 5 tahun

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Oleh AMIRUDDIN HARUN, SUWARNI MOKHTAR, RODELIO JUNJUN TAUCAN, ILLAH HAFIZ AZIZ dan HUSSAINI AMRAN

PUTRAJAYA 7 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebulat suara mendapati Anwar bersalah pada pukul 6.15 petang ini setelah mendengar hujah kedua-dua pihak sejak pukul 9.15 pagi.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan dengan syarat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu membayar jaminan sebanyak RM10,000 sebelum atau pada pukul 11 pagi, Isnin ini.

Panel tersebut memutuskan demikian setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang diketuai oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.

Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ketua Pembangkang itu didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Rayuan tersebut didengar selama dua hari sejak semalam setelah tertangguh semenjak Julai tahun lalu.

Wajah Anwar dilihat muram sepanjang prosiding berjalan meskipun kerap dilihat cuba bergelak ketawa ketika menemui pihak media, barisan peguam atau para penyokongnya serta pemerhati asing yang memenuhi galeri awam semasa mahkamah berhenti rehat seketika.

Ini sabitan kedua terhadap Anwar selepas dia penah dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 2000 setelah didapati bersalah meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Walau bagaimanapun, empat tahun kemudian, hukuman dan sabitan tersebut berjaya diketepikan oleh beliau di Mahkamah Persekutuan pada 5 September 2004 dengan keputusan majoriti 2-1.

Pada prosiding hari ini, ketika membaca penghakiman ringkas, Hakim Balia menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila tersalah tafsir bahawa integriti bahan bukti yang diletakkan di dalam 11 botol sampel berlainan telah tercemar.

Bahan bukti itu sebelum ini didakwa tercemar apabila beg plastik yang digunakan untuk menempatkan kesemua sampel itu digunting di bahagian bawahnya oleh bekas pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira.

"Kami berpuas hati bahawa apa yang dilakukan oleh PW25 (Judy) hanyalah menggunting bahagian bawah plastik berkenaan, membungkus semula setiap botol sampel secara berasingan sebelum membuat penandaan bagi mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO).

"Adalah tidak disangkal bahawa hanya P27 (beg plastik) yang telah diusik dan bukannya botol-botol sampel.

"Ia turut disokong oleh keterangan saksi pendakwaan kelima, ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Dr. Seah Lay Hong bahawa kesemua meterai (seal) botol-botol sampel itu masih berkeadaan baik sewaktu menerimanya," kata hakim tersebut.

Menurut Hakim Balia, sekiranya hakim bicara telah meneliti keterangan ini dengan teratur, beliau tidak akan membuat kesimpulan bahawa bahan bukti terbabit telah tercemar sebelum diserahkan kepada ahli kimia.

Panel tersebut turut menyatakan hakim terdahulu juga terkhilaf apabila menerima keterangan saksi pakar dari Australia, Profesor Madya Dr. David Lawrence Noel Wells dan perunding Sistem Genetik Molekular, Dr. Brian McDonald; yang disifatkan hanyalah armchair expert (pakar yang hanya pandai berteori).

"Kami mendapati tiada sebab Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlu berganjak dengan hasil penemuan yang dibuat di akhir kes pendakwaan yang sempurna, lengkap dan tanpa kecacatan.

"Lay Hong dan Nor Aidora Saedon (ahli kimia) merupakan saksi yang mempunyai pengalaman yang luas dan kelayakan akademik sebagai saintis forensik.

"Hakim terdahulu telah tersalah arah dalam keputusannya sehingga memutuskan untuk membebaskan responden (Anwar). Bagaimanapun, atas alasan yang dikemukakan, kami membenarkan rayuan ini dan responden disabitkan dengan kesalahan," kata beliau.

Sejurus selepas keputusan itu dibuat, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang duduk di galeri awam dilihat meluru ke arah Anwar untuk menenangkan suaminya.

Anwar cuba raih simpati, dakwa wujud konspirasi

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

PUTRAJAYA 7 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim terus cuba meraih simpati apabila sekali lagi mendakwa wujud konspirasi sehingga menyebabkan Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya kerana meliwat bekas pembantu peribadi, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 28.

Beliau yang sebelum ini berkali-kali memohon penangguhan kes tersebut turut menuduh barisan hakim yang bersidang membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik bukannya mengikut fakta dan undang-undang.

Ketua Pembangkang itu mendakwa, keputusan tersebut telah ditetapkan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk memastikan dia tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini.

"Secara terang-terangan keputusan ini tidak mengambil kira fakta dan undang-undang, namun saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya atas usaha yang baik.

"Namun malang sekali para hakim tidak mengambil kira fakta dan undang-undang, menunjukkan mereka seperti telah mendapat arahan dan hilang sabar ketika menjatuhkan hukuman," dakwanya.

Beliau memberikan reaksi itu di luar mahkamah terhadap sabitan penjara yang dijatuhkan ke atasnya, di sini hari ini.

Sebelum itu, beberapa bekas rakan Anwar menyifatkan keputusan mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Ketua Pembangkang itu bertanding di kawasan tersebut dipercayai satu sandiwara politik untuk menyelamatkannya daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.

Bekas Setiausaha Sulitnya, Muhammad Rahimi Osman mendakwa, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber dalaman PKR bahawa perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali adalah perkara biasa yang tidak akan menyebabkan Anwar mengambil langkah drastik itu sehingga membelakangkan pimpinan pakatan pembangkang.

"Tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa dalam rayuan kes liwat beliau.

"Melalui pertandingan dalam pilihan raya kecil, populariti Anwar akan meningkat dan jika Anwar diletakkan menjadi Menteri Besar Selangor, maka akan terdapat satu tekanan kepada pihak berkuasa dalam kes liwat beliau," dakwanya.

Ahli Dewan Negara, Ezam Mohd. Noor pula berkata, jawatan Menteri Besar Selangor bukan matlamat utama yang mendorong Anwar untuk bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kajang.

Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai 'mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum'.

"Saya tidak hairan dengan 'drama' Anwar kali ini kerana Penasihat PKR itu cuma mengulangi episod yang sama dengan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008," dakwanya.

Sementara itu, peguam Anwar, Karpal Singh berkata, pihaknya akan membayar wang jaminan dan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan Isnin ini.

Menurut Karpal, keputusan itu juga menyebabkan Anwar hilang kelayakan untuk bertanding pada PRK DUN Kajang.

"Beliau tidak boleh dicalonkan pada penamaan calon 11 Mac ini. Kami akan kemuka rayuan untuk kes ini pada hari Isnin dan Anwar juga akan hadir," katanya ringkas.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Puteri Sarah tunda resepsi

Posted: 06 Mar 2014 10:57 PM PST

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin

KUALA LUMPUR 7 Mac - Tunang kepada pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana hari ini memberitahu majlis resepsi yang bakal diadakan malam esok akan ditunda.

Menurutnya, ini disebabkan keadaan Syamsul yang belum pulih sepenuhnya daripada demam denggi.

"Buat masa ini saya tidak boleh beritahu bila majlis resepsi itu akan diadakan.

"Cumanya untuk esok, majlis pernikahan akan diteruskan seperti diberitahu, hanya majlis resepsi yang ditunda," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Tambahnya, majlis pernikahannya akan berlangsung di Masjid Sri Damansara, Petaling Jaya, pada pukul 10 pagi.

Mengikut perancangan awal, majlis resepsi pasangan itu akan diadakan di Ndah Mahligai, Shah Alam dengan bertemakan taman Islam.

Menjelaskan keadaan tunangnya itu, menurut Sarah dia berharap semua peminat dapat mendoakan kesihatan Syamsul pulih secepat mungkin.

"Saya ada pergi melawat dia bersama keluarga, semalam juga kami mengadakan majlis doa selamat.

"Saya percaya dengan lebih ramai orang berdoa, mungkin lebih cepat Syamsul sihat," katanya.

Pada 12 Januari lalu, Syamsul telah merisik Puteri Sarah dalam satu majlis yang diadakan di kediamannya di Sri Damansara. - UTUSAN ONLINE

Tidak tiru Anuar Zain

Posted: 06 Mar 2014 10:07 PM PST

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar MOHD. NAIM AZIZ/ WAHIDIN SALIM

JAUH di sudut hati, Arja Lee mahu menjadikan bidang nyanyian sebagai karier utama.

Kelibat Arja Lee dalam industri seni bukan baharu. Malah, boleh dikatakan dia salah seorang aktor yang mempunyai bakat lakonan yang cukup baik.

Pelbagai watak telah dilakonkan dan semuanya mendapat sambutan baik daripada penonton.

Sebut sahaja filem kontroversi Anu Dalam Botol, pasti ramai yang akan terkesan dengan lakonan mantapnya sebagai seorang mak nyah.

Tetapi, bidang lakonan bukanlah sesuatu yang menjadi impian buat Arja Lee. Sebaliknya, dia lebih mengimpikan untuk menjadi seorang penyanyi. Satu cabang seni yang membuat ramai orang tertanya-tanya.

Terus mengejar impian, Arja Lee baru-baru ini melancarkan single pertamanya berjudul Cerita Pada Mereka yang berentak balada.

Mendengar buat pertama kali, sudah ada yang mengatakan bahawa rentak dan gaya penampilan Arja Lee menerusi single itu seakan-akan sama dengan penyanyi Anuar Zain.

Tidak terkejut ketika ditanya mengenai perkara itu, Arja Lee sendiri sudah dapat mengagak bahawa perbandingan itu akan dilakukan.

Daripada awal lagi Alfa Booty yang menyusun lagu ini sudah bertanya kepada saya, tidak takutkah lagu ini dikatakan seperti Anuar Zain.

Selepas mendengar penyampaian saya, bolehlah dibuat kesimpulan bagi mereka yang mendengar sekali imbas, mungkin akan mengatakan ia seakan-akan sama dengan Anuar Zain.

Tetapi bagi mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang muzik, mereka tahu apa yang membezakan antara saya dan Anuar Zain," katanya.

Malah, Arja turut menegaskan bahawa dia tidak mahu menjadi Anuar Zain kedua.

Daripada segi konsep dan imej, mungkin saya dan dia mempunyai selera dan cita rasa yang sama. Itu yang menampakkan lagi seolah-olah saya sama seperti dia.

Lagipun, penyanyi kita yang tampil dengan imej sut penuh tidak ramai. Di luar negara, sudah ramai yang berpenampilan begitu.

Malah, saya sendiri ketika ditanya oleh Alfa Booty, saya cakap pada dia, saya tidak mahu lagu saya seperti Anuar Zain. Lagipun, saya masih baharu dah Anuar Zain sudah mencapai tahap yang tinggi," ujarnya.

Jelas Arja, arwah ibunya, Salmah Aziz menjadi penguat semangat untuknya terus bertahan dan bergelar seorang penyanyi.

Ibu banyak memberi kata-kata semangat kepada saya dan setiap butir bicaranya menjadi penguat semangat untuk terus menjadi yang terbaik dalam industri ini," jelasnya yang menangis ketika sesi pelancaran singlenya dek terkenangkan arwah ibunya.

Belum bercinta, tetapi berkawan rapat

Ketika ditanya mengenai kehidupan peribadinya, Arja Lee tidak kedekut untuk berkongsi dan mengakui sedang mengenali seorang aktres wanita bernama Shima Anuar.

Menurutnya, dia mula mengenali wanita itu kira-kira setahun yang lalu semakin lama, hatinya mula menyukai wanita itu.

Jujurnya, saya memang suka dengannya dan merasakan bahawa dia juga menyimpan perasaan yang sama dengan saya.

Tetapi kalau hendak mengatakan kami bercinta itu, saya sendiri masih takut untuk mengatakan ya kerana kami belum bercakap apa-apa tentang itu," jelasnya.

Tidak mahu terburu-buru untuk menamatkan zaman bujangnya, jelas jejaka ini, sasarannya untuk berkahwin mungkin di usia 33 tahun.

Umur saya dah menginjak ke usia 30 tahun dan tipulah kalau saya katakan tidak mempunyai hasrat langsung untuk bergelar seorang suami.

Tetapi memandangkan single saya pun baharu keluar, lebih baik saya fokus kepada kerjaya seni dahulu, baik daripada segi lakonan mahupun nyanyian.

Lagipun, saya sendiri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilunaskan terlebih dahulu terhadap keluarga dan mahu mengukuhkan ekonomi saya terlebih dahulu," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tumpu kepentingan jangka panjang

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

TEKS ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak dan Dialog Ekonomi Nasional 2014 di Grand Ballroom, Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, semalam.

Najib Tun Razak bergambar bersama ahli panel selepas Perasmian Sidang Kemuncak dan Dialog Ekonomi Nasional 2014 di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

SAYA mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Institut Kepimpinan dan Strategi ASEAN (ASLI) atas penganjuran Sidang Kemuncak Ekonomi ini, dan menjemput saya untuk berucap.

Sejak beberapa bulan lepas, ekonomi Malaysia menjadi topik hangat. Semua orang bercakap mengenai subsidi, tol, dan cukai. Ahli politik dan golongan cerdik pandai membuat pelbagai kenyataan mengapa harga semakin meningkat atau apa yang kita perlu lakukan.

Saya faham rakyat merasakan tekanan akibat peningkatan kos. Saya menyedari rakyat mendapati harga semakin naik, namun mereka tidak mengetahui puncanya. Saya sedar sebahagian rakyat menganggap kita terlalu banyak membuat pembaharuan, terlalu pantas.

Itu sebab saya mahu mengambil peluang ini untuk bercakap secara terus dengan rakyat. Hari ini, saya akan menjelaskan cabaran yang dihadapi negara, mengapa kerajaan perlu bertindak, dan apa yang dilakukan untuk membantu. Dan saya akan menunjukkan cara kerajaan membangunkan Malaysia yang lebih kukuh dan makmur.

Sejak Merdeka, pembangunan ekonomi menawarkan peluang pekerjaan dan prospek yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia. Kita lebih sihat, memperoleh pendidikan yang lebih baik dan lebih baik berbanding sebelumnya.

Ini semua dicapai hasil kerja keras dan perancangan baik dan penyampaian berkesan oleh kerajaan. Berdasarkan sejarah negara, kerajaan telah memacu pertumbuhan negara menerusi pelan strategik bagi memastikan ekonomi berada pada kedudukan yang baik.

Pendekatan ini berjaya. Sejak 30 tahun, kadar kemiskinan secara menyeluruh turun 97 peratus. Kita berjaya membasmi kemiskinan tegar. Jangka hayat telah meningkat sebanyak 7 tahun; purata persekolahan sudah meningkat sebanyak 5 tahun. Sejak 1992, pendapatan isi rumah meningkat tiga kali ganda.

Kita sudah mencatat perbezaan sebenar terhadap prospek rakyat biasa, dan kehidupan golongan paling miskin dalam masyarakat.

Namun kemajuan ada harganya. Berdekad lamanya perbelanjaan subsidi kerajaan meningkat. Pada 2010, kita membelanjakan 15% bajet ke atas subsidi dan insentif. Pada 2012, angkanya mencatatkan 21.4% atau RM44 bilion. Berikutan harga pasaran meningkat, kos subsidi turut meningkat. Kebanyakan subsidi ini merupakan subsidi menyeluruh yang bermakna semua orang menerimanya termasuk rakyat asing, golongan perniagaan dan jutawan. Dan ia tidak adil - sebagai contoh, subsidi petrol, lebih besar kereta, lebih banyak manfaat dinikmati.

Ini bermakna wang terbabit yang sepatutnya dibelanjakan untuk membina hospital atau sekolah, digunakan untuk membayar bahan api lebih murah untuk pelancong dan ekspatriat. Dan kos itu semakin meningkat. Pada 2009, defisit bajet - perbezaan antara apa yang kita dapat dan kita belanjakan sebanyak 6%. Kos subsidi adalah antara faktor yang meningkatkan defisit.

Defisit bajet itu sendiri tidak selalunya negatif. Malaysia berada dalam defisit sejak lewat tahun 1990-an, dan ia tidak menghalang kita untuk membangun. Banyak negara berjaya seperti Jepun - mempunyai hutang yang tinggi.

Namun ada masanya apabila hutang dan defisit menimbulkan situasi bahaya. Seperti yang kita ketahui, krisis 1997, perubahan berlaku dengan pantas. Jika prestasi ekonomi global lemah, orang akan berfikir dua kali untuk melabur di negara yang mempunyai defisit yang terlalu besar. Jika pihak yang meminjamkan wang menganggap sesebuah negara tidak mampu membayar hutang, mereka mengenakan kadar faedah yang tinggi. Lebih buruk lagi jika sentimen tidak memihak kepada negara itu, ia boleh mencetuskan perang modal - dan dalam dunia yang saling berhubung kini, ia boleh berlaku dalam sekelip mata.

Apabila ini berlaku, ia boleh mengakibatkan kemusnahan. Dalam krisis kewangan baru-baru ini, penarafan kredit beberapa negara di Eropah diturunkan. Kos pinjaman meningkat, dan hutang melambung di luar kawalan, menakutkan pelabur asing dan membuat mata wang tertekan.

Rakyatlah yang paling teruk menderita. Mereka hilang pekerjaan. Di beberapa negara Eropah, satu dalam tiga penduduk menganggur. Mereka hilang jaringan keselamatan, dengan kerajaan terpaksa mengurangkan pembiayaan kebajikan rakyat. Dan mereka hilang kebebasan kerana terpaksa melepaskan kawalan ekonomi kepada IMF.

Sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab utama saya ialah untuk melindungi rakyat. Saya tidak akan membenarkan kemajuan negara, kesejahteraan rakyat, atau kedaulatan negara terancam. Sebab itu kerajaan bertindak untuk mengawal kewangan negara.

Empat tahun lepas, kerajaan melakukan pembaharuan subsidi, mengurangkan bayaran untuk gula dan bahan api. Penjimatan itu bukan sahaja untuk mengurangkan defisit bajet malah untuk membuka klinik 1Malaysia, dan menyediakan lebih banyak biasiswa untuk pelajar. Dengan beralih daripada subsidi menyeluruh kepada bersasar, kita menggunakan wang itu untuk kesihatan awam dan pendidikan.

Bagaimanapun, kos subsidi terus meningkat, dan jelas bahawa kedudukan ekonomi Malaysia menjadi tidak mampan. Para pelabur, bank-bank, dan agensi penarafan mula memberi fokus terhadap hutang, defisit Malaysia selain ke atas perbelanjaan untuk subsidi.

Memang kita tertarik untuk mengatakan kita tidak perlu bimbang terhadap apa yang difikirkan oleh penganalisis asing , kita hanya perlu memberi tumpuan ke atas usaha untuk menyokong rakyat. Tetapi isu kritikal ini tidak boleh diketepikan.

Seperti negara lain, kita perlukan pelaburan untuk berjaya. Pelaburan asing membantu perniagaan Malaysia berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan ekonomi Malaysia. Ia membantu membina latar langit Kuala Lumpur, tebingan pantai Iskandar, dan taman perindustrian Kuantan. Ia membantu membina landasan kereta api dan lebuh raya yang membolehkan kita bergerak ke seluruh negara. Pelaburan asing mewujudkan ratusan ribu pekerjaan dengan gaji tinggi, apabila firma antarabangsa membuka kilang, pejabat dan ibu pejabat di Malaysia. Pelaburan asing penting. Kita perlu memastikan kita terus menarik mereka.

Seperti negara lain, kita juga meminjam wang untuk membuat pembayaran seperti jalan baharu atau hospital. Kita membiayai perbelanjaan ini dengan menjual bon kerajaan; janji yang kita akan bayar kemudian.

Seperti negara lain, kita mesti bertindak untuk mengukuhkan kewangan. Ini disebabkan pelaburan dan pinjaman bergantung kepada satu perkara: keyakinan. Mereka yang melabur di Malaysia, atau membeli bon kita, sudah pasti mempunyai keyakinan bahawa Malaysia adalah negara yang mampu membayar hutangnya.

Ini menunjukkan bahawa kita boleh membuat keputusan yang sukar dan perlu untuk menurunkan hutang dan perbelanjaan, dan menambah pendapatan. Sebab itu pada September tahun lepas, kerajaan mengumumkan langkah lanjut untuk menyusun semula program subsidi, dan memperkenal GST - bukan serentak, tetapi program berperingkat-peringkat, bagi mengukuhkan kewangan negara.

GST pada 6% cukai ke atas barang dan perkhidmatan berbanding tanggapan sesetengah pihak, akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, dan bukan menambah kadarnya.

Banyak barang dan perkhidmatan akan dimasukkan dalam GST, namun banyak yang akan dikecualikan termasuk makanan asas seperti beras, tepung, dan minyak dan perkhidmatan penting seperti bekalan air di rumah dan pengangkutan awam. Daripada 193 negara di dunia, 160 melaksanakan GST. Kita memerlukan cukai baharu yang lebih adil ini memandangkan hanya 1 dalam 10 rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan.

Jika ekonomi kita hendak terus berkembang kukuh, kita perlu bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif, malah juga untuk mempelbagaikan aliran pendapatan, membolehkan kita untuk melabur untuk masa depan. GST akan membolehkan kita meningkatkan perbelanjaan pembangunan. Daripada membayar untuk subsidi, kita boleh menggunakan lebih banyak wang untuk pelaburan yang produktif - ke atas infrastruktur, sekolah, dan penjagaan kesihatan

Saya tidak memandang ringan ketika mengambil keputusan untuk mengurangkan subsidi atau untuk memperkenal GST. Saya berfikir panjang dan mendalam tentang risiko, dan kesan yang mungkin timbul kepada rakyat. Namun saya memutuskan bahawa kerajaan perlu bertindak: untuk menjamin keselamatan masa depan, kebebasan dan pertumbuhan negara.

Malaysia sedang melakukan perjalanan. Destinasinya jelas: status negara berpendapatan tinggi. Sama seperti mana-mana perjalanan, mungkin ada beberapa halangan di sepanjang jalan. Kita mungkin perlu menyesuaikan laluan bagi mengelak halangan. Namun destinasi kita tidak berubah.

Apabila Kabinet meluluskan pembaharuan subsidi, kita melakukannya hasil cadangan kukuh daripada Perbendaharaan, Bank Negara, dan Unit Perancang Ekonomi. Kita melakukannya dengan mata tertumpu kepada destinasi akhir.

Mentadbir adalah tindakan untuk membuat keputusan yang betul untuk esok, dan bukan hanya untuk hari ini. Kegagalan untuk bertindak sekarang adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Sebagai ahli politik, memang mudah untuk menabur janji manis, menawarkan apa sahaja yang dikehendaki rakyat, dan menangani akibatnya kemudian. Namun kepimpinan adalah untuk membuat apa yang betul, dan bukan apa yang mudah. Jika kita silap membuat keputusan sekarang, pembangunan akan terjejas. Saya bersedia meletakkan kepentingan jangka panjang negara mengatasi populariti jangka pendek saya. Dan saya yakin pembaharuan ini akan berjaya. Rekod ekonomi kita membuktikannya.

Dalam tahun-tahun sukar, kerajaan mengekalkan ekonomi kita dalam keadaan selamat dan kukuh. Apabila saya mengambil alih jawatan, dunia sedang menghadapi krisis kewangan yang sukar. Banyak negara di ambang bencana. Namun ekonomi negara terus berkembang. Sejak 2009, KDNK kita berkembang pada kadar purata 5.7% setiap tahun, dan pendapatan isi rumah 24% lebih tinggi.

Pembaharuan subsidi terkini disambut baik oleh pelabur dan agensi penarafan. Defisit bajet kita turun: ia kini pada 3.9%, lebih rendah daripada sasaran kita sendiri. Kita dalam perjalanan ke arah bajet seimbang pada 2020. Dan walau apa pun yang diperkatakan oleh penganalisis politik, ekonomi Malaysia terus berkembang.

KDNK meningkat 5.1% pada suku yang lepas - lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Jualan runcit, pembinaan, perdagangan dan eksport semakin meningkat. Tahun lepas menyaksikan dagangan mencatat rekod, tertinggi dalam sejarah, begitu juga dalam pelaburan asing, yang mengembangkan perniagaan Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana yang memberi pekerjaan kepada berjuta-juta rakyat Malaysia.

Pertumbuhan dan pelaburan ini menambah bilangan pekerjaan dan peluang baharu. Selain angka yang tinggi, kehidupan isi rumah Malaysia juga bertambah baik, gaji purata terus meningkat: gaji tahun lepas meningkat secara purata sebanyak 6%, lebih tinggi daripada inflasi pada 2.1%.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, keadaan kini semakin baik. Namun saya tahu bahawa ia tidak begitu. Saya memahami bahawa pertumbuhan KDNK dan aliran ekonomi nampak tidak relevan ketika isi rumah cuba untuk meneruskan kehidupan. Jadi biar saya jelaskan apa yang sedang kita lakukan untuk membantu.

Pertama, kerajaan akan terus membantu rakyat Malaysia menangani kos sara hidup. Tahun ini, kerajaan akan membelanjakan lebih RM40 bilion untuk subsidi makanan, bahan api dan pendidikan, dan sokongan untuk isi rumah berpendapatan rendah. Dengan beralih daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, kita akan memperoleh nilai yang lebih baik untuk wang.

Tahun ini, pembayaran BR1M mencecah 7 juta rakyat Malaysia, termasuk buat pertama kalinya mereka yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan. BR1M adil dan progresif - ia diberikan atas dasar keperluan sahaja, dan ia memenuhi matlamatnya: sejak pembayaran terakhir, pendapatan bulanan kira 17,000 rakyat meningkat, dan mereka telah keluar daripada golongan berpendapatan rendah.

Sepanjang lima tahun akan datang, kami akan meningkatkan BR1M kepada RM1,200 setahun, untuk membantu menampung kos hidup yang meningkat. Kerajaan menawarkan bantuan kewangan sehingga RM30,000 untuk membina rumah kos rendah baharu yang dibina menerusi skim Myhome, untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendiami rumah moden yang lebih selamat. Kerajaan membuka kedai-kedai 1Malaysia untuk membantu kos barangan asas, dan klinik 1Malaysia untuk menyediakan penjagaan kesihatan berpatutan. Kerajaan juga memperkenalkan gaji minimum, untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan menjamin standard asas hidup.

Kerajaan juga membantu isi rumah berpendapatan sederhana, menerusi pengurangan cukai 1%, dan pengecualian cukai RM2,000 bagi mereka yang berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan. Kami sedang berunding dengan majikan untuk memastikan mereka memain peranan. Pekerja Malaysia membawa pulang sekitar satu pertiga daripada KDNK sebagai gaji; dalam ekonomi maju, angkanya hampir kepada separuh. Rakyat dan kerajaan melabur untuk masa depan Malaysia -syarikat mesti turut serta membuat sumbangan dengan memastikan jurang gaji antara anggota lembaga pengarah eksekutif dan di pekerja kilang tidak berbangkit.

Berikutan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran tinggi, kita telah memulakan siri projek intensif untuk membantu graduan memulakan kerjaya mereka. Dalam jangka hayat mereka, siswazah akan memperoleh gaji lebih tinggi berbanding bukan siswazah, namun agak sukar untuk memadankan kemahiran dengan keperluan. Oleh itu kerajaan melaksanakan program seperti Skim Latihan 1Malaysia dan KATA 1 Malaysia, untuk meningkatkan kemahiran graduan dan mempersiapkan mereka untuk mula bekerja.

Kerajaan juga memberikan tumpuan ke arah menjadikan kerajaan lebih cekap. Ketua Setiausaha Negara bertindak atas Laporan Ketua Audit Negara 2012 : mengurangkan kos bekalan elektrik kerajaan sebanyak lima peratus, mengurangkan kos pengangkutan dan memotong bajet keraian menteri. Kecekapan kita secara keseluruhannya semakin meningkat menerusi program transformasi kerajaan.

Kerajaan juga meningkatkan usaha dalam memerangi rasuah. Rasuah sudah lama wujud dan memeranginya menjadi keutamaan saya. Jika kita mahu berjaya sebagai sebuah negara dalam usaha ini, kita mesti bekerjasama merentas jurang politik untuk menjadikan rasuah tidak diterima masyarakat. Dalam kerajaan, sebagai contoh, perolehan kini kebanyakannya melalui tender terbuka, dengan beberapa rundingan terus. Rasuah perlu ditangani di semua peringkat - bukan sahaja ikan besar, malah rasuah peringkat rendah yang menjejaskan kehidupan seharian rakyat.

Ada yang mengatakan jika kita dapat menghapuskan rasuah semalaman kita tidak memerlukan pembaharuan subsidi atau GST. Namun kita mesti jujur. Kita tidak boleh memetik jari dan rasuah lenyap dalam sehari, sebulan atau setahun. Oleh itu kita mesti menangani rasuah, menyusun semula subsidi dan memperkenal GST untuk menjadikan bajet simbang.

Hong Kong sebagai contoh, pada 1970-an, dibelenggu rasuah; hari ini ia adalah antara bandar raya di dunia yang tahap rasuahnya paling rendah. Namun kejayaan ini mengambil tempoh berdekad lamanya. Ya. kita mesti menangani rasuah, kita mesti menyusun semula kewangan.

Kerajaan juga terus menangani kenaikan harga. Langkah yang kita ambil sudah membuahkan hasil. Kita memberi tumpuan ke atas paparan untuk memastikan tidak berlaku kenaikan harga. Jika mendapati harga meningkat lebih tinggi daripada sepatutnya kerajaan tidak teragak-agak untuk campurtangan dan melindungi pengguna. Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan terus melindungi proses persaingan untuk manfaat perniagaan, pengguna dan ekonomi.

Kerajaan juga menyediakan tenaga kerja untuk memacu industri baharu. Program transformasi kerajaan bukan sekadar angka; ia membabitkan usaha untuk mewujudkan pekerjaan baharu, dan menyiapkan rakyat Malaysia untuk merebut peluang baharu yang muncul. Enam tahun lepas, ramai yang bekerja di ladang dan 30 tahun lepas di kilang. Hari ini ramai yang bekerja di pejabat. Kita mesti bersedia untuk anjakan berikutnya. Pekerjaan untuk masa depan - pekerjaan untuk anak-anak kita - pelaburan dan kemahiran baharu.

Contohi kisah Kabilah Hussein, petani rumput laut di Sabah. Beberapa tahun lepas, beliau berhempas-pulas mencari wang untuk kelangsungan hidup. Namun selepas mengiklankan perniagaannya dalam talian, beliau kini memberi pekerjaan kepada hampir separuh penduduk kampung dan menjual produk ke seluruh dunia. Saya mahu lebih ramai Kabilah yang mampu meraih manfaat peluang baharu. Inilah sebenarnya yang diharapkan menerusi program transformasi ekonomi.

Saya tahu rakyat bimbang tentang kenaikan harga. Kerajaan selalu berkata bahawa harga akan meningkat apabila pembaharuan subsidi berkuat kuasa. Sebabnya perlu diketahui. Jika hutang dan defisit kita terus meningkat dan dibiarkan, ekonomi Malaysia akan menghadapi risiko, menjejaskan kehidupan dan pendapatan berjuta orang. Kerajaan bertindak kerana jika tidak, ia merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Sejak Merdeka, kita telah mencapai kejayaan besar. Namun kita tidak boleh selesa dan mengambil mudah kejayaan. Ekonomi boleh berubah semalaman; kita mesti bersedia. Kita mesti berjimat hari ini, supaya kita lebih kuat esok. Kita perlu berbuat demikian berdasarkan terma kita sendiri. Seperti pepatah: sediakan Payung sebelum Hujan.

Pembaharuan subsidi adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang dalam memastikan ekonomi yang lebih adil, kukuh dan lebih stabil. Ini bermakna rakyat akan terus melabur dalam perniagaan Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini. Ini bermakna pembangunan luar biasa Malaysia akan diteruskan, dengan lebih banyak peluang untuk anak-anak kita serta taraf hidup yang lebih baik untuk semua dan perancangan itu berjalan lancar.

Kerajaan memahami kebimbangan rakyat, dan kerajaan akan membuat penyesuaian dasar apabila perlu. Sama seperti memandu di lebuh raya, jika ada trafik di hadapan, anda menukar gear dan berubah laluan; namun destinasi kita tetap sama.

Destinasi kita tidak berubah. Kita semakin hampir merealisasikan status negara maju. Jika kita ada komitmen bersama-sama, untuk membangunkan ekonomi yang kukuh untuk Malaysia, ganjarannya hebat. Dengan beralih kepada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar, kita membantu negara untuk kekal pada kedudukan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Dengan memastikan kewangan terkawal, kita melabur untuk masa depan - keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

KEDUDUKAN ekonomi Malaysia yang kukuh sekarang , bukanlah suatu perkara yang berlaku secara kebetulan. Pencapaian memberangsangkan itu bertitik tolak daripada komitmen dan perancangan rapi kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berlaku secara mapan.

Salah satu perkara yang menyokong kedudukan itu, ketika kebanyakan ekonomi negara lain lemah, ialah pendirian tegas yang diambil oleh pucuk pimpinan. Pendirian itu meletakkan kepentingan agenda ekonomi negara dalam jangka panjang mengatasi perkara lain termasuklah kepentingan politik. Tidak sia-sia apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk menjaga kepentingan jangka panjang negara, mengatasi populariti jangka pendek beliau.

Beliau telah melakukan apa yang perlu dilakukan. Rekod ekonomi negara adalah bukti nyata. Langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi defisit fiskal sebenarnya berada dalam haluan yang betul. Merasionalisasikan subsidi dengan memberi tumpuan kepada subsidi bersasar memberi impak baik kepada program pengukuhan ekonomi serta memberi manfaat langsung kepada golongan sasar, walaupun pada masa sama memberi kesan politik atau kos kepada beliau.

Namun, apa yang jelas langkah-langkah yang diambil termasuk dalam memastikan keberkesanan rangkaian keselamatan sosial, akhirnya akan meyakinkan rakyat terhadap usaha kerajaan yang bergerak ke arah merealisasikan status negara berpendapatan tinggi dan negara maju.

Sudah sampai masanya media massa termasuk media sosial memainkan peranan positif kerana pembentukan pendapat umum yang tepat terhadap agenda pembangunan negara, juga amat mustahak.

AWANG - Yakin.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kami hampir berpisah kerana zuriat

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Normala Hamzah

BERTEMU, berkahwin dan memperoleh zuriat dan berusaha membesarkan keluarga sendiri menjadi impian setiap pasangan suami isteri.

Penceraian antara suami isteri juga ada kalanya disebabkan zuriat kerana tanpa zuriat kemungkinan pasangan suami isteri tidak menikmati bahagia.

Pun begitu manusia mampu merencanakan apa sahaja keinginan namun semuanya ketentuan Allah. Pelbagai kaedah mendapatkan anak terdapat dalam pasaran namun Allah jua jadi penentu.

Mungkin ada hikmah tertentu yang kita tidak tahu. Hanya doa dipanjatkan agar impian akan menjadi kenyataan. Begitu harapan pasangan suami isteri, Faizal (bukan nama sebenar) dan Mira (bukan nama sebenar) yang telah berusaha tetapi belum lagi dikurniakan zuriat walaupun sudah enam tahun melayari alam rumah tangga.

Malah pasangan ini hampir bercerai kerana sering bergaduh dan menjadi mangsa cemuhan keluarga kerana dikatakan mandul.

Ingin tahu kisah selanjutnya, kita ikuti cerita Mira kepada saya.

"Saya berusia lewat 30-an dan isteri awal 30-an. Kami sudah enam tahun lebih bernikah tetapi belum dikurniakan anak. Tapi kami tidak ambil kisah, walaupun sering disindir jiran dan saudara mara.

"Satu hari, seorang jiran datang ke rumah dan meminta saya menjaga anaknya yang kami panggil Mia. Bagai pucuk di cita, ulam yang datang saya menerimanya dengan hati terbuka. Gembira sangat saya dengan pelawaannya itu.

"Saya menerima upah yang berpatutan untuk menjaga Mia, sementara suami memberi sokongan penuh. Untuk seketika kami terlupa yang kami tidak ada anak dan pernah bercadang untuk berpisah.

"Keletah dan manjanya Mia membuatkan kami suami isteri menyayanginya seperti anak sendiri. Mungkin juga anugerah daripada Allah untuk menyelamatkan rumah tangga kami.

"Hampir tiga tahun kami mengasuh Mia, seperti kami menjaga anak sendiri. Setiap hari dia datang ke rumah, kami selalu juga bawa dia berjalan-jalan.

"Malah setiap kali Mia diambil oleh ibu bapanya selepas waktu kerja, saya menjadi sunyi dan sedih. Tidak sabar menunggu siang untuk bermain dengan dia semula. Begitulah hari-hari yang saya lalui. Faizal juga selalu pulang awal kerana mahu bermain dengan Mia berbanding sebelum ini dia selalu pulang lewat malam.

"Ketika sayang kami kepada Mia semakin mendalam, kami dikejutkan dengan berita yang bapanya ditukarkan kerja ke utara tanah air. Sedihnya hati saya Allah sahaja yang tahu. Ini bermakna kami akan berpisah dengan Mia..

"Mia akan dibawa oleh ibu bapanya berpindah, Ya Allah, kami akan kehilangan Mia dan merinduinya. Apa pun kami reda. Sebagai lambang kasih sayang kepada si kecil kami telah menghadiahkan seutas rantai emas.

"Saat berpisah tiba. Terasa seperti anak sendiri diambil orang dan dibawa jauh daripada pandangan mata. Peluk cium tidak usah cerita sehinggakan saya menangis berhari-hari kerana merinduinya.

"Setelah ketiadaan Mia kami mula bertelingkah lagi tentang anak. Cerita lama kembali diungkit. Seperti biasa saya kembali menjadi seorang yang pendiam sambil tidak putus berdoa agar Allah kurnia kepada kami zuriat, cukuplah walau seorang.

"Suami ada mencadangkan kami ambil anak angkat tetapi saya tidak setuju kerana saya yakin boleh melahirkan anak sendiri. Lalu suami memberi idea supaya saya mengasuh anak orang untuk menghilangkan kesunyian dan boleh menambah pendapatan kami.

"Syukur kerana ada jiran yang mahu saya menjaga dua orang anaknya, dapatlah rezeki saya. Seperti anak jiran sebelum ini, kami mencurahkan sepenuh perhatian kepada anak-anak yang saya jaga walaupun ada ketika upah yang diberikan tidak seperti yang dijanjikan. Tapi saya reda kerana saya tahu rezeki kami ada pada budak-budak ini.

"Kami menjaga mereka seperti anak sendiri. Apa keperluan yang kurang kami akan beli tanpa menunggu ibu bapa mereka membelinya. Malah saya dan suami tidak berkira langsung tentang bayaran dan penat menjaga mereka.

"Satu hari saya merasa kelainan pada kesihatan saya. Tekak terasa loya dan semua makanan tidak dapat saya jamah. Saya teringat satu rencana yang pernah saya baca tentang ibu mengandung.

"Saya tersenyum...mengira kitaran haid saya yakin, saya telah dua kali tidak datang haid. Tanpa memberitahu Faizal saya ke klinik untuk menjalani pemeriksaan. Saya nak buat kejutan untuk dia.

"Alhamdulillah saya disahkan mengandung dua bulan. Gembiranya hati bukan kepalang. Allah telah mendengar doa kami. Saya rahsiakan dahulu daripada Faizal berita gembira ini. Pada masa yang sama saya mula membeli keperluan bayi setiap kali keluar membeli barang untuk anak-anak asuhan saya.

"Sikap saya menghairankan Faizal. Dia bertanya kepada saya kenapa membeli barangan keperluan bayi. Saya tersenyum dan berkata, ia untuk bayi istimewa yang akan datang tidak lama lagi.

"Ada nak ambil anak asuhan lagi kah? Tanya Faizal. Saya tersenyum dan menggelengkan kepala. Anak kita bang. Saya sudah hamil dua bulan. Tergamam Faizal dan terus memeluk saya dengan linangan air mata. Kemudian kami bersama-sama solat sujud syukur.

"Enam tahun menunggu akhirnya impian menjadi kenyataan, itulah berkat kesabaran kami menghadapi ujian. Kami sangat bersyukur dengan anugerah ini. Begitulah Allah menguji hambaNya, jika kita reda dan bersabar, akan ada ganjarannya.

"Kini anak saya telah meningkat usia tiga tahun dan kami masih lagi menjaga anak-anak jiran yang memerlukan khidmat saya. Malah saya tidak membezakan antara anak asuh dengan anak sendiri kerana saya sayang mereka semua.

"Bagi saya, zuriat saya Allah bagi kerana saya menjaga dan mencurahkan kasih sayang kepada budak-budak asuhan saya terlebih dahulu. Mereka juga sebahagian daripada kebahagiaan kami suami isteri.

"Semoga anak kami yang ditunggu enam tahun ini apabila besar menjadi insan berguna kepada agama dan masyarakat dan keluarga. Moga dia membesar sebagai anak solehah dan rumah tangga kami kekal hingga ke akhir hayat, Mira menamatkan ceritanya.

Syukur Alhamdulillah dengan nikmat yang Allah berikan kepada Faizal dan Mira. Sesungguhnya Allah maha mendengar doa hambaNya. Saya juga gembira dengan apa yang Mira alami.

Kita pernah mendengar ada pasangan yang bertahun-tahun tidak dikurniakan zuriat tetapi mengandung setelah mengambil anak angkat. Semuanya kerana Allah asalkan kita mahu berusaha dan berdoa memohon kepadaNya.

Mudah-mudahan Mira sentiasa di dalam perlindungan Allah dan anaknya membesar sebagai anak soleh dan solehah. Anak penyeri rumah tangga dan harta yang perlu dijaga dengan baik-baik mungkin agar mereka menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Menamatkan catatan, sepatah kata daripada saya untuk iktibar bersama, sesungguhnya nikmat besar yang harus dijaga adalah ketika kebaikan itu memenuhi jiwa dan membahagiakan hati dengan rahmat petunjukNya jua!

Salam.

Ukiran mangkuk kulit telur

Posted: 06 Mar 2014 10:07 PM PST

Oleh Siti Aishah Yusoff
Gambar Fauzi Baharuddin

Siti Nazilah Mohd.Yusoff (kanan) menunjukkan produk kraf daripada kulit telur di Khalis Deco Enterprise.

Ramai yang pasti sukar membayangkan kulit telur yang nipis dan rapuh, boleh diukir untuk dijadikan hiasan kraf yang cantik dan unik.

Kulit telur yang telah diproses diukir penuh kreatif pada bahagian permukaannya untuk dijadikan mangkuk hiasan bagi menyerikan meja kopi, atas almari rendah, dalam almari kaca atau untuk hiasan dinding.

Gabungan pelbagai warna dengan setiap satu mempunyai ukiran dan corak berbeza kerana diukir menggunakan tangan, membuatkan kraf ini cukup istimewa.

Pembuat kraf dari Khalis Deco Enterprise, Siti Nazilah Mohd. Yusoff berkata, mangkuk yang dihasilkan daripada bancuhan simen itu menggunakan teknik tampalan kulit telur sebagai bahan utama.

Motif abstrak kulit telur dilakukan pada bahagian hujung, depan atau tengah permukaan mangkuk bersesuaian dengan saiz dan rekaannya.

Tambahnya, selain boleh dijadikan hiasan untuk meja ruang makan dan hiasan meja ruang tamu, ia juga boleh dipelbagaikan untuk hiasan bilik tidur dan tempat untuk meletakkan wangian potpuri.

Mangkuk yang berbentuk bulat dan sederhana bujur sesuai untuk dijadikan tempat hiasan wangian potpuri dan hiasan berbentuk kecil.

"Mangkuk yang bersaiz lebih besar sesuai diletakkan di atas meja begitu sahaja mahupun menggantungnya pada dinding.

"Ia juga sesuai untuk diletakkan di bahagian meja sudut mahupun meja utama ruang dalam kediaman," katanya.

Tambahnya, selain untuk hiasan rumah, mangkuk kulit telur juga boleh dijadikan hadiah mahupun cenderamata kepada pasangan yang baru berkahwin mahupun sambutan hari jadi.

Selain membuat hiasan mangkuk daripada kulit telur, Khalis Deco Enterprise turut menghasilkan hisan mengunakan kaca.

Berminat untuk mendapatkan mangkuk ini boleh layari khalisdeco @yahoo.com.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Masalah pengangkutan selesai

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Loga Bala Mohan (kiri) beramah mesra dengan penduduk yang menaiki bas pengantara di PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/MOHD NAJIB MOHD NOR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Seramai 713 daripada 1,625 penerima surat tawaran menyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil di sini diminta berpindah ke kediaman tersebut dengan segera.

Difahamkan, sebelum ini mereka enggan berpindah disebabkan sukar mendapat perkhidmatan pengangkutan bas awam di situ.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan berkata, masalah tersebut telah diatasi apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menyediakan kemudahan perkhidmatan bas pengantara sejak 24 Februari lalu di kawasan tersebut.

"Setakat ini, pihak DBKL memberi subsidi sebanyak dua buah bas NadiPutra untuk kemudahan para penduduk PPR tersebut. Jika permintaan daripada orang ramai meningkat, kita akan menambah jumlah bas tersebut.

"Dengan adanya kemudahan bas berkenaan, saya berharap seramai 713 penerima surat itu dapat berpindah dengan segera.

"Bas ini akan memberi manfaat kepada seramai 900 penghuni PPR sedia ada serta orang ramai untuk berulang-alik dari kawasan perumahan berkenaan ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil dan ke sekolah-sekolah berdekatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke PPR Pinggiran Bukit Jalil di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Parti Progresif Penduduk Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan dan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor.

Menurut Loga, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian tersebut dalam usaha memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat.

"Perkhidmatan bas itu akan beroperasi dari pukul 6.15 pagi hingga 10 malam setiap hari manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia beroperasi bermula pukul 7.15 pagi dengan kekerapan bas pada setiap jam," jelasnya.

Kadar tambang yang dikenakan adalah berpatutan iaitu RM1 untuk dewasa dan 50 sen bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, pelajar berpakaian seragam, orang kurang upaya dan warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Bagaimanapun, kemudahan itu hanya boleh digunakan oleh warganegara Malaysia.

Tabung Haji bantu 3 keluarga miliki rumah

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Rozian Mohd. Ali di hadapan kediaman baharunya yang diterima menerusi Projek Baiti Tabung Haji di Kampung Kerdas 2, Gombak, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Mac - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menerusi Projek Baiti hari ini menyerahkan sebanyak tiga unit rumah bernilai RM132,500 kepada tiga keluarga dari Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Seri Kamarudin Mat Ali berkata, projek yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Baitulmal Wilayah Persekutuan itu telah berjaya menyiapkan dua rumah baharu manakala sebuah lagi dibaik pulih.

Jelasnya, Projek Baiti merupakan program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan pada setiap tahun bagi membantu golongan kurang berkemampuan, sejajar dengan visinya iaitu 'Tonggak Kejayaan Ekonomi Ummah'.

"Program ini memperlihatkan keprihatinan Tabung Haji sebagai sebuah institusi Islam ikonik negara dalam melestarikan ekonomi ummah, khususnya golongan asnaf.

"Selain itu, program ini juga sebagai platform bagi Tabung Haji dalam mendekati serta berkongsi pulangan yang dikecapi dengan golongan yang lebih memerlukan," katanya ketika ditemui dalam majlis Penyerahan Rumah Projek Baiti Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Tabung Haji Wilayah Persekutuan, Ros Azmir Badri dan Pengurus Bahagian Baitulmal Wilayah Persekutuan, Mohd. Nizam Yahya.

Mengulas lanjut, Kamarudin berharap sumbangan melalui projek tersebut dapat meningkatkan taraf sosioekonomi dan kehidupan golongan sasar kepada satu tahap kehidupan lebih baik.

"Pada tahun 2012 dan 2013, Tabung Haji memperuntukkan lebih RM3.35 juta bagi pembinaan 70 rumah baharu dan sebuah masjid serta membaik pulih 21 kediaman sedia ada di tujuh negeri, antaranya Selangor, Kelantan dan Perak," katanya.

Sementara itu, seorang penerima rumah, Rozian Mohd. Ali, 47, yang juga ibu tunggal tidak menyangka permohonannya untuk memiliki rumah sendiri diluluskan Tabung Haji.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana telah memberi rezeki dan berasa sangat gembira sebab sebelum ini, saya dan anak-anak hanya tinggal di rumah peninggalan keluarga.

"Proses permohonan saya juga berjalan dengan lancar. Cukup setahun saya sudah memiliki rumah sendiri melalui Projek Baiti," katanya yang mendapat rumah di Gombak.

Sambutan 50 tahun Kampung Melayu Ampang pada Jun ini

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Mac - Sambutan Jubli Emas bagi meraikan penubuhan ke-50 tahun Kampung Melayu Ampang, Selangor akan diadakan pada Jun ini.

Pengarah program sambutan tersebut, Azhary Ramly berkata, acara itu bertujuan mengumpulkan semula penduduk yang pernah tinggal di kampung Melayu tradisi itu.

"Saya harap melalui penganjuran program itu, penduduk dan mereka yang pernah menetap di kampung tersebut dapat dihimpunkan dalam suasana kekeluargaan.

"Secara tidak langsung, ia dapat menjalinkan hubungan erat antara mereka yang mungkin telah lama tidak berjumpa kerana ada yang telah berpindah ke kawasan lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Azhary, Kampung Melayu Ampang mempunyai sejarah istimewa kerana merupakan penempatan awal orang Melayu yang digazetkan pada April 1964.

Katanya, kampung tersebut telah menjadi pemangkin kepada pembukaan beberapa kawasan sekitar antaranya Kampung Seri Tanjung, Kampung Seri Melur, Kampung Melayu Tambahan, Taman Kosas dan Taman Datuk Ahmad Razali.

"Tidak ramai yang tahu bahawa Kampung Melayu Ampang yang asalnya merupakan kawasan lombong adalah kampung yang terletak hanya kira-kira 1.3 kilometer dari sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

"Ia menyimpan pelbagai kenangan dan sejarah awal mengenai penempatan orang Melayu di pinggir ibu kota," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Ampang.

Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan Jubli Emas itu boleh menghubungi Azhary menerusi 019-311 1413.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kapal Vietnam ulang kesalahan

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

Kapal MT Sunrise 689 yang ditahan kerana berlabuh di perairan negara tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, Pontian, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 6 Mac - Sebuah kapal Vietnam yang pernah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana berlabuh tanpa kebenaran dikesan melakukan kesalahan sama di perairan Tanjung Piai, Pontian, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Johor Bahru, Kapten Maritim Aminuddin Abd. Rashid berkata, kapal MT Sunrise 689 yang berdaftar di Hai Pong itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 6.4 kilometer dari Tenggara Pulau Kukup pada pukul 1.30 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kaptennya gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan negara ini selain berlabuh di luar batas pelabuhan sehingga boleh membahayakan keselamatan kapal-kapal lain.

Sehubungan itu katanya, 17 anak kapal warga Vietnam berusia antara 23 hingga 59 tahun dan tiga pegawai termasuk kaptennya telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

"Siasatan mendapati kapal tersebut sebelum ini pernah ditahan oleh Maritim Malaysia Daerah Tanjung Sedili di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi pada 14 September tahun lalu atas kesalahan sama.

"Ini menunjukkan mereka masih berdegil dan tidak mematuhi undang-undang negara ini. Justeru, kita akan mengambil tindakan lebih tegas," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Aminuddin berkata, pemilik kapal tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu bersauh tanpa kebenaran dari Pengarah Laut.

Tambahnya, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Bayi terselamat, 10 buah rumah dipukul ribut

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

LEE Kwang Siong menunjukkan bahagian siling dan bumbung rumah yang rosak diterbangkan ribut Tangkak, Ledang, kelmarin.

LEDANG 6 Mac - Seorang bayi lelaki berusia empat bulan terselamat daripada ditimpa kepingan siling rumah pengasuh yang runtuh akibat dipukul ribut kelmarin.

Dalam kejadian yang merosakkan 10 buah rumah di Lorong 2, Kampung Baru Tangkak 2, Tangkak, pukul 2.45 petang, bayi itu sedang tidur di dalam buaian.

Lim Yok Tan, 60, yang berjiran dengan ibu bapa bayi berkenaan berkata, dia kemudian dikejutkan dengan angin kencang yang mulanya disangka bunyi enjin daripada sebuah lori di pekarangan rumahnya.

"Tiba-tiba terdengar bunyi zink dan kepingan bumbung terangkat. Barulah saya tahu ribut sedang melanda kampung kami.

"Tidak lama selepas itu, beberapa keping siling runtuh berhampiran buaian," katanya yang memberitahu, semasa kejadian hanya dia dan bayi itu berada di dalam rumah ketika ditemui di sini semalam.

Yok Tan memberitahu, sebanyak 30 keping bumbung dan 10 keping siling rosak dan kerugian dialaminya kira-kira RM8,000.

Dia yang tinggal di kampung itu sejak 31 tahun lalu berkata, kejadian tersebut merupakan kali kedua dan terburuk di kawasan tersebut sejak 10 tahun lalu walaupun tiada kemalangan jiwa.

Seorang lagi mangsa, Lee Kwang Siong, 51, berkata, ketika kejadian, dia sedang bekerja dan hanya isterinya yang mahu dikenali sebagai Amy, 37, bersama anaknya Lee Sin Hui, 5, berada di rumah.

"Semasa meninjau ke belakang rumah, isteri saya terlihat angin seperti puting beliung lalu menerbangkan bumbung jiran rumah saya.

"Melihat keadaan tersebut isteri saya segera membawa dan memeluk anak kami keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya akan membantu mangsa terlibat selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Wanita pengusaha santan

Posted: 06 Mar 2014 10:07 PM PST

PROSES menimbang berat santan sebelum pengedaran dilakukan.

Ramai yang mengetahui pelbagai hasil boleh dimanfaatkan daripada kelapa. Ini termasuklah buah, batang, umbut, daun, sabut, tempurung dan sebagainya. Melihatkan kepelbagaian daripada buah kelapa menyebabkan Hazah Abu Zarin berani mempertaruhkan perniagaannya dalam bidang santan kelapa.

Siapa menyangka, pengusaha santan yang berusia 55 tahun dan berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, merupakan penyumbang terbesar bagi edaran santan di semua pelanggan tetapnya di restoran, kedai, pasar raya, kantin sekolah, gerai serta pengguna-pengguna sekitar Subang Jaya, Selangor.

Bukan itu sahaja, berbekalkan tekad dan semangat, Hazah, yang mengusahakan perniagaan santan sejak empat tahun lalu, kini melihat hasil yang memberangsangkan apatah lagi dengan pelbagai produk keluaran kilangnya yang berasaskan santan dan kelapa.

Pada mulanya, ibu kepada empat orang anak ini hanya menjual santan di persekitaran kejiranan di Subang Jaya.

Mendapati permintaan yang amat tinggi terhadap santan keluaran syarikatnya, Jayzaz Enterprise yang terletak di 25, Jalan USJ 1/6B, Taman Subang Mewah, dia memperbesarkan perniagaannya termasuk berpindah ke lokasi yang ada sekarang lengkap dengan mesin dan peralatan yang diperlukan untuk memproses santan.

Buat masa ini dia dibantu lapan pekerja termasuk menantunya, Shafri Abdul Karim, 29.

Dalam masa enam bulan ketika mula-mula berniaga, saya hanya mengedar santan kepada pengguna-pengguna di Subang Jaya. Pada waktu itu saya belum ada kilang. Bekerja pun di bawah khemah sahaja. Tidak selesa dan panas. Pekerja tidak ramai, saya dibantu anak-anak.

Seterusnya saya mempelbagaikan perniagaan berasaskan santan dan kelapa termasuk menjual kerisik, air kelapa, buah kelapa muda serta isinya, kelapa tua, minyak kelapa, minyak kelapa dara, dodol, wajid, jeli kelapa, kelapa parut, kelapa goreng, tempurung, sabut kelapa, juga cili giling dan bawang goreng," jelasnya yang turut mengusahakan perkhidmatan pembersihan dari rumah ke rumah.

Hazah memberitahu, dalam seminggu dia memerlukan lebih 10,000 biji kelapa yang akan dihantar oleh pembekalnya dari Seremban, dua hari sekali. Kelapa yang ada akan dikupas, dibersihkan sabutnya, kemudian diproses.

Katanya, pekerja-pekerjanya akan bekerja bergilir-gilir secara dua syif untuk 24 jam kerana selepas 10 malam santan akan mula diproses, diedarkan kepada restoran-restoran pada pukul empat pagi dan tamat pada pukul 6 pagi dengan kira-kira 400 kilogram santan diedarkan setiap hari.

Pada siang hari pula kilangnya akan menyediakan cili giling, dodol, jeli kelapa, kerisik, kelapa parut dan menyediakan pesanan yang ditempah pelanggan serta pengguna yang datang ke kilang berkenaan.

Hazah memberitahu, dia menyediakan tiga kategori santan untuk kegunaan pengguna, termasuklah santan asli (tiada campuran air), 80 peratus santan bersama campuran air 20 peratus atau 50 peratus santan bersama campuran 50 peratus air.

Pilihan ini dibuat bagi memudahkan restoran-restoran yang mahukan santan dalam kategori yang mana dengan harga yang berlainan," jelasnya yang memulakan perniagaan bermodalkan sendiri sebanyak RM80,000.

Dalam pada itu dia memberitahu, santan keluaran kilangnya akan mendapat permintaan yang berlipat ganda ketika musim-musim perayaan, bulan Ramadan, musim kenduri kendara dan sebagainya sehingga tidak menang tangan.

Bekas jururawat

Apabila ditanya bagaimana berminat dengan perniagaan seperti ini dia memberitahu, pada asalnya dia yang merupakan bekas jururawat terlatih di Pusat Perubatan Universiti Malaya ini mengalami kesukaran untuk mendapatkan santan di kawasannya dan kemudian timbul idea untuk membuka perniagaan santan.

Tambahan dia juga mahu mengedarkan santan keluaran orang Islam untuk digunakan oleh pengguna-pengguna Islam yang lain.

Banyak cabarannya jadi usahawan santan ini, selain berhadapan dengan kerja-kerja kasar, kita juga menghadapi kekurangan kelapa dalam pasaran selain persaingan daripada peniaga lain.

Masa tidur saya juga tidak menentu kerana kerja-kerja proses santan dan edaran perlu dilakukan di waktu malam sehingga ke pagi dan tiada masa bercuti lama kerana tempahan pelanggan sentiasa ada," katanya yang bakal membuka cawangan baharu pada hujung tahun ini di Damansara dan Seri Kembangan, Selangor.

Dalam pada itu Hazah, isteri kepada Jaafar Abdullah, 57, memberitahu, sebagai pengusaha santan kebersihan produk itu perlu diutamakan memandangkan santan berkait rapat dengan proses penyediaan lauk-pauk.

Sekiranya santan kita kotor dan tercemar pasti proses penyediaan lauk-pauk akan memudaratkan orang ramai yang memakannya," jelasnya yang boleh dihubungi di talian 010-257 3784. - ROSMAH DAIN

Usahawan kuih gigih

Posted: 06 Mar 2014 10:07 PM PST

Oleh Rosmah Dain
Gambar Rushdi Salleh

NATERAH Tamby Che bersama replika cek Skim Bantuan Geran Perniagaan Orang Kurang Upaya.

Naterah Tamby Che, 63, memang berminat dengan bidang masakan. Dia mengambil keputusan untuk bersara awal daripada bidang perbankan yang disertainya semata-mata untuk bersama anak-anak yang semakin membesar.

Daripada duduk sahaja di rumah, Naterah mula belajar memasak kuih-kuih Melayu, selepas itu dihantar ke surau untuk jemaah yang hadir.

Menggembirakan dirinya apabila kuih-muihnya mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada jiran-jiran.

Seterusnya, dia mendapat gerai jualan di pasar Ramadan pada 2001. Sambutan kuih-kuihnya terus hangat sehinggakan restoran-restoran dan hotel-hotel ternama menempah kuih-muih hasil tangan Naterah.

Malang menimpa, pada 2008 apabila Naterah diuji dengan serangan angin ahmar menyebabkan anggota sebelah kirinya tidak boleh digerakkan.

Agak lama dia terlantar sebelum berusaha memulihkan diri dan akhirnya mampu berjalan semula biarpun bertatih.

Seminggu juga saya terlantar di hospital. Kemudian saya balik dan seterusnya belajar berjalan menerusi sesi fisioterapi dan terapi-terapi yang dilakukan di Nasam (Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia), hospital dan berurut.

Alhamdulillah, biarpun agak lemah tapi kaki saya ini bolehlah berjalan semula biarpun tidak sempurna dan sakit setiap kali melangkah. Saya juga perlu berjalan dengan berhati-hati kerana saya mudah terjatuh," ujarnya yang mempunyai lima orang anak dan lima orang cucu ini.

Nekad, biarpun dengan keadaan dirinya yang kurang sempurna Naterah mengambil keputusan untuk berniaga kuih-muih Melayu, iaitu pekerjaan yang dia amat mahir melakukannya.

Bermula dari situ, dia cuba membuktikan anggapan bahawa apabila seseorang itu terlantar akibat angin ahmar, insan itu sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi adalah tidak benar.

Menggunakan hanya sebelah tangan dan dibantu oleh suami, Naterah memulakan perusahan menjual kuih-muih Melayu tradisional, makanan-makanan tradisional, kuih sejuk beku dan sebagainya termasuk mengusahakan katering.

Antaranya termasuklah 59 jenis kuih-muih Melayu seperti apam tepung beras, buah Melaka, agar-agar merah, cara berlauk, kuih bakar, kuih lapis, kole kacang, kuih lopes, bingka ubi dan sebagainya, juga lebih 20 jenis biskut-biskut raya dan aneka nasi, pulut serta mi.

Perniagaan kuih-muih yang dilakukan di rumahnya di Subang Jaya, Selangor itu ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang menggemari semua jenis kuih-muihnya dengan tempahan yang tidak menang tangan setiap minggu.

Saya berusaha sendiri. Kalau ada tempahan saya akan bangun seawal empat pagi untuk menyediakan kelengkapan kuih-muih yang ditempah. Mujurlah tangan kanan saya masih berfungsi.

Menggunakan tangan kanan saya akan menguli dan menyiapkan kuih-kuih berkenaan sehingga siap. Sekiranya tempahan banyak saya akan mengupah pembantu," jelasnya.

Naterah juga boleh menyediakan makanan sejuk beku lebih daripada 500 jenis kuih seminggu.

Baru-baru ini atas dasar inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Jabatan Tenaga Kerja Subang Jaya, telah memberi Naterah set kelengkapan membuat kuih termasuk mesin kelim karipap (dari Sirim), mesin penggaul tepung, dapur pembakar kuih, mesin pengopek ubi kentang dan sebagainya yang berjumlah lebih RM35,000 di bawah Skim Bantuan Geran Perniagaan Orang Kurang Upaya.

Seterusnya Naterah bercita-cita untuk memasarkan kuih-muih keluarannya ke luar negara termasuk Brunei dan Singapura.

Untuk itu dia sedang memikirkan apakah kaedah dan langkah yang sesuai termasuk promosi dan mengemas kini cara pembungkusan agar nampak lebih maju.

Selain itu dia juga turut menerima tempahan sate dan bakal membuka perniagaan sate sekiranya banyak tempahan kelak dan bagi kuih-muih, dia mampu membuat kuih sebanyak 30 loyang (berukuran 10cmx10cm) sekali mengikut tempahan.

Tempahan kuih-muih ini ikut musim, sekiranya cuti sekolah dan hari raya serta bulan Ramadan saya dapat permintaan yang amat banyak.

Saya juga mempelawa sekiranya sesiapa yang berminat untuk belajar masakan kuih-muih tradisonal untuk menghubungi saya.

Saya sebenarnya amat bersyukur dengan kemahiran yang dianugerahkan Tuhan yang saya dapat gunakan untuk diri saya sendiri. Namun apa yang penting, dengan sentiasa sibuk seperti ini saya dapat melupakan kesakitan saya.

Saya mahu buktikan tidak sempurna seperti saya biarpun pada asalnya saya sihat dahulu tidak mematahkan semangat saya untuk berusaha," katanya yang boleh dihubungi di talian 012-334 0122.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved