Jumaat, 7 Mac 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kapal Vietnam ulang kesalahan

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

Kapal MT Sunrise 689 yang ditahan kerana berlabuh di perairan negara tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, Pontian, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 6 Mac - Sebuah kapal Vietnam yang pernah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana berlabuh tanpa kebenaran dikesan melakukan kesalahan sama di perairan Tanjung Piai, Pontian, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Johor Bahru, Kapten Maritim Aminuddin Abd. Rashid berkata, kapal MT Sunrise 689 yang berdaftar di Hai Pong itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 6.4 kilometer dari Tenggara Pulau Kukup pada pukul 1.30 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kaptennya gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan negara ini selain berlabuh di luar batas pelabuhan sehingga boleh membahayakan keselamatan kapal-kapal lain.

Sehubungan itu katanya, 17 anak kapal warga Vietnam berusia antara 23 hingga 59 tahun dan tiga pegawai termasuk kaptennya telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

"Siasatan mendapati kapal tersebut sebelum ini pernah ditahan oleh Maritim Malaysia Daerah Tanjung Sedili di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi pada 14 September tahun lalu atas kesalahan sama.

"Ini menunjukkan mereka masih berdegil dan tidak mematuhi undang-undang negara ini. Justeru, kita akan mengambil tindakan lebih tegas," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Aminuddin berkata, pemilik kapal tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu bersauh tanpa kebenaran dari Pengarah Laut.

Tambahnya, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Bayi terselamat, 10 buah rumah dipukul ribut

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

LEE Kwang Siong menunjukkan bahagian siling dan bumbung rumah yang rosak diterbangkan ribut Tangkak, Ledang, kelmarin.

LEDANG 6 Mac - Seorang bayi lelaki berusia empat bulan terselamat daripada ditimpa kepingan siling rumah pengasuh yang runtuh akibat dipukul ribut kelmarin.

Dalam kejadian yang merosakkan 10 buah rumah di Lorong 2, Kampung Baru Tangkak 2, Tangkak, pukul 2.45 petang, bayi itu sedang tidur di dalam buaian.

Lim Yok Tan, 60, yang berjiran dengan ibu bapa bayi berkenaan berkata, dia kemudian dikejutkan dengan angin kencang yang mulanya disangka bunyi enjin daripada sebuah lori di pekarangan rumahnya.

"Tiba-tiba terdengar bunyi zink dan kepingan bumbung terangkat. Barulah saya tahu ribut sedang melanda kampung kami.

"Tidak lama selepas itu, beberapa keping siling runtuh berhampiran buaian," katanya yang memberitahu, semasa kejadian hanya dia dan bayi itu berada di dalam rumah ketika ditemui di sini semalam.

Yok Tan memberitahu, sebanyak 30 keping bumbung dan 10 keping siling rosak dan kerugian dialaminya kira-kira RM8,000.

Dia yang tinggal di kampung itu sejak 31 tahun lalu berkata, kejadian tersebut merupakan kali kedua dan terburuk di kawasan tersebut sejak 10 tahun lalu walaupun tiada kemalangan jiwa.

Seorang lagi mangsa, Lee Kwang Siong, 51, berkata, ketika kejadian, dia sedang bekerja dan hanya isterinya yang mahu dikenali sebagai Amy, 37, bersama anaknya Lee Sin Hui, 5, berada di rumah.

"Semasa meninjau ke belakang rumah, isteri saya terlihat angin seperti puting beliung lalu menerbangkan bumbung jiran rumah saya.

"Melihat keadaan tersebut isteri saya segera membawa dan memeluk anak kami keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya akan membantu mangsa terlibat selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved