Jumaat, 7 Mac 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Masalah pengangkutan selesai

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Loga Bala Mohan (kiri) beramah mesra dengan penduduk yang menaiki bas pengantara di PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/MOHD NAJIB MOHD NOR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Seramai 713 daripada 1,625 penerima surat tawaran menyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil di sini diminta berpindah ke kediaman tersebut dengan segera.

Difahamkan, sebelum ini mereka enggan berpindah disebabkan sukar mendapat perkhidmatan pengangkutan bas awam di situ.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan berkata, masalah tersebut telah diatasi apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menyediakan kemudahan perkhidmatan bas pengantara sejak 24 Februari lalu di kawasan tersebut.

"Setakat ini, pihak DBKL memberi subsidi sebanyak dua buah bas NadiPutra untuk kemudahan para penduduk PPR tersebut. Jika permintaan daripada orang ramai meningkat, kita akan menambah jumlah bas tersebut.

"Dengan adanya kemudahan bas berkenaan, saya berharap seramai 713 penerima surat itu dapat berpindah dengan segera.

"Bas ini akan memberi manfaat kepada seramai 900 penghuni PPR sedia ada serta orang ramai untuk berulang-alik dari kawasan perumahan berkenaan ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil dan ke sekolah-sekolah berdekatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke PPR Pinggiran Bukit Jalil di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Parti Progresif Penduduk Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan dan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor.

Menurut Loga, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian tersebut dalam usaha memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat.

"Perkhidmatan bas itu akan beroperasi dari pukul 6.15 pagi hingga 10 malam setiap hari manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia beroperasi bermula pukul 7.15 pagi dengan kekerapan bas pada setiap jam," jelasnya.

Kadar tambang yang dikenakan adalah berpatutan iaitu RM1 untuk dewasa dan 50 sen bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, pelajar berpakaian seragam, orang kurang upaya dan warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Bagaimanapun, kemudahan itu hanya boleh digunakan oleh warganegara Malaysia.

Tabung Haji bantu 3 keluarga miliki rumah

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

Rozian Mohd. Ali di hadapan kediaman baharunya yang diterima menerusi Projek Baiti Tabung Haji di Kampung Kerdas 2, Gombak, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Mac - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menerusi Projek Baiti hari ini menyerahkan sebanyak tiga unit rumah bernilai RM132,500 kepada tiga keluarga dari Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Seri Kamarudin Mat Ali berkata, projek yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Baitulmal Wilayah Persekutuan itu telah berjaya menyiapkan dua rumah baharu manakala sebuah lagi dibaik pulih.

Jelasnya, Projek Baiti merupakan program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan pada setiap tahun bagi membantu golongan kurang berkemampuan, sejajar dengan visinya iaitu 'Tonggak Kejayaan Ekonomi Ummah'.

"Program ini memperlihatkan keprihatinan Tabung Haji sebagai sebuah institusi Islam ikonik negara dalam melestarikan ekonomi ummah, khususnya golongan asnaf.

"Selain itu, program ini juga sebagai platform bagi Tabung Haji dalam mendekati serta berkongsi pulangan yang dikecapi dengan golongan yang lebih memerlukan," katanya ketika ditemui dalam majlis Penyerahan Rumah Projek Baiti Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Tabung Haji Wilayah Persekutuan, Ros Azmir Badri dan Pengurus Bahagian Baitulmal Wilayah Persekutuan, Mohd. Nizam Yahya.

Mengulas lanjut, Kamarudin berharap sumbangan melalui projek tersebut dapat meningkatkan taraf sosioekonomi dan kehidupan golongan sasar kepada satu tahap kehidupan lebih baik.

"Pada tahun 2012 dan 2013, Tabung Haji memperuntukkan lebih RM3.35 juta bagi pembinaan 70 rumah baharu dan sebuah masjid serta membaik pulih 21 kediaman sedia ada di tujuh negeri, antaranya Selangor, Kelantan dan Perak," katanya.

Sementara itu, seorang penerima rumah, Rozian Mohd. Ali, 47, yang juga ibu tunggal tidak menyangka permohonannya untuk memiliki rumah sendiri diluluskan Tabung Haji.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana telah memberi rezeki dan berasa sangat gembira sebab sebelum ini, saya dan anak-anak hanya tinggal di rumah peninggalan keluarga.

"Proses permohonan saya juga berjalan dengan lancar. Cukup setahun saya sudah memiliki rumah sendiri melalui Projek Baiti," katanya yang mendapat rumah di Gombak.

Sambutan 50 tahun Kampung Melayu Ampang pada Jun ini

Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Mac - Sambutan Jubli Emas bagi meraikan penubuhan ke-50 tahun Kampung Melayu Ampang, Selangor akan diadakan pada Jun ini.

Pengarah program sambutan tersebut, Azhary Ramly berkata, acara itu bertujuan mengumpulkan semula penduduk yang pernah tinggal di kampung Melayu tradisi itu.

"Saya harap melalui penganjuran program itu, penduduk dan mereka yang pernah menetap di kampung tersebut dapat dihimpunkan dalam suasana kekeluargaan.

"Secara tidak langsung, ia dapat menjalinkan hubungan erat antara mereka yang mungkin telah lama tidak berjumpa kerana ada yang telah berpindah ke kawasan lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Azhary, Kampung Melayu Ampang mempunyai sejarah istimewa kerana merupakan penempatan awal orang Melayu yang digazetkan pada April 1964.

Katanya, kampung tersebut telah menjadi pemangkin kepada pembukaan beberapa kawasan sekitar antaranya Kampung Seri Tanjung, Kampung Seri Melur, Kampung Melayu Tambahan, Taman Kosas dan Taman Datuk Ahmad Razali.

"Tidak ramai yang tahu bahawa Kampung Melayu Ampang yang asalnya merupakan kawasan lombong adalah kampung yang terletak hanya kira-kira 1.3 kilometer dari sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

"Ia menyimpan pelbagai kenangan dan sejarah awal mengenai penempatan orang Melayu di pinggir ibu kota," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Ampang.

Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan Jubli Emas itu boleh menghubungi Azhary menerusi 019-311 1413.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved