Ahad, 12 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


4 restoran diarah tutup serta-merta

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

SEORANG penguat kuasa kesihatan memeriksa kebersihan sebuah restoran di Pulau Sebang, Melaka, semalam.

ALOR GAJAH 11 Jan. - Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan empat buah restoran ditutup serta-merta dalam operasi di sekitar Pulau Sebang di sini malam tadi, kerana didapati terlalu kotor dan menyajikan bahan makanan tercemar.

Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran jabatan berkenaan, Dass Kandunni berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan menutup kesemua premis terbabit selama dua minggu bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan oleh pemiliknya.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan oleh penguat kuasa kesihatan bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu bukan sahaja mendapati keadaan dapur kotor, malah turut mengesan restoran yang menggunakan bahan tamat tempoh dan telah tercemar.

"Dalam operasi ini, pelbagai kesalahan telah dikesan antaranya membabitkan permit dan kegagalan restoran menyediakan persekitaran dan bahan makanan yang bersih yang kita percaya telah dicemari penyakit bawaan serangga dan haiwan perosak.

"Ruang hadapan restoran bersih dan cantik, tetapi apabila penguat kuasa kesihatan meninjau dapur keadaan sebaliknya dan terlalu kotor serta tidak menepati piawaian yang ditetapkan Jabatan Kesihatan dan MPAG," katanya ketika ditemui pada operasi itu malam tadi.

Beliau berkata, perintah tutup serta-merta itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 yang antara kesalahannya termasuklah pekerja tidak mendapatkan suntikan antitifoid, tidak menghadiri kursus pengendalian makanan dan peti beku yang tidak mengikut piawaian.

Penduduk Sungai Melipis terputus hubungan

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

KAPIT 11 Jan. - Longgokan kayu dan sampah sarap di Sungai Melipis di sini menyebabkan ramai penduduk terputus hubungan berikutan keadaan itu menghalang plaluan untuk perahu.

Difahamkan kejadian itu ekoran aktiviti pembalakkan dan penebangan hutan untuk tujuan pertanian di bahagian hulu sungai.

Tuai Rumah, Rambor Belansai berkata, kejadian itu menyukarkan penduduk untuk menjalankan urusan harian, malah turut merosakkan beberapa kemudahan di sepanjang tebing sungai tersebut.

"Longgokan kayu seperti rakit ini menyekat laluan Sungai Melipis kira-kira pukul 5 petang.

"Selain menghalang laluan, kejadian ini turut merosakkan tanaman di sepanjang tebing sungai dan menghanyutkan jeti penduduk rumah panjang," katanya ketika ditemui selepas membawa rombongan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Jefferson Jamit meninjau situasi berkenaan, baru-baru ini.

Terdapat sebanyak enam buah rumah panjang di sepanjang Sungai Melipis dengan penduduk dianggarkan melebihi 1,000 orang.

Menurut Rambor, penduduk di hulu Sungai Melipis masih bernasib baik kerana terdapat jalan darat sepanjang kilometer menghubungkan mereka dengan kawasan di muara sungai.

"Walaupun ada jalan darat, pengangkutan air menerusi Sungai Melipis amat penting memandangkan tidak ramai penduduk memiliki kenderaan.

"Bagi penduduk yang mahu mencari sumber rezeki di sungai, ia sudah sama sekali tidak dapat dilakukan ekoran laluan yang tersekat," katanya.

13 program hiasi sambutan Hari Keputeraan Tuanku Muhriz

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

KUALA PILAH 11 Jan. - Sebanyak 13 program akan dijalankan bersempena sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir Ke-66 di Seri Menanti pada 14 Januari ini.

Pegawai Daerah, Zulkifli Baharan berkata, program anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah bersama jabatan-jabatan kerajaan lain di daerah ini akan berakhir pada 25 Januari ini.

Menurutnya, program awal diadakan termasuklah pertandingan melukis dan berwarna selain sukaneka anjuran Pejabat Pelajaran Daerah serta Jabatan Perpaduan dan Integrasi Kuala Pilah yang bakal melibatkan lebih 1,000 murid sekolah.

"Dua program tersebut berlangsung seawal pukul 8 pagi di pekarangan Muzium Diraja Seri Menanti bagi pertandingan melukis dan mewarna manakala di padang awam pula acara sukaneka.

"Jamuan rakyat turut disediakan pihak istana bermula pukul 10 pagi dan pada sebelah malam hari sama, program pentarama anjuran Pejabat Penerangan daerah di padang awam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan 500 kilogram ikan pelbagai jenis di Tasik Londa Naga, Seri Menanti sempena dengan penganjuran Karnival Pancing Seri Menanti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran daerah dengan kerjasama Jabatan Perikanan negeri petang semalam.

Pertandingan memancing terbuka tersebut akan diadakan pada 15 Januari ini bermula pukul 7.30 pagi untuk sesi pendaftaran peserta dan pertandingan bermula pada pukul 9 pagi.

Ujarnya, yuran pendaftaran sebanyak RM30 bagi sebatang joran dikenakan kepada peserta dan 150 peserta terawal yang mendaftar bakal mendapat baju percuma selain terdapat 30 cabutan nombor bertuah.

"Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang RM3,000 sementara tempat kedua pula akan menerima RM1,000 sementara tempat ketiga, RM500.

"Baginda Tuanku dijangka mencemar duli untuk hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan memancing yang diadakan itu nanti," katanya.

Program-program lain yang turut diadakan termasuklah Program Semarak kasih bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, pameran kereta antik serta perlawanan bola sepak persahabatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved