Ahad, 12 Januari 2014

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Restoran, kafe siber musnah dalam kebakaran

Posted: 12 Jan 2014 07:21 PM PST

BELURAN 13 Jan. - Dua premis membabitkan restoran dan kafe siber musnah dalam kebakaran di Telupid malam tadi.

Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Syamzari Zanith

berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.45 malam dan menghantar sebuah jentera bersama empat anggota ke tempat kejadian.

Beliau berkata, disebabkan lokasi kejadian jauh dari balai bomba iaitu kira-kira 100 kilometer, anggota bomba dan penyelamat hanya tiba pada pukul 10.20 malam.

Ketika bomba tiba, keseluruhan bangunan menempatkan dua premis itu telah

musnah, katanya. - BERNAMA

Lelaki berang kad 'ditelan' rosakkan tujuh mesin ATM

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Polis menahan lelaki yang memecahkan cermin skrin tujuh mesin ATM di Menglembu, Ipoh semalam.

IPOH 12 Jan. - Polis menahan seorang lelaki kerana merosakkan skrin tujuh mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di pekan Menglembu di sini semalam.

Lelaki berusia 34 tahun yang beralamat di Taman Pinji Mewah, Lahat di sini dipercayai berbuat demikian kerana berang apabila kad pengeluaran wangnya 'ditelan' oleh salah satu mesin ATM berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan lelaki itu untuk memecahkan skrin mesin ATM tersebut.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu berada dalam keadaan mabuk dan suspek bertindak memecahkan skrin mesin ATM kerana berang kad ATM miliknya 'ditelan'," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


FAM tidak ‘tolak’ pandangan Khairy

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan menolak mentah-mentah pandangan Khairy Jamaluddin, yang mempersoalkan kewajaran Malaysia mengambil jurulatih berprofil tinggi seperti Philippe Omar Troussier untuk membimbing skuad kebangsaan.

Sebaliknya, badan induk bola sepak kebangsan itu akan memberi perhatian kepada teguran Menteri Belia dan Sukan tersebut, biarpun pada dasarnya jurulatih kelahiran Perancis itu masih menjadi calon utama mereka untuk menggantikan Datuk K. Rajagobal.

Apa yang diperkatakan oleh Menteri Belia dan Sukan mengenai pengambilan jurulatih import akan diambil perhatian oleh FAM tetapi satu perkara yang mahu diingatkan, kami masih belum buat sebarang keputusan mengenai pelantikan jurulatih baharu Harimau Malaya, jadi tidak perlu saya ulas panjang.

Sama ada kita akan mengambil jurulatih import atau sebaliknya, tunggulah dengan sabar.. kerana tiada perkara yang dimuktamadkan lagi dan banyak aspek perlu dinilai, belum pasti lagi kita akan ambil (jurulatih import).

Malah, siapa pilihan A, B atau C daripada pihak FAM, kita sudah ada..cuma tunggulah dahulu, itu sahaja saya mahu komen buat setakat ini, " kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Khairy kelmarin berkata, secara dasarnya beliau tidak bersetuju dengan pilihan FAM untuk mendapatkan khidmat Troussier sambil mencadangkan segala perbelanjaan wajar disalurkan kepada program pembangunan akar umbi.

Beliau juga beranggapan keperluan mendapatkan khidmat jurulatih bertaraf dunia dilihat bukan satu keperluan mendesak buat Malaysia kerana tidak berdepan mana-mana kejohanan besar dalam masa terdekat.

Baginya, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki ekoran kumpulan bakat pemain yang dimiliki oleh negara terhad dan tidak banyak mampu dilakukan oleh jurulatih kebangsaan yang dilantik untuk memperbaiki prestasi dalam masa yang singkat.

Troussier, bekas pengurus Jepun yang membawa negara matahari terbit itu mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002.

Selain membantu Jepun menjuarai Piala Asia 2000, beliau juga dianggap kaya dengan pengalaman kerana pernah membimbing Nigeria, Afrika Selatan dan Burkina Faso selain Qatar.

'The Bos Gaurus' yakin gegar liga

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my

Hardi Jaafar mengetuai bacaan ikrar pada majlis pelancaran logo dan pasukan Liga Super Perak di Stadium Perak, Ipoh semalam.

IPOH - Meskipun tidak memiliki pemain bertaraf bintang, Perak yakin mampu menjadi antara pasukan yang disegani dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kecuali Hardi Jaafar yang agak dikenali, lain-lain nama dalam pasukan itu masih asing bagi peminat selepas Perak kehilangan pemain bertaraf bintang seperti penjaga gol Farizal Marlias, Abdul Hadi Yahya, Shahrulnizam Mustafa dan S. Chanturu yang menyertai pasukan lain musim ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut yakin walaupun tidak memiliki nama besar, Perak mampu mencipta kejutan.

Menurutnya, skuad Perak kali ini berwajah baharu kerana ia dibentuk berasaskan pemain kelahiran negeri sendiri yang dikenalpasti di kampung-kampung dan di setiap daerah.

"Saya harap Perak akan cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini. Pasukan ini dibina daripada anak-anak jati Perak yang berbakat, malah jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim merupakan bekas pemain Perak.

"Saya berharap dengan semangat dan kesungguhan pemain, Perak akan kembali melakar kecemerlangan dalam saingan bola sepak tempatan," katanya.

Zambry berkata demikian selepas melancarkan logo baru skuad Perak, 'The Bos Gaurus' iaitu nama saintifik bagi seladang, juga slogan baharu 'Kejor Yeop Score' menggantikan 'Kejor Yeop Kejor' di Stadium Perak, di sini semalam.

Pengenalan logo dan nama baru itu yang diilhamkan sendiri oleh beliau yang diharapkan dapat menyuntik semangat juang pemain Perak dalam mengharungi cabaran musim 2014.

Tambah Zambry, semangat sepasukan, disiplin dan stamina adalah ciri-ciri utama yang akan menentukan kejayaan sesebuah pasukan.

Menurutnya, tanpa ciri-ciri berkenaan, pemain yang menerima gaji yang tinggi sekali pun tidak akan berjaya.

"Skuad Perak dibina atas ketiga-tiga ciri ini. Saya sendiri melihat keazaman dan stamina yang ada pada pemain sewaktu bermain bersama-sama mereka ketika sesi latihan," ujar beliau.

Skuad Perak musim ini dibarisi Muhd. Nor Haziq Mohd. Aris (penjaga gol), Mohd. Haizal Faquan Sadarudin, M. Yoganatahn, Mohd. Nasir Basharudin, Muhd. Syamil Khairi, Mohd. Syazwan Mohd. Roslan, dan Mohd. Shahrizal Mohd. Saad.

Lilit lengan ketua pasukan milik Mohammad Hardi Jaafar. Lain-lain pemain termasuk Mohd. Ridzuan Azly Hussham, J. Partiban, Mohd. Tuah Iskandar Jamaluddin, Mohd. Nazri Mohd. Kamal, Mohd. Noor Hazrul Mohd. Mustapa, Mohd. Hidayat Amarudin, Razi Efendi Suhit, Mohamad Hisyamudin Mohamed Sha'ari, Mohd. Azmeer Yusof dan Mohd. Khairi Kiman.

Perak diperkuatkan dengan empat pemain import iaitu kapten skuad Bawah 23 Tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win selain turut menyambar pemain Burkina Faso, Martin Kafando; pemain Bosnia, Zelemir Terkes dan pemain Brazil, Eliel da Cruz Guardiano.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Banjir: Beribu penduduk terkandas

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

penduduk terpaksa menggunakan bot apabila laluan Jerantut ke Kuala Tahan ditutup kepada kenderaan ringan selepas dinaiki air di Kampung Paya Garuk, Jerantut, kelmarin. - utusan/M.Rizal Nor

JERANTUT 12 Jan. - Laluan Jerantut-Kuala Lipis ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air sejak petang semalam.

Keadaan itu menyebabkan beribu penduduk terputus hubungan kecuali menggunakan bot untuk urusan begitu penting.

Tiga laluan lain pula hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja iaitu Pulau Tawar ke Durian Hijau, Jerantut-Kuala Tahan di Kampung Paya Garuk dan Jerantut- Maran berhampiran Simpang Jengka 8 di sini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, semua pengguna yang melalui jalan tersebut diminta mematuhi arahan pihak berkuasa dan peka dengan papan tanda kawasan banjir.

"Ada beberapa jalan di kawasan kampung turut dinaiki air iaitu Kampung Belukar di Kuala Tahan, Kampung Gintong dan Tembeling Tengah.

"Pengguna jalan raya diingatkan tidak meredah jalan yang dinaiki air sesuka hati bagi mengelak perkara yang tidak diingini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, dua keluarga membabitkan 12 dewasa dan enam kanak-kanak telah dipindahkan di Kampung Paya Teh setelah rumah mereka dinaiki air.

Katanya, Pusat Khidmat Operasi Banjir (PKOB) daerah masih belum beroperasi dan orang ramai diingatkan berjaga-jaga dan elakkan melakukan aktiviti di sungai kerana arus deras.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Sabri Kamaludin memberitahu, air Sungai Jerantut di Kampung Paya Garuk di sini mula dinaiki air sejak petang semalam.

"Air naik sedikit demi sedikit dan kini melimpahi ke jalan raya sehingga ke paras 0.5 meter dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja," katanya.

Menurutnya, setakat ini belum ada mangsa dipindahkan namun pihaknya membuat persediaan sekiranya air semakin naik bagi memudahkan pergerakan ke pusat pemindahan di surau kampung berkenaan.

Guna kereta api serah bantuan kepada mangsa banjir

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Mustapa Long (tiga dari kanan) bersama pasukan Sukarelawan UMNO dan penduduk kampung memunggah barangan keperluan dari kereta api untuk dibawa ke pusat pemindahan di Kampung Chegar Perah, Kuala Lipis, Pahang, kelmarin. - Utusan/Haris Fadilah Ahmad

KUALA LIPIS 12 Jan. - Pasukan Sukarelawan UMNO Bahagian Lipis menggunakan khidmat pengangkutan kereta api untuk menghantar bantuan berupa makanan, tikar, selimut dan tilam kepada 57 mangsa banjir di pusat pemindahan Kampung Chegar Perah di sini semalam.

Pasukan disertai 20 ahli Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian itu diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long menaiki kereta api dari Stesen Bandar Kuala Lipis ke Chegar Perah selama 30 minit untuk mengagihkan bantuan berkenaan.

Mustapa ketika ditemui berkata, bantuan berkenaan dibawa menggunakan pengangkutan itu kerana jalan raya melalui Kampung Aur Gading ke Kampung Chegar Perah ditenggelami air dan tidak boleh dilalui semua kenderaan.

"Kita membuat keputusan menghantar bantuan tersebut menggunakan perkhidmatan itu kerana jalan raya untuk memasuki kawasan tersebut tidak boleh dilalui.

"Khidmat kereta api ini membolehkan kami menyalurkan bantuan kepada sembilan keluarga melibatkan 57 orang mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan disediakan," katanya.

Yang turut hadir, Penghulu Mukim Telang, Abdullah Zawawi Kamaluddin dan Ketua Kampung Chegar Perah, Rahimi Ismail.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian itu berkata, antara barang makanan yang dihantar adalah beras, telur, sardin, bihun, jus, susu, minyak masak dan air mineral selain barangan keperluan seperti kain batik, kain pelikat, selimut, tuala serta tilam.

Mustapa berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana menyediakan kemudahan gerabak membawa barangan tersebut untuk disalurkan kepada mangsa banjir di kampung berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah telah menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan Kampung Kuala Telang yang diduduki lima keluarga diikuti Kampung Beralas (dua) dan Kampung Dusun (enam).

"Kita juga bersama JKM turut menghantar bantuan kepada tiga keluarga melibatkan 11 mangsa di Kampung Aur Gading yang kawasan rumah mereka turut dinaiki air," katanya.

Lebih banyak RTC mini diwujudkan

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

TEMERLOH 12 Jan. - Kerajaan akan mewujudkan lebih banyak mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) sebagai usaha membawa pembangunan dengan lebih dekat kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, mini RTC merupakan tempat yang dapat melaksanakan pelbagai inisiatif secara bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Kewujudan RTC mini di lokasi pilihan memberi satu kemudahan terbaik kepada masyarakat luar bandar dalam menjayakan transformasi bagi sektor ekonomi, politik, pendidikan, teknologi dan kemasyarakatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Mini RTC di Kampung Paya Luas di sini baru-baru ini.

Menurutnya, transformasi itu akan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar selaras dengan konsep dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

"Mini RTC berperanan sebagai pusat sehenti kepada usahawan dan masyarakat luar bandar untuk mendapatkan pelbagai kursus sokongan serta perkhidmatan kerajaan.

"Langkah ini membawa satu anjakan besar kepada perubahan sektor luar bandar sekali gus menyaksikan perkhidmatan disediakan di bandar turut berada di mini RTC tersebut,'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Bom meletup: Lima anggota polis Pakistan terbunuh

Posted: 12 Jan 2014 10:30 AM PST

PESHAWAR, Pakistan 13 Jan. - Dua butir bom meletup ke arah sekumpulan ahli politik di barat laut negara ini, mengorbankan lima anggota polis dan mencederakan empat yang lain, semalam.

Kejadian letupan itu berlaku di kawasan Martoong di Lembah Swat, kawasan yang dikuasai kumpulan Taliban ketika konvoi penasihat kepada Perdana Menteri, Nawaz Sharif melalui jalan tersebut.

Seramai lima anggota pasukan polis terkorban dan empat yang lain cedera," kata jurucakap polis, Abdullah Khan. - AFP

Serangan bom: Dua anggota polis Afghanistan maut

Posted: 12 Jan 2014 10:23 AM PST

KABUL 13 Jan. - Sekurang-kurangnya dua anggota polis terkorban manakala 20 orang yang lain cedera apabila pengebom berani mati meletupkan diri bersebelahan sebuah bas di timur Kabul, semalam.

Jurucakap polis, Hashmat Stanikzai berkata, pengebom itu menunggang motosikal sebelum meletupkan diri bersebelahan bas yang membawa anggota polis.

Anggota polis pelatih dan kadet antara yang terkorban dalam letupan tersebut. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mengapa tidak memilih bertoleransi?

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

Seorang wanita memegang poster semasa berarak mengadakan bantahan berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH bertempat di Batu Caves, Selangor, semalam.

"SAYA bersyukur Mufti dan umat Islam berdiri di belakang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana jika mereka tidak memberi pandangan sebegitu, maka itu adalah tragedi yang amat dahsyat dan menyedihkan kepada umat Islam."

Itu adalah antara kata-kata yang diluahkan bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Dr. Elias Zakaria ketika diminta pandangan mengenai polemik tindakan JAIS merampas Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah di Selangor, Khamis lalu.

Tidak sukar memahami kekecewaan beliau itu kerana seperti umat Islam lain, tindakan Persatuan Bible Malaysia (BSM) yang tetap berdegil mahu mengedarkan kitab Bible versi bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah benar-benar mengguris hati dan perasaan.

Begitu juga dengan tindakan Pengarang The Herald, Lawrence Andrew yang tetap berdegil mahu gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya dalam bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.

BSM dan Andrew seolah-olah lupa setiap penganut agama tidak kira umat Islam, Buddha malah Kristian sendiri mempunyai sensitiviti terhadap agama masing-masing yang jika disentuh boleh mengundang rasa kurang selesa dan kemarahan.

Dalam isu ini, tindakan pemimpin Kristian yang berterusan mencabar penggunaan kalimah Allah dalam bahasa Melayu di sebalik larangan mahkamah sudah semestinya membuatkan umat Islam 'melompat'.

Apatah lagi terdapat perbezaan yang cukup jelas berhubung penggunaan kalimah Allah dalam merujuk kepada Tuhan bagi penganut Islam dan Kristian. Bagi umat Islam, kalimah Allah itu tidak direka-reka oleh umatnya melainkan menerusi pengisytiharan oleh Allah sendiri.

Islam juga mengajar umatnya Allah itu Esa, tidak beranak dan tidak juga diberanakkan serta tiada sekutu.

Namun, penganut Kristian percaya Allah itu bersekutu sekali gus jauh menyimpang daripada apa yang diyakini umat Islam.

Perbezaan sebeginilah yang menyebabkan umat Islam tidak boleh menerima kemahuan pihak Kristian menggunakan kalimah Allah kerana secara jelas mencabar kesucian kalimah itu seperti yang dipercayai umat Islam selama ini.

Penulis percaya, penganut mana-mana agama sekali pun sekiranya berdepan dengan ancaman terhadap kesucian agama mereka, tidak rela membiarkan perkara itu begitu sahaja.

Begitulah juga bagi umat Islam dalam isu ini yang malangnya, kemarahan itu seolah-olah tidak diambil peduli dan dipandang sebelah mata oleh BSM dan Andrew.

Paling mendukacitakan, pemimpin Kristian ini menunjukkan kedegilan mereka ketika banyak sebab tidak memihak kepada mereka.

Antaranya keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya.

Jika diikutkan, perkara ini juga tidak perlu sehingga diputuskan oleh mahkamah kerana perkataan-perkataan yang menjurus kepada agama Islam sudah digazetkan dan tidak boleh diguna sama oleh penganut agama lain.

Namun, itulah yang sudah terjadi dan umat Islam setakat ini boleh menarik nafas lega dengan keputusan mahkamah itu.

Persoalannya, jika umat Islam masih lagi mampu bertolak ansur dengan pemimpin Kristian meskipun sehingga dicabar di mahkamah, mengapa pemimpin Kristian tidak boleh mengambil pendekatan serupa?

Inilah perkara yang cukup dikesalkan kerana pemimpin Kristian dilihat lebih selesa mengambil tindakan bertentangan sehingga mengeruhkan keadaan.

Sebagai tokoh agama, pemimpin Kristian ini sudah semestinya lebih memahami bagaimana mahu mendepani isu-isu yang membabitkan pertembungan agama.

Apatah lagi berkaitan kalimah Allah yang diketahui mereka sudah digunakan umat Islam di negara ini sejak sekian lama.

Malah, isu ini juga menyentuh mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dalam Perlembagaan yang perlu ditangani dengan penuh berhati-hati dan teliti.

Malangnya ketika ini, mereka dilihat seolah-olah bertindak mengikut perasaan dan seperti mahu menunjukkan berkuasa serta mampu melakukannya. Tidakkah tindakan seperti itu semakin membangkitkan kemarahan umat Islam?

Pemimpin Kristian sebenarnya mempunyai pilihan yang lebih bijak dan harmoni dalam menangani isu ini.

Antaranya mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkuasa agama seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) , Mufti-mufti negeri dan banyak lagi.

Malah, mereka juga boleh meminta menghadap Sultan Selangor untuk berbincang mengenai isu itu khususnya yang berlaku di negeri tersebut.

Sebagai pemimpin agama Islam tertinggi, Sultan Selangor sudah semestinya mahu mendengar penjelasan pemimpin Kristian dan berbincang bagi mencari pendekatan terbaik dalam menangani isu ini kerana menyentuh mengenai akidah umat Islam yang dinaungi baginda.

Malangnya, sifat bertoleransi, saling menghormati dan memahami itu tidak dijadikan pilihan oleh pemimpin Kristian yang lebih selesa mengambil tindakan sendiri.

Hakikat ini cukup menyedihkan kerana umat Islam selama ini tidak pernah mempertikai kebebasan penganut Kristian serta penganut agama lain mempraktik kepercayaan masing-masing meskipun Islam merupakan agama rasmi Persekutuan.

Penganut agama lain selama ini bebas merayakan perayaan mengikut kepercayaan agama masing-masing tanpa sebarang sekatan atau gangguan.

Semuanya bertitik-tolak daripada sikap bertoleransi dan saling menerima perbezaan kaum dan agama dalam hidup bermasyarakat.

Namun, jika rasa hormat itu semakin dicabar dan dilanggar, maka hilanglah semangat keharmonian itu.

Kepada pemimpin Kristian yang terlibat, cubalah belajar untuk sama-sama menghormati perasaan dan sensitiviti umat Islam apatah lagi dalam perkara-perkara yang sudah dilindungi undang-undang dan Perlembagaan.

Jika tidak dilindungi undang-undang sekali pun, sebagai individu yang sudah tentu tinggi ilmu agamanya, mengapa sehingga tergamak mereka mencabar kesucian agama lain?

‘Anwar jangan gopoh, rileks...’

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

KALAU bercakap dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF, memang tak sedar masa berlalu. Ingatkan sejam, tengok sudah melebihi 2 jam.

Tapi, apa yang disentuhnya tentang sebab persempadanan semula bahagian pilihan raya ada faktanya. Ada kebenarannya.

Cuma Abdul Aziz tersenyum dengan gelagat seorang pemimpin pembangkang ini apabila memberi komen pasal isu persempadanan ini. Yang menurutnya, sekejap nafasnya lain, sekejap pula dalam nafas lain pula.

Kepada wartawan ZULKIFLI JALIL dan ABDUL YAZID ALIAS serta jurugambar SHAHARUDDIN ABDULLAH di kediamannya di Seksyen 7, Shah Alam Jumaat lalu, Abdul Aziz bercakap panjang lebar tentang isu persempadanan ini. Berikut temu bualnya, yang lebih elok diteliti dan dinilai sendiri oleh pakatan pembangkang.

UTUSAN: Mengapa perlu persempadanan semula bahagian pilihan raya dibuat sekarang?

ABDUL AZIZ: Urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya merupakan salah satu tugas SPR mengikut Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan yang mengkehendaki SPR menjalankan urusan persempadanan semula dalam tempoh sekurang-kurangnya 8 tahun urusan persempadanan terdahulu selesai.

Persempadanan terakhir untuk negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah ialah pada Mac 2003 manakala bagi Sarawak ialah pada Jun 2005. Berdasarkan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh melaksanakan urusan persempadanan bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selepas Mac 2011 dan Sarawak pada Jun 2013.

Meskipun undang-undang menetapkan persempadanan sekurang-kurangnya lapan tahun, namun proses itu boleh dikira dalam tempoh 10 tahun secara keseluruhannya yang mana proses itu perlu mesti disiapkan oleh SPR dalam tempoh dua tahun selepas pengumuman rasmi dibuat oleh SPR.

Apa prosedur awalnya?

Mengikut Perlembagaan, SPR mesti memaklumkan kepada Perdana Menteri dan Speaker Dewan Rakyat. Selepas itu baru kita umumkan secara rasmi yang mana bermulalah hari pertama SPR memulakan proses persempadanan semula yang mesti disiapkan dalam dua tahun. Bermakna, lapan tahun campur dua tahun, jadi 10 tahun sekurang-kurangnya.

Dalam undang-undang tidak menyebut persempadanan semula mesti dibuat dalam lapan tahun, tapi sekurang-kurangnya lapan tahun.

Bagaimanapun, ada laporan sebelum ini menyebut Anwar (Penasihat PKR) pernah mempersoalkan mengapa SPR tak buat (persempadanan semula) dalam tempoh lapan tahun pada 2011. Maknanya, beliau nak sangat SPR buat persempadanan semula, seolah-olahnya dia nak menyalahkan SPR mengapa kita tak buat.

Kenyataannya, beliau tidak faham undang-undang bahawa semestinya bukan lapan tahun persempadanan semula itu tetapi sekurang-kurangnya lapan tahun. Namun, dalam nafas lain, dia (Anwar) kata, SPR jangan buat persempadanan semula, kalau SPR buat kita tak setuju, mana satu pendirian beliau dalam soal ini.

Satu nafas dia kata mengapa tak buat, satu nafas lain jangan buat, kononnya ahli-ahli (SPR) ini tak boleh harap. Tetapi yang tak buat orang (ahli SPR) yang sama juga, bukan tak buat melanggar undang-undang tetapi sekurang-kurangnya lapan tahun.

Kalau diikutkan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh melaksanakan urusan persempadanan bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selepas Mac 2011 dan bagi Sarawak pada Jun 2013. Ini bermakna persempadanan semula semua negeri dalam Malaysia boleh dibuat serentak kerana semua telah melebihi lapan tahun.

Kenapa SPR tidak menjalankan persempadanan semula pada 2011 bagi negeri Tanah Melayu dan Sabah walaupun ia telah melepasi tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun?

Mengapa? Pada 2011, kita lihat keadaan politik yang seolah-olah Perdana Menteri akan membubar Dewan Rakyat pada bila-bila masa, 2011 ke, 2012 ke. Ada satu perhimpunan di Bukit Jalil (yang dihadiri Perdana Menteri) sebelum itu sebagai contoh, selepas perhimpunan itu kita lihat bendera semua naik, kita ingat pilihan raya sudah dekat. Ekoran perhimpunan itu, kita buat taklimat, kita bincang dan kita dapati tak boleh buat persempadanan semula pada 2011 kerana akan mengganggu kerja dan tugas SPR jika Perdana Menteri bubarkan Dewan Rakyat.

Apa contoh kawasan pilihan raya yang begitu padat atau paling kecil jumlah pengundinya, sehingga memerlukan persempadanan semula ini disegerakan?

Sebenarnya banyak kawasan padat. Antara contoh bahagian pilihan raya yang mempunyai jumlah pemilih yang terlalu tinggi pada 29 November 2013 ialah P.109 Kapar (Selangor). Kapar mempunyai pemilih seramai 146,087 orang manakala bahagian pilihan raya Parlimen yang mempunyai pemilih terkecil pula pada tarikh yang sama ialah P.207 Igan (Sarawak). Igan memiliki pemilih seramai 18,124 orang. Walaupun pengundi bilangan kecil, keluasan sesuatu kawasannya perlu diambil kira yang mana ada kawasan itu sebesar Pahang, Pulau Pinang pun ada. SPR ambil kira perkara ini seterusnya membuat persempadanan.

Benarkah majoriti dua pertiga diperlukan untuk meluluskan persempadanan ini?

Di bawah undang-undang untuk meluluskan laporan persempadanan SPR apabila dibentangkan di Dewan Rakyat, ia tidak memerlukan sokongan dua pertiga. Tetapi perlukan sekadar majoriti mudah. Kalau sekarang ini ada 222 kerusi di Dewan Rakyat, kalau dapat sokongan 112, baru boleh diterima laporan ini. Laporan ini diterima dengan majoriti mudah.

Kalau sekarang ini BN (Barisan Nasional) ada 133 kerusi Dewan Rakyat dan jika semua menyokong laporan itu, ia boleh diterima. Apabila laporan persempadanan SPR itu diterima, di samping mengubah dan membetulkan sempadan kawasan pilihan raya, laporan itu mungkin ada mengesyorkan menambah kerusi.

Dan, untuk menambah kerusi, mesti ada pindaan terhadap Perlembagaan. Untuk melaksanakan syor dalam laporan persempadanan SPR menambah kerusi Dewan Rakyat, mesti Perlembagaan dipinda dahulu di bawah Fasal 46 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bilangan kerusi.

Namun, pindaan Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dibuat apabila mendapat persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat. Makanya, daripada 222 kerusi, mesti ada sokongan sekurang-kurangnya 148 ahli Dewan Rakyat. Sekarang ini parti pemerintah ada 133, makanya mereka kurang 15 kerusi untuk dapatkan majoriti dua pertiga.

Adakah ini bermakna dengan perubahan sempadan bahagian pilihan raya yang tidak memerlukan majoriti dua pertiga, ia akan melibatkan berlaku pemindahan pengundi dari DUN asal ke DUN lain?

Pindaan sempadan kawasan pilihan raya ini kita ubah. Sebab apa kita ubah? Sebabnya kalau kita dapati DUN-DUN di bawah sesuatu kawasan Parlimen itu tidak sama rata. Katakanlah di Parlimen Shah Alam ada dua DUN, kalau kita dapati DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga, bilangan pengundi jauh berbeza sangat, kita ubah sempadan supaya jumlah pengundinya lebih kurang sama.

Jadi, prinsip yang terkandung dalam Bahagian I, Jadual Tiga Belas Perlembagaan Persekutuan itu adalah asas SPR melakukan kajian persempadanan semula. Ia juga menjadi prinsip pegangan kita.

Adakah persempadanan semula ini satu formula yang boleh memenangkan sesuatu parti politik?

Itu terpulang kepada pengundi dan SPR tidak mengambil kira perkara itu. Itu sebab kalau kita jumpa ahli politik dan bincang mengenai persempadanan ini, kita tak boleh bergerak. Mereka mungkin akan cakap, eh! ini aku punya orang kuat masuk ke sempadan lain? kita tidak tahu benarkah andaian ini.

Kalau kita tanya mana-mana ahli politik apa yang mereka nak jaga ialah selamat atau tidak kerusi itu. Kalau ada 150,000 pengundi, mesti dikurangkan. Macam mana kita nak kurangkan ialah sama ada kita tambah kerusi Parlimen berkenaan atau tambah kerusi DUN. Tapi takkanlah satu kawasan Parlimen kita nak letakkan enam DUN, jumlah pengundi sama juga. Jadi logiknya, kita pecahkan kepada dua Parlimen masing-masing ada tiga kawasan DUN.

Kalau ada pertambahan kerusi, itu syor SPR yang buat persempadanan semula kita kemukakan kepada Dewan Rakyat. Terpulang kepada Dewan Rakyat untuk terima atau tidak.

Namun, SPR juga mengikut pertimbangan kalau kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak, kawasannya terlalu besar namun bilangan pengundinya adalah kecil, kita ada pertimbangan untuk pecahkan kawasan pilihan raya berkenaan. Kita ada banyak pertimbangan.

Yang penting, jangan ada pertindihan sempadan negeri, Parlimen. Kawasan DUN pula jangan melangkau Parlimen lain. Perubahan satu-satu kawasan Parlimen atau DUN itu seboleh-bolehnya dalam satu daerah. Mungkin daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor ataupun satu pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT). Kenapa? kalau Parlimen atau DUN diletakkan lebih satu daerah atau PBT, wakil rakyat terpaksa berkhidmat di dua daerah atau PBT. Kalau ada mesyuarat, letihlah dia.

Kemudian, dalam Perlembagaan juga menurut Jadual Tiga Belas, turut menyatakan bilangan pemilih dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak. Bukanlah tepat sama, tetapi lebih kurang kalau lebih 30, 28, 31.

Kita tak boleh nak kata Parlimen Cheras sama banyak di Parlimen Sabak Bernam. Tak boleh kata one-man, one-vote, one-value, di mana berada di Malaysia ini di mana nilai undi itu sama. Maknanya sama (di mana-mana tempat), bezanya mereka kata 15 peratus, ini tidak boleh cakap begitu.

Kelak, akan ada pihak menuduh SPR berat sebelah dalam urusan persempadanan ini kerana ini kali pertama dibuat dalam keadaan BN tidak memiliki majoriti dua pertiga.

Ini bukan perkara baharu, sama ada dalam keadaan dua pertiga dan bukan dua pertiga, ahli-ahli politik ini dalam kumpulan mana dia berada, dia mesti akan menuduh SPR menyatakan one-man, one-vote,gerrymandering (amalan pengarisan semula kawasan pilihan raya). Maknanya, SPR ini dianggap meminda persempadanan itu atau menambah bilangan kerusi yang tujuannya semata-mata untuk memenangkan parti pemerintah itu tuduhan mereka. Kita nafikan tuduhan itu.

Antara kerja-kerja SPR dalam urusan persempadanan ini?

Dalam tempoh itu, pertamanya apabila siap laporan awal, kita akan warta, pamer dan iklankan di dalam akhbar. Selepas itu, ada tempoh sebulan kepada tiga kumpulan untuk membuat bantahan atau cadangan balas iaitu kerajaan negeri, PBT-PBT dan sekurang-kurangkan 100 orang pengundi di kawasan yang terlibat dalam persempadanan semula.

Kalau pengundi nak buat aduan di kawasan Shah Alam, ia haruslah melibatkan sekurang-kurangnya 100 pengundi di kawasan Shah Alam, tak boleh orang luar. Di peringkat SPR, kita akan semak nama dia, kad pengenalan dia, mengundi di mana. Bukan bermakna orang politik tidak boleh buat bantahan, mereka boleh melalui ruang lain sama daripada kumpulan pengundi atau kerajaan negeri.

Seterusnya, apabila tempoh bantahan dan cadangan balas dilakukan, SPR akan membuat siasatan tempatan (local inquiry). Kita pergi ke tempat itu berjumpa dengan pihak terlibat untuk mendengar hujah mengapa mereka bantah.

Selepas proses local inquiry ini dilaksanakan, SPR akan buat pindaan dan akan pamer sekali lagi dalam tempoh sebulan. Selepas itu, kita adakan sekali lagi local inquiry untuk kali kedua. Selepas itu, SPR akan buat laporan akhir. Kesemua proses itu dilakukan dalam tempoh dua tahun.

Selepas siap semuanya laporan dalam tempoh dua tahun itu, laporan tadi kita akan serah secara rasmi kepada Perdana Menteri. Selepas itu, terpulang kepada Perdana Menteri bila nak bentang .

Dalam tempoh dua tahun untuk menyediakan laporan itu, SPR akan turun padang lihat maklumat berapa ramai pengundi, persempadanan, kemudahan pentadbiran dan PBT.

Bagaimana kalau pembangkang tolak kajian persempadanan semula ini?

Menerima atau menolak cadangan persempadanan semula SPR bergantung kepada keputusan yang dibuat wakil rakyat sendiri. Kita akan patuhi apa juga keputusan yang dibuat di Dewan Rakyat. Kalau mereka kata setuju, setujulah, kalau tak setuju, tak setujulah. Tapi jangan komplen kepada SPR kata pengundi kawasan dia ramai sangat.

Cabaran yang dihadapi SPR ialah untuk menambah bilangan kerusi. Di Dewan Rakyat tidak ada majoriti dua pertiga. Tapi ada juga DUN yang ada majoriti dua pertiga dan ada yang tidak ada majoriti dua pertiga. Akan tetapi, ada undang-undang negeri nak tambah kerusi tak semestinya perlu ada dua pertiga, tertakluk kepada perlembagaan negeri masing-masing.

Bagi negeri yang ada majoriti dua pertiga seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak, Perlis, dari segi teorinya mereka boleh lulus dan pinda perlembagaan negeri masing-masing.

Akan tetapi jika di peringkat pusat pertambahan kerusi tidak lulus, apakah perlembagaan negeri boleh dipinda? Sebab apa? Pertambahan kawasan DUN bergantung kepada pertambahan di peringkat Parlimen. Kalau Parlimen tak bertambah, macam mana DUN nak bertambah dari segi logiknya.

Ada contoh yang mudah kami faham?

Saya beri contoh Parlimen Shah Alam kalaulah parlimen itu dipecah kepada dua sebab kawasan luas dan pengundi ramai. Shah Alam sekarang ini ada dua DUN sahaja dan bila dipecah, DUN akan jadi empat iaitu setiap parlimen ada dua DUN. Soalnya, bolehkah jadi empat DUN kalau parlimen tidak pecah dua? Takkan boleh, itu dari segi undang-undang.

Dari segi moral pula, kalaulah parti pembangkang di Dewan Rakyat tidak menerima di Dewan Rakyat untuk tambah kerusi, apakah ia bermoral atau tidak kalau mereka nak tambah kerusi DUN di Selangor. Undang-undang tak boleh, moralnya tak boleh. Nak letak DUN ini di mana? Di bawah Parlimen mana? SPR hanya boleh buat tambah DUN baharu kalau ada parlimen baru.

Maka, sebelum menolak cadangan SPR, sepatutnya mereka kena fikir banyak kali bahawa jangan semata-mata nak tolak apa yang dibawa oleh SPR kerana ia mungkin menguntungkan kedua-dua pihak (parti pembangkang dan pemerintah).

Macam anak sebelum lahir, jangan buat sebarang kenyataan berdasarkan cakap-cakap atau hasil x-ray. Ini belum apa-apa lagi, kalau Abdul Aziz yang buat, tolak. Belum tengok macam mana cadangan di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang. Jangan gopoh tolak cadangan SPR, bertenang, ikut, patuh undang-undang.

Bila agaknya rancangan persempadanan semula ini mahu dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum boleh dilaksanakan dalam tempoh dua tahun?

Jangkaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mungkin bukan Mac, mungkin April dan mungkin Mei. Kita tidak mahu lewat sangat, sebab melibatkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Insya-Allah, kita nak gunakan ini dalam pilihan raya DUN Sarawak pada Jun 2016.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Inspirasi moden

Posted: 12 Jan 2014 05:27 AM PST

lingkaran metalik disertakan tali berwarna hitam.

JAM tangan bukan sekadar penunjuk waktu sebaliknya sebahagian aksesori pelengkap penampilan. Memahami keperluan tersebut, Alfio Raldo memperkenalkan koleksi baharu dengan harga mampu milik. Jenama ini turut memberi hak jenama kepada syarikat pengedaran jam terkemuka Digital Hour Sdn. Bhd. untuk menghasilkan dan memasarkan jenama jam tangan Alfio Raldo.

Rekaan istimewa lelaki menampilkan lingkaran metalik disertakan tali berwarna hitam. Dalam pada itu, koleksi jam tangan wanita dihiasi butiran kristal dengan besi tahan karat.

Bagi mereka yang ingin memiliki jam tangan mewah, Alfio Raldo turut mereka jam tangan yang dihiasi dengan batu Swarovski.

Koleksi jam tangan Alfio Raldo boleh dibeli pada harga RM198 hingga RM690 setiap satu.

Fanatik Iron Maiden

Posted: 12 Jan 2014 05:27 AM PST

RASMUS Stavnsborg, 41, dari Karlslunde, Denmark menikmati segala yang diimpikan oleh seorang peminat fanatik kumpulan muzik terkenal, Iron Maiden.

Antaranya, mendapat kad hari lahir daripada vokalis kumpulan heavy metal tersebut, Bruce Dickinson, menikmati piza bersama pemain bass, Steve Harris ketika di belakang pentas, terbang bersama ahli kumpulan tersebut ke Paris dan berparti bersama, menghadiri lebih 100 persembahan mereka di serata dunia, ternyata Stavnsborg membuatkan ramai peminat yang lain cemburu dengannya.

Apatah lagi Stavnsborg memiliki 4,168 koleksi barangan berkaitan dengan Iron Maiden!

Koleksinya yang disimpan di dalam bilik bawah tanah rumahnya yang digelar Iron Maiden Bar itu turut mencatatkan rekod koleksi barangan Iron Maiden terbesar di dunia oleh Guinness World Records.

Menurut Stavnsborg, dia mula jatuh cinta dengan kumpulan yang dianggotai oleh enam orang pemuzik hebat itu sejak berusia 8 tahun iaitu pada tahun 1981, ketika kumpulan tersebut baru sahaja menghasilkan dua buah album.

Lirik, melodi, gaya persembahan dan semestinya maskot mereka, Eddie, membuatkan Stavnsborg begitu fanatik dengan kumpulan tersebut.

Hakikatnya, dia mula mengumpul barangan Iron Maiden sejak berusia 10 tahun.

Selain memiliki 37 buah album, Stavnsborg turut memiliki pelbagai barangan Iron Maiden seperti patung maskot Iron Maiden, Eddie dalam pelbagai saiz dan bentuk, baju, gambar, sepanduk, alat muzik, malah penutup tandas berimejkan Eddie!

Hobinya itu turut dikongsi teman wanitanya yang juga meminati kumpulan Iron Maiden. Malah penghantaran kad hari jadi oleh Dickinson kepada Stavnsborg diatur oleh teman wanitanya.

Sudah beratus-ratus konsert Iron Maiden ditontonnya di serata dunia termasuk di Jepun, India, Rusia, Peru dan Dubai.

Dedikasinya terhadap kumpulan tersebut membuatkan dia amat popular serta dihormati oleh ahli kumpulan itu.

Menurut Stavnsborg, antara kenangan terindah dalam hidupnya ialah ketika dia memenangi satu pertandingan untuk peminat Iron Maiden yang menerbangkan dia ke Paris bersama Dickinson dan lain-lain, menginap di hotel yang sama selain berparti dengan mereka selepas konsert di sana.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Campak sampah dari tingkat atas

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kotagroup@utusan.com.my

Zainal Kadir
Mohammad Ali
Bathmanathan
SEORANG pekerja memungut sampah yang bertaburan di tempat pembuangan sampah di Flat Desa Mentari, Petaling Jaya semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR

PETALING JAYA 12 Jan. - Penduduk di Flat Desa Mentari di sini terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa ekoran sikap segelintir penghuni yang membuang sampah merata-rata.

Walaupun tong sampah disediakan di tingkat bawah setiap blok di kawasan itu, beberapa penduduk mengambil jalan mudah dengan membiarkan sampah di atas tangga flat sehingga berminggu-minggu lamanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di flat berkenaan hari ini mendapati, ada penghuni flat berkenaan yang sewenang-wenangnya mencampakkan sampah dari kediaman mereka di tingkat atas.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengotorkan kawasan perumahan berkenaan tetapi turut membahayakan penghuni lain yang berada di tingkat bawah.

Terdapat lapan buah blok perumahan di kawasan itu yang mengandungi antara 11 hingga 13 tingkat.

Seorang penduduk, Zainal Kadir, 56, berkata, keadaan flat yang kotor dan berbau busuk menyebabkan dia dan keluarga tidak selesa tinggal di kawasan itu.

"Kalau kami sahaja yang menjaga kebersihan tapi penghuni lain tidak berbuat demikian, sampai bila-bila pun flat ini akan kotor.

"Saya minta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) datang membuat pemantauan di sini dan mengambil tindakan terhadap mereka yang suka membuang sampah merata-rata," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk, Mohammad Ali, 57, berkata, masalah sampah semakin menjadi-jadi sejak ramai pemilik menyewakan rumah mereka kepada warga asing.

"Flat ini semakin kotor dan tidak terurus sejak ramai warga asing mendiami kawasan ini," dakwanya.

Seorang pekerja swasta, N. Bathmanathan, 36, berkata, sebuah rumah di kawasan itu juga dijadikan tempat mengumpul barangan terpakai dan sampah oleh seorang lelaki yang didakwanya tidak siuman.

"Biarpun kontraktor pembersihan membersihkan flat ini setiap hari namun keadaannya tetap kotor dan menjijikkan.

"Saya merayu MBPJ supaya mengatasi masalah sampah dan beberapa masalah lain seperti lif rosak dan dinding yang diconteng agar kami dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna," katanya.

Rumah teres terbakar, bomba dikejutkan dengan penemuan mayat dikelar

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Anggota bomba dan penyelamat mengangkat mayat Ng Chee Wai (gambar kecil) yang ditemui mati terbakar di rumahnya dalam satu kebakaran di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Sepasukan anggota bomba yang memadamkan kebakaran sebuah rumah teres di Pandan Perdana di sini petang ini terkejut apabila menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan hampir terbakar dengan tangan yang dikelar.

Turut ditemukan dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu ialah anak perempuan mangsa berusia 17 tahun yang tidak berpakaian dan terbakar 70 peratus bahagian badannya.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Hulu Langat, Hamdan Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.46 petang dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian sebelum mendapati sofa dan siling di bahagian ruang tamu tingkat bawah dijilat api.

Katanya, mangsa, Ng Chee Wai, 52, ditemukan sudah tidak bernyawa di tingkat atas rumah itu bersama anaknya yang cedera parah, Ng Qi Jang.

Dua jentera bomba dari Pandan Indah dan Ampang dengan kekuatan 15 anggota telah dikerah untuk memadam kebakaran.

Ketika pihak kami tiba, pintu tidak berkunci dan dua mangsa ditemui terbaring di tingkat atas. Kami percaya hanya dua penghuni berada di dalam rumah itu ketika kejadian," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau berkata, pihak forensik bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kebakaran dan penemuan kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun katanya, masih terlalu awal untuk pihak polis mengaitkan unsur jenayah dalam kejadian itu.

Biarlah forensik bomba dan polis menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang pengesahan mengenai punca kebakaran dan kematian didedahkan.

Kami juga masih menunggu laporan laporan bedah siasat ke atas mayat lelaki itu," katanya ketika dihubungi.

Menurut Khairuldin, mayat Chee Wai dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat manakala anaknya turut diberi rawatan di hospital yang sama.

Peniaga makanan mengeluh atap kedai bocor

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

SABAK BERNAM 12 Jan. - Para peniaga makanan di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar di sini meminta Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) membaiki atap premis tersebut yang bocor kerana ia menjejaskan kedatangan pelanggan sejak dua tahun lalu.

Seorang peniaga, Komari Sharip, 68, yang mengusahakan kedai makan bersama isterinya, Siti Jamaiah Sarkawi, 64, berkata, ramai pelanggan mengadu tidak selesa untuk menikmati makanan di tempat itu terutama semasa musim hujan.

Ada pelanggan yang merungut kerana terkena tempias dan lantai premis pula licin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Komari berkata, dia pernah melakukan kerja baik pulih sebanyak dua kali membabitkan kos kira-kira RM21,000 semata-mata mahu mengatasi masalah di premis yang disewa daripada MDSB itu.

Seorang lagi peniaga, Mohd. Amiruddin Supar, 45, berkata, atap di kedainya antara yang paling teruk terjejas sehingga dia terpaksa menggunakan tikar getah bagi menutup kebocoran.

Menurutnya, dia yang membayar sewa kedai itu sebanyak RM390 setiap bulan terpaksa mengelap lantai apabila hujan bagi memastikannya kering.

Untuk memastikan pelanggan datang, saya terpaksa mengelap air yang bertakung setiap kali hujan bagi mengelak kedai ini kotor," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi berkata, pihaknya akan memaklumkan masalah berkenaan kepada MDSB.

Saya berharap pihak MDSB akan melakukan kerja baik pulih secepat mungkin kerana peniaga bergantung kepada kehadiran pelanggan untuk meraih pendapatan setiap hari," katanya ketika melawat premis tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Polis kutip lebih RM20j kompaun

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 11 Jan. - Polis berjaya mengutip lebih RM20 juta kompaun daripada pengguna jalan raya di negeri ini atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (gambar) berkata, sepanjang tahun lalu juga Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Kontinjen Johor menjalankan sebanyak 413 operasi.

Menurutnya, daripada operasi itu sebanyak 553,847 saman dikeluarkan dengan seramai 262,764 orang dan 218,441 kenderaan diperiksa, 7,051 kenderaan disita dan 248 orang ditahan.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 32 Op Cantas Khas Trafik dijalankan dengan 290,671 orang diperiksa, sebanyak 415,063 saman dikeluarkan dan 142 orang ditahan.

"Selain itu, polis turut memeriksa sebanyak 241,772 kenderaan dan 3,775 kenderaan pula disita dalam operasi berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Ops Warta Trafik turut dilancarkan pada 25 November lalu dan hasil operasi itu, sebanyak RM466,140 kompaun berjaya dikutip dan 396 saman serta 1,102 waran diselesaikan pengguna.

Katanya, sebanyak 48 operasi berjaya dijalankan dengan 16,594 orang dan 13,530 kenderaan diperiksa.

"Kita turut menjalankan operasi membanteras kegiatan lumba haram dengan sebanyak 333 operasi digerakkan, 106 orang ditahan, 3,276 kenderaan disita dan 9,567 saman dikeluarkan," katanya.

MDP diminta pasang tanda larangan

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

WEE Jeck Seng (dua dari kiri) memberikan penjelasan kepada pemilik premis bangunan yang mengalami keretakan di Pusat Perdagangan Kukup Laut, Pontian, semalam. - MINGGUAN/MUHAMMAD ZIKRI

PONTIAN 11 Jan. - Majlis Daerah Pontian (MDP) diminta memasang papan tanda bagi melarang orang ramai menghampiri kawasan rumah kedai di Pusat Perdagangan Kukup Laut yang mengalami keretakan pada Khamis lalu.

Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng yang melawat tempat kejadian pagi ini turut menggesa MDP menempatkan anggota penguat kuasanya untuk memantau keadaan.

Katanya, pemasangan garisan kuning oleh pihak polis masih tidak mencukupi untuk memberikan peringatan atau amaran kepada orang ramai.

"Langkah penguatkuasaan lebih serius perlu diambil memandangkan laporan pasukan perunding daripada Kumpulan Ikram hanya diketahui dalam tempoh dua hingga empat minggu sebelum sebarang keputusan diambil.

"Bagi mengelakkan perkara tidak diingini, sepatutnya tiada lagi pergerakan orang ramai dan pemilik telah mengosongkan premis masing-masing. Kerajaan tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kejadian lebih buruk selepas ini kerana kawasan tersebut telah menjadi kawasan larangan dan ia perlu dipatuhi oleh semua pihak," katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir Jurutera Bangunan MDP, Ahmad Kamal Alias.

Dalam kejadian Khamis lalu, empat daripada 16 pintu kedai tiga tingkat di kawasan komersial Kukup Laut mengalami kerosakan di bahagian tiang serta keretakan di dinding bangunan.

Jeck Seng turut meminta pihak perunding bukan sahaja membuat pemeriksaan ke atas struktur bangunan yang mengalami masalah, malah tindakan sama mesti dilakukan terhadap 39 lagi unit kedai di tiga blok bangunan yang lain.

"Terdapat 55 unit kedai di empat blok yang dibangunkan pada 2007 dengan setiap satu dianggarkan menelan kos RM500,000, namun tidak sampai separuh menjalankan perniagaan," katanya.

Beliau turut meminta MDP segera mengadakan perjumpaan dengan pemilik bangunan mahu pun penyewa rumah kedai yang terjejas bagi menjelaskan kedudukan sebenar masalah berlaku ke atas bangunan tersebut.

"Jika keputusan merobohkan bangunan menjadi keutamaan, pemilik premis perlu diberi pembelaan yang sewajarnya oleh pihak pemaju memandangkan mereka telah melabur dengan banyak bagi membeli rumah kedai tersebut," katanya sambil turut meminta MDP dan Pejabat Tanah Daerah menangguhkan pembayaran cukai harta dan cukai tanah pada tahun ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kerajaan negeri jangan pilih bulu

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

Reezal Merican

BUKIT MERTAJAM 11 Jan. - Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta tidak bersikap selektif dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap penjaja dan peniaga gerai tidak berlesen di negeri ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan membanteras penjaja tidak berlesen tidak seharusnya tertumpu di sesetengah kawasan dan melibatkan kumpulan peniaga tertentu sahaja.

"Penguatkuasaan mestilah dilaksanakan secara adil dan tidak memilih bulu.

"Selain itu, sebelum mengeluarkan arahan atau notis kepada peniaga supaya menghentikan operasi, saya harap kerajaan negeri dapat mengkaji dan memahami masalah yang akan dihadapi peniaga yang kehilangan mata pencarian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang memberi notis dua hari kepada sekumpulan peniaga yang majoritinya Melayu supaya menghentikan perniagaan gerai makanan dan minuman mereka di Jalan Bukit Mertajam-Kulim dekat sini, pada 8 Januari lalu.

Terdahulu, Reezal Merican hadir berkongsi pandangan sebagai ahli panel dalam Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, aktiviti penguatkuasaan tidak harus tertumpu kepada usaha membersihkan peniaga jalanan tidak berlesen semata-mata sebaliknya kerajaan negeri juga harus memikirkan kaedah terbaik bagi membantu golongan berkenaan.

Ditanya tindakan pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membandingkan kadar enam peratus dalam pelaksanaan GST berbanding Singapura yang memulakan dengan kadar tiga peratus, beliau berkata, perkara itu harus dilihat dalam aspek lebih luas.

Menurut beliau, Singapura memulakan pelaksanaan GST pada kadar tiga peratus pada 1994 iaitu ketika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tersebut masih rendah.

"Kini, keadaan berbeza yang mana negara jiran itu telah meningkatkan kadar cukai GST. Begitu juga dengan negara kita yang melaksanakan GST ketika KDNK berada pada tahap lebih tinggi.

"Jadi, kadar enam peratus itu wajar dan kerajaan tidak melaksanakannya secara tergesa-gesa sebaliknya memberi tempoh selama 17 bulan iaitu sehingga rakyat faham," katanya.

Pemuda UMNO taja kem jati diri pelajar kemahiran

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Hisham Hamid (duduk empat dari kiri) bersama pelajar Institut Teknologi Pkz Maju, Bedong, Kedah yang menghadiri kem jati diri tajaan Pemuda UMNO Balik Pulau, di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, kelmarin.

BALIK PULAU 11 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO Balik Pulau hari ini menaja program kem jati diri kepada kira-kira 20 pelajar Institut Teknologi Pkz Maju, Bedong, Kedah di Tanjung Asam, Teluk Kumbar, di sini.

Ketika merasmikan kem tersebut, Ketua Pemuda UMNO bahagian Balik Pulau, Hisham Hamid berkata, Pemuda sememangnya mengalu-alukan penganjuran program ilmiah bagi meningkatkan taraf pendidikan belia selaras saranan kerajaan yang mahukan pendidikan sebagai satu jalan meningkatkan taraf ekonomi belia terutamanya dalam bidang kemahiran.

"Kerajaan juga telah banyak membantu golongan tercicir dengan menyediakan institut kemahiran dalam membantu belia contohnya, Pusat GiatMara dan institut kemahiran lain," katanya.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Institut Teknologi Pkz Maju, Bedong, Kedah, Kamarudzaman Bakar.

Mengenai program itu, Hisham berkata, ia dilihat sebagai platform kepada remaja dan belia yang sedang menuntut dan juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih mencari hala tuju agar lebih berkeyakinan dalam menjalani kehidupan.

"Apa yang lebih penting dengan kem jati diri seperti ini ia mampu mengeratkan silaturahim sesama Islam dan meletakkan agama sebagai rujukan serta panduan hidup," katanya.

Institut Teknologi Pkz Maju merupakan pusat kemahiran yang mendapat tauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia bagi menjalankan program melatih bakal pengajar di institut kemahiran kerajaan dan swasta.

Bukan kes culik kanak-kanak

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

PULAU PINANG 11 Jan. - Polis negeri ini menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial berhubung kejayaan mematahkan sindiket penculikan kanak-kanak di Butterworth, dekat sini semalam.

Sebaliknya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, operasi yang dimaksudkan itu adalah kejayaan menyelamatkan sebanyak 35 lelaki warga Bangladesh yang diseludup dari negara jiran untuk diperdagangkan sebagai tenaga buruh oleh satu sindiket.

Menurut beliau, menerusi serbuan disertai lebih 20 anggota polis pada pukul 3 petang semalam, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan lemah selepas seminggu dikurung dalam sebuah rumah di Taman Selayang, Sungai Puyu dekat sini.

Tambahnya, semua mangsa berusia antara 20 hingga 45 tahun itu berada dalam keadaan tidak terurus dan sedang menunggu masa untuk diambil pembeli.

Berdasarkan maklumat awam dan risikan, polis menyerbu lokasi berkenaan dan siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini menerusi Padang Besar sebelum dibawa ke negeri ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Awal hari ini, laporan mengenai kejayaan polis negeri ini mematahkan sindiket penculikan kanak-kanak dari seluruh negara disebarkan secara meluas menerusi laman sosial oleh individu tidak dikenali.

Menurut laporan palsu itu, lebih 50 kanak-kanak yang hilang di seluruh negara didakwa berjaya diselamatkan dan laporan tersebut turut menggesa ahli keluarga yang kehilangan saudara-mara membuat rujukan di Ibu Pejabat Polis Kepala Batas.

Dalam pada itu, mengulas serbuan tersebut, Mazlan berkata, pihaknya turut menahan tujuh orang termasuk dua wanita warga Myanmar dipercayai anggota sindiket berkenaan.

Katanya, dalam serbuan itu juga, pihaknya merampas wang tunai, telefon bimbit dan buku catatan kegiatan penyeludupan yang dilakukan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Tiada sekolah Tamil akan ditutup - Palanivel

Posted: 12 Jan 2014 03:35 AM PST

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel memberi jaminan bahawa tiada sekolah Tamil yang menghadapi masalah kurang enrolmen pelajar akan ditutup.

Katanya, sekolah itu sebaliknya akan dipindahkan ke kawasan yang mempunyai kadar kepadatan penduduk India yang lebih tinggi.

"Ini adalah janji kerajaan kepada masyarakat India, tiada satupun sekolah Tamil akan ditutup.

"Malah, MIC akan mewujudkan lebih banyak kesedaran supaya lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Tamil," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan barangan perayaan Ponggal kepada penghuni rumah pangsa Sri Pahang di Bukit Bangsar, di sini hari ini.

Palanivel berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah penurunan pelajar di sekolah-sekolah Tamil. - BERNAMA

Lima pendatang tanpa izin ditahan dalam Ops Tayang di Sandakan

Posted: 12 Jan 2014 02:59 AM PST

KOTA KINABALU 12 Jan. - Lima pendatang tanpa izin dari Filipina ditahan dalam Ops Tayang ketika cuba memasuki negara ini melalui perairan berhampiran Pulau Pamaguan, Sandakan pada Jumaat lepas.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita dewasa berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah bot laju yang dikatakan mengalami kerosakan enjin kira-kira 9.30 malam.

Selepas pemeriksaan dibuat, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Pos Kawalan Pulau Pamaguan yang bertugas malam itu mendapati terdapat lima orang yang berada di dalam bot berkenaan yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan disyaki pendatang tanpa izin.

Berdasarkan siasatan awal, pendatang berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Bakungan Besar (wilayah Filipina) menuju ke Sandakan, bahagian pantai timur Sabah, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohammad berkata kesemua pendatang tanpa izin itu dibawa ke balai polis Sandakan untuk siasatan lanjut.

Ops Tayang melibatkan anggota pos PGA Pulau Pamaguan yang dipantau oleh Esscom, dilancarkan bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di Zon Selamat Timur Sabah. - BERNAMA

136 mangsa banjir di Jerantut dan Lipis masih berada di pusat pemindahan

Posted: 12 Jan 2014 02:30 AM PST

KUANTAN 12 Jan. - Seramai 136 orang daripada 26 keluarga dipindahkan ke lapan pusat pemindahan banjir di Jerantut dan Lipis selepas kediaman mereka dinaiki air, sejak semalam.

Menurut laman sesawang Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN), mangsa banjir di daerah Lipis adalah seramai 118 orang manakala Jerantut 18 orang.

Pusat pemindahan yang dibuka di Lipis adalah Masjid Bukit Semak, Masjid Kampung Seberang Jelai, Sekolah Kebangsaan Batu Yon, balai raya Kampung Beralas dan balai raya Lentang. Pusat pemindahan di Jerantut adalah balai raya Kampung Paya Teh.

Sementara itu, laluan Jerantut-Kuala Lipis ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air antara 0.5 hingga 1 meter, sejak petang semalam.

Beberapa jalan di kawasan kampung di Jerantut turut dinaiki air iaitu Kampung Belukar di Kuala Tahan, Kampung Gintong dan Tembeling Tengah.

Tiga laluan pula hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja iaitu Pulau Tawar, Durian Hijau, Jerantut-Kuala Tahan di Kampung Paya Garuk dan Jerantut-Maran berhampiran Simpang Jengka 8, Jerantut. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved