Isnin, 31 Oktober 2011

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Remaja kita juara dunia

Posted:

Remaja kita juara dunia

Remaja kita juara dunia

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my


Zulfadli yang bernaung di bawah KLRC bangkit daripada kekalahan set pembukaan untuk menghadiahkan mata pertama negara menewaskan Lee Hong-Je 17-21, 21-11, 21-14 di Taipei, semalam.


KUALA LUMPUR - Skuad badminton remaja negara mencipta sejarah apabila buat kali pertama menjuarai acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Taipei, semalam.

Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan utama di sebalik ketiadaan juara tujuh kali, China, menepati ramalan menewaskan juara 2006 Korea Selatan 3-0 untuk menjulang kejuaraan tersebut pada cubaan kesembilan.

Meskipun Kejohanan Remaja Dunia dimulakan pada 1992, acara berpasukan campuran hanya diperkenalkan pada 2000 dan diadakan secara dwitahunan sehingga 2006 sebelum ia bertukar kepada acara tahunan mulai 2007.

Kecuali edisi 2000 dan 2007, Malaysia tidak pernah gagal menaiki podium, malah sekali muncul naib juara pada 2009 di Alor Setar apabila ketika itu tumbang 0-3 pada perlawanan akhir kepada China.

Di Taipei semalam, Malaysia tidak mensia-siakan ketidakhadiran China untuk menebus kekecewaan dua tahun lalu dan misi tersebut disempurnakan oleh penyandang juara perseorangan lelaki remaja Asia, Zulfadli Zulkifli, Sonia Cheah Su Ya dan Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi dalam acara masing-masing.

Bintang muda kian meningkat, Zulfadli yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), bangkit dari kekalahan set pembukaan untuk menghadiahkan mata pertama untuk kem negara dengan menewaskan Lee Hong-Je 17-21, 21-11, 21-14.

Korea Selatan menjangkakan mata akan hadir daripada barisan wanitanya tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, Sonia meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa menerusi kemenangan 25-23, 21-12 ke atas Kim Hyo Min, pemain yang secara mengejutnya dipertaruhkan Korea Selatan dalam final walaupun tidak beraksi di peringkat kumpulan dan separuh akhir.

Set pertama berlangsung sengit menyaksikan Sonia dan Hyo Min terikat 22-22 dengan pemain kita itu tiga kali menyelamatkan mata akhir sebelum memenangi set getir itu.

Sonia meningkatkan permainan pada set berikutnya apabila menang mudah 21-12, sekali gus memastikan Malaysia memperoleh mata kedua menerusi acara perseorangan wanita itu.

Gandingan Nelson-Ee Yi, walaupun tercicir set pertama, nyata tidak mengecewakan apabila muncul hero menghadiahkan mata kemenangan dengan membenam cabaran Choi Sol Kyu-Jun Bong Chan 16-21, 21-18, 21-12.

Diharapkan kejayaan menjulang gelaran berpasukan akan menyuntik semangat Zulfadli dan rakan-rakan dalam acara individu yang akan membuka tirai hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Irfan tekad buru cabaran baru

Posted:

Irfan tekad buru cabaran baru

Irfan tekad buru cabaran baru

Oleh Iswan Shafiq Mat Isa
sukan@utusan.com.my


Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU - Setelah dua musim bersama Terengganu dan membantu memberi nafas baru kepada bola sepak negeri, jurulatihnya, Irfan Bakti mengambil keputusan untuk berundur semalam.

Irfan yang kontraknya berakhir 30 November ini belum memutuskan pasukan yang akan dibimbingnya tetapi spekulasi mengaitkannya dengan Selangor.

Menurut Irfan, ke mana hala tujunya nanti akan diputuskan dalam sehari dua lagi.

Biarpun ia saat menyedihkan baginya, Irfan menyifatkan sudah sampai masanya dia meninggalkan pasukan itu untuk mencari cabaran baru walaupun mengejutkan para penyokong.

''Setelah mencapai persetujuan antara saya dan pengurusan, jadi saya mengundur diri, tidak lagi menyambung kontrak saya yang akan berakhir 30 November ini dan persefahaman ini adalah yang terbaik bagi saya dan pengurusan," ujarnya.

Beliau dalam nada terharu berterima kasih kepada pengurusan yang dianggap telah berbakti kepadanya dan juga kepada pemain-pemain bersama sokongan padu peminat, yang mana hasilnya tahun ini sebagai tahun terbaik untuk Terengganu.

Irfan menegaskan, langkahnya mengundur diri tiada kaitan dengan kegagalan menjulang Piala Malaysia dan juga soal pengurusan serta ganjaran.

''Kontrak saya habis 31 November. Jadi dengan cara baik saya meninggalkan pasukan itu sahaja. cukuplah dua tahun saya di sini dan saya akan cuba cari pasukan baru kerana saya sukakan cabaran," ujarnya.

Menurut Irfan, beliau meninggalkan Terengganu dengan rasa bangga kerana membantu mencapai naib juara Piala Malaysia, naib juara Liga dan juara Piala FA.

Katanya, tugas jurulatih baru bagi Terengganu akan menjadi lebih mudah dengan barisan pemain yang boleh terus digilap untuk kekal sebagai pasukan gergasi bola sepak negara.

''Pemain-pemain sudah disusun di situ. Hanya perlu sikit 'touch-up' saja. Tambahan pula pemain import akan datang. Pemain-pemain yang ada bersifat profesional dan saya berbangga memiliki kelompok pemain sebegitu," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Itu program maksiat – Shahril Azman

Posted:

Itu program maksiat – Shahril Azman

Itu program maksiat – Shahril Azman

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 31 Okt. - Dewan Pemuda Pas Pahang mempertahankan pendirian membantah konsert Greatest Hits Tour melibatkan penyanyi gay Elton John di Arena of Stars, Genting Highlands, 22 November depan.

Ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz berkata, Pas hanya melontar pandangan kerana konsert itu bukan sahaja tidak sesuai dengan budaya negara ini malah boleh disifatkan sebagai program maksiat.

"Nabi Muhammad SAW ada menyebut sesiapa yang melihat kemungkaran perlu mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu dengan tangan, ubah dengan lidah dan jika tidak mampu dengan lidah, ubah dengan hati.

"Ubah dengan hati ini bermakna membenci dan dalam konteks konsert tersebut kita (Pas) anggap ia program maksiat dan untuk apa kita hendak sokong program yang membawa konsep maksiat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ekoran kenyataannya membantah penganjuran konsert Elton John, 64, di Genting Highlands itu, Shahril Azman dikritik pelbagai pihak, termasuk oleh beberapa laman blog.

Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ketika mengulas bantahan itu turut menasihatkan Pas supaya 'jangan tiru Taliban' sebaliknya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.

Mengulas lanjut, Shahril Azman berkata, sebagai parti dakwah, Pas akan berusaha untuk menyelamatkan umat Islam daripada terjerumus ke arah melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina.

Membenarkan konsert tersebut bukan sahaja mendorong berlakunya perkara yang boleh menyebabkan zina, malah katanya, ia seolah-oleh menggambarkan Malaysia membenarkan budaya songsang di negara ini.

"Kita (Pas) tidak kata Malaysia akan jadi seperti Britain yang mengiktiraf perkahwinan sejenis, tetapi membenarkan konsert itu seolah-olah kita mengiktiraf golongan sedemikian yang sememangnya dilaknat oleh Allah SWT," katanya.

Beliau berkata, budaya hedonisme atau berhibur secara berlebihan dan melampau kian menular dan merebak umpama racun berbisa yang semakin menyerang remaja Islam.

"Budaya inilah yang lazimnya membawa kepada kerosakan sebuah masyarakat seperti pergaulan bebas, gejala arak, berzina, anak luar nikah dan melekakan mereka terhadap tanggungjawab beragama selama ini," katanya.

Mengulas mengenai kritikan ke atasnya, Shahril Azman berkata, dalam menyatakan kebenaran, itulah risiko yang perlu ditanggung.

"Malah dalam menyatakan kebenaran, Rasulullah sendiri pun dikatakan gila oleh mereka yang sebelum ini pernah menyanjung baginda.

"Yang kata dan kritik saya bantah konsert Elton itu saya percaya orang itu seseorang yang minat kepada hiburan, semoga Allah berikan hidayah kepada mereka," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Demonstrasi bantah kerajaan DAP

Posted:

Demonstrasi bantah kerajaan DAP

Demonstrasi bantah kerajaan DAP

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my


SERAMAI 200 belia mengadakan demonstrasi meminta kerajaan negeri membina litar lumba motosikal yang berarak ke Komtar, Georgetown, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/MALINDA ABDUL MALIK


GEORGETOWN 31 Okt. – Pergerakan lalu lintas di beberapa jalan utama di bandar ini hampir lumpuh selama sejam berikutan tindakan kira-kira 200 belia yang menaiki motosikal mengadakan demonstrasi membantah pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dengan memakai baju T berwarna kuning yang tertera perkataan 'Selamatkan Pulau Pinang, LGE (Lim Guan Eng) Rasis', mereka dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan corak pentadbiran Setiausaha Agung DAP itu yang seolah-olah meminggirkan golongan belia dengan tidak menyediakan kemudahan riadah mencukupi.

Demonstrasi bermula kira-kira pukul 12.30 tengah hari di depan Pasar Chowrasta, Jalan Penang di sini dengan para peserta berarak menuju Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang sejauh satu kilometer.

Mereka kemudian mengelilingi Komtar sebanyak tiga kali sambil melaungkan kata-kata 'Selamatkan Pulau Pinang', 'Selamatkan Mat Rempit' dan 'Kami Mahu Litar Lumba'.

Mereka seterusnya bergerak ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lebuh Light di sini sebaik anggota-anggota polis tiba di Komtar bagi mengawal keadaan.

Di depan DUN, kumpulan berkenaan berhimpun hampir 15 minit.

Bagaimanapun, keadaan yang pada mulanya terkawal bertukar kecoh apabila beberapa peserta demonstrasi bertindak kasar dan ingkar dengan arahan polis supaya bersurai.

Seramai lima orang ditahan termasuk Pengasas Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga), Sabaruddin Ahmad.

Mereka ditahan kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit dan tidak mematuhi arahan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya menganggarkan seramai 200 orang menyertai perhimpunan tersebut.

"Seramai 100 anggota polis termasuk Unit Tindakan Ringan (LSF) dikerah berkawal di Komtar dan DUN sebaik menyedari kehadiran kumpulan ini.

"Buat masa ini, kita menahan lima orang untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ng Wei Aik mendakwa perhimpunan di depan DUN bertujuan menarik perhatian orang ramai dengan memainkan isu perkauman.

"Kebanyakan peserta perhimpunan ini terdiri daripada samseng jalan raya untuk membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.

"Polis kena ambil tindakan tegas ke atas mereka dan jangan hanya tangkap dua atau tiga orang saja sedangkan ramai lagi yang menyertai perhimpunan ini," ujarnya.

Sejak DAP mentadbir Pulau Pinang pada 2008, tidak kurang 50 demonstrasi telah diadakan oleh pelbagai pihak bagi membantah corak pentadbiran Guan Eng.

Antara demonstrasi besar yang pernah dianjurkan adalah bantahan terhadap penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 14 Mac 2008 membabitkan kira-kira 3,000 orang, bantahan oleh penduduk Kampung Buah Pala pada 2009, Perhimpunan Sedaq pada 5 Februari 2010 dan perarakan lebih 1,500 orang di Komtar dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu.

Demonstrasi terhadap Guan Eng juga membabitkan pelbagai cara aneh yang dilakukan oleh para peserta termasuk menghantar hadiah keranda, kek hitam, bunga hitam dan pakaian dalam wanita.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kes integriti di Kelantan naik

Posted:

Kes integriti di Kelantan naik

Kes integriti di Kelantan naik

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 31 Okt. – Kerajaan Pas Kelantan kecewa dengan peningkatan mendadak kes membabitkan masalah integriti di kalangan kakitangan awam negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim berkata, pada tahun lalu, sebanyak 309 kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membabitkan kakitangan awam negeri ini.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak jika dibandingkan pada 2009 yang mencatatkan sebanyak 200 kes penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa.

"Saya juga banyak menerima surat layang mengenai integriti kakitangan awam negeri, jika sekali tidak apa tetapi jika banyak surat ditujukan kepada individu yang sama maka saya akan memanggil individu terbabit untuk siasatan.

"Malah ada segelintir kakitangan awam hidup di luar kemampuan daripada gaji yang diperoleh, ini juga ada laporan, kita telah tubuhkan jawatankuasa khusus untuk memantau kakitangan yang gaya hidup mereka mewah di luar kemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Zainuddin berkata, selain itu, beliau turut memandang serius masalah lewat dan tidak hadir bertugas tanpa sebarang alasan.

"Ada setengah orang kata, ini isu kecil tetapi bagi saya besar, saya akan minta pihak audit supaya mengambil gambar tempat duduk yang kosong, kita akan buat macam untuk perangkap had laju.

"Ini pun integriti, perlu hadir ke pejabat awal, ini kerenah lama, saya bukan tidak faham isu ini atau masalah yang dihadapi tetapi ia sering digunakan sebagai alasan tanpa mahu berubah," katanya.

Beliau turut menegur sikap kakitangan awam yang tidak mesra ketika berurusan dengan orang ramai.

"Integriti penting untuk membantu pelanggan dan menguruskan tanggungjawab yang diberikan dengan lebih baik, tetapi ada kakitangan kita muncung sebab jadi pegawai kerajaan, sampai jiran yang datang pejabat pun tidak kenal, sebab kita ego.

"Kerja ini adalah anugerah Allah. Tidak perlu untuk ego atau rasa bangga. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan terus memantapkan integriti dan memerangi gejala rasuah, penyelewengan dan kerenah birokrasi," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Renggam Boy terlibat pelbagai kes jenayah tumpas di stesen bas

Posted:

Renggam Boy terlibat pelbagai kes jenayah tumpas di stesen bas

Renggam Boy terlibat pelbagai kes jenayah tumpas di stesen bas


MOHD. Fawzi Arshad (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di IPD Kluang, Johor semalam.


KLUANG 31 Okt. - Seorang suspek yang paling dikehendaki di daerah ini kerana terlibat dalam lebih 26 kes jenayah ditahan polis dalam serbuan di stesen bas di Renggam dekat sini baru-baru ini.

Suspek yang dikenali sebagai Renggam Boy terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk pecah rumah, jenayah kekerasan, samun dan pengedaran dadah di daerah ini sejak 2009.

Berusia 27 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan, suspek bagaimanapun mampu hidup mewah hasil kegiatan jenayah dilakukannya, malah memiliki sebuah kereta BMW.

Renggam Boy pernah ditahan di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam pada tahun 2009 dan hasil penangkapan itu, suspek yang mengetuai kumpulan penjenayah Renggam Boy telah mendedahkan penglibatan rakan-rakannya.

Berikutan pendedahan itu, tiga daripada ahli kumpulannya itu ditahan dan dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat manakala Renggam Boy ditahan di Simpang Renggam tetapi dibebaskan awal tahun lalu.

Setelah dibebaskan, Renggam Boy kembali mengganas namun polis berjaya menghidu kegiatan suspek dan menahannya dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi di pekan Renggam pada 28 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, suspek ditahan bersama empat peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 382 gram dan tiga peket plastik mengandungi 10.15 gram syabu.

"Suspek berada dalam senarai orang yang amat dikehendaki dan dalam serbuan itu kita turut merampas sebuah kereta BMW milik suspek untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd. Fawzi berkata, suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung jika disabit kesalahan.

Katanya, siasatan juga akan dijalankan berhubung penglibatan suspek dalam lima lagi kes samun, pecah rumah, pergaduhan dan memiliki senjata.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Keropok Ghani Black jadi sebutan

Posted:

Keropok Ghani Black jadi sebutan

Keropok Ghani Black jadi sebutan

Oleh NOREHAN SALEH
utusanpahang@utusan.com.my


proses mengisar isi ikan dilakukan dengan mesin bagi mempercepatkan penghasilan keropok lekor.


KUANTAN 31 Okt. – Kesulitan hidup sebagai nelayan membuatkan Mat Roni Mamat nekad mencari sumber pendapatan lain bagi membolehkan beliau sekeluarga dapat hidup lebih selesa.

Dengan kemahiran asas membuat keropok lekor yang diwarisi sejak turun-temurun, Mat Roni, 53, membulatkan tekad untuk menceburi perusahaan tersebut yang dilihatnya mempunyai potensi untuk menjamin masa depan keluarganya.

Ternyata, keputusan sedekad lalu untuk membuka perniagaan berhampiran Pasar Peramu di sini membuahkan hasil seperti yang diharapkan bagi membolehkan beliau menyara 10 anak hasil perkahwinan dengan Samsiah Mohd. Zain, 50.

Perusahaan kecil yang diberi nama "Keropok Lekor Ghani Black" itu kini terus menjadi perhatian penduduk setempat dan juga pelancong.

Malah keropok lekor yang dihasilkannya turut mendapat permintaan tinggi di kalangan peniaga keropok goreng tempatan.

"Dahulu ketika menjadi nelayan, kami sentiasa kesempitan wang malah saya bersama empat anak sering diancam bahaya ketika di laut.

"Sedar tentang bahaya tersebut, saya kemudian merancang membuka kilang kecil untuk menjual keropok lekor 10 tahun lalu.

"Sebagai permulaan saya menjual dua enjin bot saya yang bernilai lebih RM100,000 dan membuka sebuah kilang keropok lekor," katanya ketika mengungkap kisah lalu.

Menurut beliau, hasil wang jualan itu digunakan untuk membeli mesin membuat keropok lekor dan kini bertambah kepada 15 buah.

"Selain itu, saya juga membeli kotak ais untuk menyimpan ikan yang dihancurkan supaya tahan lebih lama," katanya.

Mat Roni yang dikenali sebagai Ghani Black di kalangan penduduk setempat berkata, beliau mendapat bekalan ikan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini dalam jumlah satu tan setiap dua hari.

Dalam pada itu, isteri Mat Roni, Samsiah berkata, penggunaan ikan yang banyak dalam keropok lekornya menjadi 'rahsia' ia mendapat sambutan ramai.

"Saya belajar membuat keropok ini daripada keluarga mertua saya di Terengganu yang juga menjalankan perniagaan sama.

"Kini saya mempunyai 15 pekerja termasuk anak, menantu dan penduduk kampung dalam membantu mengusahakan perniagaan keropok lekor ini," jelasnya.

Samsiah berkata, keropok lekornya turut mendapat permintaan tinggi dari peniaga di Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan Singapura.

"Setiap hari anggaran pelanggan tetap saya yang terdiri daripada peniaga keropok goreng di sekitar bandar ini adalah kira-kira 40 orang," katanya.

Selain menjual keropok lekor, perniagaan yang beroperasi dari 10 pagi sehingga 7 malam itu turut menjual keropok goreng dan keropok kering.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan bekalan keropok Ghani Black boleh menghubungi talian 014-8436769.

Full content generated by Get Full RSS.

Keropok lekor penuhi cita rasa

Posted:

Keropok lekor penuhi cita rasa

Keropok lekor penuhi cita rasa


Azlan Abdul Hamid (kanan) mengakui keenakan keropok lekor Ghani Black memenuhi citarasanya.


KUANTAN 31 Okt. - Populariti keropok lekor sehingga ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menyebabkan perusahaan menghasilkan makanan tradisonal itu bukan lagi terhad di negeri Terengganu sahaja.

Walaupun demikian, bagi penggemar tegar makanan berkenaan, keropok lekor yang dihasilkan di negeri lain dianggap tidak dapat menandingi keenakan keropok dihasilkan di negeri itu terutamanya Kuala Terengganu.

Namun, pandangan sedemikian sebenarnya tidak tepat kerana keropok lekor yang dihasilkan di daerah ini juga sebenarnya cukup enak dan mampu menambat penggemarnya.

Malah ada juga yang berpendapat keropok lekor di daerah ini seperti yang dijual di gerai Mat Roni bukan sahaja mampu menandingi keluaran Terengganu malah lebih sedap.

Bagi pelanggan Mat Roni, Ahmad Tarmizi Yunan, 49, berkata, dia kerap membeli keropok lekor Ghani Black untuk dimakan bersama keluarga.

"Selain itu, saya juga membelinya untuk diberikan sebagai buah tangan kepada saudara mara dari jauh yang berkunjung ke sini.

"Keluarga saya cukup sukakan keropok tersebut. Tak perlu pergi jauh-jauh sampai Kuala Terengganu," kata kerani di sebuah syarikat swasta di sini.

Bagi Azlan Abdul Halim, 35, dia sering membeli keropok lekor Ghani Black kerana rasanya yang enak terutama jika dimakan panas-panas.

"Saya kerap membelinya kerana keropok itu berbeza dengan yang lain apabila ia mempunyai banyak ikan dan rasanya juga rangup," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Manfaatkan kemajuan teknologi

Posted:

Manfaatkan kemajuan teknologi

Manfaatkan kemajuan teknologi

Oleh NOREHAN SALEH
utusanpahang@utusan.com.my


Maznah Mazlan bersama sebahagian peserta Bengkel Pengenalan Laman Sosial dan Kesedaran ICT di Universiti Malaysia Pahang (UMP), baru-baru ini.


KUANTAN 31 Okt. – Seramai 311 ibu tunggal dan anak yatim di negeri ini diberi peluang meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menerusi penyertaan dalam Bengkel Pengenalan Laman Sosial dan Kesedaran ICT di Universiti Malaysia Pahang (UMP), kelmarin.

Bengkel itu dianjurkan oleh Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian, Persatuan Wanita UMP (Matahari) dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia serta MSC Pahang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, keperluan teknologi penting dalam usaha melonjakkan taraf ekonomi golongan tersebut sekali gus mengubah cara hidup dan pemikiran ke arah yang lebih baik.

"Program ini selari dengan hasrat kerajaan dalam usaha membantu golongan ibu tunggal dan anak yatim mempelajari penggunaan laman sosial bagi memperolehi maklumat.

"Kemahiran yang diperoleh itu juga membolehkan golongan ibu tunggal memantau aktiviti anak mereka dalam menggunakan laman sosial agar tidak terjerumus dalam aktiviti negatif ketika melayari Internet," katanya ketika menutup bengkel sehari tersebut.

Selain itu, katanya, kaum ibu juga dapat memantau anak mereka supaya tidak terjebak dengan aktiviti penipuan dalam Internet yang kini amat berleluasa sekiranya mereka menguasai ilmu teknologi maklumat.

Maznah berkata, ibu tunggal di negara ini seharusnya mengambil peluang dengan menyertai pelbagai program yang disediakan termasuk mengambil upah bekerja dari rumah.

"Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan ibu tunggal ini dan saya sendiri berharap kajian menyeluruh terhadap pembangunan ibu tunggal dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa," ujarnya.

Seorang peserta, Noraida Mohd. Sulong, 43, berkata, dia akan memanfaatkan bengkel itu untuk berhubung dengan pelanggan dan rakan perniagaan menerusi laman maya.

"Menerusi Internet, perniagaan kek lapis dan produk kecantikan saya berjalan lancar. Jadi program ini lebih membantu saya menguasai Internet," kata ibu kepada enam anak ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Rayuan 4 penuntut UKM dibenar

Posted:

Rayuan 4 penuntut UKM dibenar

Rayuan 4 penuntut UKM dibenar

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 31 Okt. - Mahasiswa kini dibenar menzahirkan sokongan atau bangkangan terhadap kegiatan parti politik sama ada dalam atau luar negara selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), terbatal dan melanggar Perlembagaan.

Dengan keputusan bersejarah itu, seksyen tersebut yang sebelum ini menyekat para penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat atau menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap parti-parti politik, diputuskan sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Keputusan majoriti 2-1 itu dicapai oleh panel tiga hakim selepas membenarkan rayuan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai sidang menolak rayuan penuntut-penuntut jurusan Sains Politik itu, manakala Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dan Hakim Datuk Linton Albert membenarkannya.

Bagaimanapun, penghakiman yang dikategorikan sebagai nas undang-undang itu belum muktamad kerana pihak responden terdiri daripada Kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Hilman Idham, 22, Woon King Chai, 23, Muhammad Ismail Aminuddin, 23, dan Azlin Shafina Mohamad Adza, 23, ditahan polis ketika kempen berkenaan dan dihadapkan ke lembaga disiplin UKM pada 3 Jun tahun lalu.

Mereka kemudiannya memfailkan saman pemula bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka serta perisytiharan bahawa seksyen berkenaan tidak sah. Ia bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 28 September tahun lalu.

Muhammad Hilman ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu kejutan yang memberi ruang kepada golongan mahasiswa meluahkan kebebasan bersuara.

Hakim Mohd. Hishamudin ketika membacakan penghakiman bertulisnya berpendapat, larangan menerusi Seksyen 15(5)(a) itu tidak munasabah kerana ia menyekat kebebasan bersuara mahasiswa ke arah pembangunan minda yang sihat dan bersifat kritikal.

Pada hemat beliau, universiti sepatutnya menjadi tapak melahirkan golongan pemikir, bukannya institusi yang hanya berperanan mengeluarkan mahasiswa yang dilatih sebagai robot.

Sehubungan itu, beliau tidak nampak bagaimana larangan terhadap golongan penuntut yang melahirkan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik boleh mengganggu ketenteraman awam.

''Saya tidak faham dengan cara apa mereka boleh dikaitkan dengan aktiviti yang menggugat ketenteraman awam? Bukankah, parti politik merupakan entiti yang sah? Bukankah pemimpin politik termasuk menteri juga menganggotai parti politik?'' ujar Hakim Mohd. Hishamudin.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan seksyen berkenaan sebagai tidak rasional kerana secara ironinya menyatakan para mahasiswa tidak boleh melahirkan apa-apa sokongan kerana tindakan itu boleh ditafsirkan dari segi undang-undang sebagai menyokong atau membangkang parti politik.

Sementara itu, Hakim Linton dalam penghakimannya turut berpendapat, peruntukan undang-undang yang melarang penglibatan mahasiswa sedangkan ia merupakan aspek yang penting dalam pembentukan demokrasi, tidak wajar dikategorikan sebagai munasabah.

Beliau berpendirian, apa gambaran yang lebih baik untuk membayangkan ketidakmunasabahan seksyen itu apabila mahasiswa dihadapkan kepada lembaga disiplin yang berkemungkinan menghadapi tindakan disingkir dari universiti, hanya kerana kehadiran mereka ketika kempen pilihan raya.

Sementara itu, Hakim Hop Bing ketika membacakan penghakimannya berpendapat, sekatan melalui akta tersebut adalah munasabah dan sah kerana ia termasuk di bawah skop yang ditakrifkan di bawah Perkara 10(1)(a) dan Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau membuat perhitungan sedemikian selepas berpendapat, larangan itu penting bagi mengatur perkara berkaitan hal ehwal perhubungan pelajar berkaitan penglibatan mereka dalam arena politik.

Hakim Hop Bing beralasan, ia penting bagi menghalang penyerapan ideologi politik termasuk yang bersifat melampau di kalangan mahasiswa yang mudah terpengaruh dan menjadi sasaran tekanan daripada rakan sebaya.

Full content generated by Get Full RSS.

Saman fitnah: Nadia diarah bayar Lisdawati

Posted:

Saman fitnah: Nadia diarah bayar Lisdawati

Saman fitnah: Nadia diarah bayar Lisdawati

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini memerintahkan pelakon Nadia Mustafar membayar ganti rugi RM50,000 kepada pelakon Lisdawati selepas mendapati Nadia memberi wawancara berunsur fitnah, enam tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali turut memerintahkan supaya Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, membayar faedah sebanyak empat peratus bermula dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian kes dan kos mengikut skala.

Lisdawati, 33, atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin menyaman Nadia, 35, kerana mendakwa pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu telah memberi wawancara berunsur fitnah terhadapnya dalam artikel yang ditulis oleh wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.

Hanif telah meninggal dunia akibat penyakit tibi pada 18 Julai 2009 di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan.

Artikel yang bertajuk Hutang - Nadia Mustafar serang Lisdawati? disiarkan oleh majalah mingguan berkenaan bertarikh 8-14 Januari 2005.

Dalam tuntutannya itu, Lisdawati memohon ganti rugi sebanyak RM250,000 serta faedah lapan peratus dan kos-kos lain ekoran penyiaran wawancara tersebut yang didakwa telah menyebabkan imej dan 'periuk nasi' aktres itu terjejas.

Kedua-dua pelakon itu tidak hadir ketika keputusan dibacakan namun mereka diwakili peguam masing-masing.

Lisdawati sebagai plaintif diwakili oleh peguam Sangeet Kaur Deo, manakala Nadia selaku defendan pula diwakili oleh peguam-peguam, Siti Noor Julaini Shahar dan Mohd. Lustfi Yaakub.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


2.8j penduduk AS masih bergelap

Posted:

2.8j penduduk AS masih bergelap

2.8j penduduk AS masih bergelap


DUA lelaki berjalan di sebatang jalan semasa ribut salji di Putney, Vermont, Sabtu lalu. Pantai Timur AS dilanda musim sejuk yang dianggap jarang berlaku pada Oktober dan hujan batu yang membunuh tiga orang, menyebabkan lapangan terbang ditutup dan bekalan tenaga terputus. – AFP


NEW YORK 31 Okt. – Kira-kira 2.8 juta penduduk di timur laut Amerika Syarikat (AS) masih terputus bekalan elektrik semalam berikutan ribut salji yang jarang berlaku di kawasan tersebut dalam bulan ini melanda kawasan itu dan membunuh sekurang-kurangnya lapan orang setakat ini.

Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Negara, ribut salji terburuk melanda Jaffrey, New Hampshire dengan salji setebal 80 sentimeter, manakala salji setebal 48 sentimeter melanda kawasan barat Laut New York iaitu West Milford, New Jersey.

Cuaca bersalji dan berangin itu bermula sejak Sabtu lalu dan dijangka bergerak ke Maine hari ini.

Angin kencang dan salji yang berat serta basah mengakibatkan pokok-pokok patah serta merosakkan kabel elektrik dari West Virginia hingga ke Maine.

Gabenor Connecticut, Dannel Malloy berkata, kawasan itu mengalami kes terputus bekalan elektrik terbanyak dalam sejarah.

Maine, Massachusetts dan New Jersey berkata, mereka tidak menjangka perkhidmatan tenaga elektrik akan kembali normal dalam tempoh beberapa hari lagi, sementera Connecticut menyatakan keadaan itu akan kekal selama lebih seminggu lagi.

Penutupan sekolah-sekolah awam di Connecticut dan New Jersey turut diumumkan sehingga keadaan kembali pulih.

Pengangkutan awam terutamanya kereta api turut mengalami gangguan akibat tiada bekalan elektrik. – Reuters

Full content generated by Get Full RSS.

Thailand kemuka bajet RM93b pulih banjir

Posted:

Thailand kemuka bajet RM93b pulih banjir

Thailand kemuka bajet RM93b pulih banjir


PENDUduk mengusung keranda dalam banjir di sebuah kuil Buddha yang menjadi pusat penempatan sementara mangsa banjir di Bangkok, kelmarin. – REUTERS


BANGKOK 31 Okt. – Kerajaan Thailand menimbangkan pelan pemulihan melibatkan belanjawan berjumlah 900 bilion baht (RM93 bilion) berikutan banjir buruk yang melanda banyak kawasan di negara ini.

Sementara itu, pusat bandar raya Bangkok yang dilindungi dengan rangkaian tambak dan benteng beg pasir dijangka terselamat daripada banjir apabila air pasang yang naik di Sungai Chao Phraya sejak beberapa hari lalu surut hari ini, paras air di hulu sungai menurun dan cuaca beransur-ansur baik.

Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra mencadangkan pelan 900 bilion baht itu pada satu mesyuarat khas Kabinet semalam, lapor akhbar The Nation, hari ini.

Menurut cadangan itu, bajet 100 bilion baht (RM10.23 bilion) akan dibelanjakan dalam tempoh setahun untuk memulihkan kawasan perindustrian yang teruk terjejas akibat banjir musim monsun di wilayah-wilayah Ayutthaya dan Pathum Thani pada tahun ini, kata Menteri Tenaga, Pichai Naripthaphan.

Kerajaan berharap operasi di kawasan perindustrian terbabit dapat dipulihkan dalam masa tiga bulan.

Sejumlah 600-800 bilion baht (RM61.3-RM81.84 bilion) lagi akan dibelanjakan dalam tempoh yang belum ditetapkan untuk merombak sistem pengurusan air di negara ini berikutan banjir buruk yang telah menyebabkan 381 orang maut dan kerosakan bernilai kira-kira 500 bilion baht (RM51.15 bilion).

"Beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Jepun telah mencadangkan pelan pemulihan untuk Thailand, dan pakej mereka termasuk pinjaman dan teknologi untuk negara kita, tetapi kerajaan belum membuat keputusan," kata Pichai kepada Bangkok Post.

Banjir musim monsun pada tahun ini, yang terburuk dalam tempoh berpuluh-puluh tahun, berpunca daripada salah pengurusan dan hujan lebat luar biasa, yang turut menyebabkan banjir di negara jiran, Vietnam, Kemboja dan Laos, menurut pakar.

Paling teruk terjejas akibat banjir ialah tujuh kawasan perindustrian di wilayah Ayutthaya dan Pathum Thai, ke utara Bangkok, yang menempatkan ratusan kilang syarikat asing dan tempatan.

Kawasan perindustrian itu dibina sekalipun pihak berkuasa diberi amaran mengenai lokasinya yang terletak di dataran banjir semula jadi bagi Sungai Chao Phraya yang mengalir dari tengah Thailand ke Bangkok dan seterusnya ke Teluk Siam.

"Beberapa tahun lalu, saya mengesyorkan kawasan itu dizonkan khusus untuk tujuan pertanian dan pengairan, tetapi saya ditertawakan," kata Pengarah Urusan Chula Unisearch di Universiti Chulalongkorn, Thaweewong Sriburi.

– dpa/Reuters

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Gerakan transformasi bahasa

Posted:

Gerakan transformasi bahasa

Gerakan transformasi bahasa

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

BANYAK isu berkaitan bahasa Melayu yang timbul kebelakangan ini terutamanya berkaitan kedudukan sebagai bahasa kebangsaan dan penggunaannya dalam urusan rasmi harian.

Dalam usaha mengembalikan martabat bahasa kebangsaan, komitmen terhadap transformasi bahasa juga perlu digerakkan selaras dengan gagasan 1Malaysia dan moto 1Bahasa 1Bangsa 1Negara.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman menyatakan rasa kecewa bila sebilangan orang Melayu memandang sepi dan tidak berbangga dengan bahasa warisan berbanding kaum lain dengan bahasa ibunda mereka.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Kebudayaan menegaskan, tugas pelaksanaan dasar bahasa juga bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata .

"Sungguhpun begitu, kepimpinan politik dan sektor awam tetap perlu mendahului dan menjadi contoh dalam penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.

"Pencapaiannya sudah ada, tetapi akhir- akhir ini ada kecenderungan bahasa digunakan secara bercampur dalam urusan rasmi," katanya ketika berucap pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-8 baru-baru ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan, transformasi bahasa yang bagaimana diperlukan bangsa Malaysia sesuai dengan dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP)?

Melalui pemerhatian beliau, pemeriksaan semula perlu dijalankan ke atas tiga persepsi dalam proses transformasi bahasa dan persuratan iaitu; persepsi pencapaian pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan, penegasan semula dasar bahasa dan persepsi pembaharuan strateginya.

"Perjuangan memartabat dan memperkasakan bahasa tidak akan menemui jalan noktahnya selagi adanya kealpaan, sikap sambil lewa atau acuh tidak acuh.," katanya..

Oleh itu, tegasnya, transformasi bahasa dan persuratan perlu dilakukan demi ketahanan negara bangsa dan mencapai aspek kehidupan berkebudayaan tinggi.

"Cuba kaji apakah dan sejauh manakah kemajuan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Apakah komunikasi lisan dan tulisan sudah digunakan sepenuhnya bagi semua maksud rasmi kerajaan?

"Apakah ada 'model' penggunaan bahasa bermutu untuk dicontohi rakyat daripada kalangan pemimpin, para pegawai mahupun institusi kerajaan? Bagaimana pula bahasa komunikasi dalam jabatan dan antara jabatan sektor awam, komunikasi antara sektor awam dengan sektor swasta atau korporat dan sebaliknya," soal beliau.

Antara yang disarankan beliau adalah melihat penggunaan nama khas dan bahasa kebangsaan di tempat awam, industri perhotelan, pelancongan serta siaran media massa dengan bahasa yang nyata mendukung citra kenegaraan.

"Tetapi, bagaimanakah dapat dilakukan jika komitmen antara sektor awam dengan swasta tidak seganding? Sepatutnya, tanpa paksaan, citra bahasa kebangsaan terpampang penggunaannya di mana- mana jua. Apakah komunikasi antara sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negeri atau sebaliknya masih puluhan tahun kekal melalui bahasa Inggeris?

"Cuba kita perhatikan pula suasana komunikasi dalam bentuk iklan, nama khas, taman perumahan, jalan-raya, nama-nama gedung perniagaan di kota-kota di samping bahasa untuk pengumuman dan arahan yang dipamerkan di tempat awam, khalayak ramai mahupun siaran media massa," tegasnya.

Beliau berharap penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan hendaklah digerakkan dengan pendekatan dan strategi transformasi baru memandangkan pencapaian dasar bahasa yang tidak memuaskan dalam beberapa bidang utama kehidupan rakyat sebelum ini.

"Komitmennya mesti lebih kukuh dan dilakukan pembaharuan usaha. Maksudnya, kefahaman, kesedaran pengembangan dan pembinaan aspek-aspek bahasa melalui pembangunan infrastruktur bahasa Melayu tidak boleh dipandang sepi lagi.

"Tetapi, apakah pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan sudah diinsafi semua pihak? Apakah kita memerlukan satu undang-undang baru atau dipinda peruntukan-peruntukan tertentu Akta Bahasa Kebangsaan," ujarnya.

Beliau menegaskan, martabat Bahasa Melayu yang sudah ditetapkan dalam Perlembagaan tidak menjadi isu sebaliknya susunan strategi pelaksanaannya yang perlu lebih teratur.

Selain itu, beliau berharap hasil sastera berbentuk kreatif atau bukan kreatif seperti novel, cerpen, puisi dan segala hasil sastera yang ada dalam bentuk sastera klasik dan moden yang selama ini memaparkan nilai-nilai murni dan persamaan yang membentuk jiwa manusia turut dimanfaatkan.

"Masih ada sikap tidak celik sastera kerana subjek kesusasteraan tidak berkembang di sekolah. Sastera dilihat bukan satu subjek keperluan industri sedangkan di dalamnya sarat dengan pendidikan nilai-nilai patriotisme, nasionalisme, cinta negara, rasa kekitaan dan puluhan nilai murni lain.

A. Aziz menegaskan, Malaysia tidak memerlukan dasar pelbagai bahasa kerana langkah itu hanya akan membawa kepada kemusnahan perpaduan kebangsaan dan keharmonian. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa serantau yang akan menimbulkan kebanggaan, rasa kesatuan dan perpaduan, bukan dipandang dengan sebelah mata.

Beliau berpendapat, aspirasi 1Bahasa 1Bangsa 1Negara dalam konteks 1Malaysia dapat dicapai sekiranya bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam segala urusan kehidupan sementara Malaysia sendiri memimpin gerakan menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa komunikasi antarabangsa sebelum abad ke-21 melabuhkan tirainya.

Full content generated by Get Full RSS.

PBB iktiraf kejayaan Malaysia

Posted:

PBB iktiraf kejayaan Malaysia

PBB iktiraf kejayaan Malaysia

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

BARU-baru ini saya menyertai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-66 di New York, Amerika Syarikat.

Terdapat lebih kurang 400 orang perwakilan dari lebih 200 negara dan pemerhati dari badan-badan profesional dan agensi PBB dalam persidangan berkenaan.

Dalam perbincangan oleh kumpulan Jawatankuasa Kedua (Second Commitee) yang bertajuk Eradication of poverty and other developments issues ia tertumpu kepada pelbagai usaha negara-negara anggota PBB dalam membasmi kemiskinan.

Untuk sekian kalinya diingatkan bahawa kemiskinan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi sekali gus merupakan masalah sosial dan politik serta moral dan etika. Kemiskinan mengancam kestabilan politik sesebuah negara yang berkait rapat dengan keresahan sosial.

Ini mengingatkan kita kepada hadis nabi yang memberi amaran bahawa kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran.

Senada dengan itu, perwakilan Singapura memetik tokoh falsafah Inggeris, George Bernard Shaw, yang pernah berkata bahawa - the greatest of all evil and the worst of crimes is poverty (kemiskinan adalah syaitan yang paling jahat dan jenayah yang paling buruk).

Sehubungan itu, maka semua perwakilan sepakat bahawa langkah-langkah membasmi kemiskinan dianggap sebagai cabaran paling hebat yang dihadapi dunia sekarang. Sebenarnya masalah ini lama disedari oleh PBB. Usaha-usaha pembasmian kemiskinan dijadikan salah satu program utama PBB yang dirangkumkan dalam agenda Millennium Development Goals (Matlamat Pembangunan Alaf Baru).

Langkah konkrit ke arah pencapaian matlamat itu dirumuskan dalam World Summit for Social Development (Sidang Kemuncak Dunia untuk Pembangunan Sosial) pada 1995. Berikutan itu dirangka Rancangan Sepuluh Tahun pertama yang diikuti dengan Rancangan Sepuluh Tahun kedua dengan rujukan Second UN Decades for the Eradication of Peverty (2008-2017) yang sedang berjalan sekarang.

Rancangan Sepuluh Tahun tersebut mengandungi pelbagai program di bawah seliaan PBB untuk dilaksanakan di serata dunia pada peringkat negara, rantau dan antarabangsa. Termasuk dalam pelbagai program itu adalah pengumpulan pelbagai data tentang kemiskinan. Data yang diperoleh tentu amat berguna untuk memantau kejayaan dan kegagalan usaha membasmi kemiskinan.

Tidak kurang pentingnya adalah bahawa data berkenaan akan memberi gambaran atau "realiti" kemiskinan yang sekali gus mengingatkan pemimpin-pemimpin masyarakat dunia tentang kegawatan masalah berkenaan.

Pemantauan tahunan mengenai status pencapaian (kejayaan dan kegagalan) usaha membasmi kemiskinan itu dilakukan sekurang-kurangnya melalui dua mekanisme iaitu laporan tahunan Setiausaha Agung yang dibentangkan kepada Perhimpunan Agung dan laporan perwakilan setiap negara mengenai status usaha-usaha pembasmian kemiskinan di negara masing-masing yang sekali gus merupakan reaksi atau penilaian terhadap laporan Setiausaha Agung.

Laporan Setiausaha Agung untuk Perhimpunan Agung tahun ini mencatatkan bahawa bilangan penduduk dunia yang berada di bawah garis kemiskinan berkurangan daripada 1.8 bilion pada 1990 kepada 1.4 bilion pada 2005.

(Mereka yang berada di bawah garis kemiskinan itu ditakrifkan sebagai pendapatan hariannya kurang daripada US$1.25 atau kurang daripada RM4). Tetapi jika garis kemiskinan itu diukur berdasarkan pendapatan dua dolar Amerika sehari, maka bilangan penduduk miskin di dunia sekarang ialah 2.5 bilion.

Gambaran ini akan semakin muram jika diambil kira kenaikan harga bahan makanan di serata dunia sejak hujung 2010. Laporan daripada negara-negara anggota disampaikan dalam bentuk kenyataan oleh jurucakap perwakilan masing-masing dalam sidang Jawatankuasa Kedua.

Di samping berfalsafah atau berteori mengenai kemiskinan, hampir seluruh perwakilan mengulangi kenyataan bahawa kemiskinan adalah satu fenomena yang sangat kompleks yang berpunca daripada pelbagai sebab. Punca itu termasuklah keterbatasan peluang memperoleh pelbagai sumber yang diperlukan untuk satu kehidupan yang berhemah.

Semua itu saling kait berkait dengan keterbatasan peluang pekerjaan, perumahan, pemakanan, pendidikan dan kesihatan. Dengan demikian wujudlah satu lingkaran yang menyebabkan usaha-usaha membasmi kemiskinan itu menjadi semakin kompleks.

Perwakilan atau jurucakap setiap negara melaporkan kejayaan atau kegagalan masing- masing dalam usaha membasmi kemiskinan ini. Kadar pencapai pelbagai negara anggota PBB dalam pembasmian itu sudah tentu itu berbeza-beza.

Negara yang mengaku kurang pencapaiannya akan memberi pelbagai sebab dan alasan termasuk menuduh pihak-pihak lain waima PBB sendiri atau malapetaka dan bencana alam. Sementara, negara-negara yang mendakwa telah mencapai kejayaan lebih tinggi kadarnya akan memberi fatwa atau formula.

Singapura umpamanya merujuk tiga prasyarat yang diperlukan untuk membasmi kemiskinan itu: pendidikan, pelaksanaan dasar-dasar membantu golongan yang kurang bernasib baik dan kerjasama serantau dan antarabangsa yang perlu ditingkatkan.

Pada keseluruhannya gambaran diberikan oleh kebanyakan perwakilan adalah bahawa jurang antara yang kaya dan yang miskin telah semakin melebar, baik dalam sesebuah negara, begitu juga antara satu negara dengan negara lain. Namun begitu Malaysia boleh berbangga kerana termasuk antara negara yang berjaya membasmi kemiskinan melalui pelbagai program sejak mencapai kemerdekaan.

Kejayaan Malaysia ini diakui sendiri oleh Setiausaha Agung PBB dalam laporan tahunannya. Laporan tersebut secara khusus merujuk Malaysia, Thai, Vietnam dan China sebagai empat negara Asia yang mencapai kejayaan ketara dalam usaha pembasmian kemiskinan sejak 20 tahun lalu. Kejayaan tersebut dikaitkan dengan kepesatan pertumbuhan ekonomi sepanjang masa 20 tahun itu dalam empat negara tersebut.

Pengiktirafan yang diberikan oleh Laporan Rasmi Setiausaha Agung PBB tersebut telah saya tegaskan lagi sewaktu membentangkan prestasi Malaysia dalam usaha membasmi kemiskinan ini. Secara khusus saya menyebut bahawa kadar kemiskinan tegar di Malaysia pada masa ini hanyalah 0.3% (tidak sampai satu peratus daripada seluruh penduduk). Semua itu adalah berkat kemajuan pembangunan ekonomi Malaysia sejak 30 tahun lalu.

Saya laporkan juga bahawa Malaysia turut menyumbang kepada negara-negara lain dalam usaha pembasmian kemiskinan melalui Malaysia Technical Cooperation Programme (MTCP) yang dilancarkan dalam September 1980.

Program MTCP ini memberi tumpuan kepada pembinaan sumber tenaga manusia melalui pelbagai latihan dan kursus. Seramai lebih 20,000 peserta daripada 130 negara membangun mengikuti program tersebut. Semua itu bermakna bahawa kalau di suatu masa dahulu Malaysia adalah negara penerima bantuan negara luar, maka MTCP membuktikan bahawa Malaysia sudah mencapai status negara pemberi bantuan.

Apakah rahsia kejayaan kita itu? Jawabnya - politik stabil dan pemerintahan yang cekap. Dan semuanya itu akan dilanjutkan dengan pelbagai program transformasi, termasuk Transformasi Pembangunan Luar Bandar seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Tetap pertahan prinsip diri

Posted:

Tetap pertahan prinsip diri

Tetap pertahan prinsip diri

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan WARNER MUSIC MALAYSIA dan HAFIZ JOHARI


SELAIN menyanyi, Charice juga mahu meluaskan bakatnya dalam bidang lakonan.


TIADA siapa pernah menyangka gadis genit ini mampu mencipta kejayaan luar biasa dalam sekelip mata. Kalau ada yang mengatakan dia menumpang populariti tokoh terunggul dalam industri hiburan untuk meledakkan namanya, rasanya perkara itu tidak benar sama sekali.

Kejayaan Charmaine Clarice Relucio Pempengco atau lebih dikenali dengan nama pentas, Charice sebenarnya terletak pada bakat besar yang dimilikinya itu.

Jika tidak, Oprah Winfrey tidak akan sewenang-wenangnya menggelarkan Charice sebagai gadis paling berbakat di dunia sewaktu Charice dijemput menyanyi dalam rancangannya.

Malah, kalau Charice dikatakan tidak berbakat seperti mana yang didakwa segelintir pihak, mana mungkin tokoh muzik tersohor dunia, David Foster sanggup meminjamkan magisnya untuk penyanyi kecil molek itu.

Namun bagi Charice, dia tidak pernah menganggap segala kejayaan yang dimilikinya hari ini adalah satu tiket untuk merubah hidup dan dirinya sendiri secara total.

"Pertama sekali, saya benar-benar bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada saya selama ini. Hakikatnya, untuk mencipta nama di persada antarabangsa bukan satu tugas mudah terutama untuk orang Asia.

"Tetapi, saya tetap dengan pendirian saya untuk kekal dengan identiti Asia saya. Mengapa? Kerana saya bangga dengan latar belakang dan negara kelahiran saya. Buat apa perlu saya tunduk dan mengikut kemahuan orang Barat yang mahu mengubah saya menjadi mereka.

"Sepanjang saya di Amerika Syarikat, saya berpegang teguh kepada asal-usul saya. Itu jugalah yang saya katakan kepada mereka jika mereka mahukan saya untuk berada dalam industri mereka.

"Ternyata mereka menerimanya dengan penuh terbuka dan hasilnya adalah apa yang anda semua lihat hari ini," jelas Charice yang cukup peramah itu dalam satu pertemuan singkat di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kehadiran Charice ke negara ini adalah bersempena dengan Konsert Hitman: David Foster & Friends Live In Asia Tour 2011 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hanya kisah kerjaya

Menyambung bicara, Charice yang dilahirkan pada 10 Mei 1992 itu memberitahu untuk mencipta nama sebagai seorang artis memerlukan dirinya berkorban dalam banyak aspek.

Ini termasuklah apabila segelintir pihak media yang lebih mahu menggembar-gemburkan kisah peribadinya berbanding kerjayanya.

Bagi Charice, sebagai artis, ada perkara yang boleh dikongsi dengan masyarakat dan sebahagian lagi adalah untuk dirinya sendiri.

"Saya sedar ada yang cuba bertanya tentang cinta dan kisah keluarga saya. Tetapi, saya akan menolaknya dengan cara yang baik kerana saya juga tidak mahu diterima atas dasar kasihan hanya kerana saya dibesarkan sendirian oleh ibu saya.

"Saya mahu khalayak menilai diri saya menerusi bakat dan muzik yang saya persembahkan. Saya harus akui setakat ini semuanya berjalan dengan lancar apabila bakat saya lebih dipandang berbanding cerita lain.

"Apa yang saya harapkan agar ia akan terus berkekalan begitu kerana perjalanan seni saya bukan untuk hari ini dan esok sahaja tetapi untuk jangka masa yang panjang," jelasnya yang pernah menyertai ratusan pertandingan nyanyian di Filipina semata-mata mahu mengejar impian untuk menjadi seorang penyanyi.

Sudah menjadi lumrah, di sebalik kehebatan seorang penyanyi yang berjaya, mereka perlu menempuh kepayahan dan kesedihan sebelum mendaki puncak kejayaan.

Anak kelahiran Laguna, Filipina ini juga tidak terkecuali apabila perlu berdepan dengan situasi yang sungguh menyulitkan itu.

Tanpa selindung, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Pyramid dan Note To God ini memberitahu kegemilangan yang dimilikinya hari ini adalah kesedihan masa silamnya.

Cita-cita

Dalam erti kata lain, kisah hidup Charice boleh diumpamakan seperti kisah dongeng Cinderella yang berakhir dengan kegembiraan.

"Saya tahu dan faham bagaimana perasaan seseorang itu yang dihina, dicaci dan dibenci oleh masyarakat hanya kerana latar belakang kita tidak sempurna di mata mereka.

"Bukan itu sahaja, pernah juga saya disingkirkan dalam sebuah pertandingan nyanyian di Filipina yang konsepnya mirip American Idol hanya kerana saya tidak mempunyai pakej lengkap.

"Saya percaya setiap apa yang dilalui oleh kita semuanya ditentukan oleh Tuhan. Saya bekerja keras untuk mencapai tahap ini dan ya, saya akui semuanya juga berkat sokongan serta bantuan ramai pihak.

"Atas alasan itu, saya mahu memberi semula kepada masyarakat terutama remaja yang senasib dengan saya untuk mengejar impian mereka sebagai seorang penghibur," jelas Charice yang pernah melahirkan sebuah album studio dan dua album mini sebelum bergelar penyanyi profesional.

Apa yang diluahkan oleh Charice itu merupakan salah satu impiannya di masa depan yakni untuk membantu anak-anak muda berbakat besar dalam merealisasikan cita-cita mereka.

Malah, Charice juga sudah membayangkan bahawa dia akan mempunyai sebuah syarikat rakaman dan studio sendiri bagi memastikan impiannya itu tercapai.

Tetapi, apa yang mengejutkan pihak media sewaktu sesi temu ramah itu apabila Charice memberitahu dia tidak mahu menjadi penyanyi untuk selama-lamanya.

Walaupun bidang nyanyian sudah menjadi minatnya sejak kecil, tetapi Charice mahu mempunyai pekerjaan tetap yang dapat menampung kehidupannya ketika di masa hadapan.

"Saya memang bercita-cita juga mahu menjadi seorang peguam dan ia tidak pernah padam sehingga ke hari ini. Saya mahu memiliki firma guaman saya sendiri.

"Saya akan memastikan mendapat keputusan cemerlang dalam bidang undang-undang apabila saya menyambung pengajian nanti," katanya dalam nada bersungguh.

Cinta pada lakonan

Dek kehebatan bakat luar biasanya itu, Charice pernah membintangi siri komedi popular, Glee dalam musim kedua tahun lalu.

Membawakan watak Sunshine Corazon, Charice telah meninggalkan impak yang bukan kecil dalam siri itu sehingga dia sendiri tidak menolak peluang seandainya ditawarkan berlakon dalam musim ketiga.

"Berlakon dalam siri Glee memang menyeronokkan dan saya sukakan semua pelakonnya terutama Lea Michele. Dia sendiri banyak mengajar saya tentang dunia seni dan itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berjaya dalam bidang ini.

"Dalam masa yang sama, saya juga baru menjalani penggambaran filem Here Comes The Boom di samping Salma Hayek dan Kevin James. Watak saya sebagai seorang pelajar dan turut menyanyi dalam filem itu.

"Kalau saya terus diberikan peluang berlakon, saya akan menerimanya tetapi wataknya juga perlu sesuai dengan saya. Walau bagaimanapun, cinta pertama saya tetap nyanyian," katanya optimis.

Matang

Selepas setahun menggegarkan pentas muzik antarabangsa dengan album sulungnya, Charice, kini penyanyi bersuara mantap itu kembali dengan buah tangan terbarunya.

Diberi judul Infinity, Charice menyifatkan album keduanya itu adalah lambang kematangannya sebagai seorang penghibur.

Berbanding dengan album pertama yang lebih bersifat pop, kali ini kata Charice, dia berpeluang bekerjasama dengan penyanyi merangkap komposer ternama seperti Bruno Mars, JoJo, Nick Jonas dan Natasha Bedingfield.

"Album kali ini memang berbeza dari segi muziknya apabila hampir kesemua lagu-lagunya adalah berentak rancak dan R&B. Itu adalah transisi saya dalam bidang ini.

"Bukannya mahu lari dari genre pop dan lagu-lagu berentak nada tinggi tetapi, semakin saya dewasa, saya juga mahu mencari kelainan. Atas alasan itu jugalah, saya memilih R&B sebagai pertaruhan saya selepas ini.

"Lagu-lagu balada itu tetap ada dan akan menjadi identiti saya tetapi saya perlu mengurangkannya demi menjaga suara saya ini. Susah juga saya nanti kalau ia rosak kerana asyik menyanyi lagu-lagu bernada tinggi," katanya berseloroh.

Album Infinity yang akan dipasarkan pada 25 November ini memuatkan 11 buah lagu dengan Louder sebagai single pertama. Lagu-lagu lain termasuklah Before It Explodes, Lesson For Life, Never Always, One Day dan Far As The Sky.

Full content generated by Get Full RSS.

Balada bangkit, etnik mati

Posted:

Balada bangkit, etnik mati

Balada bangkit, etnik mati


SHILA Amzah bertanding tahun ini atas tiket lagu Beribu Sesalan bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor.


MEMANG benar seperti apa yang dikatakan sebelum ini. Pasaran muzik tempatan hakikatnya sukar diramal kerana trend muzik yang sentiasa berubah-rubah.

Harus diakui, tiga tahun kebelakangan ini pasaran muzik semasa telah didominasi oleh muzik indie sehingga menenggelamkan genre yang sedia ada.

Tidak keterlaluan dikatakan, kini senario itu sudah berubah apabila lagu-lagu berentak balada kini menjadi perhatian pencinta muzik tempatan.

Semuanya dapat dibuktikan pada majlis pengumuman 30 buah lagu yang layak bertanding dalam separuh akhir Muzik-Muzik Ke-26 (MM26) di Wisma Bentley Music, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Ternyata pertandingan yang menjadi buah mulut peminat muzik tanah air saban tahun itu memperlihatkan saingan hebat daripada 30 buah lagu yang layak bertanding tahun ini.

Seperti mana yang dikatakan tadi, lagu-lagu berentak balada sememangnya menjadi tumpuan kali ini dan dilihat sebagai calon utama untuk mara ke Anugerah Juara Lagu Ke-26 pada 29 Januari depan.

Antaranya Kisah Hati nyanyian Alyah, Beribu Sesalan (Ning Baizura, Jaclyn Victor & Shila Amzah), Awan Nano (Hafiz), Kisah Dongeng (Stacy), Sedetik Lebih (Anuar Zain), Luar Biasa (Shahir) dan Penakut (Yuna).

Tidak dilupakan lagu-lagu popular yang mendapat permintaan tinggi di corong radio seperti Kalau Berpacaran nyanyian Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali & Altimet, Kekanda Adinda (Monoloque & Atilia) serta Kurnia (Mizz Nina & Noh) juga bakal memberikan saingan tahun ini.

Ia sekali gus membuktikan bahawa pasaran muzik masa kini tidak lagi didominasi oleh satu genre sahaja.

Sebaliknya, variasi yang ditonjolkan juga secara tidak langsung memberi signal bahawa industri muzik kita belum lagi ketandusan muzik yang berkualiti.

Mengulas tentang senario ini, Pengurus Penerbitan Hiburan Primeworks Studios Sdn. Bhd., Fadzliniza Zakaria memberitahu pihaknya amat berpuas hati dengan perkembangan positif tersebut.

Tambahnya, ia sekali gus membuktikan bahawa industri muzik tempatan masih lagi mampu menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi.

"Kalau hendak memperkatakan tentang trend muzik semasa, ia adalah sesuatu yang normal dalam industri kita. Harus diakui, tiga tahun kebelakangan ini, muzik indie menjadi kegilaan ramai.

"Tetapi, sekarang ini kita sudah nampak variasi muzik yang dipertandingkan kali ini dan apa yang kami boleh katakan juga, ia kelihatan seimbang antara penyanyi solo dan kumpulan.

"Dalam masa yang sama juga, kami berbangga kerana tahun ini turut melibatkan penyertaan daripada pemuzik baru seperti Najwa Latif," ujarnya yang ditemui pada sidang akhbar usai sesi cabutan undian giliran persembahan artis untuk separuh akhir MM26.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved